بِسْــــــــــــــــــمِ اﷲِالرَّحْمَنِ اارَّحِيم
ASSALAMUALAIKUM....

CORAT-CORET PAK ENGKU....
PANTUN-PANTUN PERBIDALAN PAK ENGKU
DI POHON JELATANG SI BURUNG BUTBUT,
BUTBUT BERHIMPUN DI TEPI BELUKAR,
BELUKAR TERJARAK DARINYA LEMBAH;
KOK SALAH SEBATANG HENDAKLAH DICABUT,
KOK SALAH SERUMPUN ELOKLAH DIBONGKAR,
KOK SALAH SEPARAK BAIKLAH DIRAMBAH.
Perbidalan: Jika salah sebatang dicabut, jika salah serumpun dibongkar,
jika salah separak dirambah.
Maksudnya: Hukuman haruslah dijatuhkan setimpal dengan kesalahan.
Erti perkataan: 1) Parak adalah kebun atau ladang.
2) Rambah bererti tebang atau tebas (pokok, tumbuh-tumbuhan).
DARI LANGKAN NAMPAK SEAKAN,
AYAM KURIK MENCARI MAKAN,
DI TANAH BERBINGKAH DI TEPI KALI;
SALAH MAKAN KITA MUNTAHKAN,
SALAH TARIK KITA KEMBALIKAN,
SALAH LANGKAH SURUT KEMBALI.
Perbidalan: Salah makan memuntahkan, salah tarik mengembalikan,
salah langkah surut kembali.
Maksudnya: Kesilapan dalam sesuatu pekerjaan hendaklah dibaiki.
Erti perkataan: Ayam kurik ialah ayam yang bulunya berbintik-bintik.
KAIN DIPINJAM KAIN BERLERANG,
KAIN BATIK KOYAK BERTAMPAL;
ADAT MEMINJAM HARTA ORANG,
SUMBING MENITIK PATAH MENGIMPAL.
Perbidalan: Sumbing menitik patah mengimpal.
Maksudnya: Barang yang dipinjam kalau rosak hendaklah diperbaiki.
HANYUT TERAPUNG SI BATANG KASAP,
DAHAN YANG MATI MENIMPA PERAHU;
TERBAKAR KAMPUNG KELIHATAN ASAP
TERBAKAR HATI SIAPA YANG TAHU.
Perbidalan: Terbakar kampung kelihatan asap, terbakar hati siapa tahu.
Maksudnya: Kesusahan seseorang jarang dipedulikan orang lain kerana,
tiada kelihatan olehnya.
DIWAKTU SUBUH PERGI KE TEBAT,
KAIN YANG JARANG DIBUAT CUKIN;
MULUT TABUH DAPAT DI SUMBAT,
MULUTNYA ORANG MANAKAN MUNGKIN.
Perbidalan: Mulut tabuh dapat disumbat, mulut manusia bagaimana
menyumbatnya.
Maksudnya: Jika sesuatu rahsia diketahui orang nescaya tersebarlah
khabarnya.
Erti perkataan: Cukin ialah kain basahan yang pendek (biasanya
dipakai ketika mandi.
ANAK ARNAB DI TEPI REBA,
LARI KE DAIK TERLANGGAR BAJI;;
BUNGKAL GENAP MENAHAN CUBA,
EMAS BAIK MENAHAN UJI.
Perbidalan: Bungkal genap menahan cuba, emas baik menahan uji.
Maksudnya: Keutamaan sifat seseorang dapat dicuba dan diuji.
Erti perkataan: Padi kernap ialah padi semaian untuk menggantikan
pokok yang mati.
LETAK DI BIRAI KAIN YANG REJA,,
DISIMPAN APALAH AKAN GUNANYA;
IBARAT KELARAI SALAH TAJA,
BERMULA SALAH SUKAR AKHIRNYA.
Perbidalan: Kelarai salah taja.
Maksudnya: Pekerjaan dari mulanya sudah salah..
GULAI SEMANGKUK SUDAH DIKENYAM,
TAK SEDAP LAGI DIBUBUH SERAI;
SUDAH BONGKOK DEK MENGANYAM,
MASIH LAGI SESAT KELARAI.
Perbidalan: Bongkok dek menganyam, sesat (salah) kelarai.
Maksudnya: Sungguhpun telah cekap dalam sesuatu pekerjaan
masih juga membuar kesilapan.
PANAS TERIK SAWAH DIBAJAK,
TERNAMPAK RUSA TEPI TELAGA;
TIDAK SERIK DIMAKAN TAJAK,
ESOK LUSA KE BENDANG JUGA.
Perbidalan: Tidak serik dimakan tajak, esok lusa ke bendang juga.
Maksudnya: Kerana mencari wang (harta) tidak menghiraukan penat
atau kesusahan.
SEKIAN. TAMMATUL AL KALAM.

14 comments - "TIDAK SERIK DIMAKAN TAJAK, ESOK LUSA KE BENDANG JUGA..."

Khai♥Rin : anies delete icon 17 November 2014 at 22:15

Tersangat2 indah...

Bin Muhammad delete icon 18 November 2014 at 08:09

Pantun bersama bidalan... Sungguh indah dan punya maksud2 yg tersirat. Orang2 sekarang mau tak faham kalau xdiberi penerangan.

Ahmad Zu Mal Md Rayi delete icon 18 November 2014 at 10:16

Gubahan kata indah membawa maksud tersirat tetap memberi kefahaman buat kita tanpa mengguris hati...

Najib Ariyan delete icon 18 November 2014 at 11:42

indahnya pantun... tapi saya rasa saya takleh nak berpantun yg enam kerat lah... kalau dapat yg 4 kerat tu pun orang dah kagum kemain hahaha

paridah delete icon 18 November 2014 at 15:05

benar sekali....tq anies.

paridah delete icon 18 November 2014 at 15:08

kak ni sentiasa teruja dgn karya2 pantun perbidalan pak engku pada kak sgt indah unik n perlu dikongsi bersama...tq BM.

paridah delete icon 18 November 2014 at 15:10

INDAHKAN SASTERA MELAYU LAMA....TQ ZUMAL.

paridah delete icon 18 November 2014 at 15:13

Pantun biasalah kalau nk tekankan maksudnya elok enam kerat...dpt susun 4 kerat pun ok tq najib...

budi purnomo delete icon 18 November 2014 at 15:25

penuh petuah dan kaya makna :)

~Kak Nah Backyard (^_^)~ delete icon 18 November 2014 at 15:40

indahnya bahasa.. pantun lama memang berbekas dihati..

babYpose delete icon 18 November 2014 at 18:21

kena baca, tuntut ilmu, memahami isu, baru tahu hehe :)

Ainnul Yaqin delete icon 18 November 2014 at 19:17

keren menyimpan banyak makna ini :)

Nabil Fayadh delete icon 19 November 2014 at 09:03

makna nya sangat dalam sekali

Gee Lion delete icon 19 November 2014 at 19:09

baru tahu perkataan cukin itu nama lain bagi kain basahan.. dapat tambah perkataan baru lagi hari ini.. ^_^

Terima kasih bersama Karyaku...Paridah Ishak. Komen anda amat dihargai... “Semoga Allah SWT akan membalas dirimu dengan kebaikan yang banyak dan semoga Allah SWT akan membalas dengan balasan yang terbaik.”