Friday, 25 November 2016

BERBAHASA LUNAK...

ASSALAMUALAIKUM...



Kata kata lembut yang kita saling mengungkapkan
Sungguh tersimpan dalam bejana rahsia di langit
Satu hari nanti...
Saperti hujan ...
Ia turun ke bumi menghijaukan dunia
Demikian juga dengan kebaikan yang akan berkembang untuk menyebar sehingga kebaikan itu kembali ke kita jua.

Ustazah Siti Nurbaya Usman

BLOG BERMASALAH...

ASSALAMUALAIKUM...



SALAM JUMAAT MULIA...

SEMOGA KITA SEMUA DIRAHMATI DAN BERADA DI BAWAH PERLINDUNGANNYA.

BLOG PI NI BERMASALAH PULA MUTAKHIR NI...WALAU DI KLICK PADA B/BLOGGER TAPI TAK DAPAT NAK BACA BLOG YANG PI ADALAH FOLLOWER JADI MAAFLAH KALAU PI TIDAK DAPAT BW SEPERTI SELALU...YANG MASIH DAPAT PI BW CUMA BLOG YANG DAH DIBLOGLIST...

NAK KLICK/FIX MEMANGLAH TAK RETI...MACAM ULAT PANDANG BATU JER HEH..HEH..BIAR SAJALAH.

MOGA INI CUMA MASALAH SEMENTARA BLOGGER DAN KEADAAN AKAN KEMBALI KEPADA ASAL....AKAN DAPATLAH PI BW KE BLOG KAWAN-KAWAN SEPERTI SELALU...JADI KALAU RINDUKAN PI SINGGAHLAH KE BLOG PI DAN PASTI PI MENGUNJUNG BALAS...TERIMA KASIH.


Thursday, 24 November 2016

WARISAN MOYANGKU

ASSALAMUALAIKUM...

ISTIMEWA BUAT BLOGGER KAKZAKIE DAN SEMUA YANG SUDI MEMBACA CERPEN-CERPEN NUKILAN PI...DIUPLOAD SEMULA CERPEN INI...SELAMAT MEMBACA YA...

Cerpen:
Warisan moyangku.
Karya:
Paridah Ishak.

                                                     WARISAN MOYANGKU


MOYANGKU dianugerahi Allah berbilangan zuriatnya. Ramai juga. Ada lelaki dan ada perempuan penyeri rumah tangganya bersama moyangku yang perempuan isteri kesayangannya. Moyangku itu dalam salah silah keluargaku adalah ayah kepada nenekku dan nenekku pula adalah ayah kepada atokku. Atok adalah ayah kepada ayahku. Begitulah jurai keturunanku yang kalau dikira sekali denganku dan anak-anakku sudah enam keturunan.
Istilah moyang, nenek, atok itu hanya sebutan keluargaku sahaja. Langsung tiada mengena dengan istilah salah silah jurai keturunan yang termaktub dalam buku DBP yang sentiasa dirujuki itu. Dan kebanyakan mereka yang berada dikampungku tidak canggung dan amat faham jika berkait penggunaan kata-kata itu.
Apabila sudah saling memahami tiadalah masalah yang perlu dipolemikkan. Yang sebenarnya istilah yang disebut untuk isteri kepada moyangku dan nenekku itu tidakku ketahuipun. Bagi memudahkannya kusebut saja isteri kepada moyangku dan nenekku dengan gender diri mereka. Tidak menjadi kesalahan yang akan didakwa pun.
Jarak masa moyangku dan kini di keberadaanku jauh juga. Jadi sukar juga untuk mengetahui fakta yang tidak ditulis sebagai manuskrip periwayatan seperti nukilan Tun Seri Lanang yang meriwayat tentang sejarah Melayu. Kisah kesultanan Melayu Melaka daripada penerokaan Parameswara menuju kegemilangan pemerintahan Sultan Mansur Syah hingga kepada runtuhnya kesultanan Melaka angkara serangan Feringgi di era kesultanannya yang terakhir iaitu sultan Mahmud pada tahun 1511. Fakta-fakta begini adalah sahih dan dipersetujui. Sedang fakta tentang moyangku itu hanyaku perolehi secara lisan yang menjadi sejarah warisan keluargaku semata. Yang diperturunkan ceritanya daripada generasi lama kepada generasi baru.
Menurut ayahku, moyangku adalah orang terkaya di kampungku. Tanahnya berelong-relong keluasannya. Rumahnya tersergam indah dan pengurusan harta hasil kerja kerasnya yang bersungguh-sungguh membawa nikmat kepada warga kampungnya yang turut menumpang mencari rezeki dengan kerja-kerja tani di tanahnya. Ada yang menyingsing lengan menoreh getah di kebun-kebun getah moyangku. Ada pula yang sanggup dibasahi peluh keringat bermain lumpur dan lintah sambil menanam padi daripada permulaan kerja penyemaian benihnya hingga penuaian hasilnya di sawah bendang moyangku.
Setiapkali selesai musim menuai padi moyangku akan mengagihkan zakat tanamannya kepada asnaf yang ditentukan. Begitu juga zakat pendapatannya daripada lain-lain punca. Tetapi zakatnya lebih banyak diberikan kepada masyarakat kampungnya yang sangat dikenali siapa dan kesusahannya pada tahap mana. Bertambah-tambah lagi harta moyangku itu kerana sikap tidak lokek mengeluarkan zakat itu bukan akan menyusutkan harta pengeluar zakat itu malah menyuburkannya lagi. Firman Allah, “Dirikanlah solah dan keluarkanlah zakat,” menunjukan betapa pentingnya ibadah itu dilakukan bagi umat Islam. Ganjarannya tentu berpahala besar dan diberkahi Allah kehidupan di dunia dan di akhirat. Janji Allah yang tidak mungkir. Yang mana satukah nikmat Allah yang akan kamu dustakan?
Demi hari berlalu moyangku semakin uzur kerana kelelahannya berkerja keras mengumpul harta daripada usia muda hingga lanjut. Tanda-tanda baginya ke alam baqa meninggalkan alam fana yang sementara sudah dirasakannya. Mulalah moyangku berkira-kira hendak mencari pengganti  pengurusan baru kepada timbunan harta yang telah dicarinya dengan amat susah payah itu. Pilihannya tentulah lebih menjurus kepada anak sulungnya kerana daripada sudut pemerhatian mata kasarnya anaknya yang ini sangat wara’ dan sentiasa tidak pernah  meninggalkan tuntutan agama dan rukunnya yang lima itu. Isteri kepada anak pertamanya ini juga alim dan sopan santun orangnya. Bijak membawa dirinya dalam lingkungan keluarga mertuanya. Wajahnya yang manis dan mahkotanya yang sentiasa dilindungi kerudung labuh itu menyejukan hati yang memandangnya.
Kelebihan kewibawaan anak sulung dan pasangannya tidak pula menyebabkan moyangku tidak menilai calon-calon pengganti daripada kalangan anak-anaknya yang lain. Kesemuannya disenarai pendek termasuk anak-anak perempuannya. Pada hemat moyangku anak perempuan keduanya walau sangat sederhana keterampilannya namun seorang yang sangat penyabar menangani situasi dan amat bijak mengurusi kewangan milik keluarga dengan telus lagi jujur. Apa saja pengeluaran wang untuk kegunaan ahli keluaarganya yang menjadi ahli kepada keluarga yang menyumbang kepada kekayaan keluarganya perlu melaluinya permohonan itu.
Bendahari kewangan keluarga yang sangat penting dalam proses keluar masuk wang itu tidak pernah diremehkan moyangku walau ianya seorang perempuan yang kejadian-Nya bersifat lemah dan berasal dari rusuk kiri nabi Adam alaihissalam. Bagi moyangku wanita memang jelas keupayaan mentadbir urusan penting seumpama Ratu Balqish yang memakmurkan Saba’ yang dicitrakan burung hud hud kepada baginda nabi Sulaiman alaihissalam.
Dalam keadaan moyangku  yang masih menghalusi keputusannya dengan lebih teliti, kehendak Allah mendahului perancanganya. Moyangku dipanggil mengadap Ilahi dalam sujudnya yang lama di dinihari yang dingin. Kesedihan menyelubungi suasana sepinya perpisahan. Namun kehendak Allah demikianlah. Walau tangis walau duka tidak akan mengubah apa-apa.
Pengurusan harta kekayaan moyangku segera diambil alih anak sulungnya demi melancarkan pengurusan organisasi keluarga dengan janji meneruskan setiap usaha yang telah dirangka moyangku. Kesemuanya telah tercatat kemas dalam surat wasiat moyangku. Pewarisan hartanya diagihkan kepada yang berhak. Moyangku tidak lupa mewakafkan beberapa keping tanahnya yang ratusan relong itu kepada badan-badan kebajikan yang memerlukannya. Walau pemilikan haknya kepada moyangku tidak berubah tetapi ahli keluarganya tidak patut menuntutnya.
Moyangku mengambil sedikit daripada  hartanya yang bertimbun banyak untuk dikekalkan kegunaannya yang abadi di akhirat sana secara mewakafkannya. Itulah hartanya yang kekal menjadi miliknya yang sebenarnya yang dibawa mengadap-Nya Yang Esa. Moyangku sangat beringat orangnya. Barangkali setelah meninggalkan dunia waris-warisnya perlahan-lahan melupakannya tanpa iringan doa dan amal soleh yang dikirim kepadanya. Dan tiadalah lagi pahala yang tersalur kepadanya untuk membantunya di alam kubur.

Sebagaimana menurut cerita ayahku lagi tanpa diduga berubah drastik gaya hidup anak sulung moyangku setelah berada di atas timbunan harta peninggalan moyangku yang menyilaukan matanya. Seronok sungguh anak sulung moyangku itu berbelanja sesuka hatinya. Rugi kufur nikmat dengan hanya mengabaikan harta yang banyak berada di ribaannya. Mungkin itu yang bermain di fikirannya. Mesti dibelanjakan sebaik-baiknya rezeki yang dilimpahi Allah itu.
Kalau dulu moyangku  ke luar negara untuk mengerjakan wajib haji dan umrah hanya beberapa kali sepanjang hidupnya kini amalan begitu bukan pilihannya. Seluruh Asia tenggara dari Indonesia, India, Thailand, Myanmar, Kemboja, Laos, Vietnam telah dilawati. Kalau hendak ke Singapura hanya lintasi tambak Johor saja dan boleh dilakukan setiap hari jika dia mahu kerana dekatnya negara pulau itu dengan kampungnya.
Seronok tidak terkata dirinya berliburan sambil berhiburan bersama kawan-kawan dan kaum kerabatnya yang sefikiran dengannya. Tidak hairan untuk menambun hutang dengan membeli kenderaan mewah yang berbilangan berjenama terkenal bagi kegunaannya menayangkan kemewahan harta yang diwariskan kepadanya
Isterinya yang bertudung litup itu juga semakin rajin ke Paris memilih fabrik berkualitii untuk dijadikan busana yang boleh dipasangkan dengan tudung yang dibeli di Dubai yang sering menganjurkan fiesta peragaan fesyen sedunia selalu.
Bersungguh hati anak sulung moyangku itu dan isterinya berbelanja dan bermewah-mewah dengan harta peninggalan moyangku. Kegembiraannya turut dikongsi bersama suku-sakatnya yang bertandak mengikut rentak lagunya sehingga adik beradiknya yang lain seakan menyetujuinya juga. Sebab anak sulung moyangku bijak mengambil hati adik-adik beradiknya yang lain dengan turut menghamburkan sedikit harta amanah warisan moyangku itu kepada mereka juga.
Kecuali seorang saja anak moyangku yang gelisah dan jengkel hatinya kerana wang amanah moyangku yang diwasiatkan untuk kegunaan semua waris-warisnya dan demi kebajikan kampungnya yang kecil itu semakin menyusut kira-kiranya. Wang keluarnya besar sekali jumlahnya mengatasi jumlah wang masuk yang amat sedikit. Jikalau terlalu kurang wang di dalam akaun amanah warisan keluarga bagaimana mahu membantu anak-anak waris yang ingin menyambung pelajaran, membantu waris-waris yang miskin dan menunaikan hajat waris-waris yang ingin beribadat haji seperti yang sering dilakukan moyangku. Kalut sekali bendahari harta amanah keluarga itu memikirkannya.
Bendahari amanah harta warisan moyangku walau berbuih mulutnya menyatakan saranan kepada abang sulungnya agar tidak berbelanja terlalu berlebihan tidak dipedulikan dan diambil hirau. Gaya hidup pemegang amanah harta warisan moyangku yang suka bermewah-mewah dalam berbelanja masih berterusan. Pepatah yang mengatakan “gunung yang tinggi kalau setiap hari digali lagikan runtuh,” bertepatan sekali jika menjurus kepada pengurusan harta yang tidak cekap sedang mendekati kealpaan sikap anak sulung moyangku itu.
Persediaan menghadapi muramnya suasana kehidupan lantaran tiba-tiba jatuh miskin langsung tidak ada. Seperti yang dilakukan nabi Yusuf alaihissalam dalam menjaga perbendaharaan negara Mesir sewaktu baginda sebagai bendaharinya. Setiap tujuh tahun akan berlaku kemuraman ekonomi setelah tujuh tahun berada dalam suasana mewah yang amat menyelesakan. Jadi sebelum terperangkap dalam kemelesetan kewangan yang amat menyulitkan itu haruslah membuat perancangan persediaannya.
Harta berupa wang, emas, perak harus disimpan dan digunakan saat terdesak memerlukan. Bukannya dengan berbelanja sesuka hati seolahnya tiada hari esok yang menjelang lagi.
Pendapat yang disuarakan anak kedua moyoangku selaku bendahari harta warisan amanah moyangku yang diremehkan saja itu kini telah menunjukkan kesannya pabila tanah-tanah tani yang subur dan menyumbang kepada penghasilan harta tidak seperti dulu lagi.  Sawah padi yang berelong-relong tinggalan moyangku tidak boleh lagi dituai hasilnya kerana serangan penyakit bena perang. Penghasilan daripada kebun getah tinggalan moyangku tidak boleh diandalkan juga kerana harganya yang amat rendah. Harga komiditi dunia yang tertakluk kepada harga pasaran semasa menurut permintaan pembelinya kini sentiasa menurun hari demi hari.
Akhirnya apa yang dibimbangi anak kedua moyangku ternyata. Satu persatu tanah yang berelong-relong warisan moyangku bertukar tangan kepada pembelinya demi melunaskan hutang sedia ada dan hutang tertunggak yang dibuat anak sulung moyangku walau ditegahi adiknya iaitu anak kedua moyangku. Tiadalah lagi harta amanah warisan moyangku yang boleh diuruskan kira-kiranya oleh bendaharinya. Dengan sedih hatinya menutup buku-buku kira-kira yang selama ini tersusun kemas dalam ofis kerjanya.
Namun harta moyangku yang diwakafkan masih kekal sebagai tanda kepada waris-warisnya bahawa moyang mereka seorang yang kaya raya. Kaya harta dan kaya hati nurani yang murni juga.  Walau harta-harta wakaf itu telah cuba untuk diambil kembali anak moyangku yang sulung itu tapi tidak berjaya kerana moyangku telah mengemaskinikan dengan surat guaman.
“Masjid ini di atas tanah moyangmu!” Ayahku menunjukkan kepadaku sewaktu kami berdua mengelitari kampungku.
“Sekolah tahfiz ini juga atas tanah wakaf moyangmu!” kelihatan kepadaku sebuah sekolah tahfiz yang ramai sekali pelajarnya yang mundar mandir dalam perkarangan sekolah itu dengan tujuan yang tidakku ketahui. Yang pastinya mereka menambah di dada ilmu akhirat bersekali ilmu di dunia. Dan aku tidak pernah lupa kata-kata seorang ustaz yang memberi kuliah dalam sesi kelas agama dalam syarikatku bahawa seorang yang mengkilik akhirat, dunia akan bersujud di kakinya. Subhanallah!
“Hospital yang di kelilingi sawah bendang ini juga atas tanah moyangmu! Besar hospitalnya kan! Memberi khidmat perubatan kepada yang sangat memerlukan kepada penduduk kampung dan yang berdekatan daerah sini. Ada masanya kita sihat walafiat dan ada ketikanya kita perlukan ubat untuk menawar bisa sakit kita. Hidup kita ini memang tidak akan lepas dengan ujian-Nya. Kesabaran menghadapinya amat penting.” Ayahku seakan berceramah pula. Aku yang mendengarnya tidak mampu membalas apa-apa.
Tambah ayahku lagi,
“Setiap harta yang kita ada berupa tanah wajar kita kekalkan keberadaannya demi anak cucu kita kemudian hari kelak. Kalau sudah kehilangannya untuk mendapatkannya balik memang tiada harapan lagi. Jangan sesekali kamu berniat menjual tanah warisan walau apa saja masalahnya. Ini kamu ada masalah bisnis sedikit sudah nak minta ayah jualkan tanah warisan untuk membantu menyelesaikan masalah kamu.”
Tambah ayahku lagi. Tapi kalau ayahku yang merupakan ciut kepada bendahari harta amanah warisan keluarga moyangku itu siapalah lagi yang dapat membantuku yang diambang kemuflisan kerana kegawatan ekonomi kini? Hanya kepada ayahku boleh kugantungkan harapan kerana beliau mempunyai beberapa keping tanah warisan nenekku yang boleh kusandarkan di bank untuk permohonan pinjaman.
“Agaknya kamupun mewarisi sikap anak sulung moyangmu yang berbelanja tak ingat dunia bila sudah berharta dan kaya raya kot. Sudahnya dibelit hutang pula. Kesilapan orang dulu-dulu jangan diulangi. Jadikan sempadan dan tauladan. Kamu kan generasi terkini yang bijak mengatur pelbagai strategi perniagaan. Lakukanlah.”
Ayahku berbahasa sinis.

Tamat.


Wednesday, 23 November 2016

WORDLESS WEDNESDAY 23 NOV 2016...

ASSALAMUALAIKUM..

SALAM SEJAHTERA SEMOGA SIHAT WALAFIAT DAN DALAM PERLINDUNGAN ALLAH SEMUA KITA...INSYA-ALLAH.

TENANGKAN HATI DAN JIWA NIKMATI


PIC INDAH BUNGA-BUNGA INI.







Tuesday, 22 November 2016

HATI YANG MATI...

ASSALAMUALAIKUM...

HATI YANG MATI
Banyak orang berpendapat Hati Yang Mati itu adalah hati yang sudah hilang sifat kemanusian. Hati yang sudah tiada rasa kasih sayang. Hati yang penuh rasa benci dan dendam kesumat. Dan bermacam-macam lagi jenis perasaan hati yang negatif. Sebenarnya, jika dihalusi itu semua bukanlah maksud sebenar Hati Yang Mati. Itulah adalah hati yang hidup. Hati yang hidup tetapi di luar kebiasaan atau norma kehidupan insan dan bukan berdasarkan fitrah manusia yang diciptakan Allah. Fitrahnya manusia dilahirkan ke dunia adalah dalam bentuk suci dan bersih.
Jadi apakah yang dikatakan atau dimaksudkan dengan Hati Yang Mati? Hati Yang Mati ini jelas diberitahu oleh Allah s.w.t dalam Surah Al-Baqarah (Sapi Betina) ayat 7. Maksud Firman-NYA:-
(Dengan sebab keingkaran mereka), Allah mematerikan atas hati mereka serta pendengaran mereka, dan pada penglihatan mereka ada penutupnya; dan bagi mereka pula disediakan azab seksa yang amat besar.
(Maksud yang tersirat dalam ayat ini apabila dikupas atau ditaddabur adalah:-
Ayat ini menerangkan kepada kita bahawa bagi golongan kiri iaitu golongan yang membawa Alif Iblis dalam kehidupannya, yang pertama sekali Allah tutupkan pada diri mereka adalah pintu hatinya. Pintu hati mereka ditutup oleh Allah dari segala penjuru. Ianya bertujuan supaya tiada lagi ruang untuk hidayah Allah itu dapat memasukinya. Tanda pertama orang yang telah tertutup pintu hatinya ini adalah mereka ini tidak akan mahu lagi mendengar peringatan-peringatan Allah. Peringatan-peringatan yang terdapat di dalam Al-Quran yang dibacakan atau satelah kalam dibicarakan.
Tanda kedua pula yang menampakkan bahawa hati mereka telah mati ialah mata mereka seolah-olah telah tertutup rapat dari melihat kebesaran dan kurniaan Allah. Apa sahaja yang diperolehinya dan rezeki yang dianugerahkan kepadanya, mereka mengatakan bahawa semuanya itu adalah didapati dari hasil usaha dan ikhtiar mereka sendiri. Ia bukannya kurniaan Allah. Mereka mengandaikan jika tidak bergerak, mereka tidak akan memperolehi rezeki tersebut. Orang golongan ini menyandarkan segala apa yang mereka perolehi adalah melalui kekuatan diri mereka sendiri sahaja. Apabila kedua-dua ciri ini telah nampak nyata pada diri mereka, maka bermula dari saat dan ketika itu serta hari-hari yang berikutnya, mereka akan berada di dalam azab Allah. Ini akan berlaku sekali pun mereka itu telah memiliki segala-galanya).
Kesimpulannya Hati Yang Mati adalah hati yang telah tidak mendapat lagi akan petunjuk dan hidayah Allah. Hati mereka mati dari melihat akan Allah Rabbal Alamin itu. Mereka tidak nampak akan kebesaran Allah iaitu Tuhan yang di langit dan juga di bumi. Mereka tidak nampak bahawa apa yang ada di langit dan di bumi serta di antara keduanya adalah milik Allah belaka.
Inilah yang dikatakan HATI YANG MATI.

Monday, 21 November 2016

PERTEMUAN SEMULA...

ASSALAMUALAIKUM...

TERHARU SUNGGUH MENERIMA KUNJUNGAN SAHABAT LAMA SEPERSEKOLAHAN YANG TERPISAH BERPULUH TAHUN LAMANYA....MULANYA KAMI BERTEMU DI SMKM  MARAN...BERSEKOLAH DAN TINGGAL DI ASRAMA DARI TAHUN 71 HINGGA 73....LEPAS SRP KAMI SAMBUNG BELAJAR DI SMART KUANTAN PULA DARI 74 HINGGA 75...

TAMAT SPM PI DAN RAMAI SAHABAT SEPERSEKOLAHAN MASING-MASING MENERUSKAN KEHIDUPAN MENURUT TAKDIR-NYA DAN TIDAK BERSUA LAGI KECUALI YANG TINGGAL SEKAMPUNG.

SAHABAT PI JAMILAH PAWANCIK INIPUN DITEMUI MELALUI FB DAN SENTIASA BERHUBUNG BERTANYA KABAR SELALU ...DAN AKHIRNYA ALLAH BERI KESEMPATAN UNTUK BERTEMU....SYUKUR KEPADA-NYA....

" Terima kasih Milah sudi membuat kunjungan kerumah anakku bersama anak-menantu dan cucu. siap bawa hadiah telekung, kek yg sedap dan beri saguhati lagi. Terima kasih banyak Milah. budi baikmu dikenang selamanya. didoakan Allah merahmatimu sekeluarga, sihat walafiat dan murah rezeki. moga kita akan bersua lagi lain kali. jangan serik bertemu sahabatmu yang uzur dan bisu ni ya...kek yang hang bawa sat je dah habis dimakan cucu2ku yang ramai tak sempat dah nk snap pic heh..heh.."



Pic percutian Milah bersama anak menantu dan cucunya di Sweden baru-baru ini. Anak beliau seorang doktor pakar bedah di sebuah hospital di sana.






Sunday, 20 November 2016

HESCOM - E- SASTERA

ASSALAMUALAIKUM.

WARISAN MOYANGKU

SEMALAM TERBANGUN SAJA DARI TIDUR MENDOAKAN AGAR MEMPEROLEH KABAR YANG MENGGEMBIRAKAN HATI HARI INI....TIDAKLAH MURAM SAJA SUASANANYA...
ALLAH MAKBULKAN DOA YANG TERDETIK DI HATI TANPA DIDUGA...APA KISAHNYA YA?
SAMBIL PI RALIT MEMBACA STATUS DI FB DAN MENGUCAPKAN TAHNIAH KEPADA KAWAN-KAWAN YANG MENGUPDATE STATUS KEJAYAAN MASING-MASING DALAM HESCOM/HADIAH E-SASTERA COM MASUK MESEJ DARIPADA GABRIEL  KIM PENULIS DARI LABUAN YANG MENYATAKAN PI JUGA MENANG HADIAH GAKSA/GRUP KARYA SASTERA ASEAN-HESCOM.

SUKAR PULA NAK PERCAYA...PENGUMUMAN PENULIS YANG MENANG KARYANYA DIBUAT MELALUI PERSIDANGAN VIIDEO DARI JAKARTA.

JADI TERPAKSALLAH PI KLIK-KLIK VIDEO YANG DI TAG KAWAN-KAWAN TERLIBAT.
INSYA-ALLAH SYUKUR ALHAMDULILLAH CERPEN PI WARISAN MOYANGKU TERPILIH TERIMA HADIAH TEMPAT KEDUA.

ANTARA PEMENANGNYA DALAM PELBAGAI GENRE PENULISAN SASTERA ADALAH:

ZURAIDA DEWI, NOR AZIAH AZIZ FADZILAH, ALOY INDRA, MUHAMMAD ROIS RINALDI, SAZALEE SULAIMAN, MOKHTAR RAHMAN, AMIR HAMZAH MOHD WAZIR, GABRIEL KIM.

UCAPAN TERIMA KASIH SETINGGI-TINGGINYA DIUCAPKAN PADA JURI PENILAI KERANA SUDI MEMILIH KARYA PI DAN KAWAN-KAWAN PENGKARYA ANTARA BERBILANG KARYA TERBAIK KESEMUANYA...

SYUKUR ALHAMDULILLAH.


ORKID PAGAR..

ASSALAMUALAIKUM....

LAMA TAK MENJENGUK KEBUN ORKID YA.....MULA-MULA KITA TENGOK PELBAGAI JENIS ORKID PAGAR YANG CANTIK...ORKID YANG DIJADIKAN TANAMAN PAGAR BIASANYA RAJIN BERBUNGA...WALAU APA WARNANYA ORKID INI KALAU RAJIN BERBUNGA TETAP MENYERI SUASANA...JADI KALAU NAK TANAM ORKID SEBAGAI TANAMAN PAGAR PILIHLAH JENIS ORKID YANG RAJIN BERBUNGA...KELAK AKAN SEMARAKLAH WARNANYA KALA IANYA MEKAR...CANTIK AMAT.










MyBloglist