Monday 30 July 2018

CERPEN PUSAKA MOYANG...

ASSALAMUALAIKUM...

UNTUK MENUNAIKAN HASRAT CIKGU ETUZA BLOGGER http://madey09.blogspot.com/2018/07/tiap-saat-doa-untuk-anak-dekat.html PI PUBLISH CERPEN PI YANG DISIAR UTUSAN MALAYSIA SABTU LALU.
MOGA CIKGU ETUZA DI KENINGAU SABAH BERPUAS HATI.

SELAMAT MEMBACA JUGA SEMUA SAHABAT BLOGGERS DAN VIEWERS KARYAKU.

TERIMA KASIH KESUDIANNYA.


PIC TUNZA(C)
Cerpen:

Karya:

Paridah Ishak.

                                                     PUSAKA MOYANG

MOYANGKU  itu dalam salasilah keluargaku adalah ayah kepada nenekku dan nenekku pula adalah ayah kepada atokku. Atok adalah ayah kepada ayahku. Begitulah susur-galur jurai keturunanku yang kalau dikira sekali denganku dan anak-anakku sudah enam generasi.
Jarak masa moyangku  kini di keberadaanku jauh juga.
Menurut ayahku, moyangku adalah orang terkaya di kampungku. Tanahnya berelong-relong keluasannya. Rumahnya tersergam indah dan pengurusan harta hasil kerja kerasnya  membawa nikmat kepada warga kampungnya yang turut menumpang mencari rezeki dengan kerja-kerja tani di tanahnya.
Ada yang menyingsing lengan menoreh getah di kebun-kebun getah moyangku. Juga sanggup dibasahi  keringat bermain lumpur  menanam padi daripada permulaan kerja penyemaian benihnya hingga penuaian hasilnya di  bendang moyangku.
            Setiapkali selesai musim menuai padi moyangku akan mengagihkan zakat tanamannya kepada asnaf yang ditentukan. Begitu juga zakat pendapatannya daripada lain-lain punca. Zakatnya  diberikan kepada masyarakat kampungnya yang  dikenali siapa dan kesusahannya pada tahap mana. 
Melimpah-ruah harta moyangku  kerana sikapnya  tidak lokek  berzakat itu   menyuburkan hartanya lagi. Firman Allah, “Dirikanlah solat dan keluarkanlah zakat,” menunjukan betapa pentingnya ibadah itu dilakukan umat Islam.
            Demi hari berlalu moyangku semakin uzur kerana  usianya lanjut. Tanda-tanda baginya ke alam baqa sudah dirasakannya. Mulalah moyangku berkira-kira  mencari pengganti  pengurusan baru kepada timbunan hartanya itu.
Pilihannya  lebih menjurus kepada anak sulungnya kerana daripada pemerhatian anaknya ini  wara’ dan taat agama dan rukunnya. Isteri kepada anak pertamanya ini juga alim dan sopan santun orangnya.
Wajahnya  manis dan mahkotanya  sentiasa dilindungi kerudung labuh  Kelebihan kewibawaan anak sulung dan pasangannya tidak pula menyebabkan moyangku tidak menilai calon-calon pengganti daripada kalangan anak-anaknya yang lain.
Kesemuannya disenarai, termasuk anak-anak perempuannya. Pada hemat moyangku anak perempuan keduanya walau sederhana keterampilannya namun seorang  penyabar menangani situasi dan  bijak mengurusi kewangan milik keluarga dengan  jujur.
            Bendahari kewangan keluarga  itu tidak  diremehkan moyangku walau ianya seorang perempuan,  kejadian-Nya bersifat lemah dan berasal dari rusuk kiri nabi Adam alaihissalam. Bagi moyangku wanita memang jelas keupayaan mentadbir urusan penting seumpama Ratu Balqish yang memakmurkan Saba’ yang dicitrakan burung hud hud kepada baginda nabi Sulaiman alaihissalam.
            Moyangku   masih menghalusi keputusannya dengan lebih teliti. Kehendak Allah mendahului perancanganya. Moyangku dipanggil mengadap Ilahi
 Pengurusan harta kekayaan moyangku segera diambil alih anak sulungnya demi melancarkan pengurusan organisasi keluarga dengan janji meneruskan setiap usaha yang telah dirangka moyangku. .
Pewarisan hartanya diagihkan kepada yang berhak. Moyangku mewakafkan beberapa keping tanahnya kepada badan-badan kebajikan. Pemilikan haknya kepada moyangku tidak berubah.
            Moyangku mengambil sedikit daripada  hartanya  itu untuk dikekalkan kegunaannya abadi di akhirat sana secara mewakafkannya. Itulah hartanya sebenar yang dibawa mengadap-Nya. Moyangku  beringat orangnya.
Barangkali setelah meninggalkan fana, waris-warisnya perlahan-lahan melupakannya tanpa iringan doa dan amal soleh yang dikirim kepadanya. Dan tiadalah lagi pahala tersalur kepadanya untuk membantunya di alam kubur.
Menurut ayahku lagi, berubah drastik gaya hidup anak sulung moyangku setelah berada di atas timbunan harta peninggalan moyangku. Berbelanja sesuka hatinya.
Rugi kufur nikmat dengan hanya mengabaikan harta yang banyak it u. Mungkin itu yang bermain di fikirannya. Wajib dibelanjakan  rezeki yang dilimpahi Allah itu.
Kalau dulu moyangku  ke luar negara untuk mengerjakan wajib haji dan umrah hanya beberapa kali sepanjang hidupnya kini amalan begitu bukan pilihannya. Seluruh Asia tenggara dari Indonesia, India, Thailand, Myanmar, Kemboja, Laos, Vietnam telah dilawatinya.
            Berliburan sambil berhiburan bersama kawan-kawan dan kaum kerabatnya yang sefikiran dengannya menyeronokannya.
Isterinya juga semakin rajin ke Paris,  memilih fabrik berkualitii untuk dijadikan busana yang dipasangkan dengan tudung yang dibeli di Dubai.
Sebab anak sulung moyangku bijak mengambil hati adik-adik beradiknya yang lain dengan turut menghamburkan sedikit harta amanah pusaka moyangku itu kepada mereka juga., tidaklah ada yang membantah tindakanya.
Kecuali seorang saja anak moyangku yang gelisah kerana wang amanah moyangku yang diwasiatkan untuk kegunaan semua waris-warisnya  demi kebajikan kampungnya yang kecil itu semakin menyusut kira-kiranya. Wang keluarnya besar sekali jumlahnya mengatasi jumlah wang masuk.
Jikalau terlalu kurang wang di dalam akaun amanah kewangan keluarga bagaimana mahu membantu anak-anak waris yang ingin menyambung pelajaran, membantu waris-waris yang miskin dan menunaikan hajat waris-waris yang ingin beribadat haji seperti yang sering dilakukan moyangku.
Kalut sekali bendahari harta amanah keluarga itu memikirkannya.
Bendahari amanah harta warisan moyangku walau berbuih mulutnya menyatakan saranan kepada abang sulungnya agar tidak berbelanja terlalu berlebihan tidak dipedulikan dan diambil hirau.
Gaya hidup pemegang amanah harta warisan moyangku, bermewah-mewah dalam berbelanja masih berterusan. Persediaan menghadapi muramnya suasana kehidupan lantaran tiba-tiba jatuh miskin langsung tidak ada. Seperti yang dilakukan nabi Yusuf alaihissalam dalam menjaga perbendaharaan negara Mesir sewaktu baginda sebagai bendaharinya. Setiap tujuh tahun akan berlaku kemuraman ekonomi setelah tujuh tahun berada dalam suasana mewah.
Jadi sebelum terperangkap dalam kemelesetan kewangan yang amat menyulitkan itu haruslah membuat perancangan persediaannya..
Pendapat yang disuarakan bendahari harta warisan amanah moyangku yang tidak dipedulikan itu kini telah menunjukkan kesannya pabila tanah-tanah tani yang subur dan menyumbang kepada penghasilan harta tidak seperti dulu lagi.  Sawah padi tinggalan moyangku tidak boleh lagi dituai hasilnya kerana serangan penyakit bena perang.
            Penghasilan daripada kebun getah  tidak boleh diandalkan juga kerana harganya amat rendah. Harga komiditi dunia yang tertakluk kepada harga pasaran semasa  sentiasa menurun hari demi hari.
            Akhirnya apa yang dibimbangi anak kedua moyangku ternyata. Satu persatu tanah  warisan moyangku bertukar tangan kepada pembelinya demi melunaskan hutang sedia ada dan hutang tertunggak yang dibuat anak sulung moyangku walau ditegahi adiknya iaitu anak kedua moyangku.
            Tiadalah lagi harta amanah pusaka moyangku yang boleh diuruskan kira-kiranya oleh bendaharinya. Dengan sedihnya menutup buku-buku kira-kira yang selama ini tersusun kemas dalam ofis kerjanya.
            Namun harta moyangku yang diwakafkan masih kekal sebagai tanda kepada waris-warisnya bahawa moyang mereka seorang yang kaya-raya. Kaya harta dan kaya hati nurani yang murni juga.  Walau harta-harta wakaf itu telah cuba untuk diambil kembali anak moyangku yang sulung itu tapi tidak berjaya kerana moyangku telah mengemaskinikan dengan surat guaman.
            “Masjid ini di atas tanah moyangmu!” Ayahku menunjukkan kepadaku sewaktu kami berdua mengelitari kampungku.
            “Sekolah tahfiz ini juga atas tanah moyangmu!” kelihatan kepadaku sebuah sekolah tahfiz,  ramai sekali pelajarnya  mundar- mandir dalam perkarangannya dengan tujuan tersendiri.  Pastinya mereka menimba  ilmu akhirat bersekali ilmu  dunia. Dan aku tidak pernah kupa kata-kata seorang ustaz yang memberi kuliah dalam sesi kelas agama dalam syarikatku bahawa seorang yang mengkilik akhirat, dunia akan bersujud di kakinya. Subhanallah!
            “Hospital yang di kelilingi  bendang ini juga atas tanah moyangmu! Memberi khidmat perubatan kepada kepada penduduk kampung dan yang berdekatan daerah sini. Ada masanya kita sihat walafiat dan ada ketikanya kita perlukan ubat untuk menawar bisa sakit kita. Hidup kita ini memang tidak  lepas dengan ujian-Nya. Kesabaran menghadapinya amat penting.”
Tambah ayahku lagi,
            “Setiap harta yang kita ada berupa tanah wajar kita kekalkan keberadaannya demi anak cucu kita kemudian hari kelak. Kalau sudah kehilangannya untuk mendapatkannya balik memang tiada harapan lagi. Jangan sesekali kamu berniat menjual tanah pusaka walau apa saja masalahnya. Ini kamu ada masalah bisnis sedikit sudah nak minta ayah jualkan tanah pusaka untuk  menyelesaikan masalah kamu.”
 Tapi kalau ayahku yang merupakan ciut kepada bendahari harta amanah warisan keluarga moyangku itu siapalah lagi yang dapat membantuku yang diambang kemuflisan kerana kegawatan ekonomi kini? Hanya kepada ayahku boleh kugantungkan harapan kerana beliau mempunyai beberapa keping tanah warisan nenekku yang boleh kusandarkan di bank untuk permohonan pinjaman.
            “Agaknya kamu pun mewarisi sikap anak sulung moyangmu yang berbelanja tak ingat dunia bila sudah berharta dan kaya-raya kot. Sudahnya dibelit hutang pula. Kesilapan orang dulu-dulu jangan diulangi. Jadikan sempadan. Kamu kan generasi terkini yang bijak.” Ayahku berbahasa sinis.

Tamat.


13 comments:

  1. banyak pengajaran dari kisah ini..

    ReplyDelete
  2. Kisah yg patut dijadikan peringatan dan renungan kita semua. T kasih atas perkongsian ini kak PI.

    ReplyDelete
  3. Singgah dulu sebentar.
    Nanti malam baru sempat baca.

    ReplyDelete
  4. TKSH DIK KK MNCORET ILHAM-NYA MOGA BRMNFAAT

    ReplyDelete
  5. TKSH WP JGN LUPA MAI BACA YA

    ReplyDelete
  6. Alhamdulillah banyak pengajaran buat pembacanya

    ReplyDelete
  7. TKSH ZUMAL SUDI MEMBACANYA

    ReplyDelete
  8. wahhh baju beli kat Paris, tudung beli kat dubai ;-)

    ReplyDelete
  9. TKS ANIES..HEH..HEH..GITULH CITENYA

    ReplyDelete
  10. Hebatnya penulisan Kak PI. teruskan berkarya kak PI

    ReplyDelete
  11. TKSH DP XDELAH HBTNYA PUN SKDR TLS2 JE

    ReplyDelete
  12. Langit tidak selalu cerah. Beringatlah untuk menyimpan ketika senang.
    Terima kasih perkongsiannya Kak PI

    ReplyDelete

Terima kasih bersama Karyaku...Paridah Ishak. Komen anda amat dihargai... “Semoga Allah SWT akan membalas dirimu dengan kebaikan yang banyak dan semoga Allah SWT akan membalas dengan balasan yang terbaik.”

MyBloglist