Showing posts with label KENANGANKU. Show all posts
Showing posts with label KENANGANKU. Show all posts

Wednesday, 25 June 2025

CERITERA SERATUS TAHUN

 ASSALAMUALAIKUM



CERITERA SERATUS TAHUN

 

Mula  perang dunia pertama

rampas kuasa penuh muslihat

menguasainya niat utama

gabung sekutu naratif jahat

.

Lemahlah  empayar Uthmaniah

penjarah jajah negara Islam

menukar pegangan rohaniah

unsur mazmumah segera sulam

.

Berlaku  perang dunia lagi

kali kedua adu senjata

himpun ghanimah galak bahagi

adikuasa penentu kata

.

Wilayah  Arab di timur tengah

norma hidupnya berubah corak

jajah Palestin tanpa berlengah

Zionis ligat mengatur gerak

.

Sudah seratus tahun berlalu

mencipta onar gila perintah

di akhir zaman mengukir pilu

membujur lalu melintang patah


 .



Thursday, 11 July 2024

HARI PENEROKA FELDA 7777

 ASSALAMUALAIKUM


HARI PENEROKA FELDA 7777

 

 


HARI PENEROKA 7777

 

 

Sangat meriah sekali sambutan Hari Peneroka pada tarikh tersebut di Felda Ulu Jempol tempat tinggalku. Ramai yang tidak keberatan menggabungkan diri. Maklumlah teruja hendak meraikan sambutan Hari Peneroka yang diadakan buat kali pertama lah katakana.

Pada sebelah siangnya diadakan pameran kraftangan, masakan kuih-mueh, lauk-pauk, kek, gubahan bunga dll oleh wanita perkumpulan GPW rancangan. Bahan-bahan itu dipertandingkan pula. Maknanya yang dipilih juri dan diletakkan nombor 1, 2 atau 3 akan ada hadiah yang menantinya.

Hadiah-hadiahnya disampaikan YB ADUN TAJAU untuk pelbagai kartegori pada acara tersebut. Aku pula ditugaskan membawa talam berisi hadiah yang akan disampaikan YB kepada penerimanya. Banyak gambar- gambar menarik  dirakamkan sempena insiden bersejarah tersebut oleh seorang sahabat juga pegawai FELDA di sini.

Aku membelinya sekeping saja dan bercadang menjadi kembaran pada berita akan kutulis mengenainya. Mencuba nasib sebagai penulis berita secara suka-suka. Dalam foto itu terselit juga keberadaanku sisi YB. Tapi tidak ketara sangat.
Wah! Sungguh takku duga tulisanku itu disiarkan dalam Utusan Malaysia terbitan July. Tarikhnya aku dah lupa.

Ekoran berita  disiarkan Utusan Malaysia itu ada pula yang merungut, kononnya aku tidak masukan fakta sebenar siapa yang terlibat.
Aku diam saja. Mengaku saja kesilapan yang tidak tersengaja. Lagipun aku pun baru belajar menulis di akhbar.

Dan kini setiap kali sambutan HARI PENEROKA pada 7 July setiap tahun terimbau kembali peristiwa 7777.



Thursday, 4 November 2021

JATUH LAND ROVER

 

ASSALAMUALAIKUM

PENTAS BUDAYA

pic google images (c)


 


Issey Miyaki

Menonton filem Man Laksa arahan pengarah tersohor allahyarham Mamat Khalid terimbau suasana ketika itu pernah kulalui dulu.. Di mana-mana saja pada malam hari tertentu akan ada pementasan budaya untuk menghiburkan pemastautin di situ. Di kampungku kalau pentas budaya dibawa PEMENTASAN BERGERAK FELDA, pertunjukannya secara percuma saja. Kalau berkesempatan aku akan menontonnya. Terhibur hati dapat menyaksikan artis lama menyanyi, menari dan berlakon cerita bangsawan dengan prop menarik. Setelah berpuluh tahun berlalu, baru kuketahui rupanya pengurus PEMENTASAN BERGERAK FELDA yang sering jelajah cerok kampung felda seluruh Malaysia itu ialah sahabat penulis SPTA Issey Miyaki. Hebat sungguh kan insan ini. Amat berbangga dapat mengenalinya pada sisa usia senja ini.

Tapi kalau pentas budaya anjuran badan sosial tanah rancangan dengan tujuan mengutip derma, tiket masuk dikenakan bayaran. Aku pernah terlibat dalam pengurusan membantu serba sedikit. Maklum aku kan setausaha persatuan belia kampungku. Penolong pengurus felda UJ mengajak aku dan sahabatku Fazila ke pejabat LKWJ untuk menyampaikan kad jemputan menyaksikan pementasan tersebut.

Artis terkenal 70-an turut diundang. Antaranya Hail Amir dan Ahmadi Hassan dan ramai lagi dramatis yang terlibat dalam siri drama FAJAR DI BUMI PERMATA yang sangat digemari siarannya di radio nasional  RTM.tika itu.

Land rover felda yang dipandu abang Atan sedang mendaki aspal menghala pejabat LKWJ tiba-tiba pintunya di sisiku terbuka. Astaghfirullah. Aku jatuh tergolek-golek di atas jalan. Dahi luka tersagat aspal. Mujur tidak terlalu parah. Kebetulan pula sangat dekat klinik kesihatan Bandar Jengka. Encik Halim menguruskan untuk mendapatkan rawatan lukaku. Fazila menemaniku. Aduh sakitnya dahi dijahit.

Misi ke pejabat LKWJ dibatalkan. Patah balik semula ke rumah. Sebab aku ditugaskan sebagai penjual tiket terpaksa juga aku hadir pada malam pementasan tersebut dengan memakai selendang menutupi bahagian muka yang luka. Kelihatan Islamik puji seorang sahabat. Cerita sebenar mereka tak tahu heh..heh..       

Thursday, 14 October 2021

TINGKATAN 3B

 ASSALAMUALAIKUM


TINGKATAN 3B


NAB YANG BERBAJU BIRU SEBELAH CIKGU SARILAH GURU KELAS ERT SMKM TIKA TU


Keputusan peperiksaan akhir tingkatan 1, 2 dan 3 SMKM telah ditampal di papan kenyataan yang tergantung di luar dewan sekolah. Pelajar-pelajar berpusu-pusu memerhati sambil memberi reaksi riang dan muram. Atau biasa-biasa saja.
Keputusan peperiksaan tahun akhir akan menentukan tingkatan seterusnya akan dimasuki menurut markah keseluruhan yang diperolehi. Aku memanglah teruja hendak mengetahuinya. Selepas berpindah sekolah dari SMY ke SMKM aku ditempatkan di kelas 2C. Semasa di SMY aku di kelas 1E. Tentunya ada peningkatannya. Tapi di SMY cuma ada dua kelas untuk pelajar perempuan iaitu 1E dan 1F. Tingkatan 1A B, C, D untuk pelajar lelaki. Kelas memisahkan gender.
Di SMKM tidak berlaku begitu. Tapi tatkala keputusan peperiksaan menentukan kelas tahun hadapan, berlaku begitu juga. Hanya 3 pelajar perempuan terpilih memasuki tingkatan 3A iaitu Nab, Idah dan aku. Menjadi masalah besar kepada guru-guru kerana murid perempuan ada kelas ERT sedangkan pelajar lelaki belajar Seni Perusahaan. Agaknya guru berfikir tidak berbaloi mengadakan kelas ERT untuk kami bertiga saja.
Aku tidak kisah dalam kelas mana pun akan diletakkan asalkan dapat belajar dengan selesa. Kami bertiga dimasukkan dalan kelas 3B. Tapi kesian pula pada kawan-kawan seperti Nab, Timah, Idah dll yang turun kelas dari A kepada B. Di dalam kelas 3B, pabila setiap kali keputusan peperiksaan bulanan atau penggal diumumkan, aku, Nab dan Idah selari saja. Nab teratas selalu. Kedua Idah. Ketiga memang aku selalu.
Nab sangat rapat denganku. Kini seorang pesara jururawat/matron. Idah pula tidak menyambung pelajaran ke tingkatan 4 walaupun aggregate peperiksaan SRP yang diperollehi 14. Tapi memilih berkahwin dalam usia muda dengan seorang pegawai felda. Suami Idah ketika itu seorang pengurus rancangan. Kini Idah seorang peniaga berjaya yang punyai premis perniagaan di Bandar Jengka.

Friday, 24 September 2021

BELANGKAS...

 ASSALAMUALAIKUM


SALAM JUMAAT MULIA


BELANGKAS

 


PIC GOOGLE IMAGES (C)

Pada sebelah pagi air laut akan surut ke tengah. Meninggalkan persisiran pantai yang berselut lembut sejauh pandang. Kebanyakan pantai di sebelah barat Semenanjung Malaysia begitu keadaannya. Tapi ada juga pantai yang berpasir putih di sesetengah tempat. Subhanallah Allah Maha Pencipta.

Menjelang tengah hari air laut meluncurkan ombaknya memenuhi setiap ruang lapang. Tapi tidak melimpahi muara sungai. Tika begini kalau aku teringin hendak makan telur belangkas, akanku susuri tebing sungai mencarinya. Telur belangkas di dalam perutnya. Nak ambil telurnya terpaksalah tangkap belangkas. Mudah saja menangkapnya. Tidak perlu terjun ke dalam sungai.

Fokus perhati sisi sungai. Biasanya akan kelihatan belangkas bergerak perlahan-lahan membawa anaknya atau khunsa di belakangnya. Peganglah tombak di kepalanya. Aku pernah menangkap belangkas penuh sekeranjang. Tapi nak buat apa belangkas begitu banyak. Setakat aku sorang nak makan,seekor saja sudah mencukupi. Tapi seronok pula menankapnya. Akhirnya dibuang semula ke dalam muara laut.

Belangkas biasanya akan dibakar menggunakan api sabut. Rasa telurnya memang sedap. Hendak makan telur belangkas berwarna kuning,bentuk bulat halus, terpaksa membakar belangkas hidup-hidup. Zalimnya kan. Masa kini memang tak mahunya aku makan telur belangkas. Kesian!...kalau zaman budak-budak dulu itulah kesukaanku heh..heh..   .


Friday, 17 September 2021

TIGA KUPANG

 ASSALAMUALAIKUM

SALAM JUMAAT MULIA



TIGA KUPANG

 

Aku kalut bersiap ke sekolah sebaik kawanku Cik Romah memanggilku di tangga rumah. Rumah kawanku itu di tepi laut. Dan dia akan berjalan melalui batas bendang ke rumah Atukku. Kemudian kami akan mengatur langkah susuri ban tali air hingga sampai ke jalan besar, untuk menunggu bas  yang akan membawa ke bandar Yan. Kami bersekolah menengah di situ. Jarak antara rumah Atukku ke jalan besar melebihi dua kilometer. Jauh juga.  Memang penatlah berjalan pada awal pagi walaupun panas mentari tidak terasa sangat bahangnya..

Bas yang dinanti telah tiba. Aku dan kawanku bergegas menaikinya. Sebaik duduk di atas seat, konduktor bas menghampiri, meminta duit tambang sambil menghulur tiket yang siap diketip nilai sekupang destinasi kami. Aku pun membuka kotak gometri Oxford hendak mengambil duit diberi Atukku. Biasanya Atukku beri tiga kupang untuk belanja ke sekolah. Sekupang untuk bayar tambang bas hala pergi. Sekupang untuk bayar tambang bas hala balik. Sekupang lagi untuk beli makanan.

Aku terkejut mendapati duit yang dicari tiada di situ. Rupanya aku terlupa mengambil duit tiga kupang yang diberi Atukku. Perasaanku kacau. Serba salah sungguh. Malu pula. Apa aku nak buat ni? Cik Romah selamba saja membayarkan tambangku. Aku berterima kasih kepadanya sudi menolongku saat terdesak begitu. Dan akan membayar hutangku sebaik tiba di rumah balik dari sekolah nanti.

Di sekolah kala  loceng rehat berdering aku tidak keluar kelas ke kantin. Sendirian saja di dalam kelas menikmati keriuhan ritma keroncong orkestra perut kosong. Kelaparan. Kebiasaannya memang begitu pun. Makanan yang dijual di kantin sekolah mahal harganya. Tidak cukup duit sekupang untuk membelinya Kalau tidak terlupa tadi dapatlah kugunakan duit sekupang untuk membeli makanan buat mengalas perut tika balik sekolah di gerai perhentian bas. Lima duit biasanya kubeli ais kepal dan lima duit lagi kubeli mihun goreng.   

Risauku berkecamuk lagi. Bagaimana nak balik nanti sedangkan duit tambang basku tiada. Takkan aku nak harapkan pada kawanku lagi membayarkannya. Aku tawakal saja menaiki bas buat muka sekupang. Mustahil  aku nak bermalam di sekolah.

Tika  konduktor bas menghampiriku, seorang rakan sekolah bersebelahanku tolong membayar tambangku. Mungkin dia perasan aku tidak berduit lantaran tidak menghulurkan duit yang diminta. Siew Ming sekampung denganku. Tapi aku tidak kenalinya dengan rapat kerana dia dalam tingkatan lima aliran Inggeris sedangkan aku baru tingkatan satu aliran kebangsaan. Alhamdulillah Allah menghantar bidadari-Nya menolong kesusahanku.

Ibu Siew Ming dikenali sebagai nyonya keturunan baba peranakan seorang peramah dan disenangi masyarakat kampungku.

Terima kasih Cik Romah, terima kasih Siew Ming kerana tiga kupang, menggunung budi ukhuwah kenangan abadi.didoakan kalian dalam rahmat perlindungan Allah…amiin..

 


Saturday, 19 September 2020

BELAJAR MEMANDU KERETA

 

ASSALAMUALAIKUM

 

Teringat dulu-dulu rupanya PI ini boleh membawa motor ke ofis dengan ditemani suami dan berjalan ke mana sahaja. Biasanya kalau bawa motor suami mesti duduk di belakang. PI sebenarnya bukan berani dan reti nak bawa motor. Tapi suami yang menguatkan semangat PI untuk mencuba. Akhirnya pandai juga. Bolehlah PI  meronda keliling kampong  felda selamba saja tanpa lessen dan topi keledar heh..heh..

Berani sungguh mengabaikan keselematan diri kan. Setelah ekonomi hidup semakin stabil, suami membeli sebuah kereta kecil...hati menggelitik pula nak cuba memandu kereta. Suami tidak ada masa nak ajar PI  memandu  sebab sibuk dengan urus niaganya. Jadi PI  pun daftar masuk kelas memandu. Setelah itu ambil pula ujian bertulis kat JPJ. Kali pertama tak lulus sebab tak sempat nak ulangkaji. Sibuk duk belek buku letrik terputus pulak.

Suasana gelap menggelapkan pemikiran juga. Tawakal saja jawab soalan. Hasilnya terlepas dua mata untuk lulus. Terpaksa ambil ujian sekali lagi. Nasib baik lulus cukup makan. Dan bolehlah memegang stereng memandu kereta dengan instructor sekolah memandu berada disebelah. Beberapa kali juga nak terbabas masuk longkang heh..heh.. mujur instructor cepat menekan hand brake.

Selesai berapa sesi belajar memandu dan dihentikan dahulu kerana tika itu PI sedang sarat hamil anak keempat. Berani sungguh kan ketika hamil belajar memandu! Tibalah masanya bersalin pula melahirkan seorang bayi lelaki yang comel. Usai berpantang selama 50 hari suami mengajak ke KL ziarahi kakaknya, kereta kecil kami dilanggar lori ayam. Alhamdulillah suami dan anak-anak selamat. Dan tiada lagi cerita belajar memandu kereta bersambung kerana itu.




Tuesday, 13 August 2019

LINTASAN LALU....

ASSALAMUALAIKUM


KENANGAN SILAM



LINTASAN MASA  LALU

Adakah bezanya masa lalu dan masa kini? Mestilah ada. Sebab dulu telah lama berlalu. Pasti langsung tidak sama dengan sekarang. Kalau nak dibuat perbandingan bagai langit dengan bumi. Kemiskinan  dan kesukaran hidup yang dirasakan bagai menadi. Langsung   tidak  mengusutkan   fikiran. Zaman yang sempat Penulis  lalui adalah akhir tahun 60-an. Era yang meriah  dengan lagu-lagu Pop YehYeh yang rancak.
 Berada di kampung halaman di Kedah Darulaman yang indah permai dikelilingi sawah padi penyejuk jiwa seluas mata memandang. Cara hidup bergantung seluruhnya kepada kemampuan dan kerajinan diri tanpa ada kemudahan yang menyenangkan.
          Kebanyakannya masih mendiami rumah-rumah kecil beratap nipah dan berdinding nipah yang disemat. Ada juga rumah agam yang tersergam di tengah kelompok rumah-rumah kecil seakan pondok menunjukan kemajuan kehidupan mereka atau telah diwarisi daripada keturunan mereka sejak lama. Namun kelebihan yang dimiliki mereka tidak menyebabkan mereka meminggirkan diri daripada bermasyarakat. Kesemuanya berpadu satu tanpa rasa pertelingkahan yang memisahkan.

Penulis tinggal dengan tok  PI setelah ibu bapa Penulis berhijrah ke Pahang menyertai skim FELDA. Rumah tok PI sederhana besarnya saja buat menampung keluarga. Semua keperluan untuk kehidupan diadakan sendiri. Maksudnya kalau hendak makan nasi kenalah tanam pokok padi. Bendangkan ada.                  Lalu ditanamlah padi jawi atau padi pulut. Menghijaulah pohon padi dibendang sambil dibaja dan dijaga akan serangan musuh  yang memudaratkan kesuburannya
 Setelah masak dituai secara berderau. Maknanya saling tolong-menolong menuainya bersama. Sekiranya  hari ini menuai padi di bendang A, keeseokannya beramai pula ke bendang B. Sehinggalah selesai kerja menuai padi di musim tersebut. Padi ini dipukul di tong pemukul padi untuk memisahkan padi dari jeraminya, kemudian dijemur, dianginkan, ditampi pula untuk memisahkan padi hampa dengan yang bernas. Disimpan pula di dalam kaspadi/jelapang untuk dijadikan bekalan beras selama  musim padi tanaman baru.                                                                                                                                                                                                                                  
          Setelah itu ditumbuk pula untuk dapatkan ‘beras baru’ yang putih lagi harum aromanya. Ketika menjemur padi kerja Penulis adalah menghambat ayam daripada makan padi. Kalau dibiarkan alamatnya habis padi dimakan  ayam dan tak dapat dijadikan beras lagi. Ketika padi sedang ditumbuk kerjanya  menyapu lesung pula, agar padi yang ditumbuk tidak tumpah dari lesung. Lesung yang digunakan untuk menumbuk padi dengan agak banyak ialah lesung rindik. Menumbuk padi dengan lesung rindik menggunakan kaki. Memijaknya berulangkali untuk memisahkan padi daripada kulitnya.

Hendak makan sepinggan nasi pun beberapa fasa perlu dilalui. Takkan nak makan nasi putih saja kan. Mestilah seimbang nilai pemakanannya. Lengkap dengan lauk, sayur, buah-buahan yang diperlukan tubuh. Nak makan sayur kenalah rajin menanamnya di sekitar rumah.  Tentang lauk/ikan/sotong/udang/ketam/ kerang/siput tak perlu dibeli untuk dapatkannya. Rajinkan juga mengtur langkah kaki ke tepi laut atau ke laut. Banyak sekali sumber protin itu di sana. Malas nak ke tepi laut boleh pancing saja ikan di bendang. Ikan haruan, keli, puyu cepat saja makan umpan di ujung mata pancing.

Sudah dapat ikannya bolehlah digulai atau dimasak asam pedas. Tapi terasa nak menggoreng pula. Mana pula minyaknya. Sebelum berfikir nak menggoreng segala makanan proses menyediakan minyak masak mulakan lebih awal. Kelapa matang dikoyak kulit dan disagat isinya. Santannya diperah dan dibiarkan semalaman sebelum dikaut santan yang beku lalu dimasakan dalam kuali atas dapur kayu. Sekian lama diatas api terhasillah minyak daripada santan kelapa.

Minyak kelapa buatan sendiri bukan main harum aromanya dan amat sedap digunakan dalam pelbagai jenis makanan. Boleh juga digunakan sebagai minyak rambut dengan terlebih dahulu dicampur bunga melur, tanjung atau cempaka. Selain itu dibuat minyak urut untuk mengurut tubuh yang lenguh membetulkan simpulan urat dengan campuran aneka herba.

Untuk memasinkan makanan garamnya tidaklah dibuat. Harganya sekupang saja dan tahan lama penggunaannya jadi beli saja di kedai. Tapi untuk dapatkan rasa manis dalam kuih-muih yang dibuat tok PI akan membuat nisan/manisan daripada buah nipah. Buah nipah ini dibiarkan hingga tua sambil mayangnya diurut agar elok tunduknya dan senang disadap menggunakan pisau potong padi yang tajam. Daripada mayang nipah akan mengalir nira ke dalam tuke buluh yang digantung di ujungnya.

Hasil pengumpulan nira yang hampir seperiuk besar dimasak pula diatas api sehingga kuning keemasan dan likat. Bukan main sedap lagi rasanya dimakan dengan lempeng kelapa, cendol atau apom kukus.

Untuk mengalas tidur anyamlah tikar daripada tumbuhan mengkuang dan bantal yang dibuat meletak kepala berisi kekabu putih yang dkutip untuk dijadikan bantal.


Begitulah cara kehidupan dulu dulu yang  sederhana tetapi amat perlukan kerajinan tahap tinggi dalam mengendalikannya. Jikalau asyik berpangku tangan alamatnya susah hidup. Nasib tak baik kebuluran

PI terkenangkan kata-kata arwah tok PI bahawa hidup orang sekarang terlalu mudah kerana negara kita sudah kaya raya dan maju. Benarkah? Entahlah...

Thursday, 7 June 2018

TERJATUH DALAM KAWAH DODOL...


ASSALAMUALAIKUM…

Pic google image(c)


Aidilfitri semakin jelang. Lebaran yang dinanti kehadirannya setelah berbadah giat di bulan Ramadan yang mulia, sambil mengharapkan ganjaran-Nya yang berganda. Janji Allah itu tidak mungkir.
Dalam kesibukan meneruskan rutin harian mesti ramai antara kita yang dah mula menyiapkan kuih juadah raya. PI dulu rajin juga membuat aneka kuih untk hari raya walau keadaan diri agak uzur.Tapi sajak patah pinggul sakitnya hingga kini masih dirasai walau dah hampr lima tahun masanya berlalu. Nampaknya  tak dapatlah lagi nak meneruskan  kesukaan itu.
Teringin nak makan apa saja kuih, kalau ada duitnya belilah saja. Kadang tak mampu juga ak beli seba harganya mahal juga.  Kalau boleh dibuat sendiri tentu dapat kurangkan kosnya. Dan rasanya  tentulah mengikut citarasa kita.
Kukis dan kek selalu  jadi pilihan sajian di meja pada hari raya..Sedap semuanya. PI pun suka.selain tu kuih tradsi baulu, dodol,putu beras, putu kacang, karas, kuih bangkit dll tentu tidak dlupakan
Membuat kuih tradsi ni agak rumit.  Perlukan kemahiran dan ilmu. Semata-mata ikut resepi memang gerenti tak jadi. Dulu dulu di kampong PI  kalau dekat nak raya, anak-anak  gadis akan berkongsi membuat kuih bersama. Pabila selesai hasilya dibahagikan sama rata.
Rumah tok PI jadi tumpuan anak-anak gadis desa ini berkumpul  kerana tiga orang mak sedara PI kawan mereka. Sekali mereka rancang nak kacau dodol pula. Entah macam mana dalam keseronokan mengacau dodol walau penat menyapu keringat tiba tiba kak Wan terpelecok ke dalam kawah dodol yang  menggelegak.

MasyaaAllah …malang memang tak terduga.
Kak Wan segera  diusung ke hospital dengan menahan kesakitan. Dulu dulu tidak ada orang kampong situ yang punyai kereta atau motor. Jika hendak membawa yang sakit ke hospital terpaksalah mengusungnya di dalam kain sentung hingga ke jalanraya untuk dapatkan teksi atau bas. Jauh juga jaraknya. Lebih sebatu ..
Alhamdulillah tiada masalah perawatannya. Wajah kak Wan berparut. Di kampung PI  kak Wan adalah gadis tercantik disamping gadis gadis yang cantik di situ.
Baru ni PI balik kampong, dapatlahbertemu kak Wan. Terimbaulah kisah kak Wan terjatuh dalam kawah dodol. Menjeling wajahnya tiada pula kelihatan paruthya. Masih jelita walau telah berusia. Parut di wajah PI yang tidak hilang akibat dihempap lori ayam..

Wednesday, 14 June 2017

BERTEMU SEBENTAR KENANGAN ABADI...

ASSALAMUALAIKUM...

BERTEMU SEBENTAR KENANGAN ABADI

UMMU ATTIFFI ILHAMI

Mazlinda namamu semanis raut wajah berseri
Senyuman membasahi bibir terlorek ayu
Menghulur salam pada sebuah pertemuan tanpa duga
Hadir dengan kemesraan tulus dan ramah bicara mulus
Terngiang-ngiang suara lunak bicara
Walau sebentar cuma bersua.
Khabar maya melakar ceritera keuzuranmu
Hatiku sebu terharu
Gugur air mata menderu
Melihatmu terbujur lesu
Kuiring doa dinimalam sunyi
munajat mohon belas kasih-Nya
Agar kemashylahatanmu kembali sediakala
Namun berat hatimu
Melangkah pergi mendahului menemui Kekasih abadi
Berbahagialah Ummu Atiffi Ilhami di sisi-Nya
Inalillah ilaihirojiun
Kepada-Nya kita kembali
Pasti.
Alam baqa selamanya

Paridah Ishak
Selayang Utama
14/06/017








11 Nov2016

Catatan kenangan abadi Puan Ummu Atiffi Ilhami di wall fb beliau mengenai PI pada 11 November 2016 rentetan pertemuan yang berlaku antara PI  dirinya dan suaminya ustaz Ilhami Hisham penerbit BeTA. Kunjungan beliau dan suaminya ke rumah anak PI kerana menghantar antologi puisi HIJRAH MERDEKA dan antologi C2N RAJAQNA yang telah diterbitkan pihak BeTA
.
Mesra sekali bicara yang ditutur editor Pendidikan KARANGKRAFmembalas jawab pertanyaan anak perempuan PI yang kebetulan ada bersama PI.  Rasa kagum amat semangat dirinya yang kuat berupaya menjalani hidup dan urusannya walau baru saja usai menjalani pembedahan kanser payudara. Sentiasa bersikap positif menempuh hari yang dilaluinya penuh dugaan.

29 tahun lalu, kemalangan jalan raya telah mengakibatkan dia lumpuh hingga sekarang.
Namun wanita ini memiliki jiwa kental.
Walau mulut tidak lagi dapat bertutur, kaki tidak mampu menapak, dengan sebelah tangan jejarinya menari laju di papan kekunci komputer.
Dengan pergerakan lima jemari itulah terhasil beratus puisi dan cerpen karyanya. Ada yang sudah terbit dan ada yang menunggu giliran.
Melihat kegigihannya saya jadi malu pada diri sendiri...
Petang tadi selesai menjalani RT, saya sempat menziarah wanita ini, bonda Paridah Ishak!
Kegigihan dan semangatnya benar-benar memancung keadaan.

Catatan ustaz Ilhami Hisham dalam wall fb beliau yang ditag kepada PI…terharu sungguh hati PI menerima penghargaan daripada sepasang suami isteri penulis ternama ini.

Beliau insan hebat. Anugerah-Nya.
Itu tiga kalimat yang kusangkutkan di siling hatiku sendiri. Banyak ilmu, maklumat dan pengalaman dapat kukutip ketika menziarahinya tadi petang. Kami temui di kediaman beliau di Selayang Utama.
Kak 
Paridah Ishak menerima kedatangan kami yang tidak disangka-sangka itu dengan kuntuman senyum yang manis. Kemesraannya jelas ketika beramah-mesra. Meskipun tidak banyak perkataan yang mampu diungkapkan, namun kami amat memahami isi hatinya.
Menurut anak perempuannya, seorang guru Sains, kemalangan melibatkan semua anggota keluarga mereka itu berlaku pada 1985.
"Ketika itu, saya berusia tujuh tahun," tukasnya.
Dalam hati, aku membayangkan bagaimana Kak Paridah membesarkan anak-anaknya dalam keadaan begitu. 
Kini, beliau terus-menerus menulis. Meskipun dengan sebelah tangan cuma. Namun karyanya amat hebat dan bernilai. Boleh dikatakan karyanya terdapat di dalam semua lapan buku projek BeTA sehingga ini.
Tidak banyak kesilapan ejaan, tanda baca dan ketata-bahasaan dalam nukilan beliau. Membuktikan beliau berkarya dengan penuh ketelitian.
Hasilnya, sajak beliau telah mendapat salah satu daripada tempat utama dalam Sayembara Menulis Sajak Hijrah Merdeka anjuran BeTA pada bulan Ogos lalu.


SALAM TAKZIAH KEPADA USTAZ ILHAMI YANG KEHILANGAN ZAUJATI TERCINTA JUGA ANAK-ANAK DITINGGAL UMMI KESAYANGAN MENURUTI TAKDIR-NYA YANG TERSURAT...MOGA ROH ALLAHYARHARMAH MAZLINDA DICUCURI RAHMAT-NYA DAN BERADA DI KALANGAN PARA SOLEHIN DI SISI KEKASIH ABADI SEJATI


Monday, 11 April 2016

MENGGAMIT MEMORI...

ASSALAMUALAIKUM...



WAJAH DI DALAM KELONGSONG KERTAS

Banyak faedahnya kerana aktif dalam persatuan belia felda ini. Sentiasa ada peluang untuk menyertai aktiviti yang tidak terduga. Aku dipilih berseminar di KL, bersama Md. Amin selaku naib pengerusi persatuan belia 4B di sini dan aku pula adalah setiausahanya.
Wilayah felda pahang tengah diwakili aku dan dua orang lagi belia dari felda Kampung. Awah.

Kami dibawa ke KL menaiki landrover felda dengan ditemani En. Zainudin Yunus seorang pegawai sdo felda wilayah Pahang Tengah.Teruja sungguh dengan pengalaman baru ini. Seminar dirasmikan Abdullah Ahmad Badawi mantan PM yang tika itu Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan. Tun Abdulah tika itu sangat kacak tampan sekali. Kami perserta perserta seminar berpeluang bergambar dengan beliau.

Aku berkenalan dengan ramai kawan kawan belia yang datangnya dari felda seluruh negara. Antara yang sangat rapat denganku adalah Mussalmawati yang
menjadi rakan baikku ; berasal dari felda lurah bilut. Seorang yang sangat baik dan rapat denganku. Kemana saja berpergian mesti hendak bersama dengannya. Maklum akupun tidak biasa dengan majlis begini. Agak canggung  sedikit dengan suasana yang selama ini tidak pernah dialami. Maklumlah orang kampung yang pertamakali ke bandaraya bagai rusa masuk kampung pula..

Sedang kami sibuk berseminar muncul pula seorang wartawan yang berhasrat menemuramah kami untuk bahan berita majalah yang diwakilinya. Aku dan mussalms pun bercerita tentang kegiatan belia di tempat kami, dalam kesibukan dan kesuntukan waktu untuk memenuhi acara yang disusun tidak sempat pula hendak bertanya kepada wartawan itu tentang majalah yang diwakilinya dan bilakah tulisannya tentang kami akan disiarkan

 
Telah berlalu cerita itu sehingga beberapa bulan kemudian bapa membawa pulang sehelai kertas majalah yang diberi seorang rakannya.
 Tertera gambar aku dan mussalma di dalam kertas itu.Kata bapaku rakannya menemui kertas itu berlapis di dalam kelongsong kertas barang yang dibelinya di kedai PNF.kesian kan...gambar aku dan Mussalma terperosok di dalam kelongsong pembungkus barang. Tapi ok lah juga dapat menatap gambar sendiri di dalam cebisan majalah. Terimbau kembali kenanganku bersama Mussalma dan peserta2 seminar di KL dulu. Momen yang sangat menggembirakan. Mussalma kini seorang pegawai felda.


Wednesday, 1 April 2015

SEBIDANG TIKAR MENGKUANG...

ASSALAMUALAIKUM...

PIC BN KEDAH.

PANDAI MENGANYAM TIKAR MENGKUANG? PI MENGANYAM TAHU TAPI MEMBUKA LAGANG TAK RETI. MELAGANG TU MAKSUDNYA MEMULAKAN KERJA ASAS MEMBENTUK TIKAR. SETELAH LAGANGNYA DIBUAT BOLEHLAH MULA MENGANYAM DENGAN BERHATI-HATI AGAR KEDUDUKANNYA ELOK LURUS SAJA.
BUKAN MUDAH HENDAK MENYIAPKAN SEHELAI TIKAR MENGKUANG. MULANYA DAUN-DAUN MENGKUANG YANG TAJAM BERDURI ITU DIPOTONG DARI RUMPUNNYA. DILAYUR DI API SEKEJAP UNTUK LEMBUTKAN DAUN-DAUN TU.

SETELAH ITU DIBUANG DURI TENGAH DAN KIRI KANANNYA. DIRAUT/DIJANGAT PULA UNTUK  MENCERAIKAN BAHAGIAN DAUN MENJADI CERAIAN KECIL YANG LURUS PANJANG SEKATA.

PIC GOOGLE.

SELESAI MERAUT/MENJANGAT  DIKUMPUL DAN DIIKAT TIGA SEOLAH BERGENTING TIGA BAHAGIAN IAITU DI KEPALA, DI TENGAH DAN DI EKOR. KEMUDIAN DIRENDAM DALAM AIR BEBERAPA HARI.

TOK PI MEMANG RAJIN MEMBUAT TIKAR MENGKUANG NI DAN PI AKAN MENOLONG APA SAJA YANG ARWAH TOK SURUH. MENGKUANG YANG LAMA TERENDAM DIANGKAT DAN DIJEMUR DI PANAS MENTARI PULA.

PABILA KERING DAUNNYA AKAN MELULUNG ATAU BERGULUNG JADI PERLU DILURUSKAN DENGAN MERAUPNYA MENGGUNAKAN SEKEPING BULUH KECIL.

DAH SELESAI MERAUP DAUN MENGKUANG YANG SUDAH ELOK LEMBUT TOK PUN AKAN MEMBUKA LAGANG DAN MULA MELAGANG. KALAU
 INGINKAN TIKAR MENGKUANG BERWARNA-WARNI KELARAINYA DAUNNYA HENDAKLAH DIRENDAM DENGAN PEWARNA YANG DIKEHENDAKI.

TIKA INI KONSENTRASI TOK HANYA TERTUMPU KEPADA MENGKUANG LAGANGANNYA DAN ANAK CUCU DILARANG MENGHAMPIRI LOKASI KERJANYA.

HEH..HEH..SEKADAR MENGIMBAU NOSTALGIA LAMA. KINI TIADA LAGI TIKAR-TIKAR BARU YANG MENGGANTIKAN TIKAR ANYAMAN ARWAH TOK YANG SEMAKIN DIMAKAN HARI. POKOK MENGKUANG DI TEPI DAPUR JUGA SUDAH DICANTAS, DIBERSIHKAN. TUNGGUL-TUNGGULNYA JUGA TELAH TIADA.

Saturday, 27 September 2014

SELAMAT BERIBADAH HAJI...

ASSALAMUALAIKUM...


                                     SECEBIS KISAH HAJI DULU-DULU...
Pic google untuk hiasan.
Kami anak-beranak suku-sakat dan kaum kerabat tokwan berbondond-bondong ke pelabuhan Pulau Pinang untuk menyambut kepulangan tokwan dari tanah suci Mekah. tidak sabar hendak melihat dan bertemu tokwan.

Aku nampak tokwan turun dari kapal dan menuju kepada paklang memeluknya dan datang pula memelukku. Berbangga sungguh hatiku dipeluk tokwanku yangkusayangi itu. Tokwanku ini sifatnya yang unik. pendiam. cakapnya boleh dikira,. langsung tidak pernah marah kepadaku atau sesiapa saja.

Semua anak cucu menyayanginya. namun pasti bertanya sayangkah tokwan kepada kami anak cucunya dengan sikapnya yang selamba tidak kisah itu. Melihat cara tokwan terkini aku yakin tokwan sayangkan kami anakcucunya.

Lebih-lebih lagi aku cucunya yang sulung ini. cucunya yang pernah dibawanya menaiki basikal ke bandar Yan untuk mendapatkan kad pengenalan.

Bayangkan betapa penatnya tokwan mengayuh basikal sejauh 20km membawa beban berat di pelantarnya pergi dan balik. Memori yang tak mungkin kulupa. Tokwan yangku sayangi itu membawa beberapa hadiah yang dibelinya di Mekah dan memberinya kepadaku. Bertambah-tambah kasihku kepada tokwanku itu.

Kesihatan tokwan agak merosot setelah pulang dari menunaikan ibadat haji. dan jatuh sakit pula. sedih melihatkan keadaan diri tokwan yang kurus kering dengan perutnya bengkak. sakit apakah itu? entahlah. aku hanya mendoakan Allah memulihkan kesihatan dan memberikan kesejahteraan kepadanya.

Doa anak cucu dimakbulkan Allah. Tokwan sihat semula dan merancang menziarahi keluargaku di Pahang. bapa pulang menaiki keretanya untuk mengambl tokwan dan tok. hajat bapa untuk membawa tokwan pulang ke Pahang tidak kesampaian.

Tokwan terlebih dulu dibawa pulang ke rahmatullah...innalillah. kesedihan kerana kehilangannya dirasakan hingga kini.
aLFATIHAH...
PS...
SEMOGA AYAHBUNDA, WARIS-WARIS KITA, SAUDARAMARA KITA MUSLIMIN DAN MUSLIMAT ALLAH PERMUDAHKAN URUSAN PERIBADATAN HAJI MEREKA DAN SEGALANYA DI TANAH SUCI MEKAH, KELAK PULANG MEMBAWA HAJI YANG MABRUR SEMPURNA....AMIN.

Saturday, 9 August 2014

SEBUAH KISAH SILAM LALU

ASSALAMUALAIKUM...
Sebulan yang lalu aku mendapat surat pos yang meminta aku mengambil kiriman yang dialamatkan kepada bilik bacaan felda ini. Sebab aku yang menyelia urus bilik bacaan ini tentulah aku yang terpaksa pergi mengambilnya. Bukan dekat tu...pejabat pos tu di jerantut sana.

Jadi terpaksalah aku menaiki bas ke sana. setelah itu menaiki feri menyeberangi sungai Pahang pula. Masa tu tak ada jambatan lagi. Jawabnya letih berpeluh sebelum tiba ke destinasi.

Bungkusan kiriman sebuah kedutaan luar negara itu diberikan seorang pegawai pos kepadaku. Setelah mendapatnya pulang pula dengan cara yang sama. lalui lagi kepenatan yang serupa. rupanya bungkusaan yng dikirim itu mengandungi buku2 yang menceritakan doktrin sebuah negara kominis. aku terduduk.

Takut pun ada. tak berbaloi langsung susahpayahku pergi mengambilnya. Tak pasal2 aku akan didakwa kerana bersubhat menyebarkan dakyah kominis.Tidak berapa lama setelah itu aku dipanggil mengadap pengurus rancangan lagi.

Kali ini bukan setakat berjumpa dengan en.yaakob tetapi bertemu muka dengan dua orang pegawai polis yang menanyakan soalan tentang buku2 itu kepada ku.

Kata mereka kedutaan yang mengirimkan buku2 kesemua bilik bacaan felda sedang disiasat kerana motifnya yang nyata; menyebarkan dakyah kominis ke pertempatan felda.

Thursday, 17 July 2014

SAADAH...KEBAHAGIAAN...

ASSALAMUALAIKUM...

SAADAH! SAADAH! SAADAH! SAADAH!

Empat nama Saadah itu ada hubungkaitnya denganku. Saadah pertama tentulah kakak angkatku tika di SMART dulu. Kak saadah ini kampungnya di Temai hilir, Pekan. sering juga aku dibawa kerumahnya bersama seorang lagi adik angkat lelakinya Ruyub yang juga sekelas denganku. 

Rumahnya terletak tidak jauh dari sungai Pahang yang luas. Cantik sekali pemandangannya di situ. keluarga kak saadah juga menganggap aku dan Ruyub adalah anak2 angkat mereka.

Selesa sekali berada di tengah keluarga yang menerima dan melayan kami dengan ramah lagi prihatin. Tak dapatku lupa akan keenakan asam pedas ikan baung masakan kak Hairani untuk hidangan tengahari kami sekeluarga. 

Sedap sungguh. ikan baung yang diperolehi bargh/bapa angkatku itu dengan menjalanya di sungai Pahang. memang banyak rezeki yang boleh diperolehi daripada sungai itu sekiranya rajin berusaha mendapatkannya. 

Semua pic google untuk hiasan.

Dan khabarnya kak Hairani yang pandai masak asam pedas baung kini seorang pegawai polis. 
Kak saadah  kedua yang kukenal dengan sangat baik adalah seorang sda(w) felda. Beliau ini rapat denganku kerana aku yang pertama dilihatnya tika mula ditukarkan ke sini.

Perkenalan yang menjalenkan hubungan baik sehinggalah kak Saadah Sarbini ini ditukarkan pula ke felda Bukit Kuantan. 

Dalam keaktifan aku bersosial dengan aktiviti tanah rancangan, seorang lagi Saadah muncul menyalami tanganku. Saadah ini berasal dari melaka dan suaminya adalah pengurus felda ulu jempol ini. kak Saadah ini punyai dua orang anak, lelaki dan perempuan. 

Kadangkala aku menemaninya menghantar anak2nya untuk mendapatkan rawatan di klinik kesihatan. kebetulan yang tidak kuduga pula tatkala mengetahui kak Saadah ini adalah sepupu kepada cikgu Sulaiman guruku diSMKM dulu. 

Cikgu sulaiman yang pernahku katakan telah berkahwin dengan kawanku niknurizan. disamping jalenan hubungan baikku dengan kaksaadah ini rupanya adalagi seorang saadah yang akan menduduki senarai kawan-kawanku. 

Kali ini orang kesihatan pula. Maksudku saadah kawan baruku ini seorang jururawat desa yang baru ditugaskan di klinik tanah rancangan ini. Perkenalan aku dengannya meningkatkan kefahamanku tentang aspek kesihatan dan beliau mengajarku istilah-istilah yang sering digunakan orang-orang kesihatan. 

Ah! bertuah dan berbahagia sekali Allah mendekatkan diriku dengan saadah-saadah yang kuceritakan ini. Padaku mereka adalah insan2 berbahagia kerana kebahagian sentiasa mengiringi kehidupan mereka kerana nama yang mereka bawa. ..saadah - bahagia. moga kalian semua berbahagia seterusnya di mana juga kalian berada....

SELAMAT BERPUASA RAMADAN DAN MENYAMBUT IDILFITRI PADA SYAWAL YANG BAKAL MENJELANG...MOHON MAAF SEMUA SALAP SILAP ADUHAI SAADAH BEREMPAT.

MyBloglist