ASSALAMUALAIKUM
ULASAN BUKU
Tajuk: 60 Kisah Teladan Ummah
Genre: Prosa
Penulis: Mustafa Siraj
Penerbit: One Touch Creatives Sdn. Bhd.
ISBN: 978-967-0489-10-0 (Sastera Kehidupan)
Bilangan halaman: 138
Harga: RM25
Tahun terbitan: 2025
Pengulas: Paridah Ishak
60 Kisah Teladan Ummah merupakan himpunan 60 kisah menarik yang sarat dengan nilai-nilai ibrah dan pengajaran hidup. Antara kisah yang dimuatkan termasuk sejarah perjuangan Nabi Muhammad SAW, para sahabat baginda, tokoh Islam silam, serta individu berjiwa besar yang menjadi teladan sepanjang zaman. Buku terbitan One Touch Creatives Sdn. Bhd. ini sesuai dibaca oleh semua peringkat usia yang ingin memahami makna kehidupan berlandaskan sirah dan sejarah Islam.
Setiap kisah diolah secara ringkas, padat dan mudah difahami, menjadikan pembacaan tidak membosankan. Walaupun peristiwa-peristiwa ini berlaku pada zaman lampau, nilai dan mesejnya tetap relevan dengan kehidupan masa kini, membuktikan bahawa sejarah dan kehidupan manusia sentiasa saling berkait.
Antara tajuk yang mencuri perhatian termasuk Batu Pun Berzikir, Mulianya Hati Nabi, Pemuda Yang Bertaubat, Wahsyi Pembunuh Saidina Hamzah, Kebijaksanaan Saidina Abu Bakar, Keperibadian Saidina Umar al-Khattab, dan Saidina Ali Bin Abi Talib. Setiap kisah disusun secara berperingkat, memperlihatkan perjalanan tokoh-tokoh besar Islam yang memperjuangkan agama, ilmu dan akhlak.
Kisah-kisah berikutnya turut menyorot tokoh lain seperti Khalid bin al-Walid, Ikramah bin Abu Jahal, Saad bin Abi Waqqas, Bilal bin Rabah, dan ramai lagi. Penulis juga menyelitkan kisah para ulama tersohor seperti Imam Syafie, Imam Hambali, Imam Maliki, Imam Hanafi, Ibnu Khaldun, dan Ibnu Sina, yang membuktikan ketokohan ilmuwan Islam dalam pelbagai bidang.
Selain itu, bahagian akhir buku memperkenalkan tokoh-tokoh yang meninggalkan kesan mendalam dalam dunia Islam, antaranya Sultan Muhammad al-Fateh, Salahuddin al-Ayubi, Hassan al-Banna, Sayyid Qutb, Rabiatul Adawiyah, Buya Hamka, dan Imam al-Ghazali. Kisah-kisah mereka menghidupkan semangat perjuangan dan menanam nilai keinsafan dalam jiwa pembaca.
Keseluruhannya, buku ini merupakan sumber bacaan yang penuh nilai spiritual dan moral, sesuai dijadikan panduan dalam membentuk akhlak mulia serta memperkukuh iman. 60 Kisah Teladan Ummah bukan sekadar bahan bacaan santai, tetapi juga cerminan sejarah Islam yang menyedarkan kita tentang pentingnya meneladani insan-insan terpilih yang menjadi contoh sepanjang zaman.

menariknya naskah ni kak PI .
ReplyDeletetksh ana ya naskhah tambah ilmu
Deletemenarik, kisah teladan yang seharusnya dibaca,, dihayati serta dipupuk dalam diri
ReplyDeletetksh ustaz ya bacaan menambah ilmu
Deletebanyak pengajaran yg kita perolehi drp buku ini.
ReplyDeletetksh cikgu ya penulisnya juga seorang guru
DeleteMenarik buku ni untuk dibaca, pasti banyak unsur pengajaraan yang baik..
ReplyDelete