Rizal telah membuat satu keputusan yang berat hendak
dilaksanakannya. Tetapi dia merasanya seperti sudah tidak ada sebarang pilihan.
Hanya itulah sahaja sepatutnya dilakukannya.
Dia tidak ingin melalui rentak kehidupan yang sedang ditandak
ayahnya dan suku-sakatnya. Sekiranya masih di sini dia tentu akan terpaksa
menerajui syarikat perniagaan ayahnya dan bergelumang dengan kegiatan sosial
yang tidak digemarinya. Seperti ayahnya juga. Ayahnya pasti berkata, lakukanlah
semua itu demi kepentingan syarikat. Untuk kemajuan bisnis supaya beroleh
keuntungan yang berlipat ganda.
Rizal ingin menjalani kehidupan yang tenang sebagai muslimin yang
baik dan bersih dari sebarang maksiat yang akan menodai kesuciannya.
Dia tidak berpendapat bahawa cara hidup yang diyakini ayahnya itu
tidak sempurna dan menyalahi. Tetapi perlu dibaiki. Berniaga itu sunnah
Rasullullah. Rezekinya amat luas. 9/10 dari sumber rezeki yang lain. Tetapi
perlu berada di landasan yang betul menurut syariat yang sebenarnya.
Jadikanlah perniagaan itu sebagai amal ibadah yang mulia dan tidak
dicemari dengan elemen-elemen kemaksiatan. Lakukanlah perubahan yang
bermanafaat. Bukankah hidup ini sentiasa perlu berubah? Dan menuntut perubahan
yang lebih baik. Hari demi hari.
Hari esok mestilah lebih baik daripada hari ini dari segenap aspek
pencapaian.
Demikian yang sering dianjurkan para alim-ulama dan cendiakiawan
terbilang. Rizal ingin mengadaptasikannya ke dalam hidupnya seterusnya. Sebagai
manusia yang cemerlang dengan kejayaan di dunia dan di akhirat.
Kehidupannya di US , sendirian di
rantau orang sangat memeritkan. Dia sentiasa pasrah kepada-Nya.
Bersungguh-sungguh hati. Berada di tengah suasananya yang tegar dan perlukan
benteng pertahanan diri dan iman yang teguh untuk menghadapi sebarang dugaan
dan godaan.
Hanya berlindung kepada-Nya.
Mengharapkan rahmat-Nya untuk memelihara keselamatan dari anasir-anasir yang
tidak diingini. Sentimen masyarakat New
York selepas tragedi 11 September terhadap muslimin
dan pendatang luar ketara amat kebenciannya. Tragedi yang sangat mengejutkan
dunia itu meranapkan bangunan tinggi World
Trade Center
dan mengorbankan ribuan nyawa mangsa.
Gara-gara angkara muslimin Osama Bin Laden dan kuncu-kuncunya.
Begitu sumber pertahanan US
menyebutnya. Kenyataannya tidak pula terbukti secara sahih.
Setelah itu, barangkali semuanya beranggapan kesemua muslimin yang
berjubah dan menutup kepala itu menyembunyikan serangkaian bom yang akan
meledak di mana-mana saja, samaada di pasaraya di bangunan tinggi waima di
gereja tempat pemujaan Tuhan.
Ketakutan yang membelenggu ekoran tragedi itu membungkus perasaan
prasangka yang kejap terhadap muslimin adalah total teroris. Dan para teroris
perlu dipanah untuk menjatuhkannya.
Seperti Serb Bosnia yang berusaha melakukan pemusnahan ethnik Islam
Bosnia dengan membunuhnya tidak mengira jantina dan umurnya. Andai sahaja Islam
perlu dimusuhi dan dihapuskan kewujudannya..
Ketika itu dia baru saja tiba di situ untuk memulakan pengajiannya.
Ketakutan yang menyelubunginya seakan diekori jejak hantu ke mana
saja berpergian. Apa lagi dalam keadaan pertama kali berada di rantau orang.
Tanpa mama dan ayahnya di sisi untuk memberinya perlindungan.
Mamanya sering menaliponnya memberinya semangat dan kekuatan untuk
meneruskan pengajian yang telah dimulakannya.
Kata mamanya berdoalah sentiasa memohon perlindungan dari-Nya kerana
Dia yang maha berkuasa ke atas segala-galanya. Jangan lalai menunaikan solat
fardu atau solat sunat. Mohonlah keampunan dan keredaannya, nescaya hidupmu
berkah dan terlindung dari mara-bahaya. Sesuatu apa pun tidak akan terjadi,
tanpa izin dari-Nya.
Mamanya menitipkan pelbagai pesanan yang diikutinya untuk menjadi
pendinding dirinya menghadapi pandangan serong mat saleh tempatan terhadapnya
yang memiliki wajah iras-iras orang-orang Asia Barat. Salah-silah jurai
keturunannya yang terdahulu sememangnya berasal dari situ.
Pengalaman ngeri yang hampir meragut nyawanya kerana dibelasah
remaja tempatan yang menyangkanya bersangkut-paut dengan tragedi 11 September
kerana rupa Arabnya itu tidak akan dilupakannya. Ketakutan yang mengerikan
menjadi trauma.
Mujur ada dua orang rakannya, warga tempatan yang menyelamatkannya.
Masih ada insan berhati mulia ditengah keboborokan manusia di sini. Memang Dia
Maha Berkuasa. Jika tidak diingini sesuatu itu berlaku maka ianya tidak akan
berlaku. Dia mengucap berbanyak syukur.
Apa yang dilaluinya mengajarnya jangan terlalu remeh dengan hidup
yang singkat ini. Mesti di isi dengan amalan-amalan yang tidak merugikan untuk
dibawa menemuiNya kelak. Faktor usia samada tua atau muda bukan penentu masa
sesaorang akan meninggalkan mayapada ke alam hakiki.
Dia ingin mencari sesuatu yang menenangkan jiwanya. Tidak ditemuinya
di sini. Mungkin ada di tempat lain, dia menduga-duga. Dan dia perlu ke situ.
“Rizal berkemas-kemas ni hendak ke mana?” dahi mamanya
berkerut-merut melihat perlakuan anaknya itu. Dia duduk di sisi anaknya di atas
katil.
“Entahlah mama…memang susah Rizal hendak buat keputusan.” Sahut
suaranya yang kedengaran tersekat-sekat di tenggorokan. Pandanganya menyeluruhi
pakaiannya yang berserakan di atas katil. Sebentar lagi dia akan mengemaskannya
kembali.
“Janganlah jadikan peristiwa semalam tu sebagai penentu pandangan
Rizal terhadap ayah. Ayah seorang yang baik. Dia ingin mendekatkan dirinya
dengan Rizal. Mungkin caranya saja yang tidak kena. Sejak dulu memang demikian
cara sosialnya. Walau bagaimana pun dirinya,
dia amat sayangkan Rizal.” Suara lirih mamanya yang memujuk itu tidak
mampu melembutkan hatinya. Dia berpaling mengadap mamanya.
“Mama ni kenapa? Biarkan saja ayah begitu. Rizal hairan mengapa
selama ini mama diamkan diri. Mama biarkan ayah hanyut dalam dunianya. Kenapa
mama tidak tuntut hak mama.” Dia mendengus keras. Jari jemarinya diremas-remas.
Wajahnya tegang.
“Ada
wanita lain yang lebih teruk kehidupan mereka daripada mama. Kita harus kenal
erti kesyukuran.” Ujar wanita tabah dan banyak bersabar di atas ujian-Nya itu.
“Sebab itulah Rizal hendak pergi dari sini. Rizal tidak sanggup
melihat mama menderita di dalam senyap. Menangis di dalam diam. Rizal juga
ingin mencari ketenangan jiwa yang akan memberi ilham untuk menjalani hidup
seterusnya.” Wajah polos anaknya yang rusuh kerana bersiponggang dengan
liku-liku ketentuan yang menyulitkannya membuat keputusan itu ditatapnya hiba.
“Kalau Rizal sayangkan mama, Rizal pergilah ke resort kita tu. Mama
akan lebih tenteram jikalau Rizal ada di sana .
Mama sudah yakin anak mama selamat di sana .”
Mamanya merenungnya dengan kedua-dua bola matanya yang jernih bersinar tetapi
tetap terkandung kesayuan yang biru di situ.
Anaknya itu sekali lagi akan berpisah dengannya. Kali ini dia ingin
pastikan anaknya berada di tempat yang terjamin keselamatannya. Dan tidak
meragukan apa-apa lagi tentangnya.
“Mama akan beritahu ayah, jika Rizal ke sana nanti?” Mencerlang anak matanya menerjah
kristal mata mamanya mengisi pertanyaannya.
“Kenapa? Rizal hendak mama rahsiakan?” Tanya mamanya pula.
“Rizal tidak mahu ayah ke sana
dan pujuk Rizal pulang...” Seketika dia diam.
Ayatnya tergantung dan bersambung kembali.
“Ayah dah bangun ke?” Majmin pasti suaminya belum lagi bangun dari
tidur. Masih terbungkang di atas katil. Barangkali kerana terlalu letih turut
berpesta meraikan majlis temannya dan pulangnya pula hampir dinihari.
“Baguslah. Rizal hendak keluar sebelum ayah bangun.” Rizal memandang
mamanya yang tidak berdaya menahan sebak. Titislah air jernih dari kedua-dua
kelopak matanya. Buli-buli darah yang menukarkannya kepada rupa sifat air yang
jernih berkaca.
Hatinya dirobek dengan kesayuan kerana akan berpisah dengan cahaya
mata kesayangan nan seorang. Sukarnya perasaannya hendak melepaskan anak yang
dikasihi daripada melangkah pergi meninggalkannya.
“Rizal tidak akan pergi selama-lamanya. Suatu hari nanti Rizal pasti
pulang. Mungkin membawa sinar baru yang akan memberi kebahagian kepada kita
sekeluarga.” Rizal memeluk mamanya. Menyeka titik air yang membasahi pipi
mamanya.
Majmin mendakap erat anaknya itu. Seperti tidak mahu di lepaskannya.
Rizal melangkah membawa sebuah beg yang sarat dengan pakaiannya
keluar dari banglo putih yang tersergam itu menunggu teksi yang ditempahnya
dari syarikat teksi ibu kota yang akan datang membawanya pergi ke destinasi
pilihannya..
aduhai,,, baru dapat nak baca ari ni! pergh best2
ReplyDeletebest ke? wah...terlambung tinggi dgn pujian KA...tksh banyak...
ReplyDelete