Thursday, 17 January 2013

MENGADAP PENGURUS RANCANGAN...



mengadap pengurus rancangan.

by Paridah Ishak on Saturday, March 26, 2011 at 8:22am ·
Aku baru berangan-angan hendak menulis tentang satu kes kepincangan keluarga yang berlaku di sini melibatkan seorang yang kukenal baik. Kisah seorang isteri yang diabaikan suaminya lantaran suaminya berkahwin lagi dan isteri tuanya terpaksa meninggalkan rumah yang pernah dikongsi bersama kerana tidak mahu dimadu.

Isterinya mengemukakan beberapa tuntutan hak harta sepencarian namun tiada penyelesaian yang memihak kepada isteri malang, malang kah? pasti. Malang kerana dimadu. malang pula kerana tersisih dari cara kehidupan yang menjadi haknya.

Entah dimana silapnya dan entah dari mana  puncanya  tuan pengurus dapat mengetahui hasratku itu. Dah terpaksa pula mengadap En.Yaakob Othman suami kepada kak saadah itu. Inilah pengalaman pertamaku berdepan dengan risiko sebgai penulis kecil. tidak semua akan menyukai apa yang aku tulis dengan alasan-alasan mereka tersendiri. 

En.Yaakob menerangkan kepadaku duduk perkara sebenarnya tentang kes itu. Tentulah aku tidak akanku dedahkannya di sini. Akupun lemah semangat hendak membentangkan kisah itu dalam penulisanku. Belum ditulis pun aku terpaksa berdepan dengan pengurus. apalagi setelah ditulis dan ada rezeki disiarkan pula entah dengan pihak mana pula aku kena berdepan. tak mahulah aku...

Friday, 11 January 2013

SELIRATAN CINTA BAB 23


Azmi sedang memperkenal Fareez sebagai Rizal anak Datuk Shaari yang akan mengambil tugasnya sebagai Pengurus Resort Sri Jelapang, menggantikannya. Dan Rizal akan dibantu Fareez temannya. Fareez berbisik begitu kepada Azmi. Azmi memandang Rizal dan Fareez silih berganti dan akhirnya dia terangguk-angguk.
Fareez berdebar dan kekok dilayani sebagai seorang terhormat. Rizal memandangnya selamba. Ada desas-desus yang berbisik di kalangan gadis-gadis petugas yang membandingkan kedua-dua lelaki muda yang berada di hadapan mereka.
Kedua-duanya memang sama tampan bergaya dan berpesonaliti yang menawan. Seorangnya nampak sangat berkarisma sebagai seorang ketua sementara seorang lagi hanya selamba bersahaja namun kelihatan berwibawa..
‘Kalaulah si jejaka tampan itu jatuh hati kepadaku alangkah bertuahnya badan, seorang gadis yang bertugas sebagai penyambut tetamu itu memasang angan-angan. Dimatanya terbayangkan di saat-saat melewati waktu indah bersama jejaka idaman yang menjadi pujaan.
‘Hoi...jangan beranganlah. Sergah mindanya sedarnya. Dia kembali ke dunia fana dengan sabar menunggu gilirannya untuk di perkenalkan kepada kedua-dua jejaka itu. Matanya bersinar memberi fokus kepada keadaan yang melengkunginya.
Membuang masa sahaja membayangkan perkara yang bukan-bukan dan sukar hendak dijadikan kenyataan kata hatinya.
                                                   
                                                               23.

Anita dan Sarina sedang mempersiap diri untuk ke lokasi penggambaran. Sarina memasukan telefon tangannya ke dalam beg galasnya. Telefon itu berdengut tiba-tiba.  Melihat catatan nombor yang tertera di skrin kecil itu dia sudah tahu siapa pemanggilnya. Sarina bergegas ke biliknya untuk menjawab panggilan itu.
“Siapa panggil tu?” Tanya Anita.
“Ala budak production…suruh kita datang cepat.” Balasnya pantas mengilas hakikat, menyembunyikan kebenarannya.
“Betul ke tu?” Anita tetap sangsi dengan kenyataan yang didengarnya.
“Kenapa?... kau tidak percaya aku?” Sarina berlagak jujur untuk menarik kepercayaan Anita. Aksi klise.
“Kalau budak production yang call...selalunya kau jawab siap terpekik terlolong lagi. Ini tidak. Masuk ke bilik pula, macam rahsianya besar sangat hendak di sembunyi.”  
“Apalah kau ni. Ada je salahnya aku ni di mata kau. Ok lah pasal semalam tu aku minta maaf.  Untuk menunjukan keikhlasan aku…tengahari nanti aku belanja kau bila break shooting. Lagi pun kita tidak terbabit dalam tiga scene selepas break tengahari.” tutur Sarina dengan agendanya.  
“Tidak payahlah kau hendak belanja aku makan. Lagi pun aku rasa aku hendak bincang dengan abang Johan tentang scene di pulau nanti.” Sarina mulai kalut apabila Anita menolak ajakannya. Sesuatu yang terencana disebalik pelawaan itu akan rosak tergendala tanpa kehadiran Anita kelak. Dia mesti segera melakukan sesuatu.
Sarina menghampiri Anita, memaut tubuhnya dengan mesra. Memicit-micit bahunya.
“Ala kau tu merajuk lagilah tu. Kau kan suka makan tomyam. Di pulau tu nanti mana ada tomyam. Jadi kau makanlah puas-puas di sini hari ni sebelum kita bertolak esok.” Ujar Sarina dengan lembut memujuk.
Anita menepis tangan Sarina. Dia merasakan mutakhir ini tingkah laku Sarina terhadapnya sentiasa menyembunyikan maksud di sebaliknya.
Dia tidak mahu peristiwa Sarina sengaja membawanya hendak mengenalkannya pada seorang Datuk yang kini mengganggu kelancaran kehidupan normalnya berulang kembali.
“Boleh. Aku boleh ikut kau pergi makan tomyam tapi kau ajaklah sekali pengarah kita tu supaya hotnya pada kau kembali stabil. Macam mana?”
“Untuk kali ini aku rasa tidak boleh sebab bajet yang aku ada cukup-cukup untuk kita berdua saja.” Sarina memberi alasan. Dia yakin Anita akan menerima bohongnya itu kerana dia seorang sentiasa prihatin dengan masalah kawannya.
“Kalau macam tu tak payahlah belanja aku. Kau simpan sajalah bajet kau tu untuk diri kau sendiri. Aku tak ralat jikalau tempat yang kita pergi tidak ada tomyam, tapi aku rasa memang ada. Malah rasanya tentu lebih sedap sebab diperbuat dari makanan laut yang segar. Bukankah tempat yang kita nak pergi tu sebuah pulau di tengah laut. Tentulah mewah dengan makanan laut. ” Anita meninggalkan Sarina yang terkapa-kapa kerana tidak berjaya memenuhi keinginannya sebagaimana direncana.
Langkahnya menuju ke arah Johan yang sedang membuat revisi skrip drama tulisan Fuziah Samad itu.

                                                        *    *    *

  Shaari baru saja menyelesaikan tugasnya menyemak data-data operasi syarikatnya yang berada di dalam dan di luar negara. Kira-kira kewangan yang ditutup yang disediakan akauntannya menunjukan peningkatan keuntungan sekali ganda kerana keaktifan kapal-kapalnya mengangkut minyak sawit ke China dan Negara-negara Asia Tengah. Dia menarik nafas lega.
Ditolaknya ke tepi dokumen-dokumen yang usai ditelitinya. Menyandarkan tubuhnya yang separa gempal itu dengan santai di kerusi. Dia memejamkan matanya. Mulai mengalamun membina istana impian. Tiba-tiba saja dahinya berkerut. Berkecai impiannya laksana bunga-bunga kristal yang dihempas ke lantai simen.
Amin meluru ke dalam biliknya. Dia tersentak. Menggenyeh-genyehkan matanya.
“Baru...baru…baru…panas…panas…panas!”
“Apa kau memekak ni? Sudah hendak letak jawatan? Hendak jual goreng pisang panas pulak?” Sergahnya keras. Ketenangannya yang terganggu dengan olah khadamnya itu.
“Aikk...lain macam aje bunyinya. Kenapa perniagaan rugi banyak ke? Pagi-pagi ni tidak baik buat muka monyok, nanti rezeki lari Datuk.” Datuk Shaari menerjah pandangannya ke dalam anak mata Amin.
“Mulut tu jaga sikit ya. Bercakap jangan sebarangan. Bab rugi…rugi jangan sebut. Untung, untung, ong boleh sebut. Kau boleh tolong aku tak?”
“No problem. Mana pernah saya cakap ‘tidak’ bila Datuk minta tolong.” Balas Amin menunggu-nunggu butiran pertolongan yang dimahukan.
“Boleh tak kau tolong diam…”
“Ala lawak Senario le pulak. Datuk ni memang pandai buat lawak.” Amin terkekeh tertawa. Bulat mata Datuk Shaari memandangnya dengan tajam.
“Maaflah Datuk..apahalnya ni ...monyok je. Ceritalah kepada saya. Mungkin pembantu Datuk yang amat setia ni boleh menolongnya.”
“Aku tidak dapat pergi ke resort tu dengan Anita!” Datuk Shaari bersuara keras melepaskan tekanan yang menghempap benaknya.
“Ish… apa ni Datuk. Jangan meraung. Malu didengar staff lain nanti. Banyakkan bersabar.” Ucap Amin cuba menenangkan perasaan gundah-gulana Datuk Shaari. Belakang tuannya itu diurutnya lembut.
“Kenapa Datuk? Apa masalahnya? Datin sudah tahu ke rancangan Datuk?” Bertalu-talu pertanyaan yang terlontar dari bibirnya, terlalu ingin menjejaki permasalahan bosnya yang ketara amat tertekan perasaannya itu kini.
“Bukan Datinlah. Tapi anak aku. Rizal sudah jadikan resort tu territory dia!!”  Amin tercengang-cengang. Berat masalahnya ni, getus hatinya.
“Territory tu, amende Datuk”Tanya Amin jujur. Pertanyaan Amin membuatkan Datuk Shaari tersenyum sekilas. Lagak Amin yang lughu tapi tidak lurus bendol itu menawarkan sedikit kegeraman hatinya.
“Datuk kan tahu bahasa Inggeris saya ni lemah sikit.” Sambungnya tanpa rasa malu mengakui kelemahannya.
“Dia sudah duduk di sana menggantikan tempat Azmi menjadi pengurus resort tu.” Masalah yang membungkal di dadanya terluah juga, meski payah.
“Apa susah Datuk panggil saja dia balik ke sini. Habis cerita. Pulau tu bukan ke Datuk yang punya.” Ujar Amin dengan saranan yang bernas pada firasatnya. ‘Apalah Datuk ni benda mudah macam tupun tak boleh nak fikir.’
“Kau ingat senang hendak suruh dia balik. Dia pun macam aku juga, kalau dia kata dia hendak buat sesuatu, dia akan buat. Jangan hendak dipaksa dia buat apa yang dia tidak mahu.” Amin melongo. ‘Oh anak bapaklah ni… tapi nampaknya perangai bapaknya sikit je yang diambilnya. Bagus…bagus…ambil yang baik-baik saja. Perangai bapak yang teruk tu kau tolak tepi.’
“Lagi pun pulau tu bukan aku yang punya. Tapi hak Datin. Warisan keturunannya.”
“Begitu pulak ya…” Amin terangguk-angguk menyedari simpang perenang duduk perkara dan hala tuju yang sukar ditentukan puncanya.. 
“Ala… sebulan je Nita di sana. Dalam masa tu saya cari spare tyre satu untuk Datuk. Biar saya call Sarina ajak dia makan tengah hari ni. Dapat juga jumpa Anita sebelum dia pergi” Harapannya kegusaran hati Datuk Shaari segera mereda dengan bantuan yang ingin dihulurkannya.
“Tidak payah. Aku lagi cekap dari kau. Malam tadi aku call dia. Dia kata pukul lapan pagi kena pergi shooting. Jadi lepas subuh tadi aku call Sarina. Tengahari nanti aku ada lunch dengan dia orang.”
“Wah Datuk sudah buat kerja saya ni. Nampaknya susahlah saya hendak cari makan lepas ni...”
“Hidup ni mesti Up to date. Tidak boleh lembab sangat. Nanti kita ketinggalan.”
‘Up to date cara Datuk tu merugikan’ bidasnya dalam diam dengan sengihnya yang ketara. 
“Kenapa kau tersengih-sengih macam kerang busuk ni. Mesti dengan niat nak mengata akuni.” Bebola matanya bulat terjegil memandang Amin.
“Tak adalah. Datuk ni pandai saja nak serkap jarang. Takkanlah saya nak mengata bos sendiri.” Amin berusaha menangkis telahan yang sememangnya mengena. Senyumnya semakin lebar.

                                          

Friday, 21 December 2012

SUATU SISI KAMPUNG FELDA...

"Berapa banyak pendapatan bulan ni Idah...?"
"Adalah sikit...kadang dua ribu kadang tiga kadang 4. Ikut jumlah tan buah sawit yang dikait dan harga semasa di pasaran."
Idah bercakap dengan arif sesuatu yang diketahuinya pasti sebagai penerokawati.

"Kau ladang serah pada felda pertanian kan? Berapa yang felda bayar?"
"Adalah seribu...dulu tu felda bayar dekat 1500...la ni felda bayar ikut banyaknya tan buah yang dikeluarkan ladang..tapi tahu sajalah kalau bukan kita sendiri yang urus, hasil yang banyak pun  akan jadi sedikit sampai bila-bila. Kita nak urus sendiri kita pun tak daya...lainlah kau ada suami yang rajin uruskan ladang..."

"Cukuplah tu kau duduk saja je...tiap bulan duit masuk...lagipun nak buat apa duit banyak-banyak kan...heh..heh..."

'Duit banyak nak buat apa? Duit seribu cukup ke nak berbelanja sebulan.'  Suara hatinya mengiring senyum tawar.


Sunday, 16 December 2012

SEKEPING KAD HARI LAHIR

KAU KIRIMIKU SEKEPING KAD HARI LAHIR
SEDANG PERKENALAN BERMULA SEMALAM
LEWAT MAYA LEWAT UDARA
MESKI SEBENARNYA PERTEMUAN ANTARA KITA
TELAH LAMA BERLAKU
PULUHAN TAHUN DAHULU....
AH...INDAHNYA MOMEN ITU...

TERSIMPAN KAD KIRIMANMU
DI DINDING MAYA
HANYA KERNA ITU
SATU-SATUNYA YANG KUMILIKI
DARIMU...

INGINKU BALAS
KAD KIRIMANMU SEMALAM
SEBAGAI TANDA KASIH SAYANG PERSAHABATAN
NAMUN KELIRU KEMANA HENDAKKU ALAMATKAN...

AH...DI MANA SAJA KAU BERADA
AKU PASTI KAU BAHAGIA DAN GEMBIRA
APA LAGI DI SISI-NYA

SRKEPING KAD HARI LAHIR UNTUKMU
BERTINTA INDAH AYAT SUCI ALFATIHAH
DAN DOA-DOA KESEJAHTERAAN UNTUKMU
SAHABAT YANG DIKENANG...

AL- FATIHAH CIK RUSDAN TEH DAN SELAMAT HARI LAHIR..14 DIS12

Tuesday, 11 December 2012

Sakitnya.....aduh'

Asalamualaikum kawan kawan blog, Facebook yang sentiasa diingati. Insyaallah berkat doa kalian hamba Allah nan seorang ini kembali berblogging untuk menyukakan hatinya sambil menghambat masa agar cepat berlalu.

Jikalau waktu sihat banyak sungguh kerja yang hendak dibuat dan terasa masa yang diberi Allah selama 24 jam sehari tidak pernah cukup tapi kini setelah hanya dapat terbaring saja di katil masa begitu mewah kepada kita untuk mengisi ya namun tidak terdaya justeru yang yang dirasai semata.mata kesakitan.



Walau apapun alasannya jangan lupa solat zikir sirip tasbih sambil melafaz ayat ayat suci penenang jiwa pengubat luka. Sesungguhnya Allah yang menentu segalanya. Apa yang dikehendaki Nya itu luah yang terjadi.....

Tuesday, 13 November 2012

BUNGA-BUNGA SEPI.MELINGKARI HATI...


Hatinya menyendiri lagi
sepi melingkari hati
jiwanya masih sudi berkongsi fikiran
hatinya masih sudi berkongsi rindu
rindunya masih sudi berkongsi resah
puas disoalnya hati dan perasaan
penuh gambaran kenangan-kenangan silam
apakah kesudahan sang nasib diri
kalau boleh tidak mahu lagi
menjadi mangsa janji-janji manis
bagai habis madu sepah di buang
bunga-bunga sepinya
cuba merongkai untuk bangun sendiri
gelaran demi gelaran diterimanya
sangat menyakitkan hati
mujurlah perasaannya masih terkawal
sabar memagari marahnya
dia berfikir dan berdoa
akhirnya dia pasrah dengan takdir.
Muhd Adnan Bahari
Selayang Baru
8 November 2012

Monday, 12 November 2012

SELIRATAN CINTA BAB 21....


Anita dan Sarina baru saja selesai mengadapi juadah hidangan makan malam yang disediakan Anita. Anita suka memasak dan memang hobinya memasak seperti kebanyakan anak gadis yang lain.
Tetapi Sarina tidak begitu. Dia hanya tahu memasak mi segera dan menggoreng telor sahaja. Sekiranya hendak menyediakan resepi yang rumit dibiarkan saja Anita seorang yang menyingsing lengan melakukannya. Dia hanya tahu duduk bersila dan menyuapnya ke mulut apabila segalanya sudah siap terhidang di hadapannya..
Sudah kenyang menjamu selera Sarina berlunjur kaki di hadapan TV. Di tangannya tergenggam alat kawalan TV yang mengandungi berbagai saluran pilihan.
Banyak program drama yang disiarkan beberapa rangkaian TV dijayakan teman-teman dramatis yang dikenalinya tapi dia tidak berminat menontonnya kerana tidak ada dirinya berperanan di situ. Jika ada wajahnya terpampang di skrin TV barulah seronok dia hendak menontonnya.
 Ralit  pula dia menikmati siri National Geographic yang memaparkan aktiviti skuba di sebuah pulau yang indah. Dia berharap sangat pulau yang akan dikunjunginya kerana sesi shooting drama terbaru itu secantik pulau yang sedang ditontonnya dan ada aktiviti menyelam ke dasarnya bermain dengan ikan-ikan di celah terumbu karang. Alangkah seronoknya dapat mencuba pengalaman baru yang tidak pernah dirasai selama hidupnya.
Anita sedang mencuci pinggan mangkuk yang telah digunakan tadi. Selesai mencuci, mengelap dan menyusunnya di atas rak pinggan, dia meninggalkan ruang dapur sempit itu menuju ke biliknya.
Dia melihat Sarina menjawab telefon yang baru saja berdengut beberapa saat tika melintas ruang tengah tempat Sarina sedang bersantai..
“Hei…Datuk Shaari. Apa khabar? (Terhenti)  Saya sedang relek menonton TV. Tak buat apa-apa pun. (Terhenti). Esok call time shooting pukul 8 pagi. (Terhenti) Nanti sekejap Datuk ya, saya perlahankan suara TV.”
Anita menghampiri Sarina dan menunjuk isyarat bahawa dia sedang tidur. Dia dapat mengagak Datuk Shaari bertanya tentang dirinya dan ingin bercakap dengannya. Sarina memandang teman dengan wajahnya yang penuh gaya itu. Mouthpiece handphone ditutupnya. Dia ingin memberi tumpuan kepada apa yang akan dituturkan Anita kepadanya.
“Kalau dia tanya aku kau. katakan aku dah tidur. Kalau tidak kau kena penumbuk aku ni.” Anita memberi amaran keras kepada teman yang hanya tersengih kepadanya, melihat genggaman buku limanya yang kecil itu.
‘Hai Nita, Nita ada hati nak tumbuk aku! Setakat buku lima kau yang kecil tu aku tak hairan langsung beb…’ dia kembali leka melayani bualan tetamunya yang menjengah suaranya di hujung talian.
 Anita berlalu menuju biliknya. Telinganya dilekapkan ke dinding untuk mendengar perbualan Sarina dengan Datuk Shaari seterusnya.
“Anita? Dia dah  tidurlah Datuk. Hai Datuk tanyakan dia seorang saja ke? Saya ni kan ada.” Anita tidak lagi mahu mendengar ocehan Sarina bersama Datuk itu yang disertai dengan kekehan yang mengelikik dan manja sesekali kedengarannyanya. Sangat memualkannya sehingga membuatnya mencebik bibir.
“Hai…Sarina…Sarina…orang tua yang sebaya dengan ayah kau pun teringin kau layan.” Getusnya perlahan.
Anita merebahkan dirinya di atas katil. Komputer di mindanya merangka-rangka sesuatu keputusan yang akan diambilnya.
 “Ini drama aku yang terakhir. Lepas ni aku akan cari kerja lain. Lantaklah kalau kerja kilang sekalipun.” Jika tiada sebarang gangguan dari orang-orang yang berwatak seperti Datuk Shaari di dalam kehidupannya, dia pasti amat selesa sebagai seorang dramatis.
Tetapi gangguan yang menggoda dan menggugah keteguhan iman itu menyusutkan keghairahannya bergelar artis. Dia ingin lari jauh dari keserabutan yang merusuh mindanya itu. yang didambakan dalam hidupnya kini hanya rezeki halal yang diperolehi dan memberikannya ketenangan jiwa.
Anita ingin menjadi seorang anak yang baik dan sentiasa patuh dengan pesanan ibunya. Kata ibunya pandai-pandailah menjaga diri jikalau bertekad hendak menjadi seorang artis kerana kehidupannya bukan seperti laut yang tenang tidak bergelombang. Tetapi badai yang menderu tidak disangka-sangka akan menghanyutkan diri sesaorang itu jauh dari daratan dan sasaran yang diharapkan.
Jadilah seorang anak yang berakhlak dan beriman. Tidak tercemar noda yang mengaibkan. Hidup muda ini tidaklah terlalu panjang,  Singkat amat untuk dipertahankan. Jikalau titik noda terpalit ketika usia muda, penyesalan sepanjang hayat langsung tidak berguna. Kerana titik noda yang mengaibkan itu akan kekal selamanya.
 Pesanan ibunya laksana hamburan mutiara-mutiara putih jernih yang terlepas dari kalungan. Sangat berharga dan perlu dikutip dan disisip kemas di lipatan sanubari.
Anita sangat merindukan ibunya yang tinggal di sebuah rumah bertiang tinggi terletak di tengah bendang di sebuah negeri di utara. Sekarang ini ibu sedang buat apa agaknya? Mungkin sedang terbaring keletihan kerana siangnya menabur baja pada anak-anak padi. Atau merumput di dalam petak.
Jikalau mengharapkan pulangan hasil yang lumayan tentulah perlu melakukan semua kerja-kerja itu dengan rajin. Dia kasihankan ibunya kepenatan kerana telah sekian lama melakukan rutin itu dan dia tidak dapat lagi hendak meringankan beban kedua-dua ibu bapanya kerana tidak punya penghasilan yang tetap.
Bapanya pula tentu sedang menyiapkan pukat yang hendak diturunkan ke tengah laut pada awal pagi esoknya untuk menangkap ikan, udang, ketam atau sotong. Kedua-dua ibu-bapanya saling bertolong bantu mencari rezeki mengikut keupayaan masing-masing demi menyara dan mencukupkan keperluan empat orang lagi adik-adik Anita yang masih bersekolah.
Sungguh berat bebanan kedua-dua ibu-bapanya itu dan dia tidak mahu lagi menyusahkan hati ibu-bapanya dengan perbuatan yang akan memalukan kedua-duanya.
Dia tertidur sambil membayangkan wajah ibunya dan bapanya yang tersenyum kepadanya.
                                    

MyBloglist