Sunday, 15 January 2017

MANUSKRIP LAMA SIRI 6...

ASSALAMUALAIKUM...



CORETAN PAK ENGKU
SEPANJANG JALAN KENANGAN
BAB 6
TAKDIR MENIMPA LAGI
Sang matahari sedang condong ke barat. Waktu itu lebih kurang jam lima petang. Aku sedang duduk di atas jambatan Kuala Nyatuh. Duduk menghadap arah ke barat. Kulemparkan pandangan ke atas pasir yang memutih terdampar di hadapanku. Pasir bekas lombong kapal korek. Kapal korek bijih yang pada masa itu sudah berhenti dan tidak berfungsi lagi. Ianya terletak di sebelah hulu jambatan tempat aku duduk. Jauhnya lebih kurang 20 rantai ke hulu arah ke Kampung Nyatuh.
Dari jauh aku terpandang dua orang sedang berjalan. Kelihatan mereka menuju ke arah kapal korek itu. Kupandang dan amati dari gaya jalannya. Tak salah pada pandangan aku bahawa itu adalah Inchum. Hatiku berdebar-debar. Tanpa kusangka aku melihat mereka naik ke atas kapal korek tersebut dan masuk ke dalamnya. Lebih kurang setengah jam baru mereka keluar dan turun semula. Mereka terus lalu ke tepi jalan raya di jambatan tempat aku duduk. Alangkah pilunya hatiku bila melihatkan perbuatan Inchum itu di hadapan mataku. Inchum sedang berjalan dengan Silong. Seorang kenalanku juga. Orang kampungku di Kuala Sawah. Tetapi aku tidaklah berkawan baik sangat dengannya kerana usianya masa itu antara 35 ke 40 tahun. Sedangkan aku baru berumur 20 tahun.
Setelah mereka berlalu, air mataku bercucuran keluar tanpa dapat kutahan-tahan lagi. Aku hiba dan pilu melihat Inchum berkelakauan begitu. Sedangkan kasihku padanya masih lagi hidup subur. Walaupun ibu dan saudara-saudaraku tidak berapa suka pada Inchum, aku tetap mengasihinya juga. Sayang, rupa-rupanya kasih yang aku berikan padanya adalah sia-sia belaka. Hatiku diracunnya dengan racun yang paling bisa. Yang belum pernah kurasakan dalam seumur hidupku. Dulu kurasa sedih kerana berjauhan darinya. Namun kali ini, bukan saja hatiku sedih bahkan hiba. Hiba sama sekali. Hiba melihatkan perubahan Inchum yang begitu ketara.
Setelah puas aku meratapi nasibku di tepi jambatan Kuala Nyatuh itu, aku pun pulang ke rumah. Pulang dengan membawa seribu kenangan pahit. Aku bertanya pada diriku, "Apakah mulanya Inchum berlaku demikian? Kenapa dia buat aku jadi begini?"
Pada suatu hari ketika aku hendak pergi ke pekan Kuala Sawah, aku telah berselisih dengannya. Kami berselisih jalan antara pekan dan rumahnya. Aku pun berkata padanya, "Chum, Uda nak jumpa sekejap kat Bukit Petai, boleh?"
Inchum menjawab, "Tak usahlah Uda. Nanti Silong marah."
Rupa-rupanya hati Inchum sudah berubah hati terhadapku. Sudah tidak dapat berfikir dengan waras lagi, mungkin. Dengan keadaan putus harapan aku terus ke pekan Kuala Sawah. Wajahku jelas membayangkan kesedihan. Kawan karibku Abdul Manaf telah mengetahui hal ini. Dia yang selalu memberi aku nasihat. Menasihati aku agar dapat melupakan Inchum. Dan berbagai-bagai nasihat lagi yang dia telah berikan padaku. Beliau selalu membawa aku ke pekan Seremban. Berjalan-jalan sambil berbual-bual. Kadang-kadang kami pergi menonton wayang gambar. Wayang gambar yang pada masa itu wayang gambar bisu sahaja. Manaf tahu aku menanggung penderitaan. Jadi seboleh-bolehnya, dia cuba melayan aku. Dia mengharapkan agar aku boleh terhibur. Semoga hilang rasa sedihku. Selang tiga hari dari aku berjumpa dengan Inchum itu, Incum pun berkahwinlah dengan Silong.
Pada suatu hari, aku telah memberi tahu Kak Tehku yang aku hendak pergi membawa untung nasibku. Aku telah berpakat dengan abang sepupuku Lakin pada malam sebelumnya itu untuk pergi bersama-sama. Pada hari yang dijanjikan itu, pagi-pagi lagi Kak Tehku sudah masakkan air untuk aku minum. Sebaik selesai sudah minum, aku pun meminta maaf kepada abang iparku dan Kak Tehku. Apalah daya, kakakku itu pun tidak mempunyai wang. Dia memberikan aku wang sebanyak 20 sen untuk belanja minum di dalam perjalanan nanti. Aku telah bertangis-tangisan dengan Kak Tehku. "Pergilah dik. Jaga diri baik-baik. Awak anak jantan," katanya.
Lepas itu aku pun bertolak pergi menuju ke Rembau dengan menaiki basikal. Naik basikal berdua dengan abang sepupuku Lakin. Sehari sebelum aku bertolak ke Rembau, aku tulis serangkap pantun di dinding rumah kakakku itu. Pantunnya berbunyi...
"Burung serindit terbang tinggi,
Hinggap di pagar paduka tuan;
Doakan bapak berjalan pergi,
Bakar kecil bapak tinggalkan."
Bakar ini adalah anak Kak Tehku. Dia masih kecil lagi pada masa itu. Dia amat manja denganku. Namanya setelah dewasa ialah Abdul Manan.
Sesampai aku di pekan Rembau, ke mana pula hendakku dituju? Sedangkan wang di dalam poket tidak ada. Mahu tak mahu, aku cubalah meminta kerja pada tokeh wayang yang ada bermain di pekan Rembau pada waktu itu. Nama syarikat wayang itu ialah Ibrahim Silva Melati Malay Comic Show of Johol. Pemiliknya bernama Ibrahim. Aku memanggilnya dengan panggilan Pak Berahim sahaja. Wayang kecil ini mempunyai pelakon-pelakon yang diambil dari orang-orang Kuala Lumpur. Permintaa aku untuk berkerja telah diterima oleh Pak Berahim. Abang sepupuku Lakin pula telah bekerja dengan sebuah syarikat bas. Bas masa itu hanya boleh memuatkan tujuh orang sahaja.
Sebulan aku bermain di Rembau, kami berpindah pula ke pekan Rantau. Di sini ramai orang yang kenalkan aku. Ini kerana ayahku pernah berkahwin di Rantau ini. Di sebuah kampung yang namanya Kampung Solok. Dengan isterinya yang di sini ayahku telah mendapat seorang anak laki-laki. Di sini juga ramai waris ayahku yang tinggal. Jadi apabila berlakon di atas pentas selalunya aku akan memakai misai palsu. Supaya orang tidak perasan akan aku. Sungguhpun aku menyamar berbagai cara, pada suatu malam adik kepada abangku di Kampung Solok itu telah datang menonton. Dia telah dapat mengecam wajahku. Dia memberi tahu ibunya. "Yang bermain di atas itu ialah abang Othman, Mak" katanya.
Pada awalnya ibunya tidak percaya. Tetapi setelah permainan tamat, dia telah datang menemuiku di belakang tabir. Barulah ibunya percaya bahawa yang berlakon tadi adalah aku, Othman. Dua bulan bermain di Rantau, wayang ini pun ditutup. Aku bertiga tinggal di Rantau. Pelakon-pelakon yang lain-lain semuanya telah balik ke Kuala Lumpur.
Pada suatu hari tokeh wayang ini, Pak Berahim telah memberi tahu aku bahawa dia akan ke Singapura dengan berjalan kaki. "Engkau macam mana Othman?" tanyanya padaku.
 Oleh sebab aku tak mahu balik ke Kuala Sawah, aku pun bersetuju untu mengikutinya. Turut bersama pergi ke Singapura itu ialah seorang lelaki berbangsa India. Esoknya pada jam 4.00 pagi, kami pun bertolaklah dari pekan Rantau menuju ke selatan dengan berjalan kaki. Aku telah menulis sekeping surat untuk memberitahu Kak Tehku bahawa aku akan ke Singapura. Kami telah berjalan kaki hingga sampai ke Masjid Tanah. Lebih kurang pukul 1.00 tengah hari, kami berhenti di kampung sebelah hilir pekan Masjid Tanah untuk berehat. Setelah berehat sebentar kami teruskan berjalan lagi. Setelah jam 5.00 petang sampailah kami bertiga di pekan Sungai Udang. Keadaan aku masa itu tersangatlah letih. Kakiku sudah tidak betul lagi berjalan. Kebetulan pula, tokeh ini telah bertemu dengan seorang kenalannya. Dia telah membawa kami naik bas hingga ke pekan Melaka.
Malam itu aku tidur di sebuah kedai nasi di Bukit Cina. Pada hari esoknya kakiku sudah tidak boleh berjalan lagi. Kakiku mulai membengkak. Aku hanya boleh berjalan di sekitar kaki lima kedai itu sahaja. Seminggu lamanya kami bertiga mengurut kakiku, barulah aku boleh berjalan dengan betul semula. Pada suatu hari Pak Berahim telah berkata kepadaku, "Esok kita jalan semula menuju ke Johor Baharu,"
Dengan pantas aku menjawab, "Pak Berahim, saya dah tak sanggup lagi berjalan kaki ke Singapura. Biarlah saya tinggal di Melaka ini untuk mencari pekerjaan yang lain."
Setelah berfikir panjang Pak Berahim pun mengambil keputusan untuk pergi ke Singapura dengan menaiki kapal laut. Pada hari yang dia akan bertolak, Pak Berahim telah memajakkan barang-barangnya ke dalam Pajak Gadai. Ia bertujuan bagi mendapatkan wang untuknya ke Singapura itu.
Sebelum sempat membeli tiket kapal, satu suara telah kedengaran dari belakangnya memanggil. "Abang Ibrahim! Abang Ibrahim! Tunggu dulu," bunyi suara itu. Aku bertiga yang sedang berjalan pun terhenti. Rupanya orang yang memanggil itu adalah tokeh wayang juga. Dia mengajak Pak Berahim bermain dalam wayangnya yang telah hampir bankrap di Durian Tunggal. Setelah perjanjian dibuat di antara mereka berdua , aku pun balik ke pekan Melaka. Aku balik untuk menghantar barang-barang ke dalam bilik hotel. Bilik tumpangan yang telah disediakan olehnya. Esoknya kami semua akan berangkat ke Durian Tunggal. Pada malamnya itu aku tidur di Masjid Keling, pekan Melaka. Pada pagi esoknya itu, pagi-pagi lagi kami telah bertolak pergi ke Durian Tunggal. Kami pergi dengan menaiki sebuah kereta. Bersama-sama aku dalam kereta itu ialah tiga orang wanita. Pak Berahim masih lagi tinggal di pekan Melaka. Dia mahu mencari sesiapa yang boleh berlakon dan bermain wayang sandiwara. Pada petang harinya, Pak Berahim telah tiba bersama lima orang pemuda. Malamnya itu mulalah kami bermain wayang sandiwara di Durian Tunggal.
Dua bulan lamanya bermain di situ, perbalahan telah timbul antara aku dan Pak Berahim. Ini adalah disebabkan dia telah menuduhku berhutang dengannya. Pada hal wang itu dia sendiri yang gunakan untuk keperluannya sendiri. Pada hari itu juga aku berhenti berkerja. Aku berhasrat untuk balik ke kampungku. Walaupun Pak Berahim dan yang lain-lain memujuk dan meminta aku bermain pada malam itu, aku tetap tidak mahu. Aku pula pada masa itu boleh memegang berbagai-bagai peranan dan watak dalam lakonan. Orang mudalah katakan! Aku boleh jadi penolong pengarah, aku boleh berlakon dengan membawakan watak jin dan sebagainya. Dengan ketiadaanku maka terpaksalah ditukar perancangan sandiwara pada malam itu. Cerita yang sepatutnya adalah Colorong-Celoreng. Namun ianya tidak dapat dipentaskan. Ditukarkan kepada cerita lain. Esok harinya aku pun bersiap-siaplah untuk balik ke kampungku.
(Bersambung ke BAB 7 - DITUNANGKAN DAN BERKAHWIN)

8 comments:

  1. pandai kak PI, seronok baca pagi2 ni

    ReplyDelete
  2. Sedih pulak baca kisah kali ini
    Inchum dah jadi milik org lain. Bila putus cinta
    Lagi sedih naik basikallah, jalan kaki tak dapat nak dibayangkan dgn bekal 20 sen saja.

    ReplyDelete
  3. INI MSKRIP LAMA KELUAR PAK ENGKU HANA..KAK SHARE TQ

    ReplyDelete
  4. TKSH KAKZAKIE..DUIT 20SEN TAHUN 30-AN BESAR JUGA NILAINYA...TAPI AMAT SEDIH KALA PUTUS CINTA

    ReplyDelete
  5. dah bab 6?? huhu tak sempat nak baca

    ReplyDelete
  6. TKSH DP..MENARIK KISAH LAMA NI DP

    ReplyDelete
  7. Bagusnya kak PI dlm mengarang... subhanallah

    ReplyDelete
  8. hebat... boleh bawa pelbagai watak...

    ReplyDelete

Terima kasih bersama Karyaku...Paridah Ishak. Komen anda amat dihargai... “Semoga Allah SWT akan membalas dirimu dengan kebaikan yang banyak dan semoga Allah SWT akan membalas dengan balasan yang terbaik.”

MyBloglist