Saturday 7 January 2017

KENANGAN INDAH SIRI AKHIR...

ASSALAMUALAIKUM...



SECEBIS KENANGAN MASA LALU (Episod Akhir)
(Parit 13, Sg. Nibong, Sg. Besar)

Kehidupan aku di Parit 13 selama setahun bersendirian amat berbeza jika dibandingkan dengan keadaan atau semasa menetap di Sungai Besar. Kalau di Sungai Besar waktu malamnya banyak aku habiskan dengan pergi Kelab Bunga Raya. Di sini dengan keadaan yang senyap sunyi dan gelap gelita pada waktu malam,
aku biasanya cepat tidur. Pukul 9.30 atau 10.00 malam aku sudah nyenyak tidur. Walau senyenyak mana pun aku tidur, sudah pasti aku akan dikejutkan dengan mimpi buruk. Mimpi berlawan dengan hantu. Memang betullah agaknya rumah ini berhantu. Jikalau tidak mana mungkin, setiap malam aku boleh bermimpi berjumpa dan berlawan dengan hantu.
Dari cerita orang kampung, seorang Guru Besar yang terdahulu,di Sekolah Parit 13 ini, pernah tinggal di rumah ini. Pada suatu hari isterinya telah keguguran. Janin yang belum cukup sifat itu telah ditanamnya di bawah pokok kemboja putih. Kemboja putih itu betul-betul berhampiran tingkap bilik tidurku. Dan suatu perkara lagi, bilik
belakangnya, ruang masuk angin di tingkap semuanya bertutup dengan kain hitam. Kata orang, Guru Besar tersebut mengupah seorang bomoh untuk 'memagar' bilik tidurnya dengan jampi serapah supaya orang kampung tidak dapat menganiaya dirinya serta anak isterinya secara halus.
Perkara aneh memang pernah berlaku pada waktu malam semasa aku tinggal di rumah ini. Bunyi orang berjalan di atas beranda selalu juga aku dengar. Hendak dijadikan cerita, pada suatu malam,sebaik
aku selesai makan malam dan masih di meja makan, aku terdengar bunyi orang mengetuk pintu rumahku. Aku pun mengambil pelita lalu berjalan ke pintu dan terus membukanya. Sebaik pintu terbuka, angin sawah menerpa masuk lalu api pelitaku padam. Keadaan sungguh gelap. Aku jengukkan kepala melihat ke luar beranda. Tidak ada sesiapa pun. Bulu tengkuk aku meremang naik. Cepat-cepat aku tutup pintu. Aku teraba-raba masuk ke dalam rumah, dalam keadaan gelap gelita menuju ke arah dapur untuk mencari mancis api. Setelah pelita dinyalakan aku terus masuk ke bilik untuk tidur dengan perasaan yang berdebar-debar. Yang peliknya kenapa aku tidak bertanya dahulu siapa yang ada di luar itu. Sebaliknya aku terus membuka pintu. Setelah hampir empat bulan lamanya aku tinggal bersendirian, aku sudah mula biasa dengan keadaan. Walau kadang ada perasaan takut yang datang aku lawan dengan kata-kata, "Kalau sudah ditakdirkan aku mati dicekik hantu, tinggal di mana pun aku akan mati dicekik hantu." Kata-kata inilah yang menguatkan semangatku. Berkuranganlah rasa takutku tinggal berseorangan di rumah yang berhantu ini.
Semasa tinggal berseorangan di Kuaters Guru ini, waktu yang paling aku ceria dan seronok adalah pada waktu persekolahan disebelah pagi. Satu lagi waktu ialah masa aku mengajar kelas tambahan pada waktu petang di rumahku. Keadaan akan menjadi riuh dan riang ria. Bila malam menjelma aku kesunyian dan kesepian. Murid-murid aku ini belajar dalam keadaan tidak selesa. Menulis dan membuat kerja latihan dalam keadaan duduk, membongkok dan menjalar atas lantai papan rumahku. Tetapi mereka semua gigih dan rajin belajar. Dan aku bimbing mereka belajar dengan penuh kasih sayang. Namun ada ketika-ketikanya aku garang dan tegas. Aku dapat rasakan betapa seronoknya mereka dapat belajar di bawah bimbingan aku.
Pada masa itu juga hubungan aku dengan gadis Banjar telah terhenti begitu sahaja. Tak tahu macam mana aku boleh hilang minat. Tapi apa yang aku dapat rasakan adalah rasa hatiku sendiri. Aku rasa kalau aku kahwin dengannya jauh sangat aku hendak balik ke kampungnya di sini nanti. Aku rasa Parit 13 terlalu ulu sangat.
Maka dengan itu hubunganku dengan gadis itu tinggal menjadi sebahagian dari sejarah hidupku.
Dalam ramai-ramai murid yang aku ajar dalam kelas tembahan itu, terdapat tiga orang murid yang sangat-sangat aku sayang. Mereka bertiga adalah 'pet student' aku. Aku ingat lagi nama-nama mereka walaupun tidak sepenuhnya. Aku ingat Salasiah, Abd. Latif dan Isnainah. Kami selalu bergurau senda. Macam kawan-kawan. Dan aku pula jenis yang suka menyakat mereka. Salasiah ini anak abang Hassan. Berketurunan Banjar. Isnainah pula aku dah lupa nama ayahnya. Kalau tak silap aku dia keturunan Jawa. Latif pun begitu juga aku tak ingat lagi nama bapanya. Keluarganya berasal dari Kedah. Keturunan Melayu. Mereka ini dan termasuk yang lain-lain yang belajar itu adalah datangnya dari keluarga yang miskin. Ada yang keluarga mereka ini hidup "Kais pagi makan pagi dan kais petang makan petang." Kerana sebab itulah aku beria-ia mahu mereka datang belajar. Aku paksa mereka datang belajar. Aku tahu apa ertinya kehidupan keluarga yang miskin kerana aku datang dari keluarga yang miskin. Pergi sekolah tanpa duit belanja. Kadang-kadang berbekalkan nasi sejuk dan ikan bilis goreng berlada. Dibungkus dalam upih. Minum hanya dari air paip. Pergi sekolah dengan seluar bertampal punggungnya. Kasut yang dipakai tapaknya sudah tembuk. Kalau terpijak air waktu hari hujan basah stokin dan kaki aku. Jadi pengalaman diriku ini mengajar aku untuk mencari kehidupan yang lebih baik. Aku tidak mahu anak murid mewarisi kemiskinan keluarga mereka. Aku suruh mereka belajar rajin-rajin. Supaya mereka boleh lulus dengan cemerlang dalam Peperiksaan Darjah Enam nanti. Kalau mereka lulus cemerlang pasti mereka akan dapat masuk ke sekolah yang elit seperti Sekolah Menengah Dato' Abdul Razak (SDAR), Victoria Institution dan sebagainya. Kalau mereka dapat masuk ke sekolah yang sedemikian pastilah mereka akan berjaya untuk meneruskan pelajaran hingga ke peringkat Universiti. Dan akhirnya tentulah
hidup masa depan mereka akan terjamin.
Dalam tiga orang 'pet student' aku ni, Salasiah yang paling aku sayang. Aku kenal dan tahu ayahnya abang Hassan hidup susah. Hidup kais pagi makan pagi dan kais petang makan petang. Dia sering mengambil upah mengerat padi dan membuat kerja-kerja sampingan yang lain. Abang Hasan tinggal di sebuah rumah usang di tepi parit dan sawah jalan masuk ke Sekolah Kebangsaan Parit 13. Pernah aku menyimpan hasrat untuk membiayai persekolahan Salasiah ini hingga ke peringkat tertinggi. Hingga ke Universiti. Namun aku tak tahu kenapa niat dan hasrat aku itu tidak kesampaian. Mungkin Allah tidak izinkan. Atau tiada rezeki anak murid kesayanganku ini untuk mendapatkan pembiayaan aku. Mungkin ada hikmah di sebaliknya. Hanya Allah sahaja Yang Maha Mengetahui.
Di penghujung tahun 1972, setelah tiga tahun mengajar di sekolah ini, aku memohon untuk ditukarkan balik dan berkhidmat di negeriku. Di sekolah dalam Negeri Sembilan. Aku sudah tidak tahan lagi hidup di sini. Sering kesunyian dan kesempitan wang. Lalu aku meminta borang permohonan tukar dari Guru Besarku. Dalam borang permohonan itu aku tulis segala butiran dengan lengkap serta alasan kenapa aku hendak berpindah. Bila aku hantar borang permohonan itu kepada Guru Besar dan setelah dibacanya, Guru Besar bertanya kepadaku, "Man, apakah ini alasan kamu untuk hendak berpindah itu?" Aku menjawab, "Sebenarnya itu alasannya Cikgu." Mungkin Guru Besar terperanjat dengan alasan yang aku tuliskan dalam borang itu. Alasan yang aku tulis, "Kalau saya tidak ditukarkan kemungkinan besar saya akan mati di sini dengan menggantung diri." Aku terangkan kepada Guru Besar bahawa kalau aku masih tinggal di sini dan sering berjudi dan setiap bulan habis semua wang gaji, apakah tiada kemungkinan aku membunuh diri? Aku tahu Guru Besar amat memahami keadaan kehidupan aku di sini. Dia selalu meminjamkan aku duit. Dia seringmenasihati aku. Bagi aku dia memang seorang guru Besar yang baik. Kalau aku kenang-kenang balik, memang orang yang tidak betul fikiran sahaja yang tulis alasan untuk berpindah yang sebegitu.
Cuti Penggal Tiga, di akhir sessi persekolahan tahun 1972 bermula. Aku telah meminta kebenaran pada ayah Salasiah dan Abd Latif untuk membawa mereka balik bercuti di kampungku. Aku sudah lupa kenapa Isnainah tidak ikut sama. Abang Hassan mengizinkan aku membawa anak dara suntinya ke rumah keluargaku di Kampung Pantai, Seremban, Negeri Sembilan. Begitu juga dengan ayah Abdukl Latif. Betapa gembiranya hatiku dan hati kedua-dua orang muridku itu. Hampir sebulan mereka tinggal bersama keluargaku. Emak, ayah dan adik beradikku. Hari-hari mereka makan masak lemak cili api. Aku tak tahu sama ada mereka suka atau tidak lauk masakan Negeri sembilan itu. Ada waktu-waktu adikku yang bongsu membawa Salasiah berjalan-jalan ke pekan Seremban. Abd Latif pula dibawa ke Seremaban oleh adik lelakiku. Yang aku kesalkan sampai kini ialah aku tak pernah sekali pun membawa mereka berjalan ke mana-mana selama sebulan
mereka tinggal bersama keluargaku. Aku terlalu sibuk dan asyik dengan kerja laraku. Setelah hampir sebulan barulah aku membawa mereka balik semula ke Parit 13.
Terdengar juga olehku akan kata-kata sindiran dari orang kampung. Mereka berborak di kedai kopi tepi jalan keluar di Parit 13 itu.Aku pun ada minum bersama. Kononnya ayah Salasiah telah mendapat bakal menantu seorang guru. Aku tak ambil kisah pun apa mereka cakap. Begitu juga dengan ayah Salasiah sendiri iaitu abang Hassan. Setelah menghantar mereka pulang aku pun balik semula ke kampungku menunggu sehingga awal tahun 1973 untuk kembali ke Parit 13, menyambung tugasku.
Pada hari pertama sessi persekolahan 1973 aku sampai ke sekolah jam 7.30 pagi. Guru Besar menghulurkan kepadaku sehelai surat dari Jabatan Pelajaran Selangor. Surat itu menyatakan bahawa aku telah ditukarkan mengajar di negeriku. Di Sekolah Kebangsaan Nuri, Johol, Tampin. Neegeri Sembilan. Pada tengah hari itu, setelah bersalam-salaman dan bermaafan dengan Guru Besar dan guru-guru yang lain, aku pun bertolak balik ke kampungku. Maka aku tinggalkanlah Parit 13 dengan seribu kenangan yang indah. Pahit dan maung kehidupan aku di sini aku buang jauh-jauh. Aku juga tahu bahawa aku akan merindui anak-anak muridku yang bertiga ini. Hingga kini aku merindui mereka. Aku tersangat ingin untuk bertemu muka dengan mereka. Bertanyakan khabar. Itu sahaja. Hanya Salasiah sahaja yang dapat aku temui. Yang dua orang lagi muridku itu, aku tak tahu apakah mungkin aku akan dapat bertemu muka dengan mereka atau pun tidak. Aku serahkan bulat-bulat kepada untuk menentukan segala-galanya.
Banyak pengalaman yang aku perolehi semasa tiga tahun menetap di Parit 13. Banyak istilah baru yang aku dapat. Perkataan seperti 'meredih'. Di tempat aku di sebut 'mengubah'. Mengubah anak padi dari tapak semaianke dalam sawah. Di sini mereka mengatakan musim mengerat. Di tempatku di panggil musim menuai. Aku pernah dengar perkataan 'wadi'. Macam mana rupa 'wadi' itu aku tak tahu. Aku tak pernah tengok pun. Apatah lagi untuk aku rasa atau makan. Pemandangan orang kampung menangkul ikan (atau 'menangkui' mengikut bahasa percakapan mereka) di parit atau di pintu kunci air akan tetap jadi ingatanku. Hanya yang aku hairan kenapa aku tak mahu belajar cakap Jawa dan cakap Banjar semasa tiga tahun aku tinggal di Parit 13 ini.
Maka berakhirlah kisah kehidupanku di Parit 13, Sungai Nibong, Sungai Besar, Selangor. Sehingga kini aku merinduinya. Namun apa yang membahagia dan membanggakan aku adalah apabila mengetahui bahawa anak-anak muridku yang bertiga ini telah berjaya dalam kehidupan mereka. Abdul Latif telah menjadi Pegawai Tinggi di negeri Kedah. Negeri asal ayah ibunya. Isnainah pula diberitakan menjadi Tukang Jahit yang berjaya perniagaannya.
Salasiah, anak murid yang aku paling sayang itu pula telah menjadi seorang guru. Setelah dia lulus dari Maktab Perguruan Perempuan Melayu, Melaka. Mereka semua sudah berkeluarga pastinya. Salasiah sudah punya cucu. Anak-anaknya seramai empat orang lelaki bersama arwah suaminya dahulu semuanya telah berjaya dalam pelajaran dan kerjaya. Sudah punyai keluarga masing-masing. Aku turut tumpang gembira.
Kampung Parit 13, anak-anak muridku dan sekolah Kebangsaan Parit 13, Sungai Nibong, Sungai Besar, Selangor hingga kini tetap segar dalam ingatanku. Ia menjadi kenangan abadiku. Aku merindui anak-anak murid kesayanganku itu. Untuk mengakhiri 'Secebis Kenangan Masa Lalu' ini aku titipkan dua rangkap pantun:-
Berbagai jenis bentuk perahu,
Temasuk sampan si kayu jati;
Kenangan manis bersama muridku,
Tetap tersimpan di lubuk hati.
Kulihat jelas orang berenang,
Di tali air parit seperti;
Parit Tiga Belas akan kukenang,
Hingga ke akhir hayatku nanti.
TAMAT.

9 comments:

  1. Kenangan sangat mahal nilainya..untuk diingat sepanjang hayat..

    ReplyDelete
  2. kenangan lalu adalah begitu indah bila ia jadi sejarah hari ini

    ReplyDelete
  3. seronok baca kisah dulu2..pengalaman hidup yg akan dikenang sepjg hayat.

    ReplyDelete
  4. kenangan yg boleh membuatkan kita senyum sendiri bila mengingatinya

    ReplyDelete
  5. TKSH PC KENANGAN JADI INGATAN SENTIASA

    ReplyDelete
  6. TKSH IRDA KENANGAN LAMA SEJARAH BAGI YG MERASAINYA

    ReplyDelete
  7. TKSH NOHAS PAK ENGKU MAHU MENGONGSI KISAH HIDUPNYA YG MENARIK DAPATLAH KITA TAHU SERBASIKIT

    ReplyDelete
  8. TKSH KAM..SERONOK JUGA MENGENANG KISAH LAMA NI KAN...

    ReplyDelete
  9. Kenangan yg indah dan berharga... sesuatu yg pasti diingati sepanjang hayat..

    ReplyDelete

Terima kasih bersama Karyaku...Paridah Ishak. Komen anda amat dihargai... “Semoga Allah SWT akan membalas dirimu dengan kebaikan yang banyak dan semoga Allah SWT akan membalas dengan balasan yang terbaik.”

MyBloglist