بِسْــــــــــــــــــمِ اﷲِالرَّحْمَنِ اارَّحِيم
ASSALAMUALAIKUM...



CORETAN PAK ENGKU

SECEBIS KENANGAN MASA LALU (BHG. 6)
(Parit 13, Sg. Nibong, Sg. Besar)
Setahun lamanya aku tinggal di Sungai Besar. Menyewa rumah bersama dengan lima orang rakan yang lain. Pertengahan tahun 1971 itu aku sudah ada kereta. Kereta Austin Mini 850 warna merah. Aku masih ingat nomber platnya iaitu BV 5379. Keempat-empat tayar kereta ini aku pasang 'spacer'. Jadi tayar kereta itu terkeluar sedikit macam terkangkang. Ekzosnya pula di tengah-tengah, bawah bumper belakang. Lubang ekzos yang terkeluar bulat besar. Bila dipandu mengaumlah bunyinya. Kereta ini sebenarnya bukan milik aku. Tapi adalah milik kakakku. Sebab dia tidak mempunyai lesen memandu dia beri aku pakai kereta itu. Ibarat kata peribahasa "Paksa tekukur padi rebah, paksa tikus lengkiang terbuka. Maka giranglah hati aku dapat memandu kereta itu ke hulu ke hilir bawa girfriend aku.
Aku selalu menganggap diri aku beruntung kerana mempunyai dua orang kakak yang amat menyayangi diriku. Atas izin kakakku aku bawalah kereta itu ke Sungai Besar supaya mudah untukku balik ke kampung pada hujung minggu. Bila sudah ada kereta ini bergayalah aku sikit. Waktu petang-petang selalu keluar ke pekan Sungai Besar. Kadang-kadang bejalan-jalan ke Sabak Bernam. Biasanya seorang diri. Sesekali bersama kawan serumah aku.
Tinggal di sini aku rasa seronok juga. Dekat dengan pekan Sungai Besar. Hampir dengan pasar. Selalu juga aku pergi ke pasar yang jual iakn dan sayur. Masa itu semua jenis ikan murah-murah harga. Tapi ikan kesukaan aku adalah ikan sembilang laut dan kerang. Kerang masa itu satu tin minyak masak yang lima kilogram baru berharga 50 sen. Sekarang mahu harganya 10 ringgit kut. Kalau ada Fun-Fair aku dan kawan-kawan akan keluar beramai-ramai. Aku akan pergi di gerai luar tapak Fun Fair untuk makan-makan. Yang paling aku suka adalah soto dan sate kerang.
Tinggal di rumah sewa ini setiap orang perlu membayar sebanyak 60 ringgit sebulan. Semuanya ini termasuk bayaran sewa rumah, makan minum, sewa peti TV dan upah tukang masak. Besar nilai duit 60 ringgit masa itu. Masa sekarang dengan duit sebanyak itu tiada apa yang boleh kita buat. Sehari berbelanja langsailah duit itu.
Setiap hujung minggu aku akan balik ke kampungku. Dua orang kawan aku akan minta tompang untuk balik bersama. Aku akan benarkan. Tompang free sahaja. Sebelum aku benarkan mereka menompang ada syaratnya yang aku berikan. Syaratnya ialah mereka tidak boleh bawa ganja untuk dihisap dalam kereta. Aku pesan kepada mereka, "Kalau nak stim kering tak boleh. Stim basah tak apa." Maksudnya di sini ganja tak boleh. Kalau nak minum bir tak apa. Biasanya bila sampai ke Sekincin aku berhenti sebentar untuk mereka membeli Anchor Beer. Minum pakai straw. Baru cepat pening. Geli hati aku bila mengenangkannya hal ini.
Sebelum tiba hujung minggu pula, pada hari Rabu atau Khamis, aku akan beli kelapa yang telah dikupas kulitnya dari Ustaz Salleh. Dalam 40 ke 50 biji untuk aku bawa balik ke kampung. Aku beli dengan harga 12 sen. Sampai di kampung aku akan jual dengan harga 30 sen. Masa itu harga kelapa murah. Jadi dapatlah aku untung lebih 100 %. Dapatlah menampung kos minyak kereta aku. Begitulah yang aku lakukan setiap hujung minggu.
Tidak lama aku duduk menyewa di Sungai Besar ini. Rasa aku tak sampai setahun pun. Aku terpaksa pindah balik duduk di Kuarters Guru di Parit 13. Aku pindah semula ke Parit 13 disebabkan aku, setiap malam, sering ke kelab. Kelab Cina yang namanya Kelab Bunga Raya. Aku berjudi setiap malam hingga ke pagi. Banyak duit aku habis. Dan ada pada suatu hari tu aku tak dapat pergi ke sekolah kerana terlelap. Kawan-kawan sudah tinggalkan aku. Aku hanya tersedar pada jam 9.00 pagi. Dalam fikiran aku kalau aku duduk terus di Sungai Besar akan papa kedanalah aku. Terpaksa asyik meminjam wang kawan. Maka aku putuskan fikiran untuk nekad pulang tinggal menetap di Parit 13.
Maka aku pun baliklah berpindah dan tinggal berseorangan di Kuarters Guru. Memanglah terasa sunyi tinggal berseorangan. Namun aku tiada pilihan. Dari rumah sewa yang ada lampu letrik dan air paip aku balik hidup dengan memask dan minum air hujan, mandi air parit dan aktu malam diterangi lampu pelita minyak tanah.
Hendak dijadikan cerita Kuarters Guru yang aku duduki ini penduduk berhampiran kata berhantu pula. Andaian mereka ada kebenarannya kerana setiap malam aku akan bermimpi berlawan dengan hantu. Bila tersedar dari mimpi badan aku berpeluh-peluh. Takut? Takut tak takut aku kena hadapi juga. Sendirian. Dalam fikiran aku kalau aku hendak mati dicekik oleh hantu matilah. Kalau itumemang sudah suratannya nasibku.
Di hadapan rumahku, setiap petang akan ramai pemuda kampung datang untuk bermain sepaktakraw. Selalu juga aku pelawa mengajak tidur di rumah aku. Tapi semuanya menolak dengan alasan rumah tempat aku duduk itu berhantu. Mereka berkata mereka pernah ternampak pada waktu malam hantu langsuyar terbang melintasi atas bumbung rukmahku dan singgah berhenti di sebatang pokok kekabu di tepi belakang rumah. Diwaktu cuti sekolah pula mereka kata, pada malam hari sewaktu melalui di hadapan rumahku, mereka mendengar bunyi orang mencuci pinggan mangkuk di bahagian kawasan tangki air tempat aku selalu membasuh itu. Walaupun ada perasaan takut di hatiku aku buat
selamba sahaja mendengarkan cerita mereka. Ialah apa pilihan yang aku ada. Aku terpaksa beranikan hatiku.
Hari-hari berlalu dengan sunyi sepi sekali. terutamanya pada waktu malam. Maka kerana itu untuk mengisi masadiwaktu yang kosong dan sepi aku pun membuka kelas tambahan di beranda rumahku. Kelas tambahan percuma tanpa bayaran apa-apa. Aku paksa lebih kurang 10 orang murid yang cerdik-cerdik datang ke kelas tambahan itu. Kelas tambahan itu aku buat dari pukul 3.00 hingga 5.00 petang. Hari Isnin hingga hari Khamis. Hari Jumaat tengah hari lepas sekolah akau sudah siap untuk pulang ke kampungku. Meriahlah sidikit hidup aku pada waktu petang selepas itu
dengan kehadiran murid-murid kesayanganku belajar itu. Antara murid yang aku ingat lagi namanya hingga sekarang ialah
Abdul Latif, Isnainah dan Salasiah Hassan. Salah seorang memang manja dan sering bergurau dengan aku sewaktu aku mengajar.
(Bersambung ke... Bhg. 7 - Episod terakhir)

12 ulasan - "KENANGAN INDAH 6.."

PeRdU cINta delete icon 25 Disember 2016 1:05 PTG

Bila baca satu persatu bahagian...banyak yang PC boleh belajar..alhamdulillah..

paridah delete icon 25 Disember 2016 2:38 PTG

TKSH PC...PERKONGSIAN KISAH PAK ENGKU MMG AMAT MENARIK PENCERITAANNYA SANTAI DAN AMAT JUJUR.

nohas delete icon 26 Disember 2016 12:53 PG

dahsyat jg cerita zaman dulu...murahnya kelapa 12 sen je..huhu..

paridah delete icon 26 Disember 2016 10:48 PG

BEGITULAH KISAHNYA NOHAS..PENUH SUKA DUKANYA...HARGA BRG MURAH DUIT PULA XBNYK...TQ

Fida Z Ein delete icon 26 Disember 2016 1:05 PTG

Sungai Besar...dekat dengan Kampung Tok Teh yang baru dua minggu menghembuskan nafas yang terakhir..Al Fatihah buat arwah..

Juga dekat dengan mak angkat saya...kat Kg Sg Burong

paridah delete icon 26 Disember 2016 3:15 PTG

yeke fida...salam takziah innaliillah moga Allahyarham tokteh dicucuri rahmat rohnya...tksh

Warisan Petani delete icon 26 Disember 2016 4:28 PTG

Indahnya kenangan lama.

dear anies delete icon 28 Disember 2016 10:30 PG

Biasanya bila sampai ke Sekincin...

Sekincin tu apa kak?

Norhayati Mohd Isa delete icon 29 Disember 2016 2:31 PTG

sanggup baca lagi yg ke 6 sebab dah baca yg ke 7 episod tu..
Nak cari episod 1 lah ..

paridah delete icon 30 Disember 2016 10:08 PG

TKSH WP..KENANGAN LAMA DLM INGATAN

paridah delete icon 30 Disember 2016 10:10 PG

TKSH ANIES..SEKINCAN KOT..SILAP TAIP TU..SEKINCAN PEKAN PALING DKT DGN PARIT 13

paridah delete icon 30 Disember 2016 10:12 PG

TKSH YATI..TLSN PAK ENGKU NI MMG MENARIK DIBACA..CARIAH YATI ADA TU KAT BLOG LABELS

Terima kasih bersama Karyaku...Paridah Ishak. Komen anda amat dihargai... “Semoga Allah SWT akan membalas dirimu dengan kebaikan yang banyak dan semoga Allah SWT akan membalas dengan balasan yang terbaik.”