Friday, 10 August 2012

SELIRATAN CINTA BAB 14...


 Meriah sekali acara yang diatur di dalam majlis anjuran seorang tokoh korporat IT(Informasi Teknologi), Datuk Shamsudin yang selalu disebut Pak Din saja bagi yang rapat mengenalinya. Ramai rakan tolannya yang hadir turut sama meraikan kejayaannya menguasai dunia IT yang globalisasi yang beribu pejabat di MSC (Multimedia Super Coridor) Sepang, Putrajaya.
Antara rakannya yang turut hadir adalah Datuk Shaari dan seorang anak muda yang sentiasa resah kerana tidak selesa berada di tengah kelompok manusia pelbagai wajah menurut ras itu.
“Kenalkan anak saya Rizalsyah. Dia ni baru balik dari US. Baru saja tamat pengajiannya.” Datuk Shamsudin menggores senyuman di bibirnya menyambut salaman anak muda yang memaksa diri memaniskan senyumannya itu.
“Wah…sudah besar anak kau ye Shaari, sudah ada yang boleh kau harapkan untuk menerajui syarikat perkapalan kau kelak.” Datuk Shamsudin hanya menyatakan impian seorang ayah terhadap anaknya apabila semakin dewasa menurut kebiasaannya. Dia merenung Rizal dari ubun-ubun di kepala hingga ke hujung tumit kasutnya.
“Harapannya begitulah.” Anak yang serba-salah di sisinya dijelingnya sekilas.
“Ish…kau ni datang berdua saja ke, Amin mana? Selalunya kau kemana saja mesti dengan pembantu yang sangat setia itu.” Datuk Shaari tertoleh-toleh mengimbas kelibat Amin yang dijangkanya sudah tiba seperti yang di janjikannya.
“Dia pun akan datang juga ke majlis kau ni katanya. Tidak tahulah kemana pula sesatnya. Sekejap lagi sampailah kut.” Datuk Shaari berandaian saja pada kalimat akhirnya.
Datuk Shamsudin melihat ramai tetamu-tetamunya sedang memasuki ruang majlisnya. Dia mengangkat tangan ke arah mereka dengan melontarkan senyuman cerianya.
Kawan-kawannya ramai yang hadir ke majlisnya tentu ingin turut sama mengongsi kejayaannya kerana berjaya menembusi pasaran maya IT di Australia dan beberapa negara lagi. Begitu menurut gerak hatinya.
“Shaari bawalah anak kau menjamu selera di meja sana. Aku hendak berjumpa dengan kawan-kawan kita yang lain pula.”
“Baik Datuk. Terima kasih.” Datuk Shamsudin membawa dirinya menghampiri tetamunya berjabat tangan seorang lepas seorang dengan senyuman yang menguntum di bibir tanda keceriaan meraikan tetamu yang hadir.
 “Jom kita ke sana.” Datuk Shaari menudingkan jarinya kearah sebuah meja yang dialas cantik dengan kain brocade kuning yang berkilat. Beropol-ropol di sekelilingnya. Siap dengan gubahan lipatan bunga ros di empat penjuru meja.
“Rizal duduk di sini sekejap, ayah hendak bertemu dengan rakan bisnis ayah di meja sana.” Rizal memandang kearah jari telunjuk yang dituding ayahnya. Seorang wanita seusianya mungkin, menggamit ayahnya. ‘Tunggu sekejap Nadia,’ getus hatinya
Apa yang jelas di matanya hanya seorang gadis berbusana anggun bergaya seperti model dengan wajah yang mempesona sedang melambai ayahnya. Hatinya diterpa pelbagai persoalan. Merangka prasangka yang tidak enak pada jangkaan.
‘Biar betul ayah aku ni. Rakan bisnis ke girl friend? Masakan semuda itu sudah menjadi korporat yang berjaya. Tetapi tidak mustahil juga.’ Hati Rizal keliru sekali membuat penafsiran. Tapi tetap menenangkan jiwa kalutnya dengan anggapan yang positif. Tidak menyukarkan benaknya.
Dia memang tahu Bill Gate belum lagi berusia 40-an sudah pun menjadi billionare kerana siswa yang tidak sempat graduat di Havard itu berjaya mempraktikan kemahiran IT dan mengembangkan perniagaan Microsoftnya ke seantero dunia.
‘Boleh jadi gadis berambut perang itu suku-sakat Bill Gate kut’, lucu pula gurau hatinya. Hilanglah kerusuhan hatinya memandang perilaku ayah yang tidak di senanginya sementara. Bercempera laksana awan ditiup angin.
Dia bersaorangan di meja itu. Sedangkan ayahnya begitu leka berbual mesra dengan temannya. Dia terasa ayahnya sengaja melupakannya. Membiarkannya termangu-mangu seperti kera sumbang. Dirinya seakan sendirian walaupun dikelilingi ramai orang.
Segera dicapai segelas minuman jus yang tersedia di meja. Ingin menghapus kerusuhan yang menyesak dada dengan air yang bakal diteguk itu. Tugas air yang sangat ajaib bermukjizat walau apa bentuk, rasa dan warnanya.
Samaada H2O jernih tulen waima bercampur rupa. Sentiasa menyenangkan. Kecuali bah besar, tsunami.
“Hai Rizal.” Dia terhenti dari meneguk air yang mula membasahi tekaknya apabila mendengar suara sapaan yang sangat biasa pada pendengarannya. Gelas di tangannya diletakan di atas meja dengan cermat.
“Eh…uncle Sham. Uncle pun di sini juga? Auntie Mun tidak ikut sekali?” terasa terisi sedikit ruang kosong kesunyian yang  menyerkupinya di tengah-tengah kemeriahan majlis yang serba mewah ini dengan kehadiran sesaorang yang dikenalinya. Sahabat mama dan ayahnya yang dikenalinya sejak lama.
“Auntie kamu tu tidak ikut. Katanya dia ada janji dengan mama kamu hendak ke kuliah agama di masjid Kota.” Rizal angguk mengakuinya. Mamanya berkata begitu kepadanya.
“Tapi majlis Datuk Shamsudin ni khusus untuk rakan-rakan bisnis yang lelaki saja. Dia tidak jemput orang perempuan.” Rizal terkeliru. Sukar hendak dipercayainya. Wajah Datuk Shamsi di jengah dengan pertanyaan. ‘Iyakah begitu?’
“Saya tengok ramai je orang perempuan di dalam majlis hotel ni. Tapi Uncle kata orang perempuan tidak dijemput?”
“Itu kamu jangan silap faham. Kebanyakan perempuan yang ada tu hanyalah urusetia yang menguruskan kelancaran majlis ni.” Datuk Shamsi mengucapkan fakta rekayasanya.
‘Masakan gadis urusetia berlagak seperti tetamu. Uncle ni memang penipu. Dia ingat aku ni baru sekolah tahun satu.’ Rizal menggumam dalam diam. Bibirnya mencebik sedikit.
“Eh…uncle duduklah dengan saya di sini. Ayah tu sedang bersembang dengan seorang gadis urusetia gamaknya.” Rizal mempelawa Datuk Shamsi duduk di sampingnya.
Sempat pula melepaskan bola smash sinis yang mengena tepat ke sasarannya. Datuk Shamsi tahu itu. Dia tersenyum sedikit melindungkan wajah dari raut rasa serba tidak kena.
“Tidak mengapalah Rizal, uncle hendak bertemu dengan ayah kamu sekejap. Uncle pergi dulu ye.” Datuk Shamsi yang berusia awal 50-an sebaya dengan ayahnya meninggalkan Rizal kembali sendirian. Tetapi tidak lama. Datang lagi sesaorang menyapanya. Dia melepaskan semula gelas yang di pegangnya setelah sekali reguk.  
“Eh...Rizal.” Sekali lagi Rizal melafaz selawat ke atas Nabi S.A.W dengan perlahan. Kali ini kerana bersalaman dengan Amin pula. Teman di sebelah Amin seorang gadis dengan kelopak matanya berwarna hijau+biru yang gemerlap sementara alis keningnya urna coklat ditulis persis garis melengkong halus.
Rerambut keningnya yang tulen tidak kelihatan lagi. Namun gadis itu memiliki raut wajah yang cantik. Memang tidak ternafikan keindahan wajah wanita ciptaan-Nya. 
“Rizal, abang hendak ke tandas ni. Boleh abang tumpangkan sepupu abang ni di sini sekejap. Abang risaukan keselamatannya. Maklumlah sepupu abang ni baru datang dari kampung. Takut hilang pula nanti jika dibiarkan seorang diri tidak berteman. Tak apalah abang pergi dululah.” Amin tergesa-gesa meninggalkannya tanpa mempedulikan apakah kata-kata Rizal selanjutnya. Adakah sanggup menerima amanahnya atau tidak. Rizal mengangapnya bebanan yang terpaksa dipikulnya. Dia mengetap bibirnya.
Dia membalas senyuman gadis itu dengan air muka yang tidak jernih. Tetapi berusaha dijernihkannya dengan senyuman tawar yang dimaniskan. Sekujur tubuh itu diintai dengan lirikan matanya.
‘Begini punya dressing, ye ke orang kampung? Ah...orang kampung alaf baru, era glokal seperti disarankan Timbalan PM perlu setanding dengan modenisasi yang dikecap masyarakat bandar. Berminda kreatif lagi inovatif. Hidup berkualiti. Tapi bukan setakat berubah kepada cara berpakaian dan cara bersolek saja kut.’ Sinis sekali protesnya dalam diam. Gadis itu juga sedang menilai seorang anak muda di hadapannya menerusi pandangan matanya.
‘Kacak sungguh anak Datuk ni, andai katalah dia ni berkenan pada aku seumur hidup aku dan keturunan aku akan senang-lenang menumpang kemewahan Datuk yang kaya-raya tu.’
“Duduklah. Abang Amin tu sekejap lagi baliklah.” Gadis itu dipersilakan mengambil tempat duduk di sebuah kerusi yang disedia.
“Terima kasih. Saya Liza.” Gadis itu tersenyum manja menghulurkan jejarinya untuk disambut jejaka di hadapannya.
Rizal tidak berhasrat hendak bersalaman dengan gadis itu. Tetapi dia tidak mahu memalukan gadis itu kerana huluran tangannya tidak bersambut. Dia menggenggamnya longgar dan segera melepaskannya.
Aroma minyak wangi yang dikenakan gadis itu menyengat deria baunya tatkala dia mendekatkan dirinya pada Rizal. Sangat memeningkan kepalanya. Rizal memang alahan dengan wangian yang terlalu.
“Abang Amin bercerita pada saya, Rizal ni baru balik dari belajar dari US. Ye ke?” Rizal terkedu. ‘Hai berkenalan pun baru beberapa minit sudah buat soal-selidik tentang biodata diri aku. Pelik ni. Macam ada sesuatu yang tidak kena pula.’
 Dia menjengah mencari kelibat Amin yang tidak muncul-muncul. ‘Lama betul abang Amin ni. Apa dibuatnya?’ mindanya mengukir tanda tanya.
“Ambil kursus apa di sana?” pertanyaan yang muncul tiba-tiba dari gadis itu menerjah mindanya yang lepa.
“Degree in Applied Electrodynamics.” Jawabnya hambar. Dia sengaja menyebut apa yang terlintas di mindanya saja. Dia mengambil jurusan lain di universiti Rhode Island USA.
Ocean Engineering sebenarnya bidang khusus yang dipelajarinya. Ijazah tentang kejuruteraan samudera yang merangkumi semua dari asas mengenal lautan, arah tiupan angin, cuaca, kelajuan arus, ombak sehinggalah apa yang ada di dalam perut kapal sebelum memulakan pelayaran merentasi lautan. Setiap sabjek yang wujud berkaitan maritim mesti diambil tahu. Ilmu yang wajar dipelajari seluas lautannya. Tetapi pengetahuan yang diberi-Nya hanya setitis. 
“Digri apa tu? Nak sebut pun berbelit-belit lidah.” Pertanyaan yang menerjah ruang mindanya yang telah melayang jauh ke Rhodes Island. ‘Itu pun tak tau! Hai lorat-lorat.’ Rizal tersenyum simpul. Malas pula dirinya hendak memberi penjelasan setepatnya. Dibiarkan gadis itu terkapa-kapa, teraba-raba maksud yang sebenarnya.
“Kenapalah ambil kursus yang susah-susah. Habis tu balik sini boleh dapat kerja apa?” Banyak pula pertanyaan gadis itu yang mengasaknya meminta jawapan daripada Rizal sehingga dia merasa bosan dan rimas hendak menjawabnya.
“Apa-apa pun boleh, jadi cikgu, jadi pegawai, jadi kerani, jadi peniaga warong. Pendek kata apa saja asalkan berminat dan ada kemahuan.” ‘Ramah sangat pula minah seorang ni. Cepatlah datang Amin oii. Ambil balik harta kau yang memeningkan kepala aku ni.’ Suara sinisnya itu terperangkap di dalam peti kalbunya. Matanya melilau mengintai kelibat Amin. Tidak kelihatan di mana-mana.
   “Laa…kalau sudah macam tu, buat apalah pergi belajar jauh-jauh. Kata bang Amin, Rizal ni anak orang kaya. Tidak payah susah payah belajar tinggi-tinggi. Harta ayah pun tidak habis dimakan.”
‘Mudahnyalah penerimaan sepupu Amin ni tentang hidup. Sekarang ni orang berlumba-lumba mencari ilmu pengetahuan terkini tetapi awak masih berangan-angan hendak hidup senang dengan menghabiskan harta warisan emak-ayah. Sungguh tidak glokal (globalisasi lokal). Tetapi lokal yang teruk. Sifat buruk yang tidak harus diikut.’
“Liza awak tunggulah Amin di sini. Jangan kemana-mana. Di sini keadaannya bukan macam di kampung. Apa lagi orang cantik macam Liza. Mesti ramai yang berkenan. Silap gaya dibawa lari. Saya nak keluar sekejap.” Rizal bergerak tanpa menoleh ke belakang lagi. Laju langkah yang diaturnya. Sesiapa saja yang dilewatinya tidak disapanya. Hayunan langkah menuju ke tempat yang ditetapkan hatinya.
Liza tersengih melihat gelagat Rizal yang mengingatkannya tentang itu semua. Dan dia tidak berupaya hendak menahannya dari tidak meninggalkannya.
‘Dia fikir aku ni baru semalam agaknya tiba di KL. Aku ni anak KL jati beb. Lahir dan besar di KL ni. Memanglah dari kampungpun. Kampung Baru KL. Nampaknya orang bandar yang ijazahnya hebatpun mudah ditipu.’
“Tengok tu, Liza sendirian saja. Anak Datuk tu ke mana?” Tersentak lelaki itu bila lengannya dicuit. Lehernya terkilas memandang kearah meja yang ditempati anaknya sebentar tadi. Benarlah apa yang dikatakan Nadia, anaknya sudah tidak ada bersama Liza.
“Ish…masalah ni. Kawan pilihan si Amin ni langsung tidak boleh diharap.’ Telefon di tangannya berbunyi. Datuk Shaari segera menjawabnya.
“Ayah, Rizal terasa kurang sihat. Rizal dah balik dengan teksi ke rumah.” Tiada lagi suaranya yang kedengaran. Taliannya sudah diputuskan. Datuk Shaari terpempan. Termangu memandang Nadia.
“Ish budak ni. Sudah balik dia. Cepatnya. Amin ni memang nak kena.” Dengus kerasnya dilepaskan. Nadia memandangnya terkulat-kulat. Barangkali tidak memahami apa yang dimaksudkan Datuk itu.
Ketika itu Rizal sedang berada di luar entrance hotel. Belum lagi berada di dalam perut mana mana teksi. Dia hanya berkata begitu agar ayahnya tidak keluar mencarinya di luar. Helahnya memang berkesan. Datuk Shaari mempercayai kelentong anaknya itu.
Rizal memetik nombor handset mamanya pula. Mamanya perlu diberitahu tentang keperluan mendesaknya pada saat ini. Kalau boleh dia berharap mamanya itu akan terpacak di sisinya ketika itu juga. Mengongsi segala yang dirasai dan dialaminya. Suatu pengalaman yang menjengkelkannya dan tidak ingin diteruskan sehingga kesudahannya..

2 comments:

  1. hebat, KA pown x mampu nak menggarap cerita dan kisah sehebat ini! terus follow yek

    ReplyDelete
  2. tksh bnyk KA sgt brmkna pujianmu itu...teruslh ikutinya hingga akhir...

    ReplyDelete

Terima kasih bersama Karyaku...Paridah Ishak. Komen anda amat dihargai... “Semoga Allah SWT akan membalas dirimu dengan kebaikan yang banyak dan semoga Allah SWT akan membalas dengan balasan yang terbaik.”

MyBloglist