pic noradabi rosdi
Semua sedang bersiap sedia untuk menaiki beberapa jenis pengangkutan yang akan membawa kru penerbitan drama dan juga dramatis yang terlibat. Dua buah van disediakan untuk mengisi kelengkapan penggambaran dan berbagai-bagai prop yang akan digunakan nanti. Sebuah van pula untuk dinaiki beberapa orang artis lelaki dan perempuan.
“Dengar sini
semua. Tidak payah bawa telefon bimbit, sebab di pulau tu tidak ada servis.”
Ujar Johan sinis. Terdengar bunyi rungutan yang berdengung laksana bunyi ‘baung
di bawah bangkar’. Tidak jelas butiran ayatnya tetapi tentulah memprotes arahan
itu.
“Kau dengar tu
Sarina. Padan muka kau. Kan aku sudah cakap tidak usah bawa handset tapi kau degil. Janji hendak
offkan masa shooting konon. Aku rasa abang Johan mesti perli kau.”
“Pedulikanlah dia.
Malas aku nak layan. Aku bawa handset untuk kemudahan kita juga bila terdesak.
Kekadang tu kalau tidak dapat servis satu kawasan, kita pusing tempat lain
boleh dapat tau. Manalah tahu kalau nasib baik kan…” Sarina masih tidak mahu
mengalah malah memberikan pula tip yang pernah digunakan orang lain selama ini.
“Jangan kau
pusing-pusing satu pulau cari line
sampai pening dan Johan melenting kerana kau ponteng shooting sudahlah..” balas Anita dengan gurau usikannya.
Pernah di dalam
sebuah akhbar arus perdana memaparkan tragedi ngeri seorang isteri di kawasan
pedalaman Kelantan, yang asyik berpusing mengitari kawasan mencari line untuk
menghubungi suaminya dilanggar keretapi yang bergerak laju kerana tidak
menyedari langkah isteri malang itu membawanya menghala bahaya.
Kasihan sungguh.
Anita menggelengkan kepalanya. Beristigfar pula. Hanya Dia yang Maha tahu
setiap rahsia kejadiannya. Mudah-mudahan kejadian yang menimpa isteri yang
malang tidak berulang kepada Sarina pula. Tetapi di Pulau itu tentu tidak ada
rel keretapi dan Sarina akan terlepas dari musibahnya. ‘Menyusahkan diri saja
berfikir yang bukan-bukan’ getusnya.
“Kau ni memang
tidak sayang mulut. Bercakap sesedap rasa je...Eh jomlah dia orang sudah naik
van tu.” Sarina sudah melangkah menghampiri van dan menaikinya. Anita masih
berdiri di situ kerana membalas sapaan sesaorang.
“Anita jom naik
kereta saya…” Ajak Johan yang memandu Proton Waja dan menghentikannya di sisi
Anita. Ketika itu Sarina yang sudah mengisi perut van melambai-lambai ke arah
Anita.
“Tak apalah abang Johan. Saya naik van saja
dengan Sarina. Nanti apa pula kata kawan-kawan yang lain sedangkan mereka
bersesak-sesak di dalam van. Saya pula berselesa dalam kereta abang Johan.”
Johan angguk mendengar alasan gadis itu. Keretanya bergerak semula di lebuh
raya hala ke timur semenanjung Malaysia.
Van yang dinaiki
Sarina dan Anita dan beberapa orang lagi artis drama mengikuti di belakangnya.
* * *
Datuk Shaari
mundar-mandir di dalam pejabatnya. Jiwanya tidak tenang dan sugul kegelisahan.
Dia merasa sebal sungguh kerana tidak dapat ke pulau bersama Anita
“Ish...susah
ni...susah ni…susah…susah!”
“Sabar Datuk
sabar. Datuk ni kenapa? Sejak Datuk berkenalan dengan Anita, Datuk ni sudah
jauh berubah. Datuk tidak lagi ceria dan tidak seperti dulu, sentiasa meminta
saya mengenalkan artis cantik lepas seorang ke seorang. Sejak bertemu Anita
Datuk terus ubah sikap. Tidak lagi keluar malam macam selalu. Tidak lagi mahu
berkenalan dengan artis cantik yang lain. Kenapa ni Datuk? Agaknya Datuk ni
sedang angau dilamun cinta kut.”
“Ah…sudahlah
kau...jangan hendak merapu. Apa yang ada di dalam hati aku ni kau mana tahu.
Jikalau aku hendak jatuh cinta dengan Anita pun bukan ada salahnya. Hati aku
hak aku. Aku punya pasallah.” Dia memerhati sekilas pada keadaan mejanya yang
berselerak dengan dokumen yang perlukan penelitiannya. Sudah ditanganinya semua
itu. Dia tidak mengambil mudah soal yang bersangkutan dengan bisnis dan periuk
nasinya walaupun hatinya melayang-layang dibuai perasaan.
“Ye lah tu hati
Datuk memang hak Datuk. Tapi yang susahnya saya yang pening kepala tengok Datuk
mundar-mandir macam ‘induk kucing hilang anak’”Bidas Amin di perkuat dengan
pepatah yang sering disebut ibunya menegur perangainya yang kadangkala
mengelirukan gemulah ibunya menafsirnya.
“Habis kalau kau
susah, pening kepala tengok keadaan aku, kau tolonglah aku.” Lirih suaranya
memohon bantuan dari seorang yang seringkali diherdiknya itu.
“Baik saya akan
tolong, Datuk bawa bersabar dulu. Mesti ada jalan ni...”
“Ada jalan taik
minyak kau!..susah…susah…ish.” sergahnya. Hatinya masih membara tidak keruan.
Yang dimarah tentulah kepada anaknya kerana telah mengendalakan hajatnya hendak
ke RSJ, tetapi Amin yang menerima tempelakannya.
“Datuk bawa je
saya pergi sana. Tahulah saya uruskannya.” Shaari langsung tidak memperdulikan
cadangan Amin itu. Tangannya dibawa ke kepalanya. Dia menunduk ke lantai.
Matanya dipejam. Seolah menanti kunjungan ilham.
“Mmm…mm
…susah…susah.. .hendak kena cari jalan bawa anak aku balik ke sini. Kalau tidak
susah aku.” Rungutnya berterusan mengulangi keputusan yang telah disepakati
mindanya.
* * *
Hidangan sudah
teratur di atas meja. Mak Kiah yang menyediakannya selazimnya. Shaari sudah
duduk di kerusi, menghadap hidangan dengan pandangan polos. Dia langsung tidak
berselera hendak menjamahnya.
Handphone yang terletak di bucu meja
berdengut tiba-tiba. Nombornya yang tertera diteliti. Dia merasa serba salah
hendak menjawabnya. Bimbang perbualannya yang sangat peribadi antaranya dan
Amin disyaki isterinya.
Tentu ada teknik
yang akan digunakannya untuk mengabui pandangan serong isterinya itu. Teknik
klise yang sering dipapar ideanya dalam drama swasta di TV.
“Apa halnya ni?”
Suaranya ditinggikan.
“Kan aku sudah
beritahu, malam ni aku hendak berehat. Kau tidak tahu ke aku ni penat. Siang
malam asyik jamu klien saja. Nantilah aku cakapkan dengan Datin. Tapi aku tidak
jamin aku boleh keluar.” Amin terkekeh dihujung sana mendengarkan skrip spontan
sebuah drama swasta karya Datuk Shaari.
“Siapa tu bang?”
Tanya isteri yang jughus lughu itu.
“Siapa lagi kalau
tidak si Amin. Pembantu saya tu.”
“Kenapa, abang
kena keluar ke?” Begitulah kelazimannya yang akan berlaku setiap kali suaminya
menyambut panggilan ketika bersama dengannya.
“Tak adalah. Abang
dah cakap, abang tak nak pergi dinner
dengan klien malam ni. Abang sudah suruh dia cancel appointment tu. Rupa-rupanya dia terlupa.
“Tak baik macam
tu. Masih ada masa. Mungkin hal penting. Kalau tidak masakan Amin call.” Tukas Majmin selaku seorang
isteri yang langsung tidak pernah memikirkan tentang kepentingan dirinya semata
di saat-saat bahagianya bersama suami tercinta.
“Buat apa pergi kalau Anita tidak ada.” Shaari
terpana. Dia menekup mulutnya yang tersasul menyebut nama gadis impiannya di
hadapan isterinya.
“Hah!...Anita!...
Anita… mana pulak ni?” Tanya Majmin mulai menyangka yang tidak enak tentang
sebuah nama wanita yang meniti di bibir suaminya.
Shaari merasa
cemas. Ada sesuatu yang dirasa menyengat pipinya. Jantung berdegup kencang. Dia
cemas seketika sebelum dapat menepisnya dengan rekayasanya.
“Oh…Min tak tahu
ke...abang ada pegawai baru? Dialah yang handle
projek tu dengan klien. Tapi dia balik kampung pagi tadi sebab nenek dia
sakit…semua dokumen penting ada pada dia. Hanya Anita seorang yang tahu
perjalanan projek tu.” Bersungguh-sungguh Shaari menuturkannya untuk meyakinkan
isterinya bahawa apa yang ditemberangkannya memang benar. Semata-mata benar.
“Susah tu bang.”
Shaari menarik nafas lega, mengurut dadanya kerana isterinya mempercayai
pembohongannya bulat-bulat.
Malam itu dia
berlagak sebagai seorang suami yang baik, sentiasa boleh dipercayai
kejujurannya dan sangat membahagiakan isteri yang mencintainya. Namun baginya
wajah isteri yang lirih itu langsung tidak berseri dan bermakna apa-apa kerana
di matanya yang terbayang-bayang hanya wajah Anita yang jelita menggoda.
29.
Fareez dan
beberapa kaki-tangan Resort Sri Jelapang ke jeti menyambut kedatangan
sekumpulan tetamunya dari Produksi Drama Kita yang tiba jauh dari KL. Para
petugas resort menolong memunggah peralatan yang dibawa dan menempatkan ke
sebuah bilik khas yang di awasi sentiasa agar selamat.
Rizal hanya
memerhati dari jauh apa yang dilakukan ‘Rizal’ pengurus resort anak Datuk
Shaari itu. Fareez sedar bahawa dirinya sedang diperhatikan. Jadi dia perlu
melakukan tugasnya sehabis baik. Setiap amanah yang di letak di pundaknya perlu
dilaksanakan sehingga jaya sebaik mungkin.
Nampaknya Sarina
begitu tertarik dengan Fareez. Dia sentiasa mencuri pandang pemuda yang
diketahuinya sebagai anak seorang Datuk, pemilik RSJ dari bualan yang
didengarnya antara beberapa kaki tangan RSJ tadi.
Sarina tidak dapat
berlama-lama memandang ketampanan Fareez kerana seorang lelaki datang mendekati
Fareez dan berkata sesuatu kepadanya. Fareez mengatur langkah mengikuti Rizal
setelah berpesan agar memberi layanan terbaik kepada tetamu-tetamu itu kepada
pembantu-pembantunya.
Anita pula
menyeret tangan Sarina untuk mengikuti seorang petugas resort yang akan
menunjukan chalet yang disediakan untuk kedua-duanya.
“Wah...cantik
sungguh tempat ni. Aman, nyaman dan tenang. Tiada kebisingan. Yang kedengaran
hanya suara ombak nun jauh sayup-sayup. Bila tingkap chalet dibuka ternampaklah
wajah laut biru dengan pantainya yang berpasir putih.” Anita berdiri di sisi jendela
yang terbuka menerawangi panorama alam sekitar dengan mata hati dan jiwa
halusnya. Dia terkenangkan kampung halamannya di kawasan jelapang padi yang
berdekatan dengan laut. Tetapi pantainya tidak berpasir putih seperti
kebanyakan pantai di persisir laut China Selatan ini. Sebaliknya berselut
hitam.
“Ish…graduan
pengurusan akauntansi pun pandai bercakap macam saterawan juga. Kau ni
mengalahkan ‘Kemala’ pula. Dahlah… berhentilah berangan-angan macam penyair tu.
Penyair ni hidupnya di dunia angan-angan tau. kita pula hidup berpijak di bumi
nyata.” Ujar Sarina sambil mengeluarkan baju-bajunya dari dalam beg dan
menggantungnya di lemari.
“Tak sangka…ya kau
pun kenal Kemala penyajak dengan sajak-sajak indah dan puitis tu? Aku ingatkan
kau hanya kenal orang-orang di sekitar dunia kau saja. Orang-orang yang merasa
dirinya cantik dan akan kekal cantik dan muda selamanya.”
“Ah! kau ni ada
je...kau jangan memperlekehkan bidang yang sedang kau ceburi ini kerana bidang
inilah yang memberi kau rezeki tau. Soal hendak kekal cantik dan muda sentiasa
itu hak individu. Terpulanglah pada tuan punya diri. Jikalau hendak kekal muda
dan cantik pandai-pandailah jaga diri. Bila rupa sudah berkedut cepat-cepatlah
suntik botox…aha cantik semula.” Balas Sarina dengan sengihnya yang
menyeringai.
Anita turut
tersenyum dengan gurau Sarina walakian ianya adalah realti yang wujud dan tidak
boleh dipertikaikan lagi. Ramai di kalangan artis wanita veteran yang semakin
dimamah usia kemudaannya memilih botox (botolonium toxin) sebagai penyelesaiannya.
Pada pandangan Anita suntikan serum yang mahal itu tidak akan berkekalan
merawat sakit tua kerana masa yang berputar sentiasa merubah setiap kehendak
manusia.
“Eh...Nita kau
perasan tak pengurus resort RSJ yang menyambut kita tadi, bukan main lawa dan
kacak orangnya. Kabarnya anak seorang Datuk di KL.”
“Habis kenapa? Kau
sudah terpikat dengan anak Datuk pulak. Tak mahu lagi hendak memikat Datuk dan
cepat dapat gelar Datin?” sahut Anita menyelar sikap temannya itu.
“Kau ni…aku tu
berkawan dengan Datuk-Datuk tu bukannya apa. Saja suka-suka. Sebab kebanyakan
Datuk ni banyak duit dan pemurah pulak. Pantang melihat kita senyum,
melambak-lambak rezeki yang jatuh ke riba kita. Apa kata orang…rezeki wajah.
Bukan kita yang terhegeh-hegeh mengendeng. Tapi... kalau nak buat suami aku
rasa aku tak nak. Kalau Datuk tu solo ok.” Jelas Sarina tentang pendiriannya.
“Berdoalah
banyak-banyak Ina supaya kau dapat jodoh Datuk yang solo. Tapi aku rasa kau ni
macam mana nak berdoa kalau solat pun liat, kadang-kadang buat kadangkala
tidak. Jangan-jangan kau ni akan dapat jodoh Datuk yang solo tapi dah lanjut
usia.” Tutur Anita bercanda dan terkekeh
kemudiannya, mengusik temannya yang mengacu penampar ke mukanya.
“Kau jangan
main-main sebut Nita, masin mulut kau menjadi…merana badan. Minta simpang
malaikat 44.” Sarina tahu pula merasa takut apa yang dikatakan Anita akan
menjadi kenyataan.
“Taklah…aku gurau
je…”balas Anita sambil merangkul temannya yang lincah dan lepas laku itu.
Tetapi dihatinya, Sarina tetap mempercayai doa yang makbul kerana ‘masin mulut’
penyebutnya. Walakian semuanya berlaku dengan izinNya.
Dia pun tidak tahu
kenapa hatinya yakin mempercayainya kerana peristiwa sebegitu pernah
dialaminya. Jika emaknya melarang melakukan sesuatu tapi masih juga hendak
dilakukan, jawabnya terimalah padah. Emaknya hanya berkata jangan kemana-mana
di waktu senja dekat masuk maghrib begini, takut kemalangan kerana di kala ini
banyak hantu setan yang berkeliaran.
Kerana
kedegilannya tidak mendengar pesanan emaknya dia terlantar di atas katil
mengerang kesakitan kerana motorsikal yang ditunggangnya tiba-tiba terpeleset
ketika hendak mengelak sebuah motorsikal lain yang muncul tiba-tiba di selekoh
di suatu senja. Motorsikal yang ditunggangnya menghumbankannya ke dalam tali air.
Lain kali dia
tidak berani lagi hendak membantah kata emaknya. Mungkin juga sebab ‘masin
mulut’ neneknya seorang adiknya yang lelaki langsung tidak ingin berhijrah
lebih jauh dari rumah ke mana-mana kerana sewaktu menanam urinya selepas
emaknya melahirkannya neneknya mengatakan biarlah adiknya itu sentiasa ingatkan
rumah dan tidak pergi jauh dari rumah.
Sudahnya adiknya
itu hanya berada di rumah dan hanya menolong kerja-kerja nenek dan emaknya di
rumah kerana dia langsung tidak boleh tinggalkan rumah tempat kelahirannya
lantaran sentiasa teringat-ingatkannya apabila berpergian meninggalkannya..
“Janganlah masin
mulut kau Anita, nanti aku yang padah.”
“Oii.. apa yang
kau merepek tu. Tidurlah...baru letak kepala ke bantal dah mengigau.
Sarina…Sarina...."
hebat sungguhlah gaya penulisan akak, terbaik ni !
ReplyDeleteyeke...sukernyer hati...mcm dpt bnyk juadah enak utk berbuka drpd KA...tq KA
ReplyDelete