Friday, 16 December 2011

komen si kecil

si kecil sesak nafasnya
bulat retina mata menyapa bundar wajah mama
hatinya diragut sayu ingin dikongsi cerita haru yang baru saja
mengejutkan naluri kasih yang keliru...
kenapa mama?
kenapa apa?
kenapa orang itu campak babynya...
kesian babynya di atas rumput...
abang sayang adik...
abang tak akan buang adik ke atas rumput...
berdosa...
nasi masuk api neraka...

Monday, 12 December 2011

Orkid-orkid cantik kat pesta flora putrajaya


Rasanya orkid ni tentu jenis butterfly. Harganya mahu ratusan ringgit. Tak mampu nak milikinya. setakat dapat pandang fotonya sajalah.

Orkid-orkid yang dimuatnaik ke sini tiada kata secantik bahasa untuk mengungkapkan keindahan dan kecantikannya. Hanya Subhanallah....

Thursday, 8 December 2011

Jiran-jiran yang baik

Hidup kita ini memang saling bergantungan dan perlu memerlukan di antara satu sama lain. Tidak kira samaada mereka itu jelas hubungannya dengan kita umpamanya ibu ayah, adik beradik, saudara mara terdekat atau sesiapa saja yang berada di sekeliling kita.

Selain itu tentulah jiran-jiran tetangga kita. Jiran-jiran itu adalah saudara kita yang paling akrab sehinggakan mereka dirasakan seolah berhak ke atas harta kita menurut Nabi SAW. Namun tidaklah sampai begitu sekali.

Aku merasa amat bersyukur justeru sepanjang hidupku ini, aku di kelilingi jiran-jiran yang amat baik lagi prihatin terhadap aku dan keluargaku. Mereka ini membantu apa saja kesulitanku tanpa imbalan apa-apa. Bukan senang hendak hidup sebagai OKU sekiranya tiada tangan-tangan yang sudi menghulur pertolongan.

Jiranku yang di sisi kanan rumah adalah kak Idah dan suaminya Jusuh serta anak-anaknya. Kak Idah ini pantang melihat laman rumahku diserabuti rumput-rumput atau anak-anak pokok, beliau tidak senang duduk untuk membersihkannya. Aku boleh buat juga. Tapi tentu saja kerja-kerja yang dibuat OKU lambat siapnya. Dengan pertolongannya bertambah mudah kerja-kerja yang perluku buat.

Beliau ini juga gemar sekali menghantar apa saja penganan yang dibuatnya kepadaku. Bersusun pinggan makanannya yang tidak sempatku pulangkan di rumahku. Jikalau aku ditimpah musibah banjir, pokok-pokok tumbang atau apa saja beliaulah yang pertama akan muncul di muka pintu. Terima kasih banyak-banyak kak idah kerana seringkali membantuku. Dan aku pasti jiranku yang sangat baik ini akan terus membantuku selagi aku hidup dan beliau masih bernafas.

Demikian kisah salah seorang daripada jiran-jiranku yang kesemuanya baik-baik. Baru-baru ini aku mengadakan kenduri akikah cucu bersekali dengan sambut menantu. Kesemua jiran-jiranku satu peringkat 4 datang membantu menguruskan majlisku sehingga selesai segala-galanya. Mereka berlenggeng tangan bergotong royong menyiapkan semua keperluannya sedang aku cuma memerhati. Aku berterima kasih sungguh kepada semua jiran-jiranku yang bersusah-payah membantu menyempurnakan majlisku itu.

Syukur Alhamdulillah. Terasa bertuah sungguh hidupku berada di tengah-tengah masyarakat dan jiran-jiran yang baik lagi prihatin terhadap OKU seperti aku.

Monday, 21 November 2011

HAPPY BIRTHDAY TUAN ARIFF TUAN UZAINI

SELAMAT ULANG TAHUN KELAHIRAN YANG PERTAMA CUCUNDA NENDA YANG COMEL...SEMOGA TUAN ARIFF BERADA DI BAWAH LINDUNGAN DAN RAHMAT-NYA...SENTIASA BEROLEH KESIHATAN YANG BAIK SEPANJANG HIDUP...MEMBAHAGIAKAN MAMA/PAPA NENDA-NENDAMU, SAUDARA-SAUDARAMU DAN MEREKA YANG MENGASEHIMU.


KELAK AKAN MEMILIKI KEJAYAAN DI DUNIA DAN AKHIRAT SEBAGAI USTAZ YANG PAKAR BIDANG DUNIAWI DAN UKHRAWI...INSYAALLAH..

Sunday, 20 November 2011

Langkah-langkah meniti kedewasaan...

SELAMAT BERTUNANG AHMAD GEMAYEL ANAKANDA TERSAYANG RASHIDA OTHMAN DAN PASANGANNYA...SEMOGA JENJANG PELAMIN MENGAKADKAN JODOHNYA DAN KEKAL BERBAHAGIA SELAMANYA...AMIN.
HENDAK KE TANJUNG LINTASI PAYA
CENDERAWASIH BERTERBANGAN
SIRIH JUNJUNG LENGKAP SEMUA
DULANG KASIH MEMBAWA LAMARAN...

Thursday, 17 November 2011

Anehnya cinta...

Kata ibunya, "Tak payahlah kau berkahwin dengan dia sebab mak rasa dia ni tak berapa ok hendak diadikan isteri. Tak ingat ke dulu sewaktu kita sibuk-sibuk buat persiapan nak pergi meminang dia, dia boleh kata tak payah...sedangkan dia yang beria-ia meminta kita masuk meminangnya. Ini setelah dia putus dengan kekasih barunya dia datang pula mencari awak menagih cinta kononnya tak mahu kehilangan awak. Kecurangannya pada awak dulu apa maknanya. Mak dengar awak pun sudah ada pengganti dia...takkan nak tinggalkan sidia untuk berbalik dengan kekasih lama...tak masuk akal langsung..."

Friday, 4 November 2011

SALAM AIDILADHA....

ASSALAMUALAIKUM......

SELAMAT  HARI RAYA KORBAN  10 ZULHIJJAH 1436 HIJRAH BERSAMAAN 24 SEPT 2015
MAAF ZAHIR BATIN BUAT SEMUA PENGUNJUNG BLOG, KAWAN-KAWAN BLOGGER DAN PARA MUSLIMIN DAN MUSLIMAT DI MANA SAJA BERADA.

TERUTAMA BUAT SAUDARA MARA YANG SEDANG MENUNAIKAN IBADAH HAJI
SEMOGA SEGALA AMAL SEMPURNA DILAKUKAN DAN MEMPEROLEHI HAJI YANG MABRUR




Thursday, 3 November 2011

Subuh sunyi

Subuh memang sunyi pun. Hanya suara serangga-serangga yang tidak ketahuan jenisnya mersik halus. Kalau hujan tentu kita pasti suara katak yang menggema. Bukan katak-katak tu memanggil hujan kot...tapi mungkin sedang berzikir dan memohon hujan agar berhenti justeru hujan yang lama mencurah menyebabkan makhluk-makhluk Allah itu kedinginan amat.

Dan subuh yang hadir mutakhir ini menjadi terlalu sunyi kerana suara muazin tidak mengumandangkan azan daripada surau yang berhampiran menyeru menunaikan solat untuk menuju kejayaan. Kenapa jadi begitu? Tentulah ada sebabnya. Jikalau tidak tentu tidak terabai surau dengan suara yang penuh hikmat itu.

Sebenarnya tok bilalnya tiba-tiba demam dan tidak dapat nak menapak ke surau pada setiap subuh hari. Betapa berharga suara tok bilal yang sering mengumandangkan azan itu dirasakan setelah suaranya tidak terdengar lagi. Begitu kehilangan sekali.

Dahulu tukang azannya adalah jiranku Md. Rodi. Setiap subuh akan terdengar langkahnya yang diatur dengan derap yang serupa ritmanya. Dan kami semua jirannya sangat kenal dengan derap langkah yang teratur mencelah subuh sunyi itu.Kini tidak ketara lagi ritma langkah itu lantaran beliau telah melangkah jauh meninggalkan kenangan murni itu untuk menemui Ilahi yang menjanjikan kejayaan.

Al-fatihah untuk arwah Md. Rodi yang sangat baik itu. Dan tempatnya yang istimewa itu diganti jiranku bang Din dengan segera. Surau itu tidak sempat sunyi dengan laungan azan. Tiba-tiba bang Din demam pula. Demam urat kata isterinya kerana terlalu rajin berkerja. Tidak ada lagi suara azan yang menerjah subuh sunyi walau tetap kedengaran azan dari masjid yang sayup-sayup kejauhan.

Aku pula yang kegelisahan justeru merasakan azan yang tidak kedengaran menemani subuhku adalah suatu kehilangan yang tidak tahu bagaimana hendak digambarkan...

MyBloglist