Friday, 31 July 2026

KALA MURAI BERKICAU

 ASSALAMUALAIKUM



 

ULASAN BUKU

 

KALA MURAI BERKICAU

Genre : Puisi

Penulis : Nurimas SN

Penerbit : DBP

Nombor ISBN :978-9B3-49—5796-4  ( Sastera Puisi)

Bilangan mukasurat : 101

Harga: 16 RM

Tahun terbitan 2026

Pengulas : Paridah Ishak

 

Naskhah KALA MURAI BERKICAU terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka.. Himpunan  70 buah puisi  sarat dengan keindahan bahasa dan makna. Karya ini merupakan hasil nukilan Nurimas SN, seorang pesara guru  berpengalaman luas dalam penulisan pelbagai genre sastera.

Beliau  penulis mapan dan sering menerima anugerah sastera di peringkat negeri, khususnya Terengganu dan Johor, serta di peringkat kebangsaan. Sebahagian daripada puisi dalam naskhah ini pernah tersiar dalam majalah seperti Dewan Sastera dan Pelita Bahasa manakala selebihnya ialah karya baharu.

Kandungan buku ini dibahagikan kepada dua bahagian. Bahagian pertama memuatkan 30 buah puisi tradisional terdiri daripada pantun, gurindam dan syair. Karya-karya ini pelbagai tema berteraskan nilai Islamik kerohanian, nasihat, budi pekerti. Sekali  gus menyerlahkan keindahan warisan puisi Melayu. Antara judulnya ialah syair Azam,Purnama Sembilan, Narasi Santun Bertingkah, gurindam Adab Berjiran, Hati, Silap Bahasa, pantun Hidup Bertuan, Seloka Fitrah, Bahasa Wahana Bangsa.

Bahagian kedua pula menghimpunkan 40 buah sajak moden dengan kepelbagaian tema yang dekat dengan kehidupan insan. Penyair memanfaatkan bentuk binaan puisi kreatif seperti akrostik, terza rima dan sajak eksperimen, di samping mengolah struktur rangkap pelbagai. Sebahagian sajak agak panjang dan menyerupai sajak prosa, namun tetap puitis. Sajak Kala Murai Berkicau, Apa Mahumu, Keluarga Malaysia tersenarai di sini.

Diksi yang dipilih sederhana tetapi berkesan, diperkaya dengan metafora, perlambangan, personifikasi dan unsur-unsur bahasa figuratif  menghidupkan imaginasi pembaca. Walaupun sesetengah puisi memerlukan renungan  mendalam, mesej ingin disampaikan tetap jelas dan mudah dihayati.

Setiap karya memperlihatkan ketelitian penyair dalam memilih kata, menyusun citra serta membina suasana yang selaras dengan tema dan judul puisi. Secara keseluruhannya, KALA MURAI BERKICAU merupakan sebuah kumpulan puisi berjaya menggabungkan keindahan estetika bahasa dengan nilai-nilai murni dan kemanusiaan. Naskhah ini bukan sahaja memperlihatkan kematangan Nurimas SN sebagai penyair, malah menjadi bahan bacaan yang sesuai untuk pencinta puisi, pengkaji sastera dan pembaca umum yang ingin menghayati keindahan bahasa Melayu melalui karya yang bermutu tinggi bernilai seni.

No comments:

Post a Comment

Terima kasih bersama Karyaku...Paridah Ishak. Komen anda amat dihargai... “Semoga Allah SWT akan membalas dirimu dengan kebaikan yang banyak dan semoga Allah SWT akan membalas dengan balasan yang terbaik.”

MyBloglist