Saturday, 23 August 2025

SAHABAT

 ASSALAMUAAIKUM

SAHABAT



Anjing telah lama bersahabat dengan Ayam Jantan. Mereka tinggal bersama Pak Amin

di sebuah kampung. Pak Amin bekerja sebagai petani. Beliau memelihara Anjing dan

Ayam Jantan dengan baik. Suatu hari Pak Amin terpaksa ke bandar untuk

melaksanakan urusannya.

“Aku akan ke bandar untuk melakukan suatu urusan. Kamu berdua tinggal di sini

hingga aku pulang. Setelah selesai urusanku di sana, aku akan segera pulang.

Makanan untuk kamu berdua telah aku sediakan. Kamu berdua mesti saling menjaga

keselamatan antara satu sama lain. Kamu berdua tinggal di sini dengan baik selama

ketiadaanku. ” Pak Amin berpesan pada haiwan peliharaannya sebelum melangkah

meninggalkan mereka. Anjing dan Ayam Jantan hanya terangguk-angguk. Mereka

memahami bahasa tuannya.

“Jom ikut aku ke hutan!” anjing berkata pada Ayam Jantan. Dia mengajak

sahabatnya itu mengikutinya ke dalam hutan untuk mencari makanan.

“Kenapa perlu ke hutan untuk mencari makanan? Di dalam hutan itu ada

bahayanya perlu kita tempuh untuk mendapatkan makanan. Aku bimbang akan

diserang haiwan liar tinggal di situ. Aku takut! Tubuhku ini kecil sahaja. Tentu aku tidak

 

berdaya melawan musuh yang menyerangku.” Ayam Jantan menyatakan

kebimbangannya.

“Bukankah kamu ini sahabatku. Tentulah aku akan menjaga keselamatan kamu.

Aku akan melindungimu setiap masa. Bukankah Tuan kita telah berpesan supaya kita

saling menjaga keselamatan antara satu sama lain. Usahlah kamu bimbang. Lagipun

tiada apa lagi di sini boleh kita makan. Tuan kita masih juga belum pulang. Mungkin

Tuan kita belum dapat menyelesaikan urusannya di sana. Makanan disediakan untuk

kita pun telah habis. Aku tidak mahu tinggalkan kamu sendirian di sini. Marilah ikut

bersamaku ke hutan. Jika kita tidak makan, bagaimana kita hendak meneruskan

kehidupan?” Anjing berusaha meyakinkan sahabatnya itu agar mahu bersamanya ke

hutan.

“Baiklah kalau begitu. Tapi kita di hutan sebentar saja. Setelah kita mendapat

makanan, kita balik ke sini lagi. Tuan kita tentu tidak lama berada di bandar. Setelah dia

pulang tentu dia akan marah kalau mendapati kita tiada di sini.” Ayam Jantan memberi

persetujuan berserta syaratnya.



Lalu kedua-duanya melangkah menuju arah tujuan mereka. Setelah memasuki

hutan itu, Ayam Jantan menemui banyak buah-buahan yang gugur dari pokok. Dia

memakannya hingga kenyang. Anjing menyelak rumput tebal di situ kerana hidungnya

menghidu sesuatu. Lalu dia menemui tulang haiwan yang telah mati berserakan di situ.

Dia pun makan tulang itu dengan amat berselera. Mereka berdua telah kekenyangan

lalu duduk berehat di bawah pokok ara yang tinggi merimbun.

Hari makin beransur senja. Tapi mereka berdua masih berada di dalam hutan itu.

 

“Ayuhlah kita pulang! Hari pun sudah semakin gelap.” Ayam Jantan bersuara

resah kerana kegelapan hari akan menyukarkan mereka berjalan pulang.

“Aku rasa kita tidak usah pulang dulu. Kita bermalam di dalam hutan ini. Esok

pagi kita kumpulkan makanan sebagai bekalan untuk dibawa pulang. Jadi kita tidak

perlu lagi ke sini untuk mencari makanan.”

“Aku takutlah! Tidak biasa aku tidur dalam hutan. Suasananya amat gelap dan

menyeramkan. Tentu aku tidak dapat tidur lena kerana risaukan keselamatanku.” Ayam

Jantan menjelaskan alasannya.

“Kamu tidur saja di atas pokok itu. Aku akan tidur di bawah pokok, menjaga

keselamatan kamu. Janganlah risau. Tiada apa akan mengganggu. Jika kamu merasa

ada yang mengganggu, kamu kejutkan aku. Kita akan selamat bermalam di sini.

Usahlah kamu terlalu risau memikirkannya.” Anjing cuba meredakan kegusaran hati

sahabatnya. Ayam Jantan merasa lega mendengar penjelasan Anjing.

“Baiklah kalau begitu kata kamu. Aku tidak merasa bimbang lagi. Aku akan

menaiki pokok itu. Dan tidur di celah dahannya.” Ayam Jantan mengepak dan terbang

ke atas pokok ara itu. Dia memilih tempat selesa untuk merehatkan dirinya. Malam pun

menjelma. Kedua-dua sahabat itu tidur lena di tempat pilihan masing-masing.

Ketika hari menjelang fajar, ayam tersedar dari tidurnya. Dia pun berkokok.

Suara kokokannya bergema seluruh hutan mengejutkan Serigala.

“Oh ada ayam rupanya di sini! Baik aku cuba dapatkannya untuk dijadikan

makananku. Perutku pun sedang kelaparan ni.” Serigala bersuara sendirian. Dia

 

bergerak pantas, berusaha menjejaki arah suara kokokan ayam itu. Ayam Jantan masih

lagi berkokok ketika dia sampai di situ. Dia melihat ayam itu berada di atas pokok.

Tentulah sukar dia hendak menangkap ayam itu kerana dia tidak pandai memanjat

pokok.

Serigala ligat berfikir bagaimana caranya hendak menyuruh ayam itu turun agar

memudahkannya menangkapnya.

“Apa khabar Ayam Jantan?” Serigala memulakan perbualan dengan bertutur

lunak. Niatnya ingin memerangkap mangsanya dengan budi bahasanya. Ayam Jantan

terkejut menyedari kehadiran Serigala di bawah pokok ara itu. Dan menyapanya. Dia

mulai merasa bimbang Serigala akan menyerangnya.

 

“Aku baik-baik saja. Terima kasih kerana bertanya khabarku.” Balas Ayam

 

Jantan perlahan.

“Kamu tinggal di sinikah? Aku tidak pernah lihat kamu selama ini?” Tanya

Serigala lunak.

“Aku tinggal di kampung berhampiran sini. Baru semalam aku ke sini bersama

Anjing, sahabatku.” Serigala menoleh memandang Anjing sedang tidur dengan

nyenyak.

“Wah kamu bersahabat dengan Anjingkah? Aku juga ingin bersahabat dengan

kamu. Bolehkah?”

“Boleh! Apa salahnya.” Sahut Ayam Jantan. Sekadar berbahasa.

 

“Kalau kamu sudi bersahabat denganku, kamu turunlah ke bawah. Lebih mudah

kita hendak berbual-bual dan berkenal-kenalan.” Ayam Jantan terdiam sejenak. Dia

keliru. Dan tertanya-tanya, bolehkah dia bersahabat dengan Serigala yang selama ini

diketahui sebagai musuh kaumnya.

Tapi kelihatan padanya Serigala ini amat baik. Selama ini dia hanya bersahabat

dengan Anjing. Sekiranya dia ingin bersahabat dengan Serigala, dia perlukan

persetujuan Anjing terlebih dahulu. Dia juga merasa curiga hendak bersahabat dengan

Serigala. Dia tidak tahu sama ada niat Serigala itu ikhlas atau ada maksud tertentu

tersembunyi disebaliknya.

“Segeralah kamu turun ke bawah sebagai meraikan persahabatan kita.” Ujar

Serigala seakan mendesak.

“Aku sudah lama bersahabat dengan Anjing. Sebelum kita bersahabat, aku ingin

memberitahu pada Anjing terlebih dahulu. Tapi sahabatku itu sedang tidur dengan

nyenyak. Aku tidak sampai hati hendak mengejutkannya.”

“Jika itu masalahnya, biar aku menolong kamu. Aku akan kejutkan Anjing

sahabat kamu itu.” Serigala menghampiri Anjing. Dia menyentuh badan Anjing untuk

mengejutkan daripada tidurnya. Anjing terkejut. Dia sangat marah kerana tidurnya

diganggu. Anjing menyalak kuat. Wajahnya yang garang menakutkan Serigala. Dia

pantas melarikan dirinya kerana takut Anjing akan mencederakannya.



Ayam merasa lega kerana Serigala telah tiada di situ. Dia berterima kasih pada

Anjing yang telah menyelamatkannya daripada bahaya yang sedang menunggunya.

 

“Cepatlah kamu turun hai Ayam Jantan! Setelah kita cari makanan untuk

dijadikan bekalan, kita segera pulang ke kampung.

 


4 comments:

  1. Waalaikumussalam.
    Kusah dan tauladan, jadikan pengajaran.

    ReplyDelete
  2. Kisah yang cukup menarik dan membawa mesej yang bagus kepada manusia

    ReplyDelete
  3. Cerita teladan..setia persahabatan yang membawa kebahagiaan, namun sebagai menusia sipa kah insan mampu menjaga kita bila dah tua?..semoga ada insan yang sabar setia itu datang bersama kala kita diusia senja... saya baca hingga habis, ingatkan ayam nanti kena baham..rupanya selamat..

    ReplyDelete
  4. Promot segmen di laman PE ya..mana lah tahu rezeki tanpa di duga..

    ReplyDelete

Terima kasih bersama Karyaku...Paridah Ishak. Komen anda amat dihargai... “Semoga Allah SWT akan membalas dirimu dengan kebaikan yang banyak dan semoga Allah SWT akan membalas dengan balasan yang terbaik.”

MyBloglist