Monday 5 June 2023

SITI AMINAH

 ASSALAMUALAIKUM



SYAIR SITI AMINAH

 

#1

Kalam mencoret syair digubah,

Siti Aminah kisah persembah,

bukanlah jua ditokok tambah,

ceriteranya tidak berubah.

#2

Bonda Muhammad ibnu Abdullah,

putera tunggalnya Rasullullah,

nabi akhir zaman yang terserlah,

tiada lagi telah terjumlah.

#3

Bani Zahrah nasab warisannya,

Wahab nama ayahandanya,

ketua pada suku kaumnya,

nabi  Ismail jalur  moyangnya.

#4

Siti Aminah gadis rupawan,

wajah jelita ramai tertawan,

dipinang hai keluarga bangsawan,

Abdul Mutalib nyata hartawan.

#5

Gadis pingitan ketua kabilah,

sembunyi diri dari menyerlah,

bertemu jodoh dengan Abdullah,

takdir suratan kehendak Allah.

#6

Abdullah dari bani Quraisy,

anakanda Mutalib di sisi,

terikat kasih hidup berkongsi,

berbahagia pasangan serasi.

#7

Santunan  rukun berumah tangga,

sambil jalankan urus niaga,

bawa dagangan sesuai harga,

ikut kafilah siap siaga.

#8

Ketika nabi dalam kandungan,

Abdullah pergi urus dagangan,

Siti Aminah pun keseorangan,

suami jauh dari pandangan.

#9

Kafilah dagang hala Madinah,

hingga ke Syam membawa amanah,

rindu isteri Siti Aminah,

lemah terasa jiwa meranah.

#10.

Terlalu letih Abdullah sakit,

lemah tubuhnya  kena penyakit,,

daya upaya tinggal sedikit,

terbaring saja tak mampu bangkit.

#11

Abdul Mutalib terima khabar,

bagaikan kilat kilau menyambar,

mendengarnya hati pun berdebar,

Siti Aminah hanya bersabar.

#12

Harap semoga suami pulang,

mentua hantar utusan jelang,

tiada  sempat aral  menghalang,

Abdullah wafat nafasnya hilang.

#13

Siti Aminah berdukacita,

kenang suami amat tercinta,

sudah kembali pada Pencipta,

terlalu sedih terkedu kata.

#14

Hilang suami  nan kesayangan,

bayinya pula dalam kandungan,

hendak berpisah memanglah jangan,

tersisih jauh dari rancangan.

#15

Siti Aminah pernah bermimpi,

lahir zuriat segala rapi,

sinaran terang malam nan sepi,

jauh seluruh tidak bertepi,

#16

Hai Dua  belas Rabiulawal,

di hari Isnin minggu yang awal,

lahir Muhammad Allah mengawal,

pada tahun Gajah wujud ehwal.

#17

Thuwaibah ibu susu pertama,

Saidina Hamzah menyusu sama,

Halimatun Saadiah khidmat lama,

padanya nabi paling utama.

#18

Nabi  bersama hai bani Saad,

bonda tiasa teringat-ingat,

masa berlalu setiap saat,

bersilih hari hingga Jumaat.

#19

Pulanglah nabi ke Mekah pula,

sudah tertentu takwim segala,

seiring bonda arah menghala,

makam ayahanda kunjung bersila.

#20

Sekian lama menanggung rindu,

Siti Aminah cintanya padu,

pada suami setia syahdu,

indah teranyam bersulam baldu.

#21

Bergerak pulang usai ziarah,

apa berlaku hanyalah pasrah,

Siti Aminah menuju arah,

bersama nabi gerak segerah.

 

 

#22

Tiba di Abwa’ bonda pun gering,

wafat tinggalkan jasad terbaring,

makam bertanda tanah yang kering,

Nabi Muhammad sayu mengiring.

 

#23  

Nabi menjadi yatim piatu,

Siti Aminah bondanya satu,

kasih abadi sudahlah tentu,

syurga menanti terbuka pintu.


3 comments:

  1. Bila kita mengenang sirah Nabi Saw, pilu rasanya waktu Baginda kehilangan bonda di usia sangat muda belum puas merasa kasih sayang.. Begitu Allah swt ujian buat baginda Rasul saw

    ReplyDelete
    Replies
    1. tksh ana ya sedih sangat membaca sirah nabi saw betapa derita yatim piatu kehilangan ayah bonda tercinta

      Delete
  2. Bersyukur kita mendapat hidayah agama peninggalan rasulallah

    ReplyDelete

Terima kasih bersama Karyaku...Paridah Ishak. Komen anda amat dihargai... “Semoga Allah SWT akan membalas dirimu dengan kebaikan yang banyak dan semoga Allah SWT akan membalas dengan balasan yang terbaik.”

MyBloglist