Rizal mengeluarkan
beberapa helai pakaiannya dari begnya dan diletakannya di atas katil di sisi
Fareez.
“Kau pakai ni
besok.” Rizal menerima pandangan polos temannya.
“Maaf!! Aku nak
tarik diri. Surrender. Bahaya buat
kerja menyamar macam ni. Buatnya ayah dan mak kau datang, tidak ke naya aku.”
Fareez menolak gesaan temannya.
“Ah itu semua kau
serahkan pada aku. Bila tiba masanya tahulah aku apa yang hendak aku buat.”
Ujar Rizal masih mendesak dan meyakinkan Fareez agar melaksanakan saja
rencananya tanpa ragu-ragu..
“Aku tidak sukalah
buat kerja macam ni. Mana biasa aku jadi anak orang kaya. Bapak aku peneroka
je. Bukannya kaya raya macam bapa kau.aku ni orang biasa je Rizal. Tidak kaya
dan tidak juga miskin. ”
“Kita ni sama je
Fareez. Kau fikir aku tidak tahu ramai peneroka yang telah jadi jutawan
sekarang ni dan menjalankan perniagaan yang tidak semenggah pada mata kasar
orang ramai tetapi memberi pulangan yang lumayan. Kau pun pernah cakap ayah kau
sekarang mampu meraih pendapatan 5,000RM - + sebulan hanya dengan jualan sawit
saja. Itu belum lagi dikira dengan hasil dari projek lembu ternak lagi.
Sudahlah Fareez, jangan kau hendak merendah diri pulak. Sekarang ni bukan soal
siapa kaya siapa miskin. Tapi soal siapa lagi yang hendak menolong kawan kalau
tidak kawannya sendiri.” Rizal terdiam menatap wajah kawannya yang bungkam.
‘Aku sangat mengharapkan pertolongan kau
Fareez…hanya seorang sahabat yang baik mahu menolong kawannya. Aku mengangap
kau adalah sahabat yang sanggup berkongsi susah-senang yangku rasa. Seorang
kawan aku yang kini menjadi Pensyarah Phsykologi di sebuah maktab perguruan di
Ipoh mengatakan ‘persahabatan ibarat
tangan dan mata. Apabila mata menangis tangan akan menyapu air mata.’
Entah dari mana
Baharudin Ismail mengutip pepatah yang indah berseni itu. Barangkali dari
sumber bacaan yang banyak. Bukan senang seorang pensyarah hendak berinteraksi
dengan siswa-siswa yang bergeliga otaknya untuk memberi konsul dan bimbingan
sekiranya ilmu di dada hanya ‘setampuk pinang.’
“Tolonglah Fareez.
Aku sudah terdesak ni. Aku tidak mahu orang hormat aku sebab aku anak Datuk
Shaari. Aku rimas. Aku hendak rasa hidup macam orang-orang lain juga...macam
orang biasa.”Lirih anak matanya yang bening merenung temannya itu.
“Hairan sungguh
aku. Orang macam kau ni pun ada juga ya. Aku ingatkan hanya fiksyen rekaan
penulis saja. Selama ini aku ingatkan…” Rizal tidak memberi peluang Fareez
meneruskan dialognya, dicelahinya dengan pantas.
“Apa? Seronok
dengan kemewahan bapak dia orang? Kau silap Fareez. Sejak zaman dulukala lagi
ada anak orang kaya yang tidak suka dilahirkan di tengah-tengah keluarga kaya.”
“Susah…susah nak
percaya.” Sahut Fareez tergeleng-geleng menolak hakikat.
“Aku rasa kau
pernah baca buku The Prince and The Pauper.
Filem dia pun ada. Sudah banyak kali aku tengok filem tu…sejak aku sekolah
menengah lagi. Ataupun Filem Musang Berjanggut lakonan P. Ramlee. Aku selalu
bayangkan akulah watak yang dibawakan P Ramlee tu.” Fareez tersengih memandang
wajah Rizal yang bercerita dengan penuh perasaan.
“Oh kau berangan
hendak jumpa awek cun macam watak yang dibawakan Seniwati Saadiah tu ke?”
Fareez tertawa sebelum menyambung cakapnya semula.
“Nama je belajar
di New York tapi khayalan kau masih di Bollywood! sah pemuda Melayu sejati,
sentimental habis.” Fareez berterusan tertawa. Lucu sungguh hatinya menilik
perwatakan Rizal itu.
Sungguh pun begitu
dia mengagangap Rizal seorang yang berbudi mulia, unik sifatnya dan
berkeperibadian tinggi. Boleh jadi manusia sepertinya hanya satu dalam
berjuta-juta.
Memang segar bunga
yang mekar
Seroja kecil
banyak kelopak
Memang sukar
teramat sukar
Memilih yang baik
antara banyak.
“Ah! Sudahlah. Aku
dah mengantuk ni. Jangan lupa pakai baju aku tu besok. First impression is so very
important. Besok kau akan dikenalkan sebagai anak Datuk Shaari. Lepas tu
tak kisahlah kalau kau nak pakai baju ala anak peneroka tu!”
“Opps…jangan
menghina…aku tarik diri…haa… melopong kau. Kau jangan tak tahu ramai peneroka
yang dah jadi jutawan tau…tapi mereka tak adalah nak berlagak. Hidup selamba je
macam biasa. Cuma aku je anak peneroka yang bapanya belum jadi jutawan.” Rizal
memeluk bahu temannya dengan senyum yang lebar.
“Aikk...merajuk
pula hero kita ni. Maaflah! aku tu gurau je. Tidak bermaksud sampai ke situ.”
Fareez membaling
bantalnya ke arah Rizal seraya berkata. “Banyaklah kau punya maaf.” Rizal
tertawa melihat reaksi temannya itu.
“Tapi aku rasa
seorang pengurus tentu perlukan seorang pembantu kan. Nampaknya kau akan jadi assistant manager aku... er…kalau kau
tidak hendak aku pun…haa…”
“Oklah bos. Kau ni
macam budak-budak. Semua kerja perlu dibantu. Kuatlah sikit semangat tu.
Berdikari. Berminda glokal ikut TPM (Timbalan Perdana Menteri) cakap. Global
dan lokal. Ini tidak..” Lega hati Fareez mendengar pengakuan Rizal. Maknanya
dia tidak berseorangan melakukan tugasan yang amat asing baginya.
Dia mencapai
bantal dan meletakan kepalanya. Angin laut berhembus halus dan dingin. Kain
selimutnya ditarik sehingga berkelumbung menutupi kepalanya hingga ke hujung
kaki. Namun kedinginannya tetap terasa.
Malam semakin
berensut membawa pergi bersamanya catatan kisah manusia yang akan ditulis
malaikat pencatit Rakib dan Atib ke dalam kitab laporannya yang akan
dibentangkan di Padang Mahsyar di hadapan Allah Azzawajalla kelak.
Rizal dan Fareez
beradu dengan nyenyak dan hilang dari dunia fana menembusi dimensi baru. Mimpi.
* * *
Azmi sedang
memperkenal Fareez sebagai Rizal anak Datuk Shaari yang akan mengambil tugasnya
sebagai Pengurus Resort Sri Jelapang, menggantikannya. Dan Rizal akan dibantu
Fareez temannya. Fareez berbisik begitu kepada Azmi. Azmi memandang Rizal dan
Fareez silih berganti dan akhirnya dia terangguk-angguk.
Fareez berdebar
dan kekok dilayani sebagai seorang terhormat. Rizal memandangnya selamba. Ada
desas-desus yang berbisik di kalangan gadis-gadis petugas yang membandingkan
kedua-dua lelaki muda yang berada di hadapan mereka.
Kedua-duanya
memang sama tampan bergaya dan berpesonaliti yang menawan. Seorangnya nampak
sangat berkarisma sebagai seorang ketua sementara seorang lagi hanya selamba
bersahaja namun kelihatan berwibawa..
‘Kalaulah si
jejaka tampan itu jatuh hati kepadaku alangkah bertuahnya badan, seorang gadis
yang bertugas sebagai penyambut tetamu itu memasang angan-angan. Dimatanya
terbayangkan di saat-saat melewati waktu indah bersama jejaka idaman yang
menjadi pujaan.
‘Hoi...jangan
beranganlah. Sergah mindanya sedarnya. Dia kembali ke dunia fana dengan sabar
menunggu gilirannya untuk di perkenalkan kepada kedua-dua jejaka itu. Matanya
bersinar memberi fokus kepada keadaan yang melengkunginya.
Membuang masa
sahaja membayangkan perkara yang bukan-bukan dan sukar hendak dijadikan
kenyataan kata hatinya.
baca sampai habis kak hehehe terbaik !
ReplyDeletetq KA...suka kak dipuji heh..heh..
ReplyDelete