Thursday, 23 April 2020

RAYUAN HAMBA..

ASSALAMUALAIKUM


PIC GOOGLE IMAGES (C)










RAYUAN HAMBA

Bismillah wadah membuka karangan
selawat dan salam rasul junjungan
tahmid tahlil tasbih zikir seiringan
hamba merayu mohon perlindungan
Ya Allah! Ya  Rahim! Ya  Rahman! Ya  Safi!
rahmat-Mu luas tidak bertepi
hamba nan kerdil menghampar kusut
Mohon ampunan taubat nasuha
tawadduk sujud  penuh takwa
Allah Pencipta alam yang laha
Corona virus mengajar hamba
tidak mendomba cetus sengketa dengan selamba
damba harmoni damai tiasa
Allahurobbi yang maha Karim
tanda ingatan salam dikirim
cinta sejati yang maha Rahim
menangis hamba bimbang ke jahim
Ghairah bersungguh mengatur rencana
destinasi sana penghujungnya mana
disergah wabak virus corona
tersentak lena gundah gulana
Hamba berdosa memanjat doa
menadah tangan bersama-sama
virus corona lupus selama
sedu merayu luahan sukma.

PARIDAH ISHAK
Desa Melor Serendah
6/4/2020

Wednesday, 22 April 2020

SALAM RAMADAN

ASSALAMUALAIKUM





SALAM RAMADAN

Ramadan karim akan menjelang
disambut ria melerai rindu
hati menangis kenang yang hilang
rahmat hikmat-Nya terlupa sendu

Aral  merintang langkah lintasi
wabak bahaya tidak menggugah
segala cara cuba atasi
saat diuji bertambah gagah.

Beriman teguh pegangan diri
puasa serta amalan sunnah
dilambung dura sabar mandiri.
cekal semata mencita jannah

Salah dan silap mohon maafkan
salam Ramadan hamba hulurkan


PARIDAH ISHAK
Desa Melor Serendah
21/4/2020

Tuesday, 21 April 2020

MENANAM PADI

ASSALAMUALAIKUM


MENANAM PADI



Menanam padi cara dahulu agak rumit sedikit pada pandangan dan pengalamanku. Tukwanku memiliki beberapa relung tanah bendang yang akan ditanam dengan pokok padi pabila tiba musimnya. Tukwanku akan membersihkan bendang terlebih dahulu daripada rumput liar pelbagai jenis yang tumbuh selepas beberapa bulan saja terbiar. Jerami padi hasil tuaian lalu dibakar atau diletak saja di atas batas yang memisahkan antara petak bendang.
            Setelah kelihatan bersih dan lapang tukwan akan membajak tanah bendang pula, pembajak tanah yang tajam berkilat itu akan ditarik sang kerbau balar peliharaan tukwanku. Bapa saudaraku turut membantu. Beberapa petak kecil disediakan untuk menyemai benih padi yang direndam selama beberapa hari sehingga bertunas kecil. Taburan benih menumbuhkan pokok padi muda yang menghijau.
            Kerja mencabut anak benih dan diikat seberkas kecil dilakukan emak-emak saudaraku. Aku turut membantu dan bersedia sekiranya betis dijengkal lintah. Uih takut juga! Puas hendak menanggalkannya. Kelihatan berdarah betis bekas digigit lintah. Tapi sakitnya tidak terasa.
            Anak padi muda itu akan diletakkan di atas batas yang mana petaknya akan dtanam dengannya. Tika ini jiran sekampung akan turut membantu ‘berderau’. Amalan berderau akan mempercepatkan selesainya kerja menanam padi. Tuk selalunya akan menyediakan pulut yang dimakan dengan nyiur kukur dan ikan kering goreng sebagai sarapan pagi mereka yang datang berderau.
Dan menarilah kuku kambing ke kiri ke kanan menikam akar padi muda ke dalam tanah ditarikan penanam padi. Panas yang memancar bahang membakar diri dilindungi dengan terendak mengkuang yang dibawa.
            Akhirnya siap semua petak bendang ditanami padi. Siapa yang datang berderau tuk atau emak saudaraku akan berderau pula di bendang mereka. Menghijau subur padi sambil tukwan membaja dan menjaga gangguan serangga perosak. Hari berganti dan pokok pokok padi mulai berisi. Padi pulut tuk tanam sedikit saja untuk kegunaan keluarga.  Setelah padi pulut kelihatan agak kekuningan tuk akan mengetamnya sedikit. Padi pulut yang hijau tapi sudah berisi diketam juga. Padi pulut yang kuning  akan dijadikan   emping sementara yang masih hijau dijadikan ringi.
            Pada malam bulan mengambang penuh diterangi cahaya pelita ayan menyuluh kelam, saling bertingkah alu turun ke lesung menumbuk padi pulut yang digoreng untuk dijadikan emping. Keluarga dan jiran yang turut serta nikmatinya dengan menggaul kelapa muda juga sedikit nisan nipah. Sedapnya tak terkata. Sementara ringi yang hijau lagi harum dimakan begitu saja. Untuk minuman pembasah tekak biasanya air nira nipah dan air kopi pekat.
            Kalau musim mengemping bertandang maknanya padi yang ditanam di bendang semakin menguning emas dan boleh dituai bila-bila saja. Orang-orang dipacak di tengah bendang untuk menakutkan burung ciak yang berkawan menghurungnya. Jika dibiarkan tentu berkurang rezeki yang diperolehi heh..heh..
            Jiran sekampung akan datang berderau memotong padi pula. Sebelum itu tuk akan mengajak mereka makan sirih pinang dulu disamping menambah tenaga dengan hidangan pulut tanak dengan nyiur kukur dan ikan kering yang digoreng.
            Memotong padi memang suka kulakukan. Mudah saja. Cuma cekak serumpun padi dan dipotong dengan pemotong padi. Kemudian letakkannya di atas batang padi yang telah dipotong. Tukwan akan mengambilnya dan membawa ke bekas tong padi untuk memukulnya. Untuk memisahkan padi daripada rumpunnya perlu memukulnya beberapa kali di dalam tong yang diletakkan tangga kecil.
            Suasana itu hanya indah dalam kenanganku. Tidak kelihatan lagi kini. Menanam padi tidak lagi melalui cara begitu. Bendang tidak dibajak sang kerbau tapi traktor. Para ibu dan gadis tidak terbongkok-bongkok di bendang menanam padi dengan kuku kambing. Traktor juga digunakan untuk menabur benih. Tiada lagi acara berderau memotong padi di bendang dan mengunyah sepiak sirih pinang. Mesin padi kini memudahkan urusan penuaian.   

Monday, 20 April 2020

KERIANG DOT

ASSALAMUALAIKUM

                                                                                               PIC GOOGLE IMAGES (C)

KERIANG DOT

Sekali melintas kat wall FB gambar buah keriang dot. Terkedu memandangnya. Ingatan PI mengimbau kenangan tika kecil dahulu bersama kawan-kawan dan emak saudara yang hampir sebaya dengan PI ke hujung kampung membeli keriang dot daripada pemiliknya juga seorang sahabat sekampung. Pokoknya besar dan tinggi. Lebat juga buahnya. Kalau hendak mengambilnya terpaksalah memanjat pokoknya atau mengaitnya.
Keriang dot berbuah sekali saja dalam setahun. Kata orang kampung, inilah anggur Malaysia. Buah yang muda berwarna hijau. Pabila tua sedikit, merah pula warnanya. Setelah matang dan boleh dipetik warnanya kehitaman. Uniknya kejadian Allah. Subhanallah.  Rasanya manis. Sedap juga. Ada biji kecil di tengahnya.
Pokok keriang dot ni biasanya tumbuh di tanah yang agak tinggi sedikit di tengah kawasan bendang. Pohonnya merendang dan dijadikan tempat berteduh petani yang merehatkan diri setelah berpenat lelah mengerjakan bendang. Kini agak sukar menemui buah keriang dot dijual di mana-mana. Tapi Alhamdulillah mak saudara PI telah menanamnya di tepi rumahnya. Dapatlah  merasa keenakan buah keriang dot ini kalau pulang ke kampung kebetulan bertemu musimnya.
Kata seorang sahabat pokok keriang dot berdekatan sekolah di kampungnya telah ditebang kerana ada 'penunggu'. Mungkin dikhuatiri 'penunggu' itu akan mengganggu anak-anak sekolah yang suka memanjat pokok itu mengambil buahnya. Kalau tersilap langkah terjatuh pula tentu membahayakan keselamatan diri.... tapi sepsis pokok keriang dot kartegori langka kini semakin sukar ditemui dan hendak merasa buahnya menjadi payah. Generasi baru tentu tidak lagi mengenalinya jika pokok ini dibiar pupus.

Sunday, 19 April 2020

SALING MEMBANTU

ASSALAMUALAIKUM

Pesan kudapan menyenteng lengan,
menghiris bengkang lama di situ;
barisan depan benteng serangan,
baris belakang sama membantu.
Menghiris bengkang lama di situ,
sentuh merapi bekal dijamah;
baris belakang sama membantu,
patuh PKP kekal di rumah.
Sentuh merapi bekal dijamah,
kana dibelah disiat nanar;
patuh PKP kekal di rumah,
kerana Allah niat sebenar.
Kana dibelah disiat nanar,
getus helaian sena menirus;
kerana Allah niat sebenar,
putus rantaian corona virus.
Getus helaian sena menirus,
tepus menyerlah perang sekali;
putus rantaian corona virus,
hapus masalah girang kembali.

PARIDAH ISHAK
DMS
19/4/2020

Saturday, 18 April 2020

SITUASI

ASSALAMUALAIKUM


LADENI SITUASI

Angkara Covid Sembilan Belas
langkah diatur sekitar rumah
bergiat aktif usahlah malas
semangat hidup tidaklah lemah

Penuhi masa seawal pagi
rutin harian kini berubah
kalau persia tentulah rugi
rungsing dan risau akan bertambah

Bersolat wajib amalan Islam
mengadap Khalik maha Pencipta
persis berganti siang dan malam
wabak terangkat doa dipinta

Hamba nan kerdil kesal dihimpun
hanya pada-Mu memohon ampun



PARIDAH ISHAK
Desa Melor Serendah
18/4/2020

Friday, 17 April 2020

TAFSIR SAMBUNGAN SURAH 21: AL ANBIYA' (PARA RASUL) Ayat: 41 - 44

ASSALAMUALAIKUM

SALAM JUMAAT MULIA


PERKONGSIAN ILMU: SAMBUNGAN SURAH 21: AL ANBIYA' (PARA RASUL) Ayat: 41 - 44.
"Ayat 41: TASLIAH. Iaitu pujukan Allah SWT kepada Nabi Muhammad saw supaya baginda tidak sedih." Aku menyambung tafsir sambil menunjuk nota di papan putih yang kedua.
"Kalau orang ejek-ejek kita, kita sedih tak? Kalau saudara mara mempersendakan kita, kita sedih tak?" Aku melontar tanya.
"Sedih...!" Jawab mereka serentak.
"Begitulah juga Rasulullah sedih. Dan Allah pujuk baginda. Firman Allah SWT;"
"Semua rasul dahulupun diejek-ejek. Rasul-rasul dahulu dipersendakan oleh orang-orang yang ingkar. Allah akan timpakan azab."
"Ayat 42: Allah SWT suruh Nabi Muhammad saw tanya mereka; Siapakah yang dapat menjaga keselamatan kamu pada malam dan siang daripada azab Tuhan Yang Maha pemurah?"
"Tetapi golongan yang ingkar dan degil ini tidak memikirkan demikian. Malahan mereka tetap berpaling ingkar. Tidak mahu mengambil pengajaran daripada Tuhan mereka."
Aku juga menjelaskan contoh Allah SWT turunkan azab. Allah telah timpakan azab kepada golongan ingkar dalam perang Badar. Tentera Musyrikin Mekah kalah teruk. Ramai pemimpin-pemimpin mereka mati dan harta mereka dirampas. Orang-orang Islam mendapat harta rampasan perang dan orang-orang tawanan.
"Ayat 43: Allah SWT suruh Rasulullah saw bertanya lagi; Apakah mereka ada illah-illah lain yang boleh melindungi mereka daripada azab Allah SWT?"
"Illah-illah (patung- patung sembahan) itu pasti tak dapat tolong. Sembahan -sembahan mereka tidak berkuasa menolong diri sendiri. Dan KAMI tidak membantu sembahan- sembahan itu."
"Kalau lalat hinggap atas kepala patung. Boleh tak patung tu halau lalat?" Aku menyoal.
"Tak boleh..." Mereka menjawab.
"Ayat 44: Allah SWT berfirman. Allah biarkan mereka dan datuk nenek moyang mereka hidup dalam kesenangan hingga lanjut usia."
"Tetapi apakah mereka tidak melihat. Setelah kelahiran Nabi Muhammad saw dan baginda dilantik menjadi rasul. Allah SWT telah mengurangi jumlah mereka sedikit demi sedikit. Allah SWT telah menambah bilangan orang yang mendapat hidayah petunjuk."
"Allah SWT tanya; Apakah mereka akan menang?"
"Tak menang..." Norhajar, isteri Amiru memberi pendapat sambil menyuap Si Kembar.
Aku memberi penjelasan.
Ayat-ayat tanya adalah cara Allah untuk menarik perhatian pembaca dan pendengar al Quran.
Majlis ilmu berakhir dengan solat Isyak berjemaah. Suamiku mengimami solat keluarga besar kami.



You and 26 others

10 Comments

Like
Comment

MyBloglist