Saturday, 30 July 2011

Salam Romadhan

KEPADA Ariani putera, isda islaily akma, fauziah samad, noorlaila ghafar dan semua kawan-kawan yg pernah mengintai blog ini dan seluruh muslimin muslimat diucapkan SELAMAT MENYAMBUT HADIRNYA ROMADHAN yang penuh barokah dan mengisinya dengan amalan-amalan yang dituntut. Bulan ini Allah sediakan untuk hamba-hambanya ganjaran-ganjaran pahala yang tidak terhitung.

Manafaatkanlah anugerah Allah itu sebaik mungkin sebab kita tidak pasti akan dapat bertemunya dan meraikannya lagi. Bersyukur sungguh kerana kita adalah antara insan-insan yang terpilih melalui detik-detik Romadhan ini.

Maaf bukan bertazkirah sekadar berbicara dengan hati dan diri sendiri.

Sempena Romadhan yang mulia mohon maaf semua kesilapan. Al-maklum tulisan/karya saya kadang-kadang tidak disukai dan tidak memenuhi citarasa semua. Juga tidak lupa ucapan terimakasih yang tidak terhingga kerana kesudian anlian melayari blog yang seadanya ini.

















j








j

Friday, 29 July 2011

Pantun Nur Romadhan

Marhaban Romadhan al-mubarak
Romadhan penghulu segala bulan
moga takwa kian marak
ibadah puasa diterima Tuhan

Penuh barokah bulan Romadhan
menghapus dosa bathin zahir
Lailatulkadar kita impikan
gandakan amal sepuluh malam terakhir

Pahala fardhu 70 kali berganda
pahala sunat seperti fardhu
Anugerah Allah kita rebut bersama
Romadhan ditunggu penuh rindu

Mendidik diri lapar dahaga
mulut berbau harum kasturi
Tadarus terawih meningkat takwa
zakat sedekah dimurah rezeki


oleh: Noorlaila Ghafar

Gurindam purnama syahdu

Ahlan wasahlan Romadhan mulia
hadirmu membawa bahagia ria

Musim bungamu sedang berkuntum
semerbak mekar lagi harum

Laksana itulah Romadhan indah
sebulan berpuasa bukan masalah

Bertuah sungguh nasib dirimu
Romadhan ini masih bertemu

Kutiplah permata pahala berharga
yang bertaburan merata-rata

Allah janjikan kepada hamba-Nya
setiap amal ditaksir berganda

Setiap denyut nafas dihembus
berzikir bertasbih berdoa tulus

Ayat suci lagukan merdu
sunyi malam tiada terganggu

Ringankan tangan menghulur memberi
zahirkan ihsan sifat manusiawi

Lailaturqadar terang bercahaya
setiap detiknya amalan dikira

Mesti direbut mesti dicari
fadhilah berkahnya bakal merahmati























Thursday, 28 July 2011

Kenariku

Medan mindanya mengembang
banyak tafsiran pelbagaian
tidak ketahuan
kacau bilau mengelirukan

Mula menyanyi sendiri
menghibur hati
namun tetap rusuh

air mata menitis sedih
entah kenapa tertawa pula
sukar meneka mengapa

Igauan ngeri yang ingin dihindari
seakan ditakdir menyerah diri
kekalutan kekusutan
segera ingin dibuang
sejauhnya
namun apalah daya
tiada batas
tiada sempadan
kerna telah mendarah daging
sebagai pengiring

Mungkinkah lagu itu
akan terus bersenandung
persis kenari meratap mendung

Terkedu termenung
hatinya meraung

Wednesday, 27 July 2011

Alam semesta.....BERSAMA PANTUN-PANTUN INDAH OTHMAN K LEE

Bilang-bilang silang menyilang
leka berjalan kala petang
Siang hilang malam menjelang
di mana bulan di mana bintang

Kaca bersilau disepuh mentari
tiada bayang di tiang pagar
bintang berkilau dinihari
rembulan hilang ditelan fajar

Anak mami esak tersedu
duri tajam menyucuk pipi
malam sunyi lena beradu
mata terpejam dibuai mimpi

Tersenyum manja dara jelita
buah kepayang di dalam jala
sebentar saja malam gelita
cahaya siang menjelma pula

Tuesday, 26 July 2011

Gurindam lagu jiwa

Nyanyikan lagu yang merdu
lontaran rasa mengirai rindu

Irama indah asyik dialun
seloka cinta molek tersusun

Sepenuh hati segenap jiwa
lahirkan kata luahkan rasa

Subhanallah Walhamdulillah Walailahhaillallah Allahuakbar
bertasbihlah Allah Maha Besar

Tenang sudah gejolak rasa
hilang sudah gundah gulana

Ulang lagi nyanyikan lagi
lagu jiwa menyuci hati

Lagu bergema di dalam dada
bibir menyebut enggan terlupa

Tanda cinta tanda kasih
lagu jiwa atma memilih

Monday, 25 July 2011

6787 HIKAYAT LEMBAH SUNYI - SAMBUNGAN

Kata suaminya kepadanya, dia tidak payah berkerja kerana suaminya itu mampu memewahkan kehidupannya dengan pendapatannya seorang. Memang pendapatan suaminya itu boleh tahan juga untuk menyara hidup mereka seadanya. Kerana kemahuannya tidak banyak tentulah sangat mencukupi pendapatan suaminya sebagai staff sebuah syarikat swasta itu. Mentelah pula cuma hidup berdua.

Ketegasan suaminya tidak boleh dirubah lagi dan dia terpaksa akur dengan keputusannya. Sehari suntuk pula dia tidak bertegur sapa dengan suaminya sebagai tanda protes hatinya yang tidak langsung menyetujui kehendak suaminya walau tidak berani membantah. Hinggakan jiran-jiran yang tinggal bersebelahan rumah mereka menganggap pasangan itu tidak ada di rumah. Sebetulnya masing-masing sedang melayan perasaan.

Bermulalah rutin hidupnya sebagai seorang isteri sepenuh masa. Sama seperti isteri-isteri jiran-jirannya yang lain yang sentiasa ternanti-nanti saat suami pulang dari pejabat. Dan segala-gala yang dilakukan adalah untuk kebahagian bersama.

Musim awal perkahwinannya tetap ada masalah yang mengganggu keharmonian rumahtangganya. Namun tetap dilaluinya dengan tabah.

Sekali kejutan yang membuat jantungnya berhenti berdegup tatkala suaminya mengatakan keinginannya untuk berhenti kerja. Pelbagai yang menghantui mindanya memikirkan tentang masalah bakal ditempuh setelah suaminya tiada berperkerjaan. Bukan masalah kecil tu.

Sunday, 24 July 2011

Mengintai lakaran nasib

Sempurnakan malammu
menyusun jemari dengan niat
tutur dari mata yang bening
walau tidak terhambur
duka sayu yang terbendung

Sesekali berdiri di gigi air
melurut jurai padi terkulai
monolog tidak bernota
demikianlah kehidupan seadanya
mengisi masa

Biarkanlah begitu

Keinginan melonjak melangit
menggapai salju dari gunung
mendingin kepanasan garing
sayang terhenti di maya impi-impian

Menulis tutur bahasa sajak
persis dipinta
bukan lagi sketsa cerita unik
telah terurai menjadi duka
yang tidak terkirai
dan reda berpasrah

Saling berpandangan menataplangit kosong
tiada catatan nasibmu
yang tertulis di situ
sekawan camar melayah liuk
bermain senja jingga.

Biarkan pasrahmu itu
mengurusi nasib semaunya
meski semakin letih bersandar di pohonnya

Saturday, 23 July 2011

Kenali diri

Gelap gelita tiada cahaya
bebanan berat tercicir terlepas
Siapa kita apa tugasnya
kadang tersesat tiada berkompas

Yang ditemu serumpun pandan
mahu dicari daun ulaman
cari ilmu cari panduan
lengkapkan diri bekal perjalanan

Melayang-layang si layang-layang
menari-nari di celah awan
Jangan terawang jangan tergawang
tetapkan hati tetap pegangan

Hujan reda ombak melanda
alam maya berduka hiba
Usah tergoda elak ternoda
olah dunia berpancaroba

Warna warni aneka bunga
disunting dara penyeri mata
serahkan diri serahkan jiwa
hanya kepada yang maha Pencipta

wangi mastuli wangi kasturi
haruman ini siapa empunya
Usah menyesali siapa diri
kita ini hanya milik-Nya

Friday, 22 July 2011

Gurindam kasih cinta

Cinta kasih di hati di kolbu
dinilai dihargai jadi nawaitu

Cinta abadi teguh bersemi
hanya padamu kasih sejati

Kuseru kasihmu datang padaku
mesra cintamu melerai rindu

Dinihari berkeluhkesah
menyerah nasib menyerah resah

Berikan kasih berikan cinta
hanya padamu aku meminta

Kasihmu tak pernah surut
selagi nadi masih berdenyut

Hanya padamu yang maha agung
kuserah diri mohon berlindung

Suatu ketika cintaku tak putih
maafkanlah aku duhai kekasih

Tiada lagi yang didamba
selain cinta kasihmu yang setia

Thursday, 21 July 2011

Hai anak ibu

Dia hampir
ke sisi ibunya
kerana tangisnya
kerana lelahnya
kerana dahaganya

Pernahkah anak itu tahu
air mata ibu
deras mengalir
kerana olahnya?

Pernahkah anak itu tahu
akan terbuka hijab antara ibu dan Dia
yang maha tahu
akan siksa hati ibu membekam pilu
sekiranya ibu mengadu
dan berdoa
doa ibu akan terangkat
ke atas aras petala langit
andai ibu berkira tentang
air matanya yang tumpah

Namun ibu hanya mendoakan
kemashlahatan penuh kebaikan
untuk waris yang lahir
dari rahimnya
yang menyusu dengan susunya
yang pernah terlena
dalam dakapannya

Wednesday, 20 July 2011

6787 HIKAYAT LEMBAH SUNYI - SAMBUNGAN

"Takmalu ke?" Tutur suaminya sinis. Dia terkedu. Memang benar kakitangan di pejabat tanah rancangan felda itu semuanya lelaki. Yang perempuan cuma dia seorang. Kerana dia seorang perempuan bak mawar yang menyeri alam tentulah dia dilayan sebaiknya. Tidak ada seorang pun yang pernah mengguris perasaannya.

Hinggakan seorang staff di situ berkira-kira hendak menjodohkannya dengan seorang pegawai luar di situ yang pendiam dan berperawakan sederhana.Kebaikan hati budinya memang memikat hatinya.
"Betul ke awak mahu kalau saya kirakan awak dengan S?" Tanya cik D. Mereka duduk bersembang berdua berhadapan.

"Boleh saja," balasnya selamba. Tanpa ada rasa bersalah kerana telah menyimpan rahsia tentang status dirinya.
'Kesian kau D, kau tak tahu aku dah nikah.'
Memang tidak ada di antara rakan-rakan sepejabatnya yang tahu dia telah bernikah kerana pernikahan yang berlaku sangat segera dan kelamkabut itu.
'Jodohku boleh jadi sudah sedemikian suratannya.' Monolognya yang lemah bersandar kepada takdir hidup.
.Mungkin juga salahku kerana mudah tergoda dan tidak berprinsip hidup," Janggal dan mengelirukan pula andaiannya itu.

"Agaknya apa perasaan S terhadapku sekiranya dia tahu statua diriku. Mungkin dia sangat marah dan malu. Marah kerana telah tertipu dengan penampilanku sebagai gadis. Tentu teramat malu kerana secara tak sengaja telah menyimpan perasaan terhadap isteri orang.' Dia termenung memikirkan kesalahannya dan akibahnya.

'Ah!Tak perlu aku nak fikir semua itu. Lagipun aku dah tak ke sini lagi..'
Betullah tu. Esok dia tidak akan ke sini lagi kerana telahpun menyerahkan surat perletakan jawatannya kepada pengurus sebagaimana yang diarahkan suaminya.

Tuesday, 19 July 2011

Kesakitan ini

Kesakitan yang ditanggung ini
keperitan yang dirasai ini
penderitaan yang dihadapi ini
perasaan yang terperam ini
hanya diri ini yang tahu
hanya Dia yang maha tahu

Sekadar melihat gambaran duka di wajah
dan air mata yang menitis
hanya menggamit senyum sinis

Katanya duka yang hipokrit
lakunan
alangkah ngilunya perasaan

Sekian lama berjalan bersama duka terpendam
kata seorang kawan;
bersabarlah
pasti rahmat Allah terselindung

Kata seorang adik;
berusahalah mengatasi kelemahan
jangan memanjakan diri melayani kesakitan

Kata seorang suami;
perpisahan bukan kerana tak sayang

Demikianlah reda berpasrah
jika sudah takdirmu sedemikian
terima sajalah... hah?

Monday, 18 July 2011

Akhir sebuah cerita

Bagaimana mukaddimahnya
lafaz mula yang telah lama dilupakan
mengungkitnya mengadunnya mencernanya
secanggih mungkin
namun
PIC KEJORA HATI

Siapakah lagi yang rajin hendak mendengarnya
sebuah cerita lama
yang tidak ada penamatnya
PIC KEJORA HATI

Semangat berserta angin
bermulalah langkah setapak
terhenti pula

Diusahakan menapak lagi
bergerak lagi
memulakannya kembali
di tapak mula yang sama

Resepinya begitu juga
apalagi yang mesti diambil
buat sebuah mula langkah
yang mantap
mengakhiri perjalanan
sebuah cerita rekaan
yang masih berterusan

Saturday, 16 July 2011

Kesilapan

Itu salah
ini pun salah
begitu salah
begini pun salah

Sekian banyak salah silap
yang berlaku
akan berlaku
terus berlaku

Usahlah terlalu bongkak
untuk menafi salah silap itu
kerana sehari dua lagi
kau pasti kehilangan banyak
akibah salah silap yang berlarut-larut itu

Friday, 15 July 2011

6787 HIKAYAT LEMBAH SUNYI - SAMBUNGAN

SEWAKTU perkahwinan yang sangat segera itu berlaku suaminya melafazkan bahawa dia sangat disayangi. "Hanya kau isteri pertama dan terakhirku..." Dan dia percaya sungguh.'Tetapi kenapa dia meninggalkan aku di sini. Dia membiarkan aku di rumah ibubapaku sedangkan dia menyepi diri di rumahnya sendiri. Begitukah nilai kasih sayangnya yang tinggi terhadapku.' Dia keliru sekali.

Dulu tika mereka diakadnikahkan suaminya terus memaksanya untuk tinggal bersamanya. Katanya kepada isterinya tidak ada istilah nikah gantung di dalam pernikahan. Maknanya setelah bernikah kehidupan suami isteri telah bermula. Dan tanggungjawab isteri kepada suaminya mesti dilaksana. Tempat seorang isteri itu adalah di sisi suaminya.

Tidak cukup dengan memaksa isterinya itu sentiasa berada di sisinya dan dia juga menuntut agar isterinya berhenti kerja, Alasanya dia malas hendak menghantar dan mengambil isterinya itu dari lokasi perkerjaannya. Maklum saja tempat isterinya itu berkerja bukannya dekat.Tidak ada pula pengangkutan awam yang bergerak ke sana.

kesan daripada keadaan ini dia patah kaki.Jikalau tidak ada kenderaan sendiri jangan harap senang nak bergerak. 'Kalau dia tak mahu hantar bagaimana aku nak ke tempat kerja. Nampaknya dia mengambil kesempatan dari kelemahanku untuk menekanku. Aku suka dengan kerja pejabat. Lagipun bukan senang nak dapat kerja sebaik itu tika ini. Sudah puas pergi interview ke sana sini, akhirnya dapat juga aku jawatan sebagai kerani/jurutaip di sebuah pejabat pertempatan felda di daerah ini." Isteri itu melayan monolog hibanya.

"Pejabat awak tu ramai sangat pegawai lelaki. Awak sorang saja yang perempuan..." Alasan suaminya itu meredakan kekesalannya. Namun jauh di sudut hatinya dia merasa kecewa sekali. Padanya cemburu berlebihan bukan tandanya sayang. Malah telah memusnahkan segenap harapannya ingin menjadi wanita berkerjaya.

Thursday, 14 July 2011

Pelayaran Tun Perak?


Pelayaran Tun Perak dari Melaka
hajat hendak singgah di Kelang
hatinya dirundung walang bukan kepalang
Ah! Alangkah sibuknya pelabuhan
dengan pendatang dari seberang
sekaliannya sudah bersiaga
merantau ke tengah kota ke ceruk desa
dengan tekad waja
sebagai perkerja.

Sedang anak negeri
leka demonstrasi
mahu beroformasi
bijaknya berperi-peri

Beliau mencabut destar
mindanya ligat berputar
mengimbau dengan wajar

Bukankah ada seorang pateh
yang banyak onarnya
mencipta aneka petaka
memberi celaka seorang hamba
yang dikasihi Raja
sehingga berbunuhan sesama saudara

Apakah tidak berubah
nasib Tuah ditimpa olah
angkara warga tanah sebelah

Beliau menggaru kepala
lantaran pening pula
risaukan ramainya pateh-pateh di sini

Koleknya disongsong angin
firasatnya menghilir
diburu deru angin semilir

Sudah jauh kolek dikayuh
ingin pula berlabuh
di pengkalan Pangkor

Beliau melihat sebuah bahtera
di tengah segara
dan seorang cucunya sedang berurus niaga
menukar emas perak dengan tiara negara

dengan sekeping wadah janji
tidak mungkin terpenuhi
bakal dimungkiri

Ah! Mengapalah cucu itu
tidak membalik hikayat silam
tentang kesultanan Melaka yang tenggelam
kerana ada gunting dalam lipatan
kerana telunjuk lurus kelingking berkait
kerana adat tempua tidak bersarang rendah

Kenapa masih hendak mencari budi
berkeliling pelosok negeri
mengenal pasti sasaran
memusnah semua harapan
yang direncana warga sebaiknya

Mengapa tidak mahu menjadi warga yang pasrah
redha pada kalah
usah menuding penentu salah
justeru segalanya telah terserlah

Tun Perak sudah penat memikir
ingin pula beradu di taman inderaloka
biarlah pelayaran ini segera berhenti
angin pun tidak bertiup lagi
sudah mati

Kita ingin segera ke Langkawi
menulis puisi tentang cinta pada pertiwi
tentang sebuah jati diri....

nukilan
Paridah Ishak...


pic kawan-kawan fb

Wednesday, 13 July 2011

Milik kita

Api andang nyalakan lagi
buat suluhan menuju kali
Dinihari mengundang pagi
bermula lukisan sebuah hari

Boneka bermuka kaca
bunga melati bunga kelisa
jari leka mengukir arca
sesuka hati sesuka rasa

Anak bengal bermain bangsi
merdu nian lagu dinyanyi
tidak sesal mahupun sangsi
justeru demikian impian diri

Duduk berlunjur di atas peti
sambil tersenyum bertukar kata
pagi mengangsur senja menanti
Esok belum pasti milik kita

Pohon kuini bukan di sini
di hutan rimba berkayu jati
hari ini tika ini
milik kita sangat pasti

Tuesday, 12 July 2011

Gubahan kata

Umpama
Seindah jambangan bunga nan meriah
lalu

bayu mulus dari gunung turun mengusapinya
dan menyapa seolah mengoles pipi gadis nan putih

Sirnalah kebenaran dan kepercayaan
cairlah panas amarah
sukar pula menilai seluruh diri
hanya sekujur imej zahir

Malanglah dirimu seterusnya
kerana kebenaran yang ingin diraih
tenggelam hanyut

Alun bayu yang lembut itu
telah menukarnya dengan gubahan kata
membawanya ke kota bantah
yang teguh jitu

Bukah ada Dia
tempatmu mengadu resah
mengapa tidak menggubah kata seindahnya

Monday, 11 July 2011

6787 HIKAYAT LEMBAH SUNYI - SAMBUNGAN

SETELAH nasi dijamah sedikit, hidangan diangkat kembali. Muncul pula seorang wanita sebaya emaknya mengatakan sesuatu kepadanya.
"Pengantin lelaki tidak boleh bermalam di rumah pengantin perempuan pada malam ni. Ikut adatnya begitulah..."
Dia terpinga-pinga mendengarkan begitu. Hatinya tertanya-tanya 'adakah adat sebegitu di negerinya. Pertamakali dia mengetahui adat seorang pengantin ditegah dari bermalam di rumah pasangan yang telah dikahwininya.

Si suami memandang isterinya. Dia memahami pandangan berunsur kejengkelan sambil menjeling beg putih yang dibawanya. Teman yang mengiring suaminya turut memusatkan pabdangan kepadanya. Dia serbasalah sungguh.

Suaminya tentunya telah mengisi pakaiannya ke dalam beg yang dibawanya guna melunaskan keperluannya tika bertandang ke rumah mertuanya. Kejadian sebegini pula yang berlaku. Sungguh amat dikesalinya.

"Tak apalah." Ujarya sepatah,
Dengan ayat itu juga dia menghilang bersama rombongan pengantin yang membawanya pulang ke rumahnya sendiri. Dia menyepi diri tanpa mahu menjemput isteri yang telah dikahwininya. Mungkin itu adalah protes yang ditunjukan kerana tidak gemar dengan insiden yang dialami pada malam pengantinnya.

Sunday, 10 July 2011

Pantai yang hilang

Di sinilah
jejak yang ditinggalkan kelmarin
yang bertaburan di atasnya
kulit siput tak berisi

Lagu ombak sayup di kejauhan
anginan mulus menyapu wajah
menjatuhkan sejurai rambut

Sebentar di bawah api-api yang rendang
daunnya luruh menyentuhi ujung sepatu

Sebuah pondok di tepi ban
dan disebalik ban itu
riuh serindit di tengah bendang
menghurung padi keemasan

Disini lagi
berdiri mengamati
dimanakah pantai dan siput-siputnya
ketam pe dan siput merahnya.

Ketara
hanya muara
dan laut semakin melaut
api-api sudah tumbang
ban pasti runtuh

29 Jun 93

Friday, 8 July 2011

fikir-fikirkan

Masam manis buah keranji
bakul nyonya letak di meja
Jangan manis mengukir janji
jika hanya di bibir saja

Kemboja putih disunting lawa
manis madu bunga delima
Menangis merintih gelak tawa
bersayu pilu hanya drama

Pulau jerejak di ujung tanjung
sinar bintang cerah bersepah
Bumi dipijak langit dijunjung
Minyak ditatang jangan tumpah

Berburu ke padang datar
dapat rusa berbelang kaki
Berguru kepalang ajar
bagai bunga kembang tak jadi

Wednesday, 6 July 2011

PERKAHWINAN

gusar
debar
ragu
esak-esak tangis berbunga sendu

lemah
pilu
resah
perkecokan apa berperang dalam diri

longlai
jatuh
kaku
beku.
utusan maut menjemput tunangannya
upacara perkahwinan terabadi akan bermula

Dewan sastera dis 1978

Jutaan terima kasih buat penulis noorlaila ghafar yang menemukan sajak saya ni dalam himpunan sajak-sajaknya di dalam majalah Dewan Sastera DBP.

Monday, 4 July 2011

HAPPY BIRTHDAY TUAN AQIL HARRIS N TUAN UZAINI TUAN MUDA

MOGA ANDA BERDUA ADALAH INSAN-INSAN CEMERLANG PILIHAN ALLAH UNTUK DIRAHMATI DAN DIBERKATI SEPANJANG PERJALANAN HIDUP DENGAN PERANAN-PERANAN YANG DITENTUKANNYA SEBAIKNYA DENGAN KESIHATAN YANG TERPELIHARA SEJAHTERA BERBAHAGIA DAN REZEKI YANG TIDAK MUNGKIR MELIMPAH RUAH.

MOGA AQIL AKAN MENJADI KARYAWAN/SASTERAWAB TERBILANG KERANA SEJAK DI DALAM KANDUNGAN SUDAH MENGIKUTI NENDANYA MENGIKUTI KURSUS PENULISAN DBP

MOGA AQIL YANG GEMAR MENYANYIKAN LAGU PUISI EBIT.S. N LAGU2 BROERY AKAN MENJADI PENGAGUM KARYA SASTERA NEGARA KELAK WALAU USIAMU GENAP EMPAT TAHUN HARI INI...

AH! CUCUNDA KESAYANGAN KAU ADALAH SEGALA-GALANYA BUAT AYAHANDA/BONDA JUGA NENDA YANG SANGAT MENGASIHIMU....

Simpulan-simpulan kedukaan

Kesedihan laksana laut yang melaut
pulau pulau kecil berbalam-balam kejauhan
ombak pun menampar pantai putihnya
dan pasir pasir pun berserakan

Analoginya mungkin begitu
namun kesedihan itu
menggetarkan jiwa raga
meruntun hati nurani

Terkadang
meresapi seperti angin
sesekali lembut ayunannya
akan juga
menjatuhkan dedaunan

Senyum manis itu
tidak lagi
mahu menyapa bibir

Bilakah agaknya musim kering
yang melayukan dedaun gemilang
akan mengundang pelangi dan hujan
yang memudarkan bahangnya kesedihan
mewarna warni kehidupan

Seakan terasa
yang dilalui kini
yang dititi kini
hanya buih-buih duka
apalah yang dapat dikutip darinya
buat membina arca

Sunday, 3 July 2011

Rumah itu - 2

Jari terluka menitis darah
titis darah usah diseka
rumah pusaka waris bermuzakarah
bertelagah bersengketa seketika

Lebat gugusan buah markisa
harum kuini bawa ke sini
rumah warisan anak bangsa
dulu kini kekal harmoni

Manggis muda buah kedondong
atas jerejak bunga tanjung
Rumah pusaka tempat berlindung
bumi dipijak langit dijunjung

Ukir reka gurisan pita
kayu alang sarang penyengat
Rumah pusaka warisan kita
keris bersilang lambang semangat

Kayu alang sarang penyengat
kain kasa dipotong reja
Keris bersilang lambang semangat
anak bangsa berhati waja

Sulur peria jalar merata
upih pinang membalut nangka
bersatu bersetia bersepakat kata
berkasih sayang tanpa wasangka

Di sinilah kita melestarikan segenap harapan
seluruh impian

hanya di sini
di rumah pusaka ini
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...