Friday 31 January 2020

SAMBUNGAN SURAH 36: YASIIN. Ayat: 13 - 19

Assalamualaikum



PERKONGSIAN ILMU: SAMBUNGAN SURAH 36:PERKONGSIAN ILMU: SAMBUNGAN SURAH 36: YASIIN. Ayat: 13 - 19
Syukur alhamdulillah adikku Norafeah dari Sabak Bernam, Selangor datang berkunjung. Cuti2 Raya Cina, anak menantu dan cucu ramai yang balik.
Bacaan Yasiin keluarga kami malam itu, dipimpin oleh Ahmad. Nenek mertua Ahmad dari Marang, Terengganu juga datang sebagai tetamu.
"Salah satu kelebihan Al Quran, sasteranya yang indah dan unik. Allah SWT membawa kisah yang ringkas dan padat. Tujuan kisah sebagai peringatan dan pengajaran. Kitapun suka dengar kisah2 dan cerita2 kan..." Aku memulakan tafsir.
"Ayat 13: Allah SWT memberi contoh satu kisah yang berlaku di sebuah bandar, Antokiah. Allah telah menghantar beberapa orang utusan kepada penduduk bandar tersebut."
"Ayat 14 pula: Allah SWT menceritakan, mula-mula Allah antar dua orang utusan berdakwah kepada penduduk bandar Atokiah. Tetapi penduduk2 bandar itu menuduh utusan2 itu berdusta. Kemudian Allah SWT antar lagi seorang utusan, supaya usaha dakwah itu lebih kuat. Ketiga-tiga rasul itu menegaskan, mereka adalah utusan daripada Allah membawa seruan tauhid."
"Ini menunjukkan bahawa usaha dakwah perlu dilakukan secara berjemaah."
"Patutlah kumpulan dakwah dipanggil Jemaah Tabligh." Adikku, Norafeah bersuara.
Aku mengangguk. Kemudian menyambung tafsir.
"Ayat 15: Tetapi penduduk2 bandar itu tetap tidak percaya. Dengan alasan tidak mungkin Tuhan Yang Maha Pemurah menghantar manusia biasa sebagai rasul. Jadi tak perlulah mereka ikut, manusia biasa sahaja. Mereka mengganggap utusan2 itu pembohong."
"Ayat 16: Tanpa berdebat panjang, utusan2 itu menjawab dengan lemah-lembut: Hanya Allah SWT sahaja yang mengetahui bahawa kami adalah rasul-rasul yang diutuskan kepada kamu. Tugas kami hanya menyampaikan ajaran wahyu dengan jelas."
"Mama, rasul2 itu tidak termasuk 25 rasul yang wajib kita tahu kan?" Amla melontar tanya
"Ya...Betul!" Jawabku.
"Ayat 17: Utusan2 itu menyatakan, mereka ditugaskan mentabligkan wahyu. Terpulanglah kepada mereka, sama ada mereka mahu menerima atau menolak."
"Seterusnya ayat 18: Allah menceritakan penduduk2 bandar itu telah ditimpa musibah, iaitu kemarau. Penduduk2 tersebut menuduh utusan2 itulah yang membawa musibah. Lalu mereka meminta utusan2 itu memberhentikan dakwah dan mengancam; Jika tidak berhenti berdakwah, mereka akan menyiksa dan merejam utusan2 tersebut hingga mati."
"Ayat 19: Cara Utusan2 atau rasul2 itu men jawab; Allah SWT mendatangkan musibah kerana kedegilan dan kekufuran mereka. Bala itu sebagai peringatan kepada mereka."
"Sebelum Allah SWT hantar utusan, mereka dibiarkan. Apabila Allah telah antar utusan2 memberi peringatan tetapi mereka degil, maka Allah SWT turunkan bala."

Thursday 30 January 2020

ANGGERIK KUNING

ASSALAMUALAIKUM

ANGGERIK KUNING
RALIT dia membelek orkid-orkidnya yang bergantungan berbunga cantik di rumah orkidnya setelah pulang menoreh getah selazimnya. Hendak membela orkid perlu disediakan tempat yang bersesuaian juga. Perlu ada bumbung yang khas untuk melindungi orkid daripada cuaca panas dan hujan yang keterlaluan lebatnya,
Benih orkidnya ada yang dibeli. Ada yang diperolehi daripada jiran-jiran yang kebetulan sealiran minat sepertinya. Dan banyak juga yang ditemuinya di hutan apabila dia mencari daun-daun herba atau akar kayu yang diperlukan ibunya seorang pembuat jamu tradisi. Kadangkala ditemuinya di atas pohon getah atau di atas tanah. Akan diambilnya dan dibawa pulang. Sudah lama kebiasaannya itu berterusan.
Anggerik hutan ini amat cantik dan mudah dijaga tapi kehidupannya yang alami perlu disesuaikan. Mesti ditumpangkan pada pohon besar yang redup naungannya. Ketika menoreh getah pagi tadi dia terkesima memandang anggerik berbunga kuning yang amat cantik. Lebat sekali gugusannya. Menjulai hingga mencecah tanah daripada celah pohon getah yang tinggi. Harum aromanya menyebar ruang sekitarnya.
Walau agak tinggi kedudukannya dia akan memanjatnya untuk mengambilnya.
“Aku gantung kau di sini hai orkid cantik. Duduk molek-molek. Harap kau suka dengan tempat baru di sini. Berbunga dengan rajin ya.” Ujarnya perlahan. Dia memang gemar bercakap dengan orkid-orkidnya sambil membelai bunga-bunganya. Tumbuhan pun ada rasa dan memahami apa yang dituturkan kepadanya menurut kefahamannya.
Malam. Cengkerik mulai berbunyi sahut menyahut. Sudah menjelang tengah malam tapi Din masih berjaga menemani ibunya memasukan daun dan akar kayu herba ubatan yang diisi ke dalam kapsul. Ubat-ubat itu akan dijual kepada mereka yang berlanggan denganya.
“Eiik eeik..eiik..eiik..”
“Suara apa tu? Kau dengar tak?”
“Iyalah mak macam suara orang menangis…”
Tidur!”
“Aih! Kita pun belum tidur lagi.”
“Kita tu lainlah sebab ada kerja yang nak dibuat.”
“Cuba kau dengar baik-baik, bunyi suara menangis tu datang dari mana? Mak rasa dekat sangat bunyinya. Macam di luar bilikkau saja. Jom kita pergi tenguk.”
Emaknya membaca ayat kursi dan beberapa potong ayat suci yang menjadi amalannya sambil meraup ke wajahnya. Nalurinya merasakan dia akan berdepan dengan sesuatu yang singgah mengganggu ketenangannya.
Bunyi tangisan mendayu-dayu semakin jelas kedengaran daripada rumah orkid Din.
“Agaknya ada orang sedang menangis di rumah orkid Din mak..”
“Ish! Tiada siapa pun di sini. Siapa yang menangis?”saling berpandangan kedua-dua beranak itu. Bunyi suara esakan menangis terdengar lagi. Din dan emaknya terpempan memandang anggerik kuning berbunga lebat itu yang menangis sayu pada anggapan mereka.
“Rupanyakau yang menangis ya. Kautidak selesa tinggal di sini ya. Jangan menangis lagi. Esok pagi Din akan hantar kau balik ke tempat asalkau.”
Sebaik emak Din berkata begitu tidak kedengaran lagi esakan tangisan anggerik itu. Senyap sunyi suasana sekitarnya. Bayu malam berhembus halus menyapa kulit yang merasainya keseraman kerana reroma menegak.
Kedua-duanya melangkah masuk ke rumah dengan rasa lega kerana situasi luar biasa itu mampu didepani sebaiknya dengan izin-Nya.
“Kaulain kali kalaukau nak ambil orkid hutan baca sikit-sikit ayat suci. Jangan main ambil saja. Kalau nampak cantiknya ganjil jangan di ambil. Takut ada yang menjaganya ikut pulang. Kalau dia mengganggu susah pula kita!” Pesan emaknya.
* * *
Mak Esah melingas sekitarnya. Pandangannya singgah di pondok orkid anaknya. Orkid Din kelihatannya sedang galak mekar. Pelbagai rona dan miliki keharuman yang berbeza. Ada dari jenis vanda yang ungu, dendrobium oren, butterfly putih, cataleya merah muda dan banyak lagi jenis orkid yang tidak begitu diambil tahu tentang idnya yang tepat
.
Anggerik hutan berkelopak besar berwarna kuning yang dibawa Din pulang dari kebun getah semalam sudah tidak ada di tempatnya. Agaknya tentulah anaknya itu telah menghantarnya ke tempat asalnya kembali seperti sarannya malam tadi.
Hatinya teringatkan Din pula. Kelibatnya langsung tidak kelihatan sedang sudah tengahari. Kebiasaannya tika begini Din sudah terpacak di sisi rumah orkidnya. Membelek, membelai dan bersembang dengan orkid-orkid kesayangannya sebelum naik ke rumah untuk mandi, solat dan makan tengahari bersamanya.
“Apa yang kaubuat lagi di kebun getah tu Din, dah tengahari gini tak balik lagi.”
Mak Esah bercakap sendirian. Hatinya diserbu galau dan risau mengenangkan anak kesayangan nan seorang, bimbangkan keselamatan anaknya diganggu musibah yang tidak diingini.
“Aku kembalikankau ke tempat asalkau ya. Kauselesa tinggal di sini ya. Jangan marahkan aku sebab membawa kaupulang ke rumah semalam. Sebenarnya aku berkenan sangat dengan kecantikankau dan berminat sangat nak milikinya.”
“Eh! Kenapa kau letak semula anggerik kuning tu di tempatnya?”
“Kau ni Zaki mengejutkan aku saja. Tiba-tiba saja kau dah ada di sebelahku. Apa kau buat di sini?”
“Aku macamkau jugalah. Menoreh getah kat kebun aku. Kan kebun kita bersempadan. Aku Nampakkau terbongkok-bongkok kat sini itu yang aku datang.” Zaki kenalan Din sekampung itu menceritakan duduk perkaranya.
“Cantiknya anggerik ni! Kau tak nak ke? Bukankah kau peminat orkid? Kalau kau taknak beri aku saja. Biar aku jual kat nurseri di pekan. Mesti mahal tu.”
“Anggerik ni tak mau bersama aku, Zaki. Semalam aku ambil dan bawa balik tapi dia menangis pula. Itu yang kuhantar semula ke sini. Kau jangan berani-berani nak ambil bawa balik pula. Nanti kau yang pening tak boleh tidur mendengar suaranya menangis mendayu-dayu.”
“Ish! Kau ni…iyakah ada anggerik yang menangis. Selama aku menjadi pencari orkid hutan dan menjualnya kepada nursery tak pernah aku jumpa anggerik hutan yang menangis minta dihantar pulang. Karutlah semua tu.”
“Sebab kau belum pernah jumpa lagi bolehlah kau kata karut. Bila dah alami baru tahu”
“Hmm… mungkin juga ya! Tapi tadi aku ada terjumpa satu pokok besar kat tepi hutan simpan sana yang digayut pelbagai jenis anggerik yang sedang berbunga. Jom aku bawa kau ke sana. Aku cadang nak panjat dan ambil jual kat nursery orkid di pekan.”
“Ish! Kau yang jumpa dah jadi rezeki kaulah tu. Kenapa nak ajak aku pulak? Nanti kalau aku teringin dan nak juga, kaujuga yang rugi terpaksa berkongsi dengan aku. Lagipun aku rasa hari dah masuk zohor ni. Nanti mak aku tertanya-tanya pula kenapa aku tak balik lagi. ” Din menolak ajakan Zaki dengan alasannya.
“Jomlah ikut aku…sekejap sajapun. Nantikau tak percaya pula apa yang aku cakap tu betul”
“Jauh ke tempatnya? Kalau jauh malaslah aku nak ikut.”
“Dekat jer…kat hujung kebun kau ni. Kita gi tenguk sekejap lepas tu kita baliklah.”
Kedua-duanya beriringan menuju ke tempat yang dimaksudkan.
Melalui denai berumput halus hingga merempuhi semak-samun sendayan di sepanjang perjalanan sebelum kedua-duanya terhenti langkahnya di bawah pohon kesidang yang merimbun.
“Inilah pokoknya yang aku katakan tu. Cuba kau langut tenguk.”
“Wah! Banyaknya anggerik hutan. Macam-macam jenis bunganya. Cantik kesemuanya. Tak pernah aku jumpa anggerik secantik ini Zaki.” Ralit dan terpesona sungguh Din menikmati keindahan anggerik yang menjulai di celah pohon rimbun itu. Din menoleh kepada Zaki yang dipastikan berada di sisinya sebaik tidak mendengar bicaranya dibalas. Tapi Zaki tiada.
“Zaki kemana kau ha?” keras suaranya memanggil nama kawannya itu.
“Kemana pula hilangnya budak ni? Baru tadi dia ada kat sebelah aku. Sekejap saja dah lesap.”
‘Mungkin Zaki di sebalik pokok ni kot. Baik aku cuba tenguk.’ Din mengikut gerak hatinya, melangkah perlahan ke sebalik pohon berpemeluk besar dan rimbun itu.
Langkahnya terhenti bersalut keterkejutan hingga tidak terkata. Di hadapannya ternyata sebuah taman yang luas dipenuhi aneka bunga-bungaan termasuk orkid dan mawar berpancawarna amat indahnya. Hairan dia memikirkan keujudan sebuah taman bunga di tengah hutan rimba. Siapakah pemiliknya? Hatinya tertanya-tanya.
“Assalamualaikum.”
“Wa’alaikumussalam.” Dia membalas salam yang dihulur kepadanya tanpa menyedari siapa yang memberinya. Sebaik terpandang sosok tubuh yang berdiri di hadapannya Din terkedu. Wajah pemiliknya begitu cantik mempesona. Terlalu luar biasa kecantikan wajah yang berseri ayu itu menurut Din walau berpakaian sederhana lagi kumal, menutup kepala dengan kain batik yang diselempang di bahunya.
“Awak ni siapa pula? Saya sedang cari kawan saya Zaki di sini nak ajak dia balik. Ada awak nampak dia.”
“Saya Anggerik Kuning. Selama saya di sini menjaga taman bunga anggerik, saya tidak nampak pula sesiapa.”
‘Anggerik kuning? Macam nama orang dulu-kala saja. Masih ada lagikah di zaman alaf baru ni diguna-pakai nama seperti itu?’ Monolognya dalam diam.
“Kemana pula si Zaki ni. Maaflah dah masuk taman bunga awak. Biarlah saya balik dulu. Saya pun dah lambat ni. Mak saya tentu sedang tunggu saya nak bersolat zohor dan makan tengahari.”
“Alang-alang awak dah sampai ke sini jomlah ikut saya melawat taman anggerik saya ni. Saya tau awak memang minat sangat dengan bunga anggerik hutan kan. Nanti awak akan tenguk koleksi anggerik hutan dan orkid-orkid saya yang pelbagai jenis, aneka bentuk dan warna. Pasti awak terpesona takjub.”
“Eh! Awak tau saya suka orkid dan anggerik hutan,” sahut Din berbaur rasa kehairanan.
“Mestilah saya tau. Saya kenal awak Din. Saya selalu perhatikan awak mengambil anggerik hutan yang awak temui kala sedang menoreh. Awak yang tidak perasan saya.”
‘Eh! Dia kenal aku? Pelik juga. Sedang aku tak pernah jumpa dan kenal diapun.’
“Maaflah sebab tak perasan awak tinggal berdekatan saja dengan kebun getah saya. Tak apalah lain kali saya datang melawat taman orkid awak. Kali ni nampaknya tak dapatlah.” Din berusaha menolak pelawaan gadis itu dengan baik.
“Jomlah sekejap saja. Dari taman anggerik saya ada jalan pintas untuk sampai ke rumah awak dengan lebih pantas.” Anggerik Kuning masih berusaha mengajak Din memenuhi pelawaannya.
“Kalau saya ikut awak nanti saya tak jumpa Zaki pula. Dia datang bersama saya tadi. Tak baik pula kalau saya tinggalkan kawan saya tu.”
“Zaki mungkin dah balik kot. Dia memang selalu ulang-alik masuk hutan ni mencari anggerik. Tak payah risau tentang dia. Dia dah biasa dengan tempat ni.”
“Baiklah kalau gitu saya ikut awak ke taman bunga awak sekejap. Sambil tu awak tunjukkanlah jalan pintas ke rumah saya ya.”
Bermulalah langkah yang diatur kedua-duanya. Beriringan memasuki taman anggerik yang indah mempesona dengan bunga-bunga mekar yang menyebarkan keharuman semerbak.
“Wah! Cantik sungguh anggerik-anggerik kepunyaan awak. Bolehlah beri saya sedikit benihnya untuk saya bawa balik dan tanam di rumah.”
“Boleh. Tapi saya kena tanya ayah saya dulu. Jom ke rumah saya. Rumah saya tak jauh. Itu!”
Din tiba-tiba terpandangkan sebuah rumah agam yang diperbuat daripada kayu cengal keseluruhannya menurut selirat urat kayu pada pandangannya terdiri di sisi taman itu. Hairan pula dia bagaimana dia langsung tidak menyedari akan keujudan rumah agam itu di situ selama kehadirannya di sini.
“Singgahlah sekejap ke rumah dan berkenalan dengan ayah saya.”
“Eh! Anggerik dah balik. Bawa Din masuk ke rumah.”
‘Orang tua ni pun tahu nama aku.’ Din tersengih dalam kebingungannya.
“Tak apalah pak cik. Saya di luar saja. Di serambi ni pun selesa sangat.”
“Anggerik bawakan makanan dan minuman untuk Din.”
“Eh! Tak payahlah pak cik. Saya sekejap di sini.”
“Adat budaya kita meraikan tetamu memang begitu Din. Jangan tak sudi pula.”
Anggerik berlalu ke dalam rumah dan segera kembali dengan menatang dulang yang berisi jag air minuman dan pelbagai jenis buah-buahan yang segar. Pemakaian dirinya juga telah bertukar jauh lebih cantik. Kini berkebaya labuh putih kerim dan bertudung sewarna. Kecantikan dirinya seumpama bidadari yang baru turun dari kayangan. Membuat Din tidak terkejip mata memandangnya Terkesima.
“Jemputlah minum dan makan buah-buahan ni Din. Ada pulasan, rambutan, manggis, duku, langsat, rambai. Semuanya ni dari dusun buah-buahan di tepi rumah kami.” Din kembali ke alam sedarnya sebaik mendengar pelawaan lirih, lunak itu
“Nampak buah-buah ni segar sungguh dan menyerlah warnanya. Berbeza amat dengan buah-buah kat tempat saya. Begitu juga dengan bunga-bunga orkid, mawar dan lain-lain. Ketara amat kecantikannya. Mesti ada rahsia tani yang pak cik gunakan ni. Mungkin pak cik boleh kongsikan dengan saya.”
“Boleh. Tak jadi masalah kalau nak pelajari cara pak cik bercucuk-tanam sehingga peroleh hasil begini. Tapi kenalah tinggal lebih lama di sini. Atau menetap saja di sini bersama pak cik dan Anggerik Kuning. Anak pak cik ni baru saja kehilangan emaknya yang baru saja meninggal dunia. Dia sepi sendiri tidak berkawan sambil menghabiskan masanya di taman bunganya. Entah esok lusa pak cik pula meninggal dunia. Tinggallah Anggerik Kuning keseorangan.”
“Ish! Ayah ni itu pula yang disebut. Janganlah merisaukan hati Anggerik pula.”
“Ayah cuma memikirkan masa depan kamu. Lagipun ayah akan meninggalkan kamu juga sebab tak lama lagi ayah akan berangkat ke tanah suci menunaikan haji.”
Tersentuh juga hati Din mendengarkan luahan suara ayah Anggerik Kuning memaparkan masalah yang membongkol di hatinya. Tidak tahu pula bagaimana caranya dia harus menolong kedua beranak yang baik budi itu.
“Apakata kalau Din berkahwin dengan Anggerik. Kamu berdua pak cik rasa memang sepadan sebab amat gemarkan bunga-bunga anggerik dan suka memelihara tanaman. Pak cik dan Anggerik juga kenali kamu sebagai pemuda yang baik dan taat kepada mak kamu.” Sebaik mendengar ayahnya berkata begitu, Anggerik Kuning tersipu malu dan segera bergegas meninggalkan serambi itu.
Din juga berubah rona wajahnya sebaik menerima pinangan daripada seorang lelaki untuk anak perempuannya. Dia menjadi tidak tentu arah pula untuk memberi jawapan pasti. Ingatannya kembali ke rumahnya mencari emaknya tiba-tiba.
“Terima kasih pak cik penghargaan pak cik kepada saya hingga sanggup menjodohkan anak pak cik dengan saya. Tidak layak pula rasanya saya nak jadi menantu pak cik sebab saya ni orang miskin saja berbanding dengan pak cik yang saya tenguk mampu tinggal di rumah seperti istana ini. Mungkin kelak Anggerik tidak selesa tinggal bersama saya dan mak saya di rumah kecil kami di kampung.”
“Anggerik sangat sukakan kamu. Pasti dia selesa bersama kamu dimana saja.”
“Soal perkahwinan ini bukan soal mudah. Nanti saya balik dan berbincang dengan mak saya dulu. Apa keputusannya saya bagi tahu pak cik.Nampaknya saya dah lama sangat di sini. Biarlah saya mengangsur diri dulu. Bimbang mak saya tercari-cari ketiadaan saya. Pak cik beritahulah Anggerik saya dah nak balik. Tadi dia dah janji nak tunjukan jalan pintas ke rumah saya.”
“Anggerik! Din dah nak balik ni. Tolongkau tunjukan jalannya. Sambil tu berikan mana-mana pokok anggerik yang dia berkenan untuk dibawa balik.”
“Jom ikut saya. Pilihlah mana-mana anggerik yang awak suka. Dan harapnya anggerik-anggerik tu tak menangis pula nak balik ke sini.” Anggerik Kuning tersenyum menuturkannya.
‘Hish! Dia tahu juga kisah anggerik menangis yang aku jumpa.’ Dia menggaru kepala memikirkannya.
“Awak ikut saja jalan depan tu dan awak akan terus sampai ke rumah awak.”
Terbentang di hadapannya jalan lurus beraspal hitam untuk dilaluinya.
“Terima kasih ya Anggerik Kuning, tunjukan saya jalan dan berikan saya bunga-bunga anggerik ni. Insya-Allah kalau ada ketentuan jodoh kita pasti kita bertemu lagi.”
* * *
“Assalamualaikum mak.”
“Eh! Din kau dah balik. Kemana kau Din. Mak kau dah berhari-hari buat majlis bacaan yasin mendoakan kau balik.”
“Apa pulak? Tadikan aku bersama kau kat kebun getah. Kemudian aku ikutkau ke tempat pokok orkid yangkau jumpa. Lepas tu kau tinggalkan aku kat situ. Mujur ada sorang gadis yang tunjukan aku jalan balik.”
Zaki tercengang-cengang mendengar cerita Din yang dirasakan langsung tiada mengena dengan dirinya. Bagai ada sesuatu yang tidak kena.
‘Bila masa pulakla aku berjumpa dengan dia kat kebun getah sedang aku baru saja balik dari Pontianak menguruskan orkid yangku beli dari Kalimantan.’
“Tak apala jom kita masuk ke rumah kau dulu. Emak kau tu dah rindu sangat lama tak jumpa kau.”
“Ish baru sekerat hari tak jumpa dah rindu-rinduan? Macam-macamlah mak aku tu.”
Mak Esah segera menerpa Din. Meninggalkan tetamu di majlisnya yang baru saja menyelesaikan bacaan yasin. Tetamu-tetamunya turut kehairanan dengan kepulangan Din secara tiba-tiba itu.
“Kau kemana Din? Hampir sebulan mak tunggu kau balik.” Mak Esah memeluk Din erat sambil bercucuran air matanya. Kegembiraannya terlalu bertemu dengan anak kesayangan yang sekian lama hilang dari sisinya.
Din terkapa-kapa. Tidak tahu mahu menuturkan apa. Terambang pada pandangannya wajah Anggerik Kuning yang jelita bak bidadari bersama ayahnya yang berjubah putih ditemuinya baru saja sebentar tadi. Dia tertanya-tanya akan persoalannya dalam kebingungan.

Wednesday 29 January 2020

LIMERIK

ASSALAMUALAIKUM


LIMERIK

LIMERIK IALAH PUISI LIMA BARIS
BARIS PERTAMA DAN KEDUA 10 SUKUKATA DENGAN RIMA AKHIR SAMA
BARIS KETIGA DAN KEEMPAT 5 SUKUKATA AKHIR RIMA SAMA
BARIS KELIMA 10 SUKUKATA DAN RIMA AKHIR SAMA DENGAN BARIS PERTAMA


Limerik #1
PENJUAL BURGER
Di satu lorong cahaya terang
penjual burger menggamit orang
cari rezeki
sifat lelaki
untung sedikit pelanggan kurang

#2
Tidak kecewa masih usaha
rajin sekali bersolat dhuha
teguh iman
hati aman
anggap dugaan Allah yang esa

#3
Setiap hari rona berubah
hasil sedikit makin bertambah
hati senang
tidak menang
layan pembeli
 burger dimasak sempurna gubah


Tuesday 28 January 2020

ADILA DAN PANTUN DKLASIK

ASSALAMUALAIKUM

ADILA DKLASIK 27/1/2020 5.15 PTG
Terima kasih banyak penerbit dj Anisma Klasik sudi siarkan karya PI yg seadanya itu dalam slot AKU DIA DAN LAGU...ruangan yang memaparkan pelbagai catatan kenangan kiriman pembaca diselang seli dengan tiga lagu pilihan.
Pantun D’Klasik💐 28/1/2020 8.00-10.00 pagi
Pantun yang menggunakan jenis-jenis fabrik sebagai pembayang atau maksud..tema bebas.
Cth: baju, kain, sampin, selendang, songket, sutera, satin, batik dan lain-lain
Bahtera berlayar menuju utara,
Pulau Angsa tempat singghan;
Betapa mahal kain sutera,
Belacu juga buat basahan.
pantun balasan
Di dalam bendang subur kemahang,
Tempat bergabung si ikan tilan;
Kain sebidang tenunan Pahang,
Gadis kelubung lawa berjalan,
Terima kasih banyak dj Anisma Klasik sudi bacakan pantun PI. Wow menggelombang rasa bahagia...semoga Allah memberkati urusan adik dan kita semua sukses adanya. Melangkah dengan yakin mengharap reda-Nya. saling menggembirakan n membahagiakan antara kita.
pic radio klasik (c)


Monday 27 January 2020

DRAMATIS 4

ASSALAMUALAIKUM

DRAMATIS 4

pic google image (c)

Sudah selesai sesi fotografi untuk majalah yang amat memenatkan Anita. Sarina pula tidak merasa begitu. Dia santai dan lapang saja. Sentiasa galak riang tertawa, menegur itu ini. Tanpa segan silu.
Kini sesi bertemu dengan wartawan hiburan pula yang akan mewawancara kedua-dua artis itu untuk disiarkan artikelnya di dalam majalah Jelitawan Era yang akan diterbitkan awal bulan hadapan.
Seorang wartawan bernama Aziah atau lebih di kenali sebagai Jee di kalangan artis sedang mengatur langkah menghampiri Sarina dan Anita.
Tulisan Jee sering diikuti peminatnya kerana gaya tulis kewartawanan yang bersahaja. Jika dia sukakan seorang artis itu dia tidak akan terbawa-bawa ke dalam tulisannya dengan memujinya melambung tinggi.
Sekiranya dia menghidu sebarang keburukan sesaorang artis itu dia tidak akan mendedahkannya dalam tulisannya secara terang-terangan. Hanya menepati pepatah ‘pukul anak sindir menantu.’ Siapa yang makan cili akan terasa pedasnya. Sentiasa berusaha hendak mematuhi etika kewartawanan yang wajib dipegang.
Aziah mengambil tempatnya. Duduk berhadapan dengan kedua-dua ‘mangsa’ yang akan ‘dikuliti’ dan dipaparkan ceritanya menjadi hidangan enak pembaca yang berminat.
Kini wawancara seorang wartawan dengan dua orang dramatis sedang berlaku.
Wartawan:
Takkan Anita tidak tahu, ramai artis memang suka di gossip. Merekalah yang mengundangnya. Bila sudah disiar di media...mula takut. Lepas tu buat kenyataam akhbar, tak cakap pulak macam tu. Kami orang media ...tulis je. Kami tidak ada niat apa-apa pun.
Anita:
Saya memang tidak suka digossip perkara bukan-bukan yang tidak saya lakukan.
Saya menceburi bidang lakonan bukan kerana hendak hidup mewah, atau dengan niat mencari suami dari kalangan Datuk-datuk bergelar yang kaya. Saya cuma hendak mencari sedikit rezeki yang halal buat menyara kehidupan..
Wartawan:
Baru-baru jadi pelakon memanglah cakap macam tu Nita. Tapi bila dah tengok member-member artis lain hidup mewah, tinggal di banglo, sentiasa bertukar kereta yang diimpot ...tentu terikut-ikut juga.
Anita:
Maaf …saya tidak begitu. Saya ada nilai hidup saya sendiri. Jika saya hendak kaya dan mewah saya akan berusaha sendiri mendapatkannya.
Wartawan:
Sarina pula macamana? Nampaknya awak berdua kawan baik. Tetapi rambut saja sama hitam…ya.
Sarina:
Gossip tu asam garam hidup artis. Saya tidak kisah kalau digosip jikalau dengan cara itu saja nama yang tidak popular akan meletup semalaman.
Wartawan:
Bagaimana dengan cik abang hari tu? Masih dengan dia ke?
Sarina:
(Tersengih. Jari telunjuknya diletakan di bibir merahnya.)
Hey..ini off record ya. Sebenarnya hubungan saya dan dia sudah lama habis. Buat masa ini saya belum ada sesiapa. Tapi saya tidak mahu orang lain tahu antara saya dan dia sudah tiada sebarang hubungan lagi.
Wartawan:
Betul ke ni? Dulu macam nak rak bercinta?
Wajah Sarina menjadi kelat. Dia menoleh ke sisinya menancap anak mata temannya yang bersalut resah. Wawancara yang mulanya berlaku secara formal dan mesra semakin melalut arahnya. Anita tidak menggemari situasi sebegitu. Hatinya sebal dan jengkel.
Sessi wawancara antara kedua-dua dramatis dan wartawan majalah Jelitawan Era berakhir . Matahari meninggi di langit. Sudah tengah hari.
Anita dan Sarina memasuki sebuah restoran yang berhampiran dengan lokasi penggambaran. Sebaik habis penggambaran yang melibatkan watak yang dipegang kedua-duanya, Sarina segera menyeret tangan Anita dan membawanya ke kereta.
Dia tidak mahu berlengah-lengah lagi kerana bimbang Anita akan mengubah fikirannya apabila bertemu Johan yang kebetulan sedang sibuk mengurusi set prop latar untuk penggambaran seterusnya,
“Kau pandang apa lagi tu…jomlah. abang Johan sedang sibuk tenguk prop tu. Dia tidak ada masa hendak bercakap dengan kau.”
Terpaksa juga Anita mengekori Sarina ke sini kerana tidak ada alasan konkrit yang boleh diberi. Sekiranya sang Sutradara Johan memberinya sedikit perhatian, tentu dia berjaya mengelakkan dirinya dari Sarina.
Setiap kali keluar kemana-mana bersama Sarina hatinya cuak dan risau. Bimbang terperangkap dengan helah Sarina yang sentiasa hendak mengenalkannya dengan lelaki-lelaki yang sentiasa bermaksud sebaliknya. Mudah-mudahan kali ini tidak ada maksud Sarina yang tersembunyi yang tidak diketahuinya. Demikian doanya.
Anita dan Sarina sedang menunggu pesanan makanan. Tiba-tiba saja muncul wajah dua lelaki yang tidak disukai Anita. Yang ingin dijauhinya. Wajah Anita berubah. Dia sudah menduga sesuatu yang direncana Sarina sebaik melihat wajahnya yang ceria dihiasi senyuman manis manja menyambut kehadiran kedua-dua lelaki yang muncul secara ‘kebetulan’ itu.
“Kamu berdua pun ada di sini?” Tanya Datuk Shaari, seakan terkejut.
“Orang kata begitulah, kalau ada rezeki, ada jodoh memang macam nilah, pusing sini terjumpa, pusing sana…aik dah nikah pulak..” sela Amin dengan lagak lucu yang menyukakan hatinya. Tetapi Anita memandangnya dengan jengkel. Wajahnya dipaling ke arah lain. Kenapalah kedua-dua makhluk yang ingin dijauhinya itu tiba-tiba saja menempel di hadapan matanya. Hatinya tertanya-tanya.
“Jomlah join kami.” Tutur Sarina lembut dan manja mempelawa. Terkesima Anita. Dia tidak menjangkakan situasi yang tidak diingininya akan dilaluinya juga.
“You don’t mind kan Nita?” Anita hanya angkat bahu. Bibirnya terkemam. Giginya dirapatkan. Menahan geram yang tidak dilepas menjadi perkataan.
Amin dan Datuk Shaari mengambil tempat yang tersedia. Kedua-duanya melepaskan senyuman manis kepada Anita dan Sarina. Anita membalasnya hambar tetapi berusaha dimaniskan wajahnya agar tidak terlalu ketara dia tidak menyenangi kehadiran dua manusia ini di sisinya.
“Awak oder apa tadi?” Tanya Datuk Shaari memandang kedua-duanya bersilih ganti.
“Biasa-biasa saja, nasi paprik dengan tomyam.” Balas Sarina.
“Ala itu tak sedap sangat.” Datuk Shaari menggamit seorang waiter, agar datang kepadanya.
“Awak beritahu dengan Manager awak, Datuk Shaari ada di sini. Dia tahu makanan yang selalu saya oder.” Waiter mengangguk. Dan berlalu pergi.
“Jangan lupa udang goreng butter ya. Pilih udang yang besar-besar sikit tau.” Sahut Amin membuat pesanan dengan suara yang kuat.
Tingkah laku kedua-duanya itu sangat memualkan Anita. Dia memalingkan wajahnya ke hala lain untuk mententeramkan perasaan geram dan meluatnya menanggapi situasi sebegitu.
‘Ramai lagi tokoh korporat yang lebih kaya raya. Tetapi kehidupan mereka biasa dan selamba. Tidaklah terlalu menunjuk-nunjuk dan ego tidak menentu. Nampak gayanya si pembantu pun lebih kuah dari sudu.’ Anita berbisik dengan dirinya.
“Besok kami sudah hendak ke pulau Datuk,” tutur Sarina. Shaari hanya mengangguk sedikit. Dia sudah maklum mengenainya.
“Datuk hendak pergi dengan kami, atau datang kemudian?” Anita menjuihkan bibirnya mendengar pertanyaan itu. ‘Sarina ni tidak habis-habis hendak mempelawa orang tua ini ke pulau. Agaknya apa hajatnya? Apa motifnya?’ Anita menyoal dirinya.
“Datang di hari terakhir shootinglah bagus. Biar budak-budak lain balik dulu. Lepas tu bolehlah kita enjoy sakan.” Sahut Amin.
“Ini yang saya susah hendak beritahu. Saya harap Anita dan Sarina tidak kecil hati ataupun kecewa. Besok saya ada a very important corporate meeting selama seminggu mulai esok. Klien saya dari Germany hendak datang untuk menandatangani MOU antara bisnis kami.” Ujar Shaari melepaskan keluhan yang lelah dan amat mengecewakannya.
Anita pula merasa girang dan lega sekali. Kemudian berpura-pura merasa turut kecewa kerana aral yang menghalangi langkah Datuk Shaari yang hendak mengganggu kestabilan emosinya kerana keberadaannya di pulau kelak.
“Laa... betul ke ni Datuk?” Tanya Anita seakan bersimpati.
“Saya betul-betul sedih. Malam tadi saya langsung tidak dapat tidur memikirkan hal ni.”tukas Datuk Shaari dengan mimik muka yang sedih dan muram. Anita menekan perutnya agar tidak tertawa melihatkan telatah Datuk itu.
“Sebab tu selepas subuh tadi Datuk call Sarina, ajak makan hari ni, hendak beritahu hal nilah…” Sarina tersedak. Anita menjegil menerjah anak matanya. Berusaha dielaknya pandangan tajam menikam temannya itu.
Dia tersenyum membalas jegilan mata Anita yang bercahaya dengan api kemarahan itu. ‘Rupanya ini kerja kau ya! Sarina. Nanti kau, sekejap lagi kau rasalah penangan aku.’
* * *
Sesampai di rumah setelah pertemuan dengan datuk Shaari yang direncanakan Sarina itu, Anita menghamburkan api kemarahan yang membara di dadanya terhadap Sarina. Baginya perbuatan Sarina itu sudah terlalu melampau. Tidak boleh dibiarkan permainan Sarina yang menjejaskan reputasi imej gadis mulia yang diertahankannya selama ini berterusan. Kestabilan emosinya begitu terganggu. Dan dia tidak dapat menerimanya.
“Ini amaran terakhir Ina. Kau bawak aku jumpa orang tua tu lagi siap kau!” jari telunjuknya di tuding ke muka Sarina. Wajahnya merah bera kerana amarahnya.
“Apalah kau ni…asyik marah aje dari tadi. Gatal dia pun tengoklah apa yang kau dapat. Kau ingat kau mamu ke beli handbag macam tu. Branded gila. Aku rasa harganya lebih dari seribu.”
“Peduli apa aku, seribu ke sejuta ke! Yang kau perlu tahu aku tak suka dan aku tak mahu ada sebarang kaitan dengan datuk tu. Kau faham tu. Sematkan kemas-kemas di dalam batu jemala kau tu.”
“Janganlah begitu Nita. Kita tu berkawan saja. Datuk tu takkanlah sampai nak ajak kau tidur…” Kalimat itulah yang paling tidak digemarinya. Mencerlang matanya menentang wajah Sarina.
“Berani dia nak ajak aku begitu…belum apa-apa kasut aku dah sampai ke mukanya.”
“Garangnyalah kau ni. Belajar tinggi-tinggi tapi bodoh lagi. Tak tau nak ambil kesempatan pada peluang yang berada di hadapan mata. Datuk tu bukan sebarang orang. Antara orang yang terkaya di bandaraya ni tau...”
“Sedapnya mulut mengata aku. Akukah yang bodoh atau kau? Kau sanggup buat apa saja demi hadiah…demi dapat bergaul dengan orang kaya macam tu. Orang tua tak sedar diri. Kau tak malu ke bergaul dengan orang macam tu. Dia tu sudah sebaya dengan ayah kau tau…” Sarina merasa terpukul dengan kenyataan Anita itu. serta-merta digri kemarahannya turut mencanak.
“Hey…kau nampak aku tergila-gilakan orang tua tu? Kau ingat tidak ada orang muda yang nakkan aku. Okay kau cabar aku ya… tak apa. Kau tunggu dan lihat.”
“Aku tak cabar kau. Bukan itu niat aku. Tapi selama ini aku tengok kau asyik melayan orang tua gendut je…” Sinis sekali kenyataan Anita itu. Walau dia sedang menggeram marahnya tetapi sikap Sarina yang tampak bengang dan kebingungan kerana sindiran pedasnya namun jauh di sudut hatinya dia merasa bersalah kerana menyebabkan emosi Sarina begitu.
“Kau jangan nak cari pasal dengan aku Nita!”
‘Sebenarnya siapa yang cari pasal dulu? Kau ke aku?’ Anita bermonolog.
“Ah…sudahlah…malas aku nak layan kau.”

Saturday 25 January 2020

ASSYURA AKHIR

ASSALAMUALAIKUM

PERKONGSIAN ILMU:
BAHAGIAN AKHIR SURAH 42: ASY-SYU'ARA (Mesyuarat) Ayat:
45 - 53.
"Ana pimpin bacaan ayat 45 hingga akhir..."
"Baik Cikngah..." Puan Rahana akur dengan permintaanku.
Suara Puan Rahana yang lantang dan jelas, memimpin bacaan kami petang itu di Surau Sri Aman.
Selesai bacaan secara bertalaqqi, Aku memulai tafsir.
"Ayat 45: Merupakan Ancaman Akhirat. Orang2 zalim kerana syirik, akan melihat seksaan dipanggang atas api neraka. Mereka tunduk, takut dan malu. Orang2 bersalah, tak berani pandang wajah orang lain kerana malu. Ketika itu orang- orang yang beriman sempurna berkata: Orang2 yang derhaka kepada Allah dan keluarga mereka juga derhaka kepada Allah, pada hari kiamat mereka rugi. Mereka kekal dalam azab neraka."
"Ya Allah takutnyaa..." Kedengaran suara-suara sayu.
"Ayat 46 pula, Allah SWT beritahu tiada siapa yang boleh tolong mereka dalam neraka. Hanya Allah SWT sahaja boleh tolong. Sesiapa yang Allah SWT sesatkan, tiada petunjuk dan hidayah daripada- NYA."
"Ayat 46, Oleh itu wahai hamba-hamba terimalah seruan tauhid. Terima al Quran. Sembah Allah SWT dan minta tolong hanya kepadaNYA. Orang-orang berdosa tidak mampu menafikan dosa- dosanya. Semua tercatat dalam buku amalan dan semua akan dihitung."
"Ayat 48, Allah SWT menjelaskan tugas Nabi Muhammad saw menyampaikan wahyu yang diperintahkan, semua sekali. Kalau mereka tidak terima, tak apa..."
"Ayat ini juga menganjur kan supaya kita berdakwah kerana dakwah itu sunnah."
Mereka hanya mendiam kan diri. Mendengar bait-bait tazkirahku. Aku menyambung tafsir, masih ayat 48.
"Orang-orang yang syirik apabila dapat nikmat dunia mereka gembira. Tidak bersyukur. Apabila mereka ditimpakan musibah kerana dosa-dosa yang mereka lakukan. Pasti mereka putus asa, kecewa dan tidak sabar."
"Ayat 49 pula, Dalil Aqli. Dalil yang dapat dilihat untuk kita berfikir. Kita dapat lihat bukti2 yang besar: Allah SWT jadikan Langit dan Bumi. DIA menciptakan apa yang dikendakiNYA."
"Ada orang, Allah SWT beri anak-anak perempuan sahaja. Seperti Nabi Lut as dan Nabi Shuib as. Ada orang diberi anak lelaki sahaja. Seperti Nabi Ibrahim..."
"Anak2 Ana lelaki sahaja..." Kata Puan Maimunah.
"Tak apa, dapat anak perempuan Express. Boleh menantu perempuan.." Balas Puan Rohana.
"Ha...ha..." Semua tertawa.
Begitulah kelas kami. Perlu gurau-senda, supaya tidak mrngantuk. Petang2 begini biasanya sedap tidur kan....
"Ayat 50..." Aku menyambung tafsir dalam tawa yang masih tersisa.
"Ada orang Allah kurniakan anak lelaki dan perempuan, seperti Nabi kita saw. Ada orang mandul, tak ada anak, seperti Nabi Yahya dan Nabi Isa. Semuanya dengan kehendak Allah SWT."
"Ayat 51, Cara2 wahyu diturunkan; Syariat kepada semua Nabi, manusia terima wahyu daripada Nabi masing-masing."
"Cara 1: Allah SWT beri ilham kepada Nabi.
Cara 2: Di sebalik dinding. Contoh Nabi Musa as terima wahyu hanya mendengar suara Allah SWT, tanpa melihat wajah Allah SWT.
Cara 3: Allah SWT utus Malaikat Jibril, yang menjelma rupa manusia lelaki sampaikan wahyu. Cara ini paling banyak untuk sampaikan wahyu."

Friday 24 January 2020

TAFSIRAN YASIN 2

ASSALAMUALAIKUM

SALAM JUMAAT MULIA

PERKONGSIAN ILMU
SAMBUNGAN SURAH 36: YASIIN. Ayat 6 - 12.
"Ayat enam, Tujuan al Quran diturunkan. Allah SWT memerintahkan Nabi Muhammad saw memberi peringatan kepada kaumnya, Musyrikin Mekah." Aku menyambung tafsir.
"Sebelum ini tidak ada nabi-nabi yang memberi peringatan dan amaran kepada mereka. Menyebab kan amalan-amalan mereka jauh daripada agama."
"Ayat tujuh pula, Allah SWT beritahu awal-awal kepada Rasulullah, sedikit sahaja orang yang mahu beriman. Jika enggan beriman, setelah didakwah mereka akan diazab. Diazab di mana?"
"Neraka..." Serentak mereka menjawab.
"Ayat lapan, Ancaman Akhirat; Orang-orang yang enggan beriman ini, di dunia mereka berjalan dengan sombong. Di akhirat tangan mereka dibelenggu, diikat di batang leher dengan rantai. Menyebabkan dagunya terdongak ke atas."
"Ayat sembilan; Allah SWT tutup dan sekat pandangan mereka dari hadapan , belakang dan atas. Apabila ini berlaku cahaya hidayah dan kebenaran tidak dapat masuk kepada mereka."
"Ayat sembilan ini, dulu Mama ajar sebagai doa. Kalau naik motor tak ada lesen atau lalu depan polis, baca doa ini supaya polis tak nampak." Anom bersuara.
Anak-anakku yang lain mengangguk -angguk, tanda setuju.
"Dulu Mama jahil. Ustaz ajar begitu. Mama ikut. Kemudian ajar anak-anak, ajar pelajar-pelajar Mama. Nampak polis baca ayat ni. Sampai di pemeriksaan imigresen baca ayat ni."
"Sekarang dah belajar tafsir, dah faham maksudnya. Kita taubat, jangan buat lagi." Aku berpesan kepada anak-anak dan menantu- menantu.
"Ayat 10: Golongan yang menolak wahyu, degil. Mereka yang tidak mahu mendengar al Quran, tidak akan dapat hidayah."
"Ayat 11: Sifat Orang-orang yang mahu menerima al Quran. Mereka membenarkan wahyu dan memahami maksud dengan bertalaqqi. Macam majlis ilmu kita sekarang ni."
"Orang-orang beriman sempurna, takut kepada Allah SWT, taat kepada perintah-NYA dan jauhi maksiat walaupun orang tak nampak. Takut kepada azab di akhirat, walaupun tak nampak lagi azab."
"Berita gembira, mereka mendapat keampunan Allah dan diberi pahala. Semoga kita termasuk dalam golongan ini."
"Aamiin..." Mereka mengaminkan doaku.
"Ayat 12: Allah SWT berkuasa menghidup orang yang telah mati. Semua amalan kita ditulis dalam buku amalan kita dan disimpan di Lauh Mahfuz."
"Bukan disimpan di illiyin ke?" Afya mengemukakan soalan.
"Simpan roh tu." Jawabku.
"Roh-roh orang baik yang disimpan di illiyin, di langit ketujuh. Roh-roh orang jahat disimpan dalam sijjin yang terletak di dalam perut bumi." Aku menjelaskan. Kemudian menyambung tafsir.
"Sesiapa yang tunjuk kebaikan cara Nabi, Si mati dapat pahala. Contoh Abah ajar mengaji Quran ketika kamu kanak-kanak.
Sekarang kamu sudah dewasa, ajar mengaji kepada anak-anak kamu pula. Abah juga dapat pahala."
"Sabda Nabi Muhammad saw yang bermaksud; Apabila mati seorang manusia, putus semua amalannya kecuali tiga. Iaitu sedekah jariah. Ilmu yang bermanfaat dan doa anak yang soleh."
"Oleh itu sebelum kita mati, buatlah kebaikan untuk kita tinggalkan. Kesan- kesan kita ke masjid dapat pahala. Kesan-kesan kita ke majlis ilmu pun dapat pahala."
Menjelang waktu Isyak. Majlis ilmu kami berakhir. Insyaallah bersambung minggu hadapan.

MyBloglist