Saturday, 30 June 2012

SYAIR PANTUN BERENDOI...

Ana anak kedua jiranku yang di kiri baru saja melahirkan anaknya yang ketiga seorang putera. Masih lagi belum habis masanya berpantang tapi sudah mahu pulang ke rumahnya dan suami di KL. Dan emak/bapanya pun berusaha mengatur majlis cukur rambut, berendoi dengan dimulai bacaan yasin dan tahlil jiran-jiran yang memenuhi undangan.

Majlis sebegini memang sering diadakan di sini juga di tempat lain tentunya...

Aku tertarik sungguh dengan syair/pantun berendoi yang indah dilagukan. Rasanya aku terlewat mengetahuinya. Dan aku catatkan di sini syair itu untuk dikongsi bersama betapa indahnya sebuah sastera lama.

Bismillah itu permulaan nama
keadaan zatnya bersama-sama
menzahirkan zat menyatakan asma
khadim dan taat sedialah lama

Wahai segala anaknya Adam
asal dan Wahi Nurul khatam
dipecahkan empat zahirnya Adam
dipecahkan pula sekelian alam

Rahim bapamu turun ke ibumu
empat puluh hari Nutfah namamu
lapan puluh hari alakah Alakah namamu
seratus dua puluh hari Masfah namamu...

Pantun ni banyak lagi rangkapnya...nanti disambung lagi ye...

Monday, 25 June 2012

SELIRATAN CINTA BAB 11


Sudah selesai sesi fotografi untuk majalah yang amat memenatkan Anita. Sarina pula tidak merasa begitu. Dia santai dan lapang saja. Sentiasa galak riang tertawa, menegur itu ini. Tanpa segan silu.
Kini sesi bertemu dengan wartawan hiburan yang akan mewawancara kedua-dua artis itu untuk disiarkan artikelnya di dalam majalah Jelitawan Era yang akan diterbitkan awal bulan hadapan. 
Seorang wartawan bernama Aziah atau lebih di kenali sebagai Jee di kalangan artis sedang mengatur langkah menghampiri Sarina dan Anita.
Tulisan Jee sering diikuti peminatnya kerana gaya tulis kewartawanan yang bersahaja. Jika dia sukakan seorang artis itu dia tidak akan terbawa-bawa ke dalam tulisannya dengan memujinya melambung tinggi.
Sekiranya dia menghidu sebarang keburukan sesaorang artis itu dia tidak akan mendedahkannya dalam tulisannya secara terang-terangan. Hanya menepati pepatah ‘pukul anak sindir menantu.’ Siapa yang makan cili akan terasa pedasnya. Sentiasa berusaha hendak mematuhi etika kewartawanan yang wajib dipegang.
Aziah mengambil tempatnya. Duduk berhadapan dengan kedua-dua ‘mangsa’ yang akan ‘dikuliti’ dan dipaparkan ceritanya menjadi hidangan enak pembaca yang berminat.
Sesi wawancara seorang wartawan dengan dua orang artis sedang berlaku.
Wartawan:
Takkan Anita tidak tahu, ramai artis memang suka di gossip. Merekalah yang mengundangnya. Bila sudah disiar di media...mula takut. Lepas tu buat kenyataam akhbar, tak cakap pulak macam tu. Kami orang media ...tulis je. Kami tidak ada niat apa-apa pun.
Anita:
Saya memang tidak suka digosip perkara bukan-bukan yang tidak saya lakukan.
Saya menceburi bidang lakonan bukan kerana hendak hidup mewah, atau dengan niat mencari suami dari kalangan Datuk-datuk bergelar yang kaya. Saya cuma hendak mencari sedikit rezeki yang halal buat menyara kehidupan..
Wartawan:
Baru-baru jadi pelakon memanglah cakap macam tu Nita. Tapi bila dah tengok member-member artis lain hidup mewah, tinggal di banglo, sentiasa bertukar kereta yang diimpot ...tentu terikut-ikut juga.
Anita:
Maaf …saya tidak begitu. Saya ada nilai hidup saya sendiri. Jika saya hendak kaya dan mewah saya akan berusaha sendiri mendapatkannya.
Wartawan:
Sarina pula macamana? Nampaknya awak berdua kawan baik. Tetapi rambut saja sama hitam…ya.
Sarina:
Gosip tu asam garam hidup artis. Saya tidak kisah kalau digosip jikalau dengan cara itu saja nama yang tidak popular akan meletup semalaman.
Wartawan:
Bagaimana dengan cik abang hari tu? Masih dengan dia ke?
Sarina:
(Tersengih. Jari telunjuknya diletakan di bibir merahnya.)
Hey..ini off record ya. Sebenarnya hubungan saya dan dia sudah lama habis. Buat masa ini saya belum ada sesiapa. Tapi saya tidak mahu orang lain tahu antara saya dan dia sudah tiada sebarang hubungan lagi.
Wartawan:
Betul ke ni? Dulu macam nak rak bercinta?
Wajah Sarina menjadi kelat. Dia menoleh ke sisinya menancap anak mata temannya yang bersalut resah. Wawancara yang mulanya berlaku secara formal dan mesra semakin melalut arahnya. Anita tidak menggemari situasi sebegitu. Hatinya sebal dan jengkel.

                                               * * *

Girang sungguh hati Nadia. Dia ditemani seorang Datuk yang tebal isi kantungnya untuk membeli-belah apa saja kemahuannya. Dia bergerak dari satu sudut ke sudut lain yang sarat dengan barangan berkualiti yang dipamerkan.
Menilai segenap benda yang tergantung di sebalik cermin yang licin berkilat. Harganya ternyata sangat mahal. Dia langsung tidak pedulikannya. Dia yakin Datuk itu bersedia membayar berapa saja angka RM yang tertera kecil sebagai penanda harga itu. ‘Jika takut dengan angka harganya masakan dia berani melangkah masuk ke sini bersama aku.’ Monolognya memutuskannya.
Sudah ada beberapa beg kertas yang ada di tangannya. Kini dia sedang membelek-belek lagi busana fesyen terkini yang terpamer diimpot dari luar negara keluaran syarikat yang establish terkemuka namanya..
“Lawa baju ni Datuk. Rasanya ni memang padan dengan Nadia. Kena pula warnanya dengan kulit Nadia yang cerah.” Amin mengusulkan pandangannya. Datuk Shaari tidak berupaya hendak menafikannya kerana Nadia di sisinya tersenyum bagai mengharap.
“Lawa…lawa…memang padan.” Datuk Shaari bersuara seakan ada sesuatu yang termengkelan di tekaknya. Menyendat tenggoroknya. Tersekat-sekat sebelum melantun menjadi sebutan.
“Ish…abang Amin ni...mana Nadia mampu.” Balas Nadia tersengih menjeling Datuk Shaari mengharap reaksi timbal balas yang setimpal.
“Tidaklah mahal mana datukkan. Sebab yang lebih mahal dari ini pun datuk pernah beli.” Amin tersenyum mengangkat tinggi keupayaan kewangan tuannya.
“Ye ke Datuk?” Nadia menoleh memandang Shaari. Tersangat kagum dengan kemampuannya. Namun kekaguman kerana keupayaan kewangan datuk itu tidak menyebabkan hatinya tiba-tiba jatuh cinta terhadap datuk itu. Teman pilihan yang diharapkan seganding dengannya kelak kriteria yang telah ditetapkan tidak ada pada datuk itu. Lagipun lelaki idamannya memang sudah ada. Seorang lelaki Inggeris yang ditemuinya ketika mengadakan pertunjukan fesyen di London.
“You dengar ajelah cakap Amin tu. Manalah saya tahu pasal pakaian perempuan. Baju untuk lelaki saya tahulah.” Balas Shaari. Pandanganya tajam menikam anak mata Amin yang diserbu rasa serba salah. Pucat wajahnya. Amin mengerah mindanya berfikir sesuatu. Dia ingin segera melepaskan diri dari kesalahan terlepas kata-kata yang tidak disenangi tuannya.
“Maksud saya…maksud saya baju Datuk yang mahal. Sehelai kot pun harganya berbelas ribu.” Amin sempat juga mencari alasan sedang dirinya menggelabah rusuh.
“Kalau Nadia berminat sangat dengan baju ni…ambillah… harganya tidak usahlah dikira sangat. Lagipun saya ni tidak suka menghampakan harapan orang.” Datuk Shaari terpaksa berkata begitu untuk mengelakan pandangan negatif Nadia terhadapnya. Melabelkannya sebagai seorang korporat yang kedekut jikalau menolak hasrat Nadia untuk memiliki apa yang dihajatinya.
Dari raut yang tertera di wajah Nadia dia dapat membaca kehendak gadis itu terhadap busana yang di beleknya beberapa kali itu. Tentunya model itu tersangat ingin hendak memilikinya.
Nadia tersenyum senang. Dia melepaskan senyuman yang sangat manis ke wajah Datuk Shaari. Akhirnya terlaksana juga hasratnya hendak menggayakan busana indah setara dengan harganya, 10,000 RM. Dia melangkah senang ke kaunter pembayaran.
Shaari membayar dengan menggunakan Kad Hutang yang dimilikinya. Dia juga turut membeli beberapa helai kemeja. Tetapi Amin hanya berlenggang kosong tanpa apa-apa di tangan. ‘Mahal rezeki aku kali ini’ keluhnya dalam dirinya.
“Ini hadiah untuk kau Amin.” Datuk Shaari menghulurkan sehelai kemeja jenama kebanggaannya. Tersungging senyum di bibirnya. Riang hatinya bukan kepalang.
“Terima kasih banyak-banyak Datuk. Datuk memang baik. Tidak pernah lupa pada saya khadam datuk yang setia ni.” Shaari dan Nadia saling tersenyum melihat perilaku Amin yang melucukan seperti seorang anak kecil mendapat pemberian dari bapanya.
Ada juga rezeki untuk kau Amin. Tidaklah penat saja mengekori Datuk hari ini.’ kata Amin kepada dirinya seakan berbisik.
Masing-masing melangkah dengan interpertasi yang berbeza tentang kegembiraan yang telah dikecapi. Amin dengan caranya yang tidak banyak kisah dan berpada dengan rezekinya.
Nadia juga gembira tetapi sedikit kesal kerana tidak memilih busana yang lebih mahal dari 10,000 RM. Dia yakin Datuk itu mampu membayar berapapun harganya.
Sedang Datuk Shaari pula menyesal tak sudah kerana menjadi pemurah tidak bertempat. ‘Ah! Biarlah. Bertimbun-timbun lagi duit aku di bank.’ Dia malas hendak memikirkan kesilapan yang mendera mindanya.

                                                 

Thursday, 21 June 2012

GALERI DAPUR....

Orang dapur, galerinya pun di dapur.  Tiada apapun yang boleh dibanggakan dengan isinya yang sengaja suka-sukaku namakan sebagai galeri dapur. Hanya sekadar lukisan cat air di atas kepingan plywood yg berbentuk frem.

Lukisan-lukisan yang dihasilkan buat mengisi masa senggang. Lagipun hanya itu saja yang mampu dilakukan menggunakan sebelah tangan yang kanan dan masih berfungsi walau keupayaannya tidak seberapa. OKU yang benar-benar OKU dan bukan kelainan upaya.

Dulu-dulu sebelum OKU suka mengait crochet, menyulam silang pangkah dan lain-lain hobi yang biasa dilakukan mereka yang normal kini hanya boleh melukis, menulis dan membaca. Seolah langkah mundur hidup ke belakang semula. Apa nak kata demikianlah takdirnya tersurat.

Lupakan bab takdir tu...kita cerita tentang lukisan-lukisanku. Paling gemar kulukis adalah gubahan fikiran pemandangan. Melukis potret tak pandai. Jikalau kulukis potret orang mahu rupa hantu jadinya.
Melukis ini adalah subjek yang sangat diminati tika di sekolah dulu. Ingatkan cerita di sekolah tinggal di sekolah kesemuanya rupanya kembali menyertai kesepian diri.

Lukisan-lukisan yang dihasilkan tidaklah secantik mana. Sekualiti saja dengan diri pelukisnya.



Kini tidak melukis lagi kerana diserabuti dengan kesibukan-kesibukan lain yang menuntut perhatian. OKU pun sibuk juga? Mestilah...ingat OKU makan tidur saja ke....

Thursday, 14 June 2012

SELIRATAN CINTA BAB 10....


Sesi penggambaran di dalam studio sebuah syarikat penerbitan majalah sedang dilakukan. Anita dan Sarina adalah artis untuk sesi penggambaran kali ini. Sarina rela menggayakan pelbagai aksi yang diminta jurugambar majalah ‘Jelitawan Era’ itu. Tetapi tidak begitu pula pada penerimaan Anita. Matanya tidak gemar memandang gaya
Sarina yang terlebih manja itu. Bibirnya mencebik. Tekaknya loya. Aksi-aksi menggoda Sarina sangat getik padanya. Meluat matanya memandangnya.
Selesai sudah aksi-aksi Sarina yang mengganggu keharmonian jiwanya itu.
Gilirannya pula mengambil tempat. Dia menolak permintaan jurugambar untuk bergaya seksi dengan melebarkan bukaan dadanya sehingga terlihat sedikit lurah kedua-dua gunung berapinyanya.
Dia tidak selesa begitu. Dia malu. Memadailah seluruh tubuhnya disalut dengan busana fesyen terkini sebagai penyeri wajah. Bukan gaya seksi sebagai taruhan untuk memperagakan kejelitaan diri.
Jurugambar itu tidak pula memaksa sekiranya artis itu menolaknya. Dia hanya sekadar meminta supaya gambar yang terpotret, tampak lebih elegan. Tapi terpulang juga pada empunya diri.
Bagi Syahril yang sudah bertugas sebagai jurugambar majalah  di syarikat ini selama hampir sepuluh tahun, baru kali ini dia menemui seorang artis yang sangat sempurna kejelitaannya. Rupa cantiknya berkekalan walaupun dipotretkan dari aneka sudut. Sungguh semula jadi dan sejati.
Dia yakin tidak lama lagi, artis baru ini akan sentiasa bertemu dengannya untuk sesi penggambaran majalah seterusnya. Kerana kecantikan semula jadinya yang fotogenik memang sangat memukau.
Dan akan menerima permintaan dari peminatnya, untuk selalu menatap wajahnya di dalam majalah. Dia berkira-kira begitu.
Padanya tidak perlu terlebih bergaya sekiranya potret yang diambil tidak fotogenik dan miliki keayuan semula jadi. Dan disukai pembeli majalah.

                                                     * * *

Restoran Mewah Café menerima pelanggan yang bersilih ganti. Sesuai sekali dengan namanya, pemiliknya tentu mengharapkan kemewahan yang melimpah ruah. Rezeki yang tersalur hasil dari kerja keras yang tidak sedikit. Fadzillah pemilik Mewah Café yang anggun jelita boleh bersenang hati kerana perniagaannya tidak menyusahkannya. Sentiasa memberinya rezeki yang menguntungkannya.
“Hai Nad...” sapanya sambil meletakan dulang yang berisi air suam yang jernih di atas meja pelanggannya bersekali dengan kad menu hidangan yang dibawanya.
“Kak Dilla ni…masih juga nak bersusah-payah membuat kerja ni. Duduklah relek-relek pergi bercuti ke luar negara ke makan angin. Ini tidak setiap masa hendak berkerja.” Fadzillah menarik kerusi dan menghenyakan ponggongnya di atasnya. Wajah cantik gadis jelita di hadapannya ditentangnya.
“Kau cakap senanglah Nadia. Suruh aku duduk saja. Pergi bercuti makan angin. Tetapi kalau nak bercuti tak boleh selalu tau. Waktu perniagaan sedang memuncak naik tidak boleh ditinggalkan hendak bersenang-senang. Porak-peranda jadinya.”
“Hai Kak Dilla tak cukup senang lagi ke. Dengar kabar income sudah juta-juta, hanya dengan berniaga di restoran saja. Saya tengok perniagaan akak ni tidak pernah terjejas walaupun ketika ekonomi negara merudum.” Fadzillah tersenyum membalas ulasan model antara bangsa yang gemar mengunjungi restorannya sejak lama.
Dia rajin pula melayan bualan sesiapa saja yang menegurnya dengan ramah. Hingga terjalin hubungan silaturahim yang mesra. Kewujudan hubungan yang tidak tersengaja.
Itulah yang berlaku di antaranya dengan Fadzillah gadis andalusia yang tidak pernah peduli dengan pandangan serong orang-orang di sekelilingnya kerana masih belum berkahwin walaupun sudah lanjut usia.
Baginya perkahwinan bukanlah sangat penting dan diperlukannya. Tidak semestinya sesaorang itu hanya akan berbahagia dan menikmati hidup sebenarnya sekiranya berkahwin dan tidak sebalikya. Apapun terpulang kepada kemahuan masing-masing.
“Kau ni mesti sedang menunggu sesaorang ni...buah hati ke?” Fadzillah cuba mengorek rahsia wajah yang tersipu-sipu di hadapannya. Senyumnya terbuka sedikit, bagai kudup melor sedang mengorak kelopak.
“Mana ada. Ada sajalah kak Dilla ni. Model macam saya ni, tidak sempat hendak bermata air, berbuah hati pun. Sibuk memanjang di pentas peragaan.” Nadia menepis sangkaan Fadzillah seperti selalu.
“Habis kau tunggu siapa…kalau bukan buah hati pengarang jantung?”
“Adalah. Sebenarnya ada seorang Datuk tu hendak belanja saya makan tengahari di sini.” Nadia terdesak juga untuk menceritakan perihalnya kepada Fadzillah.
Kadang-kadang pertanyaan Fadzillah menjengkelkan juga pada penerimaannya. Memang dia tidak gemarkan pertanyaan yang bersifat terlalu peribadi itu tetapi di dalam keadaan tertentu tidak terdaya juga hendak menolaknya. Terpaksa juga diceritakan walau tidak keseluruhannya.
“Datuk yang mana satu ya. Selalunya restoran akak ni selalu juga dikunjungi Datuk-Datuk Sesetengahnya memang akak kenal. Baik orangnya. Berbudi bahasa. Sesetengahnya berlagak semacam, mentang-mentanglah seorang Datuk konon.” Fadzillah menuturkan komen berdasarkan analisis pandangannya terhadap pelanggan-pelangganya yang berstatus itu.. 
 “Malaslah nak sebut siapa. Akak tengoklah nanti siapa agaknya yang akan bersama Nadia.” Fadzillah mulai merasakan pertanyaan-pertanyaannya yang teramat ramah itu seakan tidak digemari pelanggannya. Hati pelanggan memang perlu dijaga sebaiknya. Dia perlu membetulkan kesilapannya.
“Maaflah Nad...akak ni dah terlebih tanya pula. Tak apalah Nad, akak pun ada kerja yang hendak dibuat di opis akak tu. Nadia tunggulah Datuk tu. Kalau hendakan apa-apa minta saja pada gadis-gadis waiter. Dia orang tu semuanya kenal Nadia sebagai kenalan kakak.” Nadia tersenyum dan angguk. Dibiarkan Fadzillah mengatur langkah meninggalkannya. Membawa bersama pertanyaannya yang tidak ada jawapannya.
Sebaik saja kelibat Fadzillah hilang di sebalik pintu opisnya yang terletak di sipi restoran itu, muncullah lelaki yang ditunggunya
Keluh-kesahnya kerana penat menunggu lama terburai juga.
“Hai Nad…maaf terlewat sikit. Trafik jem tadi. Jalan sesak. Restoran pilihan Nadia ni susah pula nak cari. Tapi nampaknya tempat ni amat exsklusif. Hiasannya moden dan canggih.” Datuk Shaari menjeling Amin yang bersungguh-sungguh menuturkan pujian berandaikan rupa luaran.
 Dia tidak memberi komen apa pun. Hanya leka menjamu mata menyeluruhi tatapannya pada wajah Nadia yang jelita.
“Saya Datuk Shaari Shahfudin. Selamat berkenalan.” Datuk Shaari mengenalkan dirinya sambil menyambut jemari halus lembut yang menyalaminya. Nadia tersenyum manis menerima ucapan pengenalan diri Datuk itu.
“Saya Nurnadiaseri. Datuk tentu sudah mengenali saya. Jikalau datuk tidak mengenali saya, tentunya datuk tidak akan menjemput saya menemani datuk makan tengahari.” Shaari tersenyum polos. Terangguk-angguk.
Amin hendak membuka mulutnya, menyela bualan yang sedang berlaku hambar dan sangat melodrama itu. Tetapi dia teringatkan peristiwa yang berlaku dipertemuan antara Datuk Shaari dan Rozana dahulu. Dia bimbang peristiwa di sindir Datuk Shaari kerana turut bersibuk mencelah bualan akan berulang.
Dia pun diam saja. Mengikuti kehendak nalurinya. Matanya galak mengekori dan beralih pandangan dari satu wajah ke wajah yang satu lagi di hadapannya.
“Nadia…ini sedikit hadiah dari saya yang tidak seberapa. Terimalah.” Datuk Shaari manis berbahasa menutur ayat lembut memikat.
“Terima kasih Datuk. Buat apalah susah-susah.” Nadia menerima hadiah yang diberi dengan senang hati. Dia sentiasa berfikir positif. Setiap rezeki yang jatuh ke riba, jangan ditolak. Dia tidak pernah meminta. Rezeki yang terlimpah ke pangkuannya.
“Datuk Shaari rupanya. Saudagar perkapalan yang terkenal itu yang akan memewahkan Nadia hari ini. Untung kau Nadia dapat durian gugur, bertuahnya jadi orang terkenal, sentiasa dikejar rezeki.tanpa perlu bersusah-payah berkerja seperti aku berkejar ke sana-sini bagai lipas kudung,” bisik satu suara yang terselindung di sebalik pintu opis Mewah café yang renggang sedikit. Pintu yang renggang itu kemudiannya ditutup rapat.
Bukan niatnya hendak merisik setiap tingkah peribadi pelanggannya seorang model ternama itu, tetapi hanya ingin memenuhi rasa ingin tahunya yang meluap-luap.
“Tak susah Nadia. Ini cuma hadiah kecil, tanda perkenalan kita. Saya tahu Nadia amat sibuk. Nadia sudi makan tengahari bersama saya pun, saya sudah amat berbesar hati.” Tutur Shaari dengan tonasi mendatar dan merendah diri.   
 “Tidaklah sibuk mana Datuk.” Nadia sangat gembira dengan hadiah yang diterimanya. Wajahnya kelihatan lebih ceria dan amat berseri.
“Oderlah apa yang hendak makan. Nadia pun katanya hendak cepat. Amin bagi tahu saya Nadia ada hal penting selepas ini.”
“Bukanlah penting sangat. Saya cuma nak pergi shopping saja.” Wajah Amin naik berseri. Ada sesuatu yang hendak diluahkannya pantas. Tidak sabar-sabar lagi hendak mengatakannya. Inilah peluangnya bersuara setelah membisu sekian lama dan berlagak sebagai pemerhati sahaja.
“Ish...dah baguslah tu. Datuk pun suka shopping. Apa lagi kalau nak temankan model terkenal macam Nadia ni. Datuk memang tidak keberatan.” Sela Amin tanpa ragu-ragu. Kali ini dia pasti Datuk Shaari tidak akan menjeling sinis kepadanya. Malah berterima kasih sangat kerana campur tangan yang menguntungkannya itu.
“Amin ni pembantu saya yang cekap Nadia. Dia sentiasa arif apa pun kesukaan saya. Selalunya di mana Nadia selalu shopping?” Amin mengurut dada. Lega hatinya. Tidak sia-sia terjahannya. Memberi pulangan pujian yang tidak diharapkan lagi.
It depends. Kalau ada duit lebih saya suka ke star hill atau KLCC. Di situ barang-barangnya brandednya original Datuk. Di tempat lain saya tak berani...takut tiruan.” Nadia menuturkannya. Memberitahu kesukaannya setara dengan tarafnya sebagai seorang model ternama.
Tinggi sekali citarasa gadis ini pada penilaian Datuk Shaari.
“Betul tu...saya memang sukakan perempuan yang high taste begitu. Betul tak Amin?” Amin lantas angguk. Dia agak tersentak dari pelayarannya yang singgah ke pelabuhan wajah manis seorang gadis bersama temannya di suatu sudut. Seorang gadis itu memang amat dikenalinya. Tetapi tidak yang seorang lagi. ‘Siapalah agaknya yang bersama Sarina itu?’




                                            
                   

Wednesday, 13 June 2012

CUTI-CUTI MALAYSIA KE KEDAH DAN PULAU PINANG

Selepas berwisata sehingga ke sempadan Siam melalui Pendang Nami, Naka hingga ke Padang Terap berpatah pulang ke Alor Setar. Senja pun berkalih malam. Bermalam pula di hotel Sri Malaysia Alor Setar.

Paginya setelah sarapan ronda-ronda bandar sekejap dan singgah di Pekan Rabu. Anak-anak memborong kuih-kuih tradisi Melayu yang sememangnya banyak dijual di situ. Yang tidak lupa dibeli tentulah dodol, hakwa maskat dan putu kacang. Kuih-kuih lama kegemaranku. Susah nak dapat di mana-mana walau ada dijual dengan nama serupa tapi rasanya tetap berbeza.

Sudah selesai urusan di Pekan Rabu perjalanan diteruskan ke Kuala Kedah. Bukan hendak ke Langkawi tapi saja nak tengok-tengok apa yang menarik di situ. Hari ini Jumaat jadi tiada aktiviti nelayan di pengkalan. Tidak ada ikan-ikan yang dipunggah dari bot.

Sekejap saja perjalanan melalui kampung-kampung di tengah bendang yang hijau kerana musim padi baru ditanam sampailah ke kampung emak saudaraku di Kuala Dulang Kecil. Di sinilah juga tanah tumpah darahku. Awal persekolahan juga di sini.

Tempat jatuh lagi dikenang inikan pula tempat tumpah darah...tempat kelahiranlah tu.

Makcik tidak berapa sihat tapi tetap berusaha memasak hidangan tengahari. Kata pakcik la ni orang tidak turun ke laut keranaa ombak besar dan amaran tsunami jadi tidak ada hasil laut yang segar untuk dinikmati. Aku sebenarnya teringin hendak makan ikan-ikan laut sebelah sini kerana rasanya yang sangat enak dimasak apa saja.

Hidangan tengahari yang disajikan bersama air nira nipah yang manis. Lega rasa tekak dibasahi kedinginan dan rasa enaknya yang tidak terkata sambil mata memandang hijau padi yang terbentang di kaki gunung Jerai. Air nira ini makcik yang mengusahakan daripada pokok nipah yang tumbuh di sekitar rumah sejak ratusan tahun dulu.

Pakcik dan makcik berusaha pula mengait buah-buah mempelam yang nampak bergayutan di pohon untuk diberi kepadaku buat dibawa pulang. Baik sungguh kedua-dua bapa/mak saudaraku ini melayaniku dan anakcucu sebaiknya walau masa bersama sangat singkat.

Tidak sempat lagi hendak ke Yan bertemu seorang lagi emak saudara yang tinggal di sana kerana hari hampir malam. Bimbang lewat hendak menaiki feri ke Pulau Pinang dan sukar pula mendapat hotel untuk menginap. Sedikit waktu siang diusahakan juga untuk menziarahi pak Jang di Kuala Sg. Yen kecil dan seorang sepupu yang tinggal berhadapan hospital Yan.

Awal malam diredah berpandukan GPS yang selalu menyesatkan sehinggakan menantu terpaksa ramah berbahasa bertanya arah jalan kepada orang-orang di pinggir jalan sehinggalah dapat menaiki feri ke Georgtown.

Penat sungguh dilambung kereta, sampai saja di hotel terus bungkang. Solat musafir ditunda dulu untuk memberi kerehatan kepada tubuh dulu.

Tidur sekejap dah pun siang. Anak menantu plan nak ke Balik Pulau menaiki bukit hingga turun ke Batu Peringgi. Durian sedang bermusim. Lebat sekali buahnya kelihatan bergantungan di pohon-pohon yang di tanah tinggi. Singgah juga untuk makan durian-durian pilihan yang tersedia di pinggir jalan. Boleh tahan mahalnya tapi makan sajalah...sesekali bukan selalu.

Dari Batu Peringgi menyusuri jalan ke Padang Kota mencari pasembor. Disebabkan laut bergelora pasembor pun tidak berisi udang sotong atau ketam yang menambah keenakannya. Selera pun terburai menikmati pasembor yang biasa-biasa saja rasanya.

Masa untuk menaiki feri semula setelah perut diisi untuk meneruskan perjalanan pulang.

Tuesday, 12 June 2012

INDAHNYA LUKISAN ALAM...

ASSALAMUALAIKUM...

INILAH KAMPUNG TEMPAT TUMPAH DARAH PI. DI BAWAH RIMBUNAN POHON MEMPELAM, NIPAH, MENGKUANG DAN POHON-POHON KELAPA YANG MELAYUT TINGGI ITULAH TERLETAK RUMAH NENEK PI. RUMAH NENEK YANG DIBINA HAMPIR RATUS TAHUN USIANYA. KELIHATAN SEPOHON MEMPELAM YANG TEGAK SENDIRIAN. DI SINILAH TERLETAKNYA TELAGA TEMPAT ANAK CUCU NENEK BERMANDI-MANDA ATAU MENCUCI PAKAIAN. KINI SENDIRIAN TIDAK DIGUNAKAN LAGI KERANA BEKALAN AIR SUDAH DITERIMA SEJAK AWAL 80. HANYA MENJADI TEMPAT KEDIAMAN IKAN AIR TAWAR PELBAGAI JENIS.







HAYATI INDAHNYA ALAM DI DESA KUALA DULANG KECIL INI. PASTI HATI AKAN TENANG DAN HAPUS SEMUA KERUNGSINGAN DI FIKIRAN.

INDAHNYA DESA TERCINTA YANG DITINGGALKAN

Sekejap saja dapat pulang menjengah kampung halaman yang sekian lama ditinggalkan. Terubat jaga rasa rindu dihati walau tidak semua hajat tertunai justeru kesuntukan masa.

Monday, 4 June 2012

Alahai anak-anak....

FGVH dan durian runtuh Felda tidak selesai lagi ceritanya. Kerana masing-masing yang dijanjikan rezeki itu sedang menunggu bahagian mereka. Untuk para peneroka barangkali sudah habis pembayarannya dilakukan. mdilakukan. Masing-masing tentu tersenyum lebar menerima cek 5K.

5K lagi dijanjikan untuk isteri-isteri peneroka akan diberikan pada Julai sempena sambutan Hari Peneroka nanti.

Dan anak-anak peneroka pula pasti tidak sabar untuk menerima 5K sebagaimana dijanjikan untuk mereka. Jikalau anak peneroka itu cuma dua atau seorang tentu lebih banyak yang akan diterima. Tapi kalau anak-anaknya berbelas orang tentulah sedikit yang dapat dirasa.

"Anak-anak saya dah talipon tanya bahagian mereka kak..." Beritahu jiran yang kanan.
"Anak-anak kita ada lima....sene nak bui seribu soghe....", celah kak Idah jiran di kiri.

Bagaimana pula dengan cerita yangku dengar tentang anak-anak yang kontrol semua pendapatan kewangan hasil ladang ibu mereka lantaran bapa mereka (peneroka) telah meninggal dunia. Ibu ini hanya diberikan 200RM untuk melunaskan semua keperluannya. Cukupkah?

Apakah ibu ini tidak berhak melakukan apa saja dengan wang ringgit sememangnya miliknya setelah kematian suaminya. Anak-anak hanya berhak separuh daripada harta warisan peneroka yang ditinggalkan. Separuh lagi tetap hak milik balu sebagai penerokawati.

Namun anak-anak ibu itu membuat penafsiran yang mereka sukai tentang pembahgian harta pusaka dan membiarkan ibu mereka hidup seadanya di tanah felda. Sedangkan hasil mahsul tanah felda dikaut kesemuanya.

Orang tua memanglah keperluan mereka tidak banyak. Makan minum cuma sedikit saja, pakaian pun sangat sederhana. Namun dengan kemampuan kewangan yang kukuh ibu itu tentu dapat melaksanakan hajatnya ke arah amalan berbentuk kebajikan untuk menambah bekalan yang akan dibawa ke akhirat kelak.

Kasehanilah ibu tuamu alahai anak-anak dan janganlah terlalu pentingkan diri sendiri. Tanpa ibu tak ke mana kita. Redha Allah terhadap kita kerana redha ibu terhadap kita anak-anaknya.

MyBloglist