pic zack zaid
“Janganlah
merendah diri sangat Fareez. Hina ke jadi anak peneroka yang lulus setakat SPM?
Saya pun anak orang susah. Lebih berkat hidup sederhana dan tidak menyusahkan
sesiapa. Saya ni kalau diberi pilihan saya lebih suka orang macam Fareez.” Dia
tersipu malu kerana tertuturkan perasaan yang berladung di hatinya.
Dia tertunduk dan
kembali menyambung kata-kata untuk meneutralkan keadaan. Rizal ternanti-nanti
ucapan Anita. Hatinya berdebar dilambung perasaan yang sungguh asyik. ‘Aku juga
akan memilihmu walaupun terlalu banyak pilihan.’
“Memanglah kalau
kita kaya, banyak duit cinta pun boleh dibeli. Macam Datuk Shaari, dia cuba
pikat hati saya dengan hadiah-hadiah mahal. Balik KL nanti saya akan pulangkan
semuanya.”
“Tadi Nita marah
sangat saya sebut pasal Datuk. Sekarang Nita pula yang sebut. Aneh?” Anita
tersengih kerana kesilapannya ‘laksana meludah ke langit.’ Terpaksa pula
mencari alasan konkrit agar Rizal tidak terkeliru dengan hakikat fakta sebenar.
“Saya marah sangat
padanya. Terpaksa juga disebut namanya. Nanti Fareez tidak tahu pula siapa yang
saya maksudkan. Macam mana agaknya perasaan Datin. Tentu makan hati berulam
jantung dapat suami berperangai macam tu. Kalau boleh Nita hendak jumpa dia.
Hendak terangkan bagaimana perangai Datuk ni kepadanya. Supaya dia
banyak-banyak bersabar dan berusaha mengawasi Datuk demi mengekalkan kebahagian
rumah tangganya.” Naluri wanita Anita lirih menuturkan. Bersimpati. Sekaligus
empati.
Rizal terkedu. Dia
teringatkan mamanya yang makan hati berulam jantung kerana olah ayahnya. Namun
langsung tidak terpamer pada riak di wajahnya. Walakian Rizal tahu
segala-galanya tetapi mamanya tidak menyedarinya.
Dia leka
meneruskan kehidupan seadanya seakan tiada apapun mengusik dan mengganggu
jiwanya. Tetapi di dalam hatinya tiada siapa yang dapat menerokanya dan
mengetahui apa yang menyarati isi kandungannya..
* * *
Datuk Shaari amat
riang hari ini setelah bermurung seketika dan setengah mati gila bayang kerana
berpisah dengan sesaorang yang amat dikaguminya. Mungkin sudah terbetik
perasaan cinta yang mendalam terhadap gadis impian. Fareez telah mempercepatkan
keinginannya untuk menyunting Anita dan meletakannya di tempat yang wajar.
Fareez telah
menyampaikan berita bahawa cintanya terhadap Anita telah diterima gadis itu.
Dan dia mulai memasang angan-angan untuk mengecap kebahagian bersama Anita,
gadis pujaannya. Gadis yang dirinduinya siang dan malam.
Amin turut merasai
keriangan yang tertera di wajah tuannya. Kerana dia memperoleh laba dari
kemeriahan yang berpesta di hati Datuk yang sedang rindu bayangan itu. Datuk
Shaari sangat pemurah hari ini, sanggup membelanja Amin makan tengahari di coffeehouse sebuah hotel mewah kerana
meraikan kebahagiaan hatinya.
“Heran juga
ya…kenapa Anita tidak telefon Datuk?” Mulut yang sedang mengunyah daging
panggang itu masih juga mahu bercakap. Pesan gemulah emaknya ‘bila makan jangan
bercakap’ tidak pernah mahu diturutinya. Baginya bercakap sambil makan memang
seronok dan menambah selera makannya. Tidak sedar nasi yang ditambahnya sudah
berpinggan-pinggan.
“Budak tu bukan ke
sedang sibuk shooting. Dia tentu tidak sabar lagi hendak tunggu kedatangan aku
dua hari lagi.” Amin menjuih bibirnya, meluat melayan kerenah Datuk yang telah
ditimpa perasaan itu. Dia tidak begitu yakin Anita telah menerima cinta Datuk
Shaari melihatkan dari cara pembawaan wataknya. ‘Tapi mungkin hati Anita telah
berubah dalam sekelip mata. Siapa tahu.’ Getus hatinya.
“Datuk jom lah
masuk ke lounge sana. Minum di sini tak sedap. Asyik jamu tekak je. Sudah
berapa hari tidak jamu telinga dan mata.”
Amin memanjangkan
lehernya mengintai-intai suasana di dalam lounge yang sangat meriah walaupun
malam masih terlalu awal. Ramai yang menyesakinya samada lelaki mahupun
perempuan.
Agaknya masing-masing
hendak melepaskan bebanan tekanan perasaan setelah seharian berkerja
menyelesaikan pelbagai urusan dengan bersantai di lounge dan melakukan aktiviti
yang meriakan hati. Bernyanyi-nyanyi, berkaraoke.
“Orang tengah feeling ni. Kau nak masuk ke tempat memekak
tu. Kalau Anita ada di sini, tak apa juga.” Amin menjengah wajah Datuk Shaari
dengan sengihnya. Jauh tidak disangka sama-sekali perubahan tingkah-laku Datuk
itu dalam sekejap masa gara-gara penangan cintakan Anita.
“Dahsyat sungguh
Datuk sekarang ya. Setia betul dengan Anita. Dulu dengan artis lain tak macam
ni. Kuat betul mandrem dia ya.”
Kedua-dua biji
mata Amin menerima tentangan yang tajam bersinar bebola mata Datuk Shaari.
Laksana pedang yang terhunus bersedia untuk memangkas.
“Hey...jaga sikit mulut tu. Aku hormat betul
budak tu. Dia budak baik. Bukan seperti apa yang kau sangka. Dia tidak macam
Nadia atau pun Rozana. Pantang dapat hadiah. Kalau diberi peluang memilih
hadiah sendiri bukan main mengikis lagi. Semuanya hendak yang ‘imported, branded.’
Kononnya bermutu sangat. Tapi kau perasan tak Anita, bukan main jual mahal. Tak
pandang pun pemberian aku.” Dia tersenyum setelah mengeji dan memuji orang
orang yang berkaitan sesuka hatinya.
“Macam tulah aku
suka…susah nak dapat. Orangnya pun tersangatlah cantiknya.” Datuk Shaari
tersengih lebar, membuat penilaian terhadap Anita dan beberapa orang artis lain
yang pernah rapat dengannya.
“Yalah tu Datuk.
Kalau saya tidak uruskan...” Amin merasa peranannya juga patut dihargai,
dinilai dan beri pujian saksama. Tetapi Datuk Shaari seperti menidakkannya.
Kedongkolan hatinya terluah hambar.
“Nak ungkitlah tu
ya.” Amin tersipu. Tersengih pula.
“Tak adalah
Datuk...mana ada ungkit. Cakap yang benar je.” Dia memandang Datuk Shaari yang
sedang meracik cendawan dan udang besar dengan pisau dan garpu di kedua-dua
tangannya. Ingatannya tentu menerawang jauh entah ke mana. Tidak tertinggal di
pinggan yang sarat dengan juadah kegemarannya,
“Nanti di resort
tu…eee bestnya..aku sarung cincin berlian itu di jarinya. Sambil makan
malam Candle light lagi. Bahagianyalah hidup aku.” Datuk Shaari
berangan-angan. Bermain-main dengan perasaan pelanginya yang berwarna-warni.
“Masa tu saya pun
berkepit pula dengan Sarina.” Tukas Amin ingin turut mengongsi secebis
kebahagian tuannya. Datuk itu mengangkat mukanya yang tunduk.
“Hey...siapa kata
kau ikut sama?” Amin terkejut. Mata Datuk itu ditatapnya penuh pertanyaan.
“Takkan Datuk
tidak bawa saya, asisten Datuk yang banyak berjasa ni. Dah lupa ke jasa saya?”
balas Amin melara hiba kehampaan dengan suara mendayu-dayu.
“Kau ni hapraklah
Min…saat bahagia aku kau nak enter frame
juga ke. Tolonglah…bagi aku peluang kali ni je…” Shaari seakan merayu
pertimbangan pembantunya yang setia lagi berjasa kepadanya agar tidak
mengganggunya menikmati waktu-waktu indah bersama pujaan hatinya nanti.
Tiba-tiba Shaari
dan Amin ternampak Rozana dan teman-temannya masuk ke dalam coffee house
bersama beberapa orang temannya. Shaari mula menggelabah.
“Alamak! Mampus
aku!” Shaari mengangkat kain napkin di dadanya dan menutup mukanya. Amin pula
segera bergerak mencari tempat yang gelap dan terlindung. Menyorok dari
disedari Rozana kehadirannya di situ. Dia terpaksa mengikut rentak tuannya yang
tidak mahu lagi ada sebarang kaitan dengan Rozana. Dalam erti kata lain
menjauhi Rozana demi membuktikan kesetian cintanya terhadap Anita
36.
Rizal berjalan
beriringan dengan Anita menghala ke chalet untuk menghantar Anita pulang.
Sarina sedang menonton TV dan menyedari kepulangan Anita. Rizal terus
meninggalkan Anita di muka pintu chalet setelah kedua-duanya saling bertukar
senyum dan mengucap salam. Rizal melangkah pulang membawa bersamanya secebis
kebahagian yang mulai meresap di jiwanya.
“Kau ni memang
tidak sedar dek untung!” Sergah Sarina. Anita terpinga-pinga.
“Apa yang kau
merepek ni? Tak pasal-pasal nak jerkah aku.”
“Asalkan bersisik
kau ingat ikan. Jagalah sikit ‘standard’ tu.”
“ ‘Standard’ apa
tu? ‘Standard’ apa yang kita ada? Maafkan saya... Cik Sarina saya dah
mengantuk. Selamat malam.” Anita terus masuk ke bilik tanpa memperdulikan
omelan Sarina yang terus menceceh kepada dirinya.
“Padan dengan muka
kau! Dulu kutuk aku. Kononnya aku hanya layak dapat orang tua. Ini Sarinalah.
Dapat jejaka muda kacak, anak Datuk pula. Dia tidak tahu jantan yang dia gila
tu cuma anak peneroka.” Begitu rendah sekali taraf status peneroka itu pada
penerimaan Sarina.
Mungkin dia masih
berada di zon 60-an sewaktu para peneroka ketika itu sedang berhempas pulas
meneroka tempat baru di hutan belantara untuk menjadikannya ladang-ladang besar
di seluruh negara dengan segala macam kepayahan hidup.
Tetapi masa telah
merubah segalanya. Jerih-perih, penderitaan dan kesukaran hidup yang terpaksa
di tempuhi peneroka-peneroka tanah rancangan kerajaan, berpuluh tahun bermandi
keringat dan peluh, menempuh kesengsaraan yang tidak sedikit telah memberikan
pulangan yang setimpal. Berbaloi.
Tetapi ramai juga
pesertanya yang lari meninggalkan tanah rancangan kerana tidak tertahan dengan
kesusahan dan keperitan hidup berada di tempat yang serba daif itu.
Taraf hidup para
peneroka kini jauh lebih baik jika hendak dibandingkan dengan penduduk kampung
tradisi. Cerita-cerita kejayaan rencana kerajaan ini banyak disiar di media
arus perdana. Hanya Sarina yang tidak mengikutinya. Tidak peka dengan
perkembangan arus semasa.
* * *
Johan berlenggang
senang mengatur langkah untuk mendapatkan Fareez dan Rizal di pejabat
pengurusan RSJ. Dia sedang berkira-kira hendak memberitahu kedua-duanya bahawa
penggambaran dramanya sudah selesai. Dia begitu gembira kerana berjaya
menyudahkan kerjanya menurut jadual yang diberi produsernya.
“Saya ingatkan
lagi dua hari. Tetapi setelah semak skrip malam tadi, rupa-rupanya hanya
tinggal tiga ‘scene.’ Kira hari ini adalah hari terakhirlah Encik Rizal, Encik
Fareez. Bagi pihak produksi saya, saya ingin ucapkan terima kasih banyak di
atas layanan yang istimewa ini dari RSJ.”
Johan memang
seorang yang tahu memperaktikan peribahasa ‘orang berbudi kita berbahasa.’
Dengan kerjasama pihak Resort Sri Jelapang dia langsung tidak di ganggu
sebarang masalah sewaktu melakukan kerja-kerja penggambarannya.
Fareez dan Rizal
sentiasa membantunya mendapatkan keperluan yang tidak ada di pulau dengan
menghantar operator bot laju mencarinya ke bandar di tanah besar.
“Tak ada masalah
Johan. Datanglah ke sini lagi bila-bila masa untuk buat shooting lain kali. Kami sentiasa menerima. Kecil tapak tangan,
nyiru di tadahkan. Eh tak nak ke tinggal di sini sehari lagi selepas shooting?”
“Terima kasih
banyak-banyak. Kami kena balik. Saya nak kena edit cepat ni. Selepas tu mula
pula produksi baru.” Johan mengerling
jam di tangannya.
“Budak-budak saya
dah tunggu ni. Saya pergi dulu ya.” Johan melangkah meninggal Fareez dan Rizal.
Wajah Rizal bertukar panik. Dia memandang kawannya yang tersenyum tenang
menancap kegelisahan yang beriak di wajah Rizal.
“Rosak program
kita, bila ayah aku datang Anita sudah tak ada. Apa yang nak dibuat lagi, hancur
semuanya.”
“Jangan susah. Aku
sudah sediakan rancangan lain.” Rizal merenung kawannya itu yang menuntut
penjelasannya. Tetapi Fareez hanya berdiam diri. Semua rencana yang digubalnya
tersimpan kemas dalam memori komputer mindanya. Sukar di akses sesiapa.
Biarlah Rizal
berteta-teki dahulu tentangnya. Dia sedang menyusun rancangannya agar lebih
kemas dan akan terlaksana dengan jayanya.
* * *
Majmin menemani
suaminya hingga ke kereta. Pemandunya yang sedia menanti menyambut briefcase
yang dibawa Datuk Shaari dan meletakannya di dalam kereta.
“Jadi projek tu
sudah ada dalam tangan abanglah ya. Bila abang balik ke sini, lepas sain
kontrak dengan pelabur tu, abang kena tunaikan janji abang ya…” Shaari
terdongak menatap mata isterinya. Terkejut mendengar permintaan itu.
“Janji? Janji apa
pulak?” bulat terjegil bebola matanya menentang sinar bening kejora mata
isterinya.
“Janji abang
hendak bawa saya ke RSJ. Abang jangan buat-buat lupa sudah.”
“Oh
itu…boleh...boleh, tak jadi hal. Tak jadi hal.” Balasnya gugup. Dia masih
bersandiwara dengan projek bayangan rekayasanya. Yang tidak pernah wujud dalam
bentuk apapun.
Projek yang
dimegahkan dengan binaan-binaan mercu tanda bahasa yang direka arkiteknya yang
tidak bertauliah dan hanya temberang besar.