Perpecahan kepimpainan PKM di Peking
PERPECAHAN mula berlaku dalam Parti Komunis Malaya (PKM) sekitar tahun 1964 ketika kerajaan China melancarkan Revolusi Kebudayaan.
Namun, bibit-bibit perpecahan telah bermula sejak Chin Peng tiba di Peking pada pertengahan 1961 apabila berlaku pertelingkahan antara Chin Peng dan Pengerusi PKM, Musa Ahmad berhubung hak-hak orang Melayu dan penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan Malaya.
Musa mengkritik kepimpinan Chin Peng ketika kerajaan China melancarkan Revolusi Kebudayaan. Kebanyakan anggota dan pemimpin Melayu PKM yang berada di Peking menentang penglibatan PKM dalam Revolusi Kebudayaan.
Pada awal 1967, Musa mencadangkan kepada semua anggota Melayu PKM di Peking supaya menampal poster dan mengkritik dasar-dasar Chin Peng. Musa menggelar kumpulan itu sebagai Kumpulan Lima yang terdiri daripada Shamsiah Fakeh, Ibrahim Mohamad, Mohd. Jamin, Chau Su Chern (isteri Mohd. Jamin), Zainab Mahmod (isteri Musa) dan Musa sendiri.
Beberapa pertemuan diadakan di apartmen Mohd. Jamin yang terletak di Kompleks Radio Peking. Kumpulan Lima itu bersetuju menerbitkan artikel bertajuk, Upholding MAO TZE TUNG's Thought As The Road To Victory For The Revolution Of The Malayan People bertujuan mendedahkan kesalahan yang dilakukan oleh Chin Peng.
Antara perkara yang terkandung dalam artikel itu ialah:
" Chin Peng tidak mematuhi garis perjuangan yang betul, dengan mengabaikan orang Melayu dalam perjuangan bersenjata PKM
" Chin Peng meninggalkan sempadan Thai-Malaya untuk mendapat perlindungan di Peking, dan mendakwa Chin Peng sebagai cauvinis, diktator dan tidak demokratik dalam mengendalikan urusan parti.
Kumpulan itu memutuskan untuk menyerahkan artikel itu secara langsung kepada Chin Peng tetapi Chin Peng enggan mengadakan pertemuan dengan Kumpulan Lima itu. Kumpulan itu kemudian menghantar artikel itu melalui pos kepada Chin Peng.
Beberapa salinan artikel itu turut dihantar kepada beberapa pertubuhan di Peking termasuk Persatuan Wartawan Afro-Asia, wakil Parti Komunis Indonesia (PKI) di Peking, Djailani dan Pengerusi Parti Komunis Burma (kini Myanmar), Ba Tin Tien.
Perbicaraan
Ekoran tindakan kumpulan itu, Chin Peng menghantar orangnya ke rumah Musa mengarahkannya pergi ke kem transit untuk menghadapi perbicaraan. Oleh kerana Musa tidak bersedia untuk dibicarakan, dia memilih untuk berkurung di rumahnya. Sejak itu, tiga percubaan dilakukan Chin Peng untuk membawa Musa berdepan dengannya.
Musa melarikan diri daripada Chin Peng selama lapan bulan dengan berpindah-randah dari satu bilik ke satu bilik sejak Ogos 1967 hingga Mei 1968.
Pada akhir 1968, ketika bersembunyi, Musa menerima surat daripada Chin Peng yang dihantar atas nama Cinanya, Peh Wen yang disampaikan oleh seorang anggota komunis dikenali sebagai Wu Wee Ching, seorang pegawai di ILD yang bertanggungjawab dalam Hal Ehwal Malaya.
Surat itu ditulis dalam bahasa Inggeris yang antara lain menyebut:
''Kerana tindakan kamu yang anti-kegiatan parti, Jawatankuasa Pusat PKM telah mengambil keputusan untuk memecat kamu sebagai Pengerusi (PKM), anggota Politburo, anggota Jawatankuasa Pusat PKM dan mengekalkan kamu sebagai anggota biasa dengan bersyarat iaitu dalam tempoh tiga hari kamu menulis pengakuan melakukan kegiatan anti-Parti…
Namun, Musa tidak membalas surat itu. Pada Mei 1969, Wu Wee Ching dan dua orang pegawai dari ILD menemui Musa dan mencadangkan satu pertemuan diadakan antara Musa dan Chin Peng bagi menyelesaikan pertelingkahannya dengan Chin Peng, tetapi Chin Peng enggan menghadiri pertemuan itu.
Chin Peng sebaliknya bertegas mahu Musa dibawa ke kem transit untuk dibicarakan, tetapi ditolak oleh ILD kerana bimbang Musa akan diserang oleh orang-orang Chin Peng.
Tidak lama kemudian, Wu Wee Ching menyerahkan satu surat mengandungi nota daripada Jawatankuasa Pusat PKM memaklumkan bahawa Musa telah disingkirkan sebagai Pengerusi PKM berkuatkuasa 15 Julai 1968.
Pada masa yang sama, Musa dimaklumkan oleh seorang pekerja di kem transit bahawa Ibrahim Mohamad dan isterinya, Shamsiah Fakeh serta tiga anak lelaki mereka teruk dipukul dan kemudian ditahan di kem transit oleh Chin Peng.
Ibrahim dan Shamsiah kemudian dijatuhi hukuman dibuang ke kawasan terpencil di Chan Sa, selatan China untuk bekerja di sebuah kilang membuat ball-bearing. Kedua-kedua mereka kemudian turut disingkirkan daripada PKM.
Begitu juga dengan Mohd. Jamin dan Chau Su Chern turut diburu oleh Chin Peng, tetapi mereka terselamat kerana Radio Peking enggan melepaskan mereka untuk dihantar ke kem transit atas alasan Radio Peking masih memerlukan khidmat mereka sebagai juruhebah di bahagian Melayu. Akibatnya kedua-dua mereka turut dipecat daripada PKM.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Rencana/20131006/re_11/Perpecahan-kepimpinan-PKM-di-Peking#ixzz2gu16u4gh
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment
Terima kasih bersama Karyaku...Paridah Ishak. Komen anda amat dihargai... “Semoga Allah SWT akan membalas dirimu dengan kebaikan yang banyak dan semoga Allah SWT akan membalas dengan balasan yang terbaik.”