Friday, 23 May 2025

FADILAT SUNAT ISRAK

 ASSALAMUALAIKUM



FADILAT SOLAT SUNAT ISRAK

.

Aku  bukan hendak menjadi ustazah Google. Tapi  hanya hendak berkongsi sedikit ilmu yang diperolehi tika menghadiri kuliah agama di kampungku.

Ustaz  yang memberi kuliah menerangkan jikalau kita melakukan solat Israk dua rokaat memohon doa agar Allah permudahkan urusan kita hari ini sepertimana sinar mentari menyeluruhi alam ini nescaya Allah akan melancarkan niat kita tanpa aralnya.

Itulah yang seringku amalkan jikalau terasa hendak berurusan penting. Insya-Allah.

Solat  sunat Israk dilakukan menurut waktu yang terhad iaitu jam 7.30 pagi hingga 8.00 pagi.

Dilakukan 4 rokaat secara 2 rokaat berasingan. Solat 2 rokaat pertama mendoakan kesempurnaan urusan dunia. solat sunat rokaat kedua mendoakan kesempurnaan urusan di akhirat kelak.

Apapun rujuklah pada ilmuan agamawan yang arif. Aku hanya menyampaikannya secara  kasar.

 

sejadah solat –

mentari pagi semi

arus urusan



Thursday, 22 May 2025

TAMAN SYURGA

 ASSALAMUALAIKUM




TAMAN SYURGA

.

.

Majlis

usrah ilmu

kuliah wacana

tarbiah madrasah iman

takwa

.

Diri

tulus ikhlas

hadir dengan niat

tambah tahu Islam syumul

wajib

.

Allah

Rahim Rahman

turunkan rahmat-Nya

seluruh alam semesta

limpah

 

Indah

suasana

bagai dalam taman

syurga naungan  malaikat

rendah


Wednesday, 21 May 2025

SELAMAT HARI GURU

 ASSALAMUALAIKUM

KARYA PILIHAN
❤ Paridah Ishak
WAKA
(Haiku/Haiga)
Salam Rabu hari Payang.....Alhamdulillah puisi haiku/waka karya PI dipilih sebagai karya pilihan @GRAHA KARYA dan diadaptasi dalam grafik menarik sentuhan Sifu Tabir Alam....terima kasih banyak Sifu kesudiannya


SELAMAT HARI GURU


.

Ucapan  Selamat Hari Guru

suara sukma lirih terharu

mengenang jasa berbilang-bilang

dalam kenangan tiada hilang

.

Jasa  ditabur di batas budi

Agar benihnya tumbuh menjadi

segala bidang lihai teroka

berkat rahmat-nya hijab terbuka

.

Antaranya  Sifu Tabir Alam

umpama obor menyuluh kelam

bimbing pemula penulis sastera

aneka genre selari cara

.

Terima  kasih tidak terhingga

mohon maafkan khilaf menduga

teguran sifu tentu tujuan

agar tak sesat arah haluan

.

titipan doa di angin lalu

murah rezeki sihat selalu

kehidupannya beroleh rahmat

berkat ganjaran berserta nikmat


Tuesday, 20 May 2025

PAK PANDIR DAN MAK ANDEH MODEN

 ASSALAMUALAIKUM



PAK PANDIR DAN MAK ANDEH MODEN
.
Pak Pandir memang tersangat bijak
rupa parasnya amatlah sajak
suka merancang
tanpa berbincang
kalut mencincang duri terpijak
.
Mak Andeh pula suri jelita
tiasa lancang menutur kata
bagaikan mudir
tegur Pak Pandir
petah mulutnya mencaci nista
.
Kedua-duanya asyik bertekak
sehingga senja mula merangkak
mencari salah
terus berbalah
gema suara riuh memekak
.
Hidup bersama tak sefahaman
ada kelompok memilih teman
siapa benar
pertikai nanar
berakhir jodoh malang disaman

Monday, 19 May 2025

NEGARA TERCINTA

 ASSALAMUALAIKUM



NEGARA TERCINTA
.
Ya Allah hanya pada-Mu kumengadu,
ketika berjaga atau jua beradu.
Dengan bismilah nazamku bermula,
memohon ampun salah silap segala.
.
Pilihan sejati negara tercinta ,
tanah berdaulat tapak berjejak nyata.
.
Anugerah Allah pada bangsa tertentu,
damai harmoni aman huni di situ..
.
Sangatlah indah amat luas saujana,
tidak terbanding jua di mana-mana
.
Cinta sejati warga semua tumpah,
tiada batas ampuh biar melimpah.
.
Sanggup berkorban seluruh jiwa raga,
gelombang durja senantiasa siaga.
.
Ya Allah hanya pada-Mu kumengadu,
ketika berjaga atau jua beradu.

Saturday, 17 May 2025

TANGIS FAUNA

 ASSALAMUALAIKUM


SELAMAT BERHUJUNG MINGGU SEMOGA BERBAHAGIA SELALU

KARYA PILIHAN
❤ Paridah Ishak
TANGIS FAUNA
(Saduka)
Alhamdulillah puisi saduka; TANGIS FAUNA karya kakpidah, dipilih sebagai karya pilihan @GRAHA KARYA dan diadaptasi dalam grafik menyayat hati sentuhan Sifu Tabir Alam....terima kasih banyak Sifu kesudiannya
Pic Sifu TA(C)


TANGIS FAUNA

 

Hati  ibu

sebak sebu

lemah longlai

jiwa relai

..

Tika  legar

kena langgar

anak malang

nyawa hilang

.

Fauna  gajah

duka terjah

gema raung

perih laung

.

Tipu  daya

jalan raya

papar erti

kasih jati



MyBloglist