“Lawa baju ni Datuk. Rasanya ni memang padan dengan Nadia. Kena pula
warnanya dengan kulit Nadia yang cerah.” Amin mengusulkan pandangannya. Datuk
Shaari tidak berupaya hendak menafikannya kerana Nadia di sisinya tersenyum
bagai mengharap.
“Lawa…lawa…memang padan.” Datuk Shaari bersuara seakan ada sesuatu
yang termengkelan di tekaknya. Menyendat tenggoroknya. Tersekat-sekat sebelum
melantun menjadi sebutan.
“Ish…abang Amin ni...mana Nadia mampu.” Balas Nadia tersengih
menjeling Datuk Shaari mengharap reaksi timbal balas yang setimpal.
“Tidaklah mahal mana datukkan. Sebab yang lebih mahal dari ini pun
datuk pernah beli.” Amin tersenyum mengangkat tinggi keupayaan kewangan
tuannya.
“Ye ke Datuk?” Nadia menoleh memandang Shaari. Tersangat kagum
dengan kemampuannya. Namun kekaguman kerana keupayaan kewangan datuk itu tidak
menyebabkan hatinya tiba-tiba jatuh cinta terhadap datuk itu. Teman pilihan
yang diharapkan seganding dengannya kelak kriteria yang telah ditetapkan tidak
ada pada datuk itu. Lagipun lelaki idamannya memang sudah ada. Seorang lelaki
Inggeris yang ditemuinya ketika mengadakan pertunjukan fesyen di London.
“You dengar ajelah cakap Amin tu. Manalah saya tahu pasal pakaian
perempuan. Baju untuk lelaki saya tahulah.” Balas Shaari. Pandanganya tajam
menikam anak mata Amin yang diserbu rasa serba salah. Pucat wajahnya. Amin
mengerah mindanya berfikir sesuatu. Dia ingin segera melepaskan diri dari
kesalahan terlepas kata-kata yang tidak disenangi tuannya.
“Maksud saya…maksud saya baju Datuk yang mahal. Sehelai kot pun
harganya berbelas ribu.” Amin sempat juga mencari alasan sedang dirinya
menggelabah rusuh.
“Kalau Nadia berminat sangat dengan baju ni…ambillah… harganya tidak
usahlah dikira sangat. Lagipun saya ni tidak suka menghampakan harapan orang.”
Datuk Shaari terpaksa berkata begitu untuk mengelakan pandangan negatif Nadia
terhadapnya. Melabelkannya sebagai seorang korporat yang kedekut jikalau
menolak hasrat Nadia untuk memiliki apa yang dihajatinya.
Dari raut yang tertera di wajah Nadia dia dapat membaca kehendak
gadis itu terhadap busana yang di beleknya beberapa kali itu. Tentunya model
itu tersangat ingin hendak memilikinya.
Nadia tersenyum senang. Dia melepaskan senyuman yang sangat manis ke
wajah Datuk Shaari. Akhirnya terlaksana juga hasratnya hendak menggayakan
busana indah setara dengan harganya, 10,000 RM. Dia melangkah senang ke kaunter
pembayaran.
Shaari membayar dengan menggunakan Kad Hutang yang dimilikinya. Dia
juga turut membeli beberapa helai kemeja. Tetapi Amin hanya berlenggang kosong
tanpa apa-apa di tangan. ‘Mahal rezeki aku kali ini’ keluhnya dalam dirinya.
“Ini hadiah untuk kau Amin.” Datuk Shaari menghulurkan sehelai
kemeja jenama kebanggaannya. Tersungging senyum di bibirnya. Riang hatinya
bukan kepalang.
“Terima kasih banyak-banyak Datuk. Datuk memang baik. Tidak pernah
lupa pada saya khadam datuk yang setia ni.” Shaari dan Nadia saling tersenyum
melihat perilaku Amin yang melucukan seperti seorang anak kecil mendapat
pemberian dari bapanya.
‘Ada
juga rezeki untuk kau Amin. Tidaklah penat saja mengekori Datuk hari ini.’ kata
Amin kepada dirinya seakan berbisik.
Masing-masing melangkah dengan interperatasi yang berbeza tentang
kegembiraan yang telah dikecapi. Amin dengan caranya yang tidak banyak kisah
dan berpada dengan rezekinya.
Nadia juga gembira tetapi sedikit kesal kerana tidak memilih busana
yang lebih mahal dari 10,000 RM. Dia yakin Datuk itu mampu membayar berapapun
harganya.
Sedang Datuk Shaari pula menyesal tak sudah kerana menjadi pemurah
tidak bertempat. ‘Ah! Biarlah. Bertimbun-timbun lagi duit aku di bank.’ Dia
malas hendak memikirkan kesilapan yang mendera mindanya.
wah best2! KA terus follow yek!
ReplyDeleteterimakasih banyak2 KA sudi follow novel ni...teruskan ikuti sambungannya ye..ceritanya lengkap isinya...ada tawa ada sedih n lucu juga...
ReplyDeleteok...
Delete