Cerpen
Oleh Paridah Ishak
BUBUR LAMBUK MASJID U
Jelang
Ramadan
setiap tahun dia akan ke rumahku. Meninjau-ninjau sekeliling persekitaran laman
rumahku. Melangut pohon nyiur yang kebanyakannya sudah agak tinggi menjulang.
Namun kelihatan buahnya berkeruntoi lebat di mayangnya. Aku tahulah maksudnya
itu.
“Lebat juga nyiur pokok kau ni. Cukup ni untuk dibuat
bubur lambuk di masjid selama sebulan Ramadan ni.”
“Nanti aku datang kait ya.”
“Datanglah kait bang Din”, sahutku kesukaan. Suka benar
hatiku dapat menyumbang buah nyiur kepada masjid kampungku sempena Ramadan pada
setiap kali Ramadan mutakhir ini. Pokok nyiur banyakku tanam di sekeliling
rumahku memberiku rezeki-Nya tidak terhingga. Kadangku jual kepada mereka yang
menjalankan perniagaan makanan. Mengadaptasi situasi menang-menang.
Tapi
untuk jiran-jiranku yang mengambilnya buat menyayur, menggulai atau
berkeduri-kendara kuberi sahaja. Begitu juga sekiranya bang Din jiranku meminta
untuk kegunaan masjid.
Tidak perlu berkira untuk menambah bekal amalku ke
akhirat sana menurutku yang sedikit
kenihilan ilmu pengetahuan tentang agama Islam yang syumul ini.
Lagipun
tidak akan papa kedana lantaran rajin bersedekah. Rezeki-Nya maha luas segenap
sudutnya tanpa kita sedari. Melimpah merata. Fahamanku begitulah. Rasanya tidak
salah.
Pemberianku
itu dibalas bang Din sebagai komiti masjid yang menguruskan moreh masjid U
dengan bubur lambuk atau lauk-pauk yang dimasak di masjid kala hendak berbuka.
Bubur lambuk memang masakan istimewa bang Din. Secukup
rasa.lemak manis, masinnya. Lengkap.keenakannya. setanding dengan kelazatan
bubur lambuk masjid Jamek Kampung Baru kot. Aku mengagak saja. Sebab tidak
pernah juga merasa bubur lambuk yang diuar-uarkan sangat sedap itu. Tular di
media sosial. Gah sungguh.
Bubur
lambuk bang Din mengandungi tujuh jenis rempah herbanya iaitu ketumbar, jintan,
halba, lada hitam, buah keras, buah pelaga, kayu manis, cengkih, bunga lawang bersatu menerbit rasa
tersendiri. Wajib tidak ketinggalan walau satu.
Di samping
itu, bahan asas lain terdiri daripada daging tetel, udang kering, bawang besar
yang dihiris, bawang putih, santan, minyak sapi, minyak kelapa dan garam
secukup rasa. Untuk menambah aroma pula, daun pandan, daun sup dan daun bawang
turut dicampur, selain ditabur dengan bawang goreng,
Resepi
warisan turun temurun gemulah ayah bang
Din yang juga tok siak masjid kampung U suatu ketika dulu kata isteri bang Din
bercerita kepadaku. Kini bang Din meneruskan khidmat murni itu dengan
seikhlasnya.
Setiap
kali usai dikacau pada sebelah petang sebelum Asar, sudah ramai yang menunggu
dengan bekas di tangan untuk menadah bubur lambuk yang masih beruap di kawah.
Walau keletihan mengacau bubur lambuk ditambah sedang
berpuasa bang Din tetap tersenyum sambil menceduk bubur lambuk dan mengisinya
ke dalam bekas pemintanya. Mungkin hatinya merasa cukup puas kerana hasil
karyanya disukai penggemarnya.
Memasak bubur lambuk setiap kali jelang Ramadan sudah
lama dilakukannya. Sejak usianya awal 30-an dan mulai berjinak dengan aktiviti
di masjid kampung U setelah gemulah ayahnya berpulang kepada-Nya.
Dia
gembira dan selesa melakukannya dengan reda walau tanpa imbalan apa-apa.kecuali
sebekas bubur lambuk dan gulai apa sahaja yang dimasaknya, dibawa pulang untuk
bersahur nanti.
Ramdan
semakin berlalu. Tidak kelihatan kelibat bang Din melingas persekitaran laman
rumahku sambil meninjau buah nyiur yang melebat di pohon. Hatiku tertanya-tanya
juga. Apakah ada sesuatu berlaku di luar tahuku.
Mungkin
bang Din tidak perlukan nyiur daripada pohon-pohon sekitar rumahku lagi kerana
masjid kampung U sudah mendapat bekalan daripada sumber lain. Lagipun bukan aku
seorang yang miliki pohon nyiur yang banyak. Ramai juga menanamnya dengan nyiur
jenis yang lebat berbuah walau masih rendah iaitu nyiur mataq.
Dan
nyiur yang kutanam lama dahulu adalah dari jenis mawa yang dibeli benihnya di
tapak semaian Bagan Datoh. Tidak ada rezeki untukku meraih pahala melalui
sumbangan buah nyiur kepada masjid kampungku seperti Ramadan lalu.
Bang Din kembali dari masjid seusai solat Asar
barangkali. Aku berada di bawah pohon nyiur pandan di tubir jalan menyapanya.
“Cepat balik bang Din?”
“Dah selesai solat baliklah. Nak buat apa lagi.
Iktikafpun dah buat sekejap.”
“Biasa tu bang Din selalunya lepas solat Asar di bulan
puasa ni lambat baliknya. Masak moreh dulu, kacau bubur lambuk dan macam-macam
lagi kerja dibuat kat masjid tu.”
“Aku ni dah tua Yati. Tak larat dah. Biarlah orang muda
pula buat semua tu. Biarlah aku gi masjid untuk solat bila sampai waktunya.”
Padaku jawapan klise begitu bukan kebenarannya. Aku malas pula hendak merungkai
tanya. Biarlah bersimpul dahulu.
“Kenapa kau tanya? Kau nak makan bubur lambuk ke?” Aku
tersengih sahaja. Memangpun teringin juga nak merasa bubur lambuk air tangan
bang Din pada Ramadan ini. Selalunya
sentiasa dapat menjamu selera dengan juadah itu kala berbuka puasa diberi bang
Din.
“Nanti aku tolong ambilkan. Tapi bukan ambil bubur lambuk
kat masjid tu. Aku ambil kat surau hujung kampung kita ni. Aku kadang gi juga
tolong dia orang kacau bubur lambuk. Jadi diberi juga sebungkus dua.”
Abang Din meneruskan langkahnya menuju rumahnya.
Isterinya kebetulan berada di serambi melambai kepadaku.
Tanganku
memetik beberapa butir limau kasturi yang pokoknya rendah merimbun. Limau
kasturi yang akan kujadikan jus untuk minuman keluargaku berbuka puasa Maghrib nanti.
Rumpunan pandan menghijau subur di sipi laman. Mindaku
membayangkan sesuatu. Pantas sahaja tanganku memulasnya sehingga putus beberapa
helai hasil kekuatan tanganku. Maklum terlupa membawa pisau bersama.
Sedang aku mempersiapkan juadah berbuka puasa, kak Salmah
muncul di muka pintu dapurku. Sebungkus bubur lambuk dihulurkan isteri bang Din
itu kepadaku. Aku mengucapkan berbanyak terima kasih. Semangkuk kuih lompat
tikam kuberikan kepadanya.
“Rajinnya kau buat kuih lompat tikam Yati.”
“Terasa nak makan itu yang dibuat kak Sal.”
“Wah sedap ni. harum bau pandannya. Hijau warna tepungnya
yang putih berlemak santan nyiur. Eluk jadinya. Lompat tikam berenang dalam
kuah gula kabung,.tak sabar nak merasanya Yati.”
“Sekejap lagi dapatlah kak Sal merasanya.”
“Hih...hih...perangai kak ni macam budak-budak pula ya
Yati!” aku turut berketawa bersamanya.
“Duduklah dulu kak Sal, kita bersembang sekejap.” Kak Sal
menarik kerusi di meja dapurku lalu melabuhkan ponggongnya.
“Apahalnya?
Macam penting sangat soalnya.”
“Tak adalah penting sangat.
Saja saya nak tanya juga ni kak Sal…kenapa abang Din tidak lagi masak bubur
lambuk di masjid? Bukankah setiap kali bulan puasa, bang Din yang buat semua tu?”
“Kau tak tahu ke?” Kak Salmah menyoalku pula.
“Masjid sekarang ni ada pengurusan baru yang
mentadbirnya. Jadi mereka ambil geng yang mereka setuju saja. Kawan-kawan yang
sekepala angin dengan mereka. Bang Din tu suka menegur kalau dia rasa
silap itu yang buat jawatan kuasa masjid
yang baru dilantik tak setuju dengan dia.
Bang
Din tak kisah semua tu. Dia ikhlas saja menolong. Fikiran orang lama macam bang
Din tak serasi dengan pentadbir baru masjid kampung kita ni. Masjid kita
sekarang ni untuk mereka yang satu fahaman politik saja. Yang lain jangan
berani nak celah pendapatnya. Jangan nak berani sanggah.
Pendapat
mereka saja benar, orang lain salah belaka. Tak boleh diterima. Kata bang Din,
masjid adalah rumah Allah. Semua hamba-Nya yang Islam berhak berada di
dalamnya. Mesti dimakmurkan masjid tu dengan kehadiran umat Islam tanpa kira
apa fahaman mereka.
Lani
seolah mereka jadikan rumah Allah sebagai rumah mereka saja. Itulah yang bang
Din tak setuju sangat. Dah tak ada toleransi lagi.” Aku menghela nafas.
“Oh itu masalahnya. patutlah mereka singkirkan bang Din.”
“Secara kasarnya mereka tu tak singkirkan bang Din. Tapi
bagi yang faham maksud halusnya, mestilah sedar diri kan. Lagipun bang Din tu
orang tua. Cam kita juga hih..hih..”
Kemelut
politik berpolemik di mana sahaja tanpa sudahnya. Islam kan agama mudah. Tapi
tidak boleh sangat mempermudahkannya. Mengapa perlu menyempitkan ilmunya. Mangsa
ideologi mengeruhkan harmoni. Pendapat peribadiku, tiada kena mengena dengan
sesiapa waima hidup atau meninggal telah dunia.
TAMAT
Susah kalau fahaman politik dibawa ke masjid/surau
ReplyDeleteTKSH WP...YA ITULAH YG SERING BERLAKU DLM MSYARAKAT KITA
ReplyDeleteTak best duduk sekampung kalau tidak harmoni. Lebih-lebih lagi hal2 yang berkaitan dengan masjid.
ReplyDeleteTKSH FIDAH..MASYARAKAT KAMPING PUN KDG BERSELSIH FHM JUGA
ReplyDelete