Tuesday, 31 July 2012

SELIRATAN CINTA Bab 13


Rizal mundar-mandir di ruang tamu. Mak Kiah yang berbetulan melihat gelagat anak muda itu dalam perjalanannya ke dapur, menggelengkan kepala dan beristigfar berkali-kali. ‘Apalah kena budak ni.’ Pertanyaannya tidak keluar meniti bibirnya. Terdiam di hatinya.
Majmin sudah siap mengenakan tudung di kepala sedondon berwarna biru dengan sut baju kurung yang tersalut di tubuh rincingnya.
Beg  kecil yang mengisi mengkana kain sembahyang turut dibawa bersama. Biasanya selepas maghrib baru ada kuliah agama yang diberikan pensyarah jemputan di masjid.
Sebelum mendengar ceramah agama tunaikanlah dulu solat maghrib berimam bila masuk waktunya. Demikian rutinnya yang diatur kebiasaannya.
Ceramah agama pun bermula selepas maghrib sehingga masuk solat isyak. Selesai solat isyak di sambung ceramah semula. Kemudiannya hidangan ala kadarnya yang disediakan komuniti masjid di bawa kepada hadirin majlis.
Begitulah aturcara yang dipenuhi Datin Majmin sehingga usai. Kebiasaan yang sangat dimakluminya.
“Eh…mama nak keluar ke?” Majmin berpaling dari mengadap cermin, menyorot wajah anak mudanya yang kegelisahan menentang anak matanya. Tiba-tiba saja anaknya itu terjengol di pintu biliknya.     
“Ha’ah kan mama dah bagi tahu tadi, malam ni mama ada kelas agama.”
Dia mengulang ceritanya lagi. Barangkali anaknya itu terlupa. Apalah yang mengucar-ngacirkan minda anaknya itu sehinggakan maklumat sekecil itupun tersisih entah ke mana.
“Habis Rizal ni macam mana?” Rizal bertanya keputusan mamanya seolahnya dia baru berusia 10-11 tahun yang perlukan bimbingan hala tuju dari mamanya.
“Kenapa tanya mama pulak? Bukankah ayah nak bawa Rizal keluar untuk dikenalkan dengan rakan-rakan perniagaannya. Ayah dah ajak…pergi sajalah.” Akhiran ayat mamanya lirih sekali. Mamanya menyentuhi bahunya. Merenungi anak matanya dalam-dalam. Kolam mata itu jernih dan bening.
“Rizal belum pun kata bersetuju. Rasa-rasanya Rizal tidak hendak pergilah mama.” Ucapnya lemah. Anak matanya merenung keperihatinan mamanya. Memohon gerak balas yang menyebelahinya. Mamanya terkedu. Kembali mengadap cermin membetulkan letak brooch di tudung kepalanya.
“Terpulanglah pada pertimbangan anak mama yang bijak ni. Mama tidak boleh hendak paksa apa yang Rizal tidak mahu buat. Tapi Rizal kena fikirkan juga perasaan ayah. Mungkin dia akan berasa kecil hati ke jika pelawaannya Rizal tolak.” Renungan anak mata mamanya yang lunak hitam berkilat itu menusuk terus ke tangkai jantungnya,menuntutnya memberi keputusan bijaksana. Memikir dan menimbang dengan mizan yang sempurna meyakinkan.
“Mama kan tahu Rizal ni tidak gemar ke majlis orang-orang korporat yang hanya sibuk bercerita untung dan rugi berjuta-juta, berbilion-bilion, semuanya sarat dengan angka metamatik tetapi di dalam majlis yang meraikan tokoh-tokoh itu wajah-wajah cantik yang langsung tidak ada kena mengena dengan bidangnya yang terlampau ramai. Meluatnya saya melihat perempuan-perempuan genit yang asyik ke sana sini mengekori tokoh-tokoh itu dengan tidak kering senyuman.”
“Buatlah keputusan yang tepat Rizal.” Mamanya memberikannya hak total untuk menentukan kata putus yang diingininya. Mamanya mulai mengatur langkah. Meninggalkan biliknya. Rizal mengikutinya. Pintu biliknya dirapatkan
Kedua-duanya berjalan beriringan sehingga tiba di luar rumah.
“Mama nantilah dahulu.” Rizal mengekori mamanya hingga ke kereta.
Majmin tidak membalas apapun.
Mamanya menaiki Kancil orennya. Enjinnya di hidupkan. Dan mula bergerak perlahan-lahan dan membelok masuk ke jalan utama.. Dia melambaikan tangannya kepada Rizal. Meninggalkannya  terkapai-kapai keseorangan memilih solusi.
Kereta mamanya telah hilang dari pandangan. Mindanya bersimpang-perenang dengan keputusan yang masih ditimbang-timbang. Dia nanar. Bingung.
“Ahh… malaslah nak pergi.” Dia sudah mencapai solusinya sendiri. Rizal segera ke tempat kasut dan mengambil kasut yang hendak di pakainya.
Dia segera keluar dari pintu pagar yang terbuka sendiri sebaik kakinya menjejak lantai otomatik yang dibina sebegitu rupa. Dia ingin lari dari janji ayahnya.
Sebaik tiba di luar terlihat  olehnya Mersedes 2 siri MMM 4 milik ayahnya sedang menyekat kemaraannya. Dia terkejut sangat. Terkaku di situ. ‘Tak lepas juga aku nak lari.’ Kata hatinya yang jatuh terjelepok melemahkan anggota kakinya hendak bergerak..

                                               * * *

Sunday, 29 July 2012

HAPPY BIRTHDAY JEE...MOGA SIHAT WALLAFIAT...SEJAHTERA...MURAH REZEKI...PANJANG UMUR DAN BERBAHAGIA SELALU...INSYAALLAH...AMIN!

Beliau ini adalah satu-satunya artis/wartawan Malaysia yangku kenali dan kini rapat denganku dan pernah menulis tentangku di dalam blognya DUNIA DARI DAPUR KAKJEE.

Sekarang giliranku pula menulis tentang beliau. Heh..heh...jangan marah ye jee.

Kalau dulu aku mengenalinya di skrin tv dalam sitcom SANTAN BERLADA juga wajahnya yang sering muncul di layar perak bersama ramai artis era 80-90an. Dan seringkali membaca tulisannya di dalam akhbar UTUSAN MALAYSIA, BERITA HARIAN, BACARIA juga lain-lain media. Tapi setakat itu sajalah.

Dan kini Subhanallah takdir telah membawanya ke dalam keluarga kami apabila adik bongsuku membuat keputusan mengahwini seorang bintang. Teringat pula dialog OS dan bapanya APEK LENG HUSSIN dalam filem KEMBAR SIAM, "Kau ni elok-elok jadi orang nak jadi bintang pulak.." Hatiku mungkin berbisik...kan elok kahwin dengan orang bukan bintang...heh..heh...gurau je jee...

Mengenali beliau secara dekat begitu mengujakan. Sifat-sifat jati dirinya yang peramah, cepat mesra, prihatin, baik hati membuatnya senang didekati kami keluarga barunya.

Tambahan pandai mengambil hati makku/mertuanya mudahlah beliau get along. Sebab emakku ini walau agak konservatif sifatnya...kalau mak tak setuju dengan sesuatu selamba saja dihamburkannya. Kami anak-anaknya yang berempat ini sudah biasa sangat dengan sikap mak kami yang sentiasa kritis dan berapi itu bimbang pula menantu bongsu ini tidak tahan dengan mak kami.

Alhamdulillah nampaknya Jee dan mak serasi bersama.

Terima kasih banyak Jee kerana sudi bersemenda dengan keluarga kami yang seadanya ini.

HAPPY BIRTHDAY JEE.

Thursday, 19 July 2012

MARHABAN ROMADAN AL-MUBARAK...

MARHABAN ROMADAN ALMUBARAK
ROMADAN PENGHULU SEGALA BULAN
MOGA TAKWA SEMAKIN MARAK
IBADAH PUASA DITERIMA TUHAN...

Pantun: Noorlaila Ghafar...

SYUKUR ALHAMDULILLAH INSYAALLAH KITA MASIH BERPELUANG UNTUK MENYAMBUT HULURAN SALAM ROMADAN DAN GIGIH MENGISINYA DENGAN AMALAN BERPUASA SEBULAN PENUH SERTA MENGERJAKAN SEGENAP KEBAIKAN YANG DITUNTUT BUAT MENAMBAH SEBANYAK MUNGKIN GANJARAN PAHALA YANG DIJANJIKAN ALLAH...

ROMADAN ADALAH BULAN UNTUK KITA HAMBA-NYA. BULAN UNTUK BERIBADAH SEPENUHNYA SIANG DAN MALAM. LAKUKANLAH SEDAYA UPAYA SELAGI TERDAYA.

SALAM ROMADAN UNTUK SEMUA SAHABAT-SAHABAT BLOG, IRFA, IENA, SUERIYA, KESUMA ANGSANA, FAUZIAH SAMAD, DUNIAMIMI, ISDAISLAILIAKMA, JERAGANG, ASHIKIN, AZAM, MISSYCHOMEL DAN SEMUA YANG TERLUPA DISEBUT JUGA BUAT SEMUA YANG MELUANGKAN MASA MENGINTAI BLOG YANG TAK SEBERAPA CANGGIH DAN CERDIK INI.

DOAKU UNTUK KALIAN SEMOGA KITA-KITA INI ADALAH INSAN TERPILIH UNTUK MELALUI MUSIM BUNGA ROMADAN YANG HARUM INI DAN MEMETIK BUAHNYA YANG LAZAT DI SYURGA KELAK...INSYAALLAH...

Monday, 16 July 2012

PENYERI SERAMBI

NYANYI SUNYI DI SERAMBI DIUSIR MERIAH CERIA RONA ORKID YANG BERGANTUNGAN...

Saturday, 14 July 2012

SELIRATAN CINTA BAB 12


“Lawa baju ni Datuk. Rasanya ni memang padan dengan Nadia. Kena pula warnanya dengan kulit Nadia yang cerah.” Amin mengusulkan pandangannya. Datuk Shaari tidak berupaya hendak menafikannya kerana Nadia di sisinya tersenyum bagai mengharap.
“Lawa…lawa…memang padan.” Datuk Shaari bersuara seakan ada sesuatu yang termengkelan di tekaknya. Menyendat tenggoroknya. Tersekat-sekat sebelum melantun menjadi sebutan.
“Ish…abang Amin ni...mana Nadia mampu.” Balas Nadia tersengih menjeling Datuk Shaari mengharap reaksi timbal balas yang setimpal.
“Tidaklah mahal mana datukkan. Sebab yang lebih mahal dari ini pun datuk pernah beli.” Amin tersenyum mengangkat tinggi keupayaan kewangan tuannya.
“Ye ke Datuk?” Nadia menoleh memandang Shaari. Tersangat kagum dengan kemampuannya. Namun kekaguman kerana keupayaan kewangan datuk itu tidak menyebabkan hatinya tiba-tiba jatuh cinta terhadap datuk itu. Teman pilihan yang diharapkan seganding dengannya kelak kriteria yang telah ditetapkan tidak ada pada datuk itu. Lagipun lelaki idamannya memang sudah ada. Seorang lelaki Inggeris yang ditemuinya ketika mengadakan pertunjukan fesyen di London.
“You dengar ajelah cakap Amin tu. Manalah saya tahu pasal pakaian perempuan. Baju untuk lelaki saya tahulah.” Balas Shaari. Pandanganya tajam menikam anak mata Amin yang diserbu rasa serba salah. Pucat wajahnya. Amin mengerah mindanya berfikir sesuatu. Dia ingin segera melepaskan diri dari kesalahan terlepas kata-kata yang tidak disenangi tuannya.
“Maksud saya…maksud saya baju Datuk yang mahal. Sehelai kot pun harganya berbelas ribu.” Amin sempat juga mencari alasan sedang dirinya menggelabah rusuh.
“Kalau Nadia berminat sangat dengan baju ni…ambillah… harganya tidak usahlah dikira sangat. Lagipun saya ni tidak suka menghampakan harapan orang.” Datuk Shaari terpaksa berkata begitu untuk mengelakan pandangan negatif Nadia terhadapnya. Melabelkannya sebagai seorang korporat yang kedekut jikalau menolak hasrat Nadia untuk memiliki apa yang dihajatinya.
Dari raut yang tertera di wajah Nadia dia dapat membaca kehendak gadis itu terhadap busana yang di beleknya beberapa kali itu. Tentunya model itu tersangat ingin hendak memilikinya.
Nadia tersenyum senang. Dia melepaskan senyuman yang sangat manis ke wajah Datuk Shaari. Akhirnya terlaksana juga hasratnya hendak menggayakan busana indah setara dengan harganya, 10,000 RM. Dia melangkah senang ke kaunter pembayaran.
Shaari membayar dengan menggunakan Kad Hutang yang dimilikinya. Dia juga turut membeli beberapa helai kemeja. Tetapi Amin hanya berlenggang kosong tanpa apa-apa di tangan. ‘Mahal rezeki aku kali ini’ keluhnya dalam dirinya.
“Ini hadiah untuk kau Amin.” Datuk Shaari menghulurkan sehelai kemeja jenama kebanggaannya. Tersungging senyum di bibirnya. Riang hatinya bukan kepalang.
“Terima kasih banyak-banyak Datuk. Datuk memang baik. Tidak pernah lupa pada saya khadam datuk yang setia ni.” Shaari dan Nadia saling tersenyum melihat perilaku Amin yang melucukan seperti seorang anak kecil mendapat pemberian dari bapanya.
Ada juga rezeki untuk kau Amin. Tidaklah penat saja mengekori Datuk hari ini.’ kata Amin kepada dirinya seakan berbisik.
Masing-masing melangkah dengan interperatasi yang berbeza tentang kegembiraan yang telah dikecapi. Amin dengan caranya yang tidak banyak kisah dan berpada dengan rezekinya.
Nadia juga gembira tetapi sedikit kesal kerana tidak memilih busana yang lebih mahal dari 10,000 RM. Dia yakin Datuk itu mampu membayar berapapun harganya.
Sedang Datuk Shaari pula menyesal tak sudah kerana menjadi pemurah tidak bertempat. ‘Ah! Biarlah. Bertimbun-timbun lagi duit aku di bank.’ Dia malas hendak memikirkan kesilapan yang mendera mindanya.

                                   

Friday, 13 July 2012

MAWAR...

SEKUNTUM MAWAR
SEPUTIH WARNAMU
WALAU SUDAH TERKULAI
DI HUJUNG TANGKAIMU
HARUMNYA TETAP SEGAR

Bila aku tulis sajak ini
sebenarnya kutujukan kepada sahabat-sahabat
yang nelalui
kehidupan yang panjang

Mawar
kutahu hidupmu
semakin ke penghujung
harummu semakin hilang

Aku sebagai pemerhati
sekadar mengirim restu buatmu
bersabarlah
bertenanglah
bersyukurlah...


NORADABI ROSDI
MAHLIGAI IMPIAN.BLOGSPOT

Wednesday, 11 July 2012

Eksiden...eksiden...eksiden...


ASSALAMUALAIKUM...

Aksaranya memaknakan frasa yang mengerikan justeru terimbau kenangan mereka yang terlibat dengannya. Apalagi menjelang Romadan mubarak hatipun  diulit sayu terkenangkan insan-insan yang tiada di sisi.

Arwah bapaku sering mengalami eksiden tika memandu keretanya dan berhari-hari dirawat di hospital. Pernah juga keretanya dilanggar lembu yang meluru laju entah dari mana. Namun bapaku tidak menjadi mangsa kemalangan jalan raya tapi beliau meninggal dunia tika sedang solat subuh di surau berdekatan rumahnya.

Hingga kini hatiku sentiasa sebak kehilangannya meski reda...alfatihah...

Adik iparku HASSANI terlibat dengan eksiden yang merenggut nyawanya...sayu hatiku memikirkan kepergiannya meninggalkan lima orang anak kecil yang menjadi yatim.

Syukur Alhamdulillah kini kesemua anak yatim itu telah berjaya ke IPT berkat kesungguhan adikku mendidik mereka dan dengan izin ALLAH jua.

Baru-baru ini adikku itu ditimpa musibah pula apabila kereta yang dipandu anak gadisnya yang ketiga diseret lori hingga remuk separuh. Mujur sungguh kedua-duanya terselamat cuma trauma tidak terhingga.

Sebelum semua catatan itu tertulis sebenarnya akulah yang terlebih dahulu merasai kesakitan akibat eksiden 25 tahun lalu. Akibatnya deritanya kutanggung hingga hari ini.

Kami sekeluarga dalam perjalanan ke KL; di  highway KL-KARAK bertembung dengan lori yang sarat muatan ayamnya. Lori yang tidak dapat dikawal itu melaju ke arah kereta yang dipandu suami.

Tika itu yang aku ingat hanya doaku kepada ALLAH...YA ALLAH YA TUHANKU KAU SELAMATKANLAH ANAK=ANAKKU...AKU MATI TIDAK MENGAPA...

Anak-anakku yang sulung tahun satu tika itu, yang kedua tadika, yang ketiga 3 tahun dan anak keempat baru 50 hari usianya.

Doaku Allah makbulkan...syukur ALHAMDULILLAH..anak-anakku semuanya selamat cuma kecederaan yang tidak merisaukan.
Hanya aku yang koma hampir sebulan. Setelah sedar lumpuh penuh selama tiga tahun.

Kini kembali hidup seperti biasa walau tidak pulih sepenuhnya half-paralised namun tetap bersyukur kerana kehidupanku tidak terlalu menyusahkan mereka disekelilingku.

Kesimpulan daripada entriku ini adalah berhati-hatilah sebelum ditimpa kemalangan yang akan menyebabkan kesedihan, kesakitan yang berlarutan selagi hayat dikandung badan

Tuesday, 10 July 2012

SENJAKALA....

Rona jingga menabiri kaki langit
layang layang melayang-layang merentasi samudera
langkah diatur memijak pasir berdesir
semakin lemah semakin payah...

Senjakala di serambi sunyi
berteleku mengenangi fitrah diri...

Senjakala mengakhiri suasana
azan pun menggema
dan
seorang kawan baik kawan bersenda
kehabisan nafasnya....
ASYHADUAN LA ILAHAILLAH...WAASYHADUAN NAMUHAMMADAN RASULLULLAH..
AL FATIHAH....

Thursday, 5 July 2012

HAPPY BIRTHDAY TUAN AQILHARRIS/PAPANYA DAN SELAMAT NISFU SYA'ABAN

5 July 07 adalah hari kelahiran cucunda yang pertama. Dan hari ini genap usianya lima tahun. SELAMAT ULANG TAHUN KELAHIRAN CUCUNDA TERSAYANG  dan papanya keesokannya SEMOGA SIHAT WALAFIAT, SEJAHTERA, BERBAHAGIA, PANJANG UMUR DAN MURAH REZEKI YANG MELIMPAH UNTUK DIMANAFAATI BERSAMA MEREKA SEKELILINGNYA. AMIN YA RABB...

YA ALLAH MALIKUL ADZAH
BUDAKNYA INI BESARKAN TUAH
SIANG DAN MALAM MAKIN BERTAMBAH
SEHINGGALAH SAMPAI IA BERPINDAH

WAHAILAH ANAK KAMI DODOIKAN
ENGKAU INI KAMI DOAKAN
UMUR YANG PENDEK MINTA PANJANGKAN
REZEKI YANG HALAL MINTA MURAHKAN

YA ALLAH MALIKUL ADZABI
BUDAK NYA INI MURAHKAN REZEKI
SEJUKKAN BADAN TERANGKAN HATI
LIMPAHKAN MAKMUR SEHARI-HARI

YA ALLAH MALIKUL JABAR
BUDAKNYA INI CEPATLAH BESAR
JAUHKAN DARIPDA PERKARA MUNGKAR
DARI KECIL SEHINGGA BESAR

YA ALLAH MALIKUL AZATI
BUDAKNYA INI TETAKAN HATI
MINTA KURNIAKAN PANGKAT YANG TINGGI
DI DUNIA AKHIRAT BEROLEH TERPUJI.

Hebatnya senikata lagu nazam kita boleh dinyanyikan pada sambutan birthday sebagai doa juga.

Monday, 2 July 2012

NAZAM AYAH IBU..

Meurut kawanku Noorlaila Ghafar seorang guru yang mengajar subjek Pengajian Kesusasteraan tingkatan enam di sebuah SMK Terengganu juga aktif sebagai Penulis, apa yangku paparkan dalam entri yang terdahulu itu adalah puisi tradisional yang dinamakan NAZAM..

NAZAM yang mendayu-dayu menusuk kalbu dilagukan tika mendodoikan anakanda tercinta di dalam buaian mungkin namanya NAZAM AYAH IBU.....aku tak pasti juga.

NAZAM AYAH IBU


Bismillah itu permulaan nama
keadaan zatnya bersama-sama
menzahirkan zat menyatakan asma
khadim dan taat sedialah lama

Wahai segala anaknya Adam
asal dan Wahi Nurul khatam
dipecahkan empat zahirnya Adam
dipecahkan pula sekelian alam

Rahim bapamu turun ke ibumu
empat puluh hari Nutfah namamu
lapan puluh hari alakah Alakah namamu
seratus dua puluh hari Masfah namamu...


Empat bulan sampailah tuan
sudah menjadi kaki dan tangan
cukuplah dengan sifat sekalian
nyawanya belum lagi didatangkan.

Sampailah sudah saat dan waktu
datanglah nyawa lalu bersatu
di dalam tubuh tempatnya itu
hawa dan nafsu sudah berlalu.

Dikandungkan ibumu sembilan bulan
lebih dan kurang tiada ditentukan
melahirkan dikau beberapa kesakitan
beberapalah pantang minum dan makan.

Tatkala engkau jatuh ke lantai
dengan segera bidan mencapai
sudah dimandikan lalu dipakai
tinggallah ibumu lemah gemalai.

Sudah dipakaikan lalu diqamat
mintalah doa supaya selamat
ingatlah pesan nabi Muhammad
di atas dunia beramal ibadat...

Wahailah anak janganlah engkau bantah
dizahirkan engkau amatlah susah
dialih ke kiri kanan pun basah
habis berlumur kencing dan muntah

YA ALLAH MALIKUL ADZAH
BUDAKNYA INI BESARKAN TUAH
SIANG DAN MALAM MAKIN BERTAMBAH
SEHINGGALAH SAMPAI IA BERPINDAH

WAHAILAH ANAK KAMI DODOIKAN
ENGKAU INI KAMI DOAKAN
UMUR YANG PENDEK MINTA PANJANGKAN
REZEKI YANG HALAL MINTA MURAHKAN

YA ALLAH MALIKUL ADZABI
BUDAK NYA INI MURAHKAN REZEKI
SEJUKKAN BADAN TERANGKAN HATI
LIMPAHKAN MAKMUR SEHARI-HARI

YA ALLAH MALIKUL JABAR
BUDAKNYA INI CEPATLAH BESAR
JAUHKAN DARIPDA PERKARA MUNGKAR
DARI KECIL SEHINGGA BESAR

SETELAH KAMU SUDAHLAH ADA
SIANG DAN MALAM IBUMU MENJAGA
TIDURPUN TIDAK BARANG SEKETIKA
MAKAN DAN MINUMPUN TIADA TERASA

TIADALAH TENTU  SIANG DAN MALAM
TIDURPUN TIDAK DAPAT DI TILAM
TERKEJUT TERJAGA DI TENGAH MALAM
BANGKIT MEMANGKU DI DALAM KELAM

APABILA ENGKAU DAPAT BERBILANG
DISURUH MENGAJI BERULANG-ULANG
KE RUMAH GURUMU TEMPAT BERULANG
PAGI DAN PETANG JANGAN BERSELANG

WAHAILAH ANAK KAMI BERPESAN
KEPADA ENGKAU DI DALAM BUAIAN
IBUBAPAMU JANGAN DILAWAN
JANGAN MENGIKUT IBLIS DAN SYAITAN

YA ALLAH MALIKUL ADZAH
BUDAKNYA INI BESARKAN TUAH
SIANG DAN MALAM MAKIN BERTAMBAH
SEHINGGALAH SAMPAI IA BERPINDAH

WAHAILAH ANAK KAMI DODOIKAN
ENGKAU INI KAMI DOAKAN
UMUR YANG PENDEK MINTA PANJANGKAN
REZEKI YANG HALAL MINTA MURAHKAN

YA ALLAH MALIKUL ADZABI
BUDAK NYA INI MURAHKAN REZEKI
SEJUKKAN BADAN TERANGKAN HATI
LIMPAHKAN MAKMUR SEHARI-HARI

YA ALLAH MALIKUL JABAR
BUDAKNYA INI CEPATLAH BESAR
JAUHKAN DARIPDA PERKARA MUNGKAR
DARI KECIL SEHINGGA BESAR

YA ALLAH MALIKUL AZATI
BUDAKNYA INI TETAKAN HATI
MINTA KURNIAKAN PANGKAT YANG TINGGI
DI DUNIA AKHIRAT BEROLEH TERPUJI.

Hebatnya senikata lagu nazam kita.

Sunday, 1 July 2012

SYAIR/PANTUN BERENDOI...2

Kenapa kutulis syair dan pantun seganding? Syair tentulah syair yang formatnya empat kerat dengan bunyi ritma ujung sama vokalnya. Pantun pula formatnya ada pembayang dan maksud. Sebabnya skrip yangku pinjam daripada kumpulan berendoi itu tajuknya PANTUN BERENDOI.  Formatnya padaku adalah syair. Ah! Tak perlu dikisahkan semua itu. Kita nikmati saja bait-baitnya yang amat indah lagi bermakna ini.

Empat bulan sampailah tuan
sudah menjadi kaki dan tangan
cukuplah dengan sifat sekalian
nyawanya belum lagi didatangkan.

Sampailah sudah saat dan waktu
datanglah nyawa lalu bersatu
di dalam tubuh tempatnya itu
hawa dan nafsu sudah berlalu.

Dikandungkan ibumu sembilan bulan
lebih dan kurang tiada ditentukan
melahirkan dikau beberapa kesakitan
beberapalah pantang minum dan makan.

Tatkala engkau jatuh ke lantai
dengan segera bidan mencapai
sudah dimandikan lalu dipakai
tinggallah ibumu lemah gemalai.

Sudah dipkaikan lalu diqamat
mintalah doa supaya selamat
ingatlah pesan nabi Muhammad
di atas dunia beramal ibadat...

Wahailah anak janganlah engkau bantah
dizahirkan engkau amatlah susah
dialih ke kiri kanan pun basah
habis berlumur kencing dan muntah

Kita sambung lagi lain kali ye...

MyBloglist