ASSALAMUALAIKUM
Semalam aku sendiri tak faham apa Allah nak tunjuk.
Sampai ke petang, 28 ekor anak kambing keluar dari kandang. Satu demi satu. Macam rezeki mencurah tanpa henti.
Bila aku dengar cerita mereka, kebanyakannya sama.
“Bang, beli buat anak main.”
“Bang, nak isi masa lapang.”
“Bang, nak tenangkan jiwa.”
Dan aku faham. Memang berbaloi. RM300 untuk seekor haiwan yang boleh buat satu keluarga senyum, ketawa, bergerak
Lebih berbaloi dari bawa anak ke petting zoo tiga kali.
Lagipun, dekat mana-mana petting zoo pun, last-last yang orang akan pegang, gomol, bawa selfie, kambing juga.
Sebab kambing ni haiwan yang lasak, kuat, dan tahan budak cuit-cuit pipi.
Tapi tengah ramai pelanggan yang beli untuk “main-main”, datang seorang lelaki.
Muka tenang. Cara bertanya lembut. Tapi niat dia, lain macam. Dia kata,
“Bang, saya nak beli dua ekor anak kambing, tapi bukan untuk main. Saya nak jaga dia sampai besar. Saya nak belai dia, saya nak sayang dia, sebab bila tiba masa korban nanti, saya nak lepaskan ‘dia’, bukan sekadar seekor kambing.”
Masa tu aku terdiam.
Sebab jarang
Sangat jarang, aku jumpa orang beli anak kambing untuk dijadikan peneman, sebelum dijadikan korban.
Selalunya orang beli kambing korban dah siap besar. Berat cukup, umur cukup, semua settle.
Bayar, pilih, dan korban.
Habis cerita.
Tapi lelaki ni, dia memilih jalan yang lebih berat.
Dia memilih untuk ikat hati dengan seekor kambing.
Bukan sehari.
Bukan seminggu.
Tapi bertahun-tahun.
Dia memilih untuk melihat kambing tu membesar depan mata, lihat perangai nakalnya, dengar suara dia mengembek bila lapar, dan rasa sayang slowly tumbuh hari demi hari.
Dan pada masa yang sama, dia memilih untuk melepaskan apa yang dia sayang semata-mata kerana Allah.
Itu baru aku sedar, inilah roh sebenar korban. Korban bukan tentang harga. Korban bukan tentang besar mana kambing.
Korban bukan tentang dapat berapa kilo daging.
Korban, sejak kisah Nabi Ibrahim AS lagi, adalah tentang mengorbankan apa yang paling kita sayang.
Syarat korban bukan sekadar cukup umur dan bebas cacat.
Korban juga adalah ibadah yang Allah muliakan bila kita melepaskan sesuatu yang dekat di hati.
Sebab itu ulama kata, lebih afdhal bila kita sendiri pilih, sendiri jaga, sendiri niatkan untuk Allah.
Jadi bila lelaki tu peluk anak kambing yang kecil dan lembut tu, aku terbayang masa depan.
Satu hari nanti, kambing ni berdiri gagah, cukup umur, cukup syarat, dan dia akan diserahkan kembali kepada Allah, dengan penuh perasaan.
Dan bayangkan beratnya hati lelaki itu waktu itu nanti. Tapi dia tetap akan lakukan.
Bukan sebab terpaksa.
Tapi sebab dia faham makna sebenar pengorbanan. Hari itu nanti, air mata mungkin gugur.
Tapi di sisi lain, pintu rahmat akan terbuka luas.
Sebab Allah tahu, melepaskan apa yang kita sayang, itu bukan mudah.
Aku tengok lelaki tu senyum sambil pegang anak kambing.
Dan aku rasa
“Ya Allah, hebatnya semangat korban dia.”
Dia bukan tunggu musim korban baru nak ingat ibadah ini. Dia mula dari sekarang. Dia mula dari kecil. Dia mula dari kasih sayang.
Dan aku percaya
Bila tiba masa nanti, Allah sendiri akan muliakan pengorbanannya
Sama seperti Allah memuliakan sesiapa yang berkorban dengan hati yang penuh cinta dan reda

No comments:
Post a Comment
Terima kasih bersama Karyaku...Paridah Ishak. Komen anda amat dihargai... “Semoga Allah SWT akan membalas dirimu dengan kebaikan yang banyak dan semoga Allah SWT akan membalas dengan balasan yang terbaik.”