Thursday, 22 June 2023

DARA PINGITAN

 ASSALAMUALAIKUM



DARA PINGITAN

 

Bukan kali pertama dia ke sini. Sudah berulang kali. Sehingga tidak terkira jumlahnya.

Dia duduk di birai titi. Alur sungai di bawahnya. Air mengalir tenang melepasi batu kecil dan besar yang tidak sekata bentuknya juga pelbagai halangannya.

Duduk di sini, berselesa, bersenang-senang, memang kesukaannya. Sewaktu dirinya masih kecil, dia  bersama rakan sebaya akan duduk sebaris di titi.

Kaki   dijatuhkan, mengocak air sambil bercerita apa saja yang terlintas di minda. Di sebelahnya kadang-kadang ada Latipah yang menemani. Suria juga sering bersamanya. Hanya dua gadis sunti itu bersilih ganti menemaninya. Jarang sekali mereka kelihatan bertiga.

 

            Dia tersenyum sendiri. Nostalgia era itu telah lama berlepas. Meninggalkannya. Di sinilah, tempat dia sedang duduk ini, mata kail yang diikat pada tali tangsi di hujung bok batang buluh kuning yang panjang, lurus dan runcing sentiasa mengait ikan. Pancingan yang tidak mengecewakannya. Ada saja rezeki untuknya.

Kala sudah jemu memancing, berdebur pula terjun ke sungai. Mandi-manda dengan hilai tawa riang. Gembira sungguh. Bukan berpanjangan rasa gembiranya.     Pabila sampai di rumah dengan pakaian basah melencun, melekap di badan terimalah habuannya.

Tengking herdik akan riuh bergemuruh, laksana bertih digoreng berhamburan keluar daripada mulut Neneknya.

“Anak dara tidak tahu malu. Kata nak pergi memancing ikan. Ini pula yang dibuatnya. Tak tau malukah mandi di sungai? Di situ tempat orang lalu lalang pergi balik. Awak tu sudah besar. Anak dara sunti. Tidak manis dipandang orang,” leter Neneknya.

Perit telinganya mendengar Neneknya berleter tidak habis-habis. Lebih terhiris hatinya kala sepupu-sepupunya mengerling sinis dengan ekor mata. Tapi tidak berkata apa-apa untuk menyanggah  bahasa tajam neneknya bak pedang menghiris kalbunya. Selain dari turut mengunyah bersamanya. Berusaha pula menghadamkan frasa bermaksud baik tetapi disulami dengan semburan hempedu .

Sikap Neneknya menjengkelkannya. Garangnya umpama singa beranak kecil. Pantang ada mangsa yang melintas di hadapannya akan diterkam dan dipulas tengkuknya hingga patah terkulai. Menurut firasat Sita yang dipengaruhi emosi marahnya kerana kesilapan kecilnya ditegur begitu.

Selama hidupnya dia tidak pernah mendengar emaknya berkata begitu kasar padanya. Sentiasa berlemah lembut menyenangkan jiwanya.

Dia ke sini semata hendak menghabiskan cuti persekolahannya. Bukannya hendak mendengar tengking herdik Neneknya yang hanya membenarkan pendapat saja. Sekalipun ternyata benar namun hatinya tercalar jua.

Setahun dua lalu, dia langsung tidak kisah walau diherdik sekeras mana sekalipun oleh Neneknya. Apatah lagi kerana mandi-manda di sungai. Kegiatan kegemarannya itu tetap juga diteruskan. Degilnya dia. Ketegar sungguh kata Neneknya.

Entah kenapa pula mutakhir ini jiwanya mudah tersentuh pabila dicuit kekata yang kasar walau sepatah. Mungkin kerana usianya sudah menginjak awal remaja mempengaruhinya.

Pagi itu sedang Neneknya menoreh di kebun getah, dia sudah berkemas hendak pulang ke rumahnya. Angah, emak saudaranya dan sepupu-sepupunya mengikut Neneknya ke kebun getah. Mengais sedikit rezeki untuk hari ini dan akan diteruskan kebiasaan itu keesokannya demi kelangsungan hidup.

Keberadaannya di situ seolah tidak dipedulikan. Sama ada dia wujud atau tidak di tengah kelompok keluarga itu seakan tidak mengubah apa-apa. Apalagi setelah dimarahi Neneknya semalam. Bertambah tegar keputusan diambilnya.

Lapang rasa dadanya kala sudah berada dalam bas menuju destinasinya.

            “Tak boleh tengok orang senang sikit!” getus hati kecilnya dengan gumam geram yang masih mengeram panasnya.

            “Tak ingin aku nak ke sini lagi.” Dia menunaikan niatnya. Setiap kali cuti sekolah nenjelang, dia tidak akan menjenguk neneknya. Walaupun diajak emaknya berkali-kali. Keras betul hatinya.

Namun jauh di sudut hatinya, dia terkenang-kenang keseronokan memancing ikan di sungai yang jernih dan kelihatan hampir semua isi yang ada di dasarnya.

Dia rindukan kawan-kawannya. ‘ Apakah khabar Latipah? Tertunaikah hajatnya hendak bersekolah pilihannya di bandar setelah tamat tahun enam? Comel Suria itu ke mana pula agaknya? Angan-angannya hendak ke sekolah tahfiz kerana ramai saudara-maranya berpendidikan begitu.

Ada di antaranya sudah bergelar ustaz dan ustazah. Tercapaikah hasrat Comel Suria itu? Dia tertanya-tanya khabar kawan-kawan sepermainannya. Kawan-kawan yang sudah lama tidak ditemuinya. Dia sangat merindukan kemesraan hubungan yang dahulunya terjalin intim. Rindu itu membawanya ke sini lagi.

‘Bagaimana pula dengan aku?’ Dia bertanya dirinya. Dia tidak pun mencapai apa-apa persetujuan dengan dirinya. Sita bukan Latipah atau Comel Suria. Sita hanya akan bersekolah menengah di pekan. Dekat. Rumah keluanganya pun terletak di pinggir pekan itu. Borangnya pun telah diisi. Ke situlah dia nanti, menimba ilmu apa yang patut.

Emaknya tidak pernah bertanya tentang persekolahannya. Pandaikah? Tololkah? Hanya dia yang menilainya. Abang-abangnya pun tidak pernah bertanya. Sekian tahun bersekolah, begitulah situasinya. Dia menguruskan dirinya sendiri sebagai seorang pelajar. Akan ke sekolah setiap hari menurut jadualnya.

Walaupun emaknya hanya tahu membaca jawi dan ayahnya buta huruf tetapi dia lepas juga hingga tingkatan enam dan boleh meneruskan pengajian ke universiti jika dia mahu. Rasanya dia sudah jemu hendak belajar.

Kata bijak bestari ‘belajarlah setinggi mana, di mana saja ilmu itu boleh dicapai’. Dia pula tidak mahu begitu. Barangkali sudah lelah mengusung nota yang diberi guru. Cukuplah setakat itu.

            Mudahnyalah dia berpuas-hati. Katanya, tak payahlah masuk U. lepasan U pun ramai yang menganggur. Itu pula alasannya. Lebih baiklah tak usah. Mak ayahnya bukannya senang benar. Sekadar hidup cukup makan dan tidak menyusahkan sesiapa saja.

Dia harus bertimbang rasa juga dan tidak hanya mementingkan kemahuanya semata. Tapi menyusahkan emak ayahnya telah sekian lama berkorban untuknya dan membebankan kedua-duanya pula.

Lagipun dia sudah berjaya mendapat tawaran sebagai jururawat pelatih di sebuah hospital universiti di bandar. Elaunnya mencukupi untuk menampung kehidupannya seorang. Bagi Sita, elaun yang tertera dalam surat tawaran itu sudah memadai untuk hidupnya masakini

Buat masa ini biarlah setakat itu saja pencapaiannya. Pada masa hadapan belum terfikir lagi. Keputusan yang menjadi pilihannya mungkin berubah pula.

Sita ambil mudah saja.  Hari  ini biarlah cerita untuk hari ini. Sudah tentu hari ini adalah miliknya sepenuhnya. Sedangkan esok belum tentu lagi dan lain pula kisahnya.

            “Masih di sini lagi dia. Ingatkan datang awal tentu dah sampai rumah Nenek,” gumam Emaknya. Sapaan Emaknya mencemperakan lamunannya. Berserakan merata.

“Mak dan Ayah pergilah dulu. Sita nak duduk di sini sekejap.”

“Kamu tu yang patut cepat ke rumah Nenek. Hari dah nak senja ni.”

Motorsikal kapcai yang ditunggangi Emak dan Ayahnya bergerak semula setelah berhenti sejenak.                    

‘Jangan hendak cari bala.  Aku  ke rumah Nenek hendak menyambut hari raya haji sambil bersama Nenek dan Emak Ayahku melakukan ibadah korban menumbangkan lembu keesokannya. Nasib tak baik aku pula  terkorban dipagut ular. Senja begini ular bisa biasanya menjalar celahan daun kering tanpa disedari.’

Sita melangkah pantas menurut bijak bicara hatinya. Dia sudah terlupa pada keindahan panorama sungai kecil  dikaguminya sebentar tadi. Semakin suram kehilangan cahaya nuansanya. Lintasan firasatnya mengatakan dia perlu segera sampai ke rumah Neneknya. Mudah-mudahan tiada aral menghalangnya. Dia menapak kalut. Tergesa-gesa amat. Mengejar masa siang yang akan meninggalkannya sebentar lagi.


7 comments:

Terima kasih bersama Karyaku...Paridah Ishak. Komen anda amat dihargai... “Semoga Allah SWT akan membalas dirimu dengan kebaikan yang banyak dan semoga Allah SWT akan membalas dengan balasan yang terbaik.”

MyBloglist