Tuesday, 18 November 2025

POLEMIK MARTABATKAN BAHASA MELAYU

 ASSALAMUALAIKUM



Artikel;

Prof  Dr Salmah Amir

 

POLEMIK MARTABATKAN BAHASA MELAYU

Kita sering mendengar frasa “Martabatkan Bahasa Melayu”.
Ahli bahasa berjuang, semangat membara, melahirkan rasa cinta kepada bahasa ibunda ini. Namun, persoalannya, adakah semua benar-benar peduli?
Bagaimana dengan para menteri dalam kabinet, guru Bahasa Melayu, masyarakat Melayu sendiri, media Melayu yang berpengaruh, syarikat tempatan, atau keluarga berstatus tinggi?

Sayangnya, masih tiada yang benar-benar serius menggunakan Bahasa Melayu dengan penuh hormat dan kesedaran. Sudah 68 tahun kita merdeka, namun jentera kerajaan masih belum sepenuhnya mengutamakan penggunaan Bahasa Melayu. Lihat dan dengar sendiri ketika sidang di Dewan Rakyat , wakil rakyat sendiri tidak menggunakan Bahasa Melayu sepenuhnya. Sepatutnya, hanya mereka yang fasih dan mampu menggunakan Bahasa Melayu layak bersidang di Parlimen Malaysia, negara yang menjadikan Bahasa Melayu sebagai bahasa utama.
          Perlu ada pemantauan dan tindakan terhadap mereka yang tidak menggunakan Bahasa Melayu dalam urusan rasmi kerajaan mahupun di sekolah. Rakyat Malaysia sepatutnya berbahasa Melayu seperti rakyat Indonesia yang hanya menggunakan Bahasa Indonesia di khalayak, atau rakyat Singapura yang berbahasa Inggeris di ruang awam.
Sebaliknya, Malaysia kini menjadi negara rojak bahasa termasuk bahasa Bangladesh, Pakistan, Myanmar, Nepal dan pelbagai lagi.
Pernah terjadi, ketika berbelanja di emporium, sukar berurusan dengan pekerja asing kerana mereka tidak faham Bahasa Melayu.
Ironinya, mereka masih dibenarkan bekerja di negara yang kononnya mengutamakan Bahasa Melayu.
          Agensi yang membawa mereka masuk sepatutnya diwajibkan memberi kelas Bahasa Melayu, sebagaimana Jepun mewajibkan pelajar atau pekerja asing belajar Bahasa Jepun selama 2 minggu hingga 6 bulan sebelum menetap di sana.Penggunaan Bahasa Melayu perlu bermula dari pucuk pimpinan sehingga anak prasekolah.
Kesedaran mesti disemai sejak awal dengan dasar penggunaan seratus peratus Bahasa Melayu, terutama di tempat awam, demi memartabatkan bahasa kebangsaan.

Kerajaan harus menggunakan kuasa yang ada untuk menegur dan menghukum mereka yang mengabaikan Bahasa Melayu  termasuk di Parlimen.
Setiap ketua jabatan kerajaan perlu menjadi contoh utama.
Papan tanda di seluruh negara, termasuk tandas awam, mesti ditulis dalam Bahasa Melayu. Ambil contoh di Jepun, setiap tanda dan maklumat awam dalam bahasa mereka sendiri.
          Itulah cara sebenar mereka memartabatkan bahasa ibunda: bukan oleh individu atau persatuan, tetapi oleh seluruh jentera kerajaan. Di Malaysia, ejaan dan tatabahasa pada papan tanda sering tidak mengikut Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Tiada tindakan diambil walaupun kesalahan tergantung lama. Malu rasanya jika pelancong luar melihatnya.
Lebih menyedihkan, ramai di kalangan jiran dan kenalan sendiri lebih selesa bertutur dalam Bahasa Inggeris, seolah-olah lupa bahasa asalnya.
Sedangkan di United Kingdom, rakyatnya berbangga menggunakan Bahasa Inggeris.
Lucunya, ada rakyat Malaysia yang baru dua minggu di sana pulang dengan loghat Inggeris yang tebal!

Perbezaannya, ada yang menggunakan Bahasa Inggeris untuk memperkukuh ilmu, dan ada pula yang melakukannya kerana rasa bangga berlebihan.

Kini wujud pula fenomena “bahasa campur”:

“Kedai Spek” — bukan kedai cermin mata,
“Kafe” — bukan kedai kopi.
Jika benar ingin memartabatkan Bahasa Melayu, perlu ada undang-undang yang tegas terhadap penyalahgunaan bahasa.

          Di Singapura dan Indonesia, sistem pendidikan dilaksanakan sepenuhnya dalam bahasa utama negara masing-masing.
Saya sendiri pernah bersekolah di Singapura pada tahun 1961 — kami diwajibkan bertutur dalam Bahasa Inggeris sahaja.
Setiap perkataan dalam bahasa lain dikenakan denda lima sen.
Peraturan itu turut dimaklumkan kepada ibu bapa dalam buku peraturan sekolah.
Lima sen ketika itu besar nilainya, cukup untuk membeli air atau kuih.
Saya pernah berjalan kaki sejauh lima kilometer pulang ke rumah kerana denda itu menggunakan duit tambang bas saya.
Namun itulah pengajaran berharga. Hasilnya, sehingga kini, orang Melayu di Singapura fasih berbahasa Inggeris tanpa rasa kekok. Mereka terbiasa sejak kecil kerana dasar pendidikan yang konsisten.

          Malaysia sudah merdeka 68 tahun. Tapi   individu atau persatuan tidak mampu berjuang sendiri tanpa sokongan kerajaan.
Kerajaan mesti menggubal dasar dan strategi yang jelas untuk memartabatkan Bahasa Melayu berdasarkan Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka.
Hanya melalui dasar kerajaan yang tegas, barulah Bahasa Melayu benar-benar menjadi bahasa utama dan dihormati.

          Saya sendiri baru memiliki Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka selepas terlibat dalam penulisan. Sebelum itu, hanya Kamus Oxford dan Collins yang saya gunakan.
Bahasa Melayu saya terbentuk daripada apa yang saya dengar daripada ibu, ayah dan persekitaran.
          Dalam bidang kejururawatan pula, bahasa yang digunakan sering bercampur antara istilah Melayu dan Inggeris  bukan  agar pesakit faham.
Tujuannya tetap sama sebagai komunikasi dan memberi kefahaman. Kesimpulannya, hanya kerajaan yang mempunyai kuasa dan keupayaan untuk menjadi penggerak utama dalam memperkukuh penggunaan Bahasa Melayu.


Tanpa tindakan tegas dari peringkat tertinggi, frasa “Martabatkan Bahasa Melayu” akan terus tinggal sebagai slogan kosong semata-mata.

 


No comments:

Post a Comment

Terima kasih bersama Karyaku...Paridah Ishak. Komen anda amat dihargai... “Semoga Allah SWT akan membalas dirimu dengan kebaikan yang banyak dan semoga Allah SWT akan membalas dengan balasan yang terbaik.”

MyBloglist