Sunday, 30 October 2011

Cinta dan perkahwinan

"Kenapa kau tak pilih dia? Dia kan kaya, ada syarikat guaman sendiri dan seorang yang berjaya di dalam hidup kau tentu senang lenang kelak..." Kawannya itu masih meneruskan komentarnya lagi.

"Atau kau pilih saja sidia yang kau ceritakan pernah melamarmu tapi kau tolak. Aku tengok dia pun hebat orangnya, seorang kontraktor tahap jutawan. Kenapalah kau ni menolak tuah...sah-sah kau akan bermandikan wang ringgit kelak...tak faham betul aku..."

Kawannya itu dijeling sekilas dengan senyuman berbunga.
"Dah habis omel kau ke...kau tak payah nak susah-susah faham aku, aku sendiri pun kadang tak faham diri aku sendiri tapi bolehlah aku cerita sedikit setakat yang aku faham tentang diri aku ni..."
"Ceritalah...aku dengar ni..."

"Aku tak pilih sidia-sidia yang kaya-raya tu bukan sebabnya aku tak suka jadi kayaraya segera. Cuma aku rasa  aku pun boleh cari kekayaan tu dengan usaha aku sendiri. Tak payah nak bergantung hidup dengan kekayaan orang lain. Lagipun kau nak kalau suami kau kata lepas kita kahwin nanti awak duduk saja kat rumah...takpayah nak kerja. Sedangkan mak ayah kita yang miskin tu dah melabur banyak duit untuk pengajian kita. Takkan kita taknak berkerja membantu mak ayah kita. Dibuatnya jodoh kita tak panjang dengan sidia...ditinggalkannya kita, macamana kita nak hidup kalau tak berkerja.

Alasan aku yang kedua mudah saja...sebab aku tak cintakan mereka. Aku akan pilih seorang sidia yang baik, berbudi bahasa,bertanggungjawab, hormat orang tua. Walaupun tak kaya. Kebaikan tu sangat penting tau. Dalam dunia sekarang tidak ramai lagi lelaki yang baik tau...Lagipun aku dah ada sidia yang sangat cintakan aku..."

'Patutlah pun. Moga apa yang direncanakan menjadi kenyataan. Kadangkala memang amat payah menolak takdir justeru jodoh pertemuan itu Allah yang atur sahabatku.'

Thursday, 27 October 2011

Sakit dan ubat

"Kita ni bila dah berumur ni macam-macam sakitnya yang menyerang yer...darah tinggi, kencing manis, sakit jantung...yang paling takut tiba-tiba menjadi lumpuh pula...risau betul..."

"Sihat tentulah lawannya sakit...kan dah lama hidup sihat....bila diserang sakit sedikit janganlah merungut. Kalau dah sakit kenalah cari ubat. Kan Allah kata setiap penyakit itu ada ubatnya kecuali mati. Pabila dah mati dah tak boleh nak kata apa lagi..."

Zai dan Idah leka bertukar kata sambil menjeling aku yang terkedu di sisi mereka.

"Kak Pidah ni ok saja...tak pernah pulak kita dengar dia sakit teruk yer..."
"Ok apa...kau tak ingat dulu kak Pidah kena darah tinggi...masuk wad dekat sebulan...badannya menggelembong macam belon..."

"Betullah...tapi lepas tu kak Pidah dah tak ada darah tinggi lagi kan...apa yang kak Pidah makan yer?"
'Kau nak tahu ye Zai...biarku ceritakan...'
"Kak Pidah dulu lepas balik daripada hospital terus dia makan akar petawali yang pahit sangat tu...aku tahulah sebab aku yang tolong blendkan untuk dia...punyalah pahit akar tu sanggup dia minum..." Idah menolongku menjelaskan yang sepatutnya.

PETAWALI/AKAR SERUNTUN...PIC GOOGLE.

"Tapi pahit-pahitpun mujarab akar tu. Tengok sampai sekarang kak Pidah dah takde darah tinggi lagi."

GAMBAR HIASAN
Selain akar petawali banyak lagi herba2 alam yang boleh mengurangkan tekanan darah tinggi sekiranya diamalkan tanpa jemu seperti pokok akar cerita, daun rambutan, daun manggis yang gugur, daun sabung nyawa dan lain-lain lagi yang tidakku ketahui

Wednesday, 26 October 2011

6787 HIKAYAT LEMBAH SUNYI - SAMBUNGAN - bab 4

BERMULALAH hidupnya di sebuah tanah rancangan yang baru dibuka. Suasananya baru. Segala-galanya baru. Hidupnya berjiran dengan rakan-rakan baru yang berhijrah daripada pelbagai negeri yang berbeza. Jiran di sebelah kanannya sepasang suami isteri beranak tiga berasal daripada Kelantan. Jiran di kiri pula datang daripada Selangor dan pasangan itu miliki seorang anak lelaki. Hamimah dan Aris adalah jiran di hadapan rumahnya berasal daripada Pulau Pinang dan miliki sepasang anak lelaki/perempuan. Dan sepasang lagi jirannya yang terdekat adalah kelahiran utara. Orang Kedah. Kesemua mereka ini adalah kawan-kawan barunya  yang menghuni lembah ini. Pertempatan ini memang lembah. Sebuah lembah yang sunyi lagi damai.

Masing-masing bersama-sama membina penghidupan yang diharapkan jauh lebih cerah setelah merantau daripada tanah kelahiran asal. Walau di sini  kehidupannya tidaklah sesenang mana namun tergantung juga setakat mana usaha yang dipertaruhkan. Jikalau mengharapkan hasil daripada kebun sawit semata tentulah setakat boleh hidup saja. Perlu juga ada usaha sampingan untuk menambah penghasilan.

Suaminya mula mengatur visi. Isterinya hanya boleh mengangguk saja. Rencananya walau disanggah akan menjadi juga. Berniaga, Bukan mudah hendak berniaga. Banyak yang perlu difikirkan sebelum melaksanakannya. Susah sungguh hati isterinya. Belum hilang rusuh hatinya, suaminya sudah membawa pulang sebuah lori pickup kecil yang dibeli dengan wang simpanannya.

Rupanya tekadnya hendak menjadi bisnesmen bukan main-main. Isterinya itu hanya menarik nafas lelah disamping berdoa mengharapkan setiap rancangan suaminya untuk meningkatkan taraf hidup dipermudahkan urusannya.

Tuesday, 25 October 2011

Kehilangan

1.    Pusara itu kembali meraup sepi. Setelah berteleku, membaca yasin, berdoa dia melangkah meninggalkan pusara arwah anak kesayangannya dalam hujan yang turun renyai-renyai di awal pagi. Hatinya yang masih robek ditinggalkan bertambah nyilu diselimuti dinginnya suasana. Telah sekian tahun anak itu mengadap Ilahi namun dia merasakan insiden itu seolah baru semalam. Cinta dan kasih sayangnya yang mendalam terhadap anak yang telah dibelai, dimanja, dididik sebaiknya tidak langsung hapus walau sedikit. Perasaan itu menderanya pula,melanyaknya hingga tidak bermaya. Kesedihan lantaran kehilangan yang tersayang terus diratapi. Menjadikannya murung.

2.    Dia merenung siling. Sekujur tubuhnya lesu. Tiada daya upaya menolong diri sendiri. Hanya terbaring saja mengharapkan kesudian orang lain menghulurkan pertolongan lantaran kelumpuhan yang memenjarakan pergerakannya. Anak-anak yang masih kecil mengelilinginya. Dia hanya memandang pilu wajah anak-anak yang sayu tanpa dapat berbuat apa-apa untuk mengurusi kemasylahatan mereka sebaiknya.Tidak dapat lagi menyayangi apalagi memberi didikan menurut kemahuannya. Semata-mata mengharapkan belas kasih keluarganya terdekat untuk memberi mereka perhatian. Dia amat menyesali kehilangan saat-saat indah berceria bersama anak-anak kesayangan walau anak-anak itu tetap tumbuh membesar dan berada di sisinya...

Sunday, 23 October 2011

BORAK-BORAK ORKID

"Banyak borong orkid pidah...hari tu tak cakap nak gi Sg.Buloh beli orkid...kalau tak boleh kak kirim..."
"Takpe kak tak kirim pun takpe...saya dah tahu apa yang kak teringin nak beli...saya dah belikan untuk kak..."
"Mana yang mana satu untuk kak ni?"
"Kak pilih je yang mana-mana pun...ada butterfly dari Korea...ada vanda macam-macam warna...ada dendrobium...ada cataleya dan orkid-orkid hybrid..."
"Kak ambil orkid yang banyak putik ni sudahlah...berapa harganya?"
"Sepuluh ringgit je kak...butterfly ni taknak? 30 ringgit je..."
"Mahalnya...taknaklah...ambil yang murah-murah sudah...bunganya pun cantik juga..."
"Ikut kak lah...ini saya berikan kak vanda merah dan anak benih butterfly juga. Kak tak payah bayar saya bagi jer...kak pun selalu belikan saya orkid kalau ke Temerloh..."
"Iakah...terimakasih banyak-banyak pidah..."
Begitulah bicara dua orang penggemar orkid yang tinggal berjiran. Sering bertoleransi tentang minat mereka yang serupa

Friday, 21 October 2011

WANG...WANG...BERWANG

Terpegun sungguh dia melihat kekayaan yang dimiliki kawannya seorang pengusaha sebuah restoran di tengah bandar ternama. Bersusun kereta yang dimilikinya di hadapan rumahnya yang indah. Di dalam rumahnya pula sarat dengan perabot-perabot mahal yang di atur rapi. Menyelesakan pandangan mata. Dia pun menilai kehiduppannya yang seadanya. Tidak miliki walau sebuah kereta dan hanya tinggal di dalam sebuah rumah kayu yang serba sederhana.

Kata seorang pakar motivasi; kita perlu tunjukan apa yang kita miliki sebagai tanda keupayaan kita. Jadi lantaran dia tidak punya apa-apa tentulah tidak berupaya menunjukan apa-apa. Namun dia amat bersyukur kerana kawan baiknya itu berjaya mencapai apa yang diidam-idamkannya selama ini iaitu memiliki kehidupan mewah sebelum menutup mata.

Tetapi harus bijak juga mengurusi kekayaan agar ianya lestari sepanjang penghidupan. Janganlah berbelanja sewenang-wenang tanpa keperluan.

Dan kawan baiknya yang baru bergelar OKB itu kabarnya kini mengalami pelbagai masalah kewangan pula. Keretanya yang bersusun-susun itu tidak mampu dijelaskan ansuran bulanannya, rumah mewahnya pula tertunggak banyak bilnya dengan bank. Memang pening kepala memikirkan masalah tu ya...

Wednesday, 19 October 2011

DIALOG DIALOG MAYA...

ASSALAMUALAIKUM...


"Wah...mesra kau berpelukan dengan isterimu, siap tayang satu dunia lagi...orang sayang isterilah katakan..."

"Kalau kita sayang mestilah kita tunjukan bukan..."

"Kau tunjukan kasih sayangmu kepada dunia terhadap isteri barumu saja kot...sebab banyak aku nampak gambar-gambarmu mesra berdakapan dengan sidia saja. Tapi dengan K tak ada pula..."

PIC HIASAN
"Ada aku letakan dalam fb gambar K juga...kau yang tak perasan."

"Banyak ke foto-foto K yang kau masukan online?"

"Satu je..."
"Patutlah aku tak perasan... sebab foto yang satu itu dah ditenggelami aura foto-foto isteri mudamu yang cantik berposing denganmu..."

Dia adaptasikan makna keadilan memadukan isteri-isterinya mengikut caranya tanpa mempedulikan perasaan isterinya yang terluka kerana dia telah memaklumkan kepada dunia bahawa dia sangat berbahagia dengan isteri barunya sedangkan isteri pertamanya itu dianggap ada saja. Mungkin itu yang difikirkan kawan kepada suami K itu.
Berwuduk






Jangan membazir air tika berwuduk. Juga tidak was-was tika melakukannya. Tetapi mesti teliti. Memadai hanya menggunakan 3 liter air. Hukum berlebihan menggunakan air tika berwuduk adalah harus.

Berwuduk pada setiap kali hendak sembahyang' Hadis riwayat Anas; Nabi SAW berwuduk setiap kali hendak sembahyang tetapi para sahabat tidak melakukannya.

Allah menulis sepuluh kebajikan setiapkali kita berwuduk sebelum wuduk terbatal


Monday, 17 October 2011

6787 HIKAYAT LEMBAH SUNYI - SAMBUNGAN - bab 4

Allah memang mengasehi setiap hamba-Nya. Pintu rezeki sentiasa terbuka luas walau ada yang merasanya peluang untuk itu sudah tertutup. Tiba-tiba tanpa disangka-sangka dia dan suaminya mendapat tawaran untuk menyertai skim tanah rancangan FELDA yang banyak dibuka di sekitar sini.

Inilah saat-saat yang ditunggunya selama ini untuk mendirikan kehidupan berkeluarga di rumah sendiri. Di skim ini memang sudah disediakan rumah untuk dihuni pesertanya dan diberikan pula tanah seluas 3.4 hektar yang telah ditanami dengan tanaman kelapa sawit. Setelah sawit itu mengeluarkan hasilnya para peneroka pun dipanggil untuk menyertainya.

Suatu ketika dulu dia dan suaminya sering meronda-ronda kawasan skim melihat persekitaran perumahan dan mengunjungi rumah saudara maranya yang tinggal di situ. Mereka ini sudah lama menjadi peserta skim dan taraf kehidupan mereka jauh lebih baik dari sebelumnya. Dan ada diantara mereka yang berjaya menguruskan perniagaan yang menguntungkan.

Saudara-maranya ini dulu pernah ditolongnya mengisi borang dan urusan-urusan yang bersangkutan dengannya kerana kebetulan dia tika itu berkerja di pejabat pentadbiran FELDA wilayah. Dan mereka itu amat berterimakasih kepadanya.

Kini gilirannya pula untuk bergelar penerokawati dan suaminya adalah peneroka. Rentak hidup baru sedang diteroka.

Sunday, 16 October 2011

GEGARAN BUMI

12 Apr 05

Gunung berapi Talang di Sumatera mula mengeluarkan laharnya. Sebelum ini berlaku gegaran gempa bumi yang meranapkan Nias di Sumatera barat. yang mengorbankan beribu nyawa. Gegarannya tidak menyebabkan ombak tsunami tetapi tetap menimbulkan was-was dan prasangka yang tidak terduga.



Sejak awal tahun hingga kini gegaran melebehi 6 skala Richter beberapa kali berlaku menggusarkan hati penghuni yang mendiami Sumatera dan negara-negara yang berkongsi perairan lautan Hindi.

Seketika dulu ramai yang tidak peduli atau beringat tentang apa yang berlaku di daerah sini kerana langsung tidak nembawa kesan yang mudharat. Namun setelah gegaran yang menghasilkan tsunami yang menelan banyak korban dan melibatkan banyak negara Asean, masing-masing tidak memandang ringan lagi.


Justeru ada fadilatnya Allah menguji hamba-hamba-Nya dengan dugaan yang langsung tidak pernah terfikir. Allah memberi peringatan bahawa segenap ciptaan manusia itu tidak seberapa daripada apa segi sekalipun. Cuma digegar gempa sedikit saja sudah ranap semuanya. SUBHANALLAH

Thursday, 13 October 2011

BERPANTUN MEMBELAI ANGGERIK...

ASSALAMUALAIKUM..



Vanda merah cataleya jingga
butterfly ungu dendrobium kuning
hilang gundah ceria bangga
menatap wajahmu terusir runsing


                      Cataleya harum mewangi
                               mengundang serangga mengerumuni
                      andai cahaya menerangi
                              tambah lesu diserangi
                                                                                         Anggeriku ini banyak jenisnya
                                                                                         pengubat duka penghapus lara
                                                                                         warnawarninya terapi minda
                                                                                         anugerah Allah maha Pencipta
Anggerikku ini rajin berbunga
menemaniku mengusapi luka
alpa segala sentiasa leka
mengurusinya sangat suka

Wednesday, 12 October 2011

30 MACH 05

30 Mach 05

Umum sibuk bercerita tentang subjek yang dimulakan pembelajarannya sejak 3 tahun lalu sebagai  usha terakhir Dr.Mahathir selaku PM iaitu pembelajaran math dan sains dalam bahasa Inggeris tidak releven lagi kini. Banyak alasan yang diberikan kononnya penguasaan bahasa itu tidak membawa manafaat apapun.

Dr.M walau pada mulanya bersikap mendiamkan diri tetapi berbunyi juga pabila usahanya untuk menjadikan manusia Malaysia bijak pandai untuk merenangi arus globalisasi disanggah dan dikritik ideanya.

Begitulah manusia secara semulajadinya memang sukar untuk menerima perubahan meskipun membawa kebaikan' Sentiasa merasa selesa dalam sarung sendiri dan tidak mahu mengubah diri mempelajari sesuatu yang akan memenafaatkan mereka kemudian hari.

Monday, 10 October 2011

HARTA DUNIA

Harta yang diperolehi daripada jalan haram tidak boleh disedekahkan atau dijadikan amal ibadat. Pelbagai penipuan yang berlaku untuk memperolehi harta itu.
Hukumnya ternyata haram.

Jual beli mesti sohih agar pembelinya redha.

Harta yang ada mesti disucikan dengan zakat dan disuburkan dengan sedekah.





Sunday, 9 October 2011

ASSIGNMENT PUNYA PASAL



Sambil memicit-micit kakinya dia tersenyum sendiri mengenangkan insiden lucu tika melakukan tugasan yang diberi pensyarahnya dr. Nordin yang tegas tapi berwajah manis itu.

Seorang wanita sebaya emaknya kelihatan kalut dan gelabah sekali tika dia dan temannya menghampiri gerainya.
"Tolonglah cik...janganlah roboh gerai saya...saya baru saja buat gerai ni nak berniaga. Saya orang susah cik...anak-anak ramai yang nak disara..."

Dia dan kawannya berbalas pandangan. Tersenyum pula.
"Kenapa kak...jangan risau...kami ni bukannya pegawai DEWAN BANDARAYA yang datang nak meroboh gerai kak. Kami ni daripada UPM Serdang buat kajiselidik sikit tentang alam sekitar kat kawasan pinggir bandaraya ni. Dah penat berjalan menemuramah orang tekak pun rasa kering...itu yang kami berdua singgah kat gerai akak ni..."

"Begituke...kak ingatkan awak semua orang-orang DEWAN BANDARAYA tadi...hati dah tak sedap. bimbang saja gerai kak kena roboh..."

"Kenapa kak risau sangat dengan orang-orang DEWAN BANDARAYA...kak tak ambil lesen berniaga kat sini kot?"

"Kita nak berniaga mestilah mohon lesen berniaga kan. Dah banyak kali dipohon...tak adapun jawapannya...banyak sungguh kerenahnya..Kita ni nak cari rezeki halal...nak hidup. Bukannya nak mencuri...itupun jadi masalah..." Wanita itu melepaskan rungutan tentang tidak kesetabilan hidup yang melengkunginya kini...

Saturday, 8 October 2011

Dia memandu perlahan. Melepasi stesyen bas,  Pejabat Pos, Talikom dan akhirnya berhenti di lampu isyarat yang merah sebelum bergerak setelah lampu itu bertukar hijau. Wira ungu kelabu itu membelok pula ke jalan yang menghala ke kampungnya dan beberapa kampung felda yang lain.

Hujan merembas renyai dan angin berhembus halus menyentuhi wajahnya. Dingin. Daun-daun hijau kemilau jernih disinari caha mentari yang cerah kembali. Tadi situasi alamnya redup saja.


Suara Raihan merdu bernasyid beralun daripada keset keretanya.

Kini sudah berada di beranda rumahnya menikmati flora indah alam yang menyegarkan sambil memicit-micit kakinya yang terasa lenguh kepenatan. Betisnya terasa sengal sekali.

Friday, 7 October 2011

Hai anak Adam berpadalah dengan apa yang ada, Jikalau seseorang itu merasa cukup dengan apa yang ada sesungguhnya ia sudah kaya.

Barang siapa yang redha dengan rezekinya yang sedikit sesungguhnya ia sangat yakin dengan kekuasaan Allah.

Jadilah seseorang yang bersyukur dengan nilmat Allah dan jangan ada sikap mendengki iri hati. Lakukanlah ibadah dengan penuh minat dan takwa nescaya akan mendapat nikmat kusyuk.

Kita perlu meninggalkan amalan keji juga mungkar untuk mendapatkan nikmat beribadah.

Zahir kasih sayang sekiranya seseorang itu melupakan umpat keji yang membawa keburukan.

Barang siapa yang sedikit percakapannya sempurnalah akalnya. Maksudnya sentiasa berhati-hati tatkala menuturkan sesuatu,








Thursday, 6 October 2011

Kapal yang bocor


Kapal itu telah meninggalkan pelabuhan
sarat muatannya berat bebanannya


kadang melinglung dipukul ombak ganas
kadang tersasar laluan dihempas badai


Namun terus belayar dengan sabar
meredah situasi demi situasi
tanpa mengira nasib diri


Di tengah lautan pelayarannya terhenti
segara luas nan tidak bertepi 
tidak gagah lagi direnangi



Dan
tiada yang menangisi nasib dirinya
mahu berpayah membaiki kebocorannya


Kini sendirian bermain gelombang
bertemankan camar yang singgah di tiangnya
yang pasti bakal tenggelam
ke dasar lautan perlahan-lahan
untuk menjadi tukun ikan ikan





Tuesday, 4 October 2011

JALAN JALAN MENDAKI BUKIT FRASER...

Aku mengikut anak sulungku ke Bentong. Singgah sebentar di rumah adikku Ilah. Ilah tidak ada di rumah kerana sibuk menguruskan restorannya di tengah bandar Bentong.

Anakku itu pula ada urusannya di Janda Baik bersama para pelajarnya yang ingin meraikannya. Hanya 4 bulan saja menjadi guru sandaran sudah begitu dihargai murid-muridnya akan khidmatnya. Murid-muridnya memberikannya pelbagai hadiah kecil.



Sebenarnya perjalanan kami ini menuju ke Bukit Fraser. Tetapi ada persinggahannya. Hari sudah terlewat petang sewaktu mula mendaki Bukit Fraser. Jalannya yang bengkang-bengkok melunturkan hajat untuk sampai ke atasnya walaupun di atasnya tersembunyi keindahan panorama yang sangat mengasyikan.

Dulu aku dan bapa sering saja mengambil laluan Gap ke Kubu Bharu dalam perjalanan kami pulang kampung tapi tidak pernah terlintas untuk menaiki Bt. Fraser walau jaraknya dari Gap ke atasnya cuma 8 km.

Suasananya sunyi sepi diselimuti malam yang mula berlabuh. Irama cengkerik rimba membuat peluh jernih menitis di dahi pemandu yang turut bersama.

Padaku pula ini mungkin pengalamanku yang pertama dan terakhir ke sini. Sewaktu tiba di atas puncak bukit percutian ala Inggeris itu baru pukul 8.00 malam. Dingin malamnya sangat menggigit. Walaupun tidak di bawah paras beku tetapi kedinginannya terlalu.

Mujur ada lagi hotel yang sederhana bayarannya untuk ditempati sementara menunggu siang. Hari sudah pagi. Tenang dan nyaman.Seketika meronda melihat persekitaran yang dipenuhi bangunan megah ala Inggeris sesuai untuk meraikan percutian.

Pemandangan dari atas puncak bukit memang cantik. Kelihatan jaluran banjaran Titiwangsa indah tersergam.
Subhanallah....Jangan lupa pula melawat nurseri bunga-bungaan yang aneka rupanya. Itu sudah mesti. Walau tidak membelinya sekadar menjamu mata pun ok.

Perjalanan pulang walaupun menuruni bukit amat meletihkan. Kepala terasa berat dan pusing. Setelah berlenggang-lenggok mengikuti jalan bak ular dipalu sampai juga di bandar Raub.

Monday, 3 October 2011

Dah lama rasanya tak bercuti. Sesekali dapat cuti seronok juga. Terlepas sekejap daripada kefardhuan. Boleh berehat panjang. Asyik baring saja. Bermain-main dengan hp pun boring juga, tu. Apalagi nak dibuat.

Pabila dah tua minat menonton TV pun dah kurang. Suara nyanyian artis-artis tidak lagi merdu mempesona. Drama/cerekarama TV tengok pun mengantuk.

Itu baru keseronokan mata dan telinga yang beransur-ansur hilang. Belum lagi bab selera. Rezeki melimpah-ruah tapi selera makan pula tidak ada. Jikalau ada keinginan hendak makanpun tidak boleh sebarang. Mesti berfikir banyak kali sebelum menyuapnya ke mulut..

Bimbang akan makanan itu jenisnya boleh meningkatkan kolesterol dan menyebabkan hipertensi
atau lain-lain penyakit kronik yang menyerang dalam diam.

Setiap hari langkah yang diatur semakin lemah dan goyah. Akhirnya terhenti sendiri....
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...