ASSALAMUALAIKUM
SALAM JUMAAT MULIA
HIKMAT BASMALAH
Cerita rakyat olahan;
Paridah Ishak
Pada zaman dahulu di dalam sebuah
hutan tinggal sepasang suami isteri keturunan Orang Asal. Kerja mereka setap
hari adalah bertani dan memburu hidupan liar. Walau mereka bekerja dengan rajin
tetapi mereka tetap juga berada di dakam kemiskinan. Kehidupan mereka yang
sukar membuat Agam menjadi malas untuk melakukan suruhan agama yang wajib.
Mereka baru saja memeluk agama Islam
Sementara Adah isterinya pula sentiasa tabah menghadapi
keadaan hidup begitu. Beliau amat rajin menunaikan solat apabila sahaja masuk waktunya. Menjadi
amalannya, Setiap kali hendak melakukan sesuatu pasti akan dimulakannya
dengan ucapan kalimah” basmalah”.
Amalan isterinya itu diperhatikan suaminya. Agam memperlekehkan perbuatan isterinya itu.
“Kenapalah awak ini masih rajin bersolat? Awak ini
membuang masa sahaja. Tak payahlah bersolat. Bukan dapat faedahnya pun.” Kata
Agam kepada isterinya
“Kenapa pula awak berkata begitu? Solat itu tiang ugama.
Kalau tiada tiangnya bagaimana akan tegak agamanya. Bukankah kita ini orang
beragama Islam. Islam agama yang baru kita anut itu akan membawa kesejahteraan
kepada kita.” Balas isterinya mempertahankan kebenarannya.
“Pandailah awak bercakap. Tapi setelah menganut Islam,
hidup kita masih miskin juga. Tidak ada perubahannya. Kita masih tinggal di
pondok buruk. Hendak makan pun mesti dipilih yang halal . Hanya makan ubi kayu
sahaja. Aku hendak menyumpit lotong,kera untuk dibuat lauk pun sudah tidak
boleh. Babi hutan pun banyak berkeliaran tapi sudah tidak boleh disumpit. Semua
itu lauk yang sedap dan mudah diperolehi.” Kata Agam memberitahu kekesalan
hatinya.
“Selain lotong, kera, babi hutan, bukankah banyak lagi
hidupan hutan yang boleh disumpit dan boleh dijadikan lauk kita seperti kijang,
rusa, pelanduk, landak? Hanya awak sahaja yang malas hendak menyumpitnya.”
Tambah isterinya bersuara lembut dan perlahan.
“Menyumpit semua hidupan itu tidak semudah yang awak
sangka. Mereka itu sangat pantas larinya. Aku tak terkejar hendak menangkap
mereka.” Agam menyatakan alasannya dengan tegas.
“Sebelum memulakan sesuatu kerja, ucaplah “ basmalah”
terlebih dulu. Pasti Allah akan menolong kita. Maka kerja kita akan menjadi lebih
mudah..” Isterinya cuba memberi sedikit panduan. Ilmu itu diperolehinya ketika
menghadiri kelas agama yang diberikan seorang alim yang berdakwah kepada kaum
mereka.
“Awak ini hanya itu saja yang awak tahu cakap. Asyik
“basmalah” saja. Apakah kata-kata itu ada hikmatnya? Sudahlah awak jangan
bersolat dan sebut “basmalah” lagi. Aku tidak suka. ” kata Agam dengan jengkel. Isterinya hanya
mendiamkan diri.
“Saya hendak ke sungai menangkap ikan untuk makanan
kita.” Beritahu isterinya selaku meminta izin kepada suaminya.
“Pergilah. Mudah-mudahan awak akan mendapat ikan yang
banyak”
“Sebelum itu saya hendak bersolat dulu, memohon kepada
Allah melimpahkan rezeki-Nya kepada kita.”
“Ikut
suka hati awaklah. Saya hendak tidur saja.”
“Itulah
kerja yang awak tau. Cuma tidur saja. Sebelum awak tidur ucap “basmalah” dulu
agar awak tidak bermimpi dikejar harimau seperti selalu.”
“Huh.
Tak payahlah awak nak mengajar aku pulak macam ustaz itu. Pergi sajalah ke
sungai menangkap ikan. Moga awak dapat menangkap ikan dengan banyak.”
Setelah
selesai menunaikan solat sunat dhuha dua rakaat, Adah menuruni tangga pondoknya
membawa raga kecil dan penangguk ikan. Raga kecil itu untuk mengisi ikan yang berjaya ditangkapnya mengggunakan
penangguk ikan yang diperbuat dari rotan
itu di sungai kelak.
Adah
turun ke gigi sungai kecil itu, memulakan langkahnya dengan membaca kalimah
“basmalah.” Kelihatan banyak ikan-ikan yang berenang di sungai berbatu halus di
dasarnya dan sangat jernih airnya itu.
Adah
menangguk ikan-ikan itu dengan mudah setelah mengumpannya dengan buah sawit
yang ditemuinya di pinggir sungai itu. Hampir penuh raga yang dibawanya terisi
ikan-ikan yang telah ditangguknya..
Dia
berpuas hati dengan apa yang diperolehinya
“Alhamdulillah.
Dapatlah ikan-ikan ini dijadikan lauk dan dimakan bersama ubi kayu” katanya
perlahan. Dia dan suaminya sudah lama tidak makan nasi kerana bekalan beras
sukar hendak diperolehi kata suaminya. Dia mempercayai sahaja apa yang
dikatakan suaminya itu.
“Awak,
saya sudah balik! Tenguklah apa yang kita bawa balik ni. Tolonglah bawakan ke
dapur. kita hendak ke belakang pondok mencabut ubi kayu.”
Suaminya
tidak mempedulikan panggilannya . Dia meneruskan tidur yang telah terganggu
dengan suara isterinya sebentar tadi.
“Wah
banyak juga ikan yang dapat awak tangguk ya?” tegur Agam tatkala melihat
isterinya menyiang ikan.
“Alhamdulillah.
Mungkin berkat saya membaca “basmalah” sebelum memulakan kerja. Tuhan memberi
kita rezeki yang banyak. Selain dibuat lauk,boleh saya buat ikan kering dan ikan pekasam untuk makanan kita.” Agam
menceberkan bibirnya, seolah tidak suka mendengar kata-kata isterinya itu.
“Suka
hati awaklah!” sahutnya sambil meninggalkan lokasi kerja isterinya itu.
Dia
bertanya kepada dirinya, adakah perkataan ‘basmalah’ itu memang benar mempunyai
hikmat kepada yang menuturnya. Dia termenung dan berfikir. Akhirnya dia
mendapat idea untuk mengujinya
“Aku
hendak ke kampung di tepi hutan ini mencari sedikit beras. Guri yang mengisi
beras pun sudah kosong. Sudah lama kita
tidak makan nasi.” Dicapainya guni yang sering di isi beras di atas para.
“Ialah. Pergilah. Jangan lupa menyebut “basmalah” sebelum
memulakan kerja.” Pesan isterinya itu
tidak dipedulikannya. .Di dalam fikirannya dia sedang merancang sebaliknya.
Langkahnya menuju ke dalam hutan. Matanya melingas seakan
mencari sesuatu. Dia menemui apa yang dicarinya. Pantas ditangkapnya
haiwan berbisa itu. Lalu dimasukan ke dalam guni yang dibawanya.
Sampai di rumah dimasukan haiwan berbisa itu ke dalam
guri pengisi beras. Perbuatannya tidak disedari isterinya yang sedang menjemur
ikan ketika itu.
“Awak dah pulang. Cepatnya. Sudah dapat beras yang
dicari?” Agam angguk.
“Pergilah tanak nasi. Sudah ada beras di dalam guri.”
Ujar suaminya.
“Jangan lupa baca “basmalah’ ” Katanya dengan nada
mengejek.
Adah gembira
kerana suaminya kelihatan berubah. Dan tidak lagi memarahinya menyebut
“basmalah.”
“Bismilahirohmanirrohim,” ucap Adah sebelum membuka
penutup guri. Sebaik penutup guri dibuka terpancarlah cahaya kuing keemasan
dari dalam guri tersebut. Adah sangat terkejut hingga terpekik-pekik memanggil
suaminya. Agam mengesyaki isterinya yang
dibencinya kerana suka menyebut “basmalah” sedang kesakitan dipatuk ular
berbisa yang diletakkannya ke dalam guri itu.
“Sudah aku duga “basmalah” itu tiada hikmatnya. Sekarang
merasalah akibatnya.” Ujarnya.
“Awak kenapa tidak datang lagi? Tidak mahukah melihat emas
di dalam guri ini.”
“Emas?” Agam terkejut kebingungan. Bagaimana ular
berbisa yang diletaknya di dalam guri bertukar mejadi emas pula. Dia segera mendapatkan
isterinya.
“Banyaknya
emas. Aku kaya!” Agam teruja.
“Sebelum
awak mengambil emas itu baca basmalah dulu.” Agam tidak pedulikan pesanan
isterinya. Tangannya dihulurkan ke dalam guri untuk mengambil emas. Tiba-tiba
saja Agam menggelupur kesakitan kerana telah dipatuk ular.
TAMAT