Sesi penggambaran di dalam studio sebuah syarikat penerbitan majalah
sedang dilakukan. Anita dan Sarina adalah artis untuk sesi penggambaran kali
ini. Sarina rela menggayakan pelbagai aksi yang diminta jurugambar majalah
‘Jelitawan Era’ itu. Tetapi tidak begitu pula pada penerimaan Anita. Matanya
tidak gemar memandang gaya
Sarina yang terlebih manja itu. Bibirnya mencebik. Tekaknya loya.
Aksi-aksi menggoda Sarina sangat getik padanya. Meluat matanya memandangnya.
Selesai sudah aksi-aksi Sarina yang mengganggu keharmonian jiwanya
itu.
Gilirannya pula
mengambil tempat. Dia menolak permintaan jurugambar untuk bergaya seksi dengan
melebarkan bukaan dadanya sehingga terlihat sedikit lurah kedua-dua gunung
berapinyanya.
Dia tidak selesa begitu. Dia malu. Memadailah seluruh tubuhnya
disalut dengan busana fesyen terkini sebagai penyeri wajah. Bukan gaya seksi sebagai taruhan
untuk memperagakan kejelitaan diri.
Jurugambar itu tidak pula memaksa sekiranya artis itu menolaknya.
Dia hanya sekadar meminta supaya gambar yang terpotret, tampak lebih elegan.
Tapi terpulang juga pada empunya diri.
Bagi Syahril yang sudah bertugas sebagai jurugambar majalah di syarikat ini selama hampir sepuluh tahun,
baru kali ini dia menemui seorang artis yang sangat sempurna kejelitaannya.
Rupa cantiknya berkekalan walaupun dipotretkan dari aneka sudut. Sungguh semula
jadi dan sejati.
Dia yakin tidak lama lagi, artis baru ini akan sentiasa bertemu
dengannya untuk sesi penggambaran majalah seterusnya. Kerana kecantikan semula
jadinya yang fotogenik memang sangat memukau.
Dan akan menerima permintaan dari peminatnya, untuk selalu menatap
wajahnya di dalam majalah. Dia berkira-kira begitu.
Padanya tidak perlu terlebih bergaya sekiranya potret yang diambil
tidak fotogenik dan miliki keayuan semula jadi. Dan disukai pembeli majalah.
* * *
Restoran Mewah Café menerima pelanggan yang bersilih ganti. Sesuai sekali
dengan namanya, pemiliknya tentu mengharapkan kemewahan yang melimpah ruah.
Rezeki yang tersalur hasil dari kerja keras yang tidak sedikit. Fadzillah
pemilik Mewah Café yang anggun jelita boleh bersenang hati kerana perniagaannya
tidak menyusahkannya. Sentiasa memberinya rezeki yang menguntungkannya.
“Hai Nad...” sapanya sambil meletakan dulang yang berisi air suam
yang jernih di atas meja pelanggannya bersekali dengan kad menu hidangan yang
dibawanya.
“Kak Dilla ni…masih juga nak bersusah-payah membuat kerja ni.
Duduklah relek-relek pergi bercuti ke luar negara ke makan angin. Ini tidak
setiap masa hendak berkerja.” Fadzillah menarik kerusi dan menghenyakan
ponggongnya di atasnya. Wajah cantik gadis jelita di hadapannya ditentangnya.
“Kau cakap senanglah Nadia. Suruh aku duduk saja. Pergi bercuti
makan angin. Tetapi kalau nak bercuti tak boleh selalu tau. Waktu perniagaan
sedang memuncak naik tidak boleh ditinggalkan hendak bersenang-senang.
Porak-peranda jadinya.”
“Hai Kak Dilla tak cukup senang lagi ke. Dengar kabar income sudah juta-juta, hanya dengan
berniaga di restoran saja. Saya tengok perniagaan akak ni tidak pernah terjejas
walaupun ketika ekonomi negara merudum.” Fadzillah tersenyum membalas ulasan
model antara bangsa yang gemar mengunjungi restorannya sejak lama.
Dia rajin pula melayan bualan sesiapa saja yang menegurnya dengan
ramah. Hingga terjalin hubungan silaturahim yang mesra. Kewujudan hubungan yang
tidak tersengaja.
Itulah yang berlaku di antaranya dengan Fadzillah gadis andalusia yang
tidak pernah peduli dengan pandangan serong orang-orang di sekelilingnya kerana
masih belum berkahwin walaupun sudah lanjut usia.
Baginya perkahwinan bukanlah sangat penting dan diperlukannya. Tidak
semestinya sesaorang itu hanya akan berbahagia dan menikmati hidup sebenarnya
sekiranya berkahwin dan tidak sebalikya. Apapun terpulang kepada kemahuan
masing-masing.
“Kau ni mesti sedang menunggu sesaorang ni...buah hati ke?”
Fadzillah cuba
mengorek rahsia wajah yang tersipu-sipu di hadapannya. Senyumnya terbuka
sedikit, bagai kudup melor sedang mengorak kelopak.
“Mana ada. Ada
sajalah kak Dilla ni. Model macam saya ni, tidak sempat hendak bermata air,
berbuah hati pun. Sibuk memanjang di pentas peragaan.” Nadia menepis sangkaan
Fadzillah seperti selalu.
“Habis kau tunggu siapa…kalau bukan buah hati pengarang jantung?”
“Adalah. Sebenarnya ada seorang Datuk tu hendak belanja saya makan
tengahari di sini.” Nadia terdesak juga untuk menceritakan perihalnya kepada
Fadzillah.
Kadang-kadang pertanyaan Fadzillah menjengkelkan juga pada
penerimaannya. Memang dia tidak gemarkan pertanyaan yang bersifat terlalu
peribadi itu tetapi di dalam keadaan tertentu tidak terdaya juga hendak
menolaknya. Terpaksa juga diceritakan walau tidak keseluruhannya.
“Datuk yang mana satu ya. Selalunya restoran akak ni selalu juga
dikunjungi Datuk-Datuk Sesetengahnya memang akak kenal. Baik orangnya. Berbudi
bahasa. Sesetengahnya berlagak semacam, mentang-mentanglah seorang Datuk
konon.” Fadzillah menuturkan komen berdasarkan analisis pandangannya terhadap
pelanggan-pelangganya yang berstatus itu..
“Malaslah nak sebut siapa.
Akak tengoklah nanti siapa agaknya yang akan bersama Nadia.” Fadzillah mulai
merasakan pertanyaan-pertanyaannya yang teramat ramah itu seakan tidak digemari
pelanggannya. Hati pelanggan memang perlu dijaga sebaiknya. Dia perlu
membetulkan kesilapannya.
“Maaflah Nad...akak ni dah terlebih tanya pula. Tak apalah Nad, akak
pun ada kerja yang hendak dibuat di opis akak tu. Nadia tunggulah Datuk tu.
Kalau hendakan apa-apa minta saja pada gadis-gadis waiter. Dia orang tu semuanya kenal Nadia sebagai kenalan kakak.”
Nadia tersenyum dan angguk. Dibiarkan Fadzillah mengatur langkah
meninggalkannya. Membawa bersama pertanyaannya yang tidak ada jawapannya.
Sebaik saja kelibat Fadzillah hilang di sebalik pintu opisnya yang
terletak di sipi restoran itu, muncullah lelaki yang ditunggunya
Keluh-kesahnya kerana penat menunggu lama terburai juga.
“Hai Nad…maaf terlewat sikit. Trafik jem tadi. Jalan sesak. Restoran
pilihan Nadia ni susah pula nak cari. Tapi nampaknya tempat ni amat exsklusif.
Hiasannya moden dan canggih.” Datuk Shaari menjeling Amin yang
bersungguh-sungguh menuturkan pujian berandaikan rupa luaran.
Dia tidak memberi komen apa
pun. Hanya leka menjamu mata menyeluruhi tatapannya pada wajah Nadia yang
jelita.
“Saya Datuk Shaari Shahfudin. Selamat berkenalan.” Datuk Shaari
mengenalkan dirinya sambil menyambut jemari halus lembut yang menyalaminya.
Nadia tersenyum manis menerima ucapan pengenalan diri Datuk itu.
“Saya Nurnadiaseri. Datuk tentu sudah mengenali saya. Jikalau datuk
tidak mengenali saya, tentunya datuk tidak akan menjemput saya menemani datuk
makan tengahari.” Shaari tersenyum polos. Terangguk-angguk.
Amin hendak membuka mulutnya, menyela bualan yang sedang berlaku
hambar dan sangat melodrama itu. Tetapi dia teringatkan peristiwa yang berlaku
dipertemuan antara Datuk Shaari dan Rozana dahulu. Dia bimbang peristiwa di
sindir Datuk Shaari kerana turut bersibuk mencelah bualan akan berulang.
Dia pun diam saja. Mengikuti kehendak nalurinya. Matanya galak
mengekori dan beralih pandangan dari satu wajah ke wajah yang satu lagi di
hadapannya.
“Nadia…ini sedikit hadiah dari saya yang tidak seberapa. Terimalah.”
Datuk Shaari manis berbahasa menutur ayat lembut memikat.
“Terima kasih Datuk. Buat apalah susah-susah.” Nadia menerima hadiah
yang diberi dengan senang hati. Dia sentiasa berfikir positif. Setiap rezeki
yang jatuh ke riba, jangan ditolak. Dia tidak pernah meminta. Rezeki yang
terlimpah ke pangkuannya.
“Datuk Shaari rupanya. Saudagar perkapalan yang terkenal itu yang
akan memewahkan Nadia hari ini. Untung kau Nadia dapat durian gugur, bertuahnya
jadi orang terkenal, sentiasa dikejar rezeki.tanpa perlu bersusah-payah
berkerja seperti aku berkejar ke sana-sini bagai lipas kudung,” bisik satu
suara yang terselindung di sebalik pintu opis Mewah café yang renggang sedikit.
Pintu yang renggang itu kemudiannya ditutup rapat.
Bukan niatnya hendak merisik setiap tingkah peribadi pelanggannya
seorang model ternama itu, tetapi hanya ingin memenuhi rasa ingin tahunya yang
meluap-luap.
“Tak susah Nadia. Ini cuma hadiah kecil, tanda perkenalan kita. Saya
tahu Nadia amat sibuk. Nadia sudi makan tengahari bersama saya pun, saya sudah
amat berbesar hati.” Tutur Shaari dengan tonasi mendatar dan merendah
diri.
“Tidaklah sibuk mana Datuk.”
Nadia sangat gembira dengan hadiah yang diterimanya. Wajahnya kelihatan lebih
ceria dan amat berseri.
“Oderlah apa yang hendak makan. Nadia pun katanya hendak cepat. Amin
bagi tahu saya Nadia ada hal penting selepas ini.”
“Bukanlah penting sangat. Saya cuma nak pergi shopping saja.” Wajah
Amin naik berseri. Ada
sesuatu yang hendak diluahkannya pantas. Tidak sabar-sabar lagi hendak
mengatakannya. Inilah peluangnya bersuara setelah membisu sekian lama dan
berlagak sebagai pemerhati sahaja.
“Ish...dah baguslah tu. Datuk pun suka shopping. Apa lagi kalau nak
temankan model terkenal macam Nadia ni. Datuk memang tidak keberatan.” Sela
Amin tanpa ragu-ragu. Kali ini dia pasti Datuk Shaari tidak akan menjeling
sinis kepadanya. Malah berterima kasih sangat kerana campur tangan yang
menguntungkannya itu.
“Amin ni pembantu saya yang cekap Nadia. Dia sentiasa arif apa pun
kesukaan saya. Selalunya di mana Nadia selalu shopping?” Amin mengurut dada.
Lega hatinya. Tidak sia-sia terjahannya. Memberi pulangan pujian yang tidak
diharapkan lagi.
“It depends. Kalau ada
duit lebih saya suka ke star hill atau KLCC. Di situ barang-barangnya brandednya original Datuk. Di tempat
lain saya tak berani...takut tiruan.” Nadia menuturkannya. Memberitahu
kesukaannya setara dengan tarafnya sebagai seorang model ternama.
Tinggi sekali citarasa gadis ini pada penilaian Datuk Shaari.
“Betul tu...saya memang sukakan perempuan yang high taste begitu. Betul tak Amin?” Amin lantas angguk. Dia agak
tersentak dari pelayarannya yang singgah ke pelabuhan wajah manis seorang gadis
bersama temannya di suatu sudut. Seorang gadis itu memang amat dikenalinya.
Tetapi tidak yang seorang lagi. ‘Siapalah agaknya yang bersama Sarina itu?’
No comments:
Post a Comment
Terima kasih bersama Karyaku...Paridah Ishak. Komen anda amat dihargai... “Semoga Allah SWT akan membalas dirimu dengan kebaikan yang banyak dan semoga Allah SWT akan membalas dengan balasan yang terbaik.”