Showing posts with label LAGENDA/DONGENG DULU-DULU. Show all posts
Showing posts with label LAGENDA/DONGENG DULU-DULU. Show all posts

Thursday, 21 January 2016

PAK KADOK DAN IKAN TAPAH...

ASSALAMUALAIKUM...


PIC GOOGLE IMAGES.

KENAPA ORANG PERAK TIDAK MAKAN IKAN TAPAH
Sumpahan ikan tapah sehingga kini terus menjadi misteri terutama membabitkan waris Pak Kaduk yang percaya keturunan lelaki itu tidak boleh menganiaya, memakan atau mengkhianati secara sengaja atau tidak, ikan berkenaan.
Cerita ini bermula dari mulut ke mulut dan dikumpulkan Pandak Logam Pandak Demat, seorang daripada keturunan Pak Kaduk yang terbabit sepenuhnya menyimpan dan menjaga emas kerongsang ikan tapah.
Pandak Logam dilahirkan pada 1873 dan meninggal dunia pada 1963 pada usia 90 tahun.
Emas Kancing adalah satu-satunya saki baki emas yang ditemui dalam perut ikan tapah yang masih ada, ia berbentuk empat segi iris wajik digunakan sebagai keronsang baju wanita.
Jumlah yang ada sekarang sebanyak tiga keping dan inilah yang digunakan sebagai penawar kepada cucu atau keturunan Pak Kaduk yang kebanyakannya tinggal di sekitar Sungai Perak, jika terkena sumpahan bisa ikan tapah.
Kini emas kerongsang ikan tapah itu dijaga oleh seorang keturunan Pak Kaduk yang kesembilan bernama Hasmah Pandak Logam yang kini tinggal di Kampung Tua, Batu 16, Lambor Kanan.
Hasmah, 87, atau lebih dikenali sebagai opah, berkata kisah Pak Kaduk bermula ketika zaman pemerintahan Sultan Muzafar Shah Ibni Al-Marhum Sultan Mansur Shah.
Beliau berkata, pada zaman kesultanan itu permainan menyabung ayam amat disukai ramai, ia menjadi satu temasya hiburan di samping menonton dan berjudi, malah permainan itu membabitkan semua golongan daripada rakyat jelata, bangsawan sehinggalah sultan.
Hasmah berkata, Pak Kaduk adalah berasal daripada keturunan raja yang berasal dari Negeri Siak, Sumatera merantau ke Tanah Melayu.
Pak Kaduk memulakan pelayaran ke Perak untuk mencari tempat baru, akhirnya sampai di tepi Sungai Perak bernama Lambor (menurut cerita mulut Pandak Logam) di Kampung Pulau, Lambor Kiri.
Pak Kaduk diterima baik oleh masyarakat kampung dan akhirnya dijodohkan dengan seorang gadis tempatan dan menetap beberapa lama di Kampung Pulau, Lambor Kiri.
Pak Kaduk mempunyai kegemaran menangkap ikan, mencari rotan dan menyabung ayam. Adapun menyabung ayam adalah satu permainan yang amat digemarinya.
Hasmah berkata, pada suatu hari Pak Kaduk ternampak seekor ular sedang menggonggong sebiji telur ayam dan meletakkannya di atas tanah berhampiran rumahnya, kemudian ular itu pun berundur dan menghilangkan diri. Pak Kaduk pun mengambil telur itu dan dieramkan oleh ayamnya.
Telur itu akhirnya menjadi seekor ayam sabung yang cantik dan handal, dinamakan Biring Si Kunani. Ayam sabungnya sentiasa menang dalam semua pertandingan sehinggakan semua penduduk termasuk pembesar istana takut dan tidak mahu menyabung dengan ayam Pak Kaduk.
Pak Kaduk menjadi resah kerana tidak menyabung dan akhirnya Pak Kaduk menerima apa juga syarat yang dikenakan asalkan dapat menyabung ayam.
Berita kehebatan ayam sabungan Pak Kaduk turut mendapat perhatian sultan, lalu baginda mencabar Pak Kaduk untuk menyabung ayam dengan syarat yang ditetapkan.
Syaratnya – ayam Pak Kaduk hendaklah ditukarkan dengan ayam sultan yang bernama Si Jalak Putih Mata. Pertaruhannya adalah kampung halaman dan isi rumahnya dan syarat di pihak sultan pula, Pak Kaduk akan diberikan sebahagian kuasa memerintah dan kawasan negeri jika ayam sultan kalah.
Tanpa berfikir panjang Pak Kaduk menerima syarat berkenaan kerana sudah lama tidak menyabung ayam.
Hasmah berkata, seperti yang dijangkakan ayam Pak Kaduk yang ditukarkan dengan sultan menang. Pak Kaduk bersorak kerana ayamnya menang, tetapi dia lupa bahawa ayam itu sudah menjadi milik sultan. Selepas pengumuman dibuat barulah Pak Kaduk sedar bahawa dia sudah dipermainkan sultan.
Dengan berpegang pada janji dan syarat penyabungan Pak Kaduk terpaksa menyerahkan kampung halamannya, isteri dan anak perempuannya kepada sultan, hanya yang tinggal pada Pak Kaduk sehelai sepinggang dan seekor kucing kerana masa sultan mengambil pertaruhan kucing itu tiada di rumah, kalau tidak semuanya akan menjadi milik sultan.
Pak Kaduk pun membawa diri ke sebuah pulau (satu tempat di tepi tebing Sungai Perak tempat orang menanam padi huma) bersama kucingnya dan tinggal di sebuah dangau. Sambil Pak Kaduk memikirkan masa hadapannya kucing itu datang sambil mengiau-ngiau dan mengigit kaki Pak Kaduk seakan ingin memberitahunya sesuatu. Puas juga beliau menghalau kucing itu tetapi tetap juga begitu.
Pak Kaduk pun mengikut kucing itu ke tepi tebing sungai. Apa yang didapatinya ialah seekor ikan tapah yang besar. Pak Kaduk pun berlari ke dangau dan mengambil mata tuai yang terselit di celah atap lalu dibelahnya perut ikan tapah itu keluarlah emas dengan banyaknya. Pak Kaduk bersyukur dan beranggapan itu adalah rezeki daripada Tuhan.
Maka Pak Kaduk pun menjahit perut ikan tapah itu dengan menggunakan jarum patah dan berbenangkan urat batang pisang lalu melepaskan ikan itu semula ke dalam sungai. Ketika inilah Pak Kaduk melafazkan sumpahnya yang berbunyi;
“Mulai hari ini dan kehadapan, aku tidak menyabung lagi, dan aku, anak isteri aku, cucu-cicit aku, piat-piut aku, empas-empas endaun, entahkan ia entahkan bukan tidak boleh memakan, menganiaya atau mengkianati akan ikan tapah. Barang siapa melanggar sumpah ku, akan mendapat sakit gatal, melecur dan bengkak-bengkak, kiranya tahan badan tidak selamat hidupnya.
Ikan tapah itu terus menyelam dan timbul sekali seolah-olah mengucap selamat tinggal dan kemudian hilang.
Selepas itu, Pak Kaduk pun pergilah mengadap sultan dan menebus kampung halamannya dan anak isterinya, dan sebahagian bakinya disimpan untuk menyara hidupnya dan sebahagian lagi dibawa ke Kampar, Sumatera untuk dijadikan barangan perhiasan, kerana pada zaman itu tukang emas hanya berada di wilayah itu saja.
Kepada anak cucu Pak Kaduk, sebagaimana disebut dalam sumpahannya jika terkena air dari ikan tapah maka ubatnya ialah dengan menyapu atau meminum air yang direndam kerongsang emas tapah sebagai penawar bisa sumpahan.
Difahamkan ada keturunan Pak Kaduk yang tidak boleh melintasi asap masakan isteri jika yang dimasak itu adalah ikan tapah.
Selepas segalanya selesai Pak Kaduk tidak menyabung lagi dan hiduplah Pak Kaduk dalam aman damai dan sentiasa mensyukuri rezeki yang diberikan Allah serta melakukan amal ibadah dengan taatnya sehingga berlaku beberapa perkara luar biasa.
Antaranya Sultan Perak melantik Pak Kaduk menjadi Orang Besar Jajahan yang membawa gelaran Tok Tua Sakti yang mana tugasnya memberi nasihat dan tujuk ajar kepada Datuk Bendahara Garang mengenai selok-belok tempat di Aceh dalam usaha membawa pulang Puteri Limau Purut dari Istana Aceh seperti dalam kisah Megat Terawis.
Seorang daripada waris Pak Kaduk, Azizah Mat lodin, 67, berkata beliau yakin bahawa cerita lagenda Pak Kaduk adalah cerita benar kerana ada beberapa bukti kukuh yang diwarisi sehingga kini.
Beliau berkata, walaupun cerita Pak Kaduk ditokok tambah hingga menjadi cerita humour, namun bagi keturunannya mereka menyifatkan ia sebagai sumber sejarah yang perlu diperhalusi.
Katanya, pihak tertentu terutama pusat pengajian tinggi perlu melakukan kajian secara ilmiah berhubung kewujudan Pak Kaduk dan peranannya dalam institusi kerajaan Melayu Perak.
“Saya tidak pernah malu dengan cerita Pak Kaduk, malah berbangga bahawa Pak Kaduk pernah menjawat jawatan tinggi dalam pentadbiran negeri pada masa lalu.
“Saya yakin, cerita Pak Kaduk adalah cerita benar, kerana bukti yang wujud dan beberapa barangan kemas lain yang masih disimpan oleh generasi Pak Kaduk sehingga kini,” katanya.
Seorang lagi keturunan Pak Kaduk, Maimunah Idrus, 58, berkata, beliau pernah mengalami sakit seperti kulit terbakar kerana tersentuh air ikan tapah kira-kira 30 tahun lalu.
Beliau berkata, ketika itu, dia sedang memilih ikan di Pasar Awam Pekan Sungai Galah, Changkat Tin dan tiba-tiba terasa tangannya seperti terbakar sebaik saja cuba mencuci tangan ketika memilih ikan di situ.
“Saya tidak kenal ikan tapah, tetapi dipercayai bekas air itu digunakan oleh pelanggan lain untuk membasuh tangan selepas membeli ikan tapah di pasar berkenaan.
“Saya menderita kesakitan selama lebih dua hari sebelum ayah membawa saya ke Teluk Sareh dan berjumpa Pandak Logam untuk mengubati tangan saya.
“Sungguh ajaib, sebaik saja air berkenaan yang direndam bersama kancing emas mengenai tangan saya, didapati tangan saya tidak lagi terasa panas,” katanya.
Maimunah berkata, dia kini yakin bahawa apa yang dikatakan sumpah Pak Kaduk itu benar-benar berlaku dan sememangnya kancing emas itu adalah penawar kepada sumpahan keturunannya.

CATATAN TUN KREATIF

Saturday, 9 January 2016

WAYANG KULIT YANG MISTIK....

ASSALAMUALAIKUM...

LIMA PAHLAWAN...


Pic google images


Wayang kulit adalah teater rakyat yang cukup terkenal di semenanjung terutama di Kelantan dan Terengganu suatu masa dulu.

Walaupun peredaran zaman kebelakangan ini digamatkan dengan pelbagai bentuk hiburan, teater tradisional ini masih lagi mempunyai peminat tersendiri tanpa mengira batasan usia.

Pengurus kumpulan wayang kulit, Kumpulan Seri Apal dari Besut, Terengganu, Mat Husin Hamat, 54, berkata, pada awalnya, wayang kulit telah memasuki Kelantan pada 1940an.

“Asalnya dulu, wayang kulit ini dari Jawa, kemudian meluas ke Thailand sebelum memasuki Kelantan dan merebak ke negeri-negeri lain di semenanjung. Tahun 1950an dulu terdapat lebih kurang 20 kumpulan wayang kulit di Kelantan ketika seni ini sedang melonjak naik.

“Kumpulan Seri Apal ini pula ditubuhkan sejak 1950an juga dan saya telah mengambil alih menjadi pengurus sejak Februari 2015 setelah pengasasnya, Zakaria atau lebih terkenal dengan gelaran Pok Ya, 65, kini sudah agak uzur,” katanya.

Ada yang mengatakan, sejarah mengenai asal usul wayang kulit masih kabur dan kurang jelas sehingga ke hari ini, namun, hasil perbualan penulis dengan penggiat seni yang masih aktif itu menceritakan mengenai terdapatnya kisah mistik di dalam sebuah cerita yang dimainkan dalam persembahan wayang kulit itu.

'Pagar' kawasan sebelum cerita bermula

Mat Husin yang terkenal dengan jolokan nama Tok Do Husin Agogo berkata, dalam banyak-banyak cerita yang dimainkan ketika persembahan, tidak semua penggemar teater tradisional itu berpeluang menonton sebuah cerita bertajuk Lima Pahlawan kerana ia membawa unsur mistik.

“Sebenarnya, agak sukar bagi sesebuah kumpulan wayang kulit untuk mainkan cerita ini kerana plot ceritanya yang panjang memakan masa hampir seminggu untuk dihabiskan. Tambahan pula, cerita ini agak ‘panas’ lebih-lebih lagi jika ia dimainkan di kawasan yang ‘keras’.

“Sekiranya penonton lemah semangat, mempunyai penyakit, ada yang akan tidak sedarkan diri ketika persembahan sedang berlangsung. Bagi keadaan begini, Tok Dalang akan membacakan sesuatu kepada pesakit agar keadaan yang menyerang itu tidak berlanjutan,” katanya.

Mat Husin berkata, Kumpulan Seri Ampal pernah sekali memainkan cerita Hikayat Lima Pahlawan bagi memenuhi kehendak penonton.

“Kita pernah bawa cerita ini suatu ketika dulu, tetapi bukan di tempat awam, ia bagi memenuhi permintaan seseorang, bagi ‘pelepas’ hajat. Jalan cerita tidak dipotong bagi menjaga ‘angin’ penonton agar tidak tersentuh atau hajatnya tersekat.

“Angin seseorang ni kita tak tahu. Macam ‘awok-awok’ (orang-orang) kita ni dah tahu selok-belok persembahan,” katanya.

Tambahnya lagi, ketika persembahan, Tok Dalang akan terlebih dahulu ‘memagar’ kawasan persembahan wayang kulit itu bagi menjaga penonton serta mengelak berlakunya perkara tidak diingini.

“Cerita Lima Pahlawan ni kisahnya berasal dari Thailand, mungkin ada yang dah tahu cerita ini ada watak Raja Serama, Hanuman Kera Putih, Wok Long, Wok Dogol, Wok Yoh, Raden Arjuna, Said, Samad dan beberapa lagi watak yang lain.

“Ringkasan cerita ini berkisar kepada pembahagian harta yang tidak adil menyebabkan berlakunya perbalahan sesama sendiri. Tajuk cerita ini bergantung kepada Tok Dalang, dia yang memutuskan nama tajuk cerita.

“Kalau dulu-dulu, jalan ceritanya agak berlainan dengan jalan cerita yang dimainkan pada masa sekarang. Macam filem lama dan baru. Dalam wayang kulit juga ada cerita-cerita yang diubahsuai mengikut kesesuaian keadaan, masa dan tempat,” katanya.

Sementara itu, Tok Dalang, Kumpulan Seri Apal, Mohd Hanafi Jusoh, 60, berkata, cerita Lima Pahlawan ini pernah membawa badi sehingga berlaku penonton yang tidak sedarkan diri sekiranya mereka berada dalam keadaan lemah, ada penyakit, saka dan sebagainya.

“Plot cerita hikayat ini tiada tempat lembut, semua keras dan tidak semua Tok Dalang boleh bawa cerita ini kerana ceritanya ‘panas’ dan boleh menarik makhluk halus atau roh yang tidak kelihatan.

“Kalau Tok Dalang ucap (sebut) sesuatu dan berkait dengan makhluk halus, akan menarik minat sesuatu yang lain untuk berada dalam kumpulan penonton wayang kulit itu. Itu sahaja yang kami boleh cakap...boleh bagi tahu. Selebihnya tak boleh cerita lebih lanjut.



- See more at: http://pahang-ku

Monday, 21 December 2015

SITI AMINAH TANAH MAHSYUR.....

ASSALAMUALAIKUM...


PIC BABAT.NET.

CEREKARAMA CIK SITI YANG DISIARKAN TV3 MALAM TADI MENGINGATKAN PI ENTRY YANG DITERBITKAN WAK DALAM BLOGNYA

http://tigalalat.blogspot.my/2015/09/siti-jalang.html 

TAPI KISAHNYA BERBEZA DARIPADA LAGENDA TERSEBUT SEPERTI YANG DITULIS PENULIS BLOG INI.

PI MEMANG BERMINAT MEMBACA CERITA-CERITA LAMA BERUPA LAGENDA INI DAN KISAH SITI AMINAH YANG MENIKAHI 99 SUAMI TAPI KESEMUANYA SUAMINYA TELAH MENINGGAL DUNIA SETELAH BERSAMA DENGANNYA.
KAWAN-KAWAN BLOGGER PI RAMAI YANG BERASAL DARI JOHOR TENTU TAHU KISAH LAGENDA INI YANG BERLAKU DI KAMPUNG TEMBIOH KOTA TINGGI JOHOR......HANYA PI YANG KETINGGALAN DAN BARU MENGETAHUINYA.

SINOPSIS CEREKARAMA CIK SITI


Mengisahkan mengenai seorang gadis muda yang diberi nama Cik Siti yang disumpah oleh nenek kebayan semata-mata mahu mengubati penyakit kulit yang dihidapinya kerana melanggar perjanjian dengan nenek kebayan yang mengubati sakitnya agar tidak sombong dan menderhaka kepada ibunya. Selama pemergiaannya menemui nenek kebayan ibunya yang bersendirian sering dibantu seorang pemuda yang menaruh hati kepada cik Siti walau wajahnya buruk kerana penyakitnya. Sebaik sahaja Cik Siti kembali cantik dan jelita, dia kembali ke desanya dengan sikap sombong kerana kejelitaan wajahnya menyebabkan ramai lelaki tergilla-gilakannya dan berjaya merampas merampas cinta hatinya iaitu Awang.yang telah berpaling kepada mawar. Hajat ibunya hendak menjodohkannya dengan pemuda budiman yang baik hati tidak dipedulikan sehingga ibunya meninggal dunia. Setelah itu bermulalah episod perkahwinannya yang dimulakan dengan Awang yang meninggal dunia setelah berkahwin dengannya sehingga 99 orang kerana telah melanggar akujanjnya.. Suaminya yang ke 100 seorang ustaz yang tinggi ilmu agamanya dan berjaya menangkis sumpahan nenek kebayan yang mengeluarkan kala jengking daripada mulut Siti yang menyebabkan kematian mereka kerana gigitan serangga beracun itu.

LAGENDA CIK SITI AMINAH TANAH MAHSYUR MENURUT BLOG INI



Cerita yang dikatakan berlaku abad ke 17, kira-kira 200 tahun selepas kejadian Sultan Mahmud Mangkat Dijulang dikatakan berlaku di Kampung Tembioh di Kota Tinggi. Sebagai tanda jika kita ke kampung ini terdapat makam yang dikatakan Makam Siti Aminah atau juga dikenali sebagai Siti Jalang. Tentunya kita tertanya-tanya mengapa allahyarham dipanggil sedemikian?
Mengikut ceritanya Siti Aminah ini berasal dari Kelantan dan sejak kecil telah menjadi anak angkat sebuah keluarga bangsawan Bugis di Kota Tinggi. Cik Siti Aminah ini dikatakan terlalu cantik paras rupanya menjadi sebutan di daerah ini dan kerana itu beliau menjadi rebutan ramai. Kerana risaukan keselamatan anak gadis ini, keluarga Bugis ini telah mewariskan satu ilmu pendinding kepadanya sebagai tujuan menjaga kesucian gadis ini dari di aniaya lelaki-lelaki yang tidak bertanggungjawab.
Sehinggalah Cik Siti Aminah meningkat dewasa, beliau telah dipinang oleh seorang lelaki yang juga dari golongan orang berada. Majlis perkahwinan berlangsung penuh meriah sehinggalah pada malam pertama pasangan pengantin tersebut menjadi porak peranda apabila Cik Siti Aminah telah diceraikan. Ini kerana pengantin lelaki sewaktu pada saat beliau bersedia untuk menikmati malam pertamanya, beliau gagal menemui pertanda yang Cik Siti Aminah adalah seorang perempuan!
Namun itu tidak mencacatkan keinginan lelaki-lelaki lain untuk memiliki Cik Siti Aminah dan ini membawa perkahwinan keduanya. Namun bala masih mengundang, perkara yang sama berlaku pada malam perkahwinannya apabila dia diceraikan pada keesokan hari perkahwinannya. Ini berlarutan untuk berberapa tahun selepasnya sehingga dikatakan Cik Siti Aminah mempunyai 99 orang suami. Sehinggalah suaminya yang ke 100, dikatakan seorang yang warak dan punya pegangan agama yang kukuh serta mempunya ilmu kebatinan yang tinggi dapat membuka ilmu kunci nafsu yang diwarisi Cik Siti Aminah dari keluarga angkatnya, dan dengan suaminya yang terakhir inilah perkahwinannya kekal ke akhir hayat. Namun Cik Siti Aminah pada saat ini telah pun berumur maka mereka tidak mempunyai sebarang waris dan disaat akhir hayatnya Cik Siti Aminah mewasiatkan apabila beliau meninggal dunia agar jenazahnya dikebumikan jauh dari kawasan perkuburan penduduk kampung yang lain kerana akibat dari perkahwinannya yang mencatatkan jumlah sebanyak seratus kali itu penduduk Kota tinggi menggelarkannya dengan panggilan Siti Jalang.
Namun terdapat satu lagi versi mengenai lagenda ini mengatakan Cik Siti Aminah ini apabila ada lelaki yang masuk meminangnya, beliau mengenakan hantaran sebuah keranda dan sekayu kain putih untuk persediaan pengkebumian suaminya pada keesokan harinya kerana dikatakan Cik Siti Aminah memelihara kala jengking di anggota sulitnya maka suaminya akan mati. Sejauh mana kebenaran cerita ini hanyalah tinggal lagenda yang terkenal hingga ke hari ini sehingga diangkat menjadi telefilem yang sangat menarik. Demikianlah diceritakan orang..
http://infinatus-lagendamelayu.blogspot.my/


MAKAM SITI AMINAH KAMPUNG TEMBIOH KOTA TINGGI.

PIC DI BAWAH INI ADALAH PIC TERBARU YANG DISALIN DARIPADA BLOG WAK TIGA LALAT YANG TELAH BERZIARAH KE MAKAM TERSEBUT BARU-BARU INI.
INGIN BACA CATATAN SEORANG ANAK JOHOR YANG ARIF DENGAN KISAH LAGENDA CIK SITI YANG MASYHUR DI NEGERINYA INI SILA SINGGAH http://tigalalat.blogspot.my/2015/09/siti-jalang.html PASTI AKAN BERPUAS HATI DENGAN NOTANYA YANG DISELAK HELAI DEMI HELAI...




MyBloglist