Tuesday, 31 January 2017

PERCEKCOKAN APAKAH INI...

ASSALAMUALAIKUM...

                                          
     
PERCEKCOKAN APAKAH INI?

Buana sebelah sini
riuh gemuruh seluruh
laksana petir berdentum dentam
mencerahi alam dengan warna dendam
yang hitam
Sakan pergelutannya
bergomol bertendang terajang
sepak menyepak ke sisi jurang
menjatuhkan lalu membunuh
Sebelum terjadi hakiki
berspora tebaran fitnah adu domba
bukan nyata kebenaran diperhitung
mungkin sekadar memperjuang untung
Yang memerhati menggelumut wajah
penuh resah
deria dengar disumbat kapas
berita diserak cuma hampas
Sabar menanti kehendak Ilahi yang pasti
Sujud tawadduk

Paridah Ishak.
Selayang Utama
31/01/017                                                                                                                                                                                                            

Monday, 30 January 2017

MANUSKRIP LAMA SIRI 12...

ASSALAMUALAIKUM..


SEPANJANG JALAN KENANGAN
BAB 12
TAK JERAN PELANDUK DIABU

Agak susah juga hendak kuberikan suratku itu pada Tengku Normah. Dua hari aku berulang alik ke pekan Salak. Tengku Normah tiada langsung kelihatan di bawah anjung rumahnya. Khabar dari kawan-kawanku mengatakan bahawa Tengku Normah telah dibawa pergi ke Kampung Manggis oleh Tengku Said. Dia dibawa pergi ke rumah emak saudaranya.
Jadi pada suatu hari minggu aku telah pergi ke Pekan Sari. Pekan Sri yang terletak di pekan Salak. Waktu akan pergi aku melalui jalan di hadapan rumah Tengku Normah. Maka tampaklah olehku akan Tengku Normah sedang berada di bawah anjung rumahnya. Semasa aku balik, aku campakkan surat itu ke dalam pagar rumahnya. Tengku Normah nampak akan perbuatanku. Aku lihat dia turun dari anjung rumahnya. Tanpa memerhatikannya lagi aku pun terus balik ke rumahku di Bhutan Estate.
Esoknya aku tidak pergi ke pekan Salak. Pada hari itu aku sibuk dengan urusan kerja. Enjin pam air telah dibuka semuanya untuk dicuci dan dibersihkan. Pada petang harinya datanglah seorang budak ke rumahku. Dia datang dengan menaiki basikal dari pekan Salak. Budak itu memberikan kepadaku sekeping surat. “Surat dari Tengku Normah,” kata budak itu. Selepas makan malam barulah aku buka dan membaca isi kandungan surat Tengku Normah itu. Suratnya itu berbunyi....
Kandaku yang dikasihi,
Surat kanda telah dinda baca dengan linangan air mata. Kasihan dinda mendengarkan rintihan hati kanda. Rupa-rupanya kanda telah jatuh sakit dilamun rindu. Wahai kanda, baru saja dua minggu kita berpisah, jiwa kanda telah dilanda resah gelisah. Apakah akan jadinya nanti jika sebulan atau setahun masa akan berlalu.
Oh kanda, betapa pedihnya hati kanda, pedihlah lagi hati adinda. Setelah kejadian malam itu kita jadi terpisah. Dinda telah dihantar oleh Tengku Said ke Kampung Sungai Manggis. Hendak pun dinda menentang kehendaknya, dinda takut akan bertambah marah dan ganas jadinya Tengku Said nanti. Oleh sebab itu juga, kakak-kakak dinda, menyuruh dinda menurut sahaja kehendaknya. Kata kakak-kakak dinda, “Tak apalah hanya untuk sehari dua sahaja. Lepas itu Normah bolehlah balik ke sini.”
Sesampai dinda di Sungai Manggis dunia ini terasa gelap adinda pandang. Adik-adik saudara dinda pun ada yang bertanya pada dinda kenapa dinda kelihatan sugul. Tidak kelihatan riang. Dinda menjawab dengan mengatakan bahawa badan dinda tidak berapa sihat. Setelah lima hari di sana, dinda telah meminta ibu saudara dinda menghantarkan dinda balik ke Salak. Dinda tahu pada hari minggu akan ada Pekan Sari. Dan dinda percaya kanda pasti akan keluar ke Pekan Sari itu.
Kekanda,
Janganlah kanda menyesali peristiwa terjumpanya kanda di dalam bilik dinda oleh Tengku Said itu. Ianya bukan bererti kakak-kakak tidak menjaga keselamatan kanda. Sebenarnya Tengku Said ternampak akan bekas tapak kaki kanda. Waktu kanda naik melalui tingkap serambi malam itu, bekas tapak kaki kanda yang basah itu terus ke tengah rumah. Tengku Said menaruh syak wasangka bahawa kekanda sedang berada di dalam bilik.
Buat diri dinda, apalah daya dinda diwaktu itu. Seluruh tubuh badan dinda berasa seram sejuk. Badan adinda terasa begitu lemah sama sekali. Dalam hati dinda berkata, "Akan terkorbanlah seorang pemuda di rumahku kali ini!" Itulah sebabnya adinda menangis di malam itu. Tetapi setelah dinda mendengar pengakuan kanda yang kanda tidak akan boleh dipengapa-apakan, agak tenang dan lapanglah hati dinda. Dinda tahu dan kakak-kakak dinda pun tahu bagaimana perangainya Tengku Said. Tetapi kakak-kakak dinda hairan akan perubahan sikap Tengku Said pada malam itu. Kakak-kakak dinda percaya kanda mesti mempunyai banyak ilmu di dada.
Kanda kini telah belayar dalam biduk percintaan di lautan kasih. Pandulah biduk kanda ke halaman rumah dinda. Akan dinda sambut dengan ke dua-dua belah tangan. Akan dinda sambut dengan hati dan jiwa yang tenang dan damai. Kanda janganlah takut jika kakak-kakak dinda tidak akan membenarkan kita bertemu. Itu tidak mungkin terjadi. Selagi mereka sayangkan dinda, pasti mereka akan dituruti segala hasrat hati dinda.
Dinda berharap hanya kepada kanda sajalah. Berharap kanda akan menepati kata-kata dan janji yang telah kanda buat. Dinda sentiasa menunggu kehadiran kanda! Ketuklah dinding bilik tidur dinda dan dinda akan turun. Usahlah kanda ragu-ragu akan kasihnya dinda kepada kanda. Kalau kanda mengubati hati kanda yang rindu dendam dengan kain batik pemberian dinda, dinda pula menghilangakan rasa rindu dendam dengan melihat segala pakaian kanda yang ada pada dinda. Di masa akan datang, kalau kanda ingin menemui dinda berhati-hatilah demi untuk keselamatan diri kanda.
Dari dinda,
Normah.
Pada suatu hari aku telah terpaksa pergi ke pekan Salak. Ada latihan sandiwara yang terakhir pada petang hari tersebut. Sandiwara ini akan dipentaskan pada malam hari Temasya Sukan, Sekolah Melayu Salak Tinggi iaitu sedikit hari berikutnya. Judul sandiwara itu ialah 'Telaga Raya'. Aku sendiri jadi pembawa cerita atau Pengarahnya. Di samping itu aku dibantu pula oleh ramai pelakon. Di antaranya termasuklah Tengku Said sendiri. Aku berlakon sebagai Raja Muda dengan pakaian kain layang. Semacam mana yang selalu terdapat dalam cerita bangsawan dahulu kala.
Pada malam itu Tengku Wok dan kakak-kakaknya ada datang melihat persembahan sandiwara itu. Namun kelibat Tengku Normah tiada kelihatan. Lebih kurang jam 10.30 malam cerita sandiwara ini pun tamat. Sambil berehat aku pun duduklah berbual-bual dengan kawan-kawanku di kalangan pelakon semuanya. Setelah jam 11.00 malam, aku pun pergi ke rumah Abdul Rahman. Kebetulan pula rumahnya berdekatan dengan sekolah itu.
Ibu Abdul Rahman adalah seorang ibu yang baik. Dia pernah menasihati aku supaya jangan lagi mendampingi anak raja itu. Tetapi aku tidak dapat menuruti akan kata-kata nasihatnya itu. Setelah diberi minum secawan kopi pahit oleh ibu Abdul Rahman, aku pun beredarlah dari rumahnya. Aku terus pergi ke rumah Tengku Normah. Setelah sampai, aku berilah isyarat pada Tengku Normah dengan mengetuk dinding bilik tidurnya. Dalam seketika terdengar olehku pintu bilik dibuka. Tak berapa lama selepas itu, Tengku Normah pun datang membuka pintu bilik dapurnya. Aku dibawa masuk ke dalam bilik belakang. Masih dengan pakaian wayangku sebagai Raja Muda dalam sandiwara tadi.
Mendengarkan aku datang, wah! dengan serta merta kakak-kakak Tengku Normah bangun. Mereka menerpa masuk ke bilik belakang. Bilik di mana Tengku Normah dan Tengku Wok tidur. Mereka berkata, "Raja Muda datang."
Apabila mereka ramai-ramai mengelilingi aku, aku jadi kebingungan. "Sudahlah," kataku. "Pergilah semuanya tidur. Raja Muda hendak beradu," sambungku lagi.
Mereka semua ketawa. Setelah mereka semua keluar, aku berdua bersama Tengku Normah duduk minum air kopi yang telah tersedia dibuatnya terlebih dahulu. Seolah-olah dia tahu bahawa aku akan datang pada malam itu. Sambil minum kami berbual-bual. Aku telah bertanya pada Tengku Normah.
"Normah.....," kataku.
"Iya...," jawabnya pendek.
"Apalah sudahnya kasih kita ini?" sambungku.
Dengan menundukkan kepalanya Tengku Normah menjawab,"Tak tahulah... Sekiranya kanda mahu marilah kita lari kerana sekiranya di sini kita tidak akan dapat kahwin. Ini barang-barang kemas Nor. Kanda ambil dan gadaikanlah. Setelah siap nanti beri tahu Nor. Kita lari ke Tanah Seberang!" Dia berkata sambil menghulurkan sebuah pot.
Aku ambil dari tangan Normah pot yang berisi barang-barang kemas dari emas perhiasannya. Tidak kurang lima kati beratnya. Aku enggan mengambil dan menggadaikannya.
"Nantilah Nor, akan kanda fikirkan dahulu," kataku sambil memberikan pot yang berisi emas itu kepada Tengku Normah. Setelah hari hampir akan pagi aku dibawa keluar dari bilik Tengku Normah. Aku pun terus pulang ke rumahku di Bhutan Estate. Selepas pertemuan di malam itu aku sering juga ke rumah Tengku Normah. Biasanya hanya di waktu malam hari. Masanya tidak menentu. Normah tidak boleh mendengar suaraku. Bila dia tahu aku datang dia akan turun dari rumahnya serta-merta. Maka terpaksalah Tengku Wok berwaspada. Takut kalau-kalau ditanya oleh orang-orang yang ada di rumah itu ,"Siapa buka pintu?" dan "Apa buat di luar tu?" atau sebagainya. Semuanya akan terpaksa dijawab oleh Tengku Wok. Kini kakak-kakak Tengku Normah telah menggelarkan aku 'hantu'. Aku bukan manusia! Di waktu malam saja datang menjelma.
Pernah kakak Tengku Normah melihat Tengku Said duduk mengendap di bawah rumah sejak waktu senja lagi. Tujuannya untuk menanti dan memerangkap aku. Selalunya bila Tengku Said naik ke serambi, tak beberapa saat selepas itu, aku pun akan sampailah. Ada juga pada ketika-ketikanya, sebaik sahaja Tengku Said menutup pintu, aku pun telah berada di bawah rumah. Kakak-kakak Tengku Normah berasa amat takut jika peristiwa lama terjadi kembali. Peristiwa aku ditangkap oleh Tengku Said dahulu sewaktu berada di dalam bilik Tengku Normah.
Pada suatu ketika satu temasya telah di adakan di Sepang. Ianya bersempenaan dengan perayaan Pertabalan Sultan Selangor. Berbagai acara dan permainan telah diadakan selama tiga hari tiga malam. Termasuklah segala jenis perjudian. Pada suatu malam, setelah tamat perayaan, aku telah pergi ke rumah Tengku Normah. Sebaik berada di sampingnya, Tengku Normah telah menangis. Dia menyembamkan mukanya ke pahaku. Aku bertanya, "Kenapa Nor?"
Dalam esak tangisnya itu Tengku Normah memberitahu aku bahawa barang-barang kemasnya yang satu pot penuh itu dulu telah habis semua sekali terjual. Dijual oleh ayah Tengku Normah sendiri. Ianya berpunca dari ayah Tengku Normah yang telah kalah dalam perjudian di hari perayaan tempoh hari. Tengku Normah kelihatan teramat sedih.
"Sudahlah Nor," kataku. "Itu adalah harta pencarian ayah Normah. Biarlah dia yang menghabiskannya."
Ayah Tengku Normah bernama Tengku Jaafar ini adalah kerabat di Raja Kelang. Dan menjadi Datuk Penghulu di Salak ini. Dia seorang yang kuat berjudi. Banyak harta dan wang ringgitnya dihabiskan dengan sifat buruknya itu. Dia sering kalah dalam perjudian. Inilah yang menyebabkan dia sentiasa berada di dalam kesusahan dan kesempitan wang.
Bersambung...... Bab 13 - BERHENTI KERJA DAN BALIK KE KAMPUNG

Sunday, 29 January 2017

TAHNIAH CIKGU PAUZI...

ASSALAMUALAIKUM...

KONGSI CATATAN WALL FB CIKGU PAUZI MOHD ISA.

AL H A M D U L I L L A H. Terima kasih yang tidak terhingga buat wartawan Sinar Harian, Norhidayyu Zainal. Terima kasih juga kepada pengarang, SdrRidzuan Kamis kerana sudi menemubual saya. Boleh dapatkan Sinar Harian hari ini, 28 Januari 2017 (Sabtu). PMI seadanya. Terima kasih juga kepada teman-teman atas sokongan selama ini. Teristimewa buat sifu saya, Sdr Tabir Alam, banyak ilmu berpuisi yang saya dapat daripada kelas beliau.
Salam puisi nan terindah, serta kepada Karyawan Pk. Terutama presidennya, Tn Hj Dr Zabidin Hj Ismail.Juga kepada teman-teman puisi sekalian. Terima kasih juga buat Pn Norazimah Abu Bakaratas jemputan ke bengkel di Pasir Salak. Alhamdulillah dapat berguru daripada Datuk Prof Rahman Shaari.

PS

PI HANYA MENGENALI PENULIS TERNAMA INI LEWAT FB SAJA...DAN ADA BEBERAPA ANTOLOGI PUISI YANG PI SERTAI TURUT BERPELUANG BERKARYA BERSAMA PENULIS MAPAN INI YANG SENTIASA DAPAT DITEMUKAN KARYA BELIAU DI MEDIA MASSA MAHUPUN MEDIA MAYA.
PADA PI BELIAU ADALAH  SEORANG AKTIVIS SASTERA YANG SANGAT MERENDAH DIRI WALAU AMAT DIKENALI.....PI YANG BUKAN SEIAPAPUN MAHU DITEGURNYA DAN SENTIASA MEMBIMBING PI DALAM PENULISAN HAIKU JUGA SERING MERANGSANG SEMANGAT PI UNTUK RAJIN BERKARYA MENEMPAH JAYA...TAPI BIASALAH PI CUMA BERKARYA SEKADAR SUKA-SUKA DAH MALAS  NAK MERAJINKAN DIRI HEH..HEH..
TAHNIAH KEPADA CIKGU PAUZI MOHD ISA ATAS KEJAYAANNYA DALAM BIDANG SASTERA YANG DIUSAHAKANNYA SELAMA INI ...SEMOGA AKAN SUKSES SETERUSNYA. 

Saturday, 28 January 2017

AL-QURAN..

ASSALAMUALAIKUM...







TAHUN AYAM 2017

ASSALAMUALAIKUM..

SELAMAT TAHUN BARU CINA 2017

PI biasalah kalau pada sebelah pagi sibuk menaip karya sekali terkejut sungguh mendengar letupan mercun yang bertali arus menggamat suasana. Barulah PI tersedar rupanya hari ni adalah hari sambutan CNY.
Selamat menyambutnya dengan meriah kepada saudara-saudara kita senegara dan dimana saja. Terutama kepada adik PI Azlin dan suami juga anak-anaknya. Seorang lagi anak saudara PI juga menyambutnya bersama isteri dan anak-anak kesayangannya

Juga tak lupa ucapannya kepada blogger muda YUN SING

Dalam Negara yang majmuk masyarakatnya, kehidupan yang dikongsi mengikat kita dengan rasa mahabbah kasih sayang dan saling bertolong bantu antaranya. Saling hormat menghormati mengekal keharmonian yang terjalin lama dan turut meraikan perayaan kaum lain ikut batas yang dibenar agama.

Selamat menyambut Tahun Baru Cina
Dengan gembira tanpa sengketa
Kuih bakul limau mandarin
Hidangan lazat jangan dijeling
Tahun ayam membawa rezeki

Rajin usaha semua jadi.

Friday, 27 January 2017

PERBIDALAN BERKIAS...

ASSALAMUALAIKUM...


PANTUN PERBIDALAN


Burung kedidi burung kelicap,
kunjung menggalang di atas atap;
janganlah jadi nakhoda kasap,
penghujung hilang pangkalpun lesap.

Lalu melayah singgah merombak,
siap siaga hinggap di sipi;
terlalu payah dilambung ombak,
tercapai juga tanah yang tepi.

Melangkah pulang hati menduga,
kata bertingkah menyoal rumi;
naik membilang anak tangga,
turun selangkah jejaklah ke bumi.

Indah cuaca awan sejengkal,
lalu kuala ke pelabuhan;
kalau neraca palingan bungkal,
hati pula palingan Tuhan

Thursday, 26 January 2017

QIAMULAIL...

ASSALAMUALAIKUM...

QIAMULAIL



Kusyuk tawaduk bersujud dengan takwa
meluah resah rintih lara
menitiskan air mata dura
kala dinihari sunyi sepi membawa cahaya pelita
menerangi gelita di kuburan
Janji Allah tidak dusta
Segera lepaskan gebar selimut
yang membalut kelesuan jasad
Alam baqa bukan persinggahan
namun perjalanan panjang meniti titian pengadilan
walau sezarah amalan
Juga menggilap senjata malam bersepuh ratib doa kudus
menunduk sujud menciumi sejadah
mengatur aksara indah
hanya kepada Khalik berpasrah
Qiamulail hingga terbuka tabir subuh
Jiwa yang kerdil hindari angkuh
meminta kepada-Nya
segala apa saja

Paridah Ishak
Selayang Utama
26/1/017

Seandainya ingin menggapai kenikmatan bertemu denganNya
Habiskanlah umurmu dengan berzikir dan bertafakur nan Istiqamah
Semoga dengan hal ini kita menegenaliNya
Meski hanya sedikit...
Namun dengan yang sedikit ini
Kita menikmati “kerajaan Besar” yang tiada akhirnya


Ustazah Nurbaya Usman





Wednesday, 25 January 2017

MANUSKRIP LAMA SIRI 11

ASSALAMUALAIKUM...


CORETAN PAK ENGKU
SEPANJANG JALAN KENANGAN
BAB 11

PERANGKAP MENJERUT DIRI

Setelah sekian masa berlalu, lama kelamaan isteriku tercium juga akan kisah aku bermain kayu tiga. Dia telah mendapat tahu bahawa aku sedang bercinta dan mengasihi anak raja ini. Pertengkaran sering berlaku di antara aku dan isteriku. Perselisihan kerap terjadi. Keadaan rumah tanggaku sudah menjadi tidak tenteram. Sudah tidak aman dan bahagia lagi.
Pada suatu pagi hari minggu, aku bersama isteriku telah pergi ke Pasar Minggu. Anak-anak kami tinggalkan dengan Mak Itam iaitu isteri Pak Itam Sadin. Semasa kami balik, kami lalui jalan di hadapan rumah Tengku Normah. Tengku Normah dan kakak-nya ada duduk di anjung rumah. Apabila terlihat Tengku Normah, isteriku telah marah dan naik angin. Dengan perasaan marah dia telah meludah dengan kuat. Menghalakan pandangannya ke arah Tengku Norman.
Aku cuba menenangkannya dengan berkata pada isteriku,"Kenapa buat macam ini. Dia di atas rumahnya, kau pula meludah kuat-kuat ke arahnya." "Biar sakit hati kita, tak apa, jangan sakit di hati orang."
"Ohhh... sakit hati kita tak apa ya? Awak nak menangkan dia kan? Maklumlah buah hati awak." balas isteriku dengan geram.
"Sudahlah.... cukuplah tu" aku cuba meredakan keadaan. Sampai di rumah isteriku masih terus marah-marah lagi. Dari riak air mukanya jelas kelihatan dia masih menyimpan marahnya padaku.
Beberapa hari selepas kejadian itu aku telah pergi menemui Tengku Normah di rumahnya. Tengku Normah telah berkata kepadaku, "Wah isteri kanda telah meludahkan saya, ya?"
Cepat-cepat aku jawab, "Sudahlah. Bukan sakit pun. Itulah senjata orang perempuan."
Oleh sebab Tengku Normah kasih dan cintakan aku, dia pun diam. Lalu kami bercerita akan hal yang lain pula.
Hampir setahun aku di Bhutan Estate, Pak Itam Sadin telah membeli sebuah kereta. Kereta jenis Austin! Keretanya itu diletakkannya di hadapan rumahku. Dengan adanya kereta ini aku pun belajarlah memandu. Akhirnya aku pun sudah boleh memandu kereta tersebut. Seperti biasa aku masih juga lagi pergi ke pekan Salak. Pergi bermain bola dengan pemuda-pemuda kampung. Kadang-kadang dikesempatan yang ada, aku gunakan untuk bertemu dengan Tengku Normah di rumahnya. Hingga jauh malam baru aku balik ke rumah. Isteriku setiap hari menanggung perasaan.
Keadaan rumah tanggaku sudah tidak aman dan bahagia lagi. Setiap pertengkaran akan terjadi. Mungkin kerana itu isteriku telah meminta Pak Itam Sadin supaya menghantarnya balik ke kampung. Aku tidak menghalangnya. Aku begitu senang melepaskannya pergi. Maklumlah iblis telah bermaharajalela di dalam hatiku. Perasaan kasihku pada anak dan isteriku telah hilang. Telah tiada! Perasaan kasih sayangku yang ada hanyalah pada Tengku Normah sahaja. Dialah yang menduduki singgahsana hatiku. Hanya Tengku Normah yang bertakhta di hatiku. Setelah isteriku balik pulang ke kampung, aku pun menggunakan sepenuhnya masa dan kesempatan untuk bertemu dengan Tengku Normah.
Pada suatu petang, sebaik habis bermain bolasepak, hujan telah turun dengan lebatnya. Hingga hampir jam 8.00 malam barulah hujan itu reda. Sebaik hujan reda, aku pun terus pergi menuju ke rumah Tengku Normah. Masa itu keluarga Tengku Normah sedang makan malam di dalam rumah. Apabila Normah terdengar aku datang, dia cepat-cepat keluar ke arah serambi. Dia menyuruh aku naik ke rumah melalui jalan tingkap. Aku memegang kisi-kisi tingkap dan memanjat naik ke atas rumah. Setelah naik, Normah pun membawa aku masuk ke dalam bilik bahagian tengah rumah. Dia menyuruh aku duduk di dalam bilik itu sementara dia pergi melayan keluarganya yang sedang makan. Semasa aku naik tadi, rupanya jejak kakiku yang basah telah tertinggal di atas lantai. Jejak dari serambi hingga ke tengah rumah. Jejak kakiku yang basah.
Sedang semua orang makan, Tengku Normah masuk semula ke dalam bilik untuk bertemu denganku. Kebetulan Tengku Said pun pulang. Dia naik melalui tangga serambi. Dia nampak tanda tapak kaki dari tingkap hingga ke tengah rumah. Mungkin Tengku Said merasa syak bahawa aku ada di dalam bilik dalam rumah itu. Dia terus ke dalam bilik di mana aku berada. Masa itu aku sedang membaca buku. Aku tidak perasan Tengku Said sudah berdiri di pintu bilik. Tengku Normah berdiri perlahan-lahan.
"Tengku Said!" Tengku Normah memberi tahuku.
Aku jadi terperanjat.
Sebaik aku menoleh ke belakang, tangan Tengku Said sudah sampai ke dadaku. Dia mencekak bajuku sambil berkata, "Aku bunuh kau!"
Aku menjawab,"Tengku Said, kalau kau nak bunuh aku, akan matilah aku. Tak apalah adat orang lelaki. Tetapi apa yang akan terjadi kepada saudaramu, Tengku Normah, Tengku fikirkanlah."
Normah berlari keluar. Sekejapan itu juga kakak-kakak Tengku Normah meluru masuk untuk membuat perhitungan.
Tengku Said bertanya padaku, "Berapa kali kau sudah datang ke mari?"
Aku menjawab,"Baru malam inilah."
"Sekarang kau duduk di sini dulu. Nanti akan kubawa engkau keluar." kata Tengku Said lagi. Dia terus berlalu pergi. Sepeninggalan Tengku Said keluar, Tengku Normah dan kakak-kakaknya hanya menangis.
"Matilah awak dibunuh oleh Tengku Said," kata salah seorang kakaknya.
"Chis!" kataku, "Bukan ini orangnya yang boleh dipengapa-apakan. Kakak-kakak semua percayalah!"
"Setitik pun darahku tak akan tumpah di dalam bilik ini Percayalah." sambungku.
Setelah mereka mendengar kata-kataku, kakaknya yang paling tua itu pun bertanya, "Betulkah Othman?"
"Betul," kataku.
Kakaknya pun menambah,"Besok Othman jangan datang lagi ya?"
"Baiklah.." Jawabku.
Tengku Normah terbaring di atas katil. Mukanya pucat lesi. Dengan wajah yang letih lesu ia pun bangun. Dia terus pergi berdiri di muka bilik.
Lebih kurang jam 10.00 malam, orang-orang di serambi sudah tidak ada lagi. Tengku Said pun pulang dari kedai. Dia terus masuk ke dalam bilik dan memegang tanganku kananku. Dia membawa aku keluar mengikut jalan serambi. Semasa melalui pintu biliknya, sempat Normah memberikan aku sehelai kain batik. Kain batik basahan kepunyaannya. Normah menyangka tentulah aku tidak akan dapat berjumpa dengannya lagi.
Tengku Said membawa aku berjalan ke arah halaman rumah. Lepas itu terus di bawanya aku ke jalan raya. Sambil menghantarkan aku pulang ke Salak Tinggi itu, Tengku Said berkata,"Sudahlah Othman. Yang telah sudah ini sudahlah. Bagaimana kasihnya pun Tengku Normah pada Othman dan Othman pula sanggup memberikan hantaran seribu serba satu pun, pernikahan tetap juga tidak akan terjadi. Ini kerana kami berketurunan darah raja."
Aku hanya mendiamkan diri sahaja. Setelah sampai ke pekan Salak Tinggi dia pun melepaskan tanganku. Setelah 15 mini aku duduk di hadapan kedai emak Abdul Rahman, aku berpatah balik semula ke rumah Tengku Normah untuk mengambil basikalku. Basikal yang aku tinggalkan dekat dengan rumah Tengku Normah. Kemudian aku pun baliklah ke rumahku. Seluar bajuku yang basah telah aku tinggalkan di rumah Normah. Seluar dan baju yang aku pakai itu adalah seluar dan baju yang telah aku tinggalkan masa aku ke rumahnya seminggu sebelum itu.
Dua malam berselang, bulan terang menyinarkan cahaya yang cukup terang. Di angkasa kelihatan langit yang membiru. Awan putih hanya sekelompok-sekelompok sahaja. Ianya menambahkan keindahan alam pada malam itu. Aku tinggal keseorangan. Anak-anak dan isteriku masih berada di kampung. Perasaanku melayang ke peristiwa yang telah berlaku. Terngiang-ngiang di telingaku akan kata-kata kakak Tengku Normah. "Tolong jangan datang lagi, tahu!"
Tetapi hatiku tidak pernah mengenal erti takut. Kasih dan cinta tidak mengenal sengsara atau maut. Dalam keadaan aku keseorangan itu, aku terfikir. "Elok juga akau menulis surat pada Normah." Dengannya sudah tentu akau akan dapat ketahui apakah kasih Tengku Normah masih ada padaku atau tidak. Atau apakah ianya terhenti selepas pada peristiwa malam itu. Maka kuambillah sehelai kertas. Lalu aku pun menulis...
Dindaku Normah,
Sungguhpun kanda baru berada sekejap di rumahmu pada malam itu, sudah terjadi hal yang tidak diingini. Dinda berkata dulu, kakak-kakakmu akan menjaga diri kanda. Akhirnya Tengku Said telah dapat juga menemui kanda di dalam bilikmu. Dinda nampaknya seakan tidak bermaya lagi pada malam itu. Setiap detik mengesat air mata. Kakak-kakakmu juga turut menangis. Takut aku akan terkorban di rumahmu pada malam itu.
Normah,
Sejak mula lagi, aku takut untuk mengadakan hubungan denganmu. Aku takut bibit-bibit cinta dan kasih akan tumbuh. Aku pernah gagal dalam percintaan disuatu ketika dahulu. Semasa itu umurku baru meningkat remaja. Namun setelah melalui jurang yang hampir menutup dan memusnahkan riwayat hidupku, akhirnya aku telah dikahwinkan oleh orang tuaku. Dikahwinkan dengan gadis pilihan ibu dan ayahku.
Kekasihku itu pada suatu ketika pernah berjanji akan sehidup semati denganku. Namun oleh kerana masa dan keadaan yang tidak mengizinkan dia telah berpaling dariku. Peristiwa itu sangat-sangat menghiris jantung hatiku. Menjadikan luka yang teramat memedihkan. Banyak air mataku yang telah jatuh keluar. Air mata yang tidak dapat diketahui oleh sesiapa selain dari aku dan kakakku. Aku insaf bahawa cinta bukanlah sesuatu yang mudah untuk diselesai dan dirungkaikan. Cinta akan hanya tamat di harinya kita tidak ada lagi di dunia ini. Sebab itulah telah kukirimkan surat pada Normah pada yang pertama kali dahulu untuk direnungkan. Renungkan demi masa depan hidup Normah.
Tetapi sayangnya, api percintaan telah menyala dan merebak ke dalam seluruh dada Normah. Ianya tidak dapat dipadamkan lagi. Api cinta itu juga yang telah membakar hati dan jiwaku. Kanda tenggelam dalam lautan percintaan dengan Normah. Akan menenggelamkan pula kasihku pada anak-anak dan isteriku.
Sekarang kanda pula telah dihinggapi penyakit rindu. Merindukan Normah! Sehingga segala perkara yang dibuat dalam pekerjaan tidak menjadi dan tinggal begitu sahaja. Alangkah malangnya diri kekanda, dalam tempoh masa umur 25 tahun, telah dua kali kanda dibakar api percintaan. Kini kanda pula yang merana. Termenung sepanjang masa. Runtunan hati kanda tersangat kuat untuk menemui Normah. Namun kakak-kakakmu sudah tidak membenarkan kanda datang lagi. Ditakuti Normah juga berpendapat sama. Tidak mahu kanda datang ke rumah Normah lagi. Ditakuti kedatangan kanda akan menjadikan rumah Normah gelangang pertengkaran antara saudara-saudara Normah.
Oleh itu sedapatnya surat ini akan fahamlah Normah. Kanda kini sedang belayar dalam biduk percintaan yang tak kunjung hilang di lautan kasih yang bergelora. Kasihkan Normah ibarat lautan yang tiada tepinya! Andainya Normah masih menyimpan rasa kasih dan cinta kepada kanda, berilah kanda tahu. Serta tunggulah kedatangan kanda untuk bertemu Normah pada bila-bila masa saja nanti. Perasaan kanda sekarang juga sudah tidak berapa sedap dan tenteram lagi. Cerita kita ini telah sampai kepengetahuan bapa mertua kanda. Mungkin atas alasan ini nanti kanda akan diberhentikan kerja.
Di suasana yang hening dan pilu di hati ini terimalah pantun-pantun kanda buat renungan Normah....
Orang menembak di malam hari,
 Keluang makan buah bidara;
Anak dagang sampai ke mari,
Sepanjang masa menanggung lara.
Orang berakit pergi ke hulu,
Membawa muatan si asam jawa;
Alangkah sakit menanggung rindu,
Apatah lagi jikalau kecewa.
Dari Jawa bawa muatan,
Kain batik dari Cerebon;
Kalau kecewa dalam percintaan,
Masa sedetik kurasa setahun.
Adinda Normah, masihkah dinda ingat akan kain batik pemberian dinda pada malam peristiwa itu?
Kain batik adinda beri,
Di waktu malam hari berlalu;
Hanya itulah penawar hati,
Untuk mengubat hatiku nan rindu.
Dinda Normah, sekarang ketahuilah dinda yang kanda sedang menanggung perasaan rindu. Perasaan rindu kepada dinda. Hanya kutumpahkan segala harapan kepada dinda. Semoga kanda tidak kecewa. Hingga setakat sini dahulu surat kekanda kepada Normah. Kanda sudahi dengan ucapan kasih sayang. Kasih sayang yang tak akan terpadam sepanjang masa terhadap dinda.
Kanda yang malang,
O. B.
(Othman Bhutan)
(Bersambung ke BAB 12 - TAK JERAN PELANDUK DIABU)

JOM BERBALAS PANTUN...

ASSALAMUALAIKUM...

JOM BERBALAS PANTUN DENGAN SIFU TABIR ALAM...

Image may contain: text

Keladi perang merias bendang,
      semai telepuk lama berakit;
padi seberang seluas pandang,
      gemai di kepuk cuma sedikit .

jawapan pantun 2

Melarik umai sipi tersepuk,
      makanan panas Muara Tuang;
mengirik gemai di tepi kepuk,
     disimpan bernas hampa dibuang


Tuesday, 24 January 2017

OBSESI...

ASSALAMUALAIKUM...

OBSESI

Melampaui perkiraan sebenar
dengan alasan membenarkan segala cara
meski mengelirukan faham dengan pengadilan
menurut pertimbangan mizan kebenaran

Namun begitulah metamatika keinginan
mempersoalkannya bagai fitnah nista
Leta jelata terkedu manafsir

Bicara lunak diolah
Konon dengan kebenaran yang meninta bukti
disenarai pasti
berbunga riak diharumi kemegahan
mengirai lagu obsesi ragu
mengeliru merisaukan
Jelmaan keputusan

Seharusnya mengolah perubahan
sebening harapan
Yang dipertaruhkan


Paridah Ishak
Selayang Utama
24/01/017


Monday, 23 January 2017

MANUSKRIP LAMA SIRI 10...

ASSALAMUALAIKUM...

CORETAN PAK ENGKU
SEPANJANG JALAN KENANGAN
BAB 10
MATA BERTENTANG MATA
Pada malam yang telah dijanjikan itu, lebih kurang jam 8.00 malam, aku sudah berada di Salak Tinggi. Sebelum pergi ke rumah Tengku Normah aku singgah dahulu di rumah kawanku Abdul Rahman Tahir. Aku memberitahu dia bahawa aku hendak pergi ke rumah Tengku Normah. Kawanku itu tidak berkata apa-apa. Selepas itu aku pun turun dari rumah kawanku dan terus menuju ke rumah Tengku Normah. Tepat jam 9.00 malam aku sudah berada di belakang rumah Tengku Normah. Aku berdiri di bawah cahaya bulan yang cahaya samar-samar. Cahaya yang tidak berapa terang.
Pada waktu itu aku memakai baju kemeja putih, baju panas kain flannel hijau dan berkain sarung. Dengan lampu suluh yang aku bawa aku memberi isayrat. Dari isyarat lampu suluh aku itu, Tengku Wok telah tahu bahawa aku sudah berada dalam kawasan berhampiran dapurnya. Tiba-tiba Tengku Wok bersuara dengan agak kuat, "Nanti dulu!" katanya. Lebih setengah jam aku di situ barulah Tengku Wok bersuara semula, "Datanglah dekat", katanya. Pada mulanya aku merasa takut juga. Takut kerana mereka ada saudara lelaki. Tiga orang semuanya iaitu Tengku Ismail, Tengku Said dan Tengku Murad. Mereka ini semua bersaudara dengan berlainan ibu. Sedangkan Tengku Normah hanya ada dua beradik iaitu dia dan kakaknya Tengku Wok. Mereka berdua ini satu ibu. Dua orang lagi kakaknya adalah juga berlainan ibu.
Setelah aku berada di hadapan pintu dapur sebelah hulu rumah, daun pintunya pun dibuka dengan perlahan-lahan. Dalam samar-samar cahaya bulan itu kelihatan seorang gadis berjalan keluar. Aku mengagak dia itulah Tengku Normah. Dia keluar dengan menundukkan kepalanya. Disebabkan dia tidak berkata apa-apa, maka aku pun memulakan bicara.
"Tengku, apa hajat Tengku memanggil patik ke mari?" soalku. Dengan lekas dia datang mendekati aku lalu berkata, "Bukankah saya telah beritahu, jangan menggunkn perkataan yang sebegitu? Janganlah nak bertengku-tengku dan berpatik-patik."
"Baiklah.." jawabku pendek. Dalam suasana yang hening itu dan di bawah sinar bulan yang samar-samar, aku dan Tengku Normah banyak mendiamkan diri sahaja dari berkata-kata. Mungkin lidahku dan lidah Tengku Normah, kelu untuk bersuara.
Setelah hampir setengah jam berlalu aku bersama Tengku Normah maka aku pun berkata, "Sekarang hajat Normah telah saya tunaikan. Normah kata ingin berjumpa dengan saya. Walaupun sekelip mata jadilah. Sekarang sudah hampir setengah jam Normah berada bersama saya. Izinkanlah saya balik dulu."
Sebaik habis aku berkata Tengku Normah lantas menjawab, "Sampainya hati kanda hendak balik selekas ini?"
"Bagaimana nanti kalau terjumpa oleh saudara-saudara lelakimu ketika kita sedang berdua-duaan sebegini? Apa akan jadi nanti?" balasku.
Tengku Normah terus berlari masuk ke dalam rumah menemui kakaknya Tengku Wok. Seketika dia keluar semula. Tengku Normah datang menghampiriku. Lantas dia berkata, "Tidur sini, ya?"
Dengan lekas aku menjawab, "Tidak Nor. Nanti diketahui orang. Lain kali sahajalah. Biarlah kanda balik dahulu buat malam ini."
"Tidak boleh!" pintasnya. "Kalau sampai hati kanda hendak balik, baliklah," sambung Tengku Normah lagi. Selepas berkata-kata itu Tengku Normah masuk semula ke dalam rumah. Apabila dia keluar balik, tanganku terus dipegangnya. Dia menarik aku masuk ke dalam rumah itu melalui pintu dapur. Aku terus dibawa ke dalam sebauh bilik. Bilik itu bilik Tengku Normah. Setelah berada di situ, kakak-kakaknya pun datanglah masuk sama ke dalam bilik itu.
Salah seorang kakaknya berkata. "Inilah rupanya ya orang Bhutan Estate!"
"Iya.. Inilah dia orangnya yang keturunan Nepal itu," jawabku.
 Mereka pun ketawa beramai-ramai. Kemudian Normah memberi isyarat kepada kakak-kakanya supaya tidak bercakap lagi. Setelah dua kakaknya keluar maka tinggallah aku, Tengku Normah, Tengku Wok dan kakak iparnya.
Tiba-tiba Tengku Wok berkata, "Othman, apakah ubat guna-guna yang telah Othman kenakan pada Normah?"
"Demi Allah tidak ada ubat guna-guna yang saya kenakan pada Tengku Normah, Tengku," jawabku.
"Mana boleh?" Sambung Tengku Wok lagi. "Telah sekian lama Normah menanggung perasaannya. Sebulan yang lalu, makan dan minum pun tidak dihiraukannya. Setiap hari asyik menunggu Othman lalu di hadapan rumah ini."
Dia menambah lagi "Rambutnya pun tidak bersikat. Kami semua sangat kasihan melihat penanggunggan Normah selama ini."
"Sebab itulah telah kuberi surat pada Othman. Meminta Othman agar sudi datang ke rumah ini. Datang untuk menemui Normah dengan tidak boleh tidak. Untung-untung dia akan pulih dan baik semula seperti sediakala." Sambung Tengku Wok lagi.
"Tengku," kataku, "Saya berkata benar kepada Tengku. Saya tidak ada berbuat apa-apa kepada Tengku Normah. Saya sedar saya ini anak dagang. Masakan ada orang yang mahu menumpahkan kasihnya pada saya." "Apatah lagi dari kerabat-kerabat Tengku", sambungku lagi.
"Saya tidak berani mendahului sesuatu. Saya takut diri saya akan terancam. Tengku percayalah cakap saya." pintaku pada Tengku Wok.
"Sudahlah", kata Tengku Wok. "Sekarang Othman sudah ada di sini. Berceritalah dengan Normah." Ujar Tengku Wok lagi.
Tengku Wok dan kakak iparnya pun tidur di atas katil di dalam bilik Tengku Normah itu. Aku dan Tengku Normah duduk di bahagian sudut bilik. Duduk di bawah sinaran lampu pelita. Aku berbual-bual dengan Tengku Normah. Aku bertanya padanya, "Apakah mulanya maka boleh terjadi hal yang sebegini?"
"Nor pun tak tahu", jawabnya. "Cumanya hati Nor mungkin tak mahu mengikut kata," katanya lagi.
Tengku Normah menyambung ceritanya lagi, "Semuanya bermula selepas temasya sukan di Sekolah Salak. Pada malam selepas sukan itu bukankah ada sandiwara. Kanda yang berlakon di atas pentas pada malam itu. Nor ingat lagi ceritanya iaitu 'Topeng Hitam'. Sejak detik itulah Nor mula terpikat dengan kanda. Kemudian diikuti pula dengan pementasan sandiwara seminggu sekali yang diadakan pada waktu malam itu." Sambung Normah lagi, "Dari hari ke minggu wajah kanda tak boleh hilang dari pandanagan mata Nor. Bila Nor termenung, air mata Nor akan bergenang di kelopak mata. Ianya akan terus menitik dan berderai membasahi pipi. Hati Nor telah dilanda rindu. Rindu pada kanda!" "Bila kanda lalu untuk ke pekan Salak, Nor akan perhatikan. Tiada orang lain lagi di hati Nor pada ketika itu hnaya kanda seoranglah." katanya lagi. "Nor rasa kalau kanda tak mahu datang menemui Nor, pasti akan parah lagi sakit Nor ini. Mujurlah kanda mempunyai perasaan belas kasihan terhadap Nor," kata Tengku Normah lagi sambil merebahkan kepalanya ke bahuku.
Tiba-tiba kedengaran jam di rumah Tengku Normah berbunyi empat kali. Teng, teng, teng, teng! Ia menandakan waktu sudah jam empat pagi. Aku tersentak dari lamunan. Aku terpaksa berkerja pada jam 5.00 pagi. Oleh itu aku pun berkata, "Normah, izinkanlah kanda balik. Hari pun sudah jam 4.00 pagi. Rasanya sebanyak sedikit rindu di hati Nor telah terubat."
Normah terus bangun dari duduknya. Dia membawa aku keluar melalui dua tiga pintu. Aku pun tidak tahu pintu arah jalan ke mana. Inilah kali pertama aku masuk ke dalam rumahnya. Setelah berada di pintu dapur Normah memegang tanganku erat-erat. Seolah-olah tidak mahu melepaskan aku pergi. Dalam keadaan ini aku terasa titik air mata yang panas menitis ke tangan kananku. Tangan kiriku meraba pipinya. Rupannya Tengku Normah menangis.
"Kau menangis Normah?" soalku. "Apakah yang menyinggung perasaan Nor? Atau mungkinkah Nor telah menyesal agaknya bertemu dengan kanda?" tanyaku lagi.
"Tidak!" Jawabnya pantas. "Cuma Nor rasa sedih, kerana baru sahaja dapat menemui kanda kita sudah terpaksa berpisah kembali." "Nor merasa sangat bertuah yang kanda telah dapat datang ke rumah Nor pada malam ini. Kanda datang kerana kasihankan Nor yang menanggung sengsara selama ini," sambungnya lagi.
"Boleh jadi sampai disini sahajalah yang kita dapat bertemu. Ini kerana semua yang lain telah pergi ke Kampung Manggis. Dan Nor juga harus pergi ke sana," sambung Tengku Normah dengan sedu-sedannya.
Sambil mengusap air mata di pipi Normah, aku pun menjawab. "Sudahlah Nor. Usah menangis lagi. Hanya kanda harap kasih Nor kepada kanda tak akan berubah sampai bila-bila. Soal bertemu, bila-bila masa pun kanda boleh datang menemui Nor. Usahlah Nor bimbang. Kanda tetap akan datang asalkan Nor sudi menunggu kedatangan kanda nanti."
"Kalau Nor tak sudi takkanlah Nor buat begini." balas Normah kembali.
"Baiklah jikalau begitu. Izinkanlah kanda balik dahulu," kataku.
Dengan perlahan-lahan Tengku Normah melepaskan tanganku. Selepas tanganku dilepaskan aku pun berlari-lari anak ke tempat letak basikalku. Dengan tergesa-gesa aku berkayuh balik ke Bhutan Estate untuk menyiapkan enjin pam air. Pada waktu siangnya hari itu aku merasa tersangatlah mengantuk. Selepas menjalankan enjin pam air, aku pun tak sedar akan bila kalanya aku telah tertidur. Masa aku tertidur itu, Tuan Pengurus Ladang telah datang. Dia telah memberitahu Pak Itam Sadin tentang aku tidur pada waktu kerja itu.
Pada waktu petangnya, Pak Itam Sadin bertanya padaku akan kejadian itu. Aku hanya mendiamkan diri. Tidak lama selepas itu isteri dan anakku pun baliklah ke Bhutan Estate sebab telah lama berada di kampung.
(Bersambung ke... BAB 11 - GELORA MEMBADAI HIDUPKU)

KENALI PUISI TANKA..

ASSALAMUALAKUM...



TANKA : Bentuk sajak yang lain dalam sastera Jepun, mempunyai 31 patah kata, terkumpul dalam lima baris. TANKA terutama menyanyikan kasih ( bisa horizontal maupun vertical ), sambil haiku terutama melagukan musim tahun.(5-7-5-7-7). dalam perkembangannya, TANKA sedikit melongarkan masalah suku kata/syllable dalam konteks-konteks tertentu ( walau dalam hal ini masih terjadi pro dan kontra diantara pelaku sastra ).

Usianya lebih tua dari Haiku, namun puisi jenis ini kurang begitu dikenal disbanding Haiku. Puisi ini sendiri diperkirakan ada sudah sangat lama. Puisi dibuat biasanya sebagai sebuah penanda akan sebuah peristiwa yang telah terjadi. Tanka lebih panjang dari Haiku. Biasanya bercerita tentang perasaan yang dialami pengarangnya sewaktu menulis, bisa itu bahagia, sedih, berduka, atau rasa syukur, tapi rasa senang biasanya yang sering ditulis. Temanya sendiri hampir tidak jauh berbeda dengan Haiku. Bisa alam dan kehidupan sehari-hari.
 Rosebook.org

(2) PATRUN
Tanka dibina dengan 5-7-5-7-7, teridiri dari 31 on-ji (atau disebut secara umum sukukata).
(3) CATATAN
Seeloknya sebuah Tanka diiringan sedikit catatan kisah yang telah berlaku sebagai rujukan.

Tanka #1
Jiran sebelah
sering tolong menolong
tiap kesusahan
tanpa harap balasan
erat silaturahim


Jiran-jiran di kejiranan saya sangat baik dan sering membantu setiap kesusahan saya dan saya mengangap mereka persis saudara saya sendiri. 

Saturday, 21 January 2017

MANUSKRIP LAMA SIRI 9...

ASSALAMUALAIKUM..


SEPANJANG JALAN KENANGAN
BAB 9
BENIH CINTA TUMBUH KEMBALI
Dari hari telah ke minggu dan dari minggu hinggalah ke bulan. Keadaan gadis ini tidak berubah. Disuatu petang, sedang aku lalu di situ, seorang budak telah menahan aku. Dia memberikan kepadaku sepucuk surat. Hatiku berdebar-debar apabila menerima surat itu.
"Surat apakah ini", tiba-tiba hati kecilku berkata. Lalu aku pun meneruskan perjalananku. Sampai di suatu tempat yang agak lapang dan sunyi aku berhenti. Kubuka surat itu. Surat itu rupanya datang dari seorang yang bernama Tengku Wok. Surat itu berbunyi...
Encik Othman,
Mahukah Othman menolong aku? Sekiranya Othman mahu, silalah datang ke rumahku pada malam Ahad ini. Adikku Tengku Normah tersangat ingin menemui Othman. Sebilangan hari dia duduk di atas rumah di bawah di tiang anjung, menunggu Othman lalu. Makan minum tidak dihiraukannya. Apabila Othman telah lalu barulah dia tinggalkan tiang anjung itu. Kasihanilah pada Tengku Normah, Othman. Untung-untung dengan kedatangan Othman ianya akan menjadi penawar kepada adikku kelak.
Yang benar,
Tengku Wok.
Telah habis kubaca, surat itu kulipat. Kemudian aku masukkan ke dalam saku seluarku. Sambil berjalan ke pekan Salak aku terfikir akan sesuatu. Apakah anak raja ini rindukan aku? Ah, tak mungkin, kata hatiku. Masakan terbau langit oleh anjing!
Waktu petangnya aku pun balik ke rumahku di Bhutan Estate. Sebaik sampai di hadapan rumah Tengku Jaafar, gadis itu melambai-lambaikan lagi sapu tangannya. Lambaian yang penuh lemah gemalai. Kepalanya disandarkan ke jenang tingkap tempat dia berdiri. Aku berlalu dari situ dengan seribu satu perasaan yang berkecamuk di dalam hati. Perasaan yang menghantui aku hingga aku sampai ke rumah. Setelah aku berehat pada waktu malamnya, aku pun mengambil keputusan untuk membalas surat Tengku Wok. Lalu kutulis…..
Tengku Wok,
Sesudah aku baca surat Tengku, alangkah belasnya rasa di hati ini. Kasihan rasa di hatiku bila mengenangkan adik Tengku telah mengidap penyakit yang sebegitu. Tetapi kenapa pula kepada anak dagang ini Tengku mengadu? Apakah penyakit yang telah menghinggapi adik Tengku itu? Namun untuk datang ke rumah Tengku, berat rasa hatiku kerana jemputan ini bukanlah dari orang yang sebenarnya. Oleh itu bersabarlah! Nantilah, akan kufikirkan habis-habis dahulu.
Salam dariku,
Dagang perantau.
Othman Bhutan.
Selepas kutulis surat itu aku lipat lalu aku masukkan ke dalam sampul. Pada petanga itu seperti biasa aku pergi ke pekan Salak. Sewaktu aku melalui jalan di hadapan rumah Tengku Jaafar aku campakkan surat itu ke dalam pagar rumahnya. Kebetulan gadis itu berada di bawah pohon kelapa di tepi pagar rumah. Aku pun terus berjalan ke pekan Salak. Pada masa aku balik, aku pandang ke arah tingkap yang selalu itu. Di tingkap itu tiada sesiapa lagi.
Dua hari berselang. Pada petang hari ketiga aku keluar seperti biasa. Aku berhenti duduk di atas sebuah jambatan besi. Jambatan itu terletak di sebelah kanan rumah Tengku Jaafar arah ke pekan Salak. Tiba-tiba seorang budak datang mendekatiku. Dia menghulurkan sekeping surat kepadaku sambil berkata, "Tengku Normah suruh beri kat abang."
"Baiklah," jawabku ringkas.
Budak itu pun berlalu dari situ. Surat yang aku pegang itu tersangatlah harum baunya. Menyeramkan bulu romaku! Surat itu aku bawa balik ke rumah. Sesudah aku mandi dan bersalin pakaian, aku duduklah dekat sebuah meja. Aku ambil surat tadi. Degupan jantungku terasa kuat. Hatiku rasa berdebar-debar. Lalu sampul surat itu aku buka. Di dalamnya tedapat sehelai sapu tangan berwarna merah jambu. Sapu tangan yang pernah dan selalu aku lihat. Sapu tangan yang sering gadis itu lambai-lambaikannya padaku semasa aku lalu di hadapan rumahnya setiap petang itu. Aku pun mengambil sapu tangan yang harum semerbak itu. Perlahan-lahan aku buka suratnya. Aku lihat tanda tangan di akhir surat itu ialah Tengku Normah. Suratnya berbunyi...
Kekanda Othman,
Sungguh lama aku memendam rindu. Aku sendiri pun tak tahu kenapa. Aku merindui kekanda! Aku telah bertanya kepada budak-budak di sini siapa nama kanda yang sebenar. Selepas surat kanda kepada kekanda Tengku Wok kubaca, lapanglah rasanya dadaku. Nama kanda itu adalah betul.
Kandaku,
Agak ramai pemuda yang yang lalu berulang-alik di hadapan rumahku. Namun hatiku tetap seperti biasa. Kepada kanda aku alami perasaan yang sangat berlainan. Selama tiga bulan perasaan ini kupendam. Akibatnya keadaan telah menjadi bertambah buruk. Aku merana berterusan. Merana! Merana kerana rindukan kanda. Kepada siapalah akan kuperkhabarkan. Kepada siapakah hendak kuceritakan! Sedangkan kanda tetap berulang-alik lalu di hadapan rumahku. Sekali-sekala melemparkan pandangan ke rumahku.
Aduh bisanya penyakit ini kekanda. Hanya Tuhan sajalah yang dapat mengetahuinya. Setelah tidak terdaya lagi menahannya, aku khabarkan kepada kakak-kakakku. Mereka memberi nasihat supaya aku melupakan kanda. Namun ianya tidak memberi kesan sedikit pun.
Kandaku,
Tolonglah siramkan setitik embun kasih agar derita yang bersemarak dalam hatiku ini dapat berkurangan. Curahkan sedikit air kasih sayang agar pohon yang layu akan segar kembali. Sekian lama aku menanggung perasaan. Untukku hilangkan amat sukar sekali. Hendakku dibiarkan, mungkin akan meranalah hidupku ini selama-lamanya. Kanda, temuilah dinda pada malam minggu ini nanti. Aku akan menunggumu di belakang rumahku. Aku berharap rinduku yang terpendam selama ini pada kanda akan menjadi berkurangan.
Akhir sekali, tunaikanlah harapan dariku ini. Kuharap kanda tidak akan menghampakannya. Kalau tidak, aku akan terus tenggelam dan karam dalam lautan rindu. Merindukan kanda!
Dari dinda,
Normah.
Sehabis sahaja kubaca suratnya, perasaan kasihan dihatiku serta-merta datang. Aku mengeluh! Bisik hati ke"Kenapalah anak raja ini jatuh hati padaku?" "Tak apalah..," kata hatiku. "Akan kucuba menyelami lubuk hatinya. Sejauh manakah kasih sayangnya padaku. Atau pun dia hanya berpura-pura.”
Selepas surat dari Tengku Normah itu kubaca, lalu kuambil sehelai kertas. Aku pun mulalah menulis. Menulis surat balasan kepada surat yang telah dikirimkan oleh Tengku Normah kepadaku petang tadi. Suratku berbunyi….
Tengku Normah,
Mengapakah harus jadi begini? Sudahkah Tengku berfikir habis-habisan? Tengku renungkanlah baik-baik agar penyesalan tidak akan mengikat jiwa Tengku di akhirnya nanti. Tidakkah Tengku mengetahui bahawa Tengku adalah anak orang yang berada dan berketurunan darah raja? Sedangkan saya adalah orang kebanyakan. Apalah yang ada pada kumbang idaman Tengku ini. Rupa tiada. Apatah lagi wang ringgit, tidak pernah kecukupan. Kalau budi bahasa pula, belum pernah saya berikan kepada Tengku.
Ya, sekali lagi saya berharap, renungkanlah nasib Tengku yang akan datang jika hidup bersama saya. Sesudah itu, hilangkalah perasaan yang Tengku pendam terhadap saya selama ini. Mudah-mudahan Tengku akan kembali seperti sediakala. Saya akhiri surat ini dengan serangkap pantun...
Buah duku selasih dani,
Jual serbat di tepi jalan;
Tengku berkasih dengan kami,
Menjatuhkan darjat dirimu tuan.
Tengku Normah, saya harap Tengku tidak berkecil hati. Lupakanlah saya yang buruk ini. Semoga Tengku berada di dalam kesejahteraan setiap masa.
Dari saya,
Dagang Merantau
O.B.
(Othman Bhutan)
Pada esok petangnya aku ke pekan Salak seperti biasa. Sesampai di hadapan rumah Tengku Jaafar aku berikan surat itu kepada seorang budak untuk disampaikan kepada Tengku Normah. Lepas itu aku terus ke pekan Salak. Pada petangnya, waktu aku akan balik, aku lihat Tengku Normah menyandarkan bahunya ke jenang tingkap. Wajahnya begitu sayu. Sedih hatiku melihatnya. Aku meneruskan perjalananku balik ke rumah.
Selepas makan malam, aku berbaring seorang diri. Isteri dan anak-anakku masih di kampung lagi. Anakku Ramlah masih belum lagi sembuh dari sakitnya. Mataku tak dapat hendak dilelapkan. Fikiranku melayang jauh ke rumah Tengku Normah. Dan bila mataku hampir hendak terlena, seolah-olah terbayanglah wajahnya yang lesu dan tangannya yang melambai-lambaikan tuala merah jambu itu. Aku terjaga kembali. Hatiku berkata, "Apakah aku akan menanggung rindu sekali lagi?"
Entah bila mataku terlelap aku pun tak pasti. Tahu-tahu, Pak Itam Sadin sudah datang mengejutkan aku dari tidur. Waktu sudah jam 6.00 pagi rupanya. Aku bergegas pergi ke tempat rumah enjin. Aku hidupkan enjin itu. Setelah enjin dihidupkan, barulah aku mandi dan bersalin pakaian kerja.
Sepanjang hari itu hatiku diselubungi oleh berbagai-bagai perasaan. Aku sangat kasihan mengenangkan penanggungan Tengku Normah. Ini adalah kerana aku pernah merasakan dan mengalaminua di suatu waktu dahulu. Perasaan hati yang sering merindu pada seseorang yang amat kita kasihi. Dua hari kemudian, aku keluar lagi ke pekan Salak seperti biasa. Aku ternampak seorang budak meletakkan surat di tepi jalan. Diletakkan di tepi jambatan berhampiran dengan rumah Tengku Normah. Budak itu memberikan isyarat tangan. Dia menyuruh aku mengambil surat itu.
Aku berpura-pura berhenti melihat basikalku dan terus mengambil surat itu. Rupa-rupanya Tengku Normah ada memerhatikan dari hujung jendela anjung rumahnya. Aku pun menaiki basikalku semula dan terus mengayuhnya arah ke pekan Salak. Tidak berapa lama berada di pekan aku balik semula ke rumahku di Bhutan Estate. Aku terpaksa balik segera kerana hatiku sangat ingin mengetahui apakah isi kandungan surat Tengku Normah kali ini. Sebaik sampai di rumah suratnya aku buka. Bau harum suratnya menusuk ke dalam rongga hidungku. Harum yang menikam masuk ke dalam benakku. Dengan perasaan yang tidak tentu arah dan bergelora aku baca surat itu. Surat Tengku Normah berbunyi…
Kandaku yang kukasihi,
Dinda berharap janganlah kanda menulis dengan menggunakan panggilan Tengku lagi. Gunakanlah Normah sahaja. Tiadalah indahnya gelaran dan darjat jikalau kehidupan tidak seberapa.
Oh kandaku!
Sampainya hati kandaku menyuruh dinda melupakannya saja kanda. Membiarkan rindu dendam dinda terhadap kanda yang selama ini dinda tanggung. Kasih tidak memilih pangkat dan darjat. Cinta juga tidak memilih paras rupa, kanda! Walaupun dinda telah cuba untuk melupakan kanda namun air mata ini terus gugur bercucuran membasahi pipi dinda.
Kutatap pantun kanda. Semakin bertambah rindu hati dinda ini. Kanda seakan-akan tidak percaya penanggungan dinda selama ini. Sekiranya boleh dinda menahannya penanggungan ini masakan Kak Wok akan mengirimkan surat yang terdahulu itu kepada kanda.
Wahai kanda, berikanlah sedikit masa untuk dinda berjumpa dengan kanda. Kalau tidak pun, dapat bertemu barang sesaat pun jadilah. Akan dinda jadikan cermin kenangan selama hidup dinda nanti. Berilah dinda kesempatan menyampaikan hasrat rindu dinda di hadapan kanda. Akan terhapuslah segala rindu dinda selama ini. Dan kalau dinda mati pun selepas itu tidak mengapalah. Relalah dinda.
Mungkin kanda takut akan keselmatan diri kanda. Dinda berjanji kalau kanda diapa-apakan dan tercedera, akan kugalangkan badanku ini. Lagi pun kakak-kakakku telah berjanji untuk melindungi kanda. Mereka telah sepakat kerana kasihankan dinda yang menanggung lara.
Sudah tiga bulan lebih dinda tak tentu makan dan minum. Setiap masa hati ini ingin melihat wajah kanda dari dekat. Sebab itulah dinda sentiasa berada di bawa anjung rumah menunggu kanda lalu. Apabila telah terlihat wajah kanda barulah terhibur sedikit hati dinda.
Kanda tentu tahu di mana dinda berada setiap petang. Sewaktu kanda lalu pergi ke pekan Salak dan semasa kanda balik. Dua hari berlalu. Dinda tidak dapat melelapkan mata. Badan dinda tidak sesihat dahulu. Mungkinkah kesihatan dinda akan terus terganggu? Janganlah biarkan dinda merana kerana dihinggapi penyakit rindu ini. Kasihanilah dinda wahai kandaku. Tunaikanlah hasrat dinda ini walaupun untuk sekejap masa. Jam 9.00 malam, hari Khamis ini adinda akan menunggu kedatangan kanda.
Selasih muda tepi permatang,
Petik mari di pagi minggu;
Kalau kasihan silalah datang,
Agar terubat hatiku yang rindu.
Yang menanggung rindu,
Normah.
Selesai kubaca surat dari Tengku Normah itu, terbayanglah kisah sedih diriku yang pernah kualami sewaktu-waktu dahulu. Penaggungan batinku di masa yang lampau. Masa aku berpisah dengan kekasihku Inchum. Perasaan kasihan menjalar ke dalam hati dan sanubariku. Lalu aku pun mengambil keputusan untuk bertemu dengan Tengku Normah. Aku tuliskan surat jawapan kepadanya. Dengan datangnya surat ini nanti aku berharap Tengku Normah akan berasa riang dan gembira. Gembira kerana akan dapat bertemu denganku. Suratku berbunyi…
Normah,
Setelah habis kanda baca surat dinda, menjalarlah rasa belas kasihan ke dalam dada kanda. Adinda telah dibakar api yang membara. Dibakar api cinta! Sejenak kanda menungkan terasa berat di kepala kanda ini memikirkannya. Dinda dan kanda terlalu jauh berbeza. Namun kalau gayung tidakku sambut dengan apakah nanti akan kubasuh kakiku ini. Kalau kasih tidak kubalas pasti kelak dinda akan merana diri!
Oleh sebab itu kanda telah membuat keputusan. Telah kanda tanam tekad di hati ini. Kanda akan datang menemui dinda pada masa yang telah dinda tentukan itu. Tenangkanlah perasaan dinda dan sabarlah untuk menunggu masanya. Masa untuk menemui kanda. Malam itu nanti pasti kanda akan datang menemui dinda. Percayalah!
Kandamu,
O. B.
(Othman Bhutan)
Pada petang harinya aku berikan surat itu kepada budak yang selalu membawakan aku surat dari Tengku Normah dulu itu.
(Bersambung ke BAB 10 - PERTEMUAN PERTAMA KALI

MyBloglist