Friday 31 May 2019

PANTUN AIDILFITRI 2

ASSALAMUALAIKUM

PANTUN AIDILFITRI

Penangan loya sendawa senak,
sangkut di para sekati gula;
 hidangan raya semua enak,
ikut selera obesiti pula.

Bertasbih rakan di remang pandang,
sarut melelas luka papaya;
terlebih makan lemang dan  rendang,
perut memulas tika beraya


Tempayan jamu junjung bergaya,
asa  membara menghimpun pitih;                             
layan tetamu berkunjung raya,
rasa gembira walaupun letih.

Rami segera humban ke rawa;
Memberi jiran herba manisan;
demi negara berkorban nyawa,,
hari lebaran di perbatasan.

Lambat ke kedai berselang masa,,
terpandang  karya lilin digubah;
sahabat handai berbilang bangsa,
bertandang raya jalin muhibbah



Sembat simpulan bertulang kasa,
sedang berkarya memilin  jubah; 
sahabat handai berbilang bangsa,
bertandang raya jalin muhibbah

Palang sandaran lewa digoyah,
berbuah labu  ubah kepayang;
pulang lebaran bawa hadiah,
ayah dan ibu bertambah sayang.

Tarah beluru jadikan palpa,
catatan abid selagi daya;
ziarah guru jangan terlupa,,
ingatan murid di pagi raya..
                        .





Wednesday 29 May 2019

CERPEN SEAWAL TIGA PAGI...

ASSALAMUALAIKUM


Cerpen
Oleh
Paridah Ishak



SEAWAL TIGA PAGI

Surah Al-Kafirun sudah kubaca. seusai membaca doa penerang hati.
Robbisyrohlii Sodrii. Wayasirlii Amrii. Wahlul Ukdatammillisaanii. Yafkohuu Koulii.

"Wahai Tuhanku, lapangkanlah bagiku dadaku. Dan mudahkanlah bagiku, tugasku. Dan lepaskanlah simpulan dari lidahku. Supaya mereka faham perkataanku" 
(Surah Taha : 25,26,27,28)
Insyaa-Allah doa yang berulang kali kubaca ini mampu menyinari gelap gelemat kalbuku. Akan melancarkan lisanku tanpa aral gangguan. Memang kuakui, mindaku agak lembam dan sukar untuk menghafaz walau ayat lazim yang pendek surahnya. Namun tetap kuusahakan semampu dayaku. Persis kata pepatah titisan air setiap hari menimpa batu mampu juga melekukkannya.
Fahaman mudah yang tidak menyusahkanku amat kusenangi. Tidak memaksa jiwaku lakukannya segera dan drastik untuk  meraih pencapaian yang diimpikan. Bersederhana dalam segenap perkara itulah diriku.  Menjadi diriku adalah pilihan kemahuanku..
Amalan membaca surah-surah pendek yang kuhafaz seawal tiga pagi menjadi rutinku kini dalam ibadah solat sunat yang diakhiri solat sunat witir. Bersama-sama rakan-rakanku di sini melakukannya langsung tidak bosan, malah amat menenangkan jiwaku yang rusuh selama ni.
Setelah itu menyambung tidur seketika sebelum bangun menunaikan solat subuh berjemaah. Berterusan pula dengan aktiviti yang dtentukan pengurusan sekolah tahfiz di pinggir bandaraya gunung ini. Tidur selepas solat subuh perbuatan yang jelek dan tidak digalakan. Jadilah seperti burung burung yang terbang bertebaran segenap pelosok alam mengutip butir rezeki yang bertaburan di awal pagi
Amir, rakan sepengajianku sedang menyusun kitab-kitab rujukan yang telah digunakan dalam kuliah pengajian bersama ustaz  Bahari sebentar tadi. Pengupasan tentang surah Kafirun ini begitu jelas laksana mentari  bersinar pagi. Menekuni dengan sabar setiap ajaran ustaz Bahari. Setelah itu tugasan yang ustaz beri adalah menghafaznya mengikut tertibnya tidak lari daripada tajuid Al-Quran sebenar menurut sebutan makhraj terbitan huruf disebut..
Aku turut menyusun kitab-kitab yang telah digunakan di raknya. Menolong Amir mempercepatkan kerjanya. Bolehlah setelah itu bersaing dengannya ke kebun jagung di belakang pusat tahfiz ini pula. Pohon-pohon jagung yang telah kutanam bersama Amir dan rakan-rakan sepengajianku beberapa bulan lalu. Meninjau perkembangannya samaada segar subur atau sebaliknya.
Telah tumbuh tegak berpucuk hijau pekat setinggi berdiri. Dan ada yang telah menghulur sunaknya di celah dedaunannya yang leweh melempai. Projek tani anjuran pihak sekolah tahfiz ini untuk menambah sumber kewangan disamping mengisi masa kami agar tidak tersia. Dan membuang masa tanpa apa-apa kegiatan. Pusat tahfiz yang dirikan untuk mentarbiah murid-murid tua yang bermasalah rohaninya.
“Mir kau balik ke mana raya ni?” sunyi terkoyak sebaik terlantun suaraku lirih.
Amir tidak membalas pertanyaanku. Fokus sangat dengan kerja yang sedang dibuatnya mungkin. Leka sekali mencabut rumput dan mengumpulnya setempat. Aku pun malas hendak mengulang tanya lagi. Bersabar saja..Sebentar lagi kawanku itu kukira akan teringat untuk membalas jawapanku. Biarkanlah dulu.. Tiba-tiba Amir mendongak menentang mataku.
“Aku sambut raya di sini je Di. Setiap tahun di sini. Seronok juga.Sambut raya bagiku sama saja walau di mana pun.” Selamba saja jawapannya tanpa sebarang emosi beriak.
“Sejak kau masuk belajar di sini kau tak pernah balik kampung? Kau tak rindu pada keluarga kau di kampung?” banyak pula soalan yang kutanyakan.
“Mestilah rindu. Rindu sangat.Siapalah yang tak rindu apatah lagi kalau berpisah lama. “
“Habis kenapa kau tak balik beraya dengan keluarga kau?”
“Dah tak ada siapa di kampung Di. Mak ayah aku dah lama meninggal.”
“Oh! Tapi adik beradik kau tentu masih ada?”
“Adalah juga. Tapi adik beradik aku tak sukakan aku. Buat apa aku nak beraya dengan mereka. Aku hanya menyusahkan mereka pada anggapan mereka. Mereka  malu kalau berlaku kehilangan harta benda, orang kampung tentu menuduh aku, adik mereka. Orang kampung kenal aku sebagai penjahat, penagih dadah yang akan jahat selama hidupnya. Aku tak salahkan anggapan mereka. Hak merekalah tu
Aku hanya manusia biasa, sentiasa tak sudah berbuat silap. Tapi Allah sedarkan aku untuk berubah. Macam kau juga kan. Kita berada di sini sebab kita nak berubah menjadi orang baik sebelum kita mati kan? Lagipun di sini kita dapat memperbaiki diri, bertaubat dan menambah ilmu yang kurang.”
Syahdu anak matanya bulat merenungku redup..Apa yang berladung dalam fikirannya tidak kuketahui. Aku terdiam di sisinya.
Amir menepuk bahuku.
“Jom kita ke hujung sana. Kita bersihkan rumput yang menjalar tinggi kat bawah pokok-pokok jagung situ.” Aku mengikuti langkahnya yang diatur cepat.
            Kisah Amir terhenti di situ. Tidak bersambung walau aku masih sedia mendengar setiap periwayatan pengalaman hidupnya. Bukan asing kepadaku kisah-kisah sebegini. Sentiasa ditulis dan disebarkan di media massa. Juga tular di media sosial. Kisah klise era lalu hingga kini namun menuntut pengamatan matang.
“Kau balik kot raya ni?”
“Mungkin!”   Kemungkinan segalanya. Antara ya dan tidak. Kemungkinan besarnya tentulah tidak. Hatiku menggelupur ingin pulang menemui ayahku, . Memeluknya. Menciumi sepasang tangannya yang pernah mendokongku dengan segenap kasih sayangnya yang tulus tika aku kecil.
Menatap wajahnya yang semakin diselirati garis kerutan lantaran berusia. Ingin menolong kerjanya menguruskan perniagaannya kerana aku tahu dirinya tidak lagi berdaya seperti dahulu. Sesungguhnya sebenarnya aku teramat rindu untuk berada di sisi ayahku.
Memohon ampun maaf akan kesilapanku yang terlanjur, tidak sengaja atau tersengaja. Tapi ayahku telah membuangku jauh dari hatinya. Tidak mahu lagi menerima kehadiranku di sisinya. Kenapalah jadi begitu. Tidak aku mengerti. Dulu aku sangat pasti ayahku amat sayangi aku.
Apa salahku sebenar tidaklah aku tahu. Mindaku simpang perenang memikirkannya. Belum kutemui jawapan pasti.  Rasanya aku tidak pernah membantah setiap arahan ayahku. Seawal 3.00 pagi aku sudah bangun membantu ayahku menguruskan perniagaannya di tapak pasar borong berdekatan pertempatan kami. Usiaku tika itu baru 10 tahun.
Setiap awal pagi rutinku memang begitu tanpa membantah. Tidak pernah merungut walau amat kepenatan. Setelah itu lekas pula bergegas bersiap untuk ke sekolah. Ayahku menghantarku dengan lori kecilnya.
Di dalam kelas pula aku sering tersengguk-sengguk lantaran mengantuk. Kawan-kawanku dan guru kelasku memahami situasiku dan kondisiku yang kelelahan kerana membantu ayahku berniaga mencari rezeki. Guru kelasku amat prihatin akan masalahku. Membiarkan saja diriku tersengguk lalu tertidur di meja tika beliau sedang mengajar.
“Awak ni cikgu tenguk letih sangat. Selalu tertidur saja dalam kelas.”
“Saya bangun awal pagi cikgu dan menolong ayah saya berniaga.” Jawabku kelam-kabut sambil menggenyeh-genyeh mata. Aku tersedar setelah terlelap sebaik disapa guru di sisiku.
“Cikgu tahu tu. Tapi ayah awak tak sepatutnya minta awak menolongnya pada awal pagi. Awak sepatutnya tidur masa tu. Awak pun perlukan cukup tidur untuk ke sekolah. Di sekolah boleh awak belajar dengan selesa dan cergas beraktiviti dengan kawan-kawan awak..Ini kat sekolah awak asyik tidur saja..Awak ni cikgu tenguk memang ada potensi untuk berjaya. Sebab cikgu tenguk walau awak sering tertidur kat kelas tapi awak lulus semua subjek  peperiksaan dengan baik. Rugilah kalau potensi awak tak digilap sedang awak masih muda..”
“Cikgu cakaplah dengan ayah saya. Mungkin cakap cikgu ayah nak dengar. Selamat saya tak payah nak bangun pukul tiga pagi, tolong ayah kat pasar borong. Bolehlah saya tumpu kepada pelajaran saya saja..” Aku amat mengharapkan itu berlaku.  Tapi cikgu Norfaizah tidak berani juga berdepan dengan ayahku yang sentiasa mencuka wajahnya itu untuk menyatakan bahawa ayahku  telah melakukan penderaan ke atas diriku justeru mengeksploitasi tenagaku walau usiaku masih rendah. Tidak sepatutnya aku bangun seawal pukul tiga pagi untuk membantu ayahku berniaga.
Tiada perubahannya rutin hidupku. Lestari berlaku sehingga tamat persekolahan tingkatan lima. Aku merasa mendapat kebebasan sebenar setelah ayahku melepaskan aku keluar daripada belenggunya dengan alasanku hendak hidup sendiri berdikari. Sekolah pun telah tamat dengan keputusan SPM mendukacitakan. Gagal. Lulus semua subjek yang kuambil tapi tidak layak mendapat sijil.
Ayahku langsung tidak menyetujuinya kerana katanya aku yang bakal mewarisi perniagaannya yang semakin berkembang maju. Namun aku bertegas dengan maksudku. Ayahku mengalah. Namun melafazkan kata dua sekiranya aku melangkah keluar daripada ruang hidupnya, aku tidak akan diterimanya kembali lagi. Fikiranku tidak panjang. Apa yang dimaksudkan ayahku lewa kuanggap. Lagipun aku sudah jemu bangun seawal tiga pagi untuk bekerja di pasar borong membantu ayah.
Ayahku memberiku wang simpanan yang disimpan untukku atas namanya. Banyak juga jumlahnya hasil penat lelahku berkerja membantu ayahku selama ini. Bertambah riak hatiku untuk meniggalkan ayahku kerana.dalam usia semuda ini  telah miliki wang belasan ribu RM.  Mengujakan aku untuk meneroka dunia baru. Dunia yang lebih saujana luas selain berada di seputar premis niaga ayahku
Aku terbang bebas laksana unggas dan higggap di mana saja terasa. Kawan-kawanku sekelilig pinggang.  Mengerumuniku lagak semut bertemu gula. Sungguh seronok aku miliki kawan yang ramai. Sikapku yang tidak lokek berbelanja apa sahaja diminta mereka  membuat diriku sangat disenangi.
 Selama ini aku tidak berkawan. Usai sekolah aku pulang ke rumah untuk tidur. .Jika aku tidak tidur tentu aku mengantuk kala dikejutkan ayahku untuk bangun bekerja di awal pagi. Sepanjang usia kanak-kanak banyak masaku habis untuk tidur di siang hari saja.
Kini aku mahu menebus saat indah zaman kanak-kanakku yang langsung tidak kunikmati dulu. Hanya berkawan dengan adik-adikku Amri dan Azri sahaja. Mereka pula tidak disuruh ayahku membantunya berniaga. Membuat hatiku tersinggit pedih. Apa bezanya aku dengan mereka? Mereka juga anak-anak ayahku. Hampir sebaya mereka denganku.
 Oh! aku lupa bahawa mereka adalah anak-anak kesayangan mamaku! Aku mesti maklumi itu.   Mama yang dikahwini ayahku setelah umiku meninggal dunia tika melahirkan adikku yang turut juga bersama umi menemui Ilahi. Aku kehilangan umi yang sangat menyayangiku juga adik kecilku yang sangat comel wajahnya itu. Tidak sempat untuk berkawan dan berkasih-sayang dengan adik kecilku itu.
Kini siapa saja yang mahu berkawan denganku akan kuterima tanpa mempersoalkan niatnya waima baik atau sebaliknya. Tidak penting untukku ambil tahu semua itu. Utamanya menggembirakan hatiku apahal pun.
Wang yang diberi ayahku semakin nipis dibelanjakan untuk hidup dan kawan-kawanku.  Rokok, ganja, syabu, ekstassi, pil kuda adaalah kegemaranku dan kawan-kawanku.  Mereka yang mengenalkan aku dengan semua itu. Kononnya untuk menggembirakan hatiku.
 Aku pun tidak pernah menolak. Terbuai dalam keseronokan yang baru ku rasai. Akibatnya tidak kufikirkan.  Akhirnya wang simpananku habis. Untuk menyara kehidupan aku mula bekerja merata tempat. Kerja kasar yang sesuai dengan keupayaan dan kelulusanku.
Ketagihanku terhadap dadah yang berjenis-jenis itu meresapiku. Hendak membelinya tidak berwang. Pilihan mudah yang murah dan mampuku dapatkan cuma gam. Gam dibeli di bengkel motorsikal kuhidu. Aroma gam mengosongkan mindda celaruku.
Akhirnya adikku menemuiku merayau di pekan tempat ayahku berniaga dalam keadaan compang-camping sambil bercakap sendiri mengutau-utau tangan kanan kiri.Kadangkala ketawa terbahak-bahak. .Azri membawaku ke hospital. Sahlah aku diserang skizofrenia akibat dadah terlarang  kuambil.
Kini adikku itulah berusaha memulihkan sakit mentalku dengan menghantarku ke sekolah tahfiz merangkap pusat rawatan rohani  ini untuk memulih sakit jiwa ragaku. Ayahku tidak lagi mempedulikan aku. Mengotakan janjinya. Mungkin juga tiada maafnya lagi atas kesilapanku. Total aku kehilangan ukhuwah kasihnya juga umiku.
Di malam terakhir Ramadan syahdu,seawal tiga pagi aku menangis tersedu dalam tahajjudku.

TAMAT  


Sunday 26 May 2019

PANTUN AIDILFITRI.....

ASSALAMUALAIKUM.

SELAMAT BERHUJUNG MINGGU SAMBIL MENGURUS KESIBUKAN HARI DENGAN KEGIATAN     YANGDISENANGI MENJELANG AIDILFITRI



Gamat nan lembut adil diberi,
telah terlelap di pohon rimpun;
selamat menyambut Aidilfitri,
salah dan silap mohon diampun.

Langgas semilang   tersangkut joran,
meniti jeti polan bergaya;
bergegas pulang sambut lebaran,
berhati-hati di jalan raya.

Keras terlalu batu dicincang,
gigih bertahan kandil didiri;
karas baulu dan putu kacang,
kuih pilihan di Aidilfitri.


Adil memberi hadiah tangguh,
sayang khianat disumpah umum;                      
hai Aidilfitri meriah sungguh,
sembahyang sunat melimpah makmum.

Di dalam paya pari gelupur,
manja belibis mundur mengena;
di malam raya suri di dapur,
kerja tak habis tidur tak lena.

Ampu  baulu bara di dupa,
tatang beria halwa di kanan;
tersipu malu dara disapa,
datang beraya bawa penganan.

Diberi saran seraya salam,
rebut  rancangan laksana nanar;
hari lebaran budaya Islam,
disambut dengan makna sebenar.

Pandu melulu hilang upaya,
alkisah hendak ke tamu pagi;
terkedu pilu menjelang raya,
berpisah tidak bertemu lagi.

Thursday 23 May 2019

KUN FAYA KUN..

ASSALAMUALAIKUM...


HANYA DENGAN IZIN-NYA

KUN FAYA KUN
Maka terjadilah nyata seruan-Nya
Asbab musabab hanya  telahan yang memungkinkan
Tidak patuhi takdir  mengolah rencana
Meski lancang mulut menyumpah seranah
Kala langit  petala tujuh    terbuka
Senjata doa merejam tepat.
Munajat hajat yang   diulang-ulang
Tiada hilang bersalang
Tiada hijab menghalang
Hikmah berlaku sesuatu itu
Rahsia-Nya tersembunyi
Naqli gagahi mencapai erti
Namun kepastian holistik jaluran tanda soal
Detik hari berakhir
Menemukan esok terbaik
Amiin ya Rabb

PARIDAH ISHAK
Desa Melor Serendah                                                                                                                                                                                                                                  
3/03/019
                     

Tuesday 21 May 2019

ADDYRA AZZAHRA...


ASSALAMUALAIKUM

PUISI SAHABAT PENULIS ADYRA AZZAHRA UNTUK PI TERIMA KASIH DYRA

MENYULAM KASIH
Semangkuk santan tidak dilupa,
di dalam kendi letak bersama;
indahnya ikatan mesra bersapa
tersimpul abadi kekal selama.
Ranting delima diraut-raut,
dibawa bonda ke hujung jeti;
mesra bersama kasih terpaut,
padamu kanda dambaan hati.
Sopan santun gadis Melaka,
memakai kebaya kancing suasa;
mesra berpantun pengubat duka,
di hati bahagia indahnya rasa.
Dari Melaka ke Tanjung Jara,
bawa selasih bersama kuini;
berpantun seloka menyulam mesra,
menjalin kasih merapat kini.
Sehelai selendang rapi terlipat,
tiada kedutan digosok lama;
jauh terpandang hati merapat,
mesra diingatan kekal bersama.
Salam Kasih
ADYRA AZ-ZAHRA @ HASIAH
KUALA LUMPUR
MEI 19 2019


Monday 20 May 2019

PANTUN LRP KASIHI KELUARGA...

ASSALAMUALAIKUM...

HARI NI CUTI YA TENTU        SERONOK KELUAR MEMBELI BELAH KEPERLUAN HARIAN DAN HARI RAYA NANTI...MOGA HEMAH BERBELANJA
SAMBIL TU HAYATI PANTUN PI YANG DIPILIH ADMIN LRP KE DALAM  SLIDE







Sunday 19 May 2019

CARA MEMBALUT KETUPAT PULUT...

ASSALAMULAIKUM

SELAMAT BERHUJUNG MINGGU....HARI NI SUDAH 14 RAMADAN...MAKNANYA MASUK 14 HARI KITA BERIBADAH PUASA DAN  TARAWIH...PERSIAPAN RAYA SEPERTI PAKAIAN PERHIASAN  RUMAH DLL TENTU SUDAH DISEDIAKAN LEBIH AWAL...TENTANG KUIH MUIH PULA JIKA TIDAK BERKESEMPATAN MEMBUATNYA JUSTERU KEKANGAN MASA BOLEH SAJA DITEMPAH KEPADA RAKAN-RAKAN YANG BERNIAGA.

TAPI UNTUK MERASAI SUASANA KESIBUKAN MENYAMBUT HARI RAYA YANG SANGAT DINANTI, SESUATU HARUS JUGA DILAKUKAN...TERUTAMANYA                          PADA MALAM PENGUMUMAN RAYA...AKAN BERSIBUK PULA DI DAPUR MEMASAK KETUPAT DAN LAUKNYA BERSAMA KELUARGA...BERTOLONG BANTU MENGERAT KEMESRAAN....ALANGKAH SERONOKNYA..

SEBELUM KITA MEMBALUT KETUPAT PALAS YANG DIISI PULUT YANG DIMASAK SEKEJAP JOM KITA BELAJAR CARANYA.

PIC FB (C)







RESEPI PULUT KETUPAT MUDAH SAJA...SEKILO BERAS PULUT DIBASUH BERSIH...BANYAK KALI PERLU DIBILAS AGAR KETUPAT TIDAK MUDAH BASI...SEBIJI KELAPA DIAMBIL SANTAN PEKAT...SANTAN PEKAT DIMASUKAN SEDIKIT GARAM SEDIKIT GULA DIPANASKAN HINGGA MENDIDIH....MASUKAN PULUT DAN KACAU SEBATI...KECILKAN API...TUTUP PERIUK PULUT DENGAN TUDUNGNYA..BIAR SEKEJAP..AGAK-AGAK PULUT SEPARUH MASAK TUTUPLAH APINYA.
 http://mamapaparea.blogspot.com/2017/05/cara-buat-pulut-dan-cara-balut-ketupat.html

DAN PROSES MEMBALUT KETUPAT BOLEH DIMULAKAN

SIAP SEMUANYA BOLEHLAH DIREBUS.

NAK MEREBUS KETUPAT PUN ADA CARANYA....LETAKAN POTONGAN PELEPAH PISANG SEBAGAI PENGALAS PERIUK...MASUKAN AIR SEDIKIT SEDIKIT DAN ATURLAH KETUPAT DI ATASNYA...REBUS SEHINGGA MASAK

Friday 17 May 2019

SAJOK KHAS BUAT GURU KAT PAHANG....

ASSALAMUALAIKUM

SAJAK NUKILAN ADIK PI SAADIAH FATIMAH SEORANG GURU DI PAHANG

(SAJOK KHAS BUAT GURU KAT PAHANG)

Cikgu...
Aok ter macang liling ter laa
Tiuk dek orang aok buat dekk je
Aok buat sadin je
Jahh air mate ke tanoh ... dokk.. aok buat rilek je
Aok serupe liling ter la
Mengkala tepadang
Cepat cepat cucuh dek deme gone gaye pun ..
cikgu ter la pangge dek orang
lantok laa orang nok mbuat gone gaye pun Aok buat steady je
Aok buat keje aok je, Aahh..Tuhan nye tau bende hok gebale dek aok ter sebak dek aok ter la kome reti mmbace A B C mengkala tidok...
tade aroh la nok gone kann pendek kate..
hok dah jadi dokto..
hok jadi misi... polih.. asko.. penguruih.. belake seme laa...
takde cikgu.. keraih la wokme ssitu Teruihh kan perjuangan aok ter cikgu
Haa.. memasing jangan tunjuk ek ngan cikgu wokme ingat jase cikgu ...
berkat dunia akhirat wokme SELAMAT HARI CIKGU YAKK



Thursday 16 May 2019

SASTERA DAN POLITIK...SELAMAT HARI GURU

ASSALAMUALAIKUM..

LEKSIKON PEMIKIRAN CIKGU NAZEKA KANASIDENA (Edisi 105)
SASTERA DAN POLITIK - BENARKAH BAGAI MINYAK DAN AIR? Satu interpretasi dua entiti yang mempengaruhi jalannya sejarah manusia.
Beberapa orang kenalan menelefon dan mengSMS saya berkenaan kekerapan saya mengangkat puisi-puisi indah atau sesekali duka. Mereka juga memuji artikel-artikel saya yang kelihatan menurut mereka berharga, sangat membantu, penuh dengan informasi, mengandung banyak fakta sejarah yang sukar ditelusuri kembali dalam kepustakaan biasa. Mereka juga berkata, adalah lebih baik untuk saya berkecimpung dalam bidang penulisan yang bagi mereka kelihatan ‘neurtal’, ‘ilmiah’ dan ‘intelektual’. Bidang itu juga yakni penulisan dan sastera menurut mereka lebih manusiawi, lebih bersahabat, ‘nature friendly’ dan banyak berusaha MEMBUMIKAN HASRAT TUHAN. Saya sendiri merasakan ingin menjadi ‘nabi’ dan ‘malaikat’ dalam maknanya yang sempit sesuai dengan hasrat saya untuk berbuat kebaikan melalui tulisan dan puisi-puisi saya.
Para sahabat juga tidak segan silu menasihatkan:
"JANGANLAH KAU BERPOLITIK DAN MENULIS TENTANG ISU BERBAU POLITIK. POLITIK ITU BUSUK LAGI MEMBUSUKKAN. POLITIK ITU JAHAT LAGI MENJAHATKAN. POLITIK ITU KOTOR LAGI MENGOTORKAN. POLITIK ITU PENUH DENGAN ANJING, BABI DAN SERIGALA BERBADAN MANUSIA!!! " Astagaa, kata saya.
Begitu pun, saya teruja dengan nasihat dan pandangan mereka. Betapa sampai begitu tanggapan segolongan insan terhadap politik dalam dekad yang menurut saya memerlukan PEMIMPIN MUJADDID dan ULIL AMRI yang sebenar-benarnya.
Saya terharu dengan gesaan itu. Saya juga bangga dilihat oleh mereka sebagai ‘public figure’, sebagai individu yang mampu membawa gagasan dan membuka kotak pemikiran mereka hanya melalui tulisan, puisi-puisi dan gambar-gambar. Tapi dalam hati saya memberontak. Jauh di sudut hati, saya tidak bersetuju apabila tanggapan mereka buruk dan terpesong tentang POLITIK.
Saya MENGISYTIHARKAN bahawa manusia tidak boleh lari dari politik kerana ‘MANUSIA ADALAH HAIWAN BERPOLITIK’. Politik itu perlu. Malah politik adalah PANGLIMA dalam semua urusan berkaitan ketamadunan manusia. Sastera pula melalui penulis dan karyanya adalah ‘rahmat’ untuk mengisi harga diri, maruah dan keintelektualan bangsa yang mengenal erti kemerdekaan dan kedaulatannya. Sastera juga melalui tekniknya yang tertentu mampu membumikan hasrat Tuhan khususnya menyeru kepada keadilan, keharmonian, mencintai keindahan dan ciptaan Tuhan. Ia juga perakam peristiwa sekaligus menjadi SEISMOGRAF KEHIDUPAN BANGSA.
Saya menegaskan: POLITIK ADALAH PANGLIMA. Betapa pun haibatnya para sasterawan melawan kekuasaan bejat, dalam diam akhirnya mereka (dalam kebanyakan kes) akan masuk, terlibat dan mengambil peranan gencar dalam politik. Tentu dengan menggunakan PENA dan keintelektualan sebagai senjata utama dalam perang tersebut ideologi itu. Tapi sejarah juga membuktikan mereka tidak akan bertahan lama!
Penulis itu insan yang lembut hatinya, sesekali melankolik dan ada waktunya sukar untuk difahami. Penulis itu jujur. Tapi kejujuran mereka berpihak dan nisbi. Sifat keberpihakan kepada satu-satu ‘isme’ itu tidak dapat ditolak kerana sampai harkat itu sahaja kemampuan mereka untuk mengubah keadaan sebagai manusia. Para penulis akan sampai pada satu kesimpulan bahawa KUASA dan POLITIK itu penting untuk mempengaruhi dan mengubah masyarakat. Hal ini benar di sepanjang sejarah umat manusia. Hasilnya mereka sendiri dalam kebanyakan kes sering terjebak dalam kancah politik. Cumanya keberkesanan pengaruh mereka dan tafsiran ke atas kuasa dan politik itu sama ada membawa kepada kehancuran atau kebahagiaan kepada rakyat adalah berbeza-beza mengikut zaman, tempat dan masyarakatnya.
Dalam sejarah, tidak dapat dinafikan pula kesusasteraan dan politik bagai air dan minyak. Hampir tidak mungkin disatukan. Sastera menciptakan kebahagiaan dan gagasan-gagasan muluk, penuh perlambangan abstrak melalui kisah-kisah dan karya kadang-kadang ‘realisme magis’, sesekali penuh sarkasme, mengkritik dalam lapisan paling terdalam dan berusaha menciptakan kehidupan paling ideal bagi sebuah tatanan sosial sehingga mencapai tahap ‘Utopia’. Kritik sosial terhadap masyarakat dan kekuasaan oleh para sasterwan itu walau berbungkus sastera, masih dapat dihidu oleh golongan penguasa. Akibatnya, bukan tidak pernah para sasterawan bentrokan dengan penguasa.
Manakala politik pula merupakan sarana untuk memperolehi kuasa, merebutnya, mempertahankannya dan mengimplementasikan kuasa itu sama ada untuk kemaslahatan umum atau untuk kepentingan peribadi, keluarga dan kroni-kroni. Kedua-dua - sastera dan politik - adalah sarana untuk mencapai tujuan dan menjadikan masyarakat dalam negara dengan pengalaman-pengalaman mereka yang ‘khas’ untuk dimanipulasi, dieksploitasi dan digunapakai dalam berkarya. Sastera berbicara dalam kondisi seni yang cantik, mulus, suci, indah dan hampir tanpa dosa manakala politik adalah cara, alat dan strategi kadang ‘licik’, penuh muslihat dan agenda serta sarat tatacara dalam perancangan yang rapi demi ‘membahagiakan’ sejumlah entiti.
Kedua-dua sasterawan dan politikus melihat diri mereka sebagai pejuang. Kedua-duanya ingin menjadi wira bangsa biar mungkin tidak didendang. Malah kedua-duanya juga ingin menjadi ‘nabi’ atau juga ‘dewa’. Malah mungkin boleh di’Tuhan’kan dalam status dan kapasiti tertentu. Sasterawan dan politikus adalah produk daripada masyarakat, zaman dan persekitarannya. Sasterawan dan politikus sama-sama menekuni masyarakat dan mengemban tugas menuju maslahat dunia dalam kerangka khas dengan ‘modus operandi’ yang mungkin berbeza-beza pula.
Hasilnya, di sepanjang sejarah umat, sastera dan politik selalu bentrokan dan bukan jarang sastera dipergunakan oleh politik dalam mencapai maksud-maksud POLITIK itu sendiri. Politik melihat sastera sebagai alat untuk mencapai tujuan dan kuasa. Politik melihat sastera itu BAHAYA TERPENDAM dan boleh menggugat kedudukan mereka yang berkuasa. Oleh yang demikian sastera harus dikekang, dimanipulasi dan dikawal sehingga selaras atau ‘neutral’ sejalan dengan maksud-maksud elit politik untuk kepentingan NEGARA. Akibatnya, ramai sasterawan menjadi mangsa, dimangsai dan sesekali menjadi pemangsa juga!!
Kalangan sastera yang masuk dalam politik atas dasar ingin memperbaiki keadaan seringkali mengalami kemalangan dan selalu menjadi ‘seperti tikus membaiki labu’. Ramai politikus yang berasal dan mempunyai latarbelakang seni dan sastera menjadi pikun, bobrok, bodoh dan malah ganas setelah berkecimpung dalam politik. Politik menjadikan sastera binatang buas berwajah nabi! Namun sekali lagi hal ini sebenarnya relatif.
Dalam kes penulisan Sulalatus Salatin (Sejarah Melayu) oleh Tun Sri Lanang misalnya, pengaruh politik dan perkembangan kerajaan pada saat itu mempunyai saham yang tidak sedikit ke atas penghasilannya. Begitu juga karya-karya Raja Ali Haji dari Pulau Penyengat. Hampir dapat dipastikan karya-karya sastera lama banyak berkisar tentang pengaruh dan kekuasaan raja-raja dan golongan bangsawan. Hal ini sama impaknya dengan keberadaan sastera dalam politik negara berideologi Komunis misalnya Rusia, Cuba dan China yang mana sastera haruslah menjadi alat kepada tujuan-tujuan negara bagi menyatukan golongan pekerja agar mengikuti peraturan dan kemahuan elit penguasa. Akibatnya, sastera bertendensi sedemikian terkadang agak baku dan kaku. Bagi yang melawan pemerintah dan aturan sedemikian tentulah akan berhadapan dengan apa yang diistilahkan oleh Pramoedya Ananta Toer sebagai 'Proses Diamankan'.
Nama-nama besar dalam kesusasteraan dunia yang ada hubungan rapat dengan politik tentulah tidak sedikit. Di antara yang boleh dicatatkan ialah ALEXANDER SOLZENITSYN, BORIS PASTERNAK, ALBERT CAMUS, JAMES JOYCE, WILLIAM FAULKNER, MIGUEL ANGEL ASTURIAS, JORGE LUIS BORGES, ALFRED WALESA, EMILE ZOLA, GABRIEL GARCIA MARQUEZ dan ramai lagi. Di Asia Tenggara, nama seperti PRAMOEDYA ANANTA TOER dan JOSE RIZAL sendiri adalah tokoh yang bentrokan dengan golongan penguasa. Karya-karya mereka ada yang terpaksa diseludup keluar untuk diterbitkan dan buku-buku tersebut dilarang beredar oleh kejaksaan agung atas sebab yang kurang dimengerti. Soalnya, adakah pemikiran dan idea golongan sasterawan ini akan berkubur dan hapus dari mukabumi akibat ketegasan dan kejahilan para penguasa politik memberangus karya dan pemikiran mereka?
Jawapannya TIDAK
Malah karya mereka ini akan terus hidup subur dalam minda bangsa yang cintakan kebenaran. Karya para sasterawan ini terus mendunia dan ramai di antara mereka baru dikenang dan dihargai kejeniusan pemikiran mereka sesudah matinya. Dalam masa aman, negara kemudian baharu mengakui dan bangga memiliki tokoh-tokoh sasterawan berkaliber yang mampu menjadikan sesuatu bangsa itu berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan bangsa-bangsa lain. Lihat Leo Tolstoy dan Maxim Gorky di Rusia, lihat Mario Vargas Llosa dan Octavio Paz bagi Amerika Latin, lihat Gunter Grass dan Thomas Mann bagi bangsa Jerman, lihat Emile Zola dan Gustave Flaubert bagi Perancis, Yasunari Kawabata dan Yushio Mishima bagi bangsa Jepun dan lihat HAMKA atau lihat sendiri Whiji Thukul bagi Indonesia.
Dalam diam juga para sasterawan kesan dari tekanan dan kebrutalan pemerintah ke atas kegeniusan sastera mereka telah menghasilkan pula karya-karya ‘masterpiece’. Alexander Solzenitsyn menceritakan sedemikian indah bagaimana penguasa politik berusaha memperbodoh dan menyiksa rakyatnya dari kalangan intelektual dan sasterawan dalam karya monumentalnya ‘Gulag Archipelago’. Begitu juga Boris Pasternak dalam ‘Dr. Zhivago’, Gabriel Garcia Marquez dalam ‘The One Hundred Years of Solitude’ dan ‘The Autumn of Patriarch’, Alejo Carpentier dalam ‘The Kingdom of This World’, Wole Soyinka dalam ‘Nguji’ atau HAMKA yang jika tidak kerana dipenjara oleh Regim Soekarno maka karya agung TAFSIR AL AZHAR 30 juz itu tidak akan lahir!
Sesungguhnya sastera dan politik sama-sama mempunyai pengikut tegar. Hanya masa dan keadaan menjadikan siapa di antara mereka menjadi pemenang. Ketika Indonesia berada dalam zaman Prahara Sastera 1965, tokoh-tokoh sasterawan terpecah kepada beberapa kelompok dan sama-sama menjadikan pena, kegeniusan sastera, kejelian jiwa melalui majalah atau akhbar mereka untuk saling menghentam dan memperlekeh. Kekuasaan dan kapitalis kemudian masuk menyapu bersih golongan MERAH itu, membunuh dan mengisolasi sebahagiannya untuk memenuhi penjara-penjara pengasingan dan menjadikan PEKERJA SENI itu tahanan politik di Nusa Kambangan, Pulau Buru, Ende dan Bukit Duri. Semua catatan pahit itu menjadi indah dan bersejarah bagi sejarah sastera Indonesia di tangan Pramoedya Ananta Toer dalam NYANYI SUNYI SEORANG BISU dan Taufik Ismail dalam Prahara Sastera Indonesia 1965 dan banyak lagi POLEMIK.
Malaysia mungkin belum mencapai tahap sedemikian meski pernah terjadi Polemik Sastera Islam antara dua tokoh besar kesusasteraan iaitu Kassim Ahmad dan Shahon Ahmad. Atau antara Affandi Hassan dan entah siapa lawannya. Namun polemik mereka lebih bersifat nilai sastera dan keislaman dan bukan bersifat politik. Demikian juga ‘Mogok Seni’ oleh A.Samad Said yang lebih bersifat peribadi dan bentrokan dengan pihak pengurusan bahasa dan sastera di beberapa perbadanan kerajaan dan separa kerajaan. Sebelumnya yakni pada zaman pra merdeka, ada usaha penjajah membunuh kreativiti para pemikir Melayu dengan menjebloskan mereka dalam penjara misalnya Said Zahari, A.Samad Ismail, Ahmad Boestamam (Ruhi Hayat), Harun Aminurrashid, Pak Sako dan beberapa orang yang dianggap BERBAHAYA.
Namun yang jelas, di Malaysia, berdasarkan fakta sejarah, belum ada lagi sasterawan dan penulis apa genre pun sehingga tahun 2000 yang disumbat ke dalam penjara, dikucilkan, dihantar ke tapak pembuangan, DIAMANKAN, dihukum bunuh, ditembak mati, dilucutkan kewarganegaraan, disuap dengan segala jenis rasuah dan seumpamanya sebagaimana yang berlaku di negara luar misalnya China, Indonesia, negara-negara Amerika Latin, Afrika dan Asia Tengah. Sasterawan dan golongan penulis di Malaysia masih bernasib baik kerana buku-buku mereka diizin terbit, beredar, jadi buku teks pelajaran sekolah, diberi wang, pesangon dan memperolehi anugerah-anugerah berprestij pula. Apakah ini ini juga meruapakan gula-gula? Atau memang sastera di negara kita tidak setanding dan sehebat sastera belahan dunia lain? Sehingga tak pernah secuit pun nama Malaysia disebut-sebut untuk sekadar calon (Kandidat) Hadiah Nobel Kesusasteraan, Hadiah Pulitzer atau Hadiah Magsaysay untuk Seni Kreatif dan Jurnalistik?
Apa yang pasti, di Malaysia, sastera dan politik bagai dua sahabat besar. Kerajaan dan penguasa memberikan dana yang cukup besar khususnya dalam menyemarakkan dunia kesusasteraan tanahair melalui agensi seperti DBP dan ITBM. Kerajaan dan penguasa politik juga menyediakan peruntukan bagi anugerah berprestij seperti Sasterawan Negara dan memberikan para sasterawan yang berjasa dengan gelaran-gelaran khusus seperti Tan Sri, Dato, Datuk dan sebagainya selain anugerah antarabangsa misalnya Sea Write Award di peringkat serantau. Sistem pendidkan kebangsaan juga masih menjadikan mata pelajaran Kesusasateraan sebagai subjek dalam berPEPERIKSAAN AWAM meski pun sekadar 'elektif' manakala Bahasa Melayu dan Bahasa Malaysia masih menerajui sebarang urusan.
Di Sabah, bagaimanakah pula solah dan tingkahnya para sasterawan ini dan hubungan mereka dengan elit politik yang duduk di tampuk kekuasaan?
Nazeka Kanasidena
Teratak Buruk Kg Bubul Lama, Semporna
13 Mei 2019

Wednesday 15 May 2019

10 MUTIARA HIDUP PENINGGALAN NABI MUHAMMAD SAW YANG AKAN DIAMBIL JIBRIL...

ASSALAMUALAIKUM



_Sewaktu Baginda Rasulullah Sedang Sakit, Terlontar Satu Pertanyaan pada Jibril:_
_"Wahai Jibril, Adakah Kau Akan Turun ke Bumi Setelah Aku Tiada ?"_
_"Masih lagi Ya Rasulullah, Aku Turun ke Bumi Untuk Mengambil 10 Mutiara Hidup Peninggalan mu."_
_Lalu Baginda Bertanya Kembali:_
_“Mutiara Apakah Yang Kau Akan Ambil ?"_
_Jibril Menjawab:_
‎(الأَوَّلُ) أَرْفَعُ البَرَكَةَ مِنَ الأَرْضِا”
_*Mutiara Pertama* yang akan ku ambil dari muka bumi ini adalah *BERKAH.*_
_*Mutiara Kedua* yang akan ku ambil dari bumi adalah *RASA CINTA* dari hati manusia:_
‎( وَالثََّانىِ) أَرْفَعُ المَحَبَّةَ مِنْ قُلُوْبِ الخَلْقِ
_*Mutiara Ketiga* yang akan ku ambil dari bumi ini adalah *RASA KASIH SAYANG* di antara keluarga:_ (وَالثََّالِثُ) أَرْفَعُ الشُّفْقَةَ مِنْ قُلُوْبِ الأَقاَرِبِ
_[ yakni rasa kasih sayang antara keluarga semakin menipis. ]_
_*Mutiara Keempat* yang akan diambil oleh Jibril dari bumi ini adalah *KEADILAN* di hati seorang pemimpin:_
‎(وَالرَّابِعُ) أَرْفَعُ العَدْلَ مِنَ الأُمَراَءِ
_*Mutiara Kelima* yang akan ku ambil dari bumi ini adalah:_
‎(وَالخاَمِسُ) أَرْفَعُ الحَياَءَ مِنَ النِّساَءِ
_*RASA MALU* dari kaum wanita-wanita._
_*Mutiara Keenam* yang akan ku ambil dari bumi adalah:_
‎(وَالسَّادِسُ) أَرْفَعُ الصَّبْرَ مِنَ الفُقَراَءِ
_*RASA SABAR* orang-orang fakir._
_*Mutiara Ketujuh* yang akan ku ambil dari bumi adalah:_
‎(وَالسَّابِعُ) أَرْفَعُ الوَرَعَ وَالزُهْدَ مِنَ اْلعُلَماَءِ
_yakni *WARAK dan ZUHUD* dari para ulama._
_[ Warak adalah cukup berhati-hati menjaga diri dari yang Syubhah dan yang haram, sedangkan Zuhud itu tidak mementingkan harta-dunia, kedua-duanya merupakan ciri seorang Ulama. Jika Warak dan Zuhud telah hilang dari Ulama maka Hilanglah Nilai Jati Dirinya._
_*Mutiara Kedelapan* yang akan ku ambil dari bumi adalah:_
‎(وَالثََّامِنُ) أَرْفَعُ السَّخاَءَ مِنَ الأَغْنِياَءِ
_*DERMAWANNYA* orang-orang kaya._
_*Mutiara Kesembilan* yang akan ku ambil dari bumi adalah:_
‎(وَالتَّاسِعُ) أَرْفَعُ القُرْآنَ
_*MENGANGKAT Al-Qur’an.*_
_[ yakni menghilangkan Ruh Al-Qur’an itu sendiri Sebagai Panduan Dalam Kehidupan.]_
_Dan *Yang Terakhir,* Mutiara yang akan ku ambil dari bumi adalah *IMAN:*_
‎(العاَشِرُ) أَرْفَعُ الإِيْماَنَ
_[ Ini Adalah Mutiara Paling Berharga di Antara Sembilan Mutiara Lainnya.]_
_Marilah Kita sama-sama Merenungkan Seperti Yang Telah Disebutkan Oleh Jibril a.s. Pada Akhir Zaman ini. *Semoga Kita Akan Menjadi Lebih Baik Dari Yang Sudah-sudah.*_
_Aamiiin Yaa Rabbal ‘Aalamin...!!!_
_Sumber: Kitab Nur Al-Abshar, Karya Asy-Syabalanji_
_Jadilah CAHAYA, Walaupun Tak Tersentuh, Tetapi Selalu Menerangi. Jadilah ANGIN, Walaupun Tak Nampak, Tetapi Selalu Memberikan Kesejukan. Jadilah SAHABAT/SAUDARA SEJATI, Walaupun Tidak Bersama Menjalani Hari, Tetapi Selalu Menjaga Hati

Monday 13 May 2019

PENGHARGAAN SAHABAT BLOGGER PROF KHIR KHALID @KK.COM

ASSALAMUALAIKUM

PI BERBESAR HATI DAN AMAT TERHARU SEKALI MEMBACA CORETAN BLOGGER TERKENAL KHIR KHALID...WALAU SECEBIS CUMA NAMUN MENYENTUH RASA...TERIMA KASIH    PROF KK... SEBENARNYA PI PENULIS MARHAEN SAJA...SUKA MENCORET SUARA HATI         ESKAPISM DUKA KELUKAAN MENGUSIR SEPI SENDIRI...                                                 

CNP WALL FB KHIR KHALID.
Assalamualaikum & salam 7 Ramadan.
.
Penghargaan cenderahati penulis kak Paridah Ishak. Saya terima sebuah buku antologi cerpen Topi Jelita yang menghimpunkan cerpen-cerpen penulis wanita Malaysia termasuk karya beliau salah satunya.
.
Selalu terinspirasi dengan karya-karya kak Paridah ini. Berpengalaman luas dalam dunia penulisan sejak 1976, banyak karya beliau disiarkan di akhbar dan media cetak. Saya tahu nama beliau melalui karya di media cetak pun lama sebelum kenal orangnya... masa tu saya masih bersekolah lagi... alhamdulillah, akhirnya saling mengenali sejak beberapa tahun lalu melalui penulisan blog.
.
Terima kasih kak Paridah. Semoga ukhwah silaturrahim sentiasa diberkati... aamiin


PI TIDAK BERANI MENULIS KOMEN SEMBRONO MENGENAI BLOGGER YANG AMAT PRO DALAM BIDANGNYA DAN GAYA  PENULISANNYA BERKESAN DAN SETARA DENGAN ISU BERAT YANG DIBICARAKAN....KALAU PI SETAKAT TAHU TULIS PUISI DAN CERPEN JE HEH..HEH..

JIKA INGIN MEMBACA ILMU BERMANFAAT RAJIN-RAJINLAH SINGGAHI LAMAN KHIR KHALID.COM                                

MyBloglist