Thursday, 30 August 2012

MERDEKA! MERDEKA! MERDEKA!

31 OGOS 2012 ULANG TAHUN HARI KEMERDEKAAN MALAYSIA YANG KE 55.



DAN MEREKA YANG LAHIR PASCA MERDEKA SUDAH  MENJANGKAU USIA SEBEGITU. SUDAH TUA PUN. WALAU SUDAH TUA PUN TIDAK SEMUANYA MENYEDARI PENTINGNYA KEMERDEKAAN NEGARA TERCINTA LANTARAN TIDAK TURUT MERASAI JERIH PERIH DATUK/NENEK KITA BERJUANG MEMPEROLEHINYA.

SEJARAH PERLU DISEMAK DAN ULANG BACA AGAR KITA SENTIASA BERPIJAK DI BUMI NYATA; MENGENANG BUDI DAN MENGHARGAI PEJUANG-PEJUANG BANGSA YANG BERJAYA MEWARISKAN KEPADA KITA SEBUAH NEGARA MERDEKA.

BAGAIMANA JIKALAU KITA TIDAK BERNEGARA? SEDIHKAN...APALAGI TERBAYANG DI MATA KITA KESENGSARAAN ROHINGYA. MYANMAR TIDAK MAHU MENGAKU RAKYATNYA DAN BANGLADESH MENOLAK KEHADIRAN MEREKA.

SEBELUM KITA KEHILANGAN NEGARA TERCINTA YANG MERDEKA SEDAR-SEDARLAH DIRI DAN PASTIKAN HAK KITA TIDAK DIRAMPAS SESIAPA.



SAYANGI NEGARA BERTUAH INI... SELAMAT HARI KEBANGSAAN!

Sunday, 26 August 2012

OGOS YANG ISTIMEWA...


Selain kita yang akan merayakan hari ulang tahun kemerdekaan pada akhir Ogos, ada juga negara lain seperti India, Indonesia, Singapura yang turut memilih Ogos sebagai National day yang disambut rakyatnya setiap tahun..

Hendak tahu tarikhnya yang tepat kenalah google ye sebab mokcik ni maleh nak menggooglenya. Yang paling penting kita tidak pernah lupa 31 Ogos adalah HARI KEBANGSAAN negara  yang kita sayangi dan bangga sebagai rakyatnya.

Apalagi jikalau tarikh lahir kita 31Ogos juga seperti anak angkatku Norhusna yang kini berada di Dubai. Bertambahlah rasa bangganya. Suna adalah pegawai budaya SUK Kelantan. Tidak lama lagi Suna akan menyambut ulang tahun kelahirannya bersamaan dengan tarikh kemerdekaan negara.

Sementara putri sulungku nan seorang akan menyambut ulang tahun hari lahirnya esok 27 Ogos. Mayasari ini cuma seorang guru sekolah kebangsaan. (HAPPY BIRTHDAY MAYASARI MOGA PANJANG UMUR SIHAT WALAFIAT BERBAHAGIA MURAH REZEKI)

Seorang lagi kawan Mayasari dan Husna juga lahir pada bulan Ogos iaitu 12 Ogos. Azira adalah seorang pensyarah UPM di Bintulu.

Tidak lupa juga hendakku ceritakan kejayaan kawan anakku,Nasri yang lahir pada 8 Ogos kini berjawatan pegawai tinggi FELDA.

Kebetulan sungguh kesemua kawan-kawan baik anakku yang miliki ijazah sarjana tarikh kelahiran mereka pada bulan Ogos. Apakah itu petanda bahawa anak-anak kita yang lahir pada bulan Ogos sangat istimewa kebolehannya?

Justeru tarikh 31 Ogos yang dipilih untuk memaktubkan kemerdekaan negara adalah sangat tepat kerana pelbagai keistimewaan yang Allah limpahkan dalam bulan Ogos. Agaknyalah kot.

Aku sekadar berandaian saja. Hanya Allah Yang Maha Tahu setiap rahsia kejadian-Nya.

Monday, 20 August 2012

SELIRATAN CINTA BAB 15....


Rizal telah membuat satu keputusan yang berat hendak dilaksanakannya. Tetapi dia merasanya seperti sudah tidak ada sebarang pilihan. Hanya itulah sahaja sepatutnya dilakukannya.
Dia tidak ingin melalui rentak kehidupan yang sedang ditandak ayahnya dan suku-sakatnya. Sekiranya masih di sini dia tentu akan terpaksa menerajui syarikat perniagaan ayahnya dan bergelumang dengan kegiatan sosial yang tidak digemarinya. Seperti ayahnya juga. Ayahnya pasti berkata, lakukanlah semua itu demi kepentingan syarikat. Untuk kemajuan bisnis supaya beroleh keuntungan yang berlipat ganda.
Rizal ingin menjalani kehidupan yang tenang sebagai muslimin yang baik dan bersih dari sebarang maksiat yang akan menodai kesuciannya.
Dia tidak berpendapat bahawa cara hidup yang diyakini ayahnya itu tidak sempurna dan menyalahi. Tetapi perlu dibaiki. Berniaga itu sunnah Rasullullah. Rezekinya amat luas. 9/10 dari sumber rezeki yang lain. Tetapi perlu berada di landasan yang betul menurut syariat yang sebenarnya.
Jadikanlah perniagaan itu sebagai amal ibadah yang mulia dan tidak dicemari dengan elemen-elemen kemaksiatan. Lakukanlah perubahan yang bermanafaat. Bukankah hidup ini sentiasa perlu berubah? Dan menuntut perubahan yang lebih baik. Hari demi hari.
Hari esok mestilah lebih baik daripada hari ini dari segenap aspek pencapaian.
Demikian yang sering dianjurkan para alim-ulama dan cendiakiawan terbilang. Rizal ingin mengadaptasikannya ke dalam hidupnya seterusnya. Sebagai manusia yang cemerlang dengan kejayaan di dunia dan di akhirat.
Kehidupannya di US, sendirian di rantau orang sangat memeritkan. Dia sentiasa pasrah kepada-Nya. Bersungguh-sungguh hati. Berada di tengah suasananya yang tegar dan perlukan benteng pertahanan diri dan iman yang teguh untuk menghadapi sebarang dugaan dan godaan.
 Hanya berlindung kepada-Nya. Mengharapkan rahmat-Nya untuk memelihara keselamatan dari anasir-anasir yang tidak diingini. Sentimen masyarakat New York selepas tragedi 11 September terhadap muslimin dan pendatang luar ketara amat kebenciannya. Tragedi yang sangat mengejutkan dunia itu meranapkan bangunan tinggi World Trade Center dan mengorbankan ribuan nyawa mangsa.
Gara-gara angkara muslimin Osama Bin Laden dan kuncu-kuncunya. Begitu sumber pertahanan US menyebutnya. Kenyataannya tidak pula terbukti secara sahih.
Setelah itu, barangkali semuanya beranggapan kesemua muslimin yang berjubah dan menutup kepala itu menyembunyikan serangkaian bom yang akan meledak di mana-mana saja, samaada di pasaraya di bangunan tinggi waima di gereja tempat pemujaan Tuhan.
Ketakutan yang membelenggu ekoran tragedi itu membungkus perasaan prasangka yang kejap terhadap muslimin adalah total teroris. Dan para teroris perlu dipanah untuk menjatuhkannya.
Seperti Serb Bosnia yang berusaha melakukan pemusnahan ethnik Islam Bosnia dengan membunuhnya tidak mengira jantina dan umurnya. Andai sahaja Islam perlu dimusuhi dan dihapuskan kewujudannya..
Ketika itu dia baru saja tiba di situ untuk memulakan pengajiannya.
Ketakutan yang menyelubunginya seakan diekori jejak hantu ke mana saja berpergian. Apa lagi dalam keadaan pertama kali berada di rantau orang. Tanpa mama dan ayahnya di sisi untuk memberinya perlindungan.
Mamanya sering menaliponnya memberinya semangat dan kekuatan untuk meneruskan pengajian yang telah dimulakannya.
Kata mamanya berdoalah sentiasa memohon perlindungan dari-Nya kerana Dia yang maha berkuasa ke atas segala-galanya. Jangan lalai menunaikan solat fardu atau solat sunat. Mohonlah keampunan dan keredaannya, nescaya hidupmu berkah dan terlindung dari mara-bahaya. Sesuatu apa pun tidak akan terjadi, tanpa izin dari-Nya.
Mamanya menitipkan pelbagai pesanan yang diikutinya untuk menjadi pendinding dirinya menghadapi pandangan serong mat saleh tempatan terhadapnya yang memiliki wajah iras-iras orang-orang Asia Barat. Salah-silah jurai keturunannya yang terdahulu sememangnya berasal dari situ.
Pengalaman ngeri yang hampir meragut nyawanya kerana dibelasah remaja tempatan yang menyangkanya bersangkut-paut dengan tragedi 11 September kerana rupa Arabnya itu tidak akan dilupakannya. Ketakutan yang mengerikan menjadi trauma.
Mujur ada dua orang rakannya, warga tempatan yang menyelamatkannya. Masih ada insan berhati mulia ditengah keboborokan manusia di sini. Memang Dia Maha Berkuasa. Jika tidak diingini sesuatu itu berlaku maka ianya tidak akan berlaku. Dia mengucap berbanyak syukur.
Apa yang dilaluinya mengajarnya jangan terlalu remeh dengan hidup yang singkat ini. Mesti di isi dengan amalan-amalan yang tidak merugikan untuk dibawa menemuiNya kelak. Faktor usia samada tua atau muda bukan penentu masa sesaorang akan meninggalkan mayapada ke alam hakiki.
Dia ingin mencari sesuatu yang menenangkan jiwanya. Tidak ditemuinya di sini. Mungkin ada di tempat lain, dia menduga-duga. Dan dia perlu ke situ.
“Rizal berkemas-kemas ni hendak ke mana?” dahi mamanya berkerut-merut melihat perlakuan anaknya itu. Dia duduk di sisi anaknya di atas katil.
“Entahlah mama…memang susah Rizal hendak buat keputusan.” Sahut suaranya yang kedengaran tersekat-sekat di tenggorokan. Pandanganya menyeluruhi pakaiannya yang berserakan di atas katil. Sebentar lagi dia akan mengemaskannya kembali.
“Janganlah jadikan peristiwa semalam tu sebagai penentu pandangan Rizal terhadap ayah. Ayah seorang yang baik. Dia ingin mendekatkan dirinya dengan Rizal. Mungkin caranya saja yang tidak kena. Sejak dulu memang demikian cara sosialnya. Walau bagaimana pun dirinya,  dia amat sayangkan Rizal.” Suara lirih mamanya yang memujuk itu tidak mampu melembutkan hatinya. Dia berpaling mengadap mamanya.
“Mama ni kenapa? Biarkan saja ayah begitu. Rizal hairan mengapa selama ini mama diamkan diri. Mama biarkan ayah hanyut dalam dunianya. Kenapa mama tidak tuntut hak mama.” Dia mendengus keras. Jari jemarinya diremas-remas. Wajahnya tegang.
Ada wanita lain yang lebih teruk kehidupan mereka daripada mama. Kita harus kenal erti kesyukuran.” Ujar wanita tabah dan banyak bersabar di atas ujian-Nya itu.
“Sebab itulah Rizal hendak pergi dari sini. Rizal tidak sanggup melihat mama menderita di dalam senyap. Menangis di dalam diam. Rizal juga ingin mencari ketenangan jiwa yang akan memberi ilham untuk menjalani hidup seterusnya.” Wajah polos anaknya yang rusuh kerana bersiponggang dengan liku-liku ketentuan yang menyulitkannya membuat keputusan itu ditatapnya hiba.
“Kalau Rizal sayangkan mama, Rizal pergilah ke resort kita tu. Mama akan lebih tenteram jikalau Rizal ada di sana. Mama sudah yakin anak mama selamat di sana.” Mamanya merenungnya dengan kedua-dua bola matanya yang jernih bersinar tetapi tetap terkandung kesayuan yang biru di situ.
Anaknya itu sekali lagi akan berpisah dengannya. Kali ini dia ingin pastikan anaknya berada di tempat yang terjamin keselamatannya. Dan tidak meragukan apa-apa lagi tentangnya.
“Mama akan beritahu ayah, jika Rizal ke sana nanti?” Mencerlang anak matanya menerjah kristal mata mamanya mengisi pertanyaannya.
“Kenapa? Rizal hendak mama rahsiakan?” Tanya mamanya pula.
“Rizal tidak mahu ayah ke sana dan pujuk Rizal pulang...” Seketika dia diam.
Ayatnya tergantung dan bersambung kembali.
“Ayah dah bangun ke?” Majmin pasti suaminya belum lagi bangun dari tidur. Masih terbungkang di atas katil. Barangkali kerana terlalu letih turut berpesta meraikan majlis temannya dan pulangnya pula hampir dinihari.
“Baguslah. Rizal hendak keluar sebelum ayah bangun.” Rizal memandang mamanya yang tidak berdaya menahan sebak. Titislah air jernih dari kedua-dua kelopak matanya. Buli-buli darah yang menukarkannya kepada rupa sifat air yang jernih berkaca.
Hatinya dirobek dengan kesayuan kerana akan berpisah dengan cahaya mata kesayangan nan seorang. Sukarnya perasaannya hendak melepaskan anak yang dikasihi daripada melangkah pergi meninggalkannya.
“Rizal tidak akan pergi selama-lamanya. Suatu hari nanti Rizal pasti pulang. Mungkin membawa sinar baru yang akan memberi kebahagian kepada kita sekeluarga.” Rizal memeluk mamanya. Menyeka titik air yang membasahi pipi mamanya.
Majmin mendakap erat anaknya itu. Seperti tidak mahu di lepaskannya.
Rizal melangkah membawa sebuah beg yang sarat dengan pakaiannya keluar dari banglo putih yang tersergam itu menunggu teksi yang ditempahnya dari syarikat teksi ibu kota yang akan datang membawanya pergi ke destinasi pilihannya..

Wednesday, 15 August 2012

SELAMAT IDULFITRI MAAF ZAHIR BATIN,,,

SUKANYA NAK SAMBUT RAYA ESOK LUSA YE...MASING-MASING RASA TAK CUKUP TANGAN DAN BERKEJAR DENGAN MASA UNTUK MENYIAPKAN SEGALA-GALANYA UNTUK MEMERIAHKAN MUSIM RAYA YANG BAKAL TIBA.
sibuknya memasak

KUIH-KUIH RAYA SUDAH BERSUSUN DI DALAM BALANG MENUNGGU MASA MENJADI HIDANGAN.

RUMAH SUDAH SIAP DIKEMAS DENGAN PERHIASAN YANG CANTIK LUAR DAN DALAM...

ALLAHHU AKBAR...HABIS DAH PUASA SEBULAN DAN KITAPUN RAYA....

RAYA...RAYA...RAYA...

KEPADA SEMUA KAWAN-KAWAN BLOG/FB DAN KAWAN-KAWAN YANG SERING SINGGAH KE  LAMANKU MERIAKAN HATIKU...TERIMA KASIH BANYAK-BANYAK.
orkid-orkid pun mekar menambah seri warna suasana.


SELAMAT HARI RAYA DAN BERGEMBIRALAH MENIKMATI KEBAHAGIAN KESUCIAN SYAWAL YANG MULIA

Friday, 10 August 2012

SELIRATAN CINTA BAB 14...


 Meriah sekali acara yang diatur di dalam majlis anjuran seorang tokoh korporat IT(Informasi Teknologi), Datuk Shamsudin yang selalu disebut Pak Din saja bagi yang rapat mengenalinya. Ramai rakan tolannya yang hadir turut sama meraikan kejayaannya menguasai dunia IT yang globalisasi yang beribu pejabat di MSC (Multimedia Super Coridor) Sepang, Putrajaya.
Antara rakannya yang turut hadir adalah Datuk Shaari dan seorang anak muda yang sentiasa resah kerana tidak selesa berada di tengah kelompok manusia pelbagai wajah menurut ras itu.
“Kenalkan anak saya Rizalsyah. Dia ni baru balik dari US. Baru saja tamat pengajiannya.” Datuk Shamsudin menggores senyuman di bibirnya menyambut salaman anak muda yang memaksa diri memaniskan senyumannya itu.
“Wah…sudah besar anak kau ye Shaari, sudah ada yang boleh kau harapkan untuk menerajui syarikat perkapalan kau kelak.” Datuk Shamsudin hanya menyatakan impian seorang ayah terhadap anaknya apabila semakin dewasa menurut kebiasaannya. Dia merenung Rizal dari ubun-ubun di kepala hingga ke hujung tumit kasutnya.
“Harapannya begitulah.” Anak yang serba-salah di sisinya dijelingnya sekilas.
“Ish…kau ni datang berdua saja ke, Amin mana? Selalunya kau kemana saja mesti dengan pembantu yang sangat setia itu.” Datuk Shaari tertoleh-toleh mengimbas kelibat Amin yang dijangkanya sudah tiba seperti yang di janjikannya.
“Dia pun akan datang juga ke majlis kau ni katanya. Tidak tahulah kemana pula sesatnya. Sekejap lagi sampailah kut.” Datuk Shaari berandaian saja pada kalimat akhirnya.
Datuk Shamsudin melihat ramai tetamu-tetamunya sedang memasuki ruang majlisnya. Dia mengangkat tangan ke arah mereka dengan melontarkan senyuman cerianya.
Kawan-kawannya ramai yang hadir ke majlisnya tentu ingin turut sama mengongsi kejayaannya kerana berjaya menembusi pasaran maya IT di Australia dan beberapa negara lagi. Begitu menurut gerak hatinya.
“Shaari bawalah anak kau menjamu selera di meja sana. Aku hendak berjumpa dengan kawan-kawan kita yang lain pula.”
“Baik Datuk. Terima kasih.” Datuk Shamsudin membawa dirinya menghampiri tetamunya berjabat tangan seorang lepas seorang dengan senyuman yang menguntum di bibir tanda keceriaan meraikan tetamu yang hadir.
 “Jom kita ke sana.” Datuk Shaari menudingkan jarinya kearah sebuah meja yang dialas cantik dengan kain brocade kuning yang berkilat. Beropol-ropol di sekelilingnya. Siap dengan gubahan lipatan bunga ros di empat penjuru meja.
“Rizal duduk di sini sekejap, ayah hendak bertemu dengan rakan bisnis ayah di meja sana.” Rizal memandang kearah jari telunjuk yang dituding ayahnya. Seorang wanita seusianya mungkin, menggamit ayahnya. ‘Tunggu sekejap Nadia,’ getus hatinya
Apa yang jelas di matanya hanya seorang gadis berbusana anggun bergaya seperti model dengan wajah yang mempesona sedang melambai ayahnya. Hatinya diterpa pelbagai persoalan. Merangka prasangka yang tidak enak pada jangkaan.
‘Biar betul ayah aku ni. Rakan bisnis ke girl friend? Masakan semuda itu sudah menjadi korporat yang berjaya. Tetapi tidak mustahil juga.’ Hati Rizal keliru sekali membuat penafsiran. Tapi tetap menenangkan jiwa kalutnya dengan anggapan yang positif. Tidak menyukarkan benaknya.
Dia memang tahu Bill Gate belum lagi berusia 40-an sudah pun menjadi billionare kerana siswa yang tidak sempat graduat di Havard itu berjaya mempraktikan kemahiran IT dan mengembangkan perniagaan Microsoftnya ke seantero dunia.
‘Boleh jadi gadis berambut perang itu suku-sakat Bill Gate kut’, lucu pula gurau hatinya. Hilanglah kerusuhan hatinya memandang perilaku ayah yang tidak di senanginya sementara. Bercempera laksana awan ditiup angin.
Dia bersaorangan di meja itu. Sedangkan ayahnya begitu leka berbual mesra dengan temannya. Dia terasa ayahnya sengaja melupakannya. Membiarkannya termangu-mangu seperti kera sumbang. Dirinya seakan sendirian walaupun dikelilingi ramai orang.
Segera dicapai segelas minuman jus yang tersedia di meja. Ingin menghapus kerusuhan yang menyesak dada dengan air yang bakal diteguk itu. Tugas air yang sangat ajaib bermukjizat walau apa bentuk, rasa dan warnanya.
Samaada H2O jernih tulen waima bercampur rupa. Sentiasa menyenangkan. Kecuali bah besar, tsunami.
“Hai Rizal.” Dia terhenti dari meneguk air yang mula membasahi tekaknya apabila mendengar suara sapaan yang sangat biasa pada pendengarannya. Gelas di tangannya diletakan di atas meja dengan cermat.
“Eh…uncle Sham. Uncle pun di sini juga? Auntie Mun tidak ikut sekali?” terasa terisi sedikit ruang kosong kesunyian yang  menyerkupinya di tengah-tengah kemeriahan majlis yang serba mewah ini dengan kehadiran sesaorang yang dikenalinya. Sahabat mama dan ayahnya yang dikenalinya sejak lama.
“Auntie kamu tu tidak ikut. Katanya dia ada janji dengan mama kamu hendak ke kuliah agama di masjid Kota.” Rizal angguk mengakuinya. Mamanya berkata begitu kepadanya.
“Tapi majlis Datuk Shamsudin ni khusus untuk rakan-rakan bisnis yang lelaki saja. Dia tidak jemput orang perempuan.” Rizal terkeliru. Sukar hendak dipercayainya. Wajah Datuk Shamsi di jengah dengan pertanyaan. ‘Iyakah begitu?’
“Saya tengok ramai je orang perempuan di dalam majlis hotel ni. Tapi Uncle kata orang perempuan tidak dijemput?”
“Itu kamu jangan silap faham. Kebanyakan perempuan yang ada tu hanyalah urusetia yang menguruskan kelancaran majlis ni.” Datuk Shamsi mengucapkan fakta rekayasanya.
‘Masakan gadis urusetia berlagak seperti tetamu. Uncle ni memang penipu. Dia ingat aku ni baru sekolah tahun satu.’ Rizal menggumam dalam diam. Bibirnya mencebik sedikit.
“Eh…uncle duduklah dengan saya di sini. Ayah tu sedang bersembang dengan seorang gadis urusetia gamaknya.” Rizal mempelawa Datuk Shamsi duduk di sampingnya.
Sempat pula melepaskan bola smash sinis yang mengena tepat ke sasarannya. Datuk Shamsi tahu itu. Dia tersenyum sedikit melindungkan wajah dari raut rasa serba tidak kena.
“Tidak mengapalah Rizal, uncle hendak bertemu dengan ayah kamu sekejap. Uncle pergi dulu ye.” Datuk Shamsi yang berusia awal 50-an sebaya dengan ayahnya meninggalkan Rizal kembali sendirian. Tetapi tidak lama. Datang lagi sesaorang menyapanya. Dia melepaskan semula gelas yang di pegangnya setelah sekali reguk.  
“Eh...Rizal.” Sekali lagi Rizal melafaz selawat ke atas Nabi S.A.W dengan perlahan. Kali ini kerana bersalaman dengan Amin pula. Teman di sebelah Amin seorang gadis dengan kelopak matanya berwarna hijau+biru yang gemerlap sementara alis keningnya urna coklat ditulis persis garis melengkong halus.
Rerambut keningnya yang tulen tidak kelihatan lagi. Namun gadis itu memiliki raut wajah yang cantik. Memang tidak ternafikan keindahan wajah wanita ciptaan-Nya. 
“Rizal, abang hendak ke tandas ni. Boleh abang tumpangkan sepupu abang ni di sini sekejap. Abang risaukan keselamatannya. Maklumlah sepupu abang ni baru datang dari kampung. Takut hilang pula nanti jika dibiarkan seorang diri tidak berteman. Tak apalah abang pergi dululah.” Amin tergesa-gesa meninggalkannya tanpa mempedulikan apakah kata-kata Rizal selanjutnya. Adakah sanggup menerima amanahnya atau tidak. Rizal mengangapnya bebanan yang terpaksa dipikulnya. Dia mengetap bibirnya.
Dia membalas senyuman gadis itu dengan air muka yang tidak jernih. Tetapi berusaha dijernihkannya dengan senyuman tawar yang dimaniskan. Sekujur tubuh itu diintai dengan lirikan matanya.
‘Begini punya dressing, ye ke orang kampung? Ah...orang kampung alaf baru, era glokal seperti disarankan Timbalan PM perlu setanding dengan modenisasi yang dikecap masyarakat bandar. Berminda kreatif lagi inovatif. Hidup berkualiti. Tapi bukan setakat berubah kepada cara berpakaian dan cara bersolek saja kut.’ Sinis sekali protesnya dalam diam. Gadis itu juga sedang menilai seorang anak muda di hadapannya menerusi pandangan matanya.
‘Kacak sungguh anak Datuk ni, andai katalah dia ni berkenan pada aku seumur hidup aku dan keturunan aku akan senang-lenang menumpang kemewahan Datuk yang kaya-raya tu.’
“Duduklah. Abang Amin tu sekejap lagi baliklah.” Gadis itu dipersilakan mengambil tempat duduk di sebuah kerusi yang disedia.
“Terima kasih. Saya Liza.” Gadis itu tersenyum manja menghulurkan jejarinya untuk disambut jejaka di hadapannya.
Rizal tidak berhasrat hendak bersalaman dengan gadis itu. Tetapi dia tidak mahu memalukan gadis itu kerana huluran tangannya tidak bersambut. Dia menggenggamnya longgar dan segera melepaskannya.
Aroma minyak wangi yang dikenakan gadis itu menyengat deria baunya tatkala dia mendekatkan dirinya pada Rizal. Sangat memeningkan kepalanya. Rizal memang alahan dengan wangian yang terlalu.
“Abang Amin bercerita pada saya, Rizal ni baru balik dari belajar dari US. Ye ke?” Rizal terkedu. ‘Hai berkenalan pun baru beberapa minit sudah buat soal-selidik tentang biodata diri aku. Pelik ni. Macam ada sesuatu yang tidak kena pula.’
 Dia menjengah mencari kelibat Amin yang tidak muncul-muncul. ‘Lama betul abang Amin ni. Apa dibuatnya?’ mindanya mengukir tanda tanya.
“Ambil kursus apa di sana?” pertanyaan yang muncul tiba-tiba dari gadis itu menerjah mindanya yang lepa.
“Degree in Applied Electrodynamics.” Jawabnya hambar. Dia sengaja menyebut apa yang terlintas di mindanya saja. Dia mengambil jurusan lain di universiti Rhode Island USA.
Ocean Engineering sebenarnya bidang khusus yang dipelajarinya. Ijazah tentang kejuruteraan samudera yang merangkumi semua dari asas mengenal lautan, arah tiupan angin, cuaca, kelajuan arus, ombak sehinggalah apa yang ada di dalam perut kapal sebelum memulakan pelayaran merentasi lautan. Setiap sabjek yang wujud berkaitan maritim mesti diambil tahu. Ilmu yang wajar dipelajari seluas lautannya. Tetapi pengetahuan yang diberi-Nya hanya setitis. 
“Digri apa tu? Nak sebut pun berbelit-belit lidah.” Pertanyaan yang menerjah ruang mindanya yang telah melayang jauh ke Rhodes Island. ‘Itu pun tak tau! Hai lorat-lorat.’ Rizal tersenyum simpul. Malas pula dirinya hendak memberi penjelasan setepatnya. Dibiarkan gadis itu terkapa-kapa, teraba-raba maksud yang sebenarnya.
“Kenapalah ambil kursus yang susah-susah. Habis tu balik sini boleh dapat kerja apa?” Banyak pula pertanyaan gadis itu yang mengasaknya meminta jawapan daripada Rizal sehingga dia merasa bosan dan rimas hendak menjawabnya.
“Apa-apa pun boleh, jadi cikgu, jadi pegawai, jadi kerani, jadi peniaga warong. Pendek kata apa saja asalkan berminat dan ada kemahuan.” ‘Ramah sangat pula minah seorang ni. Cepatlah datang Amin oii. Ambil balik harta kau yang memeningkan kepala aku ni.’ Suara sinisnya itu terperangkap di dalam peti kalbunya. Matanya melilau mengintai kelibat Amin. Tidak kelihatan di mana-mana.
   “Laa…kalau sudah macam tu, buat apalah pergi belajar jauh-jauh. Kata bang Amin, Rizal ni anak orang kaya. Tidak payah susah payah belajar tinggi-tinggi. Harta ayah pun tidak habis dimakan.”
‘Mudahnyalah penerimaan sepupu Amin ni tentang hidup. Sekarang ni orang berlumba-lumba mencari ilmu pengetahuan terkini tetapi awak masih berangan-angan hendak hidup senang dengan menghabiskan harta warisan emak-ayah. Sungguh tidak glokal (globalisasi lokal). Tetapi lokal yang teruk. Sifat buruk yang tidak harus diikut.’
“Liza awak tunggulah Amin di sini. Jangan kemana-mana. Di sini keadaannya bukan macam di kampung. Apa lagi orang cantik macam Liza. Mesti ramai yang berkenan. Silap gaya dibawa lari. Saya nak keluar sekejap.” Rizal bergerak tanpa menoleh ke belakang lagi. Laju langkah yang diaturnya. Sesiapa saja yang dilewatinya tidak disapanya. Hayunan langkah menuju ke tempat yang ditetapkan hatinya.
Liza tersengih melihat gelagat Rizal yang mengingatkannya tentang itu semua. Dan dia tidak berupaya hendak menahannya dari tidak meninggalkannya.
‘Dia fikir aku ni baru semalam agaknya tiba di KL. Aku ni anak KL jati beb. Lahir dan besar di KL ni. Memanglah dari kampungpun. Kampung Baru KL. Nampaknya orang bandar yang ijazahnya hebatpun mudah ditipu.’
“Tengok tu, Liza sendirian saja. Anak Datuk tu ke mana?” Tersentak lelaki itu bila lengannya dicuit. Lehernya terkilas memandang kearah meja yang ditempati anaknya sebentar tadi. Benarlah apa yang dikatakan Nadia, anaknya sudah tidak ada bersama Liza.
“Ish…masalah ni. Kawan pilihan si Amin ni langsung tidak boleh diharap.’ Telefon di tangannya berbunyi. Datuk Shaari segera menjawabnya.
“Ayah, Rizal terasa kurang sihat. Rizal dah balik dengan teksi ke rumah.” Tiada lagi suaranya yang kedengaran. Taliannya sudah diputuskan. Datuk Shaari terpempan. Termangu memandang Nadia.
“Ish budak ni. Sudah balik dia. Cepatnya. Amin ni memang nak kena.” Dengus kerasnya dilepaskan. Nadia memandangnya terkulat-kulat. Barangkali tidak memahami apa yang dimaksudkan Datuk itu.
Ketika itu Rizal sedang berada di luar entrance hotel. Belum lagi berada di dalam perut mana mana teksi. Dia hanya berkata begitu agar ayahnya tidak keluar mencarinya di luar. Helahnya memang berkesan. Datuk Shaari mempercayai kelentong anaknya itu.
Rizal memetik nombor handset mamanya pula. Mamanya perlu diberitahu tentang keperluan mendesaknya pada saat ini. Kalau boleh dia berharap mamanya itu akan terpacak di sisinya ketika itu juga. Mengongsi segala yang dirasai dan dialaminya. Suatu pengalaman yang menjengkelkannya dan tidak ingin diteruskan sehingga kesudahannya..

Monday, 6 August 2012

DAM DAM DUM.....!

DAM DAM DUM BUNYI MERCUN
KANAK-KANAK SEGERA DATANG BERDUYUN
DAM DAM DUM MERCUN BERDENTUM
SEMARAKLAH HARI RAYA INI TAHUN...

Itulah senikata lagu raya nyanyian Biduanita Negara, Saloma bahagian akhir sebelum ditiadakan baris-baris itu kini untuk menyesuaikannya dengan situasi era sekarang yang melarang permainan mercun pada musim perayaan atau bila-bila masa. Walau dilarang/diharamkan, penjualannya berleluasa juga.

Tapi kala 60-70an tidak ada larangan itu sebab itu senikata lagu raya Saloma itu kedengaran syahdu dan indah harmoni menggambarkan keriaan suasana hari raya. Tidak pula berita akhbar, radio, tv semasa yang melaporkan tentang  kecederaan, putus tangan/kaki, buta mata dll akibat bermain mercun. Mungkin saja cara pemberitaan dahulu tidak terlalu menyeluruh kut...Ah..itu cuma kataku saja.

La ni jangan buat main. Hak asasi manusia yang tidak mahu terganggu dengan bunyi bingit letusan mercun sentiasa disuarakan.
Sedikit petikan di ambil dalam sembang pagi PAHANG FM "Koi tak kira koi nak main mercun bola juga, koi nak baling kat depan rumah tu.."
"Kenapa awak marah sangat...?DJ
"Mestilah koi marah anak koi nak tidor...anak koi baby lagi...dema lentum lentam main mercun...tak reti base betul...yang main tu bukan budak-budak tapi bapak budak...dah guana..."
Hmm..

Apalagi media massa cakna dengan cerita kemudaratan akibat bermain mercun. Dada akhbar sentiasa ada berita tentang itu setiap kali menjelang raya. Bermain tapi menimbulkan mudarat baiklah tak usah.

Lagipun bukan itu budaya MELAYU/ISLAM. Boleh jadi kita tidak tahu mengendalikan permainan ini seperti orang Cina. Walau mereka pakar tapi kilang mercun mereka meletup juga. ALLAH menyuruh hamba-hamba-Nya menghindari musibah walau sekecil mana.

Dekat-dekat nak raya ni elok merancang sesuatu yang menggembirakan semua bukan kesedihan dan airmata. Paling penting jangan menyusahkan sesiapa di dalam kehidupan kita. Kan aman.

MyBloglist