ASSALAMUALAIKUM
“Kak La, bolehkah ambil wuduk, celup air dalam gayong? Bukankah tidak cukup dua kolah?” Puan Rahimah Ismail melontar tanya, sebelum kelas taddabur dalam talian berakhir.
"Boleh, itulah wuduk Nabi Muhammad saw. Niatkan tangan kita sebagai pencedok. Air yang telah digunakan tidak menitik ke dalam air suci dalam gayong.” Aku menjawab soalan, yang pastinya ramai ingin tahu.
Puan Shuhailawati Ramli pula mencelah, “Saya selalu buat. Cikngah buat demo, tunjuk wuduk cara nabi…”
Selesai kelas Aku menerima video, wuduk cara nabi dalam wasap. Masya Allah. Tabarakallah. Alhamdulillah. Terima kasih cucu saudaraku Shuhailawati. Aku segera kongsikan video tersebut dalam gruop wasap kelas tadabbur kami.
PERKONGSIAN ILMU;
SURAH 2: AL-BAQARAH
MUKA SURAT: 3. AYAT: 6 - 10
Ayat 6 – 7: Allah menyebut ciri-ciri orang kafir. Mereka itu adalah golongan yang Allah murkai, seperti dalam ayat Al-Fatihah. Ayat ini ditujukan kepada orang Yahudi dan Munafik. Surah Al-Baqarah merupakan surah pertama diturunkan di Madinah kerana terdapat kehadiran Yahudi di sekitar Madinah. Mereka golongan terpelajar dan kaya. Penduduk asal Madinah, jahil dan bekerja sebagai buruh atau kuli kepada orang Yahudi.
Ayat 6: Sesungguhnya orang-orang yang kafir engkar; Sama sahaja kalau beri peringatan atau tidak, kerana degil, mereka tidak akan beriman. Kerana orang degil tidak akan beriman. Mereka digelar ‘kafir’ kerana dalam hati mereka ada sifat tolak kebenaran. Banyak jenis kufur sebenarnya. Ada yang Syirik, ada yang tolak Nabi, ada yang tolak Al-Qur’an walaupun satu ayat. Sebagai contoh tolak hudud dan lain-lain. Dalam menjalankan kerja dakwah, kita kena sampaikan kepada semua orang, tidak kira sama ada mereka itu sahabat kita, ahli keluarga kita, sama ada orang kafir atau tidak. Tiada siapa yang boleh kata seseorang itu jenis kufur degil. Kita tidak boleh tahu kerana ianya adalah perkara dalam hati. Sesiapa yang pergi dakwah kepada mereka, mereka akan dapat faedah. Tentulah cara dakwah Nabi adalah yang paling baik. Tapi walaupun begitu, mereka masih tidak terima. Malah mereka menentang dan cuba untuk membunuh Nabi.
Ayat 7: Dengan sebab keingkaran mereka, Allah mematerikan atas hati mereka serta pendengaran mereka, dan pada penglihatan mereka ada penutupnya; dan bagi mereka pula disediakan azab seksa yang amat besar. Empat peringkat yang akhirnya dikunci hati; (1) Ragu-ragu dalam hati (2) Menolak dalam diam (3) Membantah dan menentang (4) Berterusan engkar dan akhirnya tertutup serta terkunci mati hatinya.
Ayat 8 hingga 20: Ciri-ciri orang Munafik. Ingatlah bahawa orang munafik ini solat sama dengan Nabi. Mereka tak tinggal solat berjemaah bersama Nabi, kecuali solat Subuh dan Isya’. Jihad pun kadang-kadang mereka pergi, zakat pun kadang-kadang mereka bayar. Mereka bersama Nabi dan para sahabat yang lain, tapi mereka tidak beriman sebenarnya. Tapi Allah masih lagi kata mereka kafir kerana mereka jahil dan mereka tidak menepati kehendak Islam dan kerana mereka itu ‘jahil akidah’.
Ayat 8: Dan di antara manusia ada yang berkata: “Kami telah beriman kepada Allah dan kepada hari akhirat”; padahal mereka sebenarnya tidak beriman.
Mereka itu adalah golongan munafik. Mereka mengaku beriman dan menampakkan keislaman mereka dari segi zahir atau lahiriah. Dalam ayat ini, mereka mendakwa dengan lidah mereka yang mereka beriman. Dalam ayat ini, mereka mengatakan mereka beriman dengan dua rukun iman: ‘percaya kepada Allah’ dan ‘percaya kepada Hari Akhirat’. Disebut hanya dua rukun iman untuk merangkumi kesemua rukun iman yang lain. Tidak perlu disebut kesemua rukun iman. Tetapi, walaupun mereka mengaku dengan mulut mereka sendiri, Allah nafikan keimanan dalam hati mereka. Lafaz mereka benar, tapi hati mereka yang tidak benar. Mereka hanya dakwa dengan lidah sahaja sedangkan lidah bukan tempat iman. Iman yang duduk dalam hati.
Orang munafik memang akan mengaku yang mereka beriman. Allah sendiri beritahu yang mereka itu tidak beriman. Allah tahu apa yang dalam hati mereka dan kerana itu Allah boleh kata mereka itu munafik (kita tidak boleh nak menuduh orang lain).
Ayat 9: Mereka hendak memperdayakan Allah dan orang-orang yang beriman, padahal mereka hanya memperdaya dirinya sendiri, sedang mereka tidak menyedarinya. Mereka hendak menipu Allah, tentu tidak boleh. Maknanya, mereka menipu wakil Allah, iaitu Nabi Muhammad saw. Mereka hendak menipu para sahabat Nabi. Mereka cuba nak tipu orang beriman. Mereka hendak dilihat sebagai orang beriman juga. Kesan penipuan itu akan terkena kepada diri mereka kerana penipuan itu akan menyebabkan bahana kepada diri mereka. Penipuan mereka itu tidak akan memberi kesan bahaya kepada orang lain melainkan diri mereka sendiri sahaja. Malangnya, mereka sendiri pun tidak sedar. Kita sekarang sangka kita sudah Muslim. Tapi mungkin tanpa kita sedar, kita rupanya tergolong dalam golongan munafik juga.
Oleh itu, kita kenalah periksa diri kita dan bandingkan dengan kehendak dalam Al-Qur’an. Kalau duduk dengan Nabi pun boleh jadi salah faham, boleh keliru, lalu bagaimana agaknya dengan kita zaman sekarang? Ini amat menakutkan.
Kita harap dengan kita terus belajar Al-Qur’an ini akan dapat mengeluarkan kemunafikan jika ada dalam diri kita.
Ayat 10: Dalam hati mereka (golongan yang munafik itu) terdapat penyakit (syak dan hasad dengki), maka Allah tambahkan lagi penyakit itu kepada mereka; dan mereka pula akan beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya, dengan sebab mereka berdusta (dan mendustakan kebenaran). Mereka itu digelar sebagai munafik kerana dalam hati mereka ada ‘penyakit’.
Penyakit dalam ayat ini bermaksud dengki, atau benci kepada kebenaran. Ia juga bermaksud dengki dengan orang yang membawa kebenaran. Ini adalah satu sifat yang amat bahaya dan perlu dikeluarkan. Kalau seseorang itu boleh buang perasaan itu, barulah boleh masuk iman dalam hati. Kalau tidak, sampai bila-bila pun iman tidak masuk. Satu lagi penyakit mereka adalah syak dan ragu-ragu tentang Allah. Mereka ragu dengan Tuhan sendiri. Ini disebabkan oleh kerana hawa nafsu. Penyakit itu telah mengakibatkan rosak akidah. Yang mereka ragukan itu adalah tentang agama. sendiri kata dalam ayat ini bahawa Munafik itu adalah satu jenis penyakit. Penyakit ragu-ragu mereka itu akan ditambah oleh Allah sampai akhirnya mereka akan berbuat syirik kepada Allah. Mereka akan rasa kalau mereka berdoa sendiri, doa mereka tidak diterima. Kerana mereka rasa mereka tidak layak didengar oleh Allah. Kerana mereka banyak dosa dan sebagainya. Allah itu Maha Mendengar rintihan hambaNya. Dan Allah suruh kita doa terus kepadaNya. Bukan melalui perantaraan. Mereka yang ada prasangka begitu adalah kerana mereka rasa sangsi dengan Allah.
Untuk orang munafik, diberikan ‘azab yang pedih’. Ini lagi teruk dari yang diberikan kepada orang kafir. Kerana azab yang pedih, adalah azab yang tidak berkurangan langsung. Mereka bohong kerana cakap apa yang bukan dalam hati mereka. Jadi mereka dikenakan azab itu adalah kesalahan mereka sendiri.
Jadi, ini adalah simptom pertama orang yang ada penyakit munafik – mereka suka menipu. Kita pun sudah tahu yang salah satu dari sifat munafik adalah menipu bila berkata.
alhamdulillah dpt ilmu baru thanks for sharing kak
ReplyDeleteterima kasih untuk perkongsian kak....
ReplyDelete