Friday 21 October 2022

PERKONGSIAN ILMU SURAH: 111 : AL- MASAD (SABUT)

ASSALAMUALAIKUM 


Syukur Alhamdulilah, dengan izin Allah kelas tadabbur @ tafsir Al Quran dalam google meet malam ini, dapat dijalankan. Rutin mingguanku Sabtu malam Ahad, berkongsi ilmu secara on-line.

Aku sering berdebar, macam- macam menerjah fikiran. Bimbang line internet tergendala, bimbang laptop bermasalah, bimbang suara tak dengar dan berbagai bimbang..
Terima kasih adik-adik dan sahabat-sahabat yang sudi hadir.
Macam duduk depan-depan walaupun jauh. Macam bertalaqqi secara bersemuka. Boleh bersoal-jawab dan berbincang dalam perkongsian ilmu ini. Semoga diberkati Allah SWT . Allahumma Aamiin.
PERKONGSIAN ILMU
SURAH: 111 : AL- MASAD (SABUT)
MUKA SURAT: 603
AYAT : 5 sahaja.
Pengenalan.
Allah telah menjelaskan jangan hiraukan orang-orang kafir jika mereka terus berdegil. Allah akan memberi kejayaan kepada orang Islam dan memusnahkan gologan kafir. Surah ini menjelaskan bagaimana orang kafir dimusnahkan.
Surah ini ditujukan kepada Abu Lahab dan isterinya. Kerana itu nama lain baginya adalah surah al-Lahab.
Nama sebenar Abu Lahab adalah Abdul Uzzah (hamba berhala Uzzah). Kalimah لهب bermaksud api merah yang menyala dengan terang, menerangi sekelilingnya. Ia digunakan pada nama Abu Lahab sebagai penghormatan kepadanya kerana dia seorang yang tampan. Ini adalah kerana kulitnya kemerah-merahan. Abu Lahab ini juga adalah bapa saudara kepada Nabi Muhammad SAW. Dia juga adalah besan kepada baginda kerana dua anak baginda telah berkahwin dengan anak Abu Lahab.
Selain daripada Abu Lahab, isterinya juga disebut dalam ayat ini. Isterinya bernama Urwah. Urwah juga orang yang berketurunan
hebat
. Dia memang berbangga dengan keturunannya. Nama panggilannya adalah Umm Jamil (ibu kecantikan) kerana dia seorang yang cantik.
Mengapakah pasangan ini dikutuk oleh Allah? Keburukan Abu Lahab;
Dia adalah musuh Nabi yang paling kuat. Mereka juga jiran kepada Nabi Muhammad SAW; mereka berkongsi dinding. Kerana benci sangat kepada baginda, dia dan isterinya telah membuang kotoran, sampah, dan benda-benda yang teruk apabila baginda membaca Al-Qur’an.
Dua anaknya telah berkahwin dengan dua anak Rasulullah (ini terjadi sebelum Islam). Apabila Rasulullah mula berdakwah secara terbuka, dia telah mengarahkan dua anaknya itu untuk menceraikan anak-anak Rasulullah.
Dialah juga yang pertama sekali menolak dakwah tauhid daripada baginda. Apabila Rasulullah diarahkan untuk berdakwah kepada keluarga baginda, baginda telah mengadakan jamuan makan kerana baginda hendak mula bercakap tentang Islam kepada keluarganya. Maka, Abu Lahab dan yang lain-lain juga dijemput. Apabila Nabi Muhammad SAW hendak bercakap sahaja tentang Islam, dialah yang pertama membuat bising dan menolak. Dia berkata: تباً لهذا الدين (musnahlah agama ini!)
Apabila Nabi Muhammad SAW naik ke atas bukit dan bercakap dengan Arab Mekah untuk berdakwah secara terbuka, dan memperkenalkan mereka dengan ajaran tauhid, Abu Lahab jua yang menghina baginda dan mengatakan baginda menipu. Dia menjerit: تباً لّك (musnahlah kamu!) Lihat bagaimana dia menggunakan kalimah تب dalam kedua-dua situasi. Nanti Allah akan gunakan kalimah yang sama juga.
Ayat 1: “Binasalah kedua tangan Abu Lahab dan sesungguhnya dia akan binasa.” Ayat ramalan: Allah mengatakan yang kedua tangan Abu Lahab akan musnah. Apabila ayat ini turun, Abu Lahab menghina ayat itu. Dia akan pergi ke khalayak ramai dan dia akan tunjuk tangan dia – dan dia berkata yang tangan dia tidak jadi apa-apa pun. Kalimah تَبَّ bermaksud sesuatu yang musnah sedikit demi sedikit. Oleh itu, tangannya itu akan musnah, sekali dengan agamanya, dunianya dan segala apa yang dia telah lakukan dan harapkan. Dua tangan Abu Lahab itu jugalah yang pernah cuba untuk membaling Nabi Muhammad dengan batu. Masyarakat memberi gelaran itu sebagai penghormatan, tapi Allah telah menjadikan makna baru bagi nama itu. Sekarang dia bukan dipanggil kerana dia seorang yang tampan, tapi kerana dia adalah ahli neraka yang membara.
Penghujung hidup Abu Lahab amat mengerikan. Dia telah dijangkiti penyakit yang teruk hinggakan seluruh badannya membengkak. Anak-anaknya, pembantunya, keluarganya dan kawannya yang lain tidak berani mendekatinya kerana takut mereka juga terkena penyakit yang sama juga. Akhirnya, dia mati secara perlahan bersendirian dan tidak ada orang yang dekat dengannya. Janji Allah telah ditepati – dia mati secara perlahan dan di dunia lagi dia telah dikenakan dengan azab.
Ayat 2: “Tidaklah berfaedah kepadanya harta bendanya dan apa yang dia usahakan.” Kekayaan dan hartanya tidak dapat membantunya langsung untuk menyelamatkan dirinya. Ayat ini hendak memberitahu bahawa tidak ada apa-apa jua yang akan memberi keselamatan kepada Abu Lahab, termasuklah harta dan anak-anaknya. Rupanya yang tampan itu Allah musnahkan dengan diberikan penyakit yang akhirnya mematikannya; dan kekayaannya Allah beritahu tidak berguna langsung untuk menyelamatkan dirinya.
Ayat 3: Balasan yang dikenakan ke atas Abu Lahab. “Kelak dia akan masuk ke dalam api yang bergejolak.” Ayat ini tentang kejadian di neraka. Abu Lahab akan dimasukkan ke dalam api yang ada bara merah. لَهَبٍ itu nama gelarannya, kerana dia seorang yang tampan. Dia suka digelar Abu Lahab, Jadi, sekarang diberitahu yang dia akan dimasukkan ke dalam لَهَبٍ! Ini adalah serangan dan hinaan kepada Abu Lahab.
Ayat 4: Sekarang masuk kepada kutukan terhadap isteri Abu Lahab pula – Umm Jamil. “Dan (begitu pula) isterinya, pembawa kayu bakar.” Umm Jamil ini pernah mengutuk Nabi Muhammad SAW dengan menggelar baginda ‘Mudhamam’ (yang terkutuk). Nama Nabi kita adalah Muhammad, tapi dia hendak ubah jadi Mudhamam pula, hingga dia mengarang syair tentang nama ini. Apabila ada orang memberitahu kepada baginda tentang perkara ini, Nabi Muhammad SAW menjawab, tidak perlu kisah kerana yang dikutuk adalah Mudhamam, sedangkan nama baginda adalah Muhammad. Ini mengajar kita untuk bersabar dan belajar melihat mana yang perlu dilayan dan mana yang tidak perlu dilayan.
Kenapa dikatakan Umm Jamil itu membawa ‘kayu bakar’? Kerana dia suka mengapi-apikan antara manusia. Dia suka mereka-reka kisah buruk tentang Nabi Muhammad SAW supaya orang tidak suka kepada baginda. Dia suka membangkitkan perasaan tidak suka masyarakat terhadap Nabi Muhammad SAW. Umm Jamil juga akan dimasukkan ke dalam neraka bersama suaminya Abu Lahab, dan dia sendiri akan membawa kayu kering untuk membakar dirinya dan suaminya itu. Ini adalah sebahagian dari azab seksa yang akan dikenakan kepada mereka. Dia akan berterusan melakukannya.
Ayat 5: “Yang di lehernya ada tali dari sabut.” Ini adalah azab yang disebut dan dikenakan kepada Umm Jamil – ditambat pada leher dia tali yang diikat seperti anjing. Dia mulia semasa di dunia, tapi dia akan dihinakan di akhirat kelak.
PENUTUP:
Ada dua tema dalam surah ini yang kita telah belajar:
Satu tema tentang Abu Lahab.
Satu lagi tentang isterinya, Umm Jamil.
Mereka berdua ini adalah jenis manusia yang paling jahat. Manusia ini terbahagi kepada empat jenis:
1. Bukan Muslim, tetapi seorang yang baik. Contoh: Bapa saudara Nabi, Abu Thalib yang tetap mempertahankan Rasulullah SAW walaupun dia sendiri tidak masuk Islam.
2. Ada musuh yang mulia. Mereka tetap tidak masuk Islam dan malah menentang Islam, tapi mereka itu sebenarnya
hebat
. Jikalau mereka masuk Islam, mereka akan menjadi orang yang mulia. Contohnya, Abu Jahal. Dia memang ada kelebihan peribadi pada dirinya hinggakan Nabi pernah berdoa semoga dibukakan hati sama ada Abu Jahal atau Umar untuk masuk Islam.
3. Ada yang menentang Islam dan menjadi musuh Islam, tapi mereka tidak benci kepada personaliti yang bernama Muhammad itu. Sebagai contoh, Utbah ibn Rabiah. Dia tidak benci Nabi Muhammad SAW, tapi dia ada reputasi yang hendak dijaga sebagai orang besar di Mekah.
4. Akhir sekali adalah jenis yang paling jahat – benci agama Islam dan benci Nabi Muhammad SAW juga – Inilah perangai Abu Lahab.
Bahagian kedua surah ini menyentuh tentang isterinya, Umm Jamil. Wanita juga boleh bahagikan kepada 4 jenis:
1.Wanita yang baik dengan wali yang baik. Ini seperti Maryam yang dijaga oleh Nabi Zakariya a.s.
2.Wanita yang baik dengan suami yang jahat. Ini seperti Asiyah, isteri kepada Firaun yang teruk. Dia tetap seorang mukminah.
3.Wanita yang jahat tapi dengan suami yang baik. Ini seperti isteri kepada Nabi Nuh a.s. dan isteri kepada Nabi Luth a.s.
4.Wanita yang jahat dan tinggal dengan wali yang juga jahat. Inilah peringkat Umm Jamil ini.
Surah an-Nasr - disebut perkara yang akan menyelamatkan kita di akhirat kelak – tasbih, tahmid dan istighfar. Surah al-Masad pula menyebut - apa yang tidak dapat menyelamatkan kita: harta dan apa yang kita dapat dari usaha kita.
You, Sabariah MY, Zarir Ali and 45 others
22 Comments
Love
Love
Comment
Share

3 comments:

  1. Walau hanya 5 ayat tapi banyak pengajaran yang boleh kita dapat dari surah ini

    ReplyDelete
  2. perkongsian yang baik kak PI terima kasih

    ReplyDelete
  3. Seronok bila ada geng untuk berkongsi ilmu akhirat

    ReplyDelete

Terima kasih bersama Karyaku...Paridah Ishak. Komen anda amat dihargai... “Semoga Allah SWT akan membalas dirimu dengan kebaikan yang banyak dan semoga Allah SWT akan membalas dengan balasan yang terbaik.”

MyBloglist