Monday, 5 December 2016

NOVELET FIKSYEN BAHAGIAN 2

ASSALAMUALAIKUM...

SAMBUNGAN NOVELET FIKSYEN BHG 2..

DEMI ALLAH
DEMI ANGIN
DEMI AIR

Oleh Paridah Ishak

Ah! Melayan perasaanpun tidak mendatangkan apa-apa keuntungan. Lebih baik aku mengerah mindaku berfikir bagaimana aku mahu meneruskan kelangsungan hidup daripada tiada kepada ada. Untuk sesuap nasi demi anak-anak tersayang aku terpaksa membuat apa saja perkerjaan yang mendatangkan imbuhan sesuai dengan apa yang kulakukan. Di subuh hari sudah terbongkok-bongkok menoreh getah. Sebelum embun jantan yang luruh ke daun beransur kering bersedia pula dengan timba yang akan mengumpul susunya dan membawanya ke tempat pengumpulan untuk pemesinan susu getah setelah dibekukan.

Sekerat hari masaku berada di mandala kebun getah yang redup buat mengais sedikit rezeki Allah. Mujur juga ada tanah getah pusaka yang sekangkang kera diwariskan gemulah kedua ibapaku. Dapatlah aku mengais rezeki di atasnya. Kelelahan tubuhku tidakku pedulikan dengan mengupayakan tenaganya yang telah berkurangan itu dengan mencangkul tanah untuk bercucuk tanam pula.
Hasil tanamanku kelak bolehlah dijual untuk memenuhi sedikit keperluan hidupku dan anak-anak. Cili padi, terung, kangkung, keledek, ubi kayu sentiasa ada di batasnya. Tanaman yang mudahku urus dan agak rentan dengan serangan penyakit tumbuhan. Selain menambah pendapatan dapat juga menjimatkan belanja sayur di dapur dengan tidak hanya membelinya saja.
Ayam dan itik turut diternak untuk dapatkan telur dan dagingnya. Sesekali atau selalu lebih tepatnya keluargaku berlauk telur pelengkap hidangan santapan. Pandangan sepasang mata yang keletihan tubuhnya samar dan kabur namun setiap malam tanganku ini sentiasa bermain bersama jarum, benang dan gunting untuk menjahit pakaian tempahan mereka yang berhajat.
Karya jahitanku tidaklah terlalu kemas dan cantik tapi yakin sajalah dengan kemahiran diri yang sedikit itu. Mentelah hanya itulah ilmu yang ada untuk dimenafaatkan sebaiknya demi kelangsungan hidup. Ilmu kemahiran hidup yangku perolehi darpada kelas Sains Rumah Tangga sewaktu bersekolah dan kelas jahitan di kampung anjuran pihak berwajib kugunakan sebaik mungkin.
Susah payahku tidaklah berpanjangan setelah anak-anakku semakin dewasa dan mendapat pendidikan hingga ke menara gading melunasi setiap impian ibu bapa.
Melakukan kebiasaan yang melekakan membuatku terlupa dengan cabaran hidup dan
masalahnya yang perlu diselesaikan demi masa yang berlalu. Mendung yang menabiri ruang kehidupanku semakin berarak lalu. Sekitar suasananya telah cerah indah, biru lagi mendamaikan. Syukur Alhamdulillah di atas karunia-Mu ya Allah.
Seseorang berdiri di muka pintu. Kusambut huluran tangannya sambil tersenyum berbudi bahasa. Tidak asing padaku wajah yang hadir ke sisiku itu. Cuma aku tidak tahu apakah tujuannya menemuiku. Adakah nawaitunya bermaksud baik atau sebaliknya. Hati perut orang masakan dapat ditebak isi kandungannya.
Meneka-neka pun tiadalah gunanya. Biarkanlah dulu pertanyaan tentang itu berladung dalam hatiku menanti jawapannya dengan sabar. Terkedu seketika. Tidak tahu pula untuk memulakan perbicaraan.
“Kau sihat Ina? Dengar khabar kau hendak ke Mekah. Ini yang aku datang menziarahi kau ni. Bukankah kau ni sahabat aku.”
Hmm…sahabat aku rupanya diri yang terhenyak di atas sofa ruang tamu rumahku ini. Aku pun sudah terlupa bahawa dia adalah sahabat lamaku. Sahabat yangku kongsi susah senangku bersamanya.
Riang bercerita dengan gelak tawa pengalaman apa saja. Sering pula menemaniku menghabiskan percutianku bersama anak-anak dan mantan suami kecintaanku di mana saja. Jalenan persahabatan antara kami amat erat dan akrab. Aku merasakan hatiku berkata bahawa dialah sahabatku dunia dan akhirat. Harapanku terabadi selamanya. Adakalanya panas tidak sampai ke petang dan hujan menyimbah pula di tengaharinya.
Musnahlah harapan yang dipertaruhkan. Sahabatku dunia akhirat yang dibayar suamiku suatu ketika dulu sebagai guru tusyen anak-anakku tidak pernah akan kuduga sanggup bermain mata dan bermain cinta dengan suami sahabat baiknya sendiri. Setelah permainan cinta berlangsung dengan jayanya dikejutkan aku dengan berita perkahwinan mereka di sempadan negara.
Sahabat baikku dunia akhirat ini juga telah memberi kata dua kepadanya supaya memilih antara dua. Samada memilih aku isteri pertamanya atau dia. Mendengar itu akupun tidak mahu menyusahkan lelaki pilihan yang menjadi rebutan itu dengan cepat-cepat mengajukan permohonan tuntut cerai di mahkamah syariah.
Firasatku mengatakan tiada guna mempertahankan perkahwinan yang telah menipis rasa cinta antaranya. Perkahwinanku pun termansuh dengan izin-Nya. Gelaran ibu tunggal yang ditinggal dengan penuh kerelaanpun melekat kejap pada diriku. Relakah diceraikan? Sedihnya hanya hati yang merasainya.
“Bilakah kau hendak bertolak ke Mekah?”
“Tidak lama lagi dengan penerbangan MAS yang keenam.”
“Maafkan semua salah sillapku ya Ina…sampai di sana jangan lupa berdoa supaya sahabatmu ini juga akan ke sana.”
Berlapang dadakah aku untuk menerima tuntutan maaf hamba Allah ini yang terlalu banyak melukis warna kesedihan di atas kanvas lukisan hidupku ini? Insya-Allah! Jesteru perjalananku menemui-Nya tidak mahuku membawa urusan-urusan yang menggendalakan sebarang niatku kelak. Lagipun ganjaran Allah justeru memaafkan kesilapan sesiapa saja yang menganiayainya teramat besar. Dan nikmatnya tidak mampu didustakan. Sifat iman yang kental.
Manis dan molek sungguh susun atur bicara wanita anggun ini. Seolahnya antara kami tiada kisah yang terjadi mengoyak rasa. Tenang dan nyamannya hubungan persahabatan bagai air di tasik biru di bawah malam disinari cahaya rembulan.
Aku yang mendengarnya hanya tersenyum polos.
“Kau bila pula nak ke sana. Duitpun sudah juta-juta.”
“Belum sampai seru lagi kata abang. Dan masih banyak ringgit  yang perlu dicari untuk bekalan masa depan nanti.”
Bersyukur sungguh aku kerana Allah memilihku menyahut seruan-Nya untuk bertamu ke tanah suci-Nya walau aku tidak kaya dan seadanya saja.
Renungan Salina menyapa wajah di sisinya. Citra dilayar mindanya sirna.
“Wah rajinnya anak-anak berdua ni tolong mak cik kat dapur ya. Mari duduk dulu. Mak cik nak cerita sikit kenapa rumah ni besar tapi tak ramai yang duduk sini.” 
Mak cik Salina menceritakan serba sedikit secara kasar tentang kisah kehidupannya kepada kedua-dua sahabat baik anaknya itu.
Tapi tidak keseluruhannya. Cerita sebenarnya banyak yang dirahsiakannya. Dan Azalina mula membuat kesimpulan akan mengapa agaknya Nursyafikah terlalu teliti dalam pemilihan jodohnya. Dan kenapa sahabatnya itu menolak pernyataan cinta kawan-kawan lelaki sekuliah yang berminat memenangi hatinya.
“Kau dengar cerita mak cik Lina tadi?”
“Mestilah dengar. Kan aku ada bersama tadi.”
“Patutlah Pikah tu memilih sangat. Rupanya bimbangkan nasib yang menimpa emaknya, menimpanya pula. Bak kata orang tak mahu pisang berbuah dua kali.”
“Sekarang pisang dah boleh berbuah dua kali kalau kita pangkas pokok tanpa tebang hingga perdunya. Akan keluar sulur baru dan berbuah semula. Kan untung tu.”
Keduanya tertawa pula. Sama-sama gelihati menafsir perumpamaan yang tidak dikira releven pada mereka dalam situasi semasa.
“Sudahlah jangan bersembang lagi. Aku dah ngantuk sangat ni.”
Dan malam yang memberi kerehatan pada tubuh manusia mengurangkan oksigen pernafasan kerana tumbuhan alam melepaskan kaban dioksida ke udara maya menyebabkan nyenyak terlena sehingga dinihari. Fajar membuka tabir subuh demi detik waktu berlalu.  
Subuh yang sunyi. Hanya suara serangga-serangga yang tidak ketahuan jenisnya mersik halus. Kalau hujan tentu  pasti suara katak yang menggema. Bukan katak-katak tu memanggil hujan Tapi mungkin sedang berzikir dan memohon hujan agar berhenti. Justeru hujan yang lama mencurah menyebabkan makhluk-makhluk Allah itu kedinginan amat. Wallahualam.

Suara azan subuh jelas kedengaran di segenap ruang berhampiran. Melantasi hingga ke rumah mak cik Salina yang jaraknya hanya beberapa puluh meter sahaja. Lalu segera membangunkan isi rumah itu daripada tidur mereka yang amat jenera.

“Kaunak mandi dulukan sebelum solat?”
Nurhusna hanya angguk tanpa sepatah kata.
“Kalau gitu biar aku masuk bilik air dulu ambil wuduk. Segan pula aku nak mandi pagi-pagi ni.  Bukan main sejuknya. Mengalahkan berada di Cameron Highland.”
Sahut Azalina sambil mengungkapkan komennya tentang pengalamannya berada di tempat percutian tanah tinggi itu.

Dia pernah ke sana dalam rangka lawatan kerja kursus menyiapkan  tugasan mengenai pencerobohan alam sekitar yang berlaku sekitar situ dan kemusnahan system ekologinya. Ianya dilakukan mereka yang tidak bertanggungjawab dan hanya memikirkan keuntungan jangka pendek. Dan kerja kursus yang dilakukan itu turut melibatkan Nurhusna, Nursyafikah, Zulhilmi dan beberapa orang lagi rakan sejurusan pengajian.

“Pergilah cepat? Waktu solat subuh ni pendek saja. Aku rasa Pikah dan mak cik Ina tentu dah bangun. Dan dah mula sibuk di dapur. Entah apalah yang dimasak mak cik Ina untuk sarapan kita. Mesti sedap sangat tu.”
“Hish! Kau ni Suna, soal makan saja yang kaufikirkan. Okey aku gerak dulu.”
“Aku tu cakap saja Lin.”

Azalina memboloskan dirinya ke bilik air meninggalkan Nurhusna yang tertunduk-tunduk mengemasi ranjang tidur mereka. Anak gadis ini sudah dibiasakan melakukannya sejak lama hasil didikan ibunya. Usai melakukannya langkahnya diatur ke dapur. Dia menjangka pasti mak cik Salina dan sahabatnya Nursyafikah berada di sana.

“Hai! Awalkau bangun Suna? Macamana lena tidur kat sini? Tiada yang mengganggu?” Pertanyaan sahabatnya itu hanya dibalasnya dengan senyumnya yang terorak sedikit.
“Kalau sebelum tidur ada wuduknya dan dibaca tiga qul, ayat kursi tujuh kali, bersyahadah terlebih dahulu tentu tidak ada yang mengganggu dan dapat tidur lena dengan nyaman,” tingkah mak cik Salina yang sibuk menuang adunan kuih cara ke dalam acuan bunga cermai di atas api dapur gas yang dipasang perlahan. Api dengan digri kepanasan yang tinggi akan menyebabkan kuihnya hangus tapi tidak masak keseluruhannya.

“Suna ni lain sikit mak. Dia ni ada kebolehan nampak apa yang kita tak nampak.” Selama dia berkawan dengan sahabatnya itu, pelbagai keanehan kisah mistik yang diceritakan Nurhusna kepadanya. Ketika mereka berada di Cameron Highland Nurhusna memberitahu penyelia projek tugasan mereka bahawa kawasan itu tidak lagi selamat kepada mereka kerana akan berlaku tanah runtuh tidak lama lagi.

Dr. Nordin selaku penyelia projek bertanya kepadanya bagaimana dia boleh tahu. Dia tidak menjawabnya tetapi memberitahu kepada Nursyafikah dia melihat ramai orang di tanah tinggi itu sedang mengangkut barang-barang untuk berpindah entah kemana.
“Aku tak nampakpun.”
“Kau memang tak Nampak. Tapi aku nampak.” Balasnya dengan yakin. Dan keesokannya kejadian seperti yang dijangkakan Nurhusna telah berlaku. Dengan izin Allah jua.

“Oh! Anugerah Allah tu.” Sela  emak Nursyafikah.  Nurhusna memandang Nursyafikah lunak sambil jari telunjuknya menyentuhi  bibirnya. Sahabatnya itu lantas terdiam seolah mengerti maksudnya.

“Siapa bilal yang azan di sini mak cik? Mersik merdu suaranya.” Nurhusna mengalih topik bicara agar emak Nursyafikah tidak menyoal lanjut tentang kenyataan sahabatnya itu mengenai dirinya. Terlontar suaranya bertanya tentang itu. Ingin sekali diketahuinya pemilik suara yang mengalunkan azan dengan amat merdu sekali.

Suara azan yang dikumandangkan Bilal bin Rabah sahabat Rasullullah difirmankan Allah dalam al-Quran melantasi lapisan petala bumi dan langit hingga ke baitl-makmur di syurga. Hebat sekali gelombang alun azan itu membawa risalah-Nya walau kemana saja pelosoknya dan sentiasa sambung menyambung seiring putaran bumi di paksi-Nya. Kini yang mengalunkan azan di masjid atau surau disebut ‘Bilal’ sebagai tanda penghormatan kepada muazin Bilal bin Rabah sahabat kepada Rasullullah itu..
 
“Oh! Bilal baru tu. Dulu bilal lain. Memang bagus suara bilal baru tu. Mak cik ni kalau setiap subuh tidak dengar suara azan subuh seakan terasa hilang sesuatu. Sunyi sepi.”  
Hadir rakaman saat itu melintas lalu.

Dan subuh mutakhir ini menjadi terlalu sunyi kerana suara muazin tidak mengumandangkan azan daripada surau yang berhampiran menyeru menunaikan solat untuk menuju kejayaan. Kenapa jadi begitu? Tentulah ada sebabnya. Jikalau tidak tentu tidak terabai surau dengan suara yang penuh hikmat itu.

Sebenarnya tok bilalnya tiba-tiba demam dan tidak dapat nak menapak ke surau pada setiap subuh hari. Betapa berharga suara tok bilal yang sering mengumandangkan azan itu dirasakan setelah suaranya tidak terdengar lagi. Begitu kehilangan sekali.

“Dahulu tukang azannya adalah jiran mak cik,, Md. Rodi yang tinggal berselang beberapa rumah dengan rumah mak cik ni. Setiap subuh akan terdengar langkahnya yang diatur dengan derap yang serupa ritmanya. Dan kami semua jirannya sangat kenal dengan derap langkah yang teratur di subuh sunyi itu.Kini tidak dengar lagi ritma langkah itu lantaran beliau telah melangkah jauh meninggalkan kenangan murni itu untuk menemui Ilahi yang menjanjikan kejayaan.”

“Wah! Mak ni kalau bercakap macam baca skrip radio hih…hih..” Mak cik Salina tersenyum saja. Ungkapan yang terlahir di bibirnya adalah spontan tanpa dia merangkanya.
“Kauni Pikah. Pandai saja nak usik mak kau.”
“Perangai anak mak cik sorang ni memang gitu Suna. Sabar ajelah.”
Dalam diamnya mak cik Salina menghadiahkan bacaan ayat suci Al-fatihah untuk Allahyarham Md. Rodi jirannya yang sangat baik itu. Dan tempatnya yang istimewa itu diganti jirannya bang Din dengan segera. Surau itu tidak sempat sunyi dengan laungan azan.

Tiba-tiba bang Din demam pula. Demam urat kata isterinya kerana terlalu rajin berkerja. Jirannya itu memang dikenali tabiatnya yang sangat rajin berulang ke kebun sawitnya mengerjakan apa saja daripada membersihkan kawasannya sehinggalah menuai hasilnya mengikut jadualnya. Apabila beliau demam tidak ada lagi suara azan yang menerjah subuh sunyi walau tetap kedengaran azan dari masjid yang sayup-sayup kejauhan.

Salina pula yang kegelisahan justeru merasakan azan yang tidak kedengaran menemani subuhnya adalah suatu kehilangan yang tidak tahu bagaimana hendak digambarkan. Azan subuh juga mengingatkannya tentang waktu bermulanya langkah meneruskan kehidupan dengan perancangan yang direncanakannya.

“Wah! Dah siap kuih cara mak cik ni. Hijau warnanya dan harum bau daun pandan. Cantik hijaunya. Mak cik letak pewarna ke?”
“Tak. Mak cik bubuh air daun pandan campur air daun asin-asin.”
“Oh!” Info baru menjengah mindanya, petua masakan cara lama yang tidak diketahuinya sebelum ini.
“Nak rasa ambillah.” Ingin saja tangannya mencapai kuih cara itu seketul dan memasukan ke mulutnya. Tapi tidak dilakukannya. Kuih cara yang dihijaukan warnanya daripada campuran daun asin-asin tua dan daun pandan yang dihancurlumatkan amat mengait seleranya. Padanya sempurna sekali bentuknya dan harum aromanya.
“Tak apalah, nanti kita sarapan sama-sama. Saya ni tadi duk tunggu Lin sudah gunakan bilik air. Barulah saya boleh masuk mandi pula.”
Tiba-tiba Azalina muncul di tengah mereka.
“Kau dah siap solat Lin?”
“Dah! Kau tu yang belum.”
“Yalah Lin. Aku ralit pula tengok mak cik Ina buat kuih cara pandan ni sampai tak sedarkau dah siap berwuduk dan solat.”
“Pergilah cepat. Nanti datang ke sini kita sarapan sama-sama. Kalaukau lambat aku habiskan semuanya hih..hih.”
“Suka hatikaulah Lin.” Nurhusna meninggalkan ruang dapur dan segera menuju ke bilik air. Padanya kata-kata Azalina adalah gurauan indah yang menceriakan hatinya.
“Selepas bersarapan bolehlah kita ke dusun di belakang rumah ni. Bolehlah kalau kau dan Suna nak ambil buah apa saja untuk dibawa balik esok.”
“Aku nak panjat pokok manggislah Pikah. Aku intai-intai belakang rumahkau petang semalam nampak pokok manggis rendang dan lebat buahnya. Teringin nak makan manggis atas pokok hih..hih..”
“Sukahatikaulah Lin. Tapi kena hati-hati. Pokok manggis ni walau banyak cabangnya dan senang nak letak kaki waktu memanjat tapi ramai juga yang jatuh tersembam ke tanah. Silap gaya jatuh boleh patah tulangkau lin. Baik-baikkau mengimbang badan.”
“Okey aku hati-hati. Tapi kau jangan cakap bukan-bukan pula bimbang jadi doa.” Risau pula hati Azalina mendengar komen Nursyafikah itu.
“Kalau takut jatuh, kait saja. Ada galahnya mak cik sandar di pokok tu. Anak dara dah besar panjang, tak elok memanjat pokok. Malu dilihat orang.”
“Mak ni cakap gitu pula. Kan dah putus angin Lin nak jadi Tarzan. Tak apa Lin…kau panjat saja lepaskan hajat. Bukan ada orang yang nak pandang pun. Cuma kita-kita saja.”
“Jangan kisah sangat apa yang mak cik cakap Lin. Mak cik dulu pun memang suka memanjat pokok manggis sampai puas dilarang atok Pikah ni.”
“Kan dah pecah rahsia mak akuni Lin.” Azalina dan Nursyafikah tergelak kecil.
“Dah jangan asyik nak bergelak saja. Hidangkan sambal tumis bilis, ikan pekasam goreng dan ulam-ulam atas meja. Nasi lemak dah masak tu. Telur rebus tu kupas letak dalam piring.”
“Okey mak.”
“Banyaknya makcik masak. Nasi lemak lengkap lauknya dan ada kuih cara lagi. Agaknya pukul berapa mak cik bangun siapkan semua ni?”
“Mak cik dah biasa bangun awal pagi Lin. Biasanya pukul 4.00 pagi. Selepas solat malam tahajjud, taubat, hajat dan witir, mak cik ke dapur sekejap sambil tunggu waktu subuh masuk. Masaklah apa yang patut untuk sarapan. Pabila dah jadi amalan dan kebiasaan sampai saja masanya mesti tersedar dari tidur. Terus saja bangun.”
“Gitulah mak aku Lin. Tak reti nak duduk diam. Walau tidur masih teringat kerja-kerja yang nak dibuatnya.”
“Bila dah jadi emak ni memang perlu tangkas dan cekap semua urusan rumahtangga Lin. Nanti bila kauorang dah berumahtangga merasalah semua tu.”
Nurhusna muncul ke ruangan dapur sambil menarik kerusi merapati meja.
“Wah tuan puteri Suna sudah sedia hendak bersarapan ya. Cepatkau sendukkan nasi lemak tu Pikah.”
“Kau ni Lina. Aku rasa kaupun dah tak sabar nak bersarapan cuma tunggu aku datang saja kan Lin.”
“Cepatlah kausemua bersarapan. Makanlah masakan orang kampung yang mudah saja ni. Cuma buat nasi lemak, sambal tumis bilis, goreng ikan pekasam dan buat kuih cara sikit. Lepas makan kauorang ke dusun dengan Pikah. Mak cik nak tunggu lori ikan lalu. Nak beli lauk-lauk sikit.”
“Adik mana mak? Tak ajak makan sekali?”
“Ada tidur kat bilik dia tu. Biarkanlah dia tidur. Malam tadi dia balik lambat. Katanya ke rumah ayah kamu.”
“Oh! Rajin adik ke rumah ayah?”
“Biasalah adik kamukan gitu selalu. Suka ulang-alik ke rumah ayahnya. Diakan sayang sangat dengan ayahnya tu.” Terkenang dia suatu ketika dulu anaknya yang bongsu itu sangat disayangi mantan suaminya. Namun setelah berlaku perpisahan antara mereka bekas suaminya itu tidak lagi mengambil tahu tentang mereka.
“Tapi ayah tak pedulikan diapun mak. Sedih pula tenguk adik tetap tak peduli walau ayah abaikan dia. Ayah tu nampaknya macam sangat bencikan kita. Dahlah tak bagi kita belanja sara hidup. Mak tiri tu pun Nampak macam bencikan kita. Dan tak mau kami adik beradik rapat dengan ayah. Sebab tu saya terfikir langsung nak ke rumah ayah.” Kata-kata anaknya itu menyapa hatinya yang sebak tiba-tiba. Terasa hendak berurai air matanya.
“Sudahlah Pikah. Tak payah fikir semua tu. Kauorang sarapan dulu ya.” Sahutnya tidak mahu lagi menyambung bicara yang tidak digemarinya itu.
“Mak cik pun duduklah sarapan sama.”
“Tak apa Suna. Mak cik kena keluar tunggu van yang jual ikan sayur tu lalu. Kalau tak ditunggu tak berlauk sayur pula kita hari ni.” Mak cik Salina mengatur langkah meninggalkan ruang dapur dengan gaya bersahaja. Tidak terlalu laju dan tidaklah terlalu perlahan.
“Makanlah Suna, Lin. Tak payah gelut sangat nak sudahkannya. Dusun kat belakang rumah aku tu tak lari kemana.”
“Memanglah tak lari kemana dusun tu tapi aku yang dah tak sabar nak memanjat pokok manggis ni. Sedapnyalah dapat makan buah manggis atas pokok. Huish! Tak terkata nikmatnya.” Husna dan Nursyafikah tergeleng-geleng memerhatikan gelagat Azalina yang mengujakan dirinya itu.

bersambung...


8 comments:

  1. Kakak macam tak sabar nak tahu kesudahan kisah ini
    Makcik Salina ni macam bibik kakak (adik arwah mak kakak). Bekas suaminya menikah dgn kawan baiknya (jiran arwah embah/atok kakak). Siapa sangka. Bibik kakak terus sendirian dgn dua anak hingga kini. Tapi dua-dua anaknya (sepupu kakak) dah berjaya pun. Hidup senang.

    Sebab itu bila baca ini kakak rasa sebak teringat kisah mak saudara sendiri dlm usia muda sudah ditinggal suami..

    ReplyDelete
  2. Yela kakzakie kisah2 seperti ini mmemang banyak berlaku di sekeliling kita ada juga mereka yg rapat dgn kita mengalaminya...terima kasih kakzakie sudi baca serpan kak yg agak panjang ni.

    ReplyDelete
  3. bila suami isteri berpisah, kesian kt anak2, ada bapa yg tak ambil dipeduli..

    sedapnya buah manggis..

    ReplyDelete
    Replies
    1. BEGITULAH YG SELALUNYA BERLAKU NOHAS..TKSH SUDI MEMBACANYA.

      Delete
  4. BUAH MANGGIS RANUM PETIK N MKN ATAS POKOK SEDAP TU MKL...TQ

    ReplyDelete

Terima kasih bersama Karyaku...Paridah Ishak. Komen anda amat dihargai... “Semoga Allah SWT akan membalas dirimu dengan kebaikan yang banyak dan semoga Allah SWT akan membalas dengan balasan yang terbaik.”

MyBloglist