Tuesday, 23 January 2018

DARMAWISATA...

ASSALAMUALAIKUM...

SESEKALI BACA CERPEN PI PULAK YA...

Cerpen
Oleh
Paridah Ishak.

                                                        DARMAWISATA


BAGAIMANA hendakku mula perjalananku berwisata ke benua Eropah yang  sudah kurancang sebaiknya untuk menghabiskan percutianku di musim bunga di sana? Apa pula masalah yang mendepaniku sehingga aku merasa kesulitannya memberatiku? Bukan tidak pernah pun ke sana. Tapi memang aku minat mengulanginya terutama pada musim bunga-bunga mengorak kelopak dan menebarkan keharumannya di setiap ruang. Sangat indah dan mendamaikan suasana alamnya  kurasakan.
            Asyik sekali melewati jalan beraspal di desa-desa tradisi Inggeris yang indah damai dengan hati digayuti kekaguman melihat epal merah, hijau, peach yang hijau, kuning, anggur yang merah, ungu, hijau juga serbaneka buah-buahan yang tidak kukenali namanya. Dan ingin kunikmati saat itu lagi setelah merasainya sekian tahun sehingga tamat pengajianku di universiti Manchester.
            Pulang ke tanah air dengan ijazah pengurusan perniagaan tentulah aku akan berkerja dalam bidang yang kupelajari dengan sangat gigih itu. Tidak susahpun aku hendak menjawat jawatan yang penting bersangkutan bidang tersebut kerana jawatan GM/general manager memang telah tersedia untukku.
            Buat sementara waktu sepanjang aku meneruskan pengajianku di Manchester,  mamaku memangku jawatan Allahyarham papaku itu. Dan  telah diwasiatkannya kepadaku mewarisiya. Perlulah aku mengisi ilmu di dadaku dengan perkara yang menyangkut bisnis dalam segenap aspek sebelum aku digalaskan dengan tanggung jawab menguruskan syarikat dedi yang agak terkenal di antara syarikat-syarikat terkenal di Malaysia dalam bidang alatan perubatan.
            Mama yang menggalakan papa untuk menceburi bidang ini setelah perniagaannya dalam bisnis impot-ekspot kenderaan pelbagai jenis mengalami kerugian kerana persaingan sengit pemain-pemainnya yang aktif dalam bidang ini. Prospek perbekalan alatan perubatan kepada pihak hospital dan lain-lain pihak yang memerlukannya amat baik menurut mama kerana tidak ramai anak bangsa yang menceburinya.
            Mamaku memang tahu soal itu kerana mamaku bergelut dalam bidangnya sebagai doktor di sebuah hospital kerajaan. Keperluan perbekalan pada alatan perubatan memang kritikal dan hanya bergantung kepada syarikat-syarikat dari luar negara semata. Apa salahnya sekiranya anak bangsa turut menyumbang sedikit kepada keperluan semasa dengan turut bergiat sama.
            Perniagaan papa berjalan lancar dan kukuh stabil sehingga papa meninggal dunia dalam kemalangan udara tika menghadiri majlis perkahwinan anak salah seorang sahabat perniagaannya. Pesawat Cessna yang dinaiki papa bersama mamaku terhempas di dalam belantara Bentong.
            Mamaku masih panjang umurnya dan ditemui selamat dalam usaha pencarian yang dilancarkan anggota keselamatan negara justeru tercampak keluar daripada Cessna sebelum Cessna itu meletup dan mengorbankan mamaku dan juruterbangnya. Tragedi sadis yang menimpa papa membuatku meratap kesedihan. Apalagi mamaku.
Bertahun-tahun juga mamaku mengalami tekanan jiwa, kemurungan lantaran kehilangan suami kecintaanya.
            Mamaku seorang pakar psychiatris tapi jiwanya  lemah ekoran insiden yang merentap jantungnya itu membuatnya jatuh terjelepuk. Semakin dia memahami kondisi mereka yang mengalami masalah tekanan jiwa yang mampu dikawalnya hanya dengan bantuan ubat-ubatan. Ubat yang mampu melemahkan emosi umpama harimau yang disuntik pelali.
            Seorang pesakit mamaku juga hilang kewarasannya kerana tertekan dengan tragedi kehilangan suaminya dalam insiden yang seakan sama dialami mamaku. Dan mamaku prihatin sekali dengannya lantaran diabaikan keluarganya kerana sikapnya yang suka mengamuk dan memberontak tiba-tiba meledak bagai bom jangka itu.
            Setelah diberi rawatan, emosinya kembali normal dan dihentikan rawatannya dengan dibekali pil aneka jenis yang perlu diambil. Tapi wanita sebaya mama, pesakit jiwa mamaku itu dikembalikan semula ke hospital oleh keluarganya setelah beberapa hari saja berada di rumahnya. Begitulah perulangan kisah itu berlaku sehingga mamaku jatuh kasihan dan simpati amat terhadap pesakitnya itu.
            Mamaku mengambil keputusan untuk membawa pulang aunti Syarmila ke rumah kami dengan niatnya tentulah hendak memberi rawatan terbaik yang mampu diberikan seorang doktor kepada pesakitnya. Menurut pemahamanku begitulah.
            Aunti Syarmila boleh dipulihkan kemurungan jiwa yang dialaminya dengan ubatan dan perhatian mereka yang prihatin kepada dirinya kata mamaku kepadaku. Janganlah biarkan dirinya  dengan gangguan emosi yang bercelaru dalam delusi sentiasa di dunia fatamorgana yang luas tiada penghujungnya.  
            Walau hatinya sedih dan menangis tapi sentiasa berketawa tidak tentu masa. Berhalusinasi sambil berdialog sendirian seolah berteman dan alogia adalah petanda psikosis skizofrenia.
            Skizofrenia yang dinadapi auntie Syarmila boleh diubati dengan sentiasa mengambil pil Ahalorbedol dan Akhlorbernazzin di samping cara pemakanannya yang nutrisinya adalah omega 3 dan omega 6.
            Mamaku merasa dialah yang selayaknya memberi pertolongan kepada pesakit jiwa itu lantaran dia sangat memahami kondisi pesakitnya. Aku ikut saja apa keputusan mamaku kerana mamaku berhak membuat keputusan apapun yang terbaik difikirkannya.
            Dan aku yakin aunti Syarmila tidak akan menimbul masalah kepadaku kerana di rumah kami ada ramai pembantu.  Di dapur ada dua pembantu yang kerjanya cuma memasak dan menguruskan tentang dapur saja iaitu Mak cik Inah dan kak Sari. Pengemas rumah pula kedua-duanya orang Filipina. Kerja mereka tentulah mengemas sahaja di segenap ceruk. Elli dan Eva arif tentangnya.
            Pengurus ruang halaman rumah mamaku hanya Pak Leman saja. Seorang yang pendiam dan suka menyendiri. Hanya leka melakukan pembersihan laman rumah dan menjaga pohon-pohon dan bunga-bunga yang kesemuanya adalah tanamannya.
Pemandu pula hanya seorang saja.
            Tugas abang Kadir hanya menghantar mamaku ke hospital dan ke mana sahaja mamaku hendak berpergian. Sedang aku memandu sendiri sahaja  ke pejabat walau mama menyarankan kepadaku untuk menggunakan khidmat pemandu berbayar bagi memudahkan semua urusanku. Tidaklah aku perlu terkocoh-kocoh setiap pagi mempersiap diri dan bergegas menghidupkan enjin kereta sebelum bertolak ke pejabat.
            Lebih mudah kalau ada pemandu sendiri dan aku cuma perlu menghenyak ponggong di sit belakang,  menyelak lembaran akhbar The Edge atau Financial Times. Kejora mata menyorot berita urus niaga ekonomi sedunia dengan amat selesa tanpa perlu kuperhatikan jem di jalan raya yang amat sibuk setiap pagi.

            Sebelum memulakan  perjalanan mamaku mengajarku doa-doa perjalanan agar perjalananku dilindungi Allah sehingga selamat sampai ke destinasi ditujui. Dan perjalananku jauh ke benua Eropah akan kuatur tidak lama lagi. Tapi!Ada rasa termengkelan dan kemusykilan yang menyesak dada rentetan frasa pendek itu. Auntie Syarmila menimbulkan gara-gara pula. Aku pula menjadi  tidak keruan dibuatnya.
            Sedang mamaku yang sepatutnya berada di sisiku untuk membantu menyeselesaikan permasalahan auntie Syarmila tidak ada kerana sedang mengikuti kursus kerjayanya di sebuah pusat perubatan yang terkenal  di India.
Auntie Syarmila sering mengganggu kerja-kerja kak Suri dan mak cik Inah di dapur secara dengan pantas mengambil pisau yang digunakannya untuk meracik apa saja.
            Jikalau dilarang sikapnya bertukar agresif dan menakutkan sekali, adu mereka kepadaku.  Membuatkan kedua-dua tukang masak itu tidak berani berada di dapur kerana risaukan keselamatan diri sekiranya aunti Syarmila tiba-tiba mengamuk menggunakan peralatan dapur yang kebanyakannya tajam dan perlu dikendali sebaiknya.
           
            Kala malam pula auntie Syarmila kelihatan susah hendak lelapkan mata dan menghala langkahnya ke segenap ruang.  Membongkar apa saja dan menyepahkannya merata di lantai. Habis berserak buku-buku di librari mama dan Allahyarham dediku dilambakkannya.
            Merungut pula Eva dan Elly kepadaku kerana aunti Syarmila menyebabkan kerja-kerja yang mereka perlu buat bertambah banyak. Aku ligat memikirkan solusi kepada permasalahan  aunti Syarmila ini.
            Sepanjang ada mamaku tidak pula sikapnya menyusahkan sesiapa. Nampaknya tenang dan normal saja. Mungkin auntie Syarmila tidak mengambil ubat-ubat sebetulnya mengikut jadual. Jikalau ada mamaku pasti mamaku akan sentiasa mengingatkannya. Keperluan kepada ubat yang mengawal kecelaruan emosi pesakit mamaku itu ternyata begitu penting.
 Tiada mamaku tiada sesiapa yang memerhatikan keadaan auntie Syarmila. Hendak diharapkan aku sukar juga. Masa sentiasa mencemburui dan aku terpaksa berkejar dengan masa lantaran kesibukan mengendalikan syarikat peninggalan papaku.
Seawal 7.00 pagi sudah ke pejabat dan pulang keletihan kadangkala lewat malam. Masaku untuk memberi  sedikit perhatian kepada autie Syarmila kurasa tidak ada. Aku cuma mengharapkan pembantu-pembantuku di rumah sepanjang ketiadaanku dan mamaku menguruskan apa saja masalah aunti Syarmila. Tapi sebaliknya pula jadinya.

            Terpaksalah aku menyerah kalah kerana aku tidak mampu menjadi sebaik mamaku dalam mengurusi seorang skizofrenia. Keputusan yang kuambil untuk kemasylahatan auntie Syarmila dan semua yang berada di bawah tanggung-jawabku tentu mamaku akan mempersoalkannya. Aku tawakal saja.
            “Kenapa kembalikan aunti Syarmila kepada keluarganya? “
            “Kan mereka itu keluarganya terdekat. Kenapa mama dan kita pula  perlu menjaga aunti Syarmila. Sedang mereka  lepas tangan. Tugas mama tu mama perlu selesaikan di hospital saja, kenapa perlu mama bawa pulang ke rumah pula?”
            “Sebenarnya kau langsung tak faham apa yang mama sedang lakukan sebagai tanggung-jawab mama sesama manusia dan amal kebajikan mama demi Allah, Suria.”
            Aku membisu.
            “Sayang mama nak tahu ya? Biar mama jelaskan.”
Penjelasan mama kunantikan dengan sabar.
            “Auntie Syarmila seorang yang baik. Sebenarnya dia kawan mama juga. Dia tidak minta ditakdirkan begitu namun ketentuan Allah tidak mampu untuk kita duga bagaimana bentuknya yang terjatuh di lorong hidup kita hari ini atau keesokannya. Mama ingin membantu auntie Syarmila kembali kepada kehidupannya sediakala dengan bantuan ubatan yang ditentukan dan perhatian.
            Keadaan dirinya yang alami serangan sakit saraf mental tidak boleh dibiarkan. Ramai pesakit skizofrenia yang telah pulih dan kembali normal menjalani kehidupan seperti ramai yang lain. Sakit mental pun seperti sakit-sakit yang lain juga yang perlu diubati untuk kesembuhannya Sayang!
            Cepat atau lambat pemulihannya tergantung kepada kita yang berusaha dengan izin Allah jua. Setiap kita yang berusaha pasti ada kejayaannya.
Mama dulupun berusaha keras untuk hidup di tengah belantara seorang diri kala eksiden Cessna berlaku dengan tidak putus-putus berdoa kepada-Nya agar mama dapat kembali menemui Suria dan semua yang mama sayang.”
            Mama terkedu. Sebak di dadanya yang beriak di wajahnya yang pilu sayu membuatku drastik memeluknya. Mama pasti teramat sedih mengenangkan pengalaman menyebabkannya trauma yang masih berbekas di hatinya. Apalagi insiden penuh tragik itu mengorbankan papaku, kecintaannya. Air mata kelihatan bergenang bening di kelopak matanya. Menyesal pula aku bertindak bodoh tanpa pengetahuan mamaku terlebih dahulu terhadap aunti Syarmila.
            “Su minta maaf banyak-banyak ya mama. Kalau mama masih mahu merawat aunti Syarmila di rumah kita, Su boleh minta abang Kadir mengambil aunti dari rumah keluarganya.”
            “Tak mengapalah sayang. Mungkin aunti Syarmila juga rindu untuk kembali ke rumahnya dan bersama keluarganya. Kita tenguklah dulu bagaimana perkembangan hidupnya selanjutnya sementara ini.”
Mama menggenggam tanganku erat dan kejora matanya menikam wajahku.
            “Mama rasa hendak berehat pula sebelum hujung tahun ini dan berhajat mengerjakan umrah di tanah suci.”
            “Elok juga mama bercuti sambil merehatkan diri. Selama ini mama asyik berkerja saja.”
            “Sayang mahukah temankan mama.?”
            “Su bercadang hendak ke Manchester sambil keliling Eropah hujung Disember ini.”
            “Kan sudah selalu Sayang keliling Eropah semasa menuntut di sana dulu? Mama rasa, Sayang tidak pernah lagi ke tanah suci Mekah.  Mama dan dedi selalu juga ke sana tika Sayang sedang belajar di Manchester dan merasa terkilan tidak dapat membawa Sayang bersama.”
            Aku merasa amat berat hati hendak menolak permintaan mamaku ini walau aku rasa mamaku amat mengerti jika alasan yang kureka boleh diterimanya. Dan tidak memaksaku mengikutinya.
            “Kita ke sana bertamu ke rumah Pencipta kita. Di sana kita terlalu dekat dengan Dia walau dimana saja kita dekat dengan-Nya tapi di tanah suci yang kita jejak kaki lebih istimewa lagi.
           
            “Jom temankan mama ya. Sekali Sayang sudah ke sana Sayang pasti akan sentiasa hendak mengulanginya berkali-kali. Dan mungkin terlupa hendak ke Eropah, Amerika, Jepun, China dan serata tempat indah di dunia yang telah Sayang kunjungi selama  ini.”
            Teruja mendengar kata-kata lunak syahdu mamaku membuatku membatal hasratku berwisata ke Eropah seperti rencanaku pada mulanya. Rupanya bukan aku seorang yang mama ajak menemani perjalanannya ke tanah suci Mekah.
            Seisi rumah kami termasuk kak Suri, mak cik Inah, abang Kadir, Pak Leman pun ikut sekali. Elli dan Eva tidak ikut kerana mereka pulang bercuti ke Zamboanga Filipina.
           
            Dan baruku tahu pula bahawa kak Suri, mak cik Inah, abang Kadir dan pak Leman adalah bekas pesakit skizofrenia yang pulih dirawati mama dengan izin-Nya jua. Subhanallah! Maha suci Allah.

TAMAT.
 



8 comments:

  1. Skizofrenia... Puan PI...kalau seseorang tu suka menggunakan istilah skizofrenia sebagai profilenya... agaknya ada problem sikit2 tak..

    ReplyDelete
  2. TKSH FIDA..NTAHLAH..MUNGKIN ADAKECELARUAN PADA MINDANYA KOT..

    ReplyDelete
  3. menarik..musim bunga mmg cantik..

    ReplyDelete
  4. mmg ramai yg sembuh tp mereka yg berada di sekelilingnya punya kesabaran tahap tertinggi

    ReplyDelete
  5. TKSH NOHAS YA CNTIK SGT MUSIM BUNGA DI SANA

    ReplyDelete
  6. TKSH ANIES YA KESABARAN PERLU TINGGI MNGURUSKN MRK YG SKIZO

    ReplyDelete
  7. Setiap penyakit ada ubatnya. In shaa Allah

    ReplyDelete

Terima kasih bersama Karyaku...Paridah Ishak. Komen anda amat dihargai... “Semoga Allah SWT akan membalas dirimu dengan kebaikan yang banyak dan semoga Allah SWT akan membalas dengan balasan yang terbaik.”

MyBloglist