Tuesday, 13 November 2012

BUNGA-BUNGA SEPI.MELINGKARI HATI...


Hatinya menyendiri lagi
sepi melingkari hati
jiwanya masih sudi berkongsi fikiran
hatinya masih sudi berkongsi rindu
rindunya masih sudi berkongsi resah
puas disoalnya hati dan perasaan
penuh gambaran kenangan-kenangan silam
apakah kesudahan sang nasib diri
kalau boleh tidak mahu lagi
menjadi mangsa janji-janji manis
bagai habis madu sepah di buang
bunga-bunga sepinya
cuba merongkai untuk bangun sendiri
gelaran demi gelaran diterimanya
sangat menyakitkan hati
mujurlah perasaannya masih terkawal
sabar memagari marahnya
dia berfikir dan berdoa
akhirnya dia pasrah dengan takdir.
Muhd Adnan Bahari
Selayang Baru
8 November 2012

Monday, 12 November 2012

SELIRATAN CINTA BAB 21....


Anita dan Sarina baru saja selesai mengadapi juadah hidangan makan malam yang disediakan Anita. Anita suka memasak dan memang hobinya memasak seperti kebanyakan anak gadis yang lain.
Tetapi Sarina tidak begitu. Dia hanya tahu memasak mi segera dan menggoreng telor sahaja. Sekiranya hendak menyediakan resepi yang rumit dibiarkan saja Anita seorang yang menyingsing lengan melakukannya. Dia hanya tahu duduk bersila dan menyuapnya ke mulut apabila segalanya sudah siap terhidang di hadapannya..
Sudah kenyang menjamu selera Sarina berlunjur kaki di hadapan TV. Di tangannya tergenggam alat kawalan TV yang mengandungi berbagai saluran pilihan.
Banyak program drama yang disiarkan beberapa rangkaian TV dijayakan teman-teman dramatis yang dikenalinya tapi dia tidak berminat menontonnya kerana tidak ada dirinya berperanan di situ. Jika ada wajahnya terpampang di skrin TV barulah seronok dia hendak menontonnya.
 Ralit  pula dia menikmati siri National Geographic yang memaparkan aktiviti skuba di sebuah pulau yang indah. Dia berharap sangat pulau yang akan dikunjunginya kerana sesi shooting drama terbaru itu secantik pulau yang sedang ditontonnya dan ada aktiviti menyelam ke dasarnya bermain dengan ikan-ikan di celah terumbu karang. Alangkah seronoknya dapat mencuba pengalaman baru yang tidak pernah dirasai selama hidupnya.
Anita sedang mencuci pinggan mangkuk yang telah digunakan tadi. Selesai mencuci, mengelap dan menyusunnya di atas rak pinggan, dia meninggalkan ruang dapur sempit itu menuju ke biliknya.
Dia melihat Sarina menjawab telefon yang baru saja berdengut beberapa saat tika melintas ruang tengah tempat Sarina sedang bersantai..
“Hei…Datuk Shaari. Apa khabar? (Terhenti)  Saya sedang relek menonton TV. Tak buat apa-apa pun. (Terhenti). Esok call time shooting pukul 8 pagi. (Terhenti) Nanti sekejap Datuk ya, saya perlahankan suara TV.”
Anita menghampiri Sarina dan menunjuk isyarat bahawa dia sedang tidur. Dia dapat mengagak Datuk Shaari bertanya tentang dirinya dan ingin bercakap dengannya. Sarina memandang teman dengan wajahnya yang penuh gaya itu. Mouthpiece handphone ditutupnya. Dia ingin memberi tumpuan kepada apa yang akan dituturkan Anita kepadanya.
“Kalau dia tanya aku kau. katakan aku dah tidur. Kalau tidak kau kena penumbuk aku ni.” Anita memberi amaran keras kepada teman yang hanya tersengih kepadanya, melihat genggaman buku limanya yang kecil itu.
‘Hai Nita, Nita ada hati nak tumbuk aku! Setakat buku lima kau yang kecil tu aku tak hairan langsung beb…’ dia kembali leka melayani bualan tetamunya yang menjengah suaranya di hujung talian.
 Anita berlalu menuju biliknya. Telinganya dilekapkan ke dinding untuk mendengar perbualan Sarina dengan Datuk Shaari seterusnya.
“Anita? Dia dah  tidurlah Datuk. Hai Datuk tanyakan dia seorang saja ke? Saya ni kan ada.” Anita tidak lagi mahu mendengar ocehan Sarina bersama Datuk itu yang disertai dengan kekehan yang mengelikik dan manja sesekali kedengarannyanya. Sangat memualkannya sehingga membuatnya mencebik bibir.
“Hai…Sarina…Sarina…orang tua yang sebaya dengan ayah kau pun teringin kau layan.” Getusnya perlahan.
Anita merebahkan dirinya di atas katil. Komputer di mindanya merangka-rangka sesuatu keputusan yang akan diambilnya.
 “Ini drama aku yang terakhir. Lepas ni aku akan cari kerja lain. Lantaklah kalau kerja kilang sekalipun.” Jika tiada sebarang gangguan dari orang-orang yang berwatak seperti Datuk Shaari di dalam kehidupannya, dia pasti amat selesa sebagai seorang dramatis.
Tetapi gangguan yang menggoda dan menggugah keteguhan iman itu menyusutkan keghairahannya bergelar artis. Dia ingin lari jauh dari keserabutan yang merusuh mindanya itu. yang didambakan dalam hidupnya kini hanya rezeki halal yang diperolehi dan memberikannya ketenangan jiwa.
Anita ingin menjadi seorang anak yang baik dan sentiasa patuh dengan pesanan ibunya. Kata ibunya pandai-pandailah menjaga diri jikalau bertekad hendak menjadi seorang artis kerana kehidupannya bukan seperti laut yang tenang tidak bergelombang. Tetapi badai yang menderu tidak disangka-sangka akan menghanyutkan diri sesaorang itu jauh dari daratan dan sasaran yang diharapkan.
Jadilah seorang anak yang berakhlak dan beriman. Tidak tercemar noda yang mengaibkan. Hidup muda ini tidaklah terlalu panjang,  Singkat amat untuk dipertahankan. Jikalau titik noda terpalit ketika usia muda, penyesalan sepanjang hayat langsung tidak berguna. Kerana titik noda yang mengaibkan itu akan kekal selamanya.
 Pesanan ibunya laksana hamburan mutiara-mutiara putih jernih yang terlepas dari kalungan. Sangat berharga dan perlu dikutip dan disisip kemas di lipatan sanubari.
Anita sangat merindukan ibunya yang tinggal di sebuah rumah bertiang tinggi terletak di tengah bendang di sebuah negeri di utara. Sekarang ini ibu sedang buat apa agaknya? Mungkin sedang terbaring keletihan kerana siangnya menabur baja pada anak-anak padi. Atau merumput di dalam petak.
Jikalau mengharapkan pulangan hasil yang lumayan tentulah perlu melakukan semua kerja-kerja itu dengan rajin. Dia kasihankan ibunya kepenatan kerana telah sekian lama melakukan rutin itu dan dia tidak dapat lagi hendak meringankan beban kedua-dua ibu bapanya kerana tidak punya penghasilan yang tetap.
Bapanya pula tentu sedang menyiapkan pukat yang hendak diturunkan ke tengah laut pada awal pagi esoknya untuk menangkap ikan, udang, ketam atau sotong. Kedua-dua ibu-bapanya saling bertolong bantu mencari rezeki mengikut keupayaan masing-masing demi menyara dan mencukupkan keperluan empat orang lagi adik-adik Anita yang masih bersekolah.
Sungguh berat bebanan kedua-dua ibu-bapanya itu dan dia tidak mahu lagi menyusahkan hati ibu-bapanya dengan perbuatan yang akan memalukan kedua-duanya.
Dia tertidur sambil membayangkan wajah ibunya dan bapanya yang tersenyum kepadanya.
                                    

Tuesday, 6 November 2012

ORKID-ORKID YANG DITINGGALKAN...

SUDAH HAMPIR DUA MINGGU MENUMPANG TINGGAL DI RUMAH ANAK/MENANTU DI PINGGIR BANDARAYA KL DENGAN HARAPAN KESIHATAN YANG MEROSOT KEMBALI PULIH SEDIKIT. ADA JUGA PERUBAHANNYA INSYAALLAH....

DAN HATI PUN MULA TERKENANGKAN ORKID-ORKID YANG BERGANTUNGAN DI SERAMBI RUMAH...APALAH KABARNYA. TIKA DITINGGALKAN BANYAK YANG SEDANG BERKUDUP...

JIRAN BAIKKU KAK IDAH TELAH BERJANJI HENDAK MENOLONG MENYIRAMKANNYA.
KASIHAN ORKID-ORKIDKU PABILA TUANNYA SAKIT ORKID-ORKIDNYA PUN TURUT SAKIT...

Sunday, 4 November 2012

HARTA YANG HILANG....

HARTAKU TERLALU SEDIKIT BERBANDING MEREKA YANG MEWAH KAYARAYA. TAPI AKU SANGAT-SANGAT MEMERLUKAN HARTAKU YANG SEDIKIT ITU UNTUK MENERUSKAN KELANGSUNGAN HIDUPKU SEKIRANYA ALLAH MENGATAKAN TAKDIRNYA BEGITU UNTUKKU.

HARTA YANGKU MAKSUDKAN ITU HANYALAH SISA-SISA TENAGA YANG DIKEMBALIKAN KEPADAKU SETELAH TIGA TAHUN TERLANTAR AKIBAT KEMALANGAN JALAN RAYA.

SEKIAN LAMA AKU MENGURUSKAN HIDUPKU MEMBESARKAN ANAK-ANAK DENGAN TENAGAKU YANG SEDIKIT ITU KINIKU RASA ALLAH SEDANG MEMPERLIHATKAN TANDA-TANDA BAHAWA APA YANG DIPINJAMKAN KEPADAKU AKAN DIAMBIL KESELURUHANNYA.

HANYA BERSEDIA PASRAH DAN REDHA. INNALILLAH,,,DARIPADA ALLAH KITA DATANG  KEPADA-NYA KITA KEMBALI....

DAPAT BERINTERAKSI DI LAMAN MAYA BERSAMA TEMAN-TEMAN YANG SUDI MEMBACA SETIAP CATATANKU SANGAT MENGGEMBIRAKANKU, MOHON MAAF SETIAP SEGALA KEKURANGAN YANG TERSENGAJA ATAU TIDAK.

TERIMAKASIH BANYAK KAWAN-KAWAN FB/BLOG YANG MENDOAKAN KESEMBUHANKU...INSYAALLAH DOA-DOA YANG TULUS SUCI AKAN BERKAH MENEMBUSI HIJABNYA...AMIN!

Tuesday, 30 October 2012

UJIAN ALLAH TIDAK PERNAH HABIS....

AKU PERNAH NASIHATKAN SAHABATKU LELA YANG MENGHANTAR MSG MENGATAKAN BELIAU TERJATUH TERPIJAK KULIT TEMBIKAI DI SURAU ASRAMA SEKOLAHNYA AGAR BERHATI-HATI TIKA MELANGKAH JANGAN BIARKAN DIRI TERJATUH SELALU SEBAB DI USIA YANG TELAH BANYAK INI TULANG SEMAKIN REPUT DAN MUDAH PATAH.

SEKALI LELA TAK APA-APA AKU PULA YANG DITIMPA UJIAN-NYA. ITULAH PANDAI-PANDAI SANGAT NAK MENASIHAT ORANG SIHAT SEDANG AWAK TU OKU SAJA DAH TERIMA PADAHNYA.

SELEPAS SOLAT SUBUH AKU BERMSG DULU DENGAN LELA MEMBERITAHUNYA HENDAK KE DAPUR BERSARAPAN SEBELUM MEMULAKAN RUTINKU MENGEMAS RUMAH DAN LAIN-LAIN MAKLUM ESOKNYA  DAH NAK RAYA HAJI.

KATA LELA BELIAU BELUM BERSARAPAN DAN TERINGAT PULA HARI NI HARI TASYRIK DAN SUNAT BERPUASA. MSG LELA MASUK SELEPAS AKU DAH TERSUNGKUR TEPI LEMARI DAPUR DENGAN DAHI PECAH BERDARAH DAN KAKI KIRI TERUS TEGANG DAN  SAKIT SANGAT. TAK TERBANGUN SENDIRI DAH... MACAM SELALU TU. MEMANG AKU KERAP JATUH TAPI BIASANYA AKU BOLEH BERUSAHA BANGUN.

ANAK YANG SEDANG TIDUR LAMBAT PULA BANGUNNYA WALAU DIJERIT BERKALI-KALI DENGAN SUARAKU YANG HALUS TIDAK MAMPU MEMBERI RIAK APA-APA. JADI TERSADAILAH AKU DI SITU SEBELUM PERTOLONGAN TIBA MENAHAN KESAKITAN TERAMAT.

ADIKKU DAN ANAKNYA SONI TIBA SETELAH DIBERITAHU DAN SONI MENGCEMPONGKU KE KERATA AYIE ANAK JIRAN SEBELAH MENGHANTARKU KE HOSPITAL JENGKA. SETELAH DI XRAY KATANYA DISLOCATE. AMBULAN SEGERA PULA MENGHANTARKU KE HOSPITAL TEMERLOH.

XRAY LAGI. DOKTOR KAT SINI KATA TULANG KIRI PATAH. DAH TAK BOLEH NAK DITOLONG LAGI KENA TUNGGU SEMBUH SENDIRI. DAN SELAMA TIGA HARI AKU BERAYA DI SINI BERSAMA RAMAI DOKTOR-DOKTOR DAN MISI-MISI YANG MELAYANIKU SANGAT RAMAH DAN BAIK.

SETELAH PULANG ADIK DAN ANAK MENANTU MEMBAWA PULA BERTEMU BOMOH PATAH DI GELANGGI. KATA BOMOH NI SENDI TERKELUAR. BERDERAK BUNYI SENDI YANG DIMASUKAN KE TEMPAT ASALNYA...AKUPUN MENGADOI KESAKITAN...

TERIMA KASIH BANYAK KEPADA ADIK-KU TMH, ILAH, TAN ANAK SAUDARAKU SONI, JIRAN-JIRANKU PETUGAS HOSPITAL JENGKA DAN TEMERLOH  YANG BERUSAHA MEMBANTUKU DI SAAT KRITIKALKU...JUGA JEE YANG PRIHATIN MENGINFORM KAWAN-KAWAN FB/BLOG TENTANG TAHAP KESIHATANKU. DOA KALIAN SEMUA BERMAKNA SEKALI DAN SANGAT-SANGAT DIHARGAI....

Monday, 22 October 2012

SALAM IDUL ADHA YANG BAROKAH MULIA...

IDUL ADHA/HARI RAYA KORBAN BAKAL DIRAIKAN SELAZIMNYA DENGAN SANGAT ISTIMEWA SETELAH SEMPURNA IBADAH HAJI DILAKSANAKAN DI TANAH SUCI MEKAH UMAT ISLAM YANG TERPILIH MENYAHUT SERUAN-NYA. SELAMAT MENYAMBUT IDUL ADHA BUAT SEMUA RAKAN BLOG/FB, PELAYAR-PELAYAR YANG SINGGAH SEKEJAP JUGA MUSLIMIN MUSLIMAT . HIDUP INI MEMANG PERLU BERSEDIA DENGAN PENGORBANAN YANG TIDAK SEDIKIT...

RELASI DENGAN CERITA MUSIM HAJI SEKARANG KUCATATKAN IMBAUAN LALU KENANGAN MENGENAINYA.

SEDIKIT CERITA TOKWAN

Kami anak-beranak suku-sakat dan kaum kerabat tokwan berbondond-bondong ke pelabuhan Pulau Pinang untuk menyambut kepulangan tokwan dari tanah suci Mekah. Tidak sabar hendak melihat dan bertemu tokwan. Aku nampak tokwan turun dari kapal dan menuju kepada paklang memeluknya dan datang pula memelukku. Berbangga sungguh hatiku dipeluk tokwanku yangku sayangi itu. tokwanku ini sifatnya yang unik. pendiam. cakapnya boleh dikira. Langsung tidak pernah marah kepadaku atau sesiapa saja. semua anak cucu menyayanginya.

Namun pasti bertanya sayangkah tokwan kepada kami anak cucunya dengan sikapnya yang selamba tidak kisah itu. Melihat cara tokwan terkini aku yakin tokwan sayangkan kami anakcucunya. Lebih-lebih lagi aku cucunya yang sulung ini. cucunya yang pernah dibawanya menaiki basikal ke bandar Yan untuk mendapatkan kad pengenalan. Bayangkan betapa penatnya tokwan mengayuh basikal sejauh 20km membawa beban berat di pelantarnya pergi dan balik.

 Memori yang tak mungkin kulupa. Tokwan yangku sayangi itu membawa beberapa hadiah yang dibelinya di Mekah dan memberinya kepadaku. bertambah-tambah kasihku kepada tokwanku itu. 
Kesihatan tokwan agak merosot setelah pulang dari menunaikan ibadat haji. dan jatuh sakit pula. Sedih melihatkan keadaan diri tokwan yang kurus kering dengan perutnya bengkak. 

Sakit apakah itu? Entahlah. Aku hanya mendoakan Allah memulihkan kesihatan dan memberikan kesejahteraan kepadanya. Doa anak cucu dimakbulkan Allah. tokwan sihat semula dan merancang menziarahi keluargaku di Pahang. Bapa pulang menaiki keretanya untuk mengambl tokwan dan tok. Hajat bapa untuk membawa tokwan pulang ke Pahang tidak kesampaian. Tokwan terlebih dulu dibawa pulang ke rahmatullah...innalillah. kesedihan kerana kehilangannya dirasakan hingga kini.

Sunday, 21 October 2012

SELIRATAN CINTA BAB 20


Majmin meneruskan kebiasaannya setiap hari. Selesai solat isyak dia akan berbaring di depan TV. Sambil menonton sempat juga membaca majalah  apabila siaran iklan memenuhi slot. Sering juga menulis diari yang dicatat tentang beberapa peristiwa besar yang berlaku di dalam mahupun di luar negara. Dan yang menyangkut kehidupannya seharian.
17 Jun 01, Ahad.
Pramoudiya Anantatoer, penulis yang dianggap setanding dengan penulis terkemuka dunia memberi komen yang positif tentang ekonomi, sosial dan sikap mandiri rakyat Malaysia di bawah pucuk pimpinan PMnya berjaya menangani tangan-tangan asing yang amat berminat hendak mencampuri urusan negara dan membentuknya mengikut acuan ciptaan mereka.
 Beliau membandingkan nasib sebaliknya yang menggeluti Indonesia sendiri yang  di sifatkan sudah hilang kewibawaan dan keterlaluan lemah jati diri dari segenap aspek. Penulis Pro Sukarno dan aktif era Sukarno ini membandingkan tindakan Dr. M menyamai tindak-tanduk Sukarno yang telah berjaya memerdekakan Indonesia dari penjajahan Belanda dengan pelbagai cara. Dan memakmurkan negara itu setelahnya.
Semua akhbar arus perdana hari ini memetik pandangannya hasil temuramah RTM (Radio Televisyen Malaysia) di Bogor. Novelnya Keluarga Gerilya memang ketara nilai sasteranya. Namun aku tidak berminat untuk menghabiskan pembacaannya. Lebih selesa pula membaca novel hasil novelis tempatan seperti Abdullah Hussain atau Azizi Hj. Abdullah.
17 Dis 02, Selasa;
Berita TV menyatakan keputusan penghakiman di The Hague. Belanda berkenaan kedudukan Pulau Ligitan dan Sipadan yang direbutkan Malaysia dan Indonesia, rupanya memihak kepada Malaysia. Agaknya lega sungguh hati Dr. M kerana sebelum persaraannya dari jawatan PM dia telah mengembalikan banyak harta Malaysia yang telah diambil dan hendak diambil orang. Itulah kebijaksanaannya dengan izinNya jua.
 Tetapi dia tidak rajin menulis setiap hari. Diarinya juga sarat dengan pantun pantun karyanya. Baginya seni pantun Melayu sangat indah dan halus.
Kelapa sebatang tepi perigi
Kudup mengkudu di hujung dahan
Kenapa datang kenapa pergi
Menyimpul rindu tak berkesudahan.

Riang ria ke sana sini
Patah rusuk apa jadinya.
Riang ria hari ini
Entah esok apa jadinya.

Hendak dilurut duri selasih
Dulang jati di atas alang
Hendakku turut hati sedih
Walang hati bukan kepalang.

 Shaari berada di sisinya dan menghenyakan ponggongnya di atas sofa. Majmin terkejut melihat suaminya hanya berbaju Melayu Telok Belanga dan berkain pelikat tenun tangan yang dibelinya dari pusat Karyaneka.
Kata gadis yang menjualnya kain pelikat itu hasil tenunan tangan perusahaan orang-orang kampung di Pulau Keladi, Pekan Pahang.
‘Orang tua ni sudah buang tabiat ke?’ getus hatinya. Pena ditangannya diletakan di dalam diari yang berkulit tebal itu. 
“Abang tidak keluar ke malam ni?”
“Tak. Saya tunggu Rizal balik.” Ujarnya bersahaja.
“Tunggu Rizal? Oh ya…baru saja dia telefon beritahu saya tadi, sekarang ni dia berada di resort RSJ.” Wajah Shaari segera terpanggung. Terkejut sungguh. Mencerlang sinar matanya menerjah wajah lembut isterinya.
Majmin sudah bersedia hendak menerima sergahan yang menyakitkan telinganya. Sekaligus menjentik tangkai hatinya. Tapi dia hanya akan bersabar menjadi seorang isteri yang disenangi suami. Isteri mithali.
“Hah! Dia buat apa di sana?” Tanya Shaari dengan tona yang keras.
“Kata Rizal dia hendak uruskan resort tu sebab Azmi pun sudah berhenti.” Dia membalasnya dengan lirih lunak kerana tidak mahu mewujudkan suasana yang tegang dan tidak terkawal.
 Shaari tenggelam dalam kekalutannya. Dia memegang dahinya. Memicit-micitnya. Tentulah tidak wajar sekiranya dia memarahi isterinya kerana perilaku anaknya yang seorang itu.
Dia juga ingin menjadi seorang suami yang sentiasa dianggap baik oleh isterinya. Sentiasa bersopan santun dan menjaga adab sebagai lelaki budiman di dalam keadaan apapun.
“Berapa lama tu?” suaranya lirih lunak perlahan tapi kehampaan.
“Entahlah bang. Kenapa bang? Bukankah elok dia di situ. Senanglah saya kalau hendak bercuti ke sana. Abang pun sentiasa sibuk. Sehari dua lagi kabarnya abang hendak ke Tokyo selama beberapa minggu menguruskan kontrak pengangkutan cip komputer dengan kapal-kapal syarikat kita. Kalau saya rasa bosan di rumah bolehlah saya ke sana.” Tukas isterinya lirih dan jughus. Di benaknya tidak ada maksud yang bersimpang perenang. Lurus dan tulus. Jujur dan ikhlas.
“Kenapalah dia ke sana pula!” dia mendesis perlahan.
“Apa dia bang? Min tak dengar.” Serba salah Shaari menatap wajah polos isterinya dengan anak mata yang bening merenungnya.
“Hah? Oh aku kata kenapalah dia degil sangat hendak pergi berkerja ke pulau terpencil tempat jin bertendang tu. Di sini pun apa kurangnya.” Shaari mengatur rekayasanya dengan teliti dan meyakinkan.
“Dia sudah bosan dengan hiruk-pikuk New York agaknya. Pulang ke sini hendak mencari ketenangan jiwa. Sebab tulah dia ke RSJ.” Majmin menguap beberapa kali. Barangkali seluruh tubuhnya mulai diresapi keletihan kerana petang tadi dia dan Datin Maimon juga beberapa rakannya yang lain berlenggeng tangan bermandi peluh di gelanggang tennis.
 Usianya yang hampir menjejaki 50-an itu barangkali tidak melayakannya untuk beraktiviti lasak seperti bermain tennis. Walaupun itulah sukan kegemaranya suatu ketika dulu. Sukan itu pernah menjulang namanya sebagai pemain terbaik kolejnya. Dan sentiasa mewakili kolej hingga ke peringkat kejohanan tennis antara kolej ternama se Asia. Cerita yang telah berkubur puluhan tahun dahulu.
“Min dah mengantuk ni…Min masuk tidur dulu bang.”
Datuk Shaari tercongok sendirian di ruang yang kelam dan hanya disinari pantulan cahaya TV. Menjadi pengganti Majmin pula melayani kerusuhan hatinya. Dia berteleku memandang skrin TV yang memaparkan berita pergolakan dunia semasa.
Berita tentang kemusnahan dunia angkara kekejaman manusia Israel di Pelastin dan Lebanon hanya berlalu ditatapan matanya. Tidak mencuit jiwa kemanusiaannya. Dia leka memikirkan hatinya yang ralat kerana Rizal.
“Hai…rosak program aku! Dua hari lagi Anita ke sana. Sebulan pulak tu. Aku di sini melopong gigit jarilah nampaknya.” Kesal sungguh hatinya kerana rancangan yang diaturnya untuk menemani Anita membuat penggambaran di Pulau Sioman tergendala.
Dia sibuk memerah mindanya supaya diberi ilham untuk merencana sesuatu yang akan memuaskan hatinya. Nampaknya sia-sia. Tidak ada lorong yang terang dilihat boleh dilaluinya. Tidak ada cahaya di hujung terowong. Dia buntu dan bungkam. Menahan geram. 

Friday, 19 October 2012

WAYANG

KILAU KEMILAU EMAS PERAK
TERPANA TANPA SUARA MENATANGNYA KAGUM
TAMBAH DIBUAI INDAH BAHASA LUNAK BERSAJAK.

LENA PUN MENCUMBUI
MENGAJAK BERADU DAN ALPA PADA SEKITARNYA
PADA REALITINYA.

SAYANGNYA TIDAK KEMANA SUDAHNYA
AKHIRNYA TAMATLAH SEMUA BICARA
SALAM PERPISAHAN YANG DIUCAPKAN
TIDAK RELA MASIH ENGGAN.

MELAMBAI PULA JENGAH PERTEMUAN BARU
MENGHULUR JANJI MANIS KALA KALI PERTAMA BERSUA
MEMETERAI SESUNGGUH HATI
TANPA RAGU TANPA SANGSI

SAYANG TERAMAT WALANG
KEMILAU EMAS PERAK YANG MEMUKAU HANYA PESONA
LEMBUT LIDAH BERBAHASA MENGUKIR KATA JUGA PESONA
HANYA LAKONAN
HANYA WAYANG....

MyBloglist