Monday, 4 January 2021

MELIHAT LAUT

 ASSALAMUALAIKUM


MELIHAT LAUT

 

Alangkah bahagianya kalau dapat melihat laut yang tidak berpenghujung dan mampu dicapai mata. Mengagumi kebesaran Rabbi yang menjadikannya. Subhanallah! Walau semata memandang laut akan memperolehi pahala sunat. Dan pandanglah laut selalu jika berkesempatan. Tambah mereka yang tinggal berhampiran laut. Tentu mudah mengisi kantung pahala setiap hari.

Dulukala aku sering juga ke pantai bukan sekadar hendak melihat laut tapi ada saja kerja yang hendakku buat. Jika kebetulan ke pantai melihat tambur laut sekata sejauh pandang tandanya musim lala telah tiba. Akupun akan mengajak kawanku Comel menangguk lala keesokannya. Maka kami pun menangguk lala dari pagi sehingga tengah hari. Selalunya ada sedikit hasilnya untuk dijadikan lauk tambahan santapan tengah hari. Maklum kerja budak-budak bukan boleh diharap sangat. Lebih banyak bermain dengan selut.

Kadangkala menolak besen pelastik mengutip kerang atau mentarang. Selut lembut menenggelamkan kaki hingga ke paras betis. Bukan  main sukar hendak bergerak ke mana-mana kala mengutip kerang atau mengorek mentarang. Tapi dengan menolak besen mudahlah sedikit pergerakannya.

 

pantai berselut

kerang separa besen -

langkah perlahan


Sunday, 3 January 2021

MEMBACA

 ASSALAMUALAIKUM


MANFAAT MEMBACA


 


#1

Balam di peran melalah perah,

perca  di situ dikumat lanting;

dalam A-Quran sudah disurah,

membaca itu teramat penting.

#2

Menyukat buntil geluk berambi,

dihafaz jarak bersua perak; 

Malaikat Jibril memeluk nabi,

melafaz Iqra’ di gua Hira’.

#3

Kelubi lumat degil dikumam,

            lada dibaham selangkah hasud

Nabi Muhammad menggigil demam,

tiada faham apakah maksud.

#4

Merungkah tampal seli bersebab,

            mengisir umbi usul diukir;

Warokah bin Naufal ahli kitab,

mentafsir nabi rasul terakhir.

#5

Langkat tanami temu di lanca,

            biar mempelam seli selangkan;

berkat fahami ilmu membaca,

syiar Islam nabi mercukan.

#6

Gelita malam ilham diolah,

            kumat berulang duka berkaca;

semesta alam Islam menyerlah,

umat terbilang suka membaca.

#7

Sajak dan syair gaya begini,

            payah dirawa dilamun jemu;

semenjak lahir budaya murni,

tarbiah jiwa santuni ilmu.

#8

Rumpai di paya cunia berat,

            bahan pengawal elak merica;

mencapai jaya dunia akhirat,

asuhan awal galak membaca.

#9

Menyulam paku sigai berlumu,

            diletak leca siru lalui;

di dalam buku pelbagai ilmu,

selak dan baca baru ketahui.

 

#10

Gara memintal salah tak sudah,

            punca teramat bingung kendiri;

era digital Allah permudah,

baca maklumat di hujung jari.

 

#11

Galau senangin keladi rawan,

            mulai sore dura ke hulu;

kalau teringin jadi sasterawan,

pelbagai genre baca selalu.

#12

Sejuklah donat dirangka lanca,

            kabu terlupa biarkan jatuh;

pupuklah minat suka membaca,

Ibu dan bapa jadikan contoh.

 

#13

Selia angsa di tanjung Linggi,

            menyukat caca juadah tamu;

mulia bangsa disanjung tinggi,

berkat membaca telaah ilmu.

 

#14

Keranji serah pada sahaya,

            sida meramu cari kemumu;

kaji sejarah bangsa berjaya,

tiada jemu pelajari ilmu.

 

#15

Ramuan satu kulim bersama,

            faham caranya agar jayakan;

ilmuan itu alim ulama,

ilham membaca sebar-luaskan.

#16

Kain sutera baru di dinding,

            bahu mengereng sudah biasa;

sains dan sastera ilmu berganding,

tahu seiring wadah bahasa.

 

#17

Tangan mengarca tersilap ciri,

            jeda mengikir membundar rupa;

dengan membaca setiap hari,

minda berfikir menghindar lupa.

 

#18

Samfoo yang mini pantau di dalam,

            jangan dicerca melahu pula;

info terkini atau semalam,

dengan membaca tahu segala.

 

#19

Menyembat kasa beragi bucu,

            minta selumu suah selari

martabat bangsa tinggi di mercu,

membaca ilmu maruah diri.

 

#20

 

Tajin di camca rasa halia,

            junjung celagi separa juju

rajin membaca bangsa mulia,

disanjung tinggi negara maju.

 



 


Friday, 1 January 2021

SALAM TAHUN 21

 ASSALAMUALAIKUM


SALAM JUMAAT MULIA 1012021






REJANG TAHUN 21

.

Bismillahhir rahmanir rahiim

Allhahumma salli wa baarik a’laih

.

Satu hari bulan rejangnya kuda …

#1

            Kuda berlari terjelir lidah

            tersadung akar jatuh tersungkur

tahun baharu menjelma sudah

            masih bernafas amat bersyukur

.

Dua hari bulan rejangnya kijang…

#2       

            Kijang terpijak buah berangan

            terjingkit kaki menuju lata

            kepada Allah menadah tangan

tahun baharu terkabul cita.

.

Tiga haribulan rejangnya harimau…

#3

 

            Harimau belang tidak bertangguh

            mengejar mangsa selagi sampai

          apa dicita dengan bersungguh

di tahun baru azam tercapai.

.

Empat hari bulan rejangnya kucing


#4

          Kucing belaan tidur penjuru

gelumut dengan kain sehelai
          gunakan masa tahun baharu
          setiap saat amat bernilai

.

Lima  hari bulan rejangnya sapi


#5

 

          Sapi meragut rumput setempat

pilih semua tiada janggal
          tahun berlalu amatlah cepat
          terasa rugi kalau tertinggal

.

Enam hari bulan rejangnya kerbau


#6

          Kerbau berkubang di rawa sana

          membawa lumpur hingga musolah
          tahun baharu atur rencana
          reda tawakal kepada Allah

.

Tujuh hari bulan rejangnya tikus

#7

          Tikus selongkar bungkusan suhun

          makan segala tidak bersisa
          azam berubah setiap tahun
          cuba tunaikan seiring masa

.

Lapan hari bulan rejangnya lembu
#8
          Lembu berlaga lukanya parah
          jatuh tergolek di tepi tambak
          tahun dahulu catat sejarah
          koronavirus menyebar wabak

 

.

Sembilan hari bulan rejangnya anjing
#9

          Anjing  menyalak laju meluru

          kejar  pencuri di pinggir desa
          tahun baharu norma baharu
          hidup berubah luar biasa

.

Sepuluh hari bulan rejangnya naga


#10

          Naga sumpahan bermata biru

          sedang beradu di tasik Chini
          koronovirus kenalan baru
          moga terhapus di tahun ini

.

Sebelas hari bulan rejangnya kambing


#11
          Kambing meragut daunan serting
          ditinggal pula kerana pedar
          menjaga diri amatlah penting
          tahun berganti  wabak terhindar

.

Dua belas hari bulan rejangnya arnab
#12
          Arnab mengorek perlahan-lahan
          mencari lobak jumpa kemili
          kawal kendiri patuh arahan
          tahun berubah normal  kembali

 

.

Tiga belas hari bulan rejangnya gajah


#13
          Gajah berkawan menghala hulu

          bersama-sama mencari makan
          sambil berdoa tahun berlalu
          koronavirus mohon hapuskan

 

 

.

Empat belas hari bulan rejangnya singa


#14
          Singa tersesat di rumpun tepus
          tersadung akar hampir tersungkur
          jikalau musuh telah terhapus
          tahun bertuah hamba bersyukur

 

 

.

Lima belas hari bulan rejangnya beruk
#15
          Beruk  berada atas jejantas

          hendak melintas dengan segera

          tahun berlalu teramat pantas
          mesti diisi sebaik cara

 

Enam belas hari bulan rejangnya babi


#16

          Babi menyondol jatuh bejana

          terkejut lari hala ke barat
          tuntutan tahun dunia fana
          setara amal untuk akhirat

.

 

Tujuh belas hari bulan rejangnya helang


#17

          Helang melayang hinggap pengkalan

          sebentar saja terbang ke huma
          hari berganti genap sebulan
          tahun baharu menjadi lama
.

Lapan belas hari bulan rejangnya halipan
#18

          Halipan rayap ke atas pohon

          ada yang sentuh terus disengat
          ingin berjaya sepanjang tahun
          usaha gigih tegar semangat

 

.

Sembilan belas hari bulan rejangnya baning



#19
          Baning memakan daun gaharu

          bergerak lambat hilang di ceruk
          tahun baharu cerita baru
          ubah semua perkara buruk
.

Dua puluh hari bulan rejangnya belatuk
#20

          Belatuk jantan kakinya katik

          menukang sarang di pohon tapan
          lembaran hari ditulis cantik
          kenangan indah tahun hadapan

 

.

Dua puluh satu hari bulan rejangnya badak

#21

 

          Badak meliar rata Asia

          meredah rimba pagi dan petang
          tahun baharu tambah usia
          makin dewasa fikiran matang

.

Dua puluh dua hari bulan rejangnya angsa


#22

Angsa terapung di tepi jeti

naik ke darat lintas sempadan
setiap tahun nilai bererti
selagi hayat dikandung badan

.

Dua puluh tiga hari bulan rejangnya belalang

#23

 

Belalang juta di pohon sena

menggetus daun di tempat parkir
atur jadual susun rencana
tidak gendala tahun berakhir

.

Dua puluh empat hari bulan rejangnya ayam


#24

          Ayam serama bulunya merah

memakan padi di tepi paya
tahun berbilang santun sejarah
maju tamadun indah budaya


.

Dua puluh lima hari bulan rejangnya tenuk


#25

Tenuk di hutan sudahlah pasti

ranting terkulai giat direngkuh
walaupun tahun bersilih ganti
jiwa yang murni beriman kukuh


.

Dua puluh enam hari bulan rejangnya rusa


#26
Rusa berlari tanah merekah

meragut pula tanaman maman

sekian tahun masih melangkah
tanda bersyukur kukuhkan iman


.

Dua puluh tujuh hari bulan rejangnya jampuk


#27

Jampuk menunggu hampir terlena

memandang bulan selagi larat
bertahun-tahun di alam fana
wajib sedia bekal akhirat

 

 .

Dua puluh lapan hari bulan rejangnya landak


#28

Landak menghidu buah kuini

tegak durinya tergesel sentang
andai usaha di tahun ini
mungkinlah jaya tahun mendatang

 

.

Dua puluh Sembilan hari bulan rejangnnya ular
#29

Ular menjalar melintas jalan

menyusup dalam rimbunan ranti
akhir Disember bilangan bulan
tahun Masehi berganti pasti

 

.

 

Tiga puluh hari bulan rejangnya keldai
#30
          Keldai membawa barang ke sana

badannya mulai merasa rimas

tahun baharu membawa makna
hargai masa nilainya emas

 

Allahumma saallim wa baarik ‘alaih

 


MyBloglist