Tuesday, 20 November 2018

KEMBANG MELUR RADIO KLASIK


ASSALAMUALAIKUM

MALAM TADI 19 NOV 018 TELAH KE UDARA SIARAN PURBAWARA KEMBANG MELUR DI RADIO KLASIK...ALHAMDULILLAH TERIMA KASIH PENERBITNYA PUAN YUSMAWATI YUNUS ATAS KESUDIAN MENYIARKANNYA....JIKALAU ADA SAHABAT BLOGGERS DAN VIEWERS INGIN IKUTI PURBAWARA KEMBANG MELUR CUBA KLIK LINK DI BAWAH INI DAN DOWNLOAD DULU.

RAKAMAN DIBUAT SAHABAT PI CIKGU HAMIDI YANG TURUT BERPERANAN MENGEDIT KARYA PI INI...TERIMA KASIH BANYAK BANTUANNYA CIKGU.

https://drive.google.com/open?id=1SsO504Jup7br9QZe0zd_eIzEXerAUx7l&fbclid=IwAR1e5G_Mz0e-cJNl0IfJ1TYn12-BCPQ8ajnoE2mPDJ8H1E7ZegV9L-QcoLA


RANCANGAN: PURBAWARA.
PENERBIT:        ZURAIDAH MOHD NOR.
TAJUK:               KEMBANG  MELUR.
PENULIS:          PARIDAH BINTI ISHAK.
ALAMAT:          NO.7, JLN 7F, DESA  MELOR, SERENDAH, SELANGOR.
K/P:                     580524-02-5748.
HP/ E-MEL:        019-2525742 / paridahishak@gmail.com
AKAUN BANK:       162553086206 (MAYBANK).  


                           
PELAKON:        1.  ………………………….......... sebagai KEMBANG MELUR.
                            2. ………………………….......... sebagai KEMBANG KEMBOJA.
                            3. ………………………….......... sebagai CEMPAKA.
                            4. ………………………….......... sebagai WAN KEMANGI.
5. ………………………….......... sebagai INDERA SATRIA.

                           
EFEK:                 1.  SUARA AYAM  DAN ITIK.
2.  BUNYI PUKULAN DI TUBUH BERTUBI-TUBI.
                            3.  CAWAN DAN PIRING DISUSUN DI LANTAI.
                            4.  SUARA BEBURUNG BERKICAU DAN BUNYI LOTONG.
5. SUASANA MALAM. BUNYI CENGKERIK DAN BURUNG HANTU.

                           
SINOPSIS:         
            Kembang Melur yang yatim piatu meneruskan hidup dengan ibu saudaranya, Cempaka dan sepupunya, Kembang Kemboja. Kembang Melur tidak disukai Cempaka dan sepupunya. Kembang Kemboja hanya bersolek setiap hari. Setiap hari Kembang Melur disuruh membuat pelbagai kerja. Kembang Melur  suka mengutip bunga melur untuk dijadikan kalungan. Apabila Kembang Melur dilamar Mak Kemangi, janda kaya untuk anaknya tetapi Cempaka menolak dengan alasan Kembang Melur seorang yang pemalas dan tidak pandai memasak.
Kembang Kemboja berpakat dengan ibunya hendak menghapuskan Kembang Melur. Mereka mencari ular sawa yang sedang tidur, ditangkap dan dimasukan ke dalam guni lalu diletakan di bilik Kembang Melur. Mereka mengatakan kepada Kembang Melur itu adalah hadiah untuknya. Tanpa mengetahui niat buruk sepupu dan ibu saudaranya itu, Kembang Melur membuka ikatan guni tersebut. Dia sangat terkejut apabila guni dibuka, muncul seorang pemuda tampan, Indera Satria berbusana laksana seorang raja. Indera Satria, seorang putera raja, berterima kasih kepada Kembang Melur kerana keharuman bunga melur yang semerbak dipakai di rambut Kembang Melur telah menawarkan sumpahannya. Cempaka dan Kembang Kemboja sungguh terkejut dengan apa yang berlaku.

GRAM:              MUZIK PENGENALAN.
JURUHEBAH:   Wahana citra warisan bangsa, dipersembahkan dalam Purbawara. (PAUSE) Purbawara dengan kisah “KEMBANG MELUR” karya Paridah Ishak, Serendah, Selangor. “KEMBANG MELUR”.
SYAIR:               Tersebut kisah di sebuah desa,
                            Sebuah keluarga aman sentosa,
                            Berkasih sayang hidup selesa,
                            Berpisah jua takdir Yang Esa.

Si Kembang Melur yatim piatu,
Ayah dan ibu kasihnya jitu,
Meninggalkannya sedetik waktu,
Ke alam baqa mengadap Yang Satu.
GRAM:              MUZIK.
K. MELUR:        (MENANGIS TERESAK-ESAK). Kenapalah ibu dan ayah tinggalkan Kembang Melur? Kembang  Melur kini seorang diri, kepada siapalah hendak menumpang hidup, mengadu untung nasib… Tidak kasihankah ibu dan ayah kepada hamba? Cuma hidup sebatang kara di dunia ini. Kenapa ayah dan ibu tidak membawa Kembang Melur bersama ke sana bertemu Yang Satu? Bangunlah ayah, bangunlah ibu... Jangan tinggalkan Kembang Melur sendirian...
W. KEMANGI:  Sudahlah Kembang Melur. Tidak baik menangis begini. Usahlah  diratapi pemergian ayah dan ibumu. Biarlah mereka tenang ke alam
sana. Mereka juga berat hati meninggalkanmu. Namun suratan takdir
sudah begitu. Yang hidup mesti kembali kepada pencipta apabila telah tiba ajalnya. Mereka tentu tidak bimbang akan kemasyhlahatan dirimu kerana pastinya ibu saudarammu akan menjaga dan menyangimu sepenuh hatinya. (KEPADA CEMPAKA) Tak begitu, Cempaka? (PAUSE) Tapi kalau Cempaka berhalangan, tidaklah mengapa. Biarlah Kembang Melur tinggal bersama hamba, menemani hamba di rumah. Hamba pun baru kematian suami. Lagipun anakanda hamba sedang menuntut ilmu di negeri seberang. 
CEMPAKA:       Tidak mengapalah Mak Wan Kemangi. Memang wajarlah hamba yang menjaga Kembang Melur kerana dia anak saudara hamba. 
K. KEMBOJA:   (BERKATA SECARA BERBISIK) Ibu… kenapa ibu nak Kembang Melur tinggal bersama kita? Kembang Kemboja tak sukalah…
CEMPAKA:       (BERBISIK) Diamlah dulu. Tengok semua di pusara ini memandang kita. Tidak manis kalau ibu menolak kata-kata Mak Wan Kemangi, dia kan orang bangsawan. Nanti  apa pula kata orang-orang desa kepada kita? Tentu mereka menganggap kita sangat kejam terhadap Kembang Melur.
K. KEMBOJA:   (MENDENGUS PERLAHAN) Bencinya!
GRAM:              MUZIK.
CEMPAKA:       Tuan hamba  boleh tinggal bersama aku dan Kembang Kemboja. Tapi jangan nak bersenang-lenang pulak!
K. KEMBOJA:   Jangan tuan hamba mimpi nak hidup bagaikan tuan puteri di sini. Kerjanya banyak bertimbun-timbun. Ayuh! Lekas! Aku akan beritahu
satu persatu!
K. MELUR:        Baik. Hamba akan kerjakan apa saja yang disuruh Ibu Cempaka dan Kembang Kemboja. Terima kasih kerana sudi menerima hamba tinggal di sini.
CEMPAKA:       (KETAWA GELIHATI) Sepatutnya tuan hamba turut mati bersama ayah dan ibu kamu. Tidaklah menyusahkan aku dan Kembang Kemboja. Tuan hamba fikir aku dan Kembang Kemboja bersukacita nak menumpangkan kamu di sini. Jauh panggang dari api! Sama sekali kami tak sudi. Sebab terpaksa saja, menurutkan kata Mak Wan Kemangi. Kalau kami menolak, tentu kami dipandang serong.
K. MELUR:        Kenapalah Ibu Cempaka berkata begitu? Bukankah hamba ini keponakan Ibu Cempaka? Kita ada hubungan darah. Mengapalah membenci hamba sampai begitu sekali… Hamba tidak mengerti. 
CEMPAKA:       Benar! Tuan hamba keponakanku. Tapi aku dan Kembang Kemboja tidak suka tuan hamba menumpang keselesaan hidup kami! Kami kan hidup lebih senang berbanding ayah dan ibumu yang papa kedana itu!
K. KEMBOJA:   (TERGELAK KECIL) Sekarang tuan hamba dah tahu kenapa kami bencikan tuan hamba? Sebab tuan hamba miskin,comot, papa kedana!
CEMPAKA:       Sudahlah Kembang  Kemboja. Usah dilayan bicaranya lagi. Hari pun sudah hampir senja. Kembang Kemboja harus mandi. Lekas kamu, Kembang Melur! Angkut air dari telaga, kemudian memasaknya untuk mandian Kembang Kemboja!
K. MELUR:        Baiklah Ibu Cempaka, hamba segera ke telaga mengangkut air untuk
mandian Kembang Kemboja.
GRAM:              MUZIK.
EFEK:                SUARA AYAM DAN ITIK.
K. MELUR:        (BERCAKAP SENDIRIAN) Riangnya kamu semua berkawan-kawanan dan bermain-main ya, ayam dan itik. Hanya hamba seorang yang tidak berkawan. Kembang Kemboja pun tidak mahu berkawan dengan hamba, katanya hamba comot dan papa kedana. (PAUSE) Hmm, tidak mengapalah. Sudah nasib hamba begini.  Kamu semualah yang menjadi kawan-kawan hamba kini. Ini,  hamba taburkan sisa makanan dan padi usang.  Makanlah, ya. Kamu bertelurlah banyak-banyak. Suka benar hamba mengutipnya. Makanlah. Hamba hendak mengutip bunga melur di sana. (PAUSE) Wah! Banyak sekali bunga melur yang berkembang pagi ini. Harum sungguh baunya. Bolehlah aku kutip untuk dimasukan dalam bedak sejuk dan dijadikan kalungan rambutku.
GRAM:              MUZIK.
K. KEMBOJA:   (NADA SUARA MENINGGI) Ibu! Oh ibu! Tengok ni, ibu!
CEMPAKA:       (MONOLOG) Kenapalah Kembang Kemboja terjerit-jerit itu? Apa agaknya yang tidak kena? Aku hendak tidur seketika pun tidak selesa. Mengganggu saja!
K. KEMBOJA:   Ibu, tenguklah. Kembang Melur masih belum sediakan air mandian
kita lagi… Entah ke manalah dia pergi di pagi hari ini? 
CEMPAKA:       Ke mana pulalah budak pemalas ni... Memang nak kena diajar ni!
(JERIT) Kembang Melur! Kembang Melur!!! 
K. MELUR:        Ya, Ibu Cempaka. Hamba datang.
CEMPAKA:       (NADA MARAH) Ke mana tuan hamba merayau, hah? Sampaikan
air mandian Kembang Kemboja pun tidak tuan hamba sediakan! Nah! Terimalah habuan kamu, pemalas!
EFEK:                BUNYI PUKULAN DI TUBUH BERTUBI-TUBI.
K. MELUR:        (MENANGIS) Aduh sakitnya... Maafkan hamba Ibu Cempaka. Sebentar tadi hamba memberi ayam itik makan dan mengutip telurnya. Maafkanlah hamba terlewat menyediakan air mandian Kembang Kemboja… Janganlah dipukul hamba... Lain kali hamba tidak buat lagi…
K. KEMBOJA:   (KETAWA) Rasakan! Pukul lagi, ibu! Biar dia tahu akibatnya melanggar perintah kita!
CEMPAKA:       Kalau tuan hamba ulangi lagi berbuat seperti ini, aku akan kerjakan kamu separuh mati. Simpan di jemala kamu apa yang aku katakan!
K. KEMBOJA:   Siapkan air mandian aku, cepat! Sebentar lagi aku hendak menyolek dan menghias diriku. (SUARA KASAR) Eh, tuan hamba sudah sediakan sarapan untuk aku dan ibu?
K. MELUR:        Sudah hamba sediakan di bawah tudung saji di dapur tu. Silakanlah bersarapan.
CEMPAKA:       Ayuh kita bersarapan, Kembang Kemboja.
K. KEMBOJA:   Kalau sarapan yang tuan hamba sediakan tidak menepati citarasaku, siaplah kamu aku cubit-cubit!
SYAIR:               Si Kembang Melur gadis berbudi,
                            Hidup derita bagai menadi,
                            Menahan sabar apa pun terjadi,
Cantik wajahnya semula jadi.
Mak Wan Kemangi datang merisik,
Suarakan hasrat sambil berbisik,
Buat anaknya merasa asyik,
Dara yang cantik hati terusik.
GRAM:              MUZIK.
CEMPAKA:       Silakan naik ke teratak hamba Mak Wan Kemangi. Silakan duduk.
W. KEMANGI:  Ya, terima kasih, Cempaka. Maafkan hamba kerana datang ke sini secara tergesa-gesa.(PAUSE) Di mana anak-anak tuan hamba? Tidak kelihatan pula?
CEMPAKA:       (SERBA SALAH) Anak hamba… ada, mengemas dapur agaknya. Si Kembang Melur pula entah ke mana. Anak saudara hamba itu memang tidak lekat di rumah. Suka berjalan-jalan saja!
W. KEMANGI: Baiklah, usah kita membuang masa berbeka. Biarlah hamba sampaikan maksud sebenar hamba bertandang ke sini.
CEMPAKA:       Silakanlah beritahu maksud Mak Wan Kemangi ke sini. Jikalau hamba dapat tunaikannya, akan hamba tunaikan.
W. KEMANGI:  Sebenarnya hamba membawa hajat hendak merisik anak tuan hamba
untuk putera hamba.
CEMPAKA:       Apa? Sebentar, ya Mak Wan Kemangi. Biar hamba ke dalam sebentar, suruh anak hamba sediakan juadah dulu. (BERFIKIR/ECHO) Untungnya kalau aku bermenantukan anak Mak Wan Kemangi. Bertuah badan kamu, Kembang Kemboja dapat bersuamikan anak orang bangsawan, keturunan mulia. Kembang Melur akan kujadikan hambaku seumur hidupnya! (BERBISIK) Hei, Kembang Melur! Kamu diam jangan bercakap-cakap! Cepat sediakan juadah. Dah siapkan juadah, kamu duduk diam-diam di sini. Biar Kembang Kemboja yang membawa semua hidangannya keluar! (PAUSE).
W. KEMANGI:  Wah! Cantik sungguh puteri tuan hamba, Kembang Kemboja! Rajin pula orangnya. Tentu bertuah sesiapa saja yang memperisterikannya.
EFEK:                CAWAN DAN PIRING DISUSUN DI LANTAI.
K. KEMBOJA:   Silakan menjamah hidangan yang hamba sediakan, Mak Wan Kemangi.
GRAM:              MUZIK.
CEMPAKA:       (MARAH) Tuan hamba memang membawa sial! Ke sini kamu, Kembang Melur! Tadi bukan main sukacita hatiku menyangka Mak Wan Kemangi datang merisik anakku. Rupa-rupanya hajatnya nak merisik kamu! Memang tidak berguna kamu ini!
EFEK:                BUNYI PUKULAN DI TUBUH BERTUBI-TUBI.
K. MELUR:        (MENANGIS) Aduh sakitnya... Janganlah dipukul hamba, ibu...
CEMPAKA:       (GERAM) Hemmm! Sakit sungguh hatiku dengan kamu ini!
K. KEMBOJA:   Tapi, ibu kan sudah tolak pinangan Mak Wan Kemangi tadi?
CEMPAKA:       Tentulah ibu tolak! Tidak mahu ibu melihat dia ni bersuamikan orang kaya. Lainlah kalau anak ibu ini. Ibu katakan kepada Mak Wan Kemangi tadi, Kembang Melur sangat pemalas dan tidak tahu
memasak. Semua kerja di rumah ini, anak ibu seorang yang buat.
K. KEMBOJA:   (KETAWA) Yang sebenarnya, tidak begitu, kan ibu… Saaayanggg ibu. Kesian Mak Wan Kemangi, tertipu dia.
CEMPAKA:       Biarkan dia tertipu! Hendak sangat bermenantukan Kembang Melur...
Rasakan! Tentu dia berfikir hendak bermenantukan kamu pula, Kembang Kemboja.
K. KEMBOJA:   (BERBISIK) Ibu, ayuh kita berbicara di dalam kamar. Ada sesuatu yang hendak kita katakan kepada ibu.
CEMPAKA:       (BERBISIK) Beritahu sajalah di sini, apanya? Kenapa mesti ke kamar pula?
K. KEMBOJA:   (BERBISIK) Tidak boleh  ibu… Nanti didengar dek Kembang Melur apa yang kita bicarakan…
CEMPAKA:       (MARAH) Eh! Apa yang tuan hamba tercegat di situ lagi, Kembang Melur? Pergi tanak nasi dan menggulai untuk makan malam kami!
K. MELUR:        Baik, ibu Cempaka. Segera hamba kerjakan.
K. KEMBOJA:   (SUARA PERLAHAN) Begini, ibu. Kembang Melur mesti segera dihapuskan. Jika Kembang Melur telah tiada, tentulah Mak Wan Kemangi akan berpaling kepada kita pula.
CEMPAKA:       Bagaimana caranya?
K. KEMBOJA:   Semalam kita melihat Kembang Melur berlari-lari ke rumah setelah mencari kayu api. Katanya menemui ular sawa di hutan. Kita berdua pergi tangkap ular sawa itu, bawa balik ke rumah dan letakkan dalam kamar Kembang Melur. Biar ular  sawa itu membelit dan menelan Kembang Melur!
CEMPAKA:       Hmm, bergeliga otak kamu!
GRAM:              MUZIK.
CEMPAKA:       Tuan hamba selesaikan semua kerja rumah dan jangan ke hutan mencari kayu api. Aku dan Kembang Kemboja akan ke sana mencari sesuatu untuk tuan hamba. Kami juga sayangkan tuan hamba dan akan mencari hadiah istimewa untuk kamu.
K. MELUR:        Terima kasih Ibu Cempaka dan Kembang Kemboja. Hamba sunggguh berbesar hati.  Tapi berhati-hatilah di hutan sana, sebab ada ular sawa dan banyak binatang buas yang merbahaya.
CEMPAKA:       Itu usahlah kamu khuartirkan. Tahulah kami menjaga diri.
GRAM:              MUZIK.
EFEK:                SUARA BEBURUNG BERKICAU DAN BUNYI LOTONG.
K. KEMBOJA:   Sudah lama kita berada di dalam hutan ini. Tapi apa yang kita cari tidak juga ditemui. Hari pun semakin beransur senja. Ayuhlah kita pulang ibu. Kembang Kemboja takutlah, ibu. Bimbang tersesat pula kita di hutan ini.
CEMPAKA:       Eh, diamlah! Kita ini di dalam hutan mesti berhati-hati. Sebentar lagi pasti kita temui apa yang kita cari.
K. KEMBOJA:   Baiklah ibu. Tapi Kembang Kemboja takut…
CEMPAKA:       Syhh... Tengok di sana. Ibu nampak ada ular sawa sedang tidur di
bawah pohon tembusu. Ayuh kita ke sana menangkapnya.
K. KEMBOJA:   Err… Ibu jalanlah dahulu, Kembang Kemboja ikut dari belakang ibu.
CEMPAKA:       Eh, macam takut saja kamu ni? Bukankah ini rancangan kamu? Jangan takutlah, ibu tahu cara nak mengawal ular tu dengan jampi. Nanti kamu buka karung ni luas-luas supaya senang ibu nak masukannya. Kemudian diikat kemas-kemas  supaya ular tu tidak terlepas.
K. KEMBOJA:   Err… Ba… Baiklah, ibu.
CEMPAKA:       Hah! Ibu sudah dapat tangkap. Cepat buka mulut guni luas-luas!
GRAM:              MUZIK.
CEMPAKA:       Nampaknya, Kembang Melur tak ada di rumah. Agaknya dia di telaga sedang mandi. Mari cepat, Kembang Kemboja,  kita bawa karung guni ini ke dalam biliknya.
K. KEMBOJA:   Baiklah, ibu.
CEMPAKA:       Kita letak guni ini di sini. Tentu Kembang Melur teruja mahu melihat apakah isi guni ini. Apabila dia buka sahaja tali pengikat karung, tentu ular sawa ini akan membahamnya. (KETAWA)
K.KEMBOJA:    (TURUT KETAWA) Dan akan tamatlah riwayat budak bedebah itu! (BERBISIK) Eh, ibu! Itu Kembang Melur sudah balik.
CEMPAKA:       Ke mari tuan hamba! Ini,  bersusah-payah kami mencari hadiah untuk tuan hamba. Tapi kamu jangan buka lagi karung guni ini. Kamu bukalah pengikat karung ini kala lewat malam nanti, tau. Lagipun sekarang, kamu lagi sibuk mahu memasak makan malam, kan?
K. KEMBOJA:   Err, apakah hadiahnya itu, ibu? Nampak besar sungguh isi guni ini…
CEMPAKA:       (LEMBUT) Usahlah banyak tanya. Ibu yakin, pasti kamu suka akan hadiah ini nanti. (SEDIKIT KASAR) Sudah! Lekas ke dapur masak makan malam!
GRAM:              MUZIK.
EFEK:                SUASANA MALAM. BUNYI CENGKERIK DAN BURUNG HANTU.
K. MELUR:        Apa agaknya hadiah yang di dalam guni ini? Sekarang pun sudah tengah malam… Biarlah aku buka pengikat karung ini… (PAUSE. NADA TERKEJUT) Hah! Siapakah tuan hamba ini, berbusana indah laksana putera raja… tapi berada di dalam karung guni pula?
I. SATRIA:         (MELEPASKAN LELAH) Syukur beta terlepas dari kurungan ini. Lega sekali. Paling bersyukur kerana bauan bunga melur pada diri tuan hamba yang murni melunturkan sumpahan beta. Begitulah kata tabib istana beta. Seorang tukang sihir wanita telah menyihirkan beta menjadi ular sawa kerana menolak cintanya dan sangat iri kepada beta. Beta amat berterima kasih kepada kamu. Beta akan membawa kamu pulang ke negeri beta, akan memperisterikan kamu dan menabalkan kamu sebagai permaisuri negeri. Maka akan tertunailah hajat ibu saudaramu yang ingin kahwinkan kamu dengan ular sawa. Sebenarnya mereka berdua berniat jahat nak membunuh kamu!
K. MELUR:        Apa? Oh… Hamba amat bersyukur yang tuanku bukanlah ular sawa sebenarnya. Jikalau tidak, tentu hamba sudah mati malam  ini. Tapi…
I. SATRIA:         Beta faham, kita belum diijab kabul. Mustahil beta mahu menceroboh kehormatan kamu. Biarlah hamba tidur di lantai sini. Kamu tidur di atas katil. Beta masih perlu menghidu aroma bunga melur daripada tubuh kamu sehingga ke subuh agar sumpuhan itu benar-benar lenyap.
K.MELUR:         Jika begitu, baiklah, tuanku.
GRAM:              MUZIK.
CEMPAKA:       Cepat bangun, Kembang Kemboja! Hari sudah pagi. Ayuh kita tengok
apa yang terjadi kepada Kembang Melur. Apakah sudah tamat riwayatnya dibaham ular sawa itu.
K. KEMBOJA:   (MENGUAP) Ayuh ibu. Tidak sabar rasanya kita nak tahu nasib
Kembang Melur.     (PAUSE) Eh, tidak  ada sesiapa di sini, ibu! Agaknya ular sawa telah menelannya dan kemudian keluar dari dalam bilik ini. Padan muka kamu, Kembang Melur!
K. KEMBOJA & CEMPAKA: (KETAWA SUKA HATI).
K. MELUR:        Err, maafkan hamba…Ibu dan Kembang Kemboja di pintu bilik hamba ni, mahu mencari hambakah? Tadi, hamba memberi ayam itik makan dan mengutip bunga melur.
CEMPAKA:       (TERKEJUT) Kamu masih hidup? Tidak mati ditelan ular sawa?
K. MELUR:        Mati? Syukur, hamba masih hidup. Terima kasih sebab Ibu Cempaka berikan hamba suami seekor ular sawa yang baik. Lihat di muka pintu depan, itulah bakal suami hamba.
I. SATRIA:         Ya, betalah Indera Satria, raja negeri Terbit Suria... Sang ular sawa yang tuan hamba tangkap untuk dijadikan hadiah kepada Kembang Melur.
K. KEMBOJA & CEMPAKA: (SAMA-SAMA TERKEJUT) Apa?
SYAIR:               Kembang Melur dan Indera Satria,
                            Kini mereka hidup bahagia,
                            Dahulu derita akhirnya ceria,
                            Jadi permaisuri di Terbit Suria.
                           
                            Demikian kisah gadis yang tabah,
                            Sentiasa sabar tidak gelabah,
                            Warna hidupnya telah berubah,
                            Kepada raja bersimpuh sembah.
GRAM:              MUZIK PENUTUP.
JURUHEBAH:   Demikian Purbawara dengan kisah “KEMBANG MELUR” karya Paridah Ishak, Serendah, Selangor.
PELAKON:
                            1. ……………………………...………………………………………..
                            2. ……………………………...………………………………………..
                            3. ……………………………...………………………………………..
                            4. ……………………………...………………………………………..
.                           5. ……………………………...………………………………………..
                            PENYAIR: …………………………………………………………….
Purbawara khazanah seni warisan bangsa, diterbitkan oleh ZURAIDAH MOHD NOR.

12 comments:

  1. Alhamdulillah...teruskan berkarya kak..

    ReplyDelete
  2. lama x dgr radio klasik... radio pun dah jarang dgr hehehe

    ReplyDelete
  3. TKSH ANIES SAMBIL2 MNULIS DGR JUGA RADIO ONLINE ANIES

    ReplyDelete
  4. wahhhhh.... bestnya klu dpt dengar... mcmne nk dgrnya kt radio online kak ?
    teringat masa dana kecik2 dulu, suka dgr drama radio kt radio singapura....

    ReplyDelete
  5. TKSH DANA YA DGR KAT RADIO KLSIK ONLINE HARI ISNIN 9.30 MLM ASYIK JUGA DGR CITER BRSYAIR NI

    ReplyDelete
  6. Radio klasik selalu jadi pilihan ayah zumal pasti dia ada dengar Kembang Melur ni

    ReplyDelete
  7. TKSH ZUMAL..ORG KLASIK MSTI MINAT RADIO KLASIK..HEH..HEH..

    ReplyDelete
  8. Karya yg menarik sarat dengan peringatan dan nasihat utk kita semua

    ReplyDelete

Terima kasih bersama Karyaku...Paridah Ishak. Komen anda amat dihargai... “Semoga Allah SWT akan membalas dirimu dengan kebaikan yang banyak dan semoga Allah SWT akan membalas dengan balasan yang terbaik.”

MyBloglist