SESEKALI BACA CERPEN PI PULAK YA...
Cerpen
Oleh
Paridah Ishak.
DARMAWISATA
BAGAIMANA hendakku mula perjalananku berwisata ke
benua Eropah yang sudah kurancang sebaiknya untuk menghabiskan
percutianku di musim bunga di sana? Apa pula masalah yang mendepaniku sehingga
aku merasa kesulitannya memberatiku? Bukan tidak pernah pun ke sana. Tapi
memang aku minat mengulanginya terutama pada musim bunga-bunga mengorak kelopak
dan menebarkan keharumannya di setiap ruang. Sangat indah dan mendamaikan
suasana alamnya kurasakan.
Asyik
sekali melewati jalan beraspal di desa-desa tradisi Inggeris yang indah damai
dengan hati digayuti kekaguman melihat epal merah, hijau, peach yang hijau,
kuning, anggur yang merah, ungu, hijau juga serbaneka buah-buahan yang tidak kukenali
namanya. Dan ingin kunikmati saat itu lagi setelah merasainya sekian tahun
sehingga tamat pengajianku di universiti Manchester.
Pulang ke tanah air dengan ijazah
pengurusan perniagaan tentulah aku akan berkerja dalam bidang yang kupelajari
dengan sangat gigih itu. Tidak susahpun aku hendak menjawat jawatan yang
penting bersangkutan bidang tersebut kerana jawatan GM/general manager memang
telah tersedia untukku.
Buat sementara waktu sepanjang aku
meneruskan pengajianku di Manchester, mamaku memangku jawatan Allahyarham
papaku itu. Dan telah diwasiatkannya kepadaku mewarisiya. Perlulah aku
mengisi ilmu di dadaku dengan perkara yang menyangkut bisnis dalam segenap
aspek sebelum aku digalaskan dengan tanggung jawab menguruskan syarikat dedi
yang agak terkenal di antara syarikat-syarikat terkenal di Malaysia dalam
bidang alatan perubatan.
Mama yang menggalakan papa untuk
menceburi bidang ini setelah perniagaannya dalam bisnis impot-ekspot kenderaan
pelbagai jenis mengalami kerugian kerana persaingan sengit pemain-pemainnya
yang aktif dalam bidang ini. Prospek perbekalan alatan perubatan kepada pihak
hospital dan lain-lain pihak yang memerlukannya amat baik menurut mama kerana
tidak ramai anak bangsa yang menceburinya.
Mamaku memang tahu soal itu kerana
mamaku bergelut dalam bidangnya sebagai doktor di sebuah hospital kerajaan.
Keperluan perbekalan pada alatan perubatan memang kritikal dan hanya bergantung
kepada syarikat-syarikat dari luar negara semata. Apa salahnya sekiranya anak
bangsa turut menyumbang sedikit kepada keperluan semasa dengan turut bergiat
sama.
Perniagaan papa berjalan lancar dan
kukuh stabil sehingga papa meninggal dunia dalam kemalangan udara tika
menghadiri majlis perkahwinan anak salah seorang sahabat perniagaannya. Pesawat
Cessna yang dinaiki papa bersama mamaku terhempas di dalam belantara Bentong.
Mamaku masih panjang umurnya dan
ditemui selamat dalam usaha pencarian yang dilancarkan anggota keselamatan
negara justeru tercampak keluar daripada Cessna sebelum Cessna itu meletup dan
mengorbankan mamaku dan juruterbangnya. Tragedi sadis yang menimpa papa
membuatku meratap kesedihan. Apalagi mamaku.
Bertahun-tahun juga mamaku mengalami tekanan
jiwa, kemurungan lantaran kehilangan suami kecintaanya.
Mamaku seorang pakar psychiatris tapi
jiwanya lemah ekoran insiden yang
merentap jantungnya itu membuatnya jatuh terjelepuk. Semakin dia memahami
kondisi mereka yang mengalami masalah tekanan jiwa yang mampu dikawalnya hanya
dengan bantuan ubat-ubatan. Ubat yang mampu melemahkan emosi umpama harimau
yang disuntik pelali.
Seorang pesakit mamaku juga hilang
kewarasannya kerana tertekan dengan tragedi kehilangan suaminya dalam insiden
yang seakan sama dialami mamaku. Dan mamaku prihatin sekali dengannya lantaran
diabaikan keluarganya kerana sikapnya yang suka mengamuk dan memberontak
tiba-tiba meledak bagai bom jangka itu.
Setelah diberi rawatan, emosinya
kembali normal dan dihentikan rawatannya dengan dibekali pil aneka jenis yang
perlu diambil. Tapi wanita sebaya mama, pesakit jiwa mamaku itu dikembalikan
semula ke hospital oleh keluarganya setelah beberapa hari saja berada di
rumahnya. Begitulah perulangan kisah itu berlaku sehingga mamaku jatuh kasihan
dan simpati amat terhadap pesakitnya itu.
Mamaku mengambil keputusan untuk
membawa pulang aunti Syarmila ke rumah kami dengan niatnya tentulah hendak
memberi rawatan terbaik yang mampu diberikan seorang doktor kepada pesakitnya.
Menurut pemahamanku begitulah.
Aunti Syarmila boleh dipulihkan
kemurungan jiwa yang dialaminya dengan ubatan dan perhatian mereka yang
prihatin kepada dirinya kata mamaku kepadaku. Janganlah biarkan dirinya dengan gangguan emosi yang bercelaru dalam
delusi sentiasa di dunia fatamorgana yang luas tiada penghujungnya.
Walau hatinya sedih dan menangis tapi
sentiasa berketawa tidak tentu masa. Berhalusinasi sambil berdialog sendirian
seolah berteman dan alogia adalah petanda psikosis skizofrenia.
Skizofrenia yang dinadapi auntie
Syarmila boleh diubati dengan sentiasa mengambil pil Ahalorbedol dan
Akhlorbernazzin di samping cara pemakanannya yang nutrisinya adalah omega 3 dan
omega 6.
Mamaku merasa dialah yang selayaknya
memberi pertolongan kepada pesakit jiwa itu lantaran dia sangat memahami
kondisi pesakitnya. Aku ikut saja apa keputusan mamaku kerana mamaku berhak
membuat keputusan apapun yang terbaik difikirkannya.
Dan aku yakin aunti Syarmila tidak
akan menimbul masalah kepadaku kerana di rumah kami ada ramai pembantu.
Di dapur ada dua pembantu yang kerjanya cuma memasak dan menguruskan tentang
dapur saja iaitu Mak cik Inah dan kak Sari. Pengemas rumah pula kedua-duanya
orang Filipina. Kerja mereka tentulah mengemas sahaja di segenap ceruk. Elli
dan Eva arif tentangnya.
Pengurus ruang halaman rumah mamaku
hanya Pak Leman saja. Seorang yang pendiam dan suka menyendiri. Hanya leka
melakukan pembersihan laman rumah dan menjaga pohon-pohon dan bunga-bunga yang
kesemuanya adalah tanamannya.
Pemandu pula hanya seorang saja.
Tugas abang Kadir hanya menghantar
mamaku ke hospital dan ke mana sahaja mamaku hendak berpergian. Sedang aku
memandu sendiri sahaja ke pejabat walau mama menyarankan kepadaku untuk
menggunakan khidmat pemandu berbayar bagi memudahkan semua urusanku. Tidaklah
aku perlu terkocoh-kocoh setiap pagi mempersiap diri dan bergegas menghidupkan
enjin kereta sebelum bertolak ke pejabat.
Lebih mudah kalau ada pemandu sendiri
dan aku cuma perlu menghenyak ponggong di sit belakang, menyelak lembaran akhbar The Edge atau
Financial Times. Kejora mata menyorot berita urus niaga ekonomi sedunia dengan
amat selesa tanpa perlu kuperhatikan jem di jalan raya yang amat sibuk setiap
pagi.
Sebelum memulakan perjalanan
mamaku mengajarku doa-doa perjalanan agar perjalananku dilindungi Allah sehingga
selamat sampai ke destinasi ditujui. Dan perjalananku jauh ke benua Eropah akan
kuatur tidak lama lagi. Tapi!Ada rasa termengkelan dan kemusykilan yang
menyesak dada rentetan frasa pendek itu. Auntie Syarmila menimbulkan gara-gara pula.
Aku pula menjadi tidak keruan dibuatnya.
Sedang mamaku yang sepatutnya berada
di sisiku untuk membantu menyeselesaikan permasalahan auntie Syarmila tidak ada
kerana sedang mengikuti kursus kerjayanya di sebuah pusat perubatan yang
terkenal di India.
Auntie Syarmila sering mengganggu kerja-kerja
kak Suri dan mak cik Inah di dapur secara dengan pantas mengambil pisau yang
digunakannya untuk meracik apa saja.
Jikalau dilarang sikapnya bertukar
agresif dan menakutkan sekali, adu mereka kepadaku. Membuatkan kedua-dua tukang masak itu tidak
berani berada di dapur kerana risaukan keselamatan diri sekiranya aunti
Syarmila tiba-tiba mengamuk menggunakan peralatan dapur yang kebanyakannya
tajam dan perlu dikendali sebaiknya.
Kala malam pula auntie Syarmila kelihatan
susah hendak lelapkan mata dan menghala langkahnya ke segenap ruang. Membongkar apa saja dan menyepahkannya merata
di lantai. Habis berserak buku-buku di librari mama dan Allahyarham dediku dilambakkannya.
Merungut pula Eva dan Elly kepadaku kerana
aunti Syarmila menyebabkan kerja-kerja yang mereka perlu buat bertambah banyak.
Aku ligat memikirkan solusi kepada permasalahan aunti Syarmila ini.
Sepanjang ada mamaku tidak pula
sikapnya menyusahkan sesiapa. Nampaknya tenang dan normal saja. Mungkin auntie
Syarmila tidak mengambil ubat-ubat sebetulnya mengikut jadual. Jikalau ada
mamaku pasti mamaku akan sentiasa mengingatkannya. Keperluan kepada ubat yang
mengawal kecelaruan emosi pesakit mamaku itu ternyata begitu penting.
Tiada mamaku
tiada sesiapa yang memerhatikan keadaan auntie Syarmila. Hendak diharapkan aku
sukar juga. Masa sentiasa mencemburui dan aku terpaksa berkejar dengan masa
lantaran kesibukan mengendalikan syarikat peninggalan papaku.
Seawal 7.00 pagi sudah
ke pejabat dan pulang keletihan kadangkala lewat malam. Masaku untuk memberi
sedikit perhatian kepada autie Syarmila kurasa tidak ada. Aku cuma
mengharapkan pembantu-pembantuku di rumah sepanjang ketiadaanku dan mamaku
menguruskan apa saja masalah aunti Syarmila. Tapi sebaliknya pula jadinya.
Terpaksalah aku menyerah kalah kerana
aku tidak mampu menjadi sebaik mamaku dalam mengurusi seorang skizofrenia. Keputusan
yang kuambil untuk kemasylahatan auntie Syarmila dan semua yang berada di bawah
tanggung-jawabku tentu mamaku akan mempersoalkannya. Aku tawakal saja.
“Kenapa kembalikan aunti Syarmila
kepada keluarganya? “
“Kan mereka itu keluarganya terdekat.
Kenapa mama dan kita pula perlu menjaga
aunti Syarmila. Sedang mereka lepas
tangan. Tugas mama tu mama perlu selesaikan di hospital saja, kenapa perlu mama
bawa pulang ke rumah pula?”
“Sebenarnya kau langsung tak faham apa
yang mama sedang lakukan sebagai tanggung-jawab mama sesama manusia dan amal kebajikan
mama demi Allah, Suria.”
Aku membisu.
“Sayang mama nak tahu ya? Biar mama
jelaskan.”
Penjelasan mama kunantikan dengan sabar.
“Auntie Syarmila seorang yang baik.
Sebenarnya dia kawan mama juga. Dia tidak minta ditakdirkan begitu namun
ketentuan Allah tidak mampu untuk kita duga bagaimana bentuknya yang terjatuh
di lorong hidup kita hari ini atau keesokannya. Mama ingin membantu auntie
Syarmila kembali kepada kehidupannya sediakala dengan bantuan ubatan yang
ditentukan dan perhatian.
Keadaan dirinya yang alami serangan
sakit saraf mental tidak boleh dibiarkan. Ramai pesakit skizofrenia yang telah
pulih dan kembali normal menjalani kehidupan seperti ramai yang lain. Sakit
mental pun seperti sakit-sakit yang lain juga yang perlu diubati untuk
kesembuhannya Sayang!
Cepat atau lambat pemulihannya tergantung
kepada kita yang berusaha dengan izin Allah jua. Setiap kita yang berusaha
pasti ada kejayaannya.
Mama dulupun berusaha keras untuk hidup di
tengah belantara seorang diri kala eksiden Cessna berlaku dengan tidak
putus-putus berdoa kepada-Nya agar mama dapat kembali menemui Suria dan semua
yang mama sayang.”
Mama terkedu. Sebak di dadanya yang
beriak di wajahnya yang pilu sayu membuatku drastik memeluknya. Mama pasti
teramat sedih mengenangkan pengalaman menyebabkannya trauma yang masih berbekas
di hatinya. Apalagi insiden penuh tragik itu mengorbankan papaku, kecintaannya.
Air mata kelihatan bergenang bening di kelopak matanya. Menyesal pula aku
bertindak bodoh tanpa pengetahuan mamaku terlebih dahulu terhadap aunti
Syarmila.
“Su minta maaf banyak-banyak ya mama.
Kalau mama masih mahu merawat aunti Syarmila di rumah kita, Su boleh minta
abang Kadir mengambil aunti dari rumah keluarganya.”
“Tak mengapalah sayang. Mungkin aunti
Syarmila juga rindu untuk kembali ke rumahnya dan bersama keluarganya. Kita
tenguklah dulu bagaimana perkembangan hidupnya selanjutnya sementara ini.”
Mama menggenggam tanganku erat dan kejora
matanya menikam wajahku.
“Mama rasa hendak berehat pula sebelum
hujung tahun ini dan berhajat mengerjakan umrah di tanah suci.”
“Elok juga mama bercuti sambil
merehatkan diri. Selama ini mama asyik berkerja saja.”
“Sayang mahukah temankan mama.?”
“Su bercadang hendak ke Manchester
sambil keliling Eropah hujung Disember ini.”
“Kan sudah selalu Sayang keliling
Eropah semasa menuntut di sana dulu? Mama rasa, Sayang tidak pernah lagi ke tanah
suci Mekah. Mama dan dedi selalu juga ke sana tika Sayang sedang belajar
di Manchester dan merasa terkilan tidak dapat membawa Sayang bersama.”
Aku merasa amat berat hati hendak menolak
permintaan mamaku ini walau aku rasa mamaku amat mengerti jika alasan yang
kureka boleh diterimanya. Dan tidak memaksaku mengikutinya.
“Kita ke sana bertamu ke rumah Pencipta
kita. Di sana kita terlalu dekat dengan Dia walau dimana saja kita dekat dengan-Nya
tapi di tanah suci yang kita jejak kaki lebih istimewa lagi.
“Jom temankan mama ya. Sekali Sayang
sudah ke sana Sayang pasti akan sentiasa hendak mengulanginya berkali-kali. Dan
mungkin terlupa hendak ke Eropah, Amerika, Jepun, China dan serata tempat indah
di dunia yang telah Sayang kunjungi selama ini.”
Teruja mendengar kata-kata lunak
syahdu mamaku membuatku membatal hasratku berwisata ke Eropah seperti rencanaku
pada mulanya. Rupanya bukan aku seorang yang mama ajak menemani perjalanannya
ke tanah suci Mekah.
Seisi rumah kami termasuk kak Suri,
mak cik Inah, abang Kadir, Pak Leman pun ikut sekali. Elli dan Eva tidak ikut
kerana mereka pulang bercuti ke Zamboanga Filipina.
Dan baruku tahu pula bahawa kak Suri,
mak cik Inah, abang Kadir dan pak Leman adalah bekas pesakit skizofrenia yang
pulih dirawati mama dengan izin-Nya jua. Subhanallah! Maha suci Allah.
TAMAT.
Skizofrenia... Puan PI...kalau seseorang tu suka menggunakan istilah skizofrenia sebagai profilenya... agaknya ada problem sikit2 tak..
ReplyDeleteTKSH FIDA..NTAHLAH..MUNGKIN ADAKECELARUAN PADA MINDANYA KOT..
ReplyDeletemenarik..musim bunga mmg cantik..
ReplyDeletemmg ramai yg sembuh tp mereka yg berada di sekelilingnya punya kesabaran tahap tertinggi
ReplyDeleteTKSH NOHAS YA CNTIK SGT MUSIM BUNGA DI SANA
ReplyDeleteTKSH ANIES YA KESABARAN PERLU TINGGI MNGURUSKN MRK YG SKIZO
ReplyDeleteSetiap penyakit ada ubatnya. In shaa Allah
ReplyDeleteTKSH FIDAH INSYAALLAH
ReplyDelete