Tuesday 24 March 2020

AGRARIA WARISAN PETANI...

ASSALAMUALAIKUM

APRESIASI PI KEPADA SAHABAT BLOGGER, WARISAN PETANI YANG SANGAT RAJIN BERTANI LALU PI OLAH CATATANNYA KEPADA KARYA KREATIF ANEKDOT..KALAU PI RAJIN AKAN DIKEMBANGKAN MENJADI CERPEN PULA




AGRARIA WARISAN PETANI

Pokok-pokok serai paha ayam @ serai gajah yang  ditanam beberapa bulan lalu sudah boleh dituai. Aku membawa raga, cangkul, parang untuk memudahkan kerja yang hendak kubuat. Setelah menuainya dengan cara menyangkul perdunya akan dipotong pula daunnya. Berhati-hati sekali melakukannya kerana daunnya yang tajam mampu melukakan jari dan miangnya menyeluruhi badan tidak menyelesakan. Kemudian kuleraikan batang serai satu persatu. Dan diikat beberapa batang serai itu dengan tali rapia dengan nilai seringgit setiap ikat. Kesemua serai ini akan kujual di pasar kampungku atau lebih mudah disebut paskam saja.    
            Lain-lain sayuran kampung yang tumbuh secara semulajadi atau yang ditanam dengan keringatku seperti cekur  manis, petola, timun, cilia api, kacang panjang, pucuk betik, buah dan bunganya, kunyit dan daunnya turut menjadi bahan jualanku. Kelapa, nangka muda, telur ayam dan itik, kantan, rebung buluh, serai kayu,  pucuk tenggek burung, pucuk ubi kayu pulut, ulam raja , pucuk asin-asin, pisang nangka, pisang tanduk, pisang emas kuusung juga dan dilambakkan di atas pangkin menunggu pelanggan membelinya. Biasanya sebentar saja semua jualanku habis dibeli kerana harganya sangat berpatutan. Lagipun pelangganku yakin produk tani yang kupasarkan terhindar daripada racun serangga yang pastinya memudaratkan kemasylahatan kesihatan pengguna. Sayuran kampung dan pelbagai buahan tempatan amat ramai penggemarnya.
Pokok buahan di sekitar kebunku kelihatannya sedang galak berbunga. Manggis  mesta rendah merimbun dan sudah beberapa kali berbuah. Manggis  mesta ini kutanam melalui anak benih cantuman baji yang mana anak pokok penantinya adalah daripada baka manggis kampung. Pokok manggis mesta lambat membesar berbanding pokok manggis biasa. Bentuk buahnya juga berbeza, kurang bergetah dan lebih manis. Kelemahannya pokok manggis mesta kurang daya resisten terhadap penyakit berbanding manggis biasa.  Rambutan Jarum Emas kulihat sudah berputik. Tidak lama lagi akan bermulalah musim buah-buahan tempatan pula.  Buah-buahan  bermusim yang  paling awal memberikan hasil ialah buah kuini dan seterusnya buah durian. Ia akan diikuti pula oleh buah rambutan, pulasan, manggis, cempedak, duku, dokong dan akhirnya buah rambai. Durian D2, D198, tembaga, udang merah sangat digemari pelanggan. Sebelum aku sibuk melayani pelanggan buah-buahanku di paskam pabila tiba musimnya aku memanfaatkan masa menyantuni kegemaranku dengan bertani.
            Sambil menanggung raga serai di bahu, kakiku melangkah mendekati reban ayam kampung. Reban itu kubina sendiri degan kreativitiku utuk keselesaan ayam-ayam mendiaminya. Bersebelahannya terdiri reban itik. Kujengah dulu reban ayam kampungku. Ada 15 ekor ibu ayam sedang mengeram telornya. 15 bekas ayam tidak kelihatan ayam tapi ada telurnya. Aku mengutipnya dan meninggalkan sebiji sebagai umpan. Ayam akan merajuk dan tidak mahu bertelur sekiranya melihat telurnya tiada walau sebiji. Banyak juga telur yang dapat dikutip ditelurkan ayam peliharanku. Telur ayam kampung ini akan kujual di paskam buat menambah pedapatanku dan kutetaskan dalam incubator sebahagiannya. Jadi ayam-ayamku sentiasa ada sekiranya induknya sudah tua dan dijadikan lauk atau dijual..
            Kujenguk pula reban itik. Tidak kelihatan telur itik bersepahan di lantai reban. Itik jawa peliharaanku bertelur sebelah pagi. Mungkin anakku telah mengutipnya kerana aku telah berpesan kepadanya tadi. Ringan sedikit rutinku seharian. Telur itik akan dijadikan telur asin. Anakku itu sangat menggemarinya. Terutama kalau dijadikan hidangan berbuka puasa atau bersahur. Syukur kepada Ilahi kerana dianugerahi anak yang amat memahami kesulitanku yang bergantung kepada kudrat tulang empat kerat untuk mencari sedikit rezeki. Anakku itu baru saja pulang dari KL. Dia menyambug pengajian di sebuah IPTA. Dan IPTA itu diperintah tutup sementara ekoran tragedy jemaah tabligh yang berhimpun di masjid Seri Petaling ada yang dijangkiti wabak Covid-19. Masih ramai jemaah terlbat tidak dapat dikesan keberadaan mereka.  
            Larangan menghadkan langkah yang diistiharkan kerajaan untuk membendung penularan wabak Covid-19 mulai 18 hingga 31 Mac tidak menyekat aktiviti harianku bertani dan berternak. Aku sudah berkira selesai saja bersolat Asar akan ke tepi sungai untuk melihat beberapa ekor lembuku meragut rumput dan memeriksa kesihatan ternakanku itu. Jika tiada masalah yang mengganggu kehidupan mereka aku akan memancing ikan di sungai dengan senang hati.
Air sungai mengalir tenang. Rumput rumpai subur menghijau di tebingnya menjadi ragutan enak lembu-lembu kesayanganku. Anak-anak udang galah berenag di tepian akan mula membesar dan boleh dipancing kelak.. Baung, keli, haruan, terebul, puyu mengena pancinganku. Alhamdulillah rezeki petang untuk lauk hidangan makan malam bersama keluarga.


4 comments:

Terima kasih bersama Karyaku...Paridah Ishak. Komen anda amat dihargai... “Semoga Allah SWT akan membalas dirimu dengan kebaikan yang banyak dan semoga Allah SWT akan membalas dengan balasan yang terbaik.”

MyBloglist