Friday 13 April 2012

Seliratan cinta bab 6/2


Malam semakin larut. Tetapi kotaraya itu masih bercahaya. Mengisi pelbagai ragam manusia yang menghuninya. Sepasang mata Rizal semakin berat kelopaknya hendak di angkat. Terlalu mengantuk. Mamanya masih tercokoh mengadap TV. Dia menonton siri kegemarannya, CSI.
Sebuah drama penyiasatan yang sangat rumit dan mendapat rating tertinggi di kalangan penonton stesyen TV berbayar itu. Kebiasaannya memang begitu kerana dia amat susah hendak melelapkan mata sekiranya tidak terlalu jauh malam. Perlu terlebih dahulu melayani kehendak mata melayari setiap yang terpapar di skrin TV. 
Terpaksa menonton apa saja siaran dari saluran TV yang boleh ditukar sesuka hatinya sehingga matanya letih dan mengantuk. Malam ini dia tidak membaca atau menulis diari. Masa sunyinya telah diisi dengan melayani anak kesayangannya. Anak kesayangannya yang tiba-tiba telah berada di sampingnya.
Menulis dan membaca dilakukan dengan asyik sekiranya bersendirian. Jikalau ada sesaorang yang menemaninya dia akan mengkesampingkan minat itu sementara. Apatah lagi disisinya kini ada seorang anak yang sangat dirindui dan dikasihinya.
“Jom lah tidur mama.” Rizal memegang bahu mamanya. Menggugahnya sedikit.
“Ish… cerita tengah sedap ni. Mama belum mengantuk lagi. Kalau Rizal dah mengantuk…pergilah masuk tidur dulu.” Rizal tidak berganjak dari sisi mamanya.
“Mama tunggu ayah ke ni?” Anak itu merenung bebola mata mamanya dalam-dalam. Malam yang kelam hanya di sepuh cahaya TV masih tidak melunturkan sinar kejora mata mamanya.
“Tidaklah. Mama memang setiap malam begini. Bertemankan TV. Kadang-kadang sewaktu ayah Rizal pulang pun mama tidak sedar. Tertidur lebih dahulu di hadapan TV.”
“Kesian mama. Tak apalah biar Rizal temankan mama.” Rizal meletakan kepalanya di riba mamanya. Majmin mengusap rambut anaknya. Gugur air matanya, mengalir panas di pipinya kerana merasa amat terharu dengan tindakan anak bujangnya itu. Meskipun telah dewasa tetapi masih mengharapkan belaian kasih mesra mamanya. Bertuah sungguh dirinya melahirkan anak sebaik Rizal. Itu yang dirasakannya.
“Ya Rasullullah, sesungguhnya anakku ini telah menganggap perutku sebagai tempatnya, susuku sebagai sumber minumannya dan pangkuanku sebagai pembaringannya.” Riwayat hadis Abu Dawud. Tiba-tiba menjajah skrin mindanya. Perihal seorang ibu yang membuat pengakuan kepada Rasullullah SAW tentang betapa kasihnya ia kepada anaknya. Begitu juga dengan dirinya. Terlalu kasihnya terhadap anak kesayangannya.
“Manjanyalah anak mama ni.” Pipi anaknya yang licin itu di olesnya dengan jemarinya. Mengelus-ngelus pula rambut hitamnya yang lurus. ‘Mama rindu sekali hendak mendakap, mendokong dan mencium wajahmu serta tubuh harummu seperti sewaktu kau kecil dulu. Sementelah pula ketika kau masih bayi. Betapa bahagianya hati mama ini mengendongmu sebagai harta yang metah bernilai.
Tetapi masa yang mendewasakanmu telah membataskan apa yang boleh dibuat. Alangkah bahagianya mama sekiranya kau masih kecil seperti bayi hingga kini.’ Majmin melayang-layang bersama anganannya yang tidak mungkin akan berlaku.
Kitaran hidup sentiasa beransur berubah mengikut masa yang beredar. Mulanya janin, segumpal darah yang ditiupkan roh ke dalamnya. Membesar menjadi bayi, kanak-kanak, remaja, dewasa, tua dan kembali ke sisinya bila habis usia. Demikian putaran kehidupan.          
Derap langkah kedengaran diatur satu persatu. Dan berhenti di situ. Terkaku.
Berdegup kencang dadanya. Apakah musibah yang sedang berlaku ini? Dia bertanya pada dirinya. Kemarahannya melihat isterinya membelai rambut seorang lelaki yang sedang diribanya memuncak. Kesuraman malam membataskan pandangannya. Otak di kepalanya semakin hilang kewarasannya.
“Ini kerja awak ya Min! Bawa jantan masuk ke rumah bila saya tak ada. Dah lama buat kerja ni?” suaranya keras melengking membelah sunyi malam.
Majmin tergamam mendengar suara pekikan itu. Terkesima. Rizal terkejut. Bingkas kepalanya terangkat dari riba mamanya. Terkapa-kapa. Terpanggung mencari-cari suara yang lantang mengherdik itu.  Shaari tersentak melihat wajah polos anaknya yang menatap mata ayahnya dengan galak dan jengkel.
“Kau ke Rizal. Ayah ingat siapalah tadi. Kau dah balik? Lain kali beritahulah bila hendak balik. Mujur ayah tidak ada sakit jantung. Kalau tidak…” suaranya mendatar perlahan.
Alasan yang diberikan sangat bertepatan dengan relasi kehidupan orang orang korporat yang kaya-raya sepertinya. Ramai yang diserang sakit jantung kerana berlebihan kolesterol yang menyumbat salur jantung disebabkan terlebih makan, kurang riadah dan menyusahkannya menyedut oksigen yang menafaskan nyawa.
“Abang ni mengaruk tidak tentu pasal. Ingatkan Allah. Abang tidak percayakan saya ke? Saya ni tidak akan tergamak melakukan perkara terkutuk tu. Mintalah dijauhi ujian Allah yang berat tu.” Majmin mengurut dadanya yang sesak kerana terkejut sungguh mendengar suara nyaring suaminya laksana petir berdentum memecah sunyi malam itu.
“Maaflah Min.. abang tidak sengaja. Betul-betul abang minta maaf. Abang bukan sengaja nak mengangap Min yang tidak-tidak. Letakan diri Min di tempat abang tentu Min dapat rasakan apa yang abang rasa.” Datuk Shaari berusaha membebaskan dirinya dari rasa bersalahnya dengan rekayasa alasan yang logik pada pertimbangannya. 
“Memang ayah tidak salah mama. Sebenarnya Rizal yang silap. Rizal terlupa yang Rizal sudah dewasa tapi masih hendak tidur di riba mama. Patut ayah cemburu kerana dia tidak mahu isteri kesayangannya terlepas ke tangan orang lain. Gitukan ayah?” Rizal tersengih riang. Hatinya cepat saja melupakan anggapannya yang bukan-bukan tentang hubungan mama dan ayahnya.
Hatinya bersorak riang pula melihat kebahagian kedua-dua ibu bapanya.
“Ye lah tu.” Balas ayahnya bersahaja.
“Ini..kenapa balik tidak bagi tau ni? Tiba-tiba saja dah muncul, mengejutkan betul.” Tanya ayahnya berbaur gusar.
Datuk Shaari menghenyakan ponggongnya di atas sofa. Keletihannya kerana melayani kerenah Rozana dan pelbagai aktiviti kesukaannya terlupa seketika kerana teruja dengan pertemuan dengan anak kesayangannya nan seorang itu.
“Maafkan Rizal. Memang tidak ada rancangan hendak balik lebih awal. Ingatkan hendak makan angin ke Eropah. Tapi sekarang ni musim sejuk. Jadi Rizal dan kawan-kawan buat keputusan balik terus.”  Rizal bangun dari sisi mamanya dan duduk pula di sebelah ayahnya.
Tangan ayahnya diciumnya. Ayahnya memeluknya mesra. Aliran listrik kasih sayang yang abadi terus mengalir ke dalam jiwa-jiwa yang sedang berpelukan intim itu. Rindu ayah terhadap anak kesayangan terlerai menjadi gumpalan kasih yang jitu yang mengikat hubungan antara ayah dan anak.
“Kata nak sambung belajar, ambil sarjana,” mamanya mencelah bertanyakan perihalnya setelah suasana yang meruncing dan gawat itu kembali natural. Situasi yang tenang yang melegakan jantung dari berombak deras. Normal.
“Niat tu memang ada mama. Tapi tidak mahu lagi belajar di US ( Amerika Syarikat ). Mungkin di UK ( United Kingdom ) pula mama. Tapi Rizal belum pasti bila.” Jelas Rizal masih rajin bercerita tentang dirinya.
“Tidak mengapalah Rizal. Esok saja kita sambung bersembang lagi. Rizal pun tentu penat seharian terbang dari New York, eloklah Rizal masuk tidur dan berihat. Ayah pun dah terasa letih dan mengantuk sangat pula. Maklumlah seharian di opis berkerja. Penat.” Dia tersenyum sedikit memberi rekayasa yang terlintas di mindanya. Tangannya menahan sangap yang tidak berhenti-henti pula.
“Mama pergilah masuk tidur dengan ayah tu.”
“Mama kamu tu jangan dipedulikan sangat. Selagi tidak tamat siri TV kesukaannya, selama itu jugalah dia mengadapnya.” Dia mengulas perilaku isterinya yang acapkali dilakukannya sepanjang pengetahuannya.
“Mama jom tidur.” Rizal berusaha untuk merapatkan hubungan kedua-dua ibu bapanya yang ternyata sudah hilang kemesraan yang sepatutnya. Pada anggapannya. Datin Majmin bangun meninggalkan temannya yang setia memberi hiburan dan informasi terkini, berbentuk empat persegi yang terlekat di dinding itu.
Dia memaut tangan suaminya yang agak tersentak dengan perbuatannya. Tapi pandangan yang tajam menerjah ke dalam anak mata suaminya membayangkan maksudnya. Kedua-dua tersenyum dalam keterpaksaan. Seorang suami terpaksa senyum dalam keletihan dan sementara seorang isteri tersenyum kerana naluri keibuan demi anak tersayang.
Dia tidak ingin anaknya itu terhidu sesuatu dan memberi prasangka yang tidak diingininya lantaran hubungan dingin diantara kedua-dua ibu-bapanya mutakhir ini sedang dirasainya.
 Walaupun baginya itu hanyalah proses normal yang sering berlaku dalam kehidupan bersuami-isteri, mungkin tidak pada pandangan anaknya. Langit pun tidak selalu cerah.
Kadang-kadang ada juga mendung yang menabirinya. Dia menerima hakikat bahawa kehidupan itu ibarat roda yang senantiasa berputar. Ada ketikanya di atas, ada waktunya di bawah pula. Mungkin ketika ini roda hidupnya sedang berada di bawah dan diterjah kerikil batu-batu tajam yang menyakitkan. Dia redha.
Kedua-duanya yang tersenyum manis bergandingan ke kamar tidur, meleraikan semua sangkaan anaknya yang mengatakan ada gejolak yang menggelodak sedang mengganggu keharmonian kasih sayang di antara ibu-bapanya yang sangat di kasihinya.
“Selamat malam ayah, mama.” Rizal melangkah gontai ke biliknya setelah menutup suis eleterik TV.
Malam bertambah larut. Di jalan raya masih banyak kereta bertali arus, hilir dan mudik. Wajah malam sangat sepi di desa. Tidak di kotaraya ini. Malam menjanjikan kemeriahan yang berpanjangan sehingga bertemu siang keesokannya. Terpulang kepada kebijaksanaan penghuninya bagaimana hendak bergelut di dalamnya.

                                                          8.                                             

“Macam mana malam tadi, nyenyak tidurnya? Maklumlah sesekali bila berubah tempat dari kebiasaan sesetengah orang tidak boleh hendak tidur nyenyak.”
“Itu orang lain mama. Saya ni pantang letak kepala ke bantal terus hilang dari dunia nyata. Lena sungguh.” Tukas anak itu menyanggah sangkaan mamanya. Dengan sentiasa ramah  senyum menguntum menceriakan suasana pagi..
Mak Kiah meletakan mihun goreng yang masih panas kerana baru saja usai di goreng. Baunya yang harum enak menguasai ruang itu menterjemahkan kelazatannya. Majmin mengambil piring yang tersedia dan menyendok mihun itu ke dalamnya.
Dia menyodorkan piring yang siap berisi itu kepada anaknya. Mihun yang mengandungi nutrisi pemakanan seimbang. Di dalamnya terkandung, protin, kabohidrat, lemak, mineral serat dan pelbagai zat untuk kesegaran, tumbesaran, energi untuk tubuh badan dari resepi yang tergaul di dalamnya.
Resepi yang tidak tetap ramuannya. Sentiasa ditokok-tambah mengikut kesesuaian selera dan yang utamanya mengikut bahan yang ada disimpan  di dalam peti sejuk menurut mak Kiah.
Mak Kiah seringkalinya berbuat begitu kerana tidak mahu susah-payah memikirkan apa yang tidak ada buat diadun di dalam mihun yang digorengnya. Yang penting ada bahan utamanya seperti mihun, sayur, cili, daging @ udang @ telor.
“Malam tadi kata Rizal hendak menyambung pelajaran peringkat Master di UK.”
“Begitulah mama. Tapi rasanya hendak berihat dulu sekejap.” Anak itu mengakuinya. Dia bergerak pula ke sinki untuk membasuh kedua-dua tangannya. Kata ustaz di sekolah rendahnya dahulu, berwuduk dulu sebelum makan. Maksudnya bukan berwuduk kerana mengambil air sembahyang tetapi berwuduk membasuh tangan.
“Baguslah begitu. Sudah penat belajar memerah otak untuk mendapat ijazah yang baik pencapaiannya, eloklah dilupakan sekejap semua perkara tentangnya. Berehatlah dulu, tenangkan fikiran. Lapangkan otak.” Majmin berkata begitu tanpa memandang kepada anaknya kerana perhatiannya tertumpu kepada suaminya yang telah berada di ruangan itu..
“Bagaimana kalau sementara tu Rizal berkerja dahulu dengan ayah. Tidaklah kelak Rizal merasa bosan kerana tidak ada sebarang aktiviti.” Majmin memberi saranan. Anak matanya yang lirih jatuh di wajah suaminya.
“Betul tu...hari ni pun boleh mula.” Balas Datuk Shaari tanpa sebarang keraguan. Tidak membantah apa-apa. Malah merangsang pula. Keputusan yang amat meyakinkan dipertuturkan.
“Abang ni...biar betul sikit kalau nak bercakap tu. Anak kita ni baru saja balik. Biarlah dia berehat dulu.” Shaari terangguk-angguk menyetujui usulan Majmin pula. Dan menyedari keterlanjurannya menyatakan sesuatu secara tergopoh-gopah.
“Terima kasih ayah. Nantilah Rizal fikirkan dulu. Kalau boleh Rizal tidak mahu berkerja di KLni. Biarlah di pedalaman. Jauh sikit dari KL.” Rizal menyebut basmalah sebelum menyuap mihun goreng  ke mulutnya. Baunya yang bersemarak aroma kelazatannya mengait seleranya agar segera menjamah.
Dia mengintai-ngintai kelibat Mak Kiah kerana hendak mengajak pembantu rumahnya itu makan bersama. Mak Kiah masih sibuk mengurusi kerja-kerjanya di dapur. Melakukan kerja-kerja yang disukainya setiap hari walau penat sekalipun tidak terasa sangat baginya.
Datuk Shaari memandang anaknya dengan persoalan. Hatinya diserabuti pertanyaan mendengarkan ketentuan pilihan anaknya.
“Mana ada kerja di kawasan terpencil dengan ijazah yang kau ada tu?” kepalanya tergeleng-geleng selari dengan tutur katanya. ‘Macam-macam budak-budak sekarang ni. Suka cari masalah. Kesenangan sudah berada di depan mata hendak ditolaknya.’ Hatinya memprotes. Padanya keputusan anaknya itu langsung tidak dapat diterima lojik akal.
“Azmi dah hantar notis berhenti kerja di Resort Sri Jelapang. Biar Rizal yang urus resort tu. Buat sementara saja sebelum mendapat pengganti Azmi. Kau nak urus resort mama tu tak?” Shaari terkedu. Dia tidak gembira mendengar keputusan itu.
 Kejora mata isterinya ditauti dengan tajam. Namun apa yang merusuh mindanya tersimpan sebagai rahsia.
“Hai Min, ke situ pula hendak kau hantar anak kita. Sudah lama dia berpisah dengan kita kerana belajar di US sekarang hendak ke pulau di Pahang pula berjauhan dengan kita. Saya tak berapa setuju. Tapi terpulanglah padanya.” Sahutnya jengkel dengan kata putus isterinya.
Dia sangat berharap anaknya itu tidak akan menyetujui cadangan isterinya

2 comments:

  1. Assalamualaikum Paridah,
    salam kenal dari Amie, follow sini ye

    ReplyDelete
  2. Waalaikummussalam...selamat berkenalan Amie...terimakasih banyak2 sudi follow sini...

    ReplyDelete

Terima kasih bersama Karyaku...Paridah Ishak. Komen anda amat dihargai... “Semoga Allah SWT akan membalas dirimu dengan kebaikan yang banyak dan semoga Allah SWT akan membalas dengan balasan yang terbaik.”

MyBloglist