Friday, 30 December 2016

AKHIR DISEMBER 2016...

ASSALAMUALAIKUM...


SYUKUR ALHAMDULILLAH 2016 MEMBAWA REZEKI YANG MENGGEMBIRAKAN PI DALAM BIDANG PENULISAN....DAPATLAH DIJADIKAN KENANGAN...MUNGKIN SEBENTAR SAJA NAMUN TIDAKLAH MENGAPA...

MENGIMBAUNYA

Tinta OKU ukir aksara lepasi cabaran 2016

1.  Antologi sajak AIDILFITRI terbitan   SPTA Tabir Alam - 2016
2.  Antologi SONETA ALLEGORI terbitan SPTA Tabir Alam – 2016
3.  Antologi HAIKU SAYEMBARA terbitan SPTA Tabir Alam – 2016

Terima kasih sifu TABIR ALAM

4. Antologi BICARA LANGIT KEPADA AWAN terbitan BeTA – 2016
5.  Antologi SAJAK HIJRAH MERDEKA terbitan BeTA – 2016
6.  Antologi C2N RAJAQNA terbitan BeTA – 2016
7.  Antologi PUISI NASIHAT NIKAH KAHWIN BeTA – 2016

Terima kasih ustaz ILHAMI HISHAM

8.  Antologi sajak KAMPAR - BANDAR-BANDAR DI PERAK terbitan Karyawan Perak – 2016
9. .  Antologi sajak IPOH - BANDAR-BANDAR DI PERAK terbitan Karyawan Perak – 2016
10  Antologi sajak SG.SIPUT - BANDAR-BANDAR DI PERAK terbitan Karyawan Perak – 2016
11.  Antologi sajak PARIT - BANDAR-BANDAR DI PERAK terbitan Karyawan Perak – 2016
12.  Antologi sajak BAGAN DATOH - BANDAR-BANDAR DI PERAK terbitan Karyawan Perak – 2016
13.  Antologi sajak BATU GAJAH - BANDAR-BANDAR DI PERAK terbitan Karyawan Perak – 2016
14.  Antologi sajak SELAMA - BANDAR-BANDAR DI PERAK terbitan Karyawan Perak – 2016
15.  Antologi sajak PARIT BUNTAR- BANDAR-BANDAR DI PERAK terbitan Karyawan Perak – 2016
16.   Antologi sajak TANJONG MALIM - BANDAR-BANDAR DI PERAK terbitan Karyawan Perak – 2016
17.  Antologi sajak GERIK - BANDAR-BANDAR DI PERAK terbitan Karyawan Perak – 2016

Terima kasih Dr ZABIDIN

18. cerpen Warisan Moyangku hadiah kedua E-Sastera-Asean

Terima kasih Prof IRWAN ABU BAKAR

19. Sajak Jalur Gemilang Bahtera Merdeka hadiah ketiga SAYEMBARA SAJAK HIJRAH MERDEKA
BeTA

Terima kasih ustaz ILHAMI HISHAM

20. Syair Tanah Kita hadiah ketiga GEMA PATRIOT – DBP NIAGA

Terima kasih DBP NIAGA

  







SONIAN KEKASIH..

ASSALAMUALAIKUM...

SALAM JUMAAT MULIA




KEKASIH


Kekasih dicintai
memendam rasa
kelu lafaz
membisu


Sehati sejiwa
mengarca cinta
badai lalu
tempuhi


Kekasih seorang
di alam fana
bulat hati
cintai


Kekasih abadi
sejati murni
tulus ikhlas
Ilahi

Merindu terlalu
hajat bertemu
janji pasti
bersabar

lestari mendamba
kekasih dicinta
himpun rasa
merendah

demikian cinta
mengulit jiwa
lindung resah
berpasrah

Tawakal cintai
Ilahi Rabbi
relung hati
penuhi

Paridah Ishak
Selayang Utama
30 Dis 2016


 Yang di harapkan dari Allah Swt adalah agar di berikan kekuatan dalam kesungguhan beribadah dan tetap teguh menunaikan hak hak dan kewajipan kepada Allah Swt
Demikian juga lah permintaan ahli ibadah, para ahli zuhud, ulama dan lain lain.
Kenikmatan beribadah itu adalah bagaimana seorang hamba mendapat inayah dari Allah swt dalam kesungguhannya beribadah sehingga ibadah itu sendiri akan memberinya kebahagian kerana Allah telah redha kepadanya

Ustzah Nurbaya Usman

Thursday, 29 December 2016

KENANGAN INDAH 7...

ASSALAMUALAIKUM...


CORET-CORET PAK ENGKU...
SECEBIS KENANGAN MASA LALU 

(Kisah cintaku yang tidak kesampaian)

Ini secebis dari kisah hidup aku disuatu waktu yang sudah lama berlalu. Waktu itu aku bujang trang tang-tang. Waktu selepas kematian bakal tunang yang amat aku sayang dan cintai itu. Kami diwaktu itu sama- sama belajar dalam satu unit di maktab perguruan.
Selepas tiga tahun lebih kematiannya, aku telah jatuh cinta dengan seorang gadis. Dia berkulit hitam manis dan berambut keriting. Bentuk badannya comel lote. Macam anak Mami. Kebetulan gadis ayu ini adalah adik kepada kakak iparku. Orang Kg Simpang Tiga, Parit Buntar, Nibong Tebal. Setelah hampir setahun bercinta dan memadu kasih, kami berjanji untuk berkahwin dan hidup bersama. Sewaktu sakan bercinta tu, aku, setiap dua minggu sekali, akan pergi ke tempat tinggalnya. Di Canning Garden, Ipoh.Pada waktu itu dia bekerja sebagai Telephone Operator di Jabatan Telekom, Ipoh.
Hendak dijadikan cerita, emakku sudah terbau akan hubunganku
dengan gadis ini. Pada suatu malam, sewaktu aku dan emakku duduk di meja makan, emakku telah bertanya kepadaku, "Betul ke kau nak kahwin dengan perempuan tu?"
Aku mendiamkan diri tanpa menjawab sepatah pun akan apa yang emakku tanyakan itu. Lalu emakku menyambung, "Tak dibuat orang menghabiskan serai serumpun. Ada banyak betina lain lagi!" Aku terus menyepi lagi. Tanpa berkata sepatah apa pun. Aku hanya tertunduk bisu. Lalu emakku menyambungi, "Kalau kau kahwin dengan betina tu, kekal bahagia hidup kau sepanjang, nanti apabila emak sudah mati, engkau kencingkan kubur mak"
Berdesing telingaku mendengarkan kata-kata yang terakhir dari emakku tu. Ia bagaikan halilintar yang membelah bumi! Aku terus memandang tepat ke muka emakku. Setelah habis emakku meluahkan perasaannya, aku terus berkata, "Baiklah mak, kalau sudah begitu cakap emak, saya dah buat keputusan. Bahawa mulai hari ini, saat dan waktu ini saya akan putuskan hubungan dengan dia dan akan melupakan perempuan itu. Tetapi saya hanya minta satu sahaja pada mak iaitu jangan paksa-paksa saya kahwin atau carikan pasangan untuk saya berkahwin. Biarlah jodoh saya datang dengan sendirinya."
Emakku diam tanpa berkata apa-apa lagi. Aku pun bangun dari tempat dudukku di meja makan itu dan terus keluar. Aku sudah buat keputusan betul-betul nekad untuk memutuskan hubungan dan melupakan kekasih hatikun tu. Dan mulai detik itu aku tiada lagi berhubungan dengannyaa. Berpuluh-puluh surat yang dia hantar kepada aku, aku tak jawab satu pun. Tak balas satu pun. Biasanya lepas habis kubaca, suratnya itu aku akan bakar. Hampir setahun lamanya begitu, akhirnya dia tidak lagi mengutus surat kepadaku.
Ada beberapa sebab kenapa aku membuat keputusan yang amat drastik tu. Pertamanya kerana aku teramat sayang padat emakku.. Aku juga tahu emakku amat menyayangi diriku. Yang kedua sebab,aku tidak mahu menjadi anak yang derhaka. Melawan kata atau nasihat emakku itu. Sebab yang utama adalah kata-katanya yang terakhir itu, " Kalau kau kahwin dengan betina tu, kekal bahagia hidup kau sepanjang hayat, nanti apabila emak sudah mati, engkau kencingkan kubur mak!"
Kata-katanya inilah yang tidak dapatku telan. Aku tidak tergamak melawan cakapnya yang sebegitu rupa. Aku jadi teramat takut! Kerana aku tahu bahawa cakap emak adalah satu doa juga!
Memang selepas itu lama juga emakku tak mahu bertanya padaku tentang perkara mencari pasangan hidupkui. Namun ada juga sekali emakku terlepas cakap dan bertanya kepadaku, "Kau nak tak kahwin dengan Ano anak Tuan Kadi tu?" Nama penuh gadis montok, putih gebu itu ialah Nor Aziah. Memang dia cantik. Aku terus menjawab, 'Isy saya tak nak anak tuan Kadi itu mak oiii!!!" Akhirnya aku buktikan kepada emakku, bila Allah ditemukan jodoh dengan gadis,pilihanku. Barulah aku beritahu emakku yang aku hendak berkahwin dengan seorang gadis. Gadis yang putih gebu juga. Gadis mengikut cita rasaku. Lepas itu aku suruh emakku meminag gadis tersebut dan akhirnya kamu bernikah.
Sepanjang hayat emakku, aku teramat sayang padanya. Selama hampir setahun dia sakit terlantar tidak boleh bangun kerana diserang penyakit angin ahmar, akulah yang akan mengendung dia setiap lepas tengah hari untuk dibawa ke bilik air supaya kakakku boleh memandikannya. Setelah selesai mandi, aku akan kendung emakku balik dan baringkan dia di atas katil semula. Setiap malam aku empat beradik lelaki akan bergilir-gilir menjaga emak. Hingga disaat terakhir emak akan pergi meninggalkan dunia yang fana aku juga sempat mengajarnya mengucap dua kalimah shahadah. Sehinggalah dia menghembuskan nafanya yang terakhir.
Itulah pengorbananku untuk membalas kasih sayang emakku terhadap diriku. Sampai sekarang ini aku masih dan tetap menyanyangi emakku walaupun emak sudah lama meninggal dunia.. Semoga Allah meletakkan emakku bersama orang-orang Dia kasihi, Di tempatkan bersama orang-orang yang soleh dan beriman.
Hingga kini aku masih merindui emakku


Comments

Wednesday, 28 December 2016

BERBALAS PANTUN...

ASSALAMUALAIKUM...

JOM BERBALAS PANTUN...

Image may contain: text
Jawapan pantun 1

Dalal berubah rebat menyusul,
Izin  terima rahmat bersulam
Bilal bin Rabah sahabat Rasul,
muazin  pertama.ummat Islam

jawapan pantun 2

Mizan lama menimbang pualam,
barangan halal pelbagai alat:
azan bergema di ruang alam,
seruan Bilal menunai solat.




Tuesday, 27 December 2016

PERANTAU DI TEBING DERANG...

ASSALAMUALAIKUM…

Image may contain: 1 person, closeup
                                                                                              Pic fb penulis

PERANTAU DI TEBING DERANG

Sebuah autobiografi nostalgia tulisan ustaz Ilhami Hisyam dihadiahkan sendiri penulisnya kepada PI dalam kunjungannya ke rumah anak PI bersama isterinya Ummu Atiffi Ilhami baru-baru ini. PI dalam kesibukan menulis dan membaca aneka karya terlupa pula hendak menyelaknya untuk mengkhatamnya walau telah disorot mata sepintas lalu beberapa lembarannya..

Terima kasih banyak kepada penulisnya juga penerbit BeTA yang sudi menghadiahkan tulisannya yang amat bernilai tinggi ini kepada PI.
Mesti ramai hendak tahu di manakah Derang yang menjadi lokasi garapan penulis ini. PI yang lahir di Kedah pun tidak tahu di manakah letaknya Derang ini. 

Setelah membaca autobiografi ini barulah tahu serba sedikit mengenainya.   Tidak jauh sangatpun dari daerah Yan tempat kelahiran PI. Justeru tiada urusan ke sana tidaklah PI mengambil tahu sangat.
Derang merupakan sebuah mukim yang terletak di daerah Pokok Sena, Kedah, Malaysia.
6.   Kampung Empa

Kampung Derang amat dikenali kerana di sini terdirinya sebuah maahad dibina  sejak 1980 yang mendidik anak bangsa mendalami agama Islam yang syumul. Dan penulis ini juga ada kaitan dengan Maahad Derang kerana ayahanda Penulis terlibat juga dalam pembinaan Maahad Derang ini. Penulis lahir dan membesar  di Derang juga merupakan salah seorang tenaga pengajar Maahad Derang ini suatu ketika dulu.

Penulis sangat mengenali jiran-jirannya yang bersama tinggal di kampung Derang yang indah permai dan aktiviti yang menyeronokan mereka. Memorinya menggarap pelbagai kisah yang pernah berlaku di situ dengan jelas. Kebanyakannya sebagai petani yang mengerjakan sawah bendang dan ada juga miliki dusun buah-buahan.

Adat dan budaya bersendikan agama di kampung ini juga unik dan digarap dengan cantik, menarik hati.  Salah satunya adat pengusung. Iaitu mengusung hadiah berupa kuih muih seperti karas, pulut wajik, kuih bakar dan lain-lain kuih lazat yang dibuat semua penduduk kampung dan diusung menggunakan pengusung ke rumah yang mengadakan kenduri perkahwinan.

Begitu bersatu padu sekali masyarakat kampung Derang dalam memudahkan setiap urusan penting  secara bergotong royong di bawah kepimpinan kampung yang amat dihormati yang kebanyakannya juga adalah alim ulama berilmu yang mentadbir Maahad Derang..

Menurut sedikit petikan catatan luar di kulit buku ini;
Autobiografi ini menggabungkan 100 nukilan pengalaman penulis di kampung sejak 1972. Di sebelahnya didirikan Maahad Derang bermula 1980.

Di kampung kami mendapat bimbingan langsung daripada Tok Ayah Haji Wan Samad Wan Nik yang meninggal pada 1983.
Manakala Maahad Derang pula mendapat tarbiyah Ayahanda Almarhum Syiekh Niamat Yusoff yang meninggal pada 2003.

Di dalam buku ini dicatat kembali berbagai kisah yang telah menjadi bahan sejarah. Meskipun ketika kecil, ia berlaku begitu saja tanpa difikir apa hikmah-Nya, namun kini barulah kita tahu rupanya ianya terjadi untuk mendidik kita.  Ramai yang terlibat dalam usaha mendidik kita menjadi insan berjiwa merdeka.
Pengalaman ini sangat mahal. Kenangan ini tidak boleh dijual beli.

Catatan 100 nukilan Penulis ini bukan sahaja sekadar pengalamannya di kampung Derang dan di Maahad Derang tapi meliputi juga kerjayanya dalam bidang penulisan dan lain-lain perkongsian yang menarik dan amat bermenafaat dibaca. Tulisannya santai dan banyak menggunakan lorat tempatan/Kedah/Derang yang menarik.
Membuat PI tersenyum sendiri membaca perkataan-perkataan yang sudah lama tidak kedengaran walau PI memang faham maksudnya seperti nangoi-nangoi, terung pungak dll. Maklum PI meskipun asal Kedah tapi pergaulan masyarakat felda di Pahang menyeluruhi persertanya berasal dari merata negeri yang menutur dialek bercampur baur walau masih berasaskan bahasa Melayu tetap mempengaruhi.
Sekiranya ada yang berminat memiliki autobiografi PERANTAU DI TEBING DERANG tulisan ustaz Ilhami Hisham ini boleh dapatkannya di kedai-kedai buku atau hubungi sendiri penulis ini  via emel  ilhamibeta@gmail.com
whatsapp/telefon
  011-3271-4312 Ilhami BeTA

PI yang membacanya memang amat berpuas hati sekali dan menambah ilmu dalam menghasilkan karya penulisan. Lagipun manatahu suatu waktu kelak teringin pula hendak menulis memoir autobigrafi, bolehlah buku ini dijadikan rujukan dan panduan.



Monday, 26 December 2016

SONIAN...

ASSALAMUALAIKUM...

SONIAN ADALAH PUISI YANG DIPOPULARKAN DAN DIREKACIPTA PEMUISI INDONESIA SONI FARID MAULANA...PUISI INI SUSUNANNYA 4 BARIS DENGAN SUKUKATA BARIS PERTAMA 6 BARIS KEDUA 5 BARIS KETIGA 4 DAN BARIS KEEMPAT 3 SUKUKATA...

TAJUK SONIAN SEHINGGA IMEJNYA YANG TERAKHIR SALING BERKAIT MAKSUDNYA MENGIKUT TEMA YANG DIPILIH...

SONIAN DIBAWAH INI ADALAH HASIL BIMBINGAN SIFU TABIR ALAM DAN GRAFIK DISEDIAKAN SETELAH SETIAP SONIAN DILULUSKAN.
SUSAH JUGA NAK CIPTA SONIAN BAGI YANG MULA NAK KENALI DAN PELAJARINYA SEPERTI PI NI...













Sunday, 25 December 2016

KENANGAN INDAH 6..

ASSALAMUALAIKUM...



CORETAN PAK ENGKU

SECEBIS KENANGAN MASA LALU (BHG. 6)
(Parit 13, Sg. Nibong, Sg. Besar)
Setahun lamanya aku tinggal di Sungai Besar. Menyewa rumah bersama dengan lima orang rakan yang lain. Pertengahan tahun 1971 itu aku sudah ada kereta. Kereta Austin Mini 850 warna merah. Aku masih ingat nomber platnya iaitu BV 5379. Keempat-empat tayar kereta ini aku pasang 'spacer'. Jadi tayar kereta itu terkeluar sedikit macam terkangkang. Ekzosnya pula di tengah-tengah, bawah bumper belakang. Lubang ekzos yang terkeluar bulat besar. Bila dipandu mengaumlah bunyinya. Kereta ini sebenarnya bukan milik aku. Tapi adalah milik kakakku. Sebab dia tidak mempunyai lesen memandu dia beri aku pakai kereta itu. Ibarat kata peribahasa "Paksa tekukur padi rebah, paksa tikus lengkiang terbuka. Maka giranglah hati aku dapat memandu kereta itu ke hulu ke hilir bawa girfriend aku.
Aku selalu menganggap diri aku beruntung kerana mempunyai dua orang kakak yang amat menyayangi diriku. Atas izin kakakku aku bawalah kereta itu ke Sungai Besar supaya mudah untukku balik ke kampung pada hujung minggu. Bila sudah ada kereta ini bergayalah aku sikit. Waktu petang-petang selalu keluar ke pekan Sungai Besar. Kadang-kadang bejalan-jalan ke Sabak Bernam. Biasanya seorang diri. Sesekali bersama kawan serumah aku.
Tinggal di sini aku rasa seronok juga. Dekat dengan pekan Sungai Besar. Hampir dengan pasar. Selalu juga aku pergi ke pasar yang jual iakn dan sayur. Masa itu semua jenis ikan murah-murah harga. Tapi ikan kesukaan aku adalah ikan sembilang laut dan kerang. Kerang masa itu satu tin minyak masak yang lima kilogram baru berharga 50 sen. Sekarang mahu harganya 10 ringgit kut. Kalau ada Fun-Fair aku dan kawan-kawan akan keluar beramai-ramai. Aku akan pergi di gerai luar tapak Fun Fair untuk makan-makan. Yang paling aku suka adalah soto dan sate kerang.
Tinggal di rumah sewa ini setiap orang perlu membayar sebanyak 60 ringgit sebulan. Semuanya ini termasuk bayaran sewa rumah, makan minum, sewa peti TV dan upah tukang masak. Besar nilai duit 60 ringgit masa itu. Masa sekarang dengan duit sebanyak itu tiada apa yang boleh kita buat. Sehari berbelanja langsailah duit itu.
Setiap hujung minggu aku akan balik ke kampungku. Dua orang kawan aku akan minta tompang untuk balik bersama. Aku akan benarkan. Tompang free sahaja. Sebelum aku benarkan mereka menompang ada syaratnya yang aku berikan. Syaratnya ialah mereka tidak boleh bawa ganja untuk dihisap dalam kereta. Aku pesan kepada mereka, "Kalau nak stim kering tak boleh. Stim basah tak apa." Maksudnya di sini ganja tak boleh. Kalau nak minum bir tak apa. Biasanya bila sampai ke Sekincin aku berhenti sebentar untuk mereka membeli Anchor Beer. Minum pakai straw. Baru cepat pening. Geli hati aku bila mengenangkannya hal ini.
Sebelum tiba hujung minggu pula, pada hari Rabu atau Khamis, aku akan beli kelapa yang telah dikupas kulitnya dari Ustaz Salleh. Dalam 40 ke 50 biji untuk aku bawa balik ke kampung. Aku beli dengan harga 12 sen. Sampai di kampung aku akan jual dengan harga 30 sen. Masa itu harga kelapa murah. Jadi dapatlah aku untung lebih 100 %. Dapatlah menampung kos minyak kereta aku. Begitulah yang aku lakukan setiap hujung minggu.
Tidak lama aku duduk menyewa di Sungai Besar ini. Rasa aku tak sampai setahun pun. Aku terpaksa pindah balik duduk di Kuarters Guru di Parit 13. Aku pindah semula ke Parit 13 disebabkan aku, setiap malam, sering ke kelab. Kelab Cina yang namanya Kelab Bunga Raya. Aku berjudi setiap malam hingga ke pagi. Banyak duit aku habis. Dan ada pada suatu hari tu aku tak dapat pergi ke sekolah kerana terlelap. Kawan-kawan sudah tinggalkan aku. Aku hanya tersedar pada jam 9.00 pagi. Dalam fikiran aku kalau aku duduk terus di Sungai Besar akan papa kedanalah aku. Terpaksa asyik meminjam wang kawan. Maka aku putuskan fikiran untuk nekad pulang tinggal menetap di Parit 13.
Maka aku pun baliklah berpindah dan tinggal berseorangan di Kuarters Guru. Memanglah terasa sunyi tinggal berseorangan. Namun aku tiada pilihan. Dari rumah sewa yang ada lampu letrik dan air paip aku balik hidup dengan memask dan minum air hujan, mandi air parit dan aktu malam diterangi lampu pelita minyak tanah.
Hendak dijadikan cerita Kuarters Guru yang aku duduki ini penduduk berhampiran kata berhantu pula. Andaian mereka ada kebenarannya kerana setiap malam aku akan bermimpi berlawan dengan hantu. Bila tersedar dari mimpi badan aku berpeluh-peluh. Takut? Takut tak takut aku kena hadapi juga. Sendirian. Dalam fikiran aku kalau aku hendak mati dicekik oleh hantu matilah. Kalau itumemang sudah suratannya nasibku.
Di hadapan rumahku, setiap petang akan ramai pemuda kampung datang untuk bermain sepaktakraw. Selalu juga aku pelawa mengajak tidur di rumah aku. Tapi semuanya menolak dengan alasan rumah tempat aku duduk itu berhantu. Mereka berkata mereka pernah ternampak pada waktu malam hantu langsuyar terbang melintasi atas bumbung rukmahku dan singgah berhenti di sebatang pokok kekabu di tepi belakang rumah. Diwaktu cuti sekolah pula mereka kata, pada malam hari sewaktu melalui di hadapan rumahku, mereka mendengar bunyi orang mencuci pinggan mangkuk di bahagian kawasan tangki air tempat aku selalu membasuh itu. Walaupun ada perasaan takut di hatiku aku buat
selamba sahaja mendengarkan cerita mereka. Ialah apa pilihan yang aku ada. Aku terpaksa beranikan hatiku.
Hari-hari berlalu dengan sunyi sepi sekali. terutamanya pada waktu malam. Maka kerana itu untuk mengisi masadiwaktu yang kosong dan sepi aku pun membuka kelas tambahan di beranda rumahku. Kelas tambahan percuma tanpa bayaran apa-apa. Aku paksa lebih kurang 10 orang murid yang cerdik-cerdik datang ke kelas tambahan itu. Kelas tambahan itu aku buat dari pukul 3.00 hingga 5.00 petang. Hari Isnin hingga hari Khamis. Hari Jumaat tengah hari lepas sekolah akau sudah siap untuk pulang ke kampungku. Meriahlah sidikit hidup aku pada waktu petang selepas itu
dengan kehadiran murid-murid kesayanganku belajar itu. Antara murid yang aku ingat lagi namanya hingga sekarang ialah
Abdul Latif, Isnainah dan Salasiah Hassan. Salah seorang memang manja dan sering bergurau dengan aku sewaktu aku mengajar.
(Bersambung ke... Bhg. 7 - Episod terakhir)

Saturday, 24 December 2016

PERIBAHASA LAMA...

ASSALAMUALAIKUM....

PANTUN PERIBAHASA

2 RANGKAP 3 RANGKAP DAN 4 RANGKAP

Jauh ke Linggi membeli buah,
apa hendak semua diisi;
di mana lagi tumpahnya kuah,
jikalau tidak ke atas nasi.

malam gelita tilam dilatam,
bunyi guruh menggegar jurus,
terpana diri jatuh terbaring
janganlah kita menjadi ketam,
anak disuruh berjalan lurus,
diri sendiri jalan mengereng.

jauh di hujung pekan Kerian,
bunga berkudup corak kebaya,
sekali lancung keujian,
seumur hidup orang tak percaya.

sayur kobis diselak selinap,
siang sekali bersama bawang,
ambil di guri ikan siakap;
kalau pitis sekupang genap,
usah nak beli kancah berkerawang,
atau nuri yang pandai bercakap. 


Bersanggul lentang titup kerudung,
kembang dilurut air menitis;
jangan ditentang matahari condong,
takut.terturut jalan tak berintis.

Banyak keladi tumbuh di lombong,
bunga seroja tema kelarai,
leka bersambil memegang dahi;
janganlah jadi si ayam tombong,
kokok sahaja berderai-derai,
tetapi ekor bergelumang tahi.


menari randai gadis berempat,
mengail ikan di atas tangga;
sepandai-pandai tupai melompat,
sekali akan gawal juga.

Hati meresah lagi menggusar,
mengkuang pudak padi menghampa,
riuh bertanya di mana raga;
kalau gajah dah berak besar,
kancil pun hendak berbuat serupa,
pasti akhirnya kebebangan juga

Di kaki lima jatuh jerembab,
bangun segera terasa lelah,
tulis gurindam melara arah;
pecahnya cuma menanti sebab,
retaknya hanya menanti belah,
begitu dendam hati yang marah.


Rumah lama siapa punya
di tepi parit bunga kiambang,
berenang bujuk dengan semilang,
sambil berlindung leka bermain;
apakah kena pada tempatnya,
telinga rabit dipasang subang,
kaki untuk dipakaikan gelang,
jari kudung dimasukkan cincin?

MyBloglist