Thursday, 14 June 2012

SELIRATAN CINTA BAB 10....


Sesi penggambaran di dalam studio sebuah syarikat penerbitan majalah sedang dilakukan. Anita dan Sarina adalah artis untuk sesi penggambaran kali ini. Sarina rela menggayakan pelbagai aksi yang diminta jurugambar majalah ‘Jelitawan Era’ itu. Tetapi tidak begitu pula pada penerimaan Anita. Matanya tidak gemar memandang gaya
Sarina yang terlebih manja itu. Bibirnya mencebik. Tekaknya loya. Aksi-aksi menggoda Sarina sangat getik padanya. Meluat matanya memandangnya.
Selesai sudah aksi-aksi Sarina yang mengganggu keharmonian jiwanya itu.
Gilirannya pula mengambil tempat. Dia menolak permintaan jurugambar untuk bergaya seksi dengan melebarkan bukaan dadanya sehingga terlihat sedikit lurah kedua-dua gunung berapinyanya.
Dia tidak selesa begitu. Dia malu. Memadailah seluruh tubuhnya disalut dengan busana fesyen terkini sebagai penyeri wajah. Bukan gaya seksi sebagai taruhan untuk memperagakan kejelitaan diri.
Jurugambar itu tidak pula memaksa sekiranya artis itu menolaknya. Dia hanya sekadar meminta supaya gambar yang terpotret, tampak lebih elegan. Tapi terpulang juga pada empunya diri.
Bagi Syahril yang sudah bertugas sebagai jurugambar majalah  di syarikat ini selama hampir sepuluh tahun, baru kali ini dia menemui seorang artis yang sangat sempurna kejelitaannya. Rupa cantiknya berkekalan walaupun dipotretkan dari aneka sudut. Sungguh semula jadi dan sejati.
Dia yakin tidak lama lagi, artis baru ini akan sentiasa bertemu dengannya untuk sesi penggambaran majalah seterusnya. Kerana kecantikan semula jadinya yang fotogenik memang sangat memukau.
Dan akan menerima permintaan dari peminatnya, untuk selalu menatap wajahnya di dalam majalah. Dia berkira-kira begitu.
Padanya tidak perlu terlebih bergaya sekiranya potret yang diambil tidak fotogenik dan miliki keayuan semula jadi. Dan disukai pembeli majalah.

                                                     * * *

Restoran Mewah Café menerima pelanggan yang bersilih ganti. Sesuai sekali dengan namanya, pemiliknya tentu mengharapkan kemewahan yang melimpah ruah. Rezeki yang tersalur hasil dari kerja keras yang tidak sedikit. Fadzillah pemilik Mewah Café yang anggun jelita boleh bersenang hati kerana perniagaannya tidak menyusahkannya. Sentiasa memberinya rezeki yang menguntungkannya.
“Hai Nad...” sapanya sambil meletakan dulang yang berisi air suam yang jernih di atas meja pelanggannya bersekali dengan kad menu hidangan yang dibawanya.
“Kak Dilla ni…masih juga nak bersusah-payah membuat kerja ni. Duduklah relek-relek pergi bercuti ke luar negara ke makan angin. Ini tidak setiap masa hendak berkerja.” Fadzillah menarik kerusi dan menghenyakan ponggongnya di atasnya. Wajah cantik gadis jelita di hadapannya ditentangnya.
“Kau cakap senanglah Nadia. Suruh aku duduk saja. Pergi bercuti makan angin. Tetapi kalau nak bercuti tak boleh selalu tau. Waktu perniagaan sedang memuncak naik tidak boleh ditinggalkan hendak bersenang-senang. Porak-peranda jadinya.”
“Hai Kak Dilla tak cukup senang lagi ke. Dengar kabar income sudah juta-juta, hanya dengan berniaga di restoran saja. Saya tengok perniagaan akak ni tidak pernah terjejas walaupun ketika ekonomi negara merudum.” Fadzillah tersenyum membalas ulasan model antara bangsa yang gemar mengunjungi restorannya sejak lama.
Dia rajin pula melayan bualan sesiapa saja yang menegurnya dengan ramah. Hingga terjalin hubungan silaturahim yang mesra. Kewujudan hubungan yang tidak tersengaja.
Itulah yang berlaku di antaranya dengan Fadzillah gadis andalusia yang tidak pernah peduli dengan pandangan serong orang-orang di sekelilingnya kerana masih belum berkahwin walaupun sudah lanjut usia.
Baginya perkahwinan bukanlah sangat penting dan diperlukannya. Tidak semestinya sesaorang itu hanya akan berbahagia dan menikmati hidup sebenarnya sekiranya berkahwin dan tidak sebalikya. Apapun terpulang kepada kemahuan masing-masing.
“Kau ni mesti sedang menunggu sesaorang ni...buah hati ke?” Fadzillah cuba mengorek rahsia wajah yang tersipu-sipu di hadapannya. Senyumnya terbuka sedikit, bagai kudup melor sedang mengorak kelopak.
“Mana ada. Ada sajalah kak Dilla ni. Model macam saya ni, tidak sempat hendak bermata air, berbuah hati pun. Sibuk memanjang di pentas peragaan.” Nadia menepis sangkaan Fadzillah seperti selalu.
“Habis kau tunggu siapa…kalau bukan buah hati pengarang jantung?”
“Adalah. Sebenarnya ada seorang Datuk tu hendak belanja saya makan tengahari di sini.” Nadia terdesak juga untuk menceritakan perihalnya kepada Fadzillah.
Kadang-kadang pertanyaan Fadzillah menjengkelkan juga pada penerimaannya. Memang dia tidak gemarkan pertanyaan yang bersifat terlalu peribadi itu tetapi di dalam keadaan tertentu tidak terdaya juga hendak menolaknya. Terpaksa juga diceritakan walau tidak keseluruhannya.
“Datuk yang mana satu ya. Selalunya restoran akak ni selalu juga dikunjungi Datuk-Datuk Sesetengahnya memang akak kenal. Baik orangnya. Berbudi bahasa. Sesetengahnya berlagak semacam, mentang-mentanglah seorang Datuk konon.” Fadzillah menuturkan komen berdasarkan analisis pandangannya terhadap pelanggan-pelangganya yang berstatus itu.. 
 “Malaslah nak sebut siapa. Akak tengoklah nanti siapa agaknya yang akan bersama Nadia.” Fadzillah mulai merasakan pertanyaan-pertanyaannya yang teramat ramah itu seakan tidak digemari pelanggannya. Hati pelanggan memang perlu dijaga sebaiknya. Dia perlu membetulkan kesilapannya.
“Maaflah Nad...akak ni dah terlebih tanya pula. Tak apalah Nad, akak pun ada kerja yang hendak dibuat di opis akak tu. Nadia tunggulah Datuk tu. Kalau hendakan apa-apa minta saja pada gadis-gadis waiter. Dia orang tu semuanya kenal Nadia sebagai kenalan kakak.” Nadia tersenyum dan angguk. Dibiarkan Fadzillah mengatur langkah meninggalkannya. Membawa bersama pertanyaannya yang tidak ada jawapannya.
Sebaik saja kelibat Fadzillah hilang di sebalik pintu opisnya yang terletak di sipi restoran itu, muncullah lelaki yang ditunggunya
Keluh-kesahnya kerana penat menunggu lama terburai juga.
“Hai Nad…maaf terlewat sikit. Trafik jem tadi. Jalan sesak. Restoran pilihan Nadia ni susah pula nak cari. Tapi nampaknya tempat ni amat exsklusif. Hiasannya moden dan canggih.” Datuk Shaari menjeling Amin yang bersungguh-sungguh menuturkan pujian berandaikan rupa luaran.
 Dia tidak memberi komen apa pun. Hanya leka menjamu mata menyeluruhi tatapannya pada wajah Nadia yang jelita.
“Saya Datuk Shaari Shahfudin. Selamat berkenalan.” Datuk Shaari mengenalkan dirinya sambil menyambut jemari halus lembut yang menyalaminya. Nadia tersenyum manis menerima ucapan pengenalan diri Datuk itu.
“Saya Nurnadiaseri. Datuk tentu sudah mengenali saya. Jikalau datuk tidak mengenali saya, tentunya datuk tidak akan menjemput saya menemani datuk makan tengahari.” Shaari tersenyum polos. Terangguk-angguk.
Amin hendak membuka mulutnya, menyela bualan yang sedang berlaku hambar dan sangat melodrama itu. Tetapi dia teringatkan peristiwa yang berlaku dipertemuan antara Datuk Shaari dan Rozana dahulu. Dia bimbang peristiwa di sindir Datuk Shaari kerana turut bersibuk mencelah bualan akan berulang.
Dia pun diam saja. Mengikuti kehendak nalurinya. Matanya galak mengekori dan beralih pandangan dari satu wajah ke wajah yang satu lagi di hadapannya.
“Nadia…ini sedikit hadiah dari saya yang tidak seberapa. Terimalah.” Datuk Shaari manis berbahasa menutur ayat lembut memikat.
“Terima kasih Datuk. Buat apalah susah-susah.” Nadia menerima hadiah yang diberi dengan senang hati. Dia sentiasa berfikir positif. Setiap rezeki yang jatuh ke riba, jangan ditolak. Dia tidak pernah meminta. Rezeki yang terlimpah ke pangkuannya.
“Datuk Shaari rupanya. Saudagar perkapalan yang terkenal itu yang akan memewahkan Nadia hari ini. Untung kau Nadia dapat durian gugur, bertuahnya jadi orang terkenal, sentiasa dikejar rezeki.tanpa perlu bersusah-payah berkerja seperti aku berkejar ke sana-sini bagai lipas kudung,” bisik satu suara yang terselindung di sebalik pintu opis Mewah café yang renggang sedikit. Pintu yang renggang itu kemudiannya ditutup rapat.
Bukan niatnya hendak merisik setiap tingkah peribadi pelanggannya seorang model ternama itu, tetapi hanya ingin memenuhi rasa ingin tahunya yang meluap-luap.
“Tak susah Nadia. Ini cuma hadiah kecil, tanda perkenalan kita. Saya tahu Nadia amat sibuk. Nadia sudi makan tengahari bersama saya pun, saya sudah amat berbesar hati.” Tutur Shaari dengan tonasi mendatar dan merendah diri.   
 “Tidaklah sibuk mana Datuk.” Nadia sangat gembira dengan hadiah yang diterimanya. Wajahnya kelihatan lebih ceria dan amat berseri.
“Oderlah apa yang hendak makan. Nadia pun katanya hendak cepat. Amin bagi tahu saya Nadia ada hal penting selepas ini.”
“Bukanlah penting sangat. Saya cuma nak pergi shopping saja.” Wajah Amin naik berseri. Ada sesuatu yang hendak diluahkannya pantas. Tidak sabar-sabar lagi hendak mengatakannya. Inilah peluangnya bersuara setelah membisu sekian lama dan berlagak sebagai pemerhati sahaja.
“Ish...dah baguslah tu. Datuk pun suka shopping. Apa lagi kalau nak temankan model terkenal macam Nadia ni. Datuk memang tidak keberatan.” Sela Amin tanpa ragu-ragu. Kali ini dia pasti Datuk Shaari tidak akan menjeling sinis kepadanya. Malah berterima kasih sangat kerana campur tangan yang menguntungkannya itu.
“Amin ni pembantu saya yang cekap Nadia. Dia sentiasa arif apa pun kesukaan saya. Selalunya di mana Nadia selalu shopping?” Amin mengurut dada. Lega hatinya. Tidak sia-sia terjahannya. Memberi pulangan pujian yang tidak diharapkan lagi.
It depends. Kalau ada duit lebih saya suka ke star hill atau KLCC. Di situ barang-barangnya brandednya original Datuk. Di tempat lain saya tak berani...takut tiruan.” Nadia menuturkannya. Memberitahu kesukaannya setara dengan tarafnya sebagai seorang model ternama.
Tinggi sekali citarasa gadis ini pada penilaian Datuk Shaari.
“Betul tu...saya memang sukakan perempuan yang high taste begitu. Betul tak Amin?” Amin lantas angguk. Dia agak tersentak dari pelayarannya yang singgah ke pelabuhan wajah manis seorang gadis bersama temannya di suatu sudut. Seorang gadis itu memang amat dikenalinya. Tetapi tidak yang seorang lagi. ‘Siapalah agaknya yang bersama Sarina itu?’




                                            
                   

Wednesday, 13 June 2012

CUTI-CUTI MALAYSIA KE KEDAH DAN PULAU PINANG

Selepas berwisata sehingga ke sempadan Siam melalui Pendang Nami, Naka hingga ke Padang Terap berpatah pulang ke Alor Setar. Senja pun berkalih malam. Bermalam pula di hotel Sri Malaysia Alor Setar.

Paginya setelah sarapan ronda-ronda bandar sekejap dan singgah di Pekan Rabu. Anak-anak memborong kuih-kuih tradisi Melayu yang sememangnya banyak dijual di situ. Yang tidak lupa dibeli tentulah dodol, hakwa maskat dan putu kacang. Kuih-kuih lama kegemaranku. Susah nak dapat di mana-mana walau ada dijual dengan nama serupa tapi rasanya tetap berbeza.

Sudah selesai urusan di Pekan Rabu perjalanan diteruskan ke Kuala Kedah. Bukan hendak ke Langkawi tapi saja nak tengok-tengok apa yang menarik di situ. Hari ini Jumaat jadi tiada aktiviti nelayan di pengkalan. Tidak ada ikan-ikan yang dipunggah dari bot.

Sekejap saja perjalanan melalui kampung-kampung di tengah bendang yang hijau kerana musim padi baru ditanam sampailah ke kampung emak saudaraku di Kuala Dulang Kecil. Di sinilah juga tanah tumpah darahku. Awal persekolahan juga di sini.

Tempat jatuh lagi dikenang inikan pula tempat tumpah darah...tempat kelahiranlah tu.

Makcik tidak berapa sihat tapi tetap berusaha memasak hidangan tengahari. Kata pakcik la ni orang tidak turun ke laut keranaa ombak besar dan amaran tsunami jadi tidak ada hasil laut yang segar untuk dinikmati. Aku sebenarnya teringin hendak makan ikan-ikan laut sebelah sini kerana rasanya yang sangat enak dimasak apa saja.

Hidangan tengahari yang disajikan bersama air nira nipah yang manis. Lega rasa tekak dibasahi kedinginan dan rasa enaknya yang tidak terkata sambil mata memandang hijau padi yang terbentang di kaki gunung Jerai. Air nira ini makcik yang mengusahakan daripada pokok nipah yang tumbuh di sekitar rumah sejak ratusan tahun dulu.

Pakcik dan makcik berusaha pula mengait buah-buah mempelam yang nampak bergayutan di pohon untuk diberi kepadaku buat dibawa pulang. Baik sungguh kedua-dua bapa/mak saudaraku ini melayaniku dan anakcucu sebaiknya walau masa bersama sangat singkat.

Tidak sempat lagi hendak ke Yan bertemu seorang lagi emak saudara yang tinggal di sana kerana hari hampir malam. Bimbang lewat hendak menaiki feri ke Pulau Pinang dan sukar pula mendapat hotel untuk menginap. Sedikit waktu siang diusahakan juga untuk menziarahi pak Jang di Kuala Sg. Yen kecil dan seorang sepupu yang tinggal berhadapan hospital Yan.

Awal malam diredah berpandukan GPS yang selalu menyesatkan sehinggakan menantu terpaksa ramah berbahasa bertanya arah jalan kepada orang-orang di pinggir jalan sehinggalah dapat menaiki feri ke Georgtown.

Penat sungguh dilambung kereta, sampai saja di hotel terus bungkang. Solat musafir ditunda dulu untuk memberi kerehatan kepada tubuh dulu.

Tidur sekejap dah pun siang. Anak menantu plan nak ke Balik Pulau menaiki bukit hingga turun ke Batu Peringgi. Durian sedang bermusim. Lebat sekali buahnya kelihatan bergantungan di pohon-pohon yang di tanah tinggi. Singgah juga untuk makan durian-durian pilihan yang tersedia di pinggir jalan. Boleh tahan mahalnya tapi makan sajalah...sesekali bukan selalu.

Dari Batu Peringgi menyusuri jalan ke Padang Kota mencari pasembor. Disebabkan laut bergelora pasembor pun tidak berisi udang sotong atau ketam yang menambah keenakannya. Selera pun terburai menikmati pasembor yang biasa-biasa saja rasanya.

Masa untuk menaiki feri semula setelah perut diisi untuk meneruskan perjalanan pulang.

Tuesday, 12 June 2012

INDAHNYA LUKISAN ALAM...

ASSALAMUALAIKUM...

INILAH KAMPUNG TEMPAT TUMPAH DARAH PI. DI BAWAH RIMBUNAN POHON MEMPELAM, NIPAH, MENGKUANG DAN POHON-POHON KELAPA YANG MELAYUT TINGGI ITULAH TERLETAK RUMAH NENEK PI. RUMAH NENEK YANG DIBINA HAMPIR RATUS TAHUN USIANYA. KELIHATAN SEPOHON MEMPELAM YANG TEGAK SENDIRIAN. DI SINILAH TERLETAKNYA TELAGA TEMPAT ANAK CUCU NENEK BERMANDI-MANDA ATAU MENCUCI PAKAIAN. KINI SENDIRIAN TIDAK DIGUNAKAN LAGI KERANA BEKALAN AIR SUDAH DITERIMA SEJAK AWAL 80. HANYA MENJADI TEMPAT KEDIAMAN IKAN AIR TAWAR PELBAGAI JENIS.







HAYATI INDAHNYA ALAM DI DESA KUALA DULANG KECIL INI. PASTI HATI AKAN TENANG DAN HAPUS SEMUA KERUNGSINGAN DI FIKIRAN.

INDAHNYA DESA TERCINTA YANG DITINGGALKAN

Sekejap saja dapat pulang menjengah kampung halaman yang sekian lama ditinggalkan. Terubat jaga rasa rindu dihati walau tidak semua hajat tertunai justeru kesuntukan masa.

Monday, 4 June 2012

Alahai anak-anak....

FGVH dan durian runtuh Felda tidak selesai lagi ceritanya. Kerana masing-masing yang dijanjikan rezeki itu sedang menunggu bahagian mereka. Untuk para peneroka barangkali sudah habis pembayarannya dilakukan. mdilakukan. Masing-masing tentu tersenyum lebar menerima cek 5K.

5K lagi dijanjikan untuk isteri-isteri peneroka akan diberikan pada Julai sempena sambutan Hari Peneroka nanti.

Dan anak-anak peneroka pula pasti tidak sabar untuk menerima 5K sebagaimana dijanjikan untuk mereka. Jikalau anak peneroka itu cuma dua atau seorang tentu lebih banyak yang akan diterima. Tapi kalau anak-anaknya berbelas orang tentulah sedikit yang dapat dirasa.

"Anak-anak saya dah talipon tanya bahagian mereka kak..." Beritahu jiran yang kanan.
"Anak-anak kita ada lima....sene nak bui seribu soghe....", celah kak Idah jiran di kiri.

Bagaimana pula dengan cerita yangku dengar tentang anak-anak yang kontrol semua pendapatan kewangan hasil ladang ibu mereka lantaran bapa mereka (peneroka) telah meninggal dunia. Ibu ini hanya diberikan 200RM untuk melunaskan semua keperluannya. Cukupkah?

Apakah ibu ini tidak berhak melakukan apa saja dengan wang ringgit sememangnya miliknya setelah kematian suaminya. Anak-anak hanya berhak separuh daripada harta warisan peneroka yang ditinggalkan. Separuh lagi tetap hak milik balu sebagai penerokawati.

Namun anak-anak ibu itu membuat penafsiran yang mereka sukai tentang pembahgian harta pusaka dan membiarkan ibu mereka hidup seadanya di tanah felda. Sedangkan hasil mahsul tanah felda dikaut kesemuanya.

Orang tua memanglah keperluan mereka tidak banyak. Makan minum cuma sedikit saja, pakaian pun sangat sederhana. Namun dengan kemampuan kewangan yang kukuh ibu itu tentu dapat melaksanakan hajatnya ke arah amalan berbentuk kebajikan untuk menambah bekalan yang akan dibawa ke akhirat kelak.

Kasehanilah ibu tuamu alahai anak-anak dan janganlah terlalu pentingkan diri sendiri. Tanpa ibu tak ke mana kita. Redha Allah terhadap kita kerana redha ibu terhadap kita anak-anaknya.

MyBloglist