SEBUAH BICARA ALAM
AKULAH SEMELAI
Di rimba ini
akulah penghuni
Orang asal pribumi sejati
seawal pagi bersama murai
riuh berkicau di puncak pohon
diiring rerama meriah warna mengutip embun
reruak, puyuh, punai ayam-ayam
berlarian menyusup semak.
aku laju menuju sungai Pahang mengalir tenang
Jernih air dingin membasah tubuh
ralit bermain anak anak sempilai, kelah, toman
berenang-renang
nyaman
tiada gangguan
Dari sisi pondok ibu melaung
cepat pulang berpakaian
ke sekolah kita
Oh! Aku sudah hampir terlupa
bersarapan dulu ubi rebus tanaman ayah ibu
pesan penting guru kuingat selalu
galas beg buku bonceng motor ayah
ke sekolah berkuliah
guru tersenyum menyambut
gigih menabur ilmu
didik anak bangsa
agar Berjaya
Kususuri setiap hari
Indah taman rimbaku
menghantar lelahku, bermain perah
mengutip merah saga
mengira ilmu metamatika
sesekali terlena, di bawah rendang tembusu.
Rimba sekitarku ini,
Tempatku mencari dedaun herba
kembang semangkuk, tongkat ali
menyusuri banir jejawi
bersirat akarnya hingga ke tepian paya.
Bahan jualan ayahku
Kepada pengguna
Mengais sedikit rezeki
Aku anak rimba ini bersama
Keruing, halban, tualang menjulang
tumpuan lebah dan kelulut
menghimpun manis madu nektar bunga bunga
Pesona flora aneka warna
melayut kemboja, kenanga, exora
harum tanjung menyebar wangi
anggerik menumpang di dahan
meliuk-lambai dalam senyum
beralun membelai bayu.
Aku masih di sini
Denai dan lorong rimba diredah
laluan fauna, unggas melayang
kembara kehidupan kami penghuninya
melestarikan budaya dan adat
setia bersama indahnya
alam semulajadi
jangan ada sesiapa berani
mengusik warisan tanah rimba
nenek moyang kami
biar kita sama menjaga
kerana kita juga
ingin mengongsi rezeki milik-Nya hingga akhirnya.
Paridah Ishak
Tasek Perdana KL
19/03/017
Indahnya bumi kita
ReplyDeleteWarisan yang harus dipelihara
TKSH FIDAH...PERTIWI NAN INDAH
ReplyDeleteterbaiklah kak PI
ReplyDeleteTKSH JM..INSYA ALLAH
ReplyDeletebumi ini... kita pinjam daripada generasi akan datang...peliharalah ia sebaiknya...
ReplyDeletesemelai tu ape?
ReplyDelete